Wednesday, 11 May 2011

Kisah Saya dan Perlembagaan




Penglibatan saya dalam isu-isu umat Islam, termasuklah dalam memperjuangkan idea menegakkan sebuah negara yang berteraskan Islam berlaku dalam beberapa fasa. Fasa yang pertama ialah apabila saya didedahkan dengan politik Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menerusi ceramah-ceramah PAS yang saya hadiri dan pembacaan akhbar Harakah dan buku-buku yang menyebarkan idea dan pandangan PAS.

Fasa kedua ialah menerusi penglibatan saya dalam usrah dan gerakan PAS secara rasmi, ini menyebabkan saya makin terdedah dengan perbincangan-perbincangan berkenaan konsep perjuangan Islam, sama ada menerusi usrah, bengkel, kursus dan pembacaan buku-buku fikrah. Banyak doktrin yang saya terima dalam fasa ini seperti mengenai hakimiyyah ALlah, sistem negara Islam, jahiliyyah moden, khilafah Islamiyyah dan lain-lain, termasuk antaranya berkenaan perlembagaan persekutuan yang disifatkan sebagai sekular, thaghut dan wajib diubah. Isu perlembagaan yang tidak bersifat Islam inilah antara disentuh oleh banyak kumpulan Islam, termasuk yang selain PAS.

Fasa ini menyebabkan doktrin mengenai perkara ini berterusan, dan saya sendiri pernah menyalahkan perlembagaan sebagai sesat dan bercanggah dengan agama.

Seterusnya, tiba fasa yang ketiga yang sangat disyukuri, iaitu fasa saya mula mencari jawapan berkenaan beberapa doktrin, selain saya makin rajin membaca, mengkaji dan mengadakan diskusi dalam pelbagai isu. Buku-buku saya tidak lagi satu hala, ceramah-ceramah yang saya hadiri bukan lagi bersifat mengongkong pemikiran dan saya mula menyantuni beberapa hal yang pernah mendoktrin saya. Antaranya ialah mengenai konsep kenegaraan menurut Islam, gerakan Islam abad baru (yang lebih demokrat dan progresif), keperluan menegakkan Islam menuruh wajah Fiqh Maliziyya. Antara elemen utama dalam perbincangan tersebut ialah mengenai perlembagaan persekutuan yang sungguh dibenci oleh sesetengah "pejuang Islam".

Hal ini menyebabkan saya mula membaca serba sedikit berkenaan perlembagaan, selain bertanya kepada kenalan-kenalan yang berkemahiran dalam isu ini. Malah, saya pernah mengadakan diskusi dengan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Dato' Zainul Rijal Abu Bakar. tentang perlembagaan persekutuan. Saya tertanya-tanya, bagaimana kita mahu bercakap soal politik kenegaraan seandainya salah satu rukun kenegaraan ini tidak disantuni? Malah, hanya dilabel itu dan ini. Bagaimana kita mahu bergerak dalam konteks Malaysia (fiqh maliziyya, waqie) sekiranya kita berterusan memusuhi instrumen asas tersebut? Dan cerdikkah kita sekiranya kita mudah menuduh dan mengulangi tuduhan terhadap perlembagaan tanpa sedikit pun berusaha memahaminya?

Sememangnya, perlembagaan persekutuan bukannya destinasi kita tetapi alat untuk kita memakmurkan negara dengan keadilan, sesamarataan, kebebasan dan kekayaan. Justeru, alat ini sewajarnya dikenali terlebih dahulu, kemudian dibaiki sekiranya berasa itu satu keperluan. Akan tetapi, menolaknya mentah-mentah dengan pelbagai gelaran dan label merupakan satu kebodohan yang nyata.

Malang sekiranya hal-hal mengenai perlembagaan hanya diketahui oleh pelajar bidang perundangan sahaja, dan masyarakat lain tidak berusaha untuk sekurang-kurangnya mengetahui secara basis dan umum beberapa perkara dalam perlembagaan. Saya sangat risau sekiranya mahasiswa, pemimpin Islam, ulama-ustaz, ahli-ahli politik dan seumpamanya bergegar-gegar bercakap isu-isu politik kenegaraan, namun masih belum menyantuni perlembagaan persekutuan.

Disebabkan itu, saya terus berbincang dengan Dato' Zainul Rijal untuk mengadakan satu bengkel ke arah memahami asas-asas perlembagaan persekutuan, awalnya menerusi perbincangan ringkas sahaja. Kemudiannya kami mengadakan mesyuarat khas di pejabat beliau dan menderaf tentatif dan senarai penceramah untuk dibawa ke dalam bengkel ini. Wal hasilnya, segala puji bagi Allah kerana setakat ini perancangan kami berada dalam keadaan baik dan semoga Allah terus mempermudah urusan ini.

Saya menjemput kalian yang berkelapangan untuk menghadiri bengkel ini.

Sekian,
Marwan Bukhari A. Hamid, 013 972 1925
Sekretriat Syubban Persatuan Ulama Malaysia (PUM)

2 comments:

aku dr amin 11 May 2011 at 19:47  

tahniah marwan atas inisiatif hebat ^_^

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi 14 June 2011 at 15:03  

Assalamualaikum Akhi Marwan, mohon bertanya, apakah program ini berlangsung dan jika sudah di mana ana boleh dapatkan ulasan atau rekod program tersebut, syukran.

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP