Saturday, 4 September 2010

Berpindah Tahap Berfikir

Saya kembali menulis, setelah sebulan berlalu. Syukur Alhamdulillah. Sebulan yang berlalu, saya isi dengan pembacaan beberapa buku di samping jadual aktivisme yang agak padat, tambahan lagi musim peperiksaan yang sedang hidup di kampus Darul Quran. Dalam sebulan itu juga, saya sempat berdiskusi mengenai dinar emas bersama-sama beberapa teman yang lain di Petaling Jaya, iaitu kira-kira seminggu sebelum peperiksaan bermula. Diskusi yang sangat penting dan menarik, cuma isu dan pengetahuan mengenai dinar emas masih terpencil dalam benak kebanyakan mahasiswa dan masyarakat umum. Pada waktu itu juga, sahabat saya sejak di bangku sekolah menengah iaitu Hasbullah telah meminjamkan saya magnum opus Niccolo Machiavelli iaitu The Prince. Sebuah buku kontroversi yang telah menghangatkan pentas intelektualisme dan lebih-lebih lagi dunia politik.

Saya selalu memperingatkan kepada teman-teman saya mengenai peperiksaan tidak seperti yang diperingatkan oleh sesetengah pihak yang telah disuntik jarum exam oriented. Saya mengatakan bahawa kita mesti berhati-hati dengan sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan lantaran ia berupaya meragut intelektual dan memandulkan cara kita berfikir. Kita mesti bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan, tapi jangan sampai kita tertipu dengan ‘kecemerlangan’ kita di atas kertas sedangkan kita sendiri menyedari sejauh mana sangat kefahaman dan ketajaman kita dalam sesuatu subjek. Nota-nota yang dihafal akan luput begitu sahaja dari ingatan, kelas yang dihadiri hanya untuk memastikan kehadiran ke kuliah, bukan lagi sebagai tempat menuntut ilmu. Oleh itu, majlis-majlis ilmu dan buku-buku yang lain akan dipinggirkan begitu sahaja disebabkan ia tidak diperlukan untuk menggapai gilang dalam peperiksaan. Itu pesanan saya.

Saya bukanlah seorang bermusuh dengan peperiksaan kerana tidak dinafikan banyak kelebihan yang wujud dalam sistem tersebut sebagaimana saya pernah tulis dalam artikel yang sebelum ini. Adapun apa yang paling signifikan dalam minda saya ialah kita mesti beransur-ansur berpindah daripada berfikir perkara yang ‘biasa-biasa’ kepada satu pemikiran yang lebih jauh dan besar. Sifat mahasiswa yang ‘biasa-biasa’ hanya berfikir mengenai 3P iaitu peperiksaan, pekerjaan dan perkahwinan. Mereka merupakan satu spesies individualistik dan sangat dibenci oleh ajaran agama Islam.

Itu satu hal. Satu lagi pandangan saya ditujukan kepada mereka yang telah berupaya berjauhan daripada spesies 3P terutamanya ahli-ahli gerakan Islam. Saya sangat menghormati kumpulan ini yang bekerja untuk Islam tanpa gaji mahupun anugerah. Akan tetapi saya mahu melontarkan pandangan sudah sampai masanya untuk kita mengubah cara berfikir kita ke arah yang lebih besar dan memahami sesuatu perkara dengan lebih mendalam. Buku-buku ilmiah mestilah sudah menjadi rutin pembacaan buat pendokong gerakan Islam, bukan sahaja buku-buku fikrah haraki. Cara kita memandang sesuatu isu mestilah diubah melalui penilaian yang lebih berilmiah dan teliti, bukan lagi menilai sesuatu isu atas dasar semangat semata-mata. Secara perlahan, kita sepatutnya sudah berusaha memahami isu-isu antarabangsa, sistem pendidikan, sistem ekonomi dan beberapa perkara lagi. Pembacaan kita seharusnya makin meluas, bukannya makin menumpul.

Mengubah paradigma kita ke arah yang lebih baik bukanlah bermaksud kita mengurangkan pekerja-pekerja Islam (amilin) dan hanya menumpukan kepada qiadah sahaja. Tidak sama sekali. Segala gerak kerja masih berjalan seperti biasa sesuai dengan posisi masing-masing, cuma situasinya mungkin sudah makin berbeza apabila kualiti yang dimiliki ahli gerakan makin berbisa dan bukan lagi pada tahap biasa-biasa.

Sekadar perkongsian, apabila saya mengadakan diskusi mengenai dinar emas baru-baru ini. saudara Fauzan Maaruf yang hadir sebagai pendiskusi utama telah menerangkan banyak perkara dan hal-hal yang berkaitan kepentingan untuk umat Islam kembali kepada sistem dinar dalam menongkah arus kapitalisme yang sangat dahsyat pada hari ini. Jujurnya, saya tertarik mengkaji perihal dinar emas ini sejak awal tahun ini lagi, tetapi ruang masa hanya mengizinkan saya untuk mengadakan diskusi tersebut baru-baru ini. Saya bersyukur dan berpuas hati apabila kefahaman saya mengenai ilmu dinar emas makin bertambah (dengan izin Allah) tetapi saya agak hampa dengan sikap segelintir yang masih belum tergerak untuk cuba memahami isu ini dengan baik walhal ia membabitkan survival dan kekuatan umat Islam pada hari ini. Semuanya gara-gara kita masih belum berpindah kepada cara berfikir yang lebih jauh, ilmiah dan luas.

Saya teringat salah satu artikel lama yang saya pernah tulis sebelum ini (Khutaba’ dan Fuqaha’) dan ia membuatkan saya kembali ligat berfikir: “kita sudah melahirkan banyak jurucakap, tapi kita kekurangan tenaga mahir dan expert.”

Saya beredar dahulu, sekian.

6 comments:

MOHD SYAZREEN ABDULLAH 4 September 2010 at 22:31  

salam.Marwan,sahabat ana,alif basri(abbas lecothinker) sesuai untuk nta diskusi perihal ini.ana cadangkan ada masa bolehla jumpa2 dia yer=).selamat berjuang temanku.doakan ana yer.

Muhammad Hanif Bin Ali 4 September 2010 at 22:42  

"Buku-buku ilmiah mestilah sudah menjadi rutin pembacaan buat pendokong gerakan Islam, bukan sahaja buku-buku fikrah haraki."

Saya sangt bersetuju dengan petikan diatas. Namun hari ini saya lihat timbul pula satu golongan yang hanya mentelaah buku-buku ilmiah dan meninggalkan terus buku fikrah haraki.

Bagaimana pulu hendak mengubah minda golongan sebegini kerana ia membawa kesan yang tidak kurang padahnya.

Minta pandangan saudara yang dihirmati.

Muhammad Hanif Bin Ali 4 September 2010 at 22:42  

"Buku-buku ilmiah mestilah sudah menjadi rutin pembacaan buat pendokong gerakan Islam, bukan sahaja buku-buku fikrah haraki."

Saya sangt bersetuju dengan petikan diatas. Namun hari ini saya lihat timbul pula satu golongan yang hanya mentelaah buku-buku ilmiah dan meninggalkan terus buku fikrah haraki.

Bagaimana pulu hendak mengubah minda golongan sebegini kerana ia membawa kesan yang tidak kurang padahnya.

Minta pandangan saudara yang dihirmati.

Marwan Bukhari 5 September 2010 at 09:31  

to syazreen: insyaAllah

to hanif: itu pun masalah sebenarnya.. apabila kita sudah intima' dgn sesebuah gerakan, kita mesti mengetahui prinsip, konsep n pembawaan gerakan tersebut. dan semua ini banyak terkandung dlm ilmu2 haraki.. haraki itu daripada harakah, maksudnya kita bersama dgn sesebuah harakah (gerakan).. justeru, fikrah haraki dari sudut hukum, sirah dan manhaj harakah islamiah mestilah difahami sebaik-baiknya.. kalau tak, mula r asyik duk hentam jemaah je.. wallahua'lam

Hasbi 8 September 2010 at 15:08  

Kalau ada kesempatan, ana cadang, kita diskus lebih detail untuk blueprint ekonomi Islam.. Pemerhatian pada sistem ekonomi dua Umar, menjadikan zakat sebagai dasar Fiskal, juga beberapa cukai yang tertentu.. Sampai sekarang, tak dapat imagine mereka punya sistem secara berrangka dan tersusun..

Muhammad Hanif Bin Ali 8 September 2010 at 18:39  

to akh marwan: syukran atas perkongsian

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP