Wednesday, 21 July 2010

Mengenai Aktivisme: Pesanan ikhlas daripada saya

Baru-baru ini, saya berkesempatan berkenalan dengan salah satu warisan terbesar oleh seorang ahli tasawuf yang masyhur, Syeikh al Imam Tajuddin Ahmad bin Muhammad bin Abdul Karim bin Athaillah as Sakandary. Warisan tersebut merupakan magnum opus beliau iaitu al Hikam yang memuatkan kata-kata hikmah yang diluahkan daripada hati yang tulus mulus dan suci. Saya sangat berhati-hati apabila membaca dan mengikuti perkembangan ilmu tasawuf, lantaran tidak sedikit kumpulan ini yang terperangkap dengan belitan Iblis lantas menjadi melampau atas nama tasawuf, nauzubillah.

Antara ulama yang telah mensyarahkan kitab ini ialah Ibnu Ajibah (terkenal dengan syarahannya ‘Iqaz al Himam), Syeikh Ahmad Zarruq, Syeikh Said Ramadhan al Bouti, Syeikh Abdul Halim Mahmud dan banyak lagi para ulama lain. Saya mendapati, ‘guru’ saya Syeikh Muhamad al Ghazali juga mengambil iktibar dan penghayatan daripada kitab al Hikam sebagaimana yang beliau akui dalam tulisan beliau.

Saya berpeluang membaca syarahan kitab al Hikam yang ditulis oleh Dr Zulkifli al Bakri dan saya sangat menyenangi syarahan beliau lantaran kejujurannya dalam membuat syarahan. Beliau tidak segan silu mengambil pandangan para ulama muktabar yang agak keras dalam memberikan pandangan mengenai tasawuf seperti Syeikh Ibnu Uthaimin (guru beliau sewaktu sedang belajar di Madinah) dan Syeikh Nasiruddin al Albani yang dikenali sangat kontroversi dalam kalangan ulama. Dr Zulkifli al bakri sangat terbuka dan jujur dalam membuat penilaian, lantas saya membaca syarahan al Hikam tulisan beliau dengan rasa tenang dan thiqah terhadap penulisnya.

Sewaktu sedang berbicara dengan sahabat saya, saya mengatakan kepadanya bahawa kesibukan kita dalam melakukan gerak kerja Islam sangat menuntut kita untuk menjadikan ilmu-ilmu penyucian hati sebagai rakan karib. Begitu juga dengan ilmu-ilmu yang lain, mestilah berjalan selari dengan aktivisme supaya intelektualisme tidak kelihatan dibelakangi kerana kelak akan merugikan. Ya, sangat merugikan.

Sahabat saya dari Institut Pendidikan dan Pemikiran Islam Nasional (IPPIN) yang juga Pengerusi IPPIN, Saudara Naqiuddin sudah berulang kali terpaksa dikecewakan pelawaannya untuk menghadiri mesyuarat, diskusi dan seminar lantaran kesibukan di kampus. Boleh sahaja kalau saya tinggalkan semua kerja saya dan pergi menghadiri diskusi bersama Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM) sebagaimana pelawaan beliau tempoh hari, tapi tindakan saya itu pastinya sangat bebal dan akan menyusahkan banyak pihak. Begitu juga sewaktu pertemuan antara pimpinan IPPIN dan pimpinan Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI) beberapa minggu yang lepas, saya terpaksa lepaskan peluang bertemu mata membincangkan isu pendidikan Islam dengan hati yang sangat berat, semuanya kerana saya mempunyai tugas besar, melaksanakan iqrar dan janji saya dalam beraktivisme. Banyak lagi babak-babak yang barangkali agak mengecewakan hati para pimpinan IPPIN khususnya saudara Naqiuddin sepanjang saya berkecimpung bersama IPPIN.

Saudara Wan Fayshal yang sedang aktif bersama Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) juga terpaksa saya kecewakan berulang kali. Semuanya kerana aktivisme yang sangat padat. Beliau yang saya anggap sebagai guru saya (walaupun banyak perkara yang saya tidak sependapat dengan beliau) sangat tegar dengan intelektualisme dan saya mendoakan semoga beliau bakal menjadi salah seorang ilmuan beramanah dalam negara kita satu hari nanti. Tidak ketinggalan, abang Syazreen yang pernah mengajak saya untuk berdiskusi bersama Prof. Dr Wan Mohd Nor di rumah Prof, juga terpaksa saya hampakan pelawaan beliau.

Inilah dunia aktivisme, yang tidak pernah menipu dan sangat mendambakan keyakinan dan kesungguhan dalam melakukan gerak kerja. Tapi sayang, seringkali kedapatan banyak yang beraktivisme tapi gagal dalam intelektulisme. Dunia aktivisme merupakan lapangan untuk kita membuktikan iman dan ilmu yang dipelajari, tapi jangan kita alpa bahawa meminggirkan intelektualisme merupakan satu tindakan yang hanya memakan diri dan menunjukkan akal kita sedang kronik kerana gagal berfikir jauh ke hadapan.

Khabarnya, pada hujung minggu ini akan diadakan satu seminar di Institut al Qayyim (IQ) yang terletak di Bukit Mertajam dan saya telah dijemput untuk bersama-sama mengutip mutiara berharga daripada para ilmuan Islam yang amanah, namun sekali lagi saya terpaksa mohon maaf lantaran saya merupakan aktivis. Aktivis Islam dan umat.

Pesanan saya, jangan sampai intelektualisme kita tumpul disebabkan gerak kerja yang sangat padat dan rencam. Kerana Ibnu Sina yang pernah menjawat jawatan sebagai menteri melazimi diri beliau dengan menulis sekurang-kurangnya 250 muka surat sehari. Para khalifah umat Islam dahulu kala yang pastinya sangat sibuk dengan urusan pentadbiran pula sentiasa menghadiri majlis bersama alim ulama pada zaman mereka. Ibnu Taimiah yang dikenali sangat alim tidak meminggirkan intelektualisme meskipun beliau aktif menyeru umat Islam dalam aktivisme sebagaimana qudwah yang ditonjolkan beliau sewaktu dalam peperangan menentang tentera Monggol pada satu ketika.

Saya berpesan lagi, jangan kita hanya sibuk untuk berdiskusi isu-isu yang ‘hangat dalam pentas politik’ sahaja seperti hanya berdiskusi isu judi, APCO dan isu-isu politik yang lain. Saya pernah berkata kepada teman seperjuangan saya sewaktu menghadiri seminar Gerakan Islam dan Cabaran Demokrasi anjuran GAMIS kira-kira dua bulan yang lepas bahawa saya tidak berbangga dengan kehadiran yang ramai ke seminar tersebut kerana sememangnya mereka meminati perbincangan tentang isu politik, tapi sangat nipis kemahuan mereka dalam isu-isu yang lebih bernilai intelektualisme yang lain. Saya tidak mengatakan seminar itu tidak baik, cuma kehadiran yang ramai ke seminar itu bukan ukuran yang sebenarnya.

Banyak lagi isi yang saya mahu hidangkan kepada anda semua, tapi tiada gunanya jika isi hanya tinggal isi. Terimalah mesej besar yang saya ingin sampaikan, iaitu jangan pinggirkan intelektualisme dan budaya ilmu dalam kesibukan melakukan gerak kerja. Tolong sampaikan kepada semua pendokong perjuangan Islam, katakan bahawa pesanan itu merupakan wasiat daripada saya yang diwarisi daripada para pendokong kebenaran dahulu kala. Ya, ikhlas dan jujur daripada saya.

2 comments:

Hasbi 21 July 2010 at 17:54  

Dah lama tak mencerna buku2 berat.. Komitmen pada studi perlu lebih diutamakan..

Teringat kata-kata seorang pensyarah,
"Untuk jadi pakar dalam sesuatu bidang, kaji dari bawah, dari asas, bukan sekadar mendengar huraian isu-isu; akibatnya akan berlaku proses penghukuman..Berat sebelah dalam justifikasi.."

Intelektual; mungkin ramai menganggap teorikal. Tapi, tanpa asas intelektual, praktikal langsung tak berguna..

nahwal_imtiyaz 27 July 2010 at 09:30  

artikel ini bias terhadap aktivisme berbanding golongan fanatik intelektualisme..sekadar luahan yg juga mendokong intelektualisme

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP