Saturday, 27 November 2010

Kebebasan Intelektual: Perbanyakkan wacana Isu-isu Sensitif

Semalam ada satu forum diadakan di Auditorium Syeikh Muhammad Noor sempena Sambutan Jubli Perak Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran (PERKEMAT DQ), sebuah persatuan pelajar di DQ. Forum tersebut bertajuk Generasi al Quran Yang Unik, dengan barisan panel yang handal-handal. Saya sempat bertanya dua soalan, salah satunya berbentuk provokatif iaitu mengenai cadangan supaya selepas ini dikurangkan penubuhan maahad tahfiz, sebaliknya menambahkan pusat-pusat memahamkan masyarakat mengenai al Quran. Jawapan yang diberikan oleh ahli panel sangat menarik dan adil.

Saya tidak mahu mengulas mengenai forum tersebut ataupun berkenaan generasi al Quran yang unik, sebaliknya saya mahu berkonsi satu pandangan iaitu sudah tiba masanya kita memperbanyak wacana dan diskusi terbuka mengenai isu-isu sensitive di dunia Islam mahupun di tanah air kita. Boleh jadi, sudah ada pihak yang mengadakannya, tetapi hakikatnya terlalu sedikit wacana, forum dan dialog sebegitu diadakan di Malaysia ini.

Bersetuju atau tidak sekiranya saya mengatakan bahawa selama ini kita lebih suka menangani isu-isu sensitive dengan kuasa badan-badan agama semata-mata, bukannya menerusi dialog, trilogy dan wacana terbuka. Hal tersebut menandakan sifat penakut yang kita miliki sangat ketara lantaran “comfort zone” yang kita sedang duduki. Meskipun Malaysia bukanlah sebuah negara yang mengamalkan system Islam yang komprehensif, namun kita semua perlu akui bahawa tidak sedikit undang-undang di Malaysia yang menyebelahi umat Islam. Badan-badan eksekutif Islam lebih gemar menggunakan politik dan kuasa untuk menangani perkara yang mereka tidak persetujui.

Inilah namanya hegemoni dalam wacana dan perbincangan, semua mahu dikuasai lantaran mereka punya kuasa. Saya mengambil contoh apa yang berlaku semasa penangkapan Dr Asri di Selangor beberapa bulan yang lepas, hanya kerana mengajar dan membuat kuliah. Begitu juga dengan cadangan pengharaman Sister In Islam (SIS) yang dilakukan oleh Muslimat PAS setahun yang lepas, itu sahajakah jalan keluarnya? Lagi parah mengenai cadangan dan tindakan beberapa pihak yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam. Semuanya mahu digunakan undang-undang dan kuasa.

Saya bukanlah bersetuju dengan SIS mahupun kumpulan pencetus isu-isu sensitive yang lain, sebaliknya saya mahu kita semua berfikir dari sisi yang lain. Bahawasanya zaman menutup kebebasan suara secara kuasa semata-mata (masih ada pro kontra) sudah berakhir. Sekarang merupakan zaman dialog dan hujah, justeru untuk itu kita sangat memerlukan penghujah dan ilmuan yang berkaliber.

Sebelum ini, apabila Institu Kajian Dasar (IKD) bertindak menterjemahkan buku Ali Abdul Raziq (Islam wa Usul Hukm) yang secara terang-terangan menyampaikan mesej bahawa politik dan agama terpisah, maka segelintir umat Islam di Malaysia memarahi tindakan tersebut dan membangkangnya. Saya juga antara yang bengang dengan tindakan IKD pada waktu itu. Tetapi sekarang saya berpandangan berbeza (terutama selepas banyak membaca buku-buku keluaran IKD), bahawasanya tiada gunanya lagi jika kita hanya menyekat kebebasan intelektual dan bersuara menerusi undang-undang semata-mata. Melainkan sekiranya terlalu melampau dan degil dengan prinsip mereka walaupun sudah nyata kalah dalam hujah, tindakan itu mungkin boleh dipertimbangkan.

Apabila kita melihat keadaan dan suasana di bumi Malaysia, nescaya kita akan memerhatikan pelbagai wacana satu hala diadakan, untuk mencerahkan pemikiran satu pihak sahaja. Sama ada mereka dari kumpulan yang benar atau dari kumpulan yang celaru. Hal ini sangat berbeza dengan negara Indonesia yang mana suasana intelektual di sana sangat terbuka, termasuklah diadakan wacana dua hala di televisyen dan media massa yang lain.

Saya menyeru kepada mana-mana pihak yang punya kelebihan seperti NGO-NGO dan badan-badan berorientasikan keilmuan yang lain untuk memperhebatkan wacana-wacana pelbagai hala dengan cara memanggil wakil-wakil fraksi yang berbeza pemikiran dan ideology. Malah secara jujurnya, saya juga berminat untuk menjadi penganjur kepada wacana-wacana sebegitu, cuma kekangan dari sudut kewangan (tajaan dan dana) yang menjadi masalah utama.

Kesimpulan daripada penulisan ini, perjuangkan kebebasan intelektual dan bagi pihak kita (pencinta Islam), kita sangat memerlukan para penghujah yang berkaliber.

3 comments:

Hasbi 30 November 2010 at 06:43  

Sepandangan dengan aku. Mentaliti pengawas sekolah yang perlu diubah. =)

Asif 30 November 2010 at 09:15  

salam abang marwan.. ana setuju dengan inti idea nta.. sudah tiba masanya untuk kita tidak menutup perkara-perkara macam tu. idea ni mungkin akan ambil masa yang mgkin generasi berikut dapat manfaat nya zahir, namun, pada pndapat ana ini lebih baik. Supaya masyarakat didedahkan pada masa yg sama wujud perbincangan dan wacana untuk membantu memahamkan masyarakat. menyorokkan sesuatu seperti itu bg ana semacam meletakkan harga yang tinggi untuk nilai2 akademik tersebut,,, wallahu a'lam..

Anonymous,  11 December 2010 at 10:38  

salamullah alaik ya akhi,saya agak bersetuju akan perlunya wujud perbincangan pelbagai hala atas rasional dlm menentukan dasar atau idea yang terbaik,pndgn yg bersifat 360 darjah amat diperlukn hatta andai timbul pndgn yg sgt remeh dan nmpk mustahil, kita tidak terus menolak sebaliknya menjadikan ia sbg batu loncatan utk menghasilkn idea yg lebih baik. Apabila masyarakat mendapat pro dan kontra dr sudut yg berbeza, sekaligus akn menjernihkan akal dan membuatkan neuron dlm otak menjalani proses berfikir. Justeru akan lahir masyarakat yg tahu menimbang baik dan buruk bkn sekadar mengikut semata.Kurangkn proses mengkritik kerana ia merupakn tahap terendah dalam proses berfikir. Sedihnya ramai mahu menjadi pemikir tetapi tidak tahu cara berfikir dan malas utk berfikir. Cadangan saya agar akhi despite of your incapability from finance aspect, try to do other method.Contohnya, akhi mengnjurkan forum secara online dgn mnjmput panel2 trtntu seterusny menghebahkn masa dn wktu melalui blog atau siaran radio. Alhamdulillah terima kasih Allah melalui penulisan akhi.

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP