Sunday, 16 January 2011

Tangani Isu Sensitif Dengan Bijaksana

Sekarang sedang kecoh isu mengenai arak di Selangor, sebagaimana pernah kecoh sebelum ini. Juga, kembali hangat mengenai Ronnie Liu yang merupakan salah seorang exco Kerajaan Negeri Selangor, merangkap pimpinan DAP yang disifatkan sebagai anti-Islam. Maka bertebaranlah para 'pencinta' Islam memberikan ugutan dan ancaman kepada manusia bernama Ronnie ini.

Tidak hanya isu ini, gempar pula isu azan di Masjid Kerinchi yang dikatakan dihalang dibesarkan bunyinya oleh seorang peguam non-Muslim yang khabarnya dari MCA. Saya tidak mahu menyentuh lanjut mengenai MCA mahupun DAP, kenyataannya ialah mereka berasal dari kalangan non-Muslim. Makan penduduk kampung tersebut telah diapi-apikan sentimen oleh satu kumpulan yang dikenali sebagai Majlis Ayahanda yang entah dari mana datangnya.(Rujuk sini)

Sebelum itu, hangat juga isu novel Interlok yang menyaksikan pertembungan antara kaum India dan Melayu, isu kecil yang boleh merebak dan marak apabila disertai sentimen perkauman yang sempit (cauvinism). (Rujuk sini)

Cinta versus Sentimen

Saya mengamati secara halus, aduhai sungguh dahsyat apa yang sedang berlaku. Barangkali mereka ikhlas mahu menunjukkan kecintaannya kepada Islam dan perasaan sayang terhadap Melayu, namun adakah berpadanan dan bersesuaian tindakan mereka itu? Cinta versus sentimen. Tidak akan bercampur, seperti air dan minyak. Saya juga tidak bersetuju sekiranya kita menangani isu ini secara defensif dan mengalah semata-mata, kerana kelak kita akan dipijak dan dihina, selain akan terurai sensitiviti kita terhadap isu yang menimpa umat Islam. Ini apologetik yang tidak bertempat. Justeru, tangani isu dengan bijaksana dan menguntungkan Islam persis baginda saw yang melayan dengan tabah dan penuh empati terhadap seorang Badwi yang kencing dalam masjid baginda saw.

Sebenarnya, kebanyakan kita gagal berhikmah dan menunjukkan teladan kebaikan Islam. Atas nama cintakan Islam, kita dipengaruhi sentimen dan perkauman dan semangat yang membuta tuli.

Sememangnya Islam rahmatan lil'alamin, universal sifatnya. Namun, Islam itu terhindar kecantikannya dek sikap kita yang berlawanan. Justeru, manusia seperti Muhamamd Abduh mengeluarkan sebuah kata-kata sindiran tajam kpd umat Islam:
"Aku pergi ke Paris dan aku temui Islam tanpa Muslim, dan bila aku pulang ke Mesir, aku temui Muslim tanpa Islam."

Begitu juga kata-kata daripada Maryam jamilah, "Islam itu terhijab disebabkan orang Islam sendiri."

Tidak ketinggalan, isu Geert Wilders, seorang Ahli Parlimen dari wilayah Barat yang sangat ekstrem membantai Islam, lantas kita menanganinya dengan emosi semata-mata. Pada saya, tiada salah untuk kita menunjukkan sikap proaktif dan agresif menerusi boikot dan perhimpunan aman kerana itu juga wasilah menyampaikan seruan kesedaran kpd umat Islam. Namun, dikuasai satu bentuk emosi semata-mata adalah sangat mendukacitakan, kita tidak membaiki kelemahan kita, dan kita gagal memahami Wilders. Kenapa beliau terlalu allergic dengan Islam? Pernahkah kita bertanya dan berwacana hal ini?

Wacanakan di Ruang Awam

Dalam hal ini, saya nampak betapa pentingnya isu-isu sensitif seperti berkaitan perkauman, keagamaan, politik dan sebagainya dibawa ke ruang awam untuk diwacana. Semua datang atas persamaan fitrah yang mahu mendapatkan kebenaran, tanpa prejudis terhadap niat masing-masing. Dan ini juga peluang dan ruang buat Islam mempromosikan wajah mereka yang sebenar. Cantik, nyaman dan sopan, bukannya ganas, ekstrem dan jumud. Wacana ini juga seharusnya berjalan dalam suasana yang yakin, bukan dalam suasana yang takut dan tidak selamat, dalam suasana yang objektif bukannya partisan.

Ambillah iktibar daripada kata-kata Confucius ini:

"If the person is moved by passion,he will not achieve correctness; if he is moved by fear, he will not achieve correctness; if he moved by sorrow and distress, he will not achieve correctness" (The Great Learning - Ta Xue)

Kata-kata itu hampir menyamai firman Allah yang menyatakan tiada paksaan dalam beragama (al-Baqarah:256). Mana mungkin paksaan boleh menimbulkan keyakinan? Bahkan Islam membenarkan kita berhelah dengan berkata kalimah kufur semasa dharurat, dengan syarat ketika itu hati kita tenang dengan iman (illa man ukriha wa qalbuhu muthmainnun bil iiman). Justeru, nyatakan kebenaran Islam kepada Ronnie Liu dan manusia seangkatan dengan beliau secara berhikmah dan teratur, mudah-mudahan ia akan menumbuhkan pepohon keyakinan terhadap Islam dalam jiwa mereka.

Sebagai kesimpulan, seringkali kita gagal menjadi pendengar dan pemaham yang baik. Tiada empati dan integriti. Penuh emosi dan sentimen.

Firman Allah berhubung salah satu ciri Ulul Albab:

alladziina yastami'uunal qaul, fayattabi'uuna ahsanah

"orang-orang yang mendengar dengan teliti sesuatu pandangan, lalu ia mengikuti apa yang terbaik"

Boleh jadi, artikel abg wan saiful di bawah sangat wajar untuk direnungi.

http://ideas.org.my/2010/12/seek-first-to-understand/

Sekian, pandangan ringkas daripada saya.

p/s: Kredit buat Pemuda PAS yang mengendalikan wacana dalam menangani isu novel Interlok, syabas. (Rujuk sini)

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP