Monday, 10 January 2011

Ringkas : Muhasabah dan Motivasi

Perjuangan perlukan kefahaman, keikhlasan dan istiqamah. Itu secara umumnya. Sesiapa sahaja yang mahu menjadi umat bermaruah dan mulia, sewajibnya ia memiliki kefahaman yang tuntas, keikhlasan yang bulat dan sifat istiqamah sehingga nyawa dijemput malaikat maut. Keyakinan kita terhadap janji dan ganjaran Allah s.w.t kepada para penerus perjuangan agama-Nya juga merupakan antara syarat terpenting.

Saya memulakan tulisan pada kali ini dengan nilai-nilai di atas lantaran menyedari betapa kita akan menemui ajal dan bakal berpindah ke alam barzakh dan seterusnya alam akhirat. Medan kita menerima ganjaran dan balasan atas setiap perbuatan dan tindakan yang kita lakukan di dunia ini. Ya, itu keimanan kita sebagai umat beragama, bermaruah dan mulia dengan Islam.

Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Muthoffifin, ayat ke-26:

“Tempat penamatnya (khitam) ialah syurga yang berbau kasturi (misk), dan untuk itu (menikmati penamat yang penuh menyenangkan) maka berlumba-lumbalah wahai orang yang inginkan kesenangan (yang sedang berlumba-lumba)”

Sebenarnya, ini antara motivasi harian saya, bahawa kehidupan ini bukan medan menjadi manusia biasa-biasa, bukan gelanggang untuk kita mensia-siakan usia, tidak pula tempat kita menyediakan bekalan ke neraka. Na’udzubillah. Saya berkongsi kepada anda tazkirah ringkas ini supaya kita semua terus menjadi manusia percaya dan setia. Percaya dengan segala janji-Nya dan setia melakukan ketaatan kepada-Nya.

Ayat ini jelas menyatakan bahawa kehidupan ini merupakan satu perlumbaan yang mengkehendaki kita untuk cergas, cerdas, pantas dan ikhlas. Umat Islam sepatutnya merupakan sebuah umat yang unggul, berdaya saing dan mulia. Mereka sewajarnya menjadikan jiwa besar sebagai pakaian selagimana mereka bergelar Muslim.

Apabila kita sudah diiktiraf selaku umat besar dan bahagia, mengapa kita sungguh cenderung untuk bersikap keanak-anakan dan mahu menjadi manusia biasa-biasa? Sepatutnya kita bercita-cita menjadi umat al-Yadul ‘ulyaa khairun minal yadis sufla. Umat yang bisa menjadi pemberi kepada setiap manusia, pada setiap tika dan kala.

Umat alyadul ‘ulya semestinya memiliki sesuatu yang berharga, untuk diberikan kepada manusia ramai. Kita mesti memiliki kebenaran, kekuatan, ke’adilan dan kejujuran. Kita mahu menjadi umat pembela, justeru kita seharusnya sudah mampu membela diri. Kita mahu menghadiahkan ke’adilan kepada manusia, justeru kita sewajarnya sudah mampu ‘adil terhadap diri. Begitu juga, kita sewajibnya sudah berlaku jujur dan benar terhadap diri, sebelum mahu menghadiahkan manusia dengan kebenaran dan kejujuran.

Sayugia, kebanyakan dari kalangan kita mahu menentang kezaliman, namun kita masih bergelumang dengan kezaliman pada diri sendiri. Kita mahu mengangkat keadilan, tetapi kita masih belum bersikap adil terhadap diri. Kita menzalimi hak-hak Allah, sambil bercita-cita mahu mendaulatkan hukum hakam Allah. Argh, ini semua utopia!

Sebagaimana sekumpulan ajk masjid dan surau yang sangat malas dalam melakukan gerak kerja yang diamanahkan, tetapi bercakap soal besar, mahu menumbangkan kezaliman pemerintah negara. Mereka berduit dan berada, tapi malas bekerja. Sungguh bodoh dan dungu pemikiran mereka. saya mahu membebel kepada mereka yang tua dan muda tapi berakal tua. Laksanakan amanah anda dengan sewajarnya. Jangan syok sendiri mahu bicara soal luar biasa, tapi masih bergelut dengan hal-hal biasa.

Tidak mahu mebebel panjang dan menyakitkan hati orang, lebih baik saya beredar dahulu, renungi ayat di atas. Salam muhasabah.

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP