Saturday, 29 January 2011

Inqilabiah dan Revolusi: Misi Tunai Janji


Tokoh Revolusi Tunisia

Sejak heboh diperkatakan mengenai Tunisia yang berjaya melakukan revolusi menjatuhkan sang mustakbir "Ben Ali", dunia hangat dan teruja. Barangkali kerana dunia sudah hampa dan derita dengan segala kebodohan yang timbul lantaran pemerintahan gila dijalankan oleh para aparat duniawi. Lantas siri revolusi berpindah ke Mesir, Yaman, meskipun masih belum berjaya seperti apa yang berlaku di Tunisia. Seakan-akan, Tunisia itu dua biji mata yang baru bangkit dari lena, manakala anggota yang lain sedang cuba untuk bangkit dan beraksi.

Pada kali ini, saya mahu menulis mengenai salah satu ciri khususi Islam yang ada kaitan dengan apa yang sedang berlaku dalam dunia pada hari ini. Selain rabbaniyyah, syumuliyyah,dan lain-lain, ada juga ciri inqilabiyyah. Ciri inilah yang saya maksudkan sebagai antara doktrin asasi yang sangat sinonim dengan Islam, semangat perubahan!

Inqalaba bermaksud menjadi berubah-ubah (to be turned), inqilaab pula ringkasnya bermaksud thaurah ataupun disebut oleh kita sebagai revolusi. Ini kefahaman secara umum, maka ciri khususi Islam ini kelihatan sangat hebat dan digeruni oleh para aparat zalim dan jahat. Islam bukan hanya agama di ritual, namun juga aktual. Bukan sahaja di masjid, malah praktikalnya di mana-mana termasuk di lubang biawak, apatah lagi setakat medan pilihanraya, ataupun Istana Pemimpin kaya-raya.

Inqilabiah secara general bermaksud menegakkan Islam di atas keruntuhan jahiliah. Betapa sucinya Islam sehinggakan Islam tidak boleh ditempel-tempel dengan sebarang unsur-unsur jahiliah yang lain kendatipun atas nama apa. Islam itu Islam. Kita berjuang menentang kezaliman demi menegakkan keadilan sejati bukannya berjuang menentang kezaliman kerana dendam pernah dizalimi, atau berjuang kerana mengejar matlamat peribadi. Keadilan versus kezaliman, integriti versus korupsi, keamanan versus kekacauan, inilah perjuangan Islam.

Perlu difahami, inqilabiah ini merupakan jalinan tiga komponen utama iaitu input, proses dan output. Input itu kefahaman yang jelas mengenai persoalan "kenapa, apa dan siapa". Kenapa mahu berubah, siapa yang mesti ditumbangkan, dan apakah kesalahan yang mereka lakukan. Sementara proses pula melibatkan persoalan "bagaimana", justeru di sinilah relevansi perjuangan revolusi, bahkan demokrasi dan segala strategi yang lain. Bukan setakat revolusi semata-mata, itu bebal namanya, kerana Islam mengurniakan kita akal yang mesti digunakan secara bijaksana. Supaya misi tercapai, yakni "output" = menumbangkan kezaliman, menegakkan keadilan.

Meruntuh dan Membina

Kalau kita lihat, falsafah yang terdapat dalam ciri inqilabiah ialah ‘meruntuh’ dan ‘membina’. Kita meruntuhkan jahiliah kemudian kita menegakkan Islam. Simple. Namun begitu, tanpa kita sedari falsafah ini sungguh hebat kerana membina minda kita supaya berfikiran laksana seorang negarawan yang futuristik.

Apabila kita melihat sejarah, kita pasti akan menemui bahawa banyak negarawan yang pernah bermukim di planet bumi berpegang dengan falsafah ini. Mereka merupakan individu yang bertanggungjawab menghalau penjajah dan memerdekakan tanah air mereka kemudiannya menjadi pemerintah bukannya diperintah.

Contoh yang paling dekat ialah Tunku Abdul Rahman dan Sukarno. Tunku diangkat oleh rakyat Malaysia sebagai Bapa Kemerdekaan dek kerana kesungguhannya mahu negara ini bebas daripada penjajah. Dan akhirnya pada 31 Ogos 1957 Tanah Melayu mendapat kemerdekaan daripada British (saya tidak ingin berbahas soal ‘siapa pejuang sebenar’ di ruangan ini). Ternyata, beliau berjaya meruntuhkan menara egoistik imperialis jahat tersebut. Namun, tercatat juga bahawa beliau gagal mengisi kemerdekaan tersebut dengan perkara-perkara yang boleh mendatangkan faedah kepada rakyat. Nampaknya beliau berjaya meruntuh tetapi gagal membina.

Begitu juga dengan Sukarno yang pernah digelar sebagai ‘The best revolutionary leader’ oleh para penyokongnya. Pidatonya cukup hebat, seruannya kepada rakyat Indonesia untuk menumbangkan penjajah disambut baik oleh para marhaenis dan golongan berada pada waktu itu. Akhirnya Indonesia mendapat kemerdekaan dan Sukarno diangkat sebagai Presiden Indonesia. Akan tetapi, zaman pemerintahannya bukan lagi zaman penjajahan yang merupakan era kegemilangannya. Sukarno dikritik hebat lantaran kegagalannya mengisi kemerdekaan di Indonesia. Sukarno hanya mampu meruntuh, tetapi tidak mampu membina.

Sewaktu dalam fatrah perjuangan nabi saw, baginda bersungguh-sungguh mahu meruntuhkan jahiliah yang telah terbina sekian lama dan akhirnya baginda saw berjaya. Kemudian, proses membina juga berjaya dilaksanakan baginda saw apabila tertegaknya negara Islam Madinah dan kemuncaknya menerusi peristiwa fathul Makkah. (Saya tidak berniat hendak bercerita panjang, anda boleh merujuk buku-buku sirah)

Begitu juga Sultan Muhammad al Fatih yang telah meruntuhkan Konstantinopel lantas menegakkan keadilan Islam di atas kecurangan maharaja sebelumnya. Hasilnya, penduduk Konstantinopel cukup berpuas hati dan bersyukur dapat berada di bawah pemerintah Islam. Kehebatan beliau menyebabkan kematiannya diraikan gereja-gereja di Eropah. Sungguh, Sultan Muhammad merupakan penakluk yang berminda negarawan dengan proses tajarrud luar biasa hebat yang beliau lalui sepanjang ditarbiah Syamsuddin al Wali.

Malahan banyak lagi kisah menarik negarawan-negarawan muslim dek kerana penghayatan terhadap konsep inqilabiah.

Minda merentas zaman

Selain itu, lebih mengkagumkan apabila falsafah inqilabiah juga mendidik kita untuk berminda jauh ke hadapan mengatasi zaman. Sekiranya kita melihat, era meruntuh dan era membina merupakan zaman yang jauh berbeza.

Sukarno hanya gah pada eranya, tetapi karam tatkala berada di tengah-tengah era yang memerlukan beliau melaksanakan segala retorik yang dinyatakan sepanjang kempen sebelum kemerdekaan. Nabi saw menunjukkan contoh yang lebih jelas tentang minda brilliant ini apabila baginda sentiasa meniup semangat umat Islam pada zaman itu untuk meruntuhkan jahiliah di samping menjanjikan pengisian yang hebat setelah berjaya mengalahkan puak-puak musyrikin pada waktu itu.

Wal hasilnya sebagaimana yang tercatat di buku-buku sirah. Satu demi satu apa yang diujarkan baginda sawberjaya dilaksanakan. Malahan, janji yang penuh retorika juga berjaya ‘dicetak’ seperti pembukaan Kota Mekah, jatuhnya Kerajaan Kisra, kemenangan ke atas Rom dan lain-lain. Sah dan terang lagi bersuluh bahawa insan yang dipandu dengan wahyu ini merupakan negarawan terulung. Berfikir merentas zaman.

Barangkali, dalam soal ini, kita wajar memuji Kerajaan Iran yang kelihatan jauh lebih baik berbanding tragedi revolusi 1979. Mereka menjatuhkan Shah Iran, kemudiannya bangkit membangunkan negara sendiri, dengan solidariti umat dan keprihatinan para ulama (intelektual).

Pepatah Inggeris ada berkata,

“Politicians think for the next election, statesman thinks for the next generation.”


Timbul persoalan, bagaimana dengan kita yang makin hampir dengan kemenangan menjatuhkan kerajaan jahiliah moden abad ini? Sudah bersiapkah kita dengan pengisian yang bakal dilaksanakan? Jangan sampai neo-jahiliah akan menetas setelah kejayaan kita menyembelih jahiliah dek kerana kegagalan kita membuat persiapan rapi dari perlbagai sudut seperti hiburan dan seni budaya, sistem pendidikan dan ekonomi.

Sungguh bebal sekiranya kita mahu melakukan revolusi, namun masih samar-samar dalam memperjuangkan isi. Dan sungguh zalim andai kita menumbangkan si zalim di bumi sendiri, tetapi kemudiannya 'si zalim lain' pula yang memperlakukan kita persis abdi. Justeru, jangan hanya berfikir mengenai zaman kita sahaja, sehingga kita muflis bertindak semasa sejarah sudah tercipta. Itu minda anak muda yang tajam akalnya.

Salam revolusi anak muda!

p/s: Artikel ini diedit daripada sebuah artikel lama saya "Inqilabiah Membina Minda Negarawan".

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP