Thursday, 22 April 2010

Mencabar Kerajaan atau Mencabar Diri?

Salah satu strategi terbaik dalam berpolitik ialah dengan menyatakan secara tegas beberapa kelemahan dan keburukan pihak lawan. Kelemahan dan sifat buruk yang dimiliki oleh sesebuah parti atau kumpulan akan didedahkan kepada rakyat, bertujuan membuka minda rakyat supaya berfikir dan seterusnya diharapkan rakyat akan memberi sokongan kepada pihak yang mengaku berada di pihak benar. Strategi ini dilaksanakan oleh hampir semua badan politik dalam dunia ini termasuklah di Malaysia.
Mencabar perubahan kerajaaan

Pihak yang memperjuangkan kebenaran, keadilan dan kebajikan rakyat sering mengkritik pihak kerajaan yang melakukan kezaliman dan kemungkaran. Andai kata ada apa-apa cadangan daripada pihak kerajaan, maka cadangan itu akan diperhatikan dari sudut negative kerana berdasarkan pengalaman kebiasaannya pihak kerajaan mempunyai agenda yang tersembunyi dan berkepentingan berbanding mahu memberi bakti kepada rakyat. Lalu pihak yang benar akan terus membangkang. Sebagai contoh ialah isu GST yang dicadangkan oleh pihak Kerajaan Malaysia baru-baru ini. Walaupun cadangan pelaksanaan GST itu mempunyai hujah-hujah yang tertentu tetapi tetap dibangkang oleh pihak Pakatan Rakyat (PR) khasnya disebabkan khuatir akan mendatangkan inflasi dan menyusahkan rakyat selain hanya menguntungkan ‘orang-orang’ tertentu.

Di negara-negara seperti Pakistan, Indonesia, Mesir, Thailand dan beberapa buah lagi termasuklah negara Malaysia akan kelihatan rakyat di negara-negara tersebut mengadakan perhimpunan sama ada dalam bentuk rapat umum ataupun berdemonstrasi. Mereka mendesak perubahan daripada pihak kerajaan. Sama ada kerajaan yang berundur dan diganti oleh badan politik yang lain, ataupun pihak kerajaan sendiri yang didesak supaya berubah demi kebaikan negara dan rakyat. Kebiasaannya tuntutan yang sentiasa dimainkan ialah isu ekonomi, pendidikan dan keadilan. Yang pasti, desakan supaya kerajaan berubah sering kedengaran di banyak tempat.

Di tanah air kita, kedapatan beberapa siri rapat umum dan demonstrasi yang pernah menggemparkan negara iaitu demonstrasi pada 1998 yang menuntut keadilan ke atas penindasan yang dikenakan ke atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada ketika itu. Begitu juga dengan demontrasi menuntut pilihanraya yang lebih bersih dan adil, demonstrasi membantah PPSMI, demonstrasi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan beberapa lagi. Saya menyebut peristiwa-peristiwa di atas sebagai bukti bahawa desakan supaya kerajaan berubah dan lebih adil sering kedengaran dan dijerit tanpa henti.

Mencabar perubahan diri

Saya melihat, sesetengah pemimpin hanya mengajak dan mendoktrin ahlinya untuk menuntut perubahan daripada pihak kerajaan tetapi sangat menyedihkan apabila jarang kedengaran seruan daripada pihak atasan parti tersebut supaya ahli berubah sebelum menuntut perubahan. Kalaupun ada, tidak banyak yang bertindak sedemikian. Hanyalah beberapa ustaz dan ulama yang tidak popular sering menasihati anak buah masing-masing supaya melakukan perubahan pada diri dengan tuntas. Adapun tokoh-tokoh politik yang lain nampaknya sangat miskin dalam memandang hal-hal sebegini.

Di mana nasihat kepada ahli supaya memperbanyak doa, membaiki akhlak diri, memelihara kualiti ibadat, beradab dalam berorganisasi dan banyak lagi? Takkanlah hanya nasihat supaya tingkatkan gerak kerja, jangan takuti musuh atau lawan tetap lawan? Kenapakah nasihat syariatullah kelihatan di tepi-tepi sahaja berbanding nasihat sunnatullah yang sentiasa kedengaran?

Kata bijak pandai: “Jika kamu mahu membuat perubahan yang besar, maka mulakanlah dari dalam diri kamu..” Mendesak kerajaan supaya berubah itu adalah sesuatu yang sangat besar, apatah lagi apabila kita sendiri yang berjuang untuk melakukan perubahan, sudah tentu matlamat itu sangat besar. Namun demikian, sangat menyedihkan sekiranya kita terlupa untuk mengubah diri kita sendiri sama ada dari sudut ibadat, akhlak, disiplin dan sikap.

Tidak hairanlah wujudnya petugas pilihanraya yang subuhnya ketika matahari sudah naik, penceramahnya mencaci maki pihak lawan tanpa haq (mengumpat yang dibenarkan Islam) dan suasana adu domba di mana-mana sahaja ketika musim pilihanraya. Dalam skala yang lebih besar, wujudnya budaya buruk lompat parti dan menerima rasuah. Semua contoh di atas gara-gara tidak memberi penekanan untuk perubahan dari dalam diri sebaliknya hanya memekik supaya kerajaan berubah.

Kata-kata Hasan Hudaibi

“Dirikanlah daulah Islamiah dalam diri kamu, nescaya akan terdiri di bumi kamu.”

Mendirikan daulah Islamiah dalam diri bermaksud mendirikan ‘kerajaan hati’ yang tidak dipengaruhi oleh nafsu dan syaitan. Hati yang menjadi raja akan dinasihati oleh akal sebelum melakukan sesuatu perkara. Apabila hati sudah’ beriman’, maka seluruh anggota yang lain akan turut ‘beriman’ sama ada tangan, kaki, mata, telinga dan lidah. Sebagaimana Parameswara yang beriman kepada Allah dan menjadi Muslim sewaktu memerintah Melaka, maka seluruh bangsawan dan rakyatnya memeluk Islam.

Akan tetapi, seringkali kita mahu perubahan yang terlalu besar sampaikan terlupa untuk mengubah diri sendiri. Kita terpesona untuk menegakkan kembali Khilafah Islamiah sehingga terlupa untuk menjadi individu Muslim yang soleh, berkaliber dan progresif. Akhirnya, semua menjadi tidak cukup sifat termasuklah rumahtangga, masyarakat dan jemaah yang disertai tidak lagi seumpama ‘bunyanun marshush’ disebabkan kegagalan menyeimbangkan antara dua mujahadah. Mujahadah untuk daulah dan mujahadah untuk diri sendiri.

Sebelum Sultan Salahuddin al Ayyubi menawan Jerusalem pada 1187, beliau membersihkan dahulu akidah umat Islam daripada Syiah kepada Sunni. Antaranya ialah dengan membersihkan institusi pendidikan al Azhar di Mesir yang sebelum beliau memerintah Mesir, Mesir diperintah oleh golongan Syiah. Beliau bersabar sebelum melakukan perubahan iaitu dengan mengutamakan perubahan terhadap umat Islam terlebih dahulu. Tidak ketinggalan Sultan Muhammad al Fatih yang berusaha sedaya mungkin untuk memiliki sebaik tentera dan beliau sendiri melazimi diri dengan muhasabah dan tazkiyatunnafsi. Beliau tidak mahu melakukan perubahan di bumi Konstatinopel secara terburu-buru.

Renungan

Sekiranya kita gemar melakukan dosa (yakni hati tiada gundah), solat berjemaah yang tidak diambil endah, lebih memandang kesalahan dan keburukan lawan berbanding menginsafi keburukan diri, beribadat dalam keadaan malas, banyak sembang yang bukan-bukan. Ketahuilah, itu antara sifat-sifat seorang munafiq. Walhal, kita sedang berjuang menentang kemungkaran pihak munafiq. Para pejuang dulu-dulu, beriman dan berjuang lantas kemenangan di pihak mereka. Adapun kita, menentang puak munafiq dalam keadaan diri kita bersifat munafiq, patutlah masih belum menang. Salam perubahan pada diri!

1 comments:

Anonymous,  7 May 2010 at 05:55  

sama je, karajaan ke, pembangkang ke, kedua2 cari keburukan lawan.. السياسة فن الكرهية

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP