Thursday, 16 September 2010

Terkenang Savoranola, Jangan Kita Ulangi Kisahnya

Semasa menatap karya Niccolo Machiavelli, The Prince ataupun dalam bahasa Itali, Il Principe dan dalam terjemahan yang diedar oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertajuk Penguasa, saya tertarik dengan satu kisah menarik berkenaan seorang paderi jujur, bersemangat juang dan berkarisma. Minda nakal saya mengatakan, itu perjuangan suci seorang ‘ulama’ muda yang mahu melihat agama mengatasi sekularisme.

Girolamo Savoranola

Beliau ialah Girolamo Savoranola (1452-1498) yang telah membuktikan keimanannya terhadap ajaran Kristian dengan berjuang menongkah arus sekularisme yang sangat pekat di Itali pada waktu itu. Zaman Renaissance yang mula menunjukkan sikap memusuhi agama dan menyembah materialisme itu amat menggusarkan jiwa biarawan muda itu.

Pada 1491, Savoranola telah terpilih menjadi pemimpin biara Dominican di Kota Florence, kota kelahiran Machiavelli. Beliau mula menyampaikan idea-idea perubahan beliau sementelah pidatonya yang sangat memukau dan berjaya menarik orang ramai. Sebagai seorang tokoh spiritual pada zamannya yang memperjuangkan satu reformasi dalam bidang spiritual, Savoranola mula menempelak seluruh lapisan masyarakat Florence disebabkan tindakan ‘curang’ mereka terhadap agama dan gereja. Savoranola mengatakan sekiranya agenda reformasi tidak dilaksanakan, Itali akan ditimpa bala dan malapetaka yang besar. Secara perlahan, rakyat Florence makin terkesan dengan didikannya lantas timbul bibit-bibit penerimaan mereka terhadap Savoranola.

Akhirnya, dengan bantuan Charles VIII dari Perancis, Savoranola Berjaya mengusir Lorenzo dan puteranya Piero de Medici - Keluarga Medici (pemerintah Florence) – keluar dari Itali. Keluarga Medici melarikan diri ke Sepanyol manakala cita-cita Savoranola untuk melakukan reformasi dalam pemerintahan negaranya makin berhasil apabila beliau menjadi pemerintah Florence. Sebagai seorang biarawan dan moralis yang karismatik, beliau mengajak rakyat Florence bertaubat dan meninggalkan keinginan terhadap kekayaan, kemewahan dan bermacam-macam keinginan duniawi yang lain. Savoranola memerintah kerajaannya dengan khutbah dan tentera upahan. Katanya, beliau merupakan wakil nabi Isa yang merupakan raja sebenar Kota Florence.

Savoranola sangat popular dalam kalangan rakyatnya, tapi ia tak bertahan lama apabila rakyat Florence mula jemu dan bosan dengan pentadbirannya yang dinilai sebagai sangat keras dengan unsur-unsur spiritual. Rakyat mahukan perubahan.

Savoranola dijatuhkan, agendanya berterbangan

Sang paderi muda yang berbekalkan spiritual dan keazaman untuk menongkah arus sekularisme akhirnya tersungkur dengan penuh tragis. Beliau dijatuhkan oleh Alexander VI yang merupakan seorang paderi yang paling terpengaruh dengan sekularisme zaman Renaissance. Alexander menggunakan kuasanya sebagai pemimpin tertinggi gereja untuk menjatuhkan Savoranola, apatah lagi Savoranola sendiri menunjukkan sikap kontra terhadap Alexander yang ‘duniawi’ itu.

Banyak babak dramatis dan menarik yang menyusul dalam peristiwa kudeta (rampasan kuasa) itu, tapi saya tidak berminat untuk mengulas panjang hal tersebut kerana saya mahu menyampaikan kepada anda beberapa iktibar penting berdasarkan peristiwa itu.

Secara jujurnya, hati kecil saya memuji kesungguhan Savoranola menongkah arus jahiliah Renaissance pada zamannya. Beliau tidak pernah mengalah sebagaimana berlaku kepada beberapa kumpulan paderi yang akur dengan hegemoni sekularisme pada zamannya, sebaliknya beliau berjuang sampai mati. Beliau diseksa oleh inquisitor yang terkenal dalam sejarah sebagai penyeksaan yang sangat memeritkan dan kejam, beliau juga dihukum bunuh atas tuduhan ‘kufur’ dan ‘khianat’ terhadap pimpinan tertinggi gereja.

Kristian bukan agama social dan politik

Dalam kitab Bible, terdapat ayat yang berbunyi: “Give to Caesar what is Caesar’s an give to God what is God’s”. Ayat ini secara terang menunjukkan bahawa ajaran Kristian sendiri telah mengasingkan antara institusi pemerintahan dan agama. Sebab itu apabila kita kembali kepada sejarah, kita akan dapat melihat betapa Tamadun Barat hanya menampakkan hasilnya (zahiri/material) setelah mereka memisahkan diri daripada penguasaan gereja.

Hakikat yang tidak dapat disangkal lagi ialah, sejarah bukanlah milik gereja. Agama yang memasungkan akal, material dan pembangunan itu bukanlah penyelesaian kepada pelbagai masalah hidup di dunia ini. Agama kerahiban itu hanya sesuai untuk jangka masa yang pendek, termansuh secara automatic apabila nabi Muhammad saw telah diutus sebagai nabi terakhir akhir zaman. Apatah lagi apabila kitab Injil telah diseleweng oleh para pengkhianat agama tersebut setelah Nabi Isa as diangkat ke langit. Golongan wanita ditindas dan menjadi subjek yang mengaibkan, ahli falsafah dan para saintis pula telah dituduh sebagai bertentangan dengan nas-nas dalam injil, manakala kumpulan rahib yang memencilkan diri dari dunia dijulang selaku bakal ahli syurga.

Dalam sebuah buku karangan Pendeta Zaaba (cendikiawan Melayu terkenal) yang bertajuk “Perangai Bergantung dengan Diri Sendiri”, beliau telah menukilkan jawapan yang diberikan oleh reformis ulung, Jamaluddin al Afghani apabila ditanya mengenai punca kemunduran umat Islam dan kejayaan umat Kristian. Jamaluddin al Afghani mengatakan kemunduran Islam disebabkan umatnya meninggalkan ajaran al Quran, sementara kemajuan umat Kristian pula disebabkan mereka meninggalkan ajaran Injil.

Lihatlah, umat Islam mahu menuruti jejak langkah Kristian yang diracuni sekurarisme dan humanisme, sedangkan mereka tidak sedar bahawa kitab suci al Quran merupakan kitab syumul yang menguruskan keseluruhan hidup manusia dan alam. Al Quran ialah kitab akidah, ibadah, akhlak, dakwah, jihad, politik dan pembangunan. Terlalu banyak ayat yang wujud dalam al Quran telah membenarkan hal ini. Amat paradoks berbanding status Injil.

Iktibar pemerintahan patuh agama

Apabila melihat kepada nasib yang menimpa Savoranola, saya melihat bahawa tingkah laku beliau semasa pemerintahannya yang telah menyebabkan keruntuhan kerajaan Florence. Tingkah lakunya mungkin ‘mulia’ jika dilihat dari kaca mata Kristian dan kerahiban, tetapi sangat bertentangan dengan realiti kehidupan dan norma-norma kemanusiaan. Pemerintahan yang patuh agama bukanlah sebuah pemerintahan yang mengetepikan akal, material dan dunia. Sang Rahib itu mungkin dicintai para penduduknya yang masih tersentuh dengan agama pada masa itu, tetapi mereka tidak dapat bertahan lama dan menjadi jemu terhadap pemerintahan Savoranola yang sebenarnya sangat berlawanan dengan penciptaan manusia selaku Khalifah di bumi Allah.

Kesilapan Savoranola sememangnya tidak dapat dielakkan lantaran paradigmanya telah dibentuk oleh Bible dan para pendeta Kristian. Persoalannya, adakah wajar sekiranya kesalahan Savoranola itu diulangi oleh para ulama dan ahli politik Islam? Sudah tentu jawapannya tidak kerana ajaran al Quran dan hadis nabi saw telah membina satu persepsi beragama yang jernih dan seimbang antara dunia dan akhirat. Justeru, kewujudan segelintir ulama yang hanya mengajak manusia mendampingi syurga dan membiarkan sahaja urusan syurga ternyata berlawanan dengan norma-norma agama.

Begitu juga dengan ahli agama yang mengajak orang bawahannya untuk patuh dengan ajaran dan wirid-wiridnya sambil memasung akal orang bawahannya daripada berfikir dengan sihat dan matang. Tidak terkecuali para politikus yang tidak patuh syariah, sebaliknya mendabik dada dengan falsafah-falsafah politik ideologi-ideologi yang dibawa Barat. Mereka semua telah mempraktikkan satu ajaran yang berlawanan dengan isi kandungan kitab al Quran yang mulia. Selain itu, sekiranya kita mahu memerintah negara, bahkan memerintah dunia dengan menuruti syariah, kita mesti menyediakan satu system yang lengkap, bukan hanya omong-omong kosong di bibir.

Pandangan-pandangan Imam al Mawardi, Abu Ya’la, ibnu Taimiah dan banyak lagi ulama muktabar mestilah dijadikan panduan, tetapi jangan kita lupa untuk menegakkan pemerintahan beragama dengan pandangan-pandangan yang semasa dan kontemporari. Kerana para ulama yang terdahulu (semoga Allah merahmati mereka) tidak melihat masalah-masalah baru yang sedang berlaku pada hari ini. Tidak sepatutnya kita menawarkan satu pemerintahan yang hanya berdasarkan kajian para ulama yang terdahulu sambil mengetepikan tuntutan semasa yang semakin kompleks.

Buat yang bergelar muslim tetapi masih tidak mahu memperjuangkan kedaulatan agama, malulah kalian dengan Savoranola.

3 comments:

Hasbi 16 September 2010 at 21:28  

Ni tak silap, mukaddimah dalam buku tu kan?

Dan, zaman Renaissance adalah zaman permulaan perang konspirasi - diketuai oleh Yahudi. Dan 'ulama Kristian' juga menjadi mangsa agenda Ghayyim mereka - supaya agama yang disebarkan mengikut telunjuk mereka - semacam Islam hari ini.

Rujuk pada sejarah, kebanyakan figure-figure yang ditonjolkan yang hadir dengan memiliki istilah yang disinonimkan dengan mereka, serta sumbangan mereka terhadab 'peradaban' manusia adalah Yahudi.

Real Politic - Niccolo Machiaveli, seorang Yahudi.
Marxisme, disinonimkan juga dengan idea Socialist dan membawa kepada kemunculan komunisme, dikaitkan dengan Karl Marx, juga seorang Yahudi. Albert Enstein juga seorang Yahudi. Attaturk juga mendapat latihan daripada Yahudi.

Hebatnya perancangan manusia yang dibezakan Allah dengan binatang dan malaikat - diberikan akal untuk terus berfikir, bukan untuk kikir berfikir. Sayangnya, kehebatan ini ditonjolkan pada figure 'organisasi' mereka.

Kita - ada figure-figure kita, sayangnya, liputan terhadap Ibnu Sina dan teorinya, Al-Kindi serta Khawarizmi serta pemerhatian Ibnu Khaldun dan Ibnu Batuta tidak diberi perhatian meluas - terutama diperdalamkan tentang usaha mereka melalui pengajaran dan pembelajaran.

Kita tak belajar - walaupun fizikalnya seperti belajar, dalam kelas yang berhawa dingin; itupun masih mengeluh - kerana iktibar sejarah kita sering lupa.

Mudah - hayati firman Allah; Kenapa disebut kisah umat terdahulu?- teori belajar sejarah - Tahu sebab dan punca, kesan yang terjadi supaya manusia tak mengulanginya - bukan untuk dibanggakan, parti kami yang menuntut kemerdekaan!!

Marwan Bukhari 16 September 2010 at 22:49  

thanx a lot 4 the very nice book..

weber,  17 September 2010 at 04:15  

salam,

satu artikel yang menarik. patut dibaca oleh penyokong/pendokong/pro dinar emas kelantan.

walaupun baik, banyak persoalan yang dilontarkan mereka yang anti/ragu2 dengan langkah yang diambil oleh kerajaan kelantan tidak terjawab.

baik tapi tidak praktikal pun tak mampu ke mana2.

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP