Friday, 11 June 2010

Akal di Kepala Lutut

Salah satu ulama terulung yang sangat dekat di hati saya ialah Syeikh Muhammad al Ghazali (semoga Allah merahmati beliau). Saya pernah diperkenalkan oleh nakib saya yang budiman, Ust Ihsan dengan salah satu buku beliau yang mana tidak silap saya mengenai umat Islam dan tenaga-tenaga yang tidak digunakan. Tapi pada waktu itu saya sedang asyik dalam mengkaji ideologi-ideologi seperti libertarianisme, liberalisme, marxisme, sosialisme dan tokoh-tokoh disebalik tiap-tiap ideologi itu seperti Karl Mark, Mao Tze Dong, John Lock, Adam Smith dan lain-lain. Justeru, cadangan buku daripada nakib saya itu tidak diambil berat oleh saya pada waktu itu.

Pada awal tahun ini (atau pun hujung tahun lepas), saya telah meminjam satu buku berkisar tentang pandangan Islam terhadap kapitalisme dan sosialisme di perpustakaan Darul Quran. Buku tulisan Syeikh Muhammad al Ghazali itu memang sangat membuka fikiran saya dan mengasak akal saya untuk banyak berfikir, lebih-lebih lagi apabila saya telah dibekalkan dengan sedikit pengetahuan mengenai kedua-dua mazhab ekonomi itu. Syeikh membuat ulasan dengan merujuk kepada sejarah khasnya selain datang dengan idea yang sangat kritikal terutamanya semasa beliau menceritakan mengenai Abu Dzar ra yang pernah dilabel sebagai ‘ala-ala komunis’. Begitu juga apabila syeikh memberi pandangan yang seakan-akan menyebelahi sosialisme sehingga beliau digelar sebagai pencetus kepada istilah sosialisme Islam sedangkan berkali-kali Syeikh Muhammad al Ghazali menafikan bahawa beliau seorang sosialis. Banyak lagi idea-idea menarik yang dibawa oleh Syeikh dalam buku tersebut.

Malas berfikir

Seterusnya, sewaktu sedang mencari buku di beberapa kedai, akhirnya hati saya terpaut dengan satu buku yang bertajuk ‘Warisan Pemikiran Islam’ yang juga merupakan antara tulisan Syeikh Muhammad al Ghazali. Buku tersebut merupakan jawapan kepada permintaan daripada Dr Taha Jabir Alwani, iaitu pengerusi Institut Pemikiran Islam Antarabangsa. Saya sangat asyik membaca buku tersebut dan saya mendapati Syeikh sangat kritikal dalam memberikan satu-satu respon dan pandangan. Malahan, kedapatan berulang kali Syeikh mengkritik golongan pendakwah dan ulama yang bermusuh dengan akal. Syeikh sangat berani dalam setiap kenyataan dan buah fikiran hinggakan menyebabkan beliau dikecam oleh ulama dan pendakwah yang ortodoks. Namun, keasyikan saya membaca buku itu telah menyebabkan saya tertinggalnya dalam sebuah teksi baru-baru ini, hanya berbaki beberapa puluh muka surat sahaja untuk ditamatkan buku itu.

Saya mengesan satu mesej besar yang dibawa oleh Syeikh Muhammad al Ghazali dalam tulisan beliau iaitu umat Islam mestilah rajin berfikir dan bersedia untuk datang dengan idea yang baharu dan berbeza dengan arus perdana. Asal sahaja buah fikiran itu tidak terkeluar dari orbit agama. Perbuatan ikut-ikutan apa yang telah dilakukan oleh orang terdahulu telah menyebabkan Islam yang kita bawa pada hari ini berwajah tua dan buruk. Walhal Islam itu selamanya cantik, indah dan menyamankan. Hal tersebut berlaku disebabkan tahap penggunaan akal yang sangat rendah dalam kalangan segelintir pendakwah Islam pada hari ini. Sangat jauh berbeza jika dibandingkan dengan peringatan al Quran yang menggalakkan kita menggunakan akal dan berfikir.

Pada hemat saya, salah satu sebab utama mengapa sesetengah pihak seperti ulama,pendakwah, pimpinan persatuan dan mahasiswa sangat berpenyakit dalam berfikir ialah kerana perasaan selesa dengan zon dan status yang dimiliki. Bagi sesetengah ulama dan pendakwah, sikap takut bertanya oleh sebahagian orang awam sangat digemarinya dan jika ada yang bertanya mereka menjawab sekadar-sekadar sahaja. Bagi sesetengah pimpinan pula, salah satu ‘senjata termahal’ dalam menyekat akal orang bawahan ialah ‘jangan banyak bertanya’ dan wala yang disalah ertikan. Saya sungguh terkilan dengan fenomena sebegini dalam era pembangunan akal dan kesedaran umat masa ini.

Mereka malas menggunakan akal, lalu mereka menuduh orang yang banyak menggunakan akal itu sebagai ‘neo-muktazilah’. Saya melihat, ini senjata yang dicipta dengan menggunakan plastik-plastik di tepi jalan sahaja. Bukannya silap muktazilah itu mereka menggunakan akal, tetapi kesilapan besar mereka ialah al Quran dan hadis dikesampingkan oleh akal mereka. Islam tidak melarang penggunaan akal, bahkan Syeikh Muhammad al Ghazali menyatakan sesebuah hadis yang sangat tidak masuk akal tidak akan diterima walaupun hadis tersebut mempunyai sanad yang baik (kecuali dalam kes-kes tertentu). Boleh jadi, sikap kita yang selalu mengulang-ulang bahawa kesilapan golongan muktazilah ialah mereka terlalu menggunakan akal menyebabkan sebahagian daripada kita sangat kurang mengambil manfaat akal. Adapun kita sepatutnya mengutamakan nas-nas yang qat’ie dan sahih tanpa membakul sampahkan akal.

Orang yang malas berfikir juga akan memberi ancaman kepada sesiapa yang sangat meminati bahan bacaan. Kata mereka, membaca tanpa guru itu akan disesatkan syaitan. Mereka malas membaca, lalu mereka mengancam orang lain dari membaca. Saya berpandangan, kita mesti memperkaya bahan bacaan kita, namun kita mesti sentiasa mengadakan perbincangan untuk menjawab beberapa persoalan yang kurang difahami. Bukannya mengambil jalan mudah dengan tidak membaca.

Membunuh Intelektual

Saya pernah menghantar mesej kepada beberapa rakan saya dengan perkataan-perkataan berikut:

“Perbuatan membunuh intelektual ialah satu jenayah tercela. Aku lebih rela dicederakan jasad daripada dicederakan minda dengan wewenang. Biarkan minda berlari ke arah mana yang dimahukannya, asal sahaja ia masih dalam orbit agama. Ingatlah, jasad akan mereput tetapi intelektual tetap hidup sampai bila-bila..” (MarBu)

Ya, saya sangat tidak suka dengan sikap malas berfikir, lalu orang yang malas berfikir itu pula melarang orang lain daripada berfikir dan datang dengan idea-idea baru. Aduhai, mazhab apakah yang dipegangi oleh manusia begini?

Mengenai perbuatan membunuh intelektual, hal ini berpunca daripada pemikiran tertutup dan ortodoks yang dimiliki oleh sesetengah manusia (termasuk juga yang bergelar ilmuan). Mereka sangat pasif dan pengecut untuk membawa idea-idea baru dan menerima bulat-bulat setiap ajaran yang diberikan oleh guru-guru mereka. Kalau mereka mempunyai kuasa, maka pandangan intelektual dari sudut lain akan dihalang daripada menjejaki kawasan mereka, sebagaimana JAIS melakukannya terhadap Dr Asri dan rakan-rakannya sebelum ini. Kalau mereka telah berusia, maka mereka akan menyindir orang muda yang bersemangat dengan idea baru seperti: “kamu masih muda, pengalaman kurang lagi”. Saya pernah berkata kepada salah seorang rakan saya sebagai menolak sinikal ini: “saya dan mereka tidak banyak beza, cumanya saya lahir lewat sedikit daripada mereka!”

Intelektual mahu dibunuh dengan menyekat seseorang daripada berfikir, sungguh cetek minda mereka yang berfikiran sebegini. Bagaimana mungkin akal itu boleh dicederakan sedangkan akal itu sudah dicipta oleh tuhan tidak seperti anggota-anggota badan yang lain yang terdedah kepada kesakitan dan seksaan.

Kalau kita fikirkan, sekiranya perbuatan membunuh intelektual ini telah beroperasi secara agresif pada satu ketika dahulu, sudah tentu aktiviti ilmu menjadi sangat lembap dan lemah. Namun, kebijaksanaan para alim ulama terdahulu dan sifat berlapang dada mereka menyebabkan khazanah ilmu umat Islam sangat maju dan pesat. Tiba-tiba, kedapatan sesetengah manusia yang mahu memusing jarum jam ke belakang menerusi perbuatan membunuh intelektual.

Di kampus-kampus, perbuatan membunuh intelektual ini berlaku dengan menggunakan alat sembelihan bernama system peperiksaan. Alat yang asalnya boleh menjadi kayu ukur kualiti pencapaian pelajar akhirnya bertukar menjadi matlamat utama. Akibatnya, kelahiran banyak penghafal-penghafal nota peperiksaan, pelajar-pelajar yang malas membaca buku selain daripada silibus dan robot-robot yang tertutup mindanya. Yang paling parah ialah apabila para pelajar tiada kesedaran untuk mengamalkan dan memperjuangkan Islam, bahkan mereka sendiri masih belum faham apakah itu Islam sebagai satu cara hidup.

Sistem peperiksaan ini makin mengganas apabila mendapat sokongan dan dokongan para pengajar sendiri. Mereka sering memperingatkan anak murid mereka dengan keputusan-keputusan peperiksaan tetapi mereka sangat jarang menyentuh soal kefahaman beragama, akhlak dan beramal untuk Islam.

Islam liberal dan Ijtihad

Penganut islam liberal antara ancaman terbesar umat Islam pada hari ini. Mereka telah menimbulkan banyak soalan yang mengelirukan akidah dan keimanan umat Islam. Isu kewanitaan, kekeluargaan, azab kubur dan sebagainya dilontar ke tengah-tengah masyarakat dengan membawa hujah-hujah daripada ahli-ahli agama dari Barat dan mengesampingkan para alim ulama Islam.

Nasr Abu Zayd pernah menyatakan dengan penuh kebanggaan bahawa hermeneutika yang diperjuangkan oleh mereka merupakan satu ijtihad baru. Begitu juga Muhammad Arkoun yang sangat berbangga dengan diri sendiri apabila beliau mendatangkan dakwaan bahawa tindakan rekonstruksi terhadap hukum-hakam dalam Islam merupakan salah satu kejayaan akal mereka. Maka layaklah golongan ini digelar sesat dan menyesatkan lantaran mengesampingkan nas-nas qat’ie dan sahih.

Saya tidak mahu bercerita panjang mengenai Islam liberal kerana anda semua sudah sedia maklum mengenai kesesatan dan masalah akidah mereka. Namun, saya ingin membawa diri anda ke alam mereka sebentar. Apabila saya membaca karangan-karangan mereka, saya akan mendapati bahawa kebanyakan daripada mereka amat kaya bahan bacaan selain sangat berdisiplin dalam aktiviti ilmu. Mereka rajin berseminar, berdiskusi dan membuat penulisan-penulisan sebagai luahan fakta dan akal. Sebagai contoh, apabila saya membaca Memoir Kassim Ahmad, iaitu salah seorang pejuang anti-hadis di tanah air kita, maka saya mendapati bahawa beliau sangat rajin melakukan riadah akal. Beliau menceritakan, waktu antara 1.30 pagi sehingga pukul 6.00 pagi merupakan masa khas untuk beliau menulis dan berfikir. Tetapi, saya tidak pasti apa yang sedang dilakukan oleh ‘pak-pak lebai’ kita pada waktu itu. Begitu juga pada masa-masa lapang yang lain.

Tidak terkecuali apabila saya membaca tulisan Zainah Anwar yang sangat dikenali dengan gerakan Sister In Islam (SIS). Tulisan beliau menggambarkan bahawa ‘srikandi Islam liberal’ ini rajin menganalisis data-data dan sentiasa bercakap dengan fakta. Lihat sahaja artikel beliau dalam The Star edisi Ahad baru-baru ini, semasa beliau membicarakan isu perkahwinan pada usia kanak-kanak. Kemudian saya bertanya lagi kepada diri saya, mengapakah ustaz-ustaz kita pada hari ini sangat jauh dengan data-data dan statistic-statistik? Mereka lebih utamakan cerita-cerita kosong di warung-warung berbanding fakta-fakta yang benar dan tepat.

Mereka berbangga dengan akal mereka, walhal kesilapan terbesar mereka ialah apabila mereka menjadikan al Quran dan hadis nabi saw sebagai rujukan ‘ke-99’ berbanding kata-kata ahli-ahli falsafah Barat dan pemesong-pemesong agama yang lain. Adapun umat Islam, sangat lemah dalam memobilasi akal. Tidakkah konsep ijtihad itu satu tanda bahawa umat Islam diajar untuk menggunakan akal dengan baik? Maksud saya, bukannya ijtihad dalam persoalan hukum syarak kerana ijtihad sebegitu sangat tinggi disiplin ilmu yang mesti dimiliki. Ijtihad yang saya maksudkan ialah keberanian menggunakan akal pada tempat yang selayaknya. Sebagai seorang ulama, pendakwah, pemimpin dan sebagainya. Barulah umat ini akan menjadi satu kumpulan yang berkualiti.

Akhirnya saya menutup tulisan saya ini dengan membuat kesimpulan bahawa selama ini kedapatan banyak umat Islam yang menzalimi akal mereka. Akal yang sepatutnya diletakkan di bahagian kepala telah ditukar ke kepala lutut. Maka, buah fikiran mereka hanya setakat kepala lutut sahaja. Barangkali begitu.

6 comments:

hasanhusaini 11 June 2010 at 22:43  

Islam dan tenaga yang terbiar http://www.hasanhusaini.com/2009/06/islam-dan-tenaga-yang-terbiar.html
buku kecil ini banyak membuka ruang vakum di minda ana yang sebelum ini tertutup dengan 'mushaf' yang wajib dijaga. Akhirnya, seluruh jasad terbiar dan reput tanpa mampu berbuat apa-apa untuk agama malah umat manusia...Buku ringan itu, kalau dibaca oleh peminat buku-buku berat seperti nta, pastinya akan menghasilkan gabungan idea yang bagus.

P/S : Syukran, buku bapak natsir dah sampai...

kamal 12 June 2010 at 08:18  

sungguh banyak ilmu tuan kerana pandai tulis post yg begitu panjang.

Marwan Bukhari 12 June 2010 at 11:18  

to abg ihsan : mungkin nada tulisan ni nampak lantang n kritikal ckit.. ana xda bace buku2 berat sgt pun... sekadar2 jer... banyak lagi nak kena belajar... malu dengan semua.. artikel ni dihasil utk 'shoot' status quo pihak tertentu.. supaya mereka berfikir..


to kamal : sy menganggap kata2 anda itu sebagai cabaran... tq

Nasionalis Bertauhid 16 June 2010 at 09:10  

Kita masih ada diskusi yang belum selesai... Bila nak datang Gombak, bagitahu..

Fakeh 24 June 2010 at 04:25  

KAJIAN SEMASA MENGENAI PERKEMBANGAN WAHABBI DI MALAYSIA, sila google tajuk-tajuk seperti di bawah ini:-

(a) http://www.mediafire.com/?ne2dmyeinzo
(b) Jaringan Wahabbi Sdn Bhd
(c) Jom Kenali Dr Maza & Co
(d) Ahlul Bait Yang Dicerca
(e) Tok Ayah Zid Kedai Lalat
(f) Kuasa Tiang Kepada Cita-cita
(g) 40 Mutiara Hikmat Serambi Mekah

Anonymous,  18 November 2010 at 13:22  

salam sdra

janganlah mudah terpedaya dgn sikap2 mereka yg berpendirian liberal yg banyak membawa hujjah dan penyelidikan. itulah cara mereka utk menghalalkan pandangan mereka. itulah juga kaedah yg digunakan oleh sesetengah bijak pandai masa kini. Mereka menyamaratakan org biasa dgn para akademik dgn tujuan utk mengelirukan. mrk longgokkan fakta-fakta dan macm2 'bukti' utk dilihat sbg intelektual dan diterima kewibawaan mrk. Realitinya, pemikiran mereka dangkal, tdk mendalami. Tanpa bukti2 sokongan begitu, sesuai utk bakul sampah saja.
Hanya org2 yg kurang cerdik yg mudah termakan dan terkeliru.

Bezanya dgn pemikiran yg jernih dan dari hati yg dipimpin oleh Allah, bila berkata sedikit cepat diresap di hati oleh mereka yg hatinya bersih juga. Kata-kata mereka ibarat air hujan yg turun membasahi bumi yg gersang, sehingga setiap butiran ibarat mutiara yg begitu didambakan oleh qalbu yg mengenal sumbernya. Mereka tdk perlu mengeluarkan mcm2 hujjah, statistik dan analisa data2.

Jgnlah kita menyamakan ilmuan2 kita yg benar dgn mereka. Walaupun tdk dinafikan adanya sikap2 begini, iaitu kemalasan berfikir, keenggan merenung dan mengkaji dikalangan orng kita.

Yg haq itu jelas dan yang bathil juga jelas. Hanya orng yg tertutup mata hatinya yg tdk dapat membezakan dan mudah tertipu dgn pameran zahir saja.

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP