Thursday, 9 September 2010

Baris-baris sebelum Salam Eid

Saat ini merupakan malam terakhir Ramadhan 1431, terdetik dalam hati dan benak saya untuk mengucapkan sesuatu kepada anda semua, para pembaca laman ringkas ini. Mahu mengucapkan Aidilfitri? Boleh jadi ya, tapi bukan itu matlamat sebenarnya, insyaAllah saya akan ungkapkannya pada baris yang terakhir. Saya sentiasa mahukan kelainan, kerana saya sangat sukakan kelainan dan sesuatu yang unik. Ramai yang mengucapkan 'salam eid', itu biasa sahaja pada perkiraan saya dan saya sangat gemar sekiranya setiap tulisan saya boleh membawa buah fikiran baru untuk anda dan lebih-lebih lagi kepada saya sendiri.

1)

Eidul Fitri bermaksud pulang kepada fitrah. Fitrah manusia itu suci dan mengenali tuhannya, bahkan agama Islam itu sendiri merupakan agama fitrah. Selaku agama fitrah, maka ajaran-ajaran yang termaktub dalam Islam sememangnya boleh diterima dengan baik oleh semua lapisan masyarakat dan sosial, malahan sangat cocok dengan akal yang dianugerahkan kepada kita. Kewajipan penyerahan diri secara mutlak dalam Islam bukanlah bermaksud menjumudkan akal fikiran manusia, sebaliknya sebagai pengiktirafan terhadap kejernihan akal dan kewajaran berfikir.

Maka, kembali kepada fitrah itu juga antara lainnya bermaksud konsisten dengan akal yang sihat demi menjadi umat beragama yang cemerlang. Disebabkan itu, apabila ada yang bertanya kepada saya perihal wajah 'tua' dan 'hodoh' yang dikaitkan dengan agama pada hari ini, saya menjawab ringkas bahawa mereka itu meletakkan akal di kepala lutut. Mereka bukannya golongan Ulul Albab sebagaimana telah dinyatakan oleh Allah dalam banyak ayat dalam al Quran, bahkan mereka merupakan pemilik akal yang lembab. Naudzubillah.

Kita sangat takut untuk menampilkan idea-idea yang lebih segar dan baru, atas alasan menghormati 'pengajaran' golongan terdahulu. Padahal perubahan dalam idea dan buah fikiran itu merupakan perkara semasa dan sentiasa berlaku. Ada juga yang berani berbuat sedemikian tetapi hasratnya tersekat lantaran tiada keberanian untuk mengarus perdanakannya. Justeru, kembalilah kepada akal yang sihat dan fikiran yang matang sempena Eid ini.

2)

Seterusnya, kita mesti kembali kepada kesucian ruh dan jiwa sebagaimana yang menjadi matlamat teras dalam bulan Ramadhan ini. Kita mesti ingat bahawa manusia itu asalnya fitrah yakni putih persis salji, malahan lebih putih dan bersih. Kembali kepada fitrah itu tidak akan dicapai melainkan kita dapat mencapai lailatul qadr. Itu pandangan saya yang dhaif ini.

Kalupun kita gagal mendapatkan lailatul qadr pada bulan Ramadhan dengan beribadah pada malamnya, kita sentiasa terbuka untuk mendapat 'lailatul qadr' walaupun pada hari-hari biasa. Lailatul qadr itu merupakan satu malam yang sangat berkat dan jauh lebih bauk daripada seribu bulan. Maka lailatul qadr yang saya maksudkan ialah saatnya di mana kita dapat kembali kepada-Nya dengan setulusnya lantas menyebabkan hari-hari yang dilalui selepas 'lailatul qadr' itu menjadi lebih baik daripada seribu bulan.

Sepertimana fudhail bin Iyadh yang asalnya seorang pencuri dan kaki perempuan tetapi telah menjadi srorang wali Allah setelah terdengar ayat Allah dalam surah al hadid (ayat ke-16) ketika sedang berjalan pada satu malam. Saat itu ternyata menjadi miilik Fudhail dan sudah tentu ia jauh lebih baik daripada seribu bulan. Begitu juga dengan Saidina Umar al Khattab yang telah menemui 'lailatul qadr' tatkala sedang dalam perjalanan untuk membunuh nabi saw. Beliau merangkul erat satu malam yang jauh lebih baik daripada seribu bulan di rumah adiknya, Fatimah setelah mendengar beberapa ayat daripada surah Taha. Datang dengan penuh kebengisan, tapi akhirnya berjaya memperoleh satu malam yang sangat gilang gemilang, menjadikan seluruh hidup Umar selepas itu sangat hebat. Bukankah itu namanya 'lailatul qadr'? Saat yang lebih baik daripada seluruh bumi dan isinya?

Maka jika anda masih belum menemui lailatul qadr, carilah ia di pintu-pintu muhasabah, taubat, mujahadah dan istiqamah. Barulah anda akan kembali ke fitrah yang sebenarnya.

Akhirnya, saya mengucapkan salam eidilditri kepada semua pembaca, sahabat handai, warga Darul Quran, guru-guru dan sekalian muslimin dan muslimat. Mohon maaf zahir dan batin.

2 comments:

Siapakah Aku? 9 September 2010 at 07:08  

salam `alaykum...
syukran di atas artikel yang ditulis..
ringkas dan sgt bermakna..

nafza 10 September 2010 at 13:35  

salam aidilfitri.
maaf zahir batin.
allahumajalna minal aaidin wal faizin.

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP