Sunday, 16 January 2011

Masa untuk Berubah, Sebelum Mahu Mengubah

Usai dari menunaikan solat Subuh di masjid, saya mengisi masa selepas itu dengan mendengar kuliah Subuh daripada seorang ustaz, berkenaan tasawwuf. Ustaz Hamzah, istiqamah mengajar kitab Penawar Bagi Hati di Masjid Darul Quran sejak sebelum saya menjadi Exco pelajar, dan kini telah lebih sebulan saya dan teman-teman meletakkan jawatan secara rasmi.

Kuliah tadi sememangnya mendamaikan jiwa, mententeramkan atma dan menyucikan dosa. Islam itu tertegak dari tiga rukun penting iaitu Iman, Islam dan Ihsan. Maka perbahasan mengenai rukun Ihsanlah yang dikenali sebagai ilmu akhlak ataupun tasawwuf. Manakala dari segi tarbiyah dalam sesebuah gerakan Islam, wujudnya istilah tarbiyah ruhiyyah yang secara langsung berkaitan dengan hati dan ilmu akhlak.

Saya seorang yang jarang menulis secara santai dan biasa, hal itu menyebabkan saya banyak bertangguh daripada menulis, kerana saya memerlukan masa yang betul-betul lapang untuk menulis sesuatu yang berharga dan mempunyai nilai tersendiri. Adapun pada kali ini, saya mahu keluar daripada tabiat itu dan berbicara dengan anda seikhlas mungkin. Bicara mengenai tarbiyah ruhiyyah.

Tatkala berborak bersama rakan-rakan saya, saya pernah berkata kepada mereka bahawa “kita mampu mengerah seramai mungkin ahli gerakan Islam untuk turun ke medan demonstrasi atau ke ceramah politik, namun belum tentu kita mampu mendidik mereka turun ke seminar, wacana, dan lebih-lebih lagi bangun di tengah kesejukan malam semata-mata untuk bertahajud kepada Allah.”

Ini realiti pergerakan kita pada hari ini dan ini juga kualiti dan nilai ahli gerakan kita dewasa ini. mereka mampu dan bersedia untuk berpanas terik selama berejam-jam semata-mata mahu mengikuti demonstrasi dan perhimpunan politik, tetapi mereka sangat malas untuk bangun solat sekadar dua rakaat untuk qiamullail. Tidak masuk lagi bab pembudayaan ilmu yang sangat kurang dan lemah dalam kalangan pendokong gerakan Islam pada hari ini. Buku-buku pembinaan fikrah dan haraki pun tidak dibaca, apatah lagi buku-buku yang berat dan mencabar fikiran. Sudah tentu jauh panggang dari api.

Firman Allah dalam surah as-Sajadah:

“Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka Dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa Yang Kami beri kepada mereka.”

Disebabkan itu, tidak hairanlah apabila kesibukan jadual dan tugasan harian yang dipikul ahli gerakan Islam kadang-kala disambut dengan keluhan, gelisah dan tertekan. Tiada lagi terbayangkan ganjaran keampunan dan kebaikan daripada Allah. Lalu, mereka sibuk melakukan pelbagai macam gerak kerja sehingga ke awal pagi, tetapi solat Subuhnya tunggang langgang dan dilakukan sendiri-sendiri. Sedangkan kata nabi saw, solat Subuh itu antara penanda aras antara sifat mukmin dan munafiq. Bagaimana orang yang mempunyai sifat munafiq boleh mendakwa mereka sedang bertempur dengan puak munafiq? Sungguh aneh dan kontradiks kata-kata ini.

Saya mahu menyentuh soal asas sahaja pada kali ini, sebelum saya datang dengan tulisan berkaitan cabaran kita yang sedang hidup pada zaman penuh kekeliruan dan kerancuan ini. Zaman di mana seorang ulama itu seharusnya seorang yang menguasai bahasa Arab dan Inggeris serentak, bukan lagi satu bahasa sahaja. Dan ini juga zaman di mana seorang ulama itu mesti berdaya saing dan berganda lebih hebat berbanding pemikir-pemikir yang terpesona dengan cahaya Barat. Bermakna, kualiti ulama semestinya sebagaimana diterangkan oleh ustaz Hasrizal dalam tulisannya yang mengimbau kehebatan para ulama pada zaman khilafah ‘Uthmaniyyah. (link)

Segalanya bermula dari diri kita. Entah bagaimana kita boleh bercita-cita mahu mengubah sebuah kerajaan yang katanya zalim, sedangkan kita masih belum berjaya mengubah diri kita sendiri? Aah, namakan sahaja hati ini sebagai sebuah pusat kerajaan yang zalim, nescaya kita akan lebih serius untuk mengubahnya dari sifat-sifat berkarat dan mazmumah. Riya’, ‘ujub, takabbur, suka berbalah tanpa haq, suka mencantas, mahu dihormati dan sebagainya.

Maka di sinilah relevansi tarbiyah ruhiyyah dan rukun Ihsan untuk berperanan. Dunia sudah menggila, persis gergasi yang sedang mengamuk kencang. Maka tasawwuflah yang mendamaikan dan menenangkan keadaan. Mujahadah mesti mengambil tempat supaya akan terhasil istiqamah. Silapnya orang kita ialah apabila mereka hanya mampu bermujahadah selama beberapa hari, kemudian kembali dengan sifat asal yang penuh dengan keburukan. Sebulan kemudian, mujahadah lagi, selepas itu rebah dan kecundang dalam mujahadah. Berulang. Tiada istiqamah.

Dan ketahuilah bahawa seluruh dunia akan menanggung kerugian lantaran kelemahan dan kelalaian kita umat Islam. Sebagaimana dilontarkan oleh Abu Hasan ‘Ali an Nadwi dalam bukunya Madza khasiral ‘alam bi inhitotil muslimin (Kerugian Dunia kerana Kemunduran Umat Islam). Justeru, setiap kali kita terleka, banyak buang masa, malas membaca, malas berfikir, lembab dalam melakukan gerak kerja dan sebagainya, ketika itu kita sedang merugikan semua manusia dan dunia. Disebabkan kita merupakan khayra ummah ukhrijat linnaas, bukannya ‘abdan mamlukan la yaqdiru ‘ala syai’.

Menutup bicara, saya melontarkan satu cabaran kepada kalian. Bersediakah anda mahu menjadi bijaksana, memimpin massa, amanah dengan kuasa dan menumbangkan raksasa? Kalau jawapannya ya, maka berubahlah, kerana mustahil sesuatu yang besar akan berjaya diubah andai diri sendiri belum berubah.

“Intellectual that separate al-akhlaq in their thought is a form of secularism.” – Syed Muhammad Naquib al-Attas

2 comments:

zu,  18 January 2011 at 12:51  

salam.
rasa macam terkena btg hidung sendiri bila baca artikel ni.
macam mana pula dengan ahli gerakan yang wad'u ghairak tapi islah nafs ntah kemana...

AnA ImTiYaZ.. 19 January 2011 at 00:51  

xsusah pn sbnrnya nk ke wacana atau perbahasan ilmu dan sbagainya...
tp bila brtembung dgn prkara y awlawiyatnya lebih bsar dr wacana trsebut,maka fikir2 knlah...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP