Friday, 3 December 2010

Orang Muda Yang Tual Akalnya & Orang Tua Yang Muda Akalnya

Sudah lama saya memikirkan mengenai dua golongan yang agak paradoks iaitu; orang muda yang tua akalnya dan orang tua yang muda akalnya. Pada zaman sekarang, sangat susah mahu menemui orang tua yang muda akalnya, adapun sangat senang untuk kita ketemu orang muda yang tua akalnya.

Sebelum kita ke perenggan-perenggan yang seterusnya, barangkali ada dalam kalangan anda yang tertanya-tanya mengapakah tema akal dan keberanian untuk berubah sering ditampilkan dalam penulisan saya. Jawapan saya ialah lantaran akhir-akhir ini sangat banyak kelompok yang memusuhi akal, walaupun atas nama agama. Secara tidak sedar, mereka akan mencemarkan maruah agama kerana dunia pada hari ini sangat kompleks dan sistem pemaksaan (politik dan arahan satu hala) tidak akan berkesan, malah akan menumbuhkan bibit-bibit pembekuan terhadap umat. Sebagaimana tulisan-tulisan saya sebelum ini yang menyatakan bahawa kita mestilah makin kritis dan tampil dengan penuh keberanian untuk membuat sesuatu yang baru. Syaratnya ialah, tidak keluar dari orbit wahyu.

Orang muda yang tua akalnya

Saya memulakan perbincangan kita dengan menghuraikan manusia dari jenis pertama ini. Orang muda merupakan satu kelompok yang sangat sinonim dengan perubahan dan keberanian. Dikatakan, mereka berkeadaan sedemikian (berani untuk berubah) disebabkan usia matang yang baru menjemput dan banyak babak dan insiden baru yang terlihat oleh mereka meskipun sudah dilihat oleh orang-orang yang sebelum mereka. Orang muda juga sinonim dengan istilah keberanian dan ‘darah muda’ merupakan simbolik kepada keberanian yang tercetus dalam diri mereka.

i-orang muda dan perubahan

Apabila kita menyoroti sejarah dalam mana-mana kelompok sekalipun, kita pasti akan bersetuju bahawa hampir semua perubahan yang berlaku didokong oleh orang muda. Nabi Ibrahim a.s sewaktu baginda melakukan perubahan ialah seorang pemuda. Al Quran menggunakan perkataan ‘fata’ semasa menceritakan kisah baginda yang merobohkan berhala-berhala sembahan kaumnya. Nabi Musa a.s pula didokongi orang muda dari kalangan bani Israel sebagaimana dinyatakan oleh Allah dalam al Quran (dzurriyyatan min qaumihi). Lihat juga kepada Nabi Muhammad s.a.w yang jelas didokong oleh anak muda. Bahkan sirah nabawi jelas memaparkan bahawa kebanyakan pendokong dakwah nabi saw terdiri dari kalangan pemuda manakala penentang pula banyak dari kalangan orang tua.

Jangan lupa menjenguk kisah-kisah revolusi dan reformasi yang berlaku dalam sejarah dunia. Bukankah orang muda antara yang mendokongnya? Revolusi Amerika (1775-1784), revolusi Perancis (1789-1799) dan revolusi Islam Iran (1979) ialah antara siri revolusi yang telah menghangatkan pentas dunia dengan aksi-aksi daripada orang muda.

ii-alasan-alasan


Tapi masalahnya sekarang apabila orang muda tidak mahu berfikir dengan kritis, berani dan futuristic. Mereka seakan-akan mahu memusing jarum jam ke belakang dengan alasan ‘menjaga prinsip’, ‘ada baiknya kita ikut senior-senior dulu’ dan ‘kalau tak jadi, macam mana?’

Akal mereka tua walau usia mereka masih muda. Orang muda sepatutnya laju dengan idea dan pendekatan yang baru. Bukan bermaksud gelojoh atau gopoh, tetapi sesuai dengan konteks dan waqie yang sudah jauh berubah. Kalau yang menyatakan bersedia dengan idea dan pendekatan baru sebagai gopoh, saya berpandangan sebaliknya. Orang yang setia dengan pendekatan lama (walaupun diketahui sudah lapuk) itu sebenarnya gopoh. Gopoh mahu menunjukkan bahawa hanya dialah sahaja yang sayangkan perjuangan, menjaga prinsip dan lain-lain. Mengenai prinsip yang kononnya dipertahan, kadang-kadang orang muda yang tua akalnya sebenarnya tersilap memandang apakah sebenarnya prinsip dan apa pula pendekatan. Apakah akidah dan apa pula syariah. Semua yang dilakukan orang-orang sebelum mereka dinilai sebagai prinsip, mereka keliru sama ada manhaj itu thabat ataupun murunah.

Yang paling ketara ialah apabila mereka bimbang sekiranya idea perubahan yang ingin dilaksanakan itu akan menyebabkan kelemahan dan kekurangan. Mereka bermusuh dengan apa yang mereka masih belum lakukan, mereka sibuk memikirkan apa yang akan berlaku (pada akhirnya) bukannya apa yang mesti dilakukan (perancangan).

iii-pergaulan dan penasihat


Salah satu sebab utama kelompok muda yang tua akalnya ialah menerusi pergaulan dan tempat rujukan mereka. Apabila mereka berbincang, mereka lebih menjurus ke arah satu hala dan mereka tidak bersedia menerima perbezaan. Dalam berpersatuan, mereka lebih mengutamakan buah-buah fikir yang menyelamatkan mereka semata-mata, lalu dibuat dasar-dasar yang menyebelahi mereka. Mereka bimbangkan persaingan, lalu dicipta alasan-alasan untuk menutup ruang pergerakan kumpulan-kumpulan lain.

Saya juga ingin menyentuh mengenai penasihat yang menjadi tempat rujukan mereka. Sebagaimana seorang guru yang akan mempengaruhi anak muridnya, begitu juga seorang penasihat ke atas sesebuah persatuan dan pergerakan. Seorang penasihat yang tidak membenarkan anak buahnya untuk melakukan perubahan akan menyekat minda dan pergerakan organisasi yang dinasihatinya. Like father, like son! Saya terkesan dengan cerita seorang rakan yang menyatakan bahawa penasihat organisasinya sangat terbuka apabila mereka tampil dengan idea perubahan, bahkan penasihatnya tidak kisah sekiranya mereka melakukan kesalahan kerana kesalahan itu merupakan guru dan pengajar terbaik buat orang muda.

Orang tua yang muda akalnya


Mengenai orang tua yang muda akalnya pula, keadaan ini agak jarang berlaku. Hal ini menyebabkan saya sangat teruja untuk mengangkat mereka sebagai teladan dan tokoh, bukan mudah menjadi seorang tua yang sentiasa bergerak dan aktif akalnya.

i-beberapa contoh

Saya memberikan contoh terjelas iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, beliau sentiasa tampil dengan pandangan-pandangan yang memukau dan memikat. Beliau seorang ulama besar yang bijak mendatangkan idea-ideanya. Tuan Guru konsisten menentang badai secularism dan politik machiavellianism oleh pihak lawan, namun beliau tampil persis sang penyelamat terhadap manusia sejagat tanpa mengira agama dan bangsa.
M.Natsir pula seorang ulama negarawan dari Indonesia dan telah meninggalkan kita cara berfikir yang sangat unik. Beliau ialah seorang produk dari Nusantara yang cukup gah sehinggakan al Malik Faisal pernah menyatakan: "M. Natsir bukannya pemimpin umat Islam Indonesia sahaja tetapi beliau merupakan pemimpin umat Islam seluruh dunia." Beliau gigih menentang idea sekularisme Sukarno berkenaan politik dan negara, sebagaimana tercatat dalam bukunya Islam dan Negara. Dalam masa yang sama, beliau tidak menampilkan skil politik yang lemah sewaktu berada di pentas politik nasional Indonesia. Beliau tidak terburu-buru untuk berlagak seperti hero (pejuang) sehingga meninggalkan hikmah dalam politik.

Tidak ketinggalan, tokoh ulama dunia iaitu al Imam Dr yusuf al Qaradhawi. Beliau berjaya menyampaikan mesej islam dengan penuh cermat dan memahami konteks. Al Qaradhawi sudah terlalu lanjut usianya, namun akalnya sangat cerdas. Barangkali itulah anugerah hikmah atas kewarakan dan istiqamah beliau dalam mengamal dan memperjuangkan agama Islam.

Mengenai tokoh-tokoh yang lain seperti HAMKA, Syeikh Muhammad al Ghazali dan Rasyid Redha, anda boleh mengkaji cara berfikir mereka yang sangat unik. Kaji juga cara berfikir tokoh-tokoh ulama silam seperti para Imam empat mazhab, Ibnu Qayyim dan gurunya Ibnu Taimiah, Imam al Ghazali dan lain-lain. Jasad mereka tua tetapi akal mereka sentiasa muda.

Kesimpulan


Mengenai orang muda yang tua akalnya, ketepikan sahaja mereka dari pentas terkini yang sangat kompleks. Akhirnya, jangan lupa untuk bertambah warak dan tingkatkan iman sekiranya mahu sentiasa muda akal, selain menambahkan bahan-bahan bacaan.

1 comments:

Helmi Omar 6 December 2010 at 14:36  

Bagus. Iqra yang tepat dari seorang pemuda. Tambahan dari saya, kita yang sedang pemuda ini perlulah muda juga akalnya. Malah kita juga perlu usaha cegah akal-akal pemuda yang lain daripada dituakan dan mudakan kembali akal-akal yang telah dituakan. Dan jangan lupa pada satu kategori lagi, akal pemuda yang masih kanak-kanak, yang belum matang sesuai dengan usianya. itu juga salah satu penyakit masyarakat kita.
Apapun, teruskan iqra dan usaha saudara.

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP