Monday, 17 May 2010

Muntahkan Mitos Itu Wahai Umat!

Mitos merupakan sebuah kata yang berasal dari perkataan Yunani kuno, ‘muthos’ yang asalnya bererti ucapan. Kebiasaannya sesebuah cerita ataupun sejarah yang diresapi unsur mitos mengisahkan mengenai dewa- dewi dan kepahlawanan luar biasa dan tidak masuk akal. Kebiasaannya banyak manusia yang mempercayai sesebuah cerita yang berunsurkan mitos walaupun kisah itu tidak pernah wujud ataupun hanya satu bentuk penipuan yang menyedapkan telinga.

Golongan dari Barat dikenal pasti sangat menggemari mitos-mitos dan terpengaruh dengan banyak mitos yang diimport dari Greek dan Yunani kuno. Sebagai contoh cerita tentang Superman dan Wonderwoman mirip dengan cerita dalam mitologi Yunani. Wonderwoman yang diperkenalkan oleh Charles Moulton identik dengan cerita Diana dalam mitologi Yunani. Superman yang tidak dapat dilemahkan kecuali dengan Kryptonite hijau hampir serupa dengan kehebatan Archilles yang tidak dapat dilukai kecuali pada tumitnya.

Kegemaran manusia terhadap mitos dilihat jelas apabila banyak filem-filem yang dipengaruhi mitos terutamanya filem-filem yang berasal dari Hollywood seperti Ghost, Rambo, Robin Hood, Batman, Superman, Spiderman dan sebagainya. Filem Troy yang bercerita tentang kepahlawanan Archilles dan Agammemnon pada zaman Yunani kuno laris di pawagam-pawagam. Begitu juga dengan filem Spiderman yang meraih 15 juta USD dan Catwoman (16.7 juta USD). Manakala filem trilogi The Lord of The Ring mampu meraih keuntungan lebih dari 2000 juta USD. Itu hanyalah beberapa contoh dan tidak termasuk banyak lagi contoh yang lain yang menjadi bukti bahawa mitos sangat erat dengan manusia di muka bumi ini.

Berdasarkan contoh-contoh di atas, jelas bahawa meskipun banyak kisah yang autentik dan benar, tetapi manusia tetap menggemari cerita-cerita yang tidak berasas dan berunsurkan penipuan. Elemen-elemen mitos tetap menguasai manusia walaupun seseorang itu hidup pada era yang penuh dengan kemodenan dan subur budaya intelektual. Termasuk dalam kategori ini ialah manusia yang bergelar Muslim tetapi sangat trauma dengan sejarah dan kisah yang benar sebaliknya mengiyakan sejarah dan pandangan-pandangan yang langsung tidak berasas. Ini juga salah satu ciri penghidap penyakit inferiority complex.

Beberapa elemen mitos dalam persepsi umat Islam

Abdullah Cevdet, salah seorang pemimpin Committee and Union Progress (CUP) iaitu salah satu kumpulan yang ditubuhkan Gerakan Turki Muda yang menjadi proksi Mustafa Kemal attaturk berkata: “Hanya ada satu peradaban dan itu adalah peradaban Eropah. Kerananya kita harus meminjam dari peradaban Barat baik mawarnya mahupun durinya.” Begitu juga dengan seorang lagi pemimpin Turki Muda, Sabahuddin Bey yang menulis: “Sejak kita membangun hubungan dengan peradaban Barat, kebangkitan intelektual telah terjadi. Sebelum hubungan ini terjadi masyarakat kita miskin kehidupan intelektual.”

Saya sungguh bersimpati dengan orang-orang yang berpandangan sedemikian kerana itu tandanya mereka miskin intelektual dan penghayatan nilai sejarah keagungan Islam yang sangat serasi dengan ajaran Islam yang suci. Kata-kata Abdullah Cevdet mengingatkan saya dengan pandangan Qasim Amin dari Mesir yang menyatakan jika seseorang wanita Islam ingin menjadi maju dan ke hadapan, maka ia mesti mencontohi apa sahaja yang bersumberkan Barat termasuklah cara berpakaian. Pandangan Qasim Amin yang menulis buku Tahrir al Mar’ah sangat cocok dengan kata-kata Abdullah Cevdet di atas apabila kedua-duanya memenangkan Barat mengatasi Islam meskipun apa yang berasal dari Barat itu sangat busuk, hanyir dan haprak.

Peradaban Islam sangat bergemerlapan cahayanya sehinggakan bukan sahaja dipuji oleh para sejarahwan Islam, malahan turut diiktiraf oleh golongan Barat.

Kedapatan juga dari kalangan umat Islam yang berpegang bahawa masa depan dunia bukannya di tangan Islam sebaliknya akan dikuasai oleh ideologi-ideologi yang diwakili oleh ‘isme-isme’ yang berleluasa di muka bumi ini.

Seorang penulis terkenal dari Barat iaitu Francis Fukuyama mendatangkan idea yang agak menarik dalam sebuah buku beliau iaitu The End of History and The Last Man . Fukuyama menyatakan bahawa ‘akhir sejarah’ akan menyaksikan semua umat manusia kecuali dunia Islam akan menerapkan system demokrasi-liberal sebagai bentuk pemerintahan yang paling rasional. Antara hujah daripada beliau ialah pada 1790, hanya tiga negara (AS, Swiss dan Perancis) yang memilih demokrasi liberal, 1848 (lima buah negara), 1900 (13), 1919 (25), 1940 (13), 1960 (36), 1975 (30) dan pada 1990, 61 negara memilih demokrasi-liberal dalam sistem pemerintahan masing-masing. Maka kesimpulannya, hampir seluruh dunia akan tunduk kepada system demokrasi-liberal satu hari nanti.

Sungguh malang apabila wujud banyak dari kalangan umat Islam yang beriman dengan pendapat yang dikemukakan oleh Fukuyama ini. Tidak ketinggalan penganut ideology sosialisme-komunisme yang mempercayai bahawa satu hari nanti umat manusia akan mendapat ‘keadilan sosial’ menerusi pengaplikasian system politik berteraskan sosialisme-komunisme. Sedangkan Allah SWT telah memberi keyakinan yang wajib diimani oleh kita bahawa dunia ini akan kembali makmur dengan satu sitem pemerintahan yang
adil dan dilimpahi keberkatan daripada Allah.

Barat yang terhutang budi dengan Islam

Kalaulah Cevdet, Qasim Amin dan kumpulan yang seangkatan dengan mereka membuka buku-buku sejarah, nescaya mereka akan akur bahawa jalan keluar kepada segala pemasalahan ialah Islam dan peradaban Barat sebenarnya yang mengambil manfaat daripada keunggulan umat Islam sebagaimana yang berlaku di Andalus (Sepanyol) di mana ahli sejarah bersetuju bahawa antara pemangkin kepada zaman Renaissance ataupun kebangkitan Eropah ialah apabila mereka mengambil manfaat daripada kehebatan Islam.

Seorang Sarjana Kristian bernama Alwar telah menulis pada 293H/854M seperti berikut:

“Pemuda-pemuda kita beragama Kristian dengan segak dan fasih bercakap dengan pakaian dan kenderaan yang cantik serta sopan santun dan terpelajar. Mereka fasih berbahasa Arab dan berminat serta asyik berbincang mengenai buku-buku Chaldeans (Islam) dan mereka memuji-muji dengan bahasa yang indah sehingga buku ini menjadi popular, mereka langsung tidak mengetahui tentang keindahan sastera gereja (Kristian), malahan mereka memandang rendah terhadapnya. Sayang! Orang-orang Kristian sangat jahil tentang undang-undang mereka sendiri. Satu dalam seribu sukar dicari orang yang boleh menulis syair.” (dipetik daripada: Sejarah Bani Umayyah di Andalus, Maruwiah Ahmat)

Demikianlah luahan dan keluhan seorang tokoh besar agama Kristian terhadap sikap pemuda-pemuda Kristian pada zaman keunggulan Islam sehinggakan mereka berpakaian,berbahasa dan mengamalkan budaya Arab Islam. Mereka merupakan ‘pengamal Islam yang menganut Kristian’.

Satu paradoks yang sangat ajaib. Sekiranya satu ketika dahulu umat Kristian teruja dengan kehebatan Islam lantas meniru dan mengambil manfaat segala yang berasal daripada Islam. Kemudian mereka pula merampas ‘piala kemegahan’ yang pernah dirangkul umat Islam. Adapun umat Islam, mereka menjadi merendah diri dengan pencapaian golongan Barat pada hari ini lantas cuba meniru bulat-bulat apa sahaja yang datang daripada Barat meskipun perkara itu berlawanan dengan syariat Islam. Wal hasilnya, umat Islam masih lagi terperangkap dalam penjara kejahilan, kemunduran dan keruntuhan akhlak.

Ada benarnya jawapan Jamaluddin al Afghani sewaktu ditanya mengapakah Barat (Kristian) mengecapi kemegahan sedangkan umat Islam hidup dalam kehinaan:

“Kerana umat Islam telah meninggalkan ajaran-ajaran al Quran dan orang Kristian pula telah meninggalkan ajaran Kristian.”

Ajaran al Quran merupakan wahyu daripada Allah dan sangat cocok dengan dunia dan akhirat. Sementara ajaran Kristian berunsurkan kerahiban dan sangat banyak yang bertentangan dengan hakikat kehidupan di dunia. Sejarah telah menunjukkan bagaimana bergolaknya pemerintahan di Barat apabila pihak gereja mencampur tangan urusan pemerintah sehinggakan akhirnya diputuskan, “berikan kepada pemerintah hak-hak pemerintah dan berikan kepada tuhan hak-hak tuhan.”

Sebaliknya dunia Islam mencatatkan apabila sesebuah kerajaan itu menjadikan al Quran dan hadis nabi saw sebagai sumber utama pemerintahan, nescaya kehebatan dan keunggulan berpihak kepada mereka.

Tafsiran baru untuk Islam?

Apabila ditanya kepada golongan Islam liberal sama ada bolehkah sebuah negara moden menjadikan Islam sebagai system pemerintahan, kebiasaannya mereka akan menjawab: “Mungkin, tetapi Islam harus diberi tafsiran baru yang sesuai dengan konsep-konsep kemodenan. Sayangnya sebahagian orang masih menggunakan pentafsiran abad-abad pertengahan untuk mentafsirkan nas-nas agama.”

Syeikh Muhammad al Ghazali, salah seorang ulama pemikir umat Islam yang terkenal menolak keras jawapan tersebut dan menyatakan bahawa yang sepatutnya dilakukan ialah melakukan tafsiran agama secara tepat beradasarkan al Quran dan sunnah Rasulullah saw. Islam merupakan sebuah agama yang sesuai pada setiap zaman dan tempat, malangnya kedapatan banyak penceramah-penceramah yang membuat tafsiran yang sempit mengenai Islam.

Sebagai contoh, kebanyakan drama akan menggambarkan seorang lelaki Islam yang baik itu berpakaian jubah dan kopiah/serban sambil hidupnya hanya membantu ibu ayah di kampung diselangi menghadiri masjid pada setiap waktu solat. Watak itu tiada salahnya menurut Islam, tetapi sesunggunya Muslim yang baik itu berpakaian menutup aurat (walaupun tanpa jubah dan serban), taat kepada ibu bapa tetapi dalam masa yang sama berjiwa besar (berpelajaran tinggi/mempunyai pekerjaan yang baik) dan boleh mengharungi arus kemodenan dengan baik tanpa melanggar arahan syarak. Tafsiran sempit yang biasa dimainkan oleh pengarah-pengarah drama itu baru satu contoh, kedapatan banyak lagi tafsiran yang sempit ditampilkan oleh mereka yang beragama Islam mengenai Islam hinggakan menyebabkan ‘Muslim moden’ pada hari ini meminta Islam diberi tafsiran baru yang lebih kontemporari.

Bayangkanlah bahawa akan diadakan sebuah pameran kereta-kereta mewah yang dirancang dengan teratur. Dikhabarkan bahawa kereta-kereta yang akan dipamerkan canggih, mewah dan menarik. Semua mata terpaku hendak menyaksikannya dengan penuh kekaguman. Di tengah-tengah kegemuruhan sorakan dan debaran para penonton yang menghadiri pameran tersebut, tiba-tiba yang muncul di arena pameran ialah seekor keldai atau unta, bukannya kereta-kereta canggih dan mewah sebagaimana yang dijanjikan. Akhirnya, para penonton terus memaki hamun binatang tunggangan itu dan mencaci pihak penganjur pameran. Demikianlah antara contoh gambaran hodoh mengenai Islam yang disajikan oleh segelintir pendakwah kolot pada hari ini.

Sebenarnya merekalah antara faktor wujudnya Islam liberal, sindrom tidak percaya terhadap agama dan golongan anti hadis. Islam tidak perlu diberi tafsiran baru, cukup dengan tafsiran sahih dan tepat sebagaimana menurut al Quran, hadis, ijma’ dan qias. Menuntut tafsiran yang baru dan semasa terhadap Islam ialah satu mitos yang sungguh memualkan!

Bersikap adillah, jangan zalimi Islam!

Al Quran ada menceritakan perihal beberapa golongan yang mengejek-ejek kebenaran (al Haq) yang diturunkan oleh Allah SWT kepada para rasul-Nya. Apabila diajak kepada hakikat Islam, terdapat dalam kalangan mereka yang mengatakan bahawa ajaran Islam hanyalah dongengan orang dahulu kala. Sebagai contoh yang terdapat dalam ayat di bawah:

Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Apakah yang diturunkan oleh Tuhan kamu (kepada Nabi Muhammad)?" mereka menjawab: "Cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala". (Mereka dibiarkan menuduh dengan yang demikian) supaya mereka memikul dosa-dosa mereka Dengan sepenuhnya pada hari kiamat, dan juga memikul sebahagian dari dosa orang-orang yang mereka sesatkan dengan tidak berdasarkan pengetahuan yang benar. Sesungguhnya amatlah buruknya dosa-dosa yang mereka lakukan itu. (an Nahl : 24-25)
Sebahagian daripada sifat kumpulan yang menolak hakikat islam ialah dengan mencipta ‘jawapan melepaskan diri’ seperti:

“Ala, zaman sekarang sudah berbeza lah. Aku tak tolak al Quran tapi aku kata al Quran tak sesuai pada alaf baru ni.”

“Perintah memakai hijab hanya ditujukan kepada isteri-isteri nabi, kalau wanita sekarang pun bertudung, macam mana nak maju.”

“Fikrah dan sistem politik yang diajar Muhammad sudahpun usang, sekarang masanya untuk kita mencontohi Barat.”

Jawapan-jawapan sebagaimana di atas merupakan satu bentuk kezaliman yang dicipta oleh segelintir umat Islam dan musuh-musuh Islam. Mereka mengeluarkan kenyataan-kenyataan sedemikian dengan bertuhankan nafsu sebagaimana yang pernah dilakukan oleh kaum para rasul yang terdahulu. Apabila datang kepada mereka kebenaran, mereka tidak menilainya dengan akal yang sihat sebaliknya terus memberikan jawapan seperti menuduh para utusan Allah sebagai ahli sihir, orang gila ataupun si miskin yang mahukan kedudukan semata-mata.

Mengapakah mereka sanggup mencipta keraguan dan persepsi-persepsi yang tidak benar mengenai Islam sedangkan akal sihat yang dimiliki oleh mereka sangat cocok dengan kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah saw. Tidak lain dan tidak bukan disebabkan penyakit sombong dan angkuh yang tersembunyi di dalam hati mereka. Kepada mereka yang sombong dan takabbur, ingatilah ayat Allah ini:

"Masukilah pintu-pintu neraka jahannam kekalah kamu di dalamnya! maka seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur ialah neraka Jahannam". (Ghafir : 76)

Berilah tafsiran yang sahih dan tepat mengenai Islam kerana Islam itu rahmatan lil ‘alamin. Letakkanlah Islam di tempat yang selayaknya (adil) kerana jika tidak anda telah bersekongkol untuk memusuhi Islam. Ketepikan semua mitos, khurafat dan dongengan yang dicipta manusia derhaka. Sekiranya anda sudah tertelan, maka muntahkan khurafat itu wahai umat Islam!

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP