Monday, 28 June 2010

Urus Masjid: Orang lama, izinkan orang muda tumpang lalu

Dalam memastikan perkembangan umat Islam sentiasa berada dalam tahap positif dan terbaik, terdapat beberapa lapangan yang mesti dikuasai dan dipimpin oleh umat Islam secara cermat dan progresif. Antaranya ialah pengurusan politik kenegaraan, ekonomi dan pendidikan. Contoh-contoh tersebut telah disepakati oleh para pemikir umat Islam yang bijaksana sejak dahulu hingga kini. Bahkan, sejarah telah membuktikan bahawa betapa pentingnya umat Islam mengatur urusan-urusan tersebut dengan baik dan menurut sebagaimana yang diajarkan oleh syarak selain dengan nasihat akal yang sihat.

Anda boleh melihat bukti perenggan yang saya tulis di atas menerusi banyak tulisan-tulisan alim ulama dan para pemimpin umat Islam. Adapun artikel saya pada kali ini ingin melontarkan idea pengurusan dalam skala yang lebih kecil iaitu pengurusan masjid. Hal ini demikian kerana saya melihat masjid merupakan satu platform yang wajib dimanfaatkan secara optimum oleh umat Islam, bukannya sebagaimana yang berlaku terhadap sesetengah masjid pada hari ini. Bersahaja, dhaif dan diurus secara sambil lewa. (saya tidak memukul rata semua masjid)

Saya perasan, salah satu sebab utama terjadinya kelembapan pergerakan masjid ialah apabila masjid diatur oleh mereka yang berpandangan “cukup dah ni” dan “asalkan kita (kumpulan Islam) yang pegang, dah ok”.

Pandangan mereka, cukuplah masjid itu dimakmurkan dengan solat secara berjemaah lima waktu, mempunyai imam, siak dan jawatankuasa tertentu. Sebagai tambahan, diadakan kuliah maghrib tiga hingga lima kali dalam seminggu di samping khutbah Jumaat yang diambil kesempatan untuk dikutip derma. Tugas bendahari masjid pula untuk membilang kewangan terkini, berapa keluar dan berapa pula yang masuk manakala setiausaha pula menulis surat sahaja.

Hasilnya sebagaimana yang kita sedia maklum pada hari ini iaitu masjid hanya diziarahi orang-orang tua yang sudah pencen, ada dua tiga kerat orang muda dan pada bulan Ramadhan bertambah dalam lingkungan tiga hingga empat saf.

Ada kala saya terfikir, mengapa seseorang muslim yang celik pengetahuannya dalam bidang teknologi tetapi apabila berada di dalam masjid, beliau gagal memanfaatkan kemudahan teknologi yang dikuasai. Sebabnya, masjid tidak menyediakan laptop dan kemudahan LCD. Begitu juga seseorang ahli politik muslim yang berkemahiran dalam ilmu pengurusan tetapi apabila berada dalam masjid, hanya ‘pasrah’ dengan pengurusan masjid yang sangat mengecewakan. Begitu juga seorang penghibur muslim, hanya duduk bersimpuh di dalam masjid menanti apa lagi aktiviti dalam masjid yang boleh diikuti sedangkan dia berkemahiran dalam seni hiburan. Ketiga-tiga golongan terbabit seolah-olah tersekat mindanya apabila berada dalam masjid. Mengapa begitu?

Saya melihat, silapnya apabila orang yang menguruskan masjid bukan dalam kalangan mereka yang terlatih sebaliknya ‘dikutip’ dari kalangan orang (terutamanya yang berusia) yang mempunyai kelapangan masa yang lebih walaupun tiada pengalaman dalam sebarang aktiviti pengurusan. Ataupun diambil dari kalangan ustaz-ustaz dan orang agama memandangkan barang yang hendak diuruskan itu bergelar masjid, maka kumpulan professional hanya menjadi makmum sahaja layaknya. Barangkali begitu.

Boleh jadi juga disebabkan golongan veteran yang menguasai jawatankuasa masjid, maka hanya kumpulan yang digelar ‘saluran satu’ ini yang memakmurkan masjid. Kebiasaannya, golongan veteran akan tampil dengan idea-idea dan pengisian yang tidak selari dengan kehendak semasa pada hari ini. Bukankah dalam ilmu kepemimpinan, rakyat yang dipimpin itu akan dipengaruhi corak pemikiran dan gaya hidup para pemimpinnya? Sudah tentu teori ini juga sangat dekat dengan topik yang kita sedang bincangkan ini.

Saya tidak pasti hal ini berlaku disebabkan ‘kedegilan’ orang-orang veteran untuk menguruskan masjid ataupun dek kerana sikap orang muda yang malas berbakti di masjid-masjid. Begitu juga dengan para pimpinan mahasiswa yang saya tak pasti sejauh mana mereka menguasai jawatankuasa masjid sedangkan mereka sudah dibekalkan dengan ilmu pengurusan yang baik sepanjang di alam kampus. Agak-agaknya, di manakah mereka ya?

Mengenai kumpulan professional, saya membayangkan betapa gahnya sesebuah institusi masjid sekiranya seseorang itu diletakkan mengikut posisi yang bersesuaian. Bukan saya tidak percaya kepada orang agama, cuma saya berpandangan sesebuah masjid yang diuruskan oleh beberapa ‘kepala’ yang berbeza akan ’meletup’. Orang agama (bukan semua), ada yang tidak nampak apa yang difikirkan oleh golongan professional dan begitu juga sebaliknya.

Unit-unit yang semasa perlu ditubuh dan dimantapkan seperti unit teknologi dan maklumat (ICT) dan unit remaja dan orang muda. Sebagai contoh, unit ICT akan membuat tayangan di masjid, termasuk teater sebagaimana yang telah dilakukan di Masjid Batu (Parlimen Tian Chua) ataupun program malam pementasan puisi . Risalah-risalah masjid juga dikeluarkan secara berkala. Unit ini juga boleh bekerjasama dengan unit remaja dan orang muda untuk melaksanakan konsert dan program hiburan Islam yang lain pada waktu-waktu tertentu. Kalau ini berlaku, pada hemat saya ini petanda bahawa institusi masjid mula ‘rujuk’ dengan golongan muda setelah sekian lama kelihatan seolah-olah ‘bertalaq’.

Bendahari masjid pula akan bekerjasama dengan unit ekonomi untuk mengembangkan dana masjid. Kalau sesebuah masjid yang besar dan mempunyai kuasa ekonomi yang ampuh, bendahari boleh menggalakkan sistem wakaf untuk memantapkan ekonomi masjid. Ini realiti dan telah berlaku di beberapa masjid, cumanya kesilapan berlaku apabila ramai yang masih belum memahami konsep wakaf dalam membangunkan ekonomi umat Islam. Pada hari Jumaat pula, unit ekonomi boleh mewujudkan beberapa gerai selepas solat Jumaat untuk membuat jualan minuman, makanan dan apa-apa yang dirasakan sesuai. Cadangan ini mungkin lebih sesuai di negeri-negeri yang mana hari Jumaat merupakan hari bekerja. InsyaAllah akan membuahkan hasil yang lumayan untuk pergerakan masjid. (lebih-lebih lagi apabila Tuan guru Nik Aziz mencadangkan muslimat untuk turut ke masjid bersolat Jumaat. hehe)

Setiap kali saya berhenti di mana-mana masjid semasa dalam apa-apa perjalanan, saya akan melihat aktiviti-aktiviti di masjid tersebut dan senarai jawatankuasanya. Saya perasan beberapa masjid terutamanya di sekitar Kuala Lumpur yang diuruskan oleh orang muda dan gabungan antara professional dan agamawan menggambarkan pergerakan masjid yang aktif dan dinamik. Kuliah yang hidup dan aktiviti-aktiviti lain yang sangat baik. Manakala apabila saya pergi ke beberapa masjid yang diuruskan oleh orang lama, kelihatan masjid itu biasa-biasa sahaja. Lantas saya terfikir sejenak dan berkata dalam hati: “kepada orang tua yang dihormati, orang muda meminta izin untuk lalu.” Yang pasti, saya berkata sedemikian bukan bermaksud untuk melupakan hikmah dan pengalaman orang lama.

1 comments:

muslimterbaik 2 July 2010 at 13:46  

ASSALAMUALAIKUM..
sekadar pndangan,cdangn yg bagus di atkel ni,iaitu glongan muda bekrjasama dngn glongan tua,tp apa yg ana lihat skarg glongan muda yg trlalu sibuk,tambah2 di kalangan mahasiswa,dah la, masa bergelar mahasiswa pun jarang ke masjid, selepas tamat study pulak, mula fikir utk kerja,pastu tiba2 kena posting di ngri orang,bila la orng muda akn menggantikan org tua?bila la orang muda akan dpt pegang unit masjid?tp tak lupa jgk pd glongan muda yg belajar sistem pondok. mgkin diorang dpat bekerjasama dgn glongan tua,tp masih tak ckup lagi,msjid d mlaysia bmyak.

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP