Saturday, 31 July 2010

Timbunan Mayat Pada Hari Konvo

Hari ini merupakan hari keramat buat graduan baru Darul Quran, kerana pada hari ini mereka berada dalam majlis besar, iaitu Majlis Konvokesyen Darul Quran. Saya ada bertanya kepada seorang senior yang turut berkonvo pada hari ini mengenai perasaan beliau dan beliau tersenyum seraya menyatakan rasa bahagia dalam hatinya.

Saya ucapkan tahniah kepada semua senior yang berkonvo pada hari ini, ucapan tahniah ini juga disampaikan kepada semua sahabat saya yang turut berkonvo di kampus-kampus lain sekita sebulan dua ini. Tetapi, jujurnya benak saya sedang kerunsingan memikirkan kenyataan yang hakiki, berbanding harapan yang masih menjadi imaginasi.

Kenyataan yang hakiki, harapan yang imaginasi

Saya tahu dan yakin bahawa sekitar tiga hari ini Darul Quran sedang dalam kegembiraan kerana berjaya melahirkan graduan baju. Barangkali begitu juga perasaan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Pada kali ini, saya ingin meluahkan kembali satu perasaan yang pernah dialunkan oleh tokoh pemikir Islam yang dikenali ramai, Abul A’la al Maududi.

Hayatilah kata-kata daripada Abul A’la al Maududi yang sungguh menusuk ke hati sewaktu beliau menghadiri satu majlis meraikan pelajar yang sudah tamat pengajian di sebuah universiti:

"Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat dimana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus terang kepada kamu pada saat ini.

Walau bagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik in, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.

Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti sesorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat disini."


Siapakah Abul A’la al Maududi dan mengapakah beliau berkata sedemikian? Abul A’la al Maududi bukanlah sebarangan manusia, beliau seorang tokoh yang sangat berjasa terhadap umat Islam di samping sangat digeruni oleh musuh umat Islam. Tulisan-tulisan beliau sudah menggegarkan pihak penguasa sewaktu beliau masih berusia 16 tahun. Dikatakan bahawa beliaulah tokoh umat Islam yang terawal menggagaskan sistem ekonomi Islam ketika mana umat manusia seluruh dunia sedang galak dengan sistem ekonomi kapitalisme dan sosialisme (sekitar 1930 hingga 1940-an). Beliau berkata setelah meneliti secara mendalam bahawa system peperiksaan itu akan menipu daya sesiapa yang tidak berhati-hati dan warak.

Apakah yang dimaksudkan dengan sijil kematian? Dipercayai al Maududi berkata sedemikian lantaran kebanyakan mahasiswa di kampus-kampus telah kematian idealisme, intelektualisme dan sangat tipis kesedaran mereka untuk berbakti terhadap agama. Pendek kata, tanpa disedari hayat mahasiswa di kampus merupakan proses penyembelihan akal dan deria agama. Mereka disibukkan dengan silibus, sehingga mereka gagal berfikir perkara-perkara yang di luar orbit silibus. Mereka menolak berpersatuan dan aktiviti kepemimpinan dengan beralasan bahawa kehidupan di kampus hanyalah untuk menggenggam segulung sijil. Anehnya, masa yang banyak terluang dihabiskan untuk berborak kosong, bermain di padang dan melakukan aktiviti-aktiviti lain. Adapun apabila diajak untuk berkhidmat untuk agama dan manusia, mereka akan menjawab: “itu semua melekakan.”

Hentikan penubuhan maahad tahfiz?

Saya berkata kepada rakan-rakan saya bahawa salah satu perkara yang sangat ‘menakjubkan’ ialah semakin bertambah pusat-pusat tahfiz, semakin bertambah masalah umat. Seolah-olah pusat-pusat tahfiz hanya melahirkan buih-buih di lautan sebagaimana yang telah disabdakan oleh nabi saw mengenai peristiwa akhir zaman. Lalu saya menambah bahawa pada waktu ini keutamaan kita ialah untuk menambahkan pusat-pusat yang akan melahirkan mereka yang tajam memahami apa sebenarnya yang dimahukan al Quran dan kita mesti memperbanyak produk yang akan memperjuangkan al Quran. Adapun pusat-pusat tahfiz, hentikan dahulu penubuhannya.

Saya bukan seorang yang masyi (istilah masyhur dalam kalangan penghafal al Quran yang membawa maksud sangat lancar hafazannya) dan sudah tentu kurang berkelayakan untuk berbicara secara agresif persoalan-persoalan ini. Namun begitu saya mengeluarkan cadangan itu setelah melihat dengan apa yang sedang berlaku. Sahabat saya membalas ringkas apabila dilontarkan idea tersebut dengat berkata, “idea itu sangat kritikal.” Ada juga yang menyatakannya sebagai provokasi.

Berbalik mengenai kata-kata al Maududi di atas, kita sudah pasti sangat setuju bahawa impian besar kita untuk menyelamatkan umat masih terawang-awang di kayangan disebabkan kita banyak melahirkan produk yang tidak berkualiti dan hanya menjadi beban terhadap perjuangan agama. Nauzubillahi min dzalik. Cita-cita kita masih sangat jauh dan besar, justeru memerlukan akal yang tajam, jasad yang ringan ( dalam melakukan gerak kerja islam) dan strategi yang mapan. Justeru, kehidupan kita di kampus sepatutnya tidak hanya tertumpu di asrama, kelas dan masjid (bagi yang pergi) sahaja kerana sijil yang akan kita perolehi itu hanya akan menipu manusia ramai. Mereka terpegun dengan kita tetapi kita tak ubah seperti khusyubun musannadah (kayu-kayu yang tersandar di dinding) sebagaimana yang diungkapkan oleh Allah dalam ayat keempat surah al Munafiqun.*

Kesimpulan

Sepanjang kita berada di alam kampus, kenalilah apakah itu alat-alat sembelihan yang wujud supaya kita terselamat daripada kematian. Mati akal, jasad dan deria agama (sensitivity jihad). Andai kata tulisan ini menyinggung hari bahagia anda, saya memohon maaf. Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang berjaya menerima sijil diploma sempena konvokesyen pada kali ini. Saya mengucapkan tahniah yang berganda kepada mereka yang masih selamat daripada kematian. Teliti kembali sijil anda dan renungi berulang kali. Sekian, doakan saya selamat menamatkan pengajian dan mendapat kejayaan yang hakiki dan turut bekonvo pada tahun hadapan.

*Kalimah khusyubun musannadah dalam ayat tersebut bermaksud kayu-kayu yang tersandar di dinding sebagai kiasan bagi hal ehwal pemimpin-pemimpin kaum munafiq dan pengikutnya. Al Kalbi mengatakan, mereka ialah Abdullah bin Ubay, Jadd bin Qays dan Ma’tab bin Qays. Mereka ikut serta majlis Rasulullah saw dalam keadaan bersandar di dinding disamakan dengan kayu-kayu yang tersandar di dinding yang tidak faham dan tidak mengetahui. Ini kerana hati dan fikiran mereka kosong untuk mengambil ilmu yang bermanfaat.

Al Nasafi berkata, tubuh mereka kosong daripada keimanan dan kebaikan dimisalkan dengan kayu-kayu yang tersandar di dinding. Hal ini demikian kerana, kayu-kayu itu apabila ia dimanfaatkan, ia akan dibuat atap atau dinding atau selain daripada kedua-duanya. Selama ia ditinggalkan dan tidak dimanfaatkan, ia akan disandarkan ke dinding. Beginilah kiasan mereka yang tidak dimanfaatkan daripada majlis Rasulullah saw. Wallahua’lam


*terjemahan kata-kata Maududi di atas dipetik daripada Rausyanfikir.com
*tafsiran di atas daripada Kamus al Quran keluaran Syarikat PTS

5 comments:

nadya solahuddin- "mengukir rasa hati disini" 1 August 2010 at 10:50  

naam.."peranan pelajar" oleh almaududi..wajar mahasiswa takluki dan fahami..

Musa Mohamad 2 August 2010 at 15:23  

Itulah kebenaran kata2 Rasulullah s.a.w : Di akhir zaman ramainya Qura`( pembaca/penghafal ) al-Quran & sedikitnya Ulama`.

AnA ImTiYaZ.. 2 August 2010 at 17:29  

hari kelahiran mayat2 graduan..
pasti ada yang menafikan.

namun, inilah realiti graduan masa kini. ana kcilkan lg skop, "graduan hufaz" masa kini..

sampai bila kita kan sedar?

wallahhu a'lam

AnA ImTiYaZ.. 2 August 2010 at 17:30  

hari kelahiran mayat2 graduan..
pasti ada yang menafikan.

namun, inilah realiti graduan masa kini. ana kcilkan lg skop, "graduan hufaz" masa kini..

sampai bila kita kan sedar?

wallahhu a'lam

fatoniyyah 8 August 2010 at 02:31  

قال رسول الله ص

أكثر منافقي أمتي قراءها

na'uzubillah min zaalik.

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP