Wednesday, 6 October 2010

Qul Rabbi Zidni 'Ilman




Saya suka membaca kisah mujahadah ilmu para ilmuan yang terkemuka lantaran kisah-kisah itu membangkitkan kecintaan saya yang tak berbelah bahagi terhadap ilmu dan ilmuan. Cukuplah beberapa perenggan kisah setiap hari, saya akan terpukul untuk terus gigih di medan ini. Tawadhuk, berdisiplin dan tabah, demikianlah antara sifat yang mesti dimiliki sekiranya kita mahu Berjaya di medan ilmu, bukannya di medan peperiksaan. Sekali kita menggenggam niat yang ikhlas, jangan biarkan niat itu terjatuh dan terburai pecah. Cabaran itu akan datang tanpa diduga, tetapi usah dipinta teman sejati untuk menyokong anda dalam perjuangan ini, sebaliknya pintalah semangat yang kental dan keteguhan niat. Teman yang sejati bukanlah semudah yang disangka, ia bukannya seumpama barangan di pasar-pasar.

Saya terkenang kisah pengembaraan ilmu para ulama silam, ataupun para ulama hari ini yang mencontohi mereka. Lantas, dengan ilmu mereka berhujah memenangkan agama, dengan ilmu juga mereka memandu para pejuang agama. Perjuangan menegakkan agama memerlukan kita untuk melaksanakan tugasan-tugasan, tetapi tidak bermakna kita memencilkan diri daripada ilmu dan ilmuan. Lihat sahaja Ibnu Taymiah, beliau dipuji oleh al Imam az Zahabi dalam kitabnya yang sangat terkenal Siyar al ‘Alam an Nubala’. Ibnu Taymiah gigih di mendan intelektual dan beliau tidak hanyut di gelanggang perjuangan umat selaku aktivis.

Lihat juga Dr ‘Ali Syariati yang menggagaskan rausyanfikir, beliau seorang yang cerdas dan intelek, kehebatannya ialah apabila beliau berjaya merakyatkan intelektual dan ilmu, lantas menjadikan fasa-fasa kejatuhan Shah Iran makin mudah. Kalaulah beliau bersikap seperti sebilangan ilmuan yang hanya menyimpan ilmu dalam karya-karya ilmiah sambil dibincangkan secara laras tinggi hanya oleh orang-orang tertentu, nescaya kegelapan akan terus menyelubungi umat dan misi pencerahan berlalu hambar.

Apabila mengenangkan hakikat integrasi antara keilmuan dan aktivisme ini, maka saya berusaha mengatur dan mencatur kembara hidup saya dengan segala qudrat yang dikurniakan-Nya. Saya masih merangkak dalam dunia ini, masih kabur dan buta dengan hakikat deen dan kehidupan. Sekali saya berasa sudah cukup dengan apa yang saya sedang miliki, ketika itulah saya sudah tersungkur di kaki Iblis. Nauzubillah.

Saya mengagumi imam as Syafie rahimahullah yang gigih menimba ilmu sehinggakan setelah beliau sudah layak mengeluarkan fatwa dan diiktiraf sebagai ulama, beliau masih berguru dengan pelbagai ulama. Beliau datang kepada Imam Malik dalam keadaan beliau sudah menghafal Kitab Muwatto’ dari kulit ke kulit. Beliau mengembara ke Baghdad demi meraih ilmu dan hikmah daripada legasi Abu Hanifah, meskipun Abu Hanifah sudah wafat tetapi beliau tabah meraih ilmu daripada anak murid dan sahabat Abu Hanifah rhm.

Imam al Ghazali yang sangat agung perjalanan hidupnya juga menuntut ilmu sehingga ke liang lahad. Beliau sudah mempunyai ramai anak murid tetapi beliau tidak segan untuk menjadi murid. Beliau bukan setakat berfalsafah dalam tasawuf, malah beliau bermujahadah dalam perjalanan kesufiannya. Namun, kesucian hati dan martabat tinggi yang dirangkulnya langsung tidak menjarakkan dirinya dairpada sikap tawadhuk dengan ilmu. Beliau akur dengan kelemahannya dalam ilmu hadith, lantas pada akhir hidupnya beliau mempelajari kitab sahih Bukhari dan Muslim melalui Hafiz ‘Amr ibn Abi al-Hasan al-Rawasi.

Salah seorang guru saya menceritakan bahawasanya Imam Ibnu Qayyim al Jauzi dan Imam Ibnu Kathir menuntut ilmu dengan Shaykhul Islam Imam Ibnu Taymiah semasa kedua-duanya sudah bergelar ulama besar. Ibnu Kathir dengan tafsir bilma’thurnya yang diiktiraf sebagai tafsir terbaik, manakala Ibnu Qayyim terkenal dengan kegigihannya memulihkan sufisme. Aduh, saya sudah karam dengan percintaan mereka dengan ilmu dan kesungguhan mereka di lapangan umat. Imam az Zahabiy yang juga merupakan murid Ibnu Taimiah telah memuji-muji gurunya itu dalam kitabnya yang terkenal Siyarul ‘Alam an Nubala’.


Pada hari Isnin baru-baru ini (5 Oktober 2010), saya berada di Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menziarahi dan berdiskusi bersama beberapa ilmuan. Pada sesi pagi (sekitar pukul 10.30), saya sempat bersama Prof Madya Dr Kamaruzaman Yusuf dalam satu perbincangan mengenai ‘Politik dan Moral Menurut Machiavelli’. Buku The Prince dibaca terlebih dahulu sebelum bersemuka dengan Prof. Seminggu berkampung di Felda Gedangsa sempena program Bakti Huffaz (nama bagi Bakti Siswa) menyebabkan saya terpaksa ke sana sini membawa buku tersebut lantaran temu janji bersama Prof ialah sehari selepas program tamat. Seterusnya, saya bersama-sama Dr Khalif Muammar A. Harris, pensyarah dan felo penyelidik di ATMA (Institut Alam dan Tamadun Melayu), UKM. Tiada ungkapan yang dapat diluahkan selain rasa syukur kerana dapat bersua dengan kedua-dua tokoh ini. Terima kasih kepada saudara Azan Safar atas kesudian membantu saya semasa di UKM.

Beberapa minggu sebelum ini, saya mengikuti sunnah ulama terdahulu bertemu ilmuan dan ulama ini dengan menziarahi Tuan Guru Hj Harun bin Taib. Beliau murabbi agung, ilmunya meluas bagai laut yang tak bertepi. Sewaktu menyantuni beliau, saya mengkagumi kesungguhannya merealisasikan ilmu yang dimilikinya. Kisah-kisah menarik yang dikongsi oleh beliau sangat meresap ke dalam nubari gelap saya. Salah satunya ialah apabila beliau pulang ke Malaysia demi berbakti dalam perjuangan Islam di sini meskipun pada waktu itu beliau sedang membuat tesis Phd di Mesir. Beliau sanggup menangguhkan proses menyiapkan tesis itu lantaran suara jihad sedang berkumandang.

Adapun Dr Khalif Muammar, kata-kata beliau yang berbunyi: “saya sudah membaca Islam and secularism berpuluh-puluh kali” sangat mengesankan diri saya. Katanya, karya dan idea al Attas dalam buku tersebut agak sukar difahami meskipun seseorang itu fasih berbahasa Inggeris. Lantas beliau berusaha menterjemahkan buku tersebut untuk menyebarkan buah fikir besar milik al Attas. Hal tersebut mengingatkan saya dengan ketekunan Ibnu Sina sewaktu membaca sebuah buku falsafah, beliau gagal memahami buku tersebut walaupun setelah 40 kali membacanya. Kemudiannya, beliau menemui syarahan buku falsafah itu hasil tulisan gurunya al Farabi.

Sudah sekian lama dan beribu-ribu umat Islam yang disembelih dengan senjata sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan. Mereka kehilangan adab bersama guru, hilang kesungguhan (juhud) dalam menuntut ilmu dan hilang rangsangan untuk mengamalkan ilmu. Bahkan, saya mengatakan mereka sudah kehilangan ilmu. Akal mereka disembelih, sensitivity mereka dipenjara, maka apakah lagi yang boleh diharapkan? Semuanya telah terkorban melainkan sedikit sahaja yang terselamat.

Setakat ini sahaja coretan saya di tengah dingin malam. Sebelum meninggalkan tulisan ini, saya tertarik dengan satu soalan: “ke manakah perginya api lilin yang terpadam setelah dihembus?” Berfikirlah walau ia sulit.

Qul Rabbi Zidni ‘Ilman

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP