Sunday, 23 January 2011

Kita Bukan Umat Yang Muflis Pemikiran

Saya memulakan tulisan pada kali ini dengan memetik sebuah kata-kata bidasan yang menarik daripada Dr. Siddiq Fadzil iaitu:

“generasi ilmuwan yang mewah dengan kebendaan tetapi kehilangan kebebasan lalu muflis pemikiran”

Generasi ilmuan merupakan sebuah generasi mulia yang menghidupkan umat tika mereka lena, berupaya menidurkan musuh ketika mereka berbuat durjana dan generasi ini jugalah yang bakal mengangkat martabat umat ke arena yang selayaknya. Generasi ini seringkali memainkan watak utama dalam sejarah, tanpa lelah, mereka menongkah arus kejahilan dan kebekuan cara berfikir. Mereka giat menyampaikan seruan walau dibantah, menegur kekeliruan meskipun dicantas.

Namun begitu, kemunculan mereka juga sentiasa dicemburui massa yang berhadapan dengan sindrom keselesaan, sindrom yang sangat memusuhi perubahan dan pembaharuan. Selalunya, sindrom ini diwakili oleh golongan tua (bukan semua) dan mendapat sokongan daripada anak muda yang tua akalnya. Sungguh malang anak muda itu, pemikirannya sudah muflis, keberaniannya untuk berfikir bankrupt sebegitu rupa, semuanya gara-gara mahukan keselesaan (status quo).

Keselesaan bangsa, harta benda, takhta dan yang paling membungkam minda apabila keselesaan itu kononnya atas dasar agama. Maka golongan inilah yang harus ditemui oleh para ilmuan ikhlas, yang bisa menggerakkan mereka daripada kebekuan dalam berfikir.

Syeikh Muhammad al-Ghazali dan Keberanian berfikir

Sesiapa yang pernah membaca tulisan Syeikh Muhammad al-Ghazali pastinya akan terkesan dengan buah pemikirannya yang sentiasa segar dan ranum. Beliau tegas dalam mempertahankan Islam dan perjuangannya, namun dalam masa yang sama beliau tampil dengan wajah pemikiran Islam yang progresif dan berkualiti.

Jujurnya, hati saya terpaut dengan satu buku yang bertajuk ‘Warisan Pemikiran Islam’ yang juga merupakan antara tulisan Syeikh Muhammad al Ghazali. Buku tersebut merupakan jawapan kepada permintaan daripada Dr Taha Jabir Alwani, iaitu pengerusi Institut Pemikiran Islam Antarabangsa. Saya sangat asyik membaca buku tersebut dan saya mendapati Syeikh sangat kritikal dalam memberikan satu-satu respon dan pandangan. Malahan, kedapatan berulang kali Syeikh mengkritik golongan pendakwah dan ulama yang bermusuh dengan akal. Syeikh sangat berani dalam setiap kenyataan dan buah fikiran hinggakan menyebabkan beliau dikecam oleh ulama dan pendakwah yang ortodoks.

Saya mengesan satu mesej besar yang dibawa oleh Syeikh Muhammad al Ghazali dalam tulisan beliau iaitu umat Islam mestilah rajin berfikir dan bersedia untuk datang dengan idea yang baharu dan berbeza dengan arus perdana. Asal sahaja buah fikiran itu tidak terkeluar dari orbit agama. Perbuatan ikut-ikutan apa yang telah dilakukan oleh orang terdahulu telah menyebabkan Islam yang kita bawa pada hari ini berwajah tua dan buruk. Walhal Islam itu selamanya cantik, indah dan menyamankan. Hal tersebut berlaku disebabkan tahap penggunaan akal yang sangat rendah dalam kalangan segelintir pendakwah Islam pada hari ini. Sangat jauh berbeza jika dibandingkan dengan peringatan al Quran yang menggalakkan kita menggunakan akal dan berfikir.

Kata-kata daripada beliau ini sudah cukup untuk menggambarkan apa yang terpasak kukuh dalam benaknya:

‘Manusia tidak lagi dapat disebut sebagai manusia jika akalnya tidak mahu lagi berfikir’.

Mangsa kebobrokan sistem pendidikan

Barangkali, ada baiknya kita menelaah dahulu puisi berharga daripada W.S Rendra ini:

“Dasar pendidikan kita adalah kepatuhan.
Bukan pertukaran pikiran.
Ilmu sekolah adalah ilmu hafalan,
dan bukan ilmu latihan menguraikan.”

Saya tidak mahu bercakap mengenai Rendra dalam tulisan ini, cuma saya mahu menghuraikan puisi bijaksananya itu. Beliau bercakap soal realiti, kejumudan dan kebekuan dalam berfikir lantaran sistem yang sangat memasung pemikiran. Sistem yang hanya mengajar untuk peperiksaan ternyata menjadi senjata berharga dalam meneruskan kitaran kebekuan dalam kalangan umat Islam. Saya tidak generalisasi semua tenaga pengajar kerana akur bahawa masih kedapatan banyak tenaga pengajar yang ikhlas dan jujur dalam pendidikan. Tetapi, kita tidak dapat menyangkal bahawa kitaran kebekuan ini sememangnya bersangkut paut dengan sistem yang sedang dipeluk erat oleh para penuntut di Malaysia ini. Walau Rendra bercakap soal Indonesia, namun tiada salah mengambil iktibar kata-katanya apabila kita (Malaysia) dan Indonesia masih berlegar dalam soal yang sama.

“Budaya peperiksaan dalam sistem pendidikan negara telah menggantikan budaya ilmu.Para pelajar memang giat belajar tetapi kebanyakannya bukan untuk memahami dan mencungkil makna daripada apa yang dipelajari tetapi untuk menghafalnya cukup untuk masa dua tiga minggu tempoh peperiksaan .Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sebilangan terbesar murid-murid tidak ingat lagi perkara-perkara yang gigih dipelajarinya sebaik sahaja peperiksaan tamat.Para guru pula memang giat mengajar tetapi penumpuannya lebih kepada untuk menghabiskan sukatan pelajaran dan mencapai kecemerlangan peperiksaan.”

Demikian kata-kata daripada Prof. Wan Mohd Nor yang merupakan salah seorang pemerhati, pengkaji dan pejuang pendidikan di tanah air. Pandangan beliau sungguh tajam dan menarik untuk dihayati sama ada bagi pihak pelajar ataupun guru.

Justeru, bagaimana kita mahu berhadapan dengan system ini? membubarkannya? Hampir mustahil. Tidak dapat tidak, kita mestilah bijak mengambil peluang dengan kritis mengadakan perbincangan dan buku-buku. Jangan hanya membaca buku-buku ‘ringan’, secara perlahan, kita mesti mendalami buah-buah fikir yang berat dan besar. Dalam hal ini, peranan guru, pemimpin dan ibu ayah akan teruji. Sebagaimana pesan berharga daripada Anwar Ibrahim ini dalam karyanya Gelombang Kebangkitan Asia:

‘’Peranan para guru,sarjana dan cendekiawan perlu meniupkan semula semangat cintakan ilmu,mengajak masyarakat kembali menikmati ladhdha al-ma’rifa,merasakan keseronokan bertemu dan menerokai pemikiran besar dan renungan pemikiran agung.’’

Mengenang China pada era kebekuan

Kepada yang giat mengkaji dan menelusuri sejarah dunia, mereka pasti akan menemui satu nama sang Raja iaitu Shih Huangdi, raja negeri Qin. Huangdi merupakan penghapus kepada kebebasan berfikir dan tradisi ilmu di China sedangkan dua zaman sebelumnya (770 – 476 S.M dan 475 – 221) merupakan zaman kegemilangan kegiatan falsafah. Beliau terkenal lantaran sikap fobianya terhadap keberanian untuk berfikir dan pembudayaan ilmu. Lantas, tragedi pembakaran buku-buku telah berlaku pada zamannya, angkara nasihat Perdana Menterinya, Li Si.

Kemuncak kebodohan Li Si ialah apabila beliau kemudiannya telah menulis memo kepada maharaja mencadangkan pembakaran buku. Pencatat sejarah, Sima Qian memasukkan memo tersebut dalam Shiji (Catatan Sejarah):

“Di zaman dahulu empayar pecah dan berlaku kekacauan dan tiada seorang yang mampu menyatukannya. Pembesar-pembesar merebut kekuasaan. Dalam pembicaraan mereka memuji zaman dahulu untuk menghina zaman sekarang dan menghiasi omong kosong untuk menimbulkan kekeliruan. Setiap sarjana memuji mazhab masing-masing dan mengkritik apa yang telah ditentukan oleh pemerintah. Pada masa sekarang Paduka Tuanku memiliki empayar yang bersatu, Tuanku menentukan apa yang putih dan apa yang hitam, dan telah bertakhta sebagai satu-satunya kuasa mutlak.

Namun mazhab-mazhab bebas ini bekerjasama untuk mengkritik undang-undang dan peraturan. Apabila mereka mendengar sesuatu perintah dimasyhurkan mereka akan emengkritiknya dari pandangan mazhab masing-masing. Mereka mengkritiknya dalam hati ketika di rumah, apabila keluar mereka mengkritiknya di jalan-jalan. Mereka mencari nama dengan mengkritik raja, mereka mahu kelihatan hebat dengan mengeluarkan pendapat berlainan, dan mereka memimpin orang kebanyakan dalam membuat fitnah. Jika kebebasan ini tidak dilarang, kuasa raja akan terhakis dan perpecahan akan berlaku di bawah. Adalah baik untuk menghalangnya.

Patek mengusulkan semua buku dalam perpustakaan diraja, kecuali tentang sejarah Qin, dibakar. Kecuali anggota akademi sarjana, semua yang memiliki Buku Puisi (Shi Jing), Buku Sejarah (Shu Ji), dan wacana seratus filasuf perlu membawanya kepada gabenor setempat untuk dibakar. Barangsiapa yang berani berbicara tentang Buku PuisI dan Buku Sejarah, mesti dihukum bunuh dan mayatnya dipamerkan di pasar. Barangsiapa yang berani merujuk kepada masa lalu untuk mengkritik zaman sekarang wajib dihukum bunuh beserta seluruh keluarganya sekali. Pegawai-pegawai yang gagal melaporkan kes-kes yang diketahuinya juga bersalah.

Setelah tiga puluh hari titah ini dimasyhurkan, mereka yang gagal memusnahkan buku-buku mereka akan dicap kulitnya dengan besi panas dan dihantar untuk membina Tembok Besar. Buku-buku yang tidak akan dimusnahkan adalah buku-buku perubatan, farmasi, ramalan menggunakan kura-kura dan milfoil, dan pertanian. Mereka yang berhajat untuk menuntut ilmu perlu mengambil pegawai kerajaan sebagai guru mereka.”


Demikian idea penuh kebodohan daripada Li Si kepada raja Huangdi. Benarlah mengenai anggapan para pemikir, bahawa pemimpin yang bodoh itu kebiasaannya didampingi oleh pembantu yang bodoh, sebaliknya pemimpin yang cerdas akan dibantu oleh pembantu yang cerdas. Namun begitu, China, bahkan dunia beruntung kerana dasar gila Li Si tidak berjalan alama kerana keruntuhan dinasti Qin selepas kematian maharaja pertama tersebut. Pelbagai aliran falsafah di China hidup kembali.

Kita bukan umat muflis dalam berfikir

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah, ayat ke-260:
“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaKu Bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk Yang mati?" Allah berfirman: "Adakah Engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?" Nabi Ibrahim menjawab: "Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon Yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)". Allah berfirman: "(Jika demikian), ambilah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu Dengan segera". dan ketahuilah Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”

Nabi Ibrahim a.s bertanya kepada Allah s.w.t, bukan kerana mahu mempertikai kekuasaan Allah, ataupun kerana tidak beriman wahyu daripada Allah, tetapi baginda bertanya untuk menguatkan keyakinan yang sedia ada dalam dirinya. Baginda bertanya untuk menenangkan hatinya, sebagaimana terdapat dalam ayat tersebut.

Kita mesti membudayakan keberanian berfikir, bukannya mahu mempertikai sesiapa sahaja, namun untuk menenangkan hati dan menguatkan keyakinan terhadap sesuatu perkara. Kita bukannya ‘disuap’ sahaja dengan pelbagai fikiran dan arahan tanpa diizinkan untuk mengenal pasti rasionalnya, kerana itu amalan Firaun yang memperbodoh kaumnya.

Firman Allah dalam ayat ke-54 surah Zukhruf:

“(dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik - derhaka.”

Ibnu Kathir menyatakan, perkataan fastakhaffa qaumahu pada ayat tersebut bermaksud: “Firaun meringankan/menipiskan/membodohkan akal-akal mereka” (istakhaffa ‘uquulahum’)

Keluarlah dari daerah kebekuan

Sekiranya umat Islam mahu ke hadapan dalam menangani zaman yang serba mencabar ini, maka keluarlah dari daerah kebodohan dan kebekuan pemikiran ini. Kita umat yang bijaksana dan tidak diminta untuk mensia-siakan akal sebegitu sahaja. Seruan ini ditujukan kepada semua – orang agama, pemimpin, mahasiswa, para guru dan sebagainya – selagimana anda bergelar manusia. Maka di sinilah relevannya kata-kata Syeikh Muhammad al-Ghazali di atas.

Menutup bicara, generasi ilmuan sama ada ulama, intelektual, mahasiswa dan para penuntut ilmu sewajarnya sedar bahawa kita mesti membina generasi yg berani berfikir dan bergerak menurut keyakinan mereka.

Belajarlah dari sejarah China yang dibentangkan di atas, mereka mengalami kejatuhan setelah menuruti perangai Firaun, mengekalkan kekuasaan, keselesaan dan status quo dengan kaedah menjumudkan pemikiran manusia lain. Ambilllah iktibar, kalau tidak, maka jangan diharap umat ini akan bangkit, selamanya tidak selagi hal asas kita tidak berubah.

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP