Wednesday, 23 February 2011

Menilai Isu Sistem Pendidikan


Karya tulisan Paolo Freire antara yang wajar direnungi dalam menilai isu pendidikan


Sudah lama saya tidak membuat catatan perkongsian diskusi, namun ia tidak bermakna usaha saya untuk menghidupkan budaya ilmu dalam kalangan siswa-siswa ini mulai mengendur, sebaliknya makin subur dan berkembang. Alhamdulillah.

Kalau pada tahun 2009 dahulu, sewaktu baru di memasuki tahun kedua pengajian, saya memulakan percubaan untuk menghidupkan budaya ilmu hanya diadakan di bilik saya, dan keadaan itu agak kerap dan bilik saya sememangnya dikenali oleh temna-teman rapat saya sebagai bilik untuk perbincangan ilmu. Saya pernah cuba membuat secara rasmi iaitu dengan mengadakan di masjid Darul Quran, namun kejayaan mengadakan diskusi tersebut berakhir dengan kekecewaan. Kejayaan lantaran diskusi ilmu itu menarik minat siswa-siswa Darul Quran, kekecewaan pula kerana karenah birokrasi yang sangat membosankan saya. Menyebabkan saya tegar melakukannya atas inisiatif saya, yakni di bilik di asrama kediaman.

Hampir dua tahun saya terus tegar, sehinggalah akhirnya semakin subur budaya ilmu di kampus ini, terutamanya apabila diskusi mula diadakan di auditorium dan dewan baru. Saya tersenyum syukur, walau “aktivis-aktivis tegar” gerakan Islam sangat tidak berminat dengan aktiviti ilmu sebegini, sebagaimana mereka hanya “pasrah” dengan membaca buku-buku keluaran Dewan Pustaka Fajar semata-mata, tanpa ada kesungguhan untuk membedah dan merenung karya-karya yang besar. Tokoh mereka terhenti setakat Imam Hasan al Banna sahaja, tanpa melihat kepada para ulama silam dan tokoh-tokoh lain yang setanding malahan jauh lebih hebat berbanding Hasan al-Banna. Biarlah saya membebel seketika, supaya ada perubahan yang akan berlaku. Kalau tidak, mereka akan meneruskan kitaran kebekuan pemikiran generasi gerakan Islam, dengan pelbagai candu yang didakwa atas nama perjuangan agama!

Baris-baris di atas merupakan muqaddimah kepada perenggan-perenggan yang seterusnya. Saya mengkritik bahan (substance), tabiat (habit), sikap (attitude) dan pemikiran (thought) sahaja, saya tiada masa untuk mencela nama ataupun batang tubuh mereka. Lebih baik saya meneruskan niat saya dalam perkongsian ini.

Sistem pendidikan penerus kitaran kebodohan

Pada petang hari Isnin baru-baru ini, saya telah mengadakan satu diskusi mengenai sistem pendidikan. Ini isu lama yang sudah disentuh oleh pelbagai golongan yang endah dan cakna, namun isu ini sangat tidak diminati oleh kelompok-kelompok “aktivis tegar” yang hanya mahu bicara isu-isu semasa, lantas diulas dengan bersahaja tapi berlagak wira. Isu semasa hakikatnya boleh diulas oleh sesiapa sahaja, malah isu-isu semasa heboh diulas di warung-warung, cuma bedanya ialah bagaimana kita menyantuni isu itu? Selaku (maha)siswa dan golongan terpelajar. Sebab itu, gerakan Islam kita lebih banyak melahirkan khutaba’ (pandai bercakap) semata-mata, namun sangat kekurangan fuqaha’ (expert) yang memahami secara mendalam dan sentiasa mengkaji sesuatu perkara secara ilmiah dan objektif, penuh dengan daya inkuiri yang tinggi. Ini kekurangan sebahagian daripada kita dan kekurangan ini sangat serius.

Saya membentangkan kepada sahabat-sahabat yang sudi hadir pada petang itu mengenai kekacauan pelaksanaan sistem pendidikan di Malaysia, bermula dengan kelewatan rumusan falsafah lengkap dalam pendidikan Islam (31 tahun selepas kemerdekaan negara), sekularisasi dan materialisasi terhadap sistem pendidikan dan kenaifan para penggerak sistem yang seolah-olah menjadi kuda tunggangan kepada para kapitalis di luar sana. Sistem pendidikan sebagai kilang melahirkan pekerja-pekerja (human capital), bukan lagi melahirkan good man (khayrun naas anfu’uhum lin naas). Dehumanizing process, by grading process!

Saya melihat, falsafah pendidikan kita masih boleh dipuji isi dan hasratnya, namun yang mengecewakan apabila falsafah tersebut telah dibakul sampahkan secara hina, menyebabkan lahirnya generasi yang beku cara berfikir, nipis keyakinan agama, muflis pengawalan emosi dan hilang jati diri. Hilang jati diri lantaran cara berfikir dan bergerak mereka sudah ditawan dan dijajah, lantas menyebabkan mereka kagum dengan modernity secara keterlaluan, silau dengan pembaratan tanpa melakukan kritikan terhadap kerosakan tamadun Barat. Mungkin tulisan ilmiah daripada saudara Wan Fayshal ini (klik sini) bisa diambil iktibar dalam memahami beberapa tipu daya sistem pendidikan, terutama apabila beliau memetik pandangan-pandangan cerdas daripada seorang sarjana pemikir kritikal, Syed Hussein al-Attas.

Banyak lagi point yang saya sebutkan sewaktu diskusi itu, namun saya tak berminat memanjangkannya di sini, sebaliknya saya mahu mencadangkan satu buku besar kepada anda.

Projek jangka panjang

Dr. Majid Irsan Kaylani dalam bukunya, ‘Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya al Aqsa ke Pangkuan Islam’ (Hakadza Zhahara Jil Shalahiddin wa Hakadza ‘Adat al Quds) telah mendedahkan hasil kajian beliau bahawa Salahuddin al Ayyubi merupakan klimaks kepada hempas-pulas yang telah dilakukan oleh al Imam al Ghazzali kira-kira satu abad sebelum itu. Pemikiran Imam Ghazzali yang telah melakukan analisis dan diagnosis terhadap masalah umat Islam pada zamannya menghasilkan impak yang cukup besar. Agenda reformasi pemikiran, pendidikan, sosial dan politik beliau telah mempengaruhi iklim tarbiah pada waktu itu dan diteruskan oleh alim ulama selepas kewafatannya. Hasilnya, figure yang bernama Najmuddin bin Yusuf ini lahir menyelamatkan umat Islam pada zamannya.

Berikut ringkasan kaedah reformasi oleh Imam Ghazzali sebagaimana terdapat dalam buku tersebut:

1) Menyebarkan risalah islam ke seluruh alam, elemen tasauf ditekankan.
2) Tanggungjawab menyebarkan misi perubahan ke seluruh alam.
3) Diagnosis dan pengubatan pemasalahan yang timbul.



Saya mula membaca buku ini pada semasa saya masih di tahun pertama di kampus, pada waktu itulah buku itu “dihebohkan” oleh beberapa mahasiswa yang cakna mengenai isu teras ini. Dan sememangnya minda saya berubah dan mendapat manfaat yang sangat besar menerusi kajian objektif dan unik daripada Dr Majid ini. antara iktibar terbesar menerusi kajian tersebut ialah peranan sistem pendidikan dalam melakar perubahan terhadap umat Islam.

Namun demikian, bukan mudah mahu menemui mahasiswa yang memiliki dan membaca buku sebegini, termasuklah kumpulan yang so called ahli gerakan Islam. Percayalah, buku ini sangat baik untuk dihayati, malah boleh diambil iktibar dalam membaiki sistem tarbiah untuk gerakan Islam. Kerana proses input (kursus/tamrin/sekolah/madrasah) sangat penting dalam membentuk sebuah generasi yang kita cita-citakan. Kalau proses input itu sekadar retorik ukhuwah dan “muhasabah” sahaja, maka kesannya sekadar cukup makan sahaja.

Namun demikian, usaha menyelesaikan core problem ini sudah tentu mengambil masa yang sangat lama dan memerlukan kesabaran, selain kita juga wajib bertanggungjawab untuk menyelesaikan presenting problem (sinonim dalam dunia aktivisme). Pointnya, sejauh mana kecaknaan kita dalam isu ini? Buat (maha)siswa yang sedang karam dengan aktivisme semata-mata, dicadangkan untuk membedah kembali buku ini, setelah dibedah sewaktu Gamis dipimpin oleh saudara Dzulkhairi Mohd Noor.

Selepas diskusi, apa hasil?

Seorang peserta diskusi bertanyakan soalan ini kepada saya baru-baru ini, dan saya yakin bahawa ini antara “doktrin negatif” yang bersarang dalam minda beberapa kelompok manusia. Saya menjawab, bahawa dalam keadaan kita berada di bawah sistem yang cukup rosak, diskusi sebegini akan membuatkan kita mengenali segala kekurangan dan tipu daya yang sedang wujud, lantas diharapkan kita akan menajdi generasi yang tidak mudah disuap dan tertipu. Penerus kitaran kebekuan! Sementara itu, tugas masing-masing untuk sentiasa menyebarkan kepada sahabat-sahabat yang lain supaya tidak tertipu dengan sistem yang sangat rapuh ini.

Perbincangan sebegini juga akan menyebabkan akal kita semakin kritis dan adil dalam membuat penilaian, selain keyakinan saya bahawa konsep bottom-up sangat berperanan besar dalam membuat satu-satu pengislahan. Tanpa menafikan kepentingan political will, saya melihat bahawa sekiranya pengislahan menerusi political will semata-mata, ia akan berlaku dalam keadaan tidak sempurna dan wujud elemen pemaksaan. Saya meyakini bahawa bottom-up dan up to down sangat berkaitan, two sides of the same coin!.

Seterusnya saya mencadangkan solusi bahawa sistem pendidikan kita (bahkan tanggungjawab kita sebagai penuntut) sepatutnya melahirkan ummatan wasatan, dan saya merujuk kitab tafsir Ibnu Kathir berkenaan ayat ummatan wasatan sambil membuat kaitan dengan matlamat pendidikan Islam, sebagaimana yang telah dibahaskan oleh para pemikir pendidikan Islam.

Saya menulis ringkas, supaya proses membina generasi akan terus berlangsung dengan cemerlang dan seimbang. Saya agak gusar dengan segelintir mahasiswa yang seolah-olah karam dengan aktivisme, lantas mengabaikan intelektualisme, walhal mereka ialah mahasiswa, bukannya politikus kangkung! Keghairahan dalam Pilihanraya Kampus (PRK) sewajarnya juga dituruti dengan keghairahan mereka menelaah karya-karya besar dan berat.

Sekian,
Marwan Bukhari A. Hamid

4 comments:

Anonymous,  24 February 2011 at 00:30  

Saya teruja dengan anda punya usaha...doakan usaha saya pula diterima dalam keadaan saya beru hendak bertatih... :)

Anonymous,  24 February 2011 at 00:32  

Saya teruja dengan anda punya usaha...doakan usaha saya pula diterima dalam keadaan saya beru hendak bertatih... :)

Anonymous,  24 February 2011 at 00:33  

Saya teruja dengan anda punya usaha...doakan usaha saya pula diterima dalam keadaan saya beru hendak bertatih... :)

Aiman Phoenix 19 July 2013 at 07:31  

As-salaamu'alaikum.

Terima kasih atas penulisan saudara.

Dahulunya saya juga pernah buta dengan dunia aktivisme.

Sekarang, tidak lagi. Itupun agak lama juga untuk dicuci bersih daki2 doktrin aktivisme.

Buku Dr. Majid Irsan Kaylani ini adalah antara buku yang telah saya baca pasca dunia aktvisme.

Adapun buku yang menyebabkan saya nekad berhenti ber"usrah" adalah buku Kisah Saya Pejuang Islam (The Islamist) oleh Ed Husain. Dalam novel memoar ini sahaja sudah dapat diketahui akan kepentingan kita menisbahkan diri dengan usaha umat zaman berzaman.

Mereka (umat terdahulu yang dipimpin ulama) memiliki "cumulative knowledge", khazanah2 ilmiyah yang tidak terhingga (turath islamiyyah), jauh lebih banyak jika hendak dibandingkan dengan buku2 haroki yang kurang-lebih hanya melangkau sekitar satu abad. Itupun cakupan perbincangannya sangat terhad.

Dukacitanya arus aktivisme ini merebak pantas dalam kalangan mahasiswa. Saya kurang arif pergerakan mereka dalam kalangan mahasiswa aliran ugama (shari'ah). Namun kalau dalam kalangan mahasiswa non-shari'ah, mereka yang "islamik" biasanya daripada golongan ini. Berita gembiranya, alhamdulillah, kebelakangan ini juga sudah boleh dilihat akan kebangkitan syabab2 yang mendokong agenda ulama tradisi.

Saya terdorong dengan artikel saudara yang satu ini. Sebagaimana saya terdorong dengan penulisan saudara Rausyanfikir (Wan Ahmad Fayshal).

Moga-moga suatu hari nanti saya (dan kawan2 yang lain) dapat melakukan usaha2 menyuburkan budaya ilmu di kampus, seperti yang telah saudara lakukan. Mohon doakan kami.

Wassalamu'alaikum.

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP