Saturday, 12 February 2011

Analisis: Revolusi dan Generasi Baru

Tahun 2011 bermula dengan cukup dramatik, kejatuhan dua rejim besar di dua buah negara yang berbeda. Sudah pasti tahun 2011 akan menjadi tarikh keramat yang cukup bersejarah kerana setelah dua bulan pertama ia beroperasi, sudah dua kerajaan diktator dan zalim telah tumbang. Tunisia memulakan revolusi bermula Disember 2010 dan mereka telah Berjaya menghalau Ben Ali pada 14 Januari 2011, manakala Mesir telah menempa kejayaan pada bulan Februari setelah menyaksikan kebangkitan sejak bulan Januari, inilah kebangkitan rakyat yang dahagakan keadilan, kemakmuran dan kejayaan. Inilah kebangkitan manusia yang berkongsi fitrah yang sama, bukan setakat kebangkitan Islam sebagaimana teori rambang dan ringkas yang telah dilakukan oleh beberapa pengkaji Muslim. Maaf, saya ulangi bahawa pada hemat saya, ini bukanlah kebangkitan Islam, ini kebangkitan rakyat daripada pelbagai latar belakang, atas fitrah yang sama.

Dalam kita memandang sesuatu yang berlaku, maka soal bagaimanakah kita memandangnya yang menjadi fokus utama, kaedah ini berjalan sama ada kita memandang sejarah ataupun apa yang sedang berlaku. Maka dalam soal revolusi ini, cara kita berfikir dan meneliti peristiwa akan membawa kita kepada persoalan apakah yang akan kita lakukan selepas ini, setidak-tidaknya sebagai mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku.

Agamawan, ilmuan dan beliawan

Kedapatan ramai yang makin bersemangat setelah melihat perubahan ketara dalam dunia, termasuklah bumi Malaysia. Semua mahukan revolusi, turun ke jalan raya dan suara kebangkitan bersemarak di sana sini. Ya, ini merupakan salah satu iktibar, bahawa setiap dari kalangan kita mempunyai kuasa keramat untuk melakukan revolusi dan menjatuhkan pemerintah kuku besi.

Sebagaimana yang saya pernah ulas sebelum ini, betapa iktibar terbesar yang bisa dikutip menerusi siri revolusi ini ialah dengan memperkasa fasa pembinaan generasi. Maka di sinilah akan terlihatnya sejauh mana kita prihatin dengan segala rukun dalam pembinaan generasi. Soal kesedaran agama, pembudayaan ilmu dan keupayaan gerakan mahasiswa menjadi tema terpenting dalam fasa pembinaan generasi.

Dalam menegaskan pandangan saya di atas, saya memetik sebahagian daripada tulisan lama saya berhubung hal ini (bertajuk: Kuasa Ilmu Memacu Perubahan):

“Revolusi Amerika yang berlaku pada separuh abad yang ke-18 telah berlaku disebabkan masyarakat Amerika pada waktu itu bersungguh-sungguh mahu memerdekakan tanah air mereka daripada British. Selain itu, satu demi satu kekejaman dan penindasan British juga telah meluap-luapkan kemarahan rakyat Amerika untuk melancarkan respon secara kekerasan dan pemberontakan.

Menurut sejarah, revolusi ini juga dipengaruhi oleh idea liberalisme oleh John Locke, seorang intelektual Eropah yang terkenal. Di samping itu, pihak gereja Protestan (paderi-paderi) juga telah menyemarakkan semangat perjuangan umat Amerika dengan memberikan ucapan-ucapan semangat kepada mereka supaya menjatuhkan ego British. Yang penting, konklusinya ialah gabungan pandangan pemikir Eropah (John Locke) dan pihak gereja ternyata telah menyebabkan British telah mengiktiraf kemerdekaan Amerika pada 1783.”

Siri revolusi yang memangkin kemunculan revolusi Perancis (1789-1799) ini menyaksikan gerakan gereja telah turun padang dan bergabung tenaga dengan para pemikir Eropah yang sinonim dengan idea pencerahan. Mereka dibantu oleh anak-anak muda yang telah tercerah jiwa dan raganya dengan motivasi agama dan falsafah. Seolah-olah mereka berkongsi cerita dengan Revolusi Islam Iran dalam menjatuhkan Shah Iran yang menjadi tali barut Amerika pada masa itu. Iran telah mengalami revolusi dan tidak dapat tidak, para penyaksi dan pengkaji revolusi tersebut merestui bahawa integrasi antara kumpulan “Mullah” (agamawan) dan kumpulan pencerahan dipimpin Ali Shari’ati (terkenal dengan kejayaan beliau mengharmonikan antara marxisme dan Islam). Sudah tentu anak-anak muda yang menjadi pendokong kepada kedua-dua aliran tersebut dan seterusnya mereka turun ke jalan raya, bersatu tenaga.

Fasa pembinaan generasi

Seandainya ditimbulkan persoalan apakah yang paling berat antara fasa revolusi dan fasa membina generasi, nescaya saya menjawab, fasa membina generasi. Saya berpandangan bahawa fasa merevolusi dan turun ke jalan raya tidak akan berlangsung cemerlang sekiranya tidak dimulakan dengan keseriusan dalam fasa membina generasi. Saya mengkritik cermat, betapa fasa merevolusi boleh disertai oleh sesiapa sahaja, termasuklah mereka yang “tidak menggosok gigi”. Namun begitu, fasa membina generasi akan member kesan terhadap fasa menunaikan janji, yakni fasa mengisi kejayaan revolusi. Justeru, ia secara khasnya akan melibatkan golongan terpilih sahaja seperti para cendikiawan dalam pelbagai aspek dan bidang keilmuan, walaupun secara umumnya, seluruh rakyat akan terlibat kerana mereka berada dalam satu negara.

Baiklah, saya meneruskan dengan memberi pandangan bahawa kejatuhan Rejim Hosni Mubarak sebagaimana sedang hangat ini telah dimulakan oleh pelbagai gerakan rakyat, salah satu yang paling menonjol di bumi Mesir ialah al-Ikhwan al-Muslimun (Muslim Brotherhood). Gerakan ini sudah bermula sejak tahun 1928 dan berjalan dengan penuh warna warni perjuangan, bahkan sehingga diharamkan lantaran kesannya yang cukup mendalam terhadap kebangkitan rakyat di Mesir dalam membanteras kezaliman. Gerakan ini menumpukan kepada pembinaan generasi (tarbiah ahli) dan pengislahan siasi (gerakan politik). Hampir semua rakyat mengenali gerakan Islam ini, tidak berkecuali kelompok Kristian dan bukan Islam yang lain.

Seterusnya, mari kita merenungi sejarah Turki pula, di mana Turki pernah menjadi pusat agung kepada pemerintahan Kerajaan Islam Uthmaniyyah. Sehinggalah keadaan selesa ini tercalar teruk lantaran rebahnya Turki di tangan para musuhnya, salah satu yang paling sinonim ialah Mustafa Kamal Attaturk, warga Turki yang menunjukkan rasa sayangnya terhadap bumi Turki dengan menjadikan negara tersebut secular, sehinggakan beliau seolah-olah mahu membunuh agama. Salah seorang ulama besar yang tegas mempertahankan Islam dan menentang sekularisme pada masa itu ialah Bedi’uzzaman Said Nursi. Sekiranya anda membaca kisah hidupnya, semestinya akan kelihatan betapa serius dan konsistennya Nursi dalam membuat perubahan, khasnya apabila beliau menulis sebuah buku berharga, Rasail al-Nur. Ketahuilah bahawa kitab yang berjilid-jilid ini ditulis dalam keadaan yang sangat payah, bahkan di medan perang dan sewaktu dalam tahanan, beliau masih tegar menulisnya, sehingalah kitab ini berjaya disiapkan. Alangkah indahnya apabila kitab itu telah menjadi sumber inspirasi warga Turki dalam membina generasi baru, kesannya, berpuluh tahun selepas itu Turki mengalami perubahan secara perlahan. Tanyalah kepada sesiapa yang mengkaji dengan teliti sejarah Turki dan gerakan kebangkitan Islam dan ilmu, pasti mereka mengiktiraf kejujuran Nursi tersebut.

Banyak lagi yang saya mahu berkongsi dengan para pembaca, namunbegitu, dibimbvangi kesannya hanyalah akan sekadar menjadi cerita yang enak dibaca, bukannya membina jiwa dan raga. Justeru, saya mahu membawa anda ke realiti semasa dalam membina generasi baru.

Generasi baru dan realiti

Saya sering berkongsi dengan teman-teman saya, dan semasa saya menyampaikan ceramah dan diskusi, bahawa saya sangat gusar dengan generasi yang sedang dibina dalam gerakan anak muda kita. Kebanyakan mereka hanya serius dalam soal semangat semata-mata, sangat lemah budaya berfikir dan keilmuan yang kelihatan. Sehinggakan saya bersetuju dengan pandangan bahawa perkataan mahasiswa wajar ditukar sebagai siswa sahaja, kerana maha itu bermaksud unggul agung dan besar. Kalau benar (maha)siswa itu benar-benar maha, mereka sepatutnya sudah bijak berfikir dan membaca karya-karya yang besar. Bukanlah bermaksud meremehkan “so called hal-hal kecil”, namun ia mesti diselarikan, selaras dengan status kita yang diberi kepercayaan untuk membuat perubahan dalam masyarakat.

Ya, saya sangat gusar akan hal ini, kerana perkara tersebut boleh dilihat menerusi laman sosial mereka seperti facebook, apalah sangat yang dibicarakan sehar-harian? (maha)siswa apakah ini? Begitu juga dengan gerakan Muslimat di tanah air kita, pada keyakinan saya, sesetengah mereka merupakan antara kumpulan yang sangat mengecewakan. Entahlah, jiwa dan akal saya sangat tidak dapat menerima sekiranya gerakan Muslimat (sama ada gerakan politik, NGO atau mahasiswa) beralasankan bahawa mereka hanyalah sayap kiri perjuangan, solehah, pemalu,warak, thiqah dan lain-lain yang berkaitan. Adakah hujah sebegini merupakan satu kemuliaan ataupun pendustaan, atas nama Islam? Aduh, makin difikir, makin runsing jadinya. Tatkala gerakan kewanitaan lain (liberal-sekular) makin perkasa, kita masih lagi bermain-main dengan “hujah kelakar” sebagaimana di atas. Defensif, pesimis dan apologetik!

Justeru, generasi apakah yang kita mahu bina?

Sebenarnya persoalan ini memerlukan sebuah tulisan yang tebal dan menerusi wacana yang serius, bukan sekadar artikel ringkas seperti ini. Jujurnya, sudah agak banyak tulisan sebegini seperti buku-buku al-Qaradhawi dan Abu Hasan ‘Ali an-Nadwi, bahan-bahan keluaran “Sekolah Attasian” dan buku-buku pencerahan terbitan Institut Kajian Dasar (IKD). Meskipun mereka dari jalur yang saling berbeda, namun temanya tetap sama iaitu membina generasi baru. Malangnya, sangat sedikit masyarakat kita, termasuklah golongan terpelajar yang menghargai usahsa-usaha tersebut dengan membacanya. Mereka setia memerhati.

Ringkasnya, generasi baru yang kita idam-idamkan ialah sebuah generasi yang mempunyai keyakinan yang teguh dan konsisten, menurut kepercayaan agama masing-masing. Bagi kita umat Islam, sudah tentu status selaku muttaqin menjadi sasaran utama. Seterusnya, generasi yang membudayakan ilmu dan menggilap potensi diri masing-masing. Budaya ilmu sangatlah luas, tidak terhad sebagaimana budaya membaca. Amat menyedihkan apabila kelompok (maha)siswa sendiri sangat jauh daripada pembudayaan ilmu, lihat sahaja buku yang dibaca oleh mereka, komitmen mereka terhadap wacana-wacana dan segala aktiviti ilmu yang dijalankan. Sah, mereka yang demikian amat tidak berkelayakan untuk bergelar (maha)siswa. Kemudian, generasi yang berani berfikir dengan kekuatan akal yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t. Sedarilah betapa kita bukannya sebuah umat yang muflis dalam berpemikiran, tidak sewajarnya kita hanya selesa untuk ikut-ikutan sahaja. Berani berfikir untuk melakukan perubahan, tidak statik dengan “manhaj”, berani berfikir dalam menangani perbedaan, tidak setia dengan satu kesatuan semata-mata. Wujudkan kumpulan-kumpulan diskusi, terutama untuk mengasah ilmu dalam bidang yang anda merancang untuk kuasai, asah akal untuk berfikir dengan teliti dan berani.

Salah satu hal yang cukup aneh wujud dalam diri (maha)siswa kita, termasuklah (maha)siswa pengajian Islam ialah kelemahan dalam menyantuni rasionalisme kritis. Antara buktinya, semasa kes revolusi di Mesir baru-baru ini, dengan hujah yang biasa-biasa, mereka menempelak al-Barada’I selaku tali barut Amerika dan Israel, kononnya al-Barada’I agenda freemason, dan lain-lain. Aduhai, minda primitif manusia yang beriman dengan teori konspirasi. Tahukah mereka bahawa al-Barada’I dipecat daripada IAIE di Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu kerana lobi dari Amerika? Sungguh teruk pemikiran anak muda sebegini, semuanya mahu disalahkan konspirasi. Malahan, sesetengah dari kalangan mereka juga sungguh naïf dalam menangani kritikan tajam, semuanya mahu disekat dan diharamkan. Rasionalisme kritis sewajarnya dekat di hati anak muda generasi baru, tangani ketidak setujuan dengan ilmu, bukan setakat emosi.

Menghargai spirit tokoh

Setiap revolusi akan memperkenalkan tokoh dan kumpulan yang bergerak di belakang revolusi itu. Kalau dahulu, pemikir-pemikir enlightment (zaman pencerahan dan pembaharuan) Perancis seperti Jean Jacques Rousseau, Montesquieu, Voltaire, dan Denis Diedrot yang amat dipengaruhi oleh falsafah John Locke telah memainkan peranan di sebalik projek revolusi di Perancis. Dalam revolusi Iran, adanya Khomenei dan Shari’ati, maka demikian juga dalam siri revolusi yang sedang hangat ini. Dalam tulisan ini, saya mahu menyentuh secara ringkas ketokohan Raced Ghannoushi (tokoh dari Tunisia) yang mana telah masyhur dengan pemikiran futuristic dan berani membuat perubahan.

Saya memetik salah satu jawapan yang diberikan beliau sewaktu ditemuramah oleh media al-Jazeera. Lihatlah temubual ini,

(soalan wartawan) Let's talk about the ideology of your party. Would you say that it's similar to the AKP in Turkey?

(Jawapan Ghannoushi) Since you mention Turkey, most of my books and my articles have been translated to Turkish, and form part of the reference point for the AKP. The Turkish experience remains the closest to the Tunisian situation, culturally, politically and socially, Turkey is the closest case to Tunisia. So al-Nahda, if you were to compare it [with another movement], cannot be compared to the Taliban or Iran, the closest comparison would be to the AKP.

Jujurnya, saya sangat kagum dengan jawapan tersebut lantaran ia lahir dari kebijaksanaan berfikir. Menurut Ghannoushi, situasi di Tunisia sangat hampir dengan Turki, justeru gerakan beliau yang bernama al-Nahda lebih dekat dengan AKP, sebuah badan politik di Turki. Lihatlah bagaimana beliau mengimport idea luar ke dalam negaranya, dengan membuat penelitian yang tajam dan objektif. Bukannya menerusi semangat semata-mata, justeru menyaksikan beliau menolak untuk disamakan dengan Taliban atau Iran, kerana Tunisia tidak sama dengan kedua-dua wilayah tersebut.

Oleh yang demikian, pandangan saya menyatakan bahawa dalam menggerakan suara kebangkitan (khasnya Islam) di bumi Malaysia ini, kita sewajarnya mengkaji dengan teliti sosio-budaya dan ekonomi, kemajmukan masyarakat, kepelbagaian agama dan sebagainya. Fiqh Malaziy sebagaimana pernah disebut Dr Siddiq Fadzil sewajarnya terus dikaji dan kita mesti bergerak ke arah itu. Importlah idea dari mana-mana sahaja, asalkan baik, namun jangan lupa untuk bersikap bijaksana.

Sekian dahulu pandangan-pandangan saya dalam menggauli suasana revolusi dan kebangkitan rakyat yang sedang meluncur laju. Lihatlah dengan penuh daya kreativiti, bukan sekadar semangat merevolusi. Tumpuan kita, memperkasa generasi baru, demi Malaysia dan umat yang baru.

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP