Friday, 9 December 2011

Komentar Video Musim Hudud

*Video bertajuk Musim Hudud boleh dilihat di sini.

Akar rebung meresap,
Akar nangka di dalam perahu,
Terbakar kampung, kelihatan asap,
Terbakar di neraka, siapa yang tahu?

Pantun dan komentar ini tidak bermaksud meletakkan "hukuman neraka" kepada pelakon-pelakon dalam video tersebut, cuma sebagai amaran dan tafakkur untuk kita, supaya jangan bermudah-mudah menghina hukum Tuhan. Semakin ramai yang melihat video ini, semakin banyak dosa orang yg menghina.

Pada saya, kalau mahu bercakap hudud secara terbuka, sudah tiba masanya memandangkan hudud berkait dgn ramai pihak. Bahkan (pandangan peribadi saya) sesiapa sahaja boleh mempersoalkan dan mengkritik implementasi hukum Hudud, sama ada Muslim dan lebih-lebih lagi bukan Muslim. Mempersoalkan implementasi tiada masalah lantaran manusia yg mengimplementasikannya, justeru pastinya sangat banyak kelemahan manusia. Sebaliknya yangg menjadi masalah apabila disindir tanpa ilmu dan penuh dengan tohmahan. Hal ini tidak dapat diterima akal rasional, apatah lagi agama sendiri melarangnya.

Sehingga masa ini, saya bersetuju dengan pandangan tokoh-tokoh yg mengesyorkan supaya didahulukan membuka ruang kebebasan, good governance, menyelesaikan masalah ekonomi, demokratisasi media dan lain-lain lagi berbanding tergesa-gesa dalam melaksanakan hukuman hudud. Menuju kepada hudud itu wajib hukumnya, oleh yang demikian segala syubhah yang menjadi penghalang kepada pelaksanaan hudud mesti diselesaikan terlebih dahulu. Pada hemat saya, halangan utama sekarang ialah ruang kebebasan dan demokrasi yang sangat bermasalah, malahan jabatan-jabatan agama sendiri menjadi penghalang dalam menyebarkan agama (isu tauliah sebagai contoh).

Namun demikian, video di atas telah menambahkan salah faham semua pihak terhadap hudud, tiada kritikan ilmiah sebaliknya penuh dengan cercaan peribadi, fitnah dan mempersenda hukum agama. Sebagai Muslim, wajib kita menasihati dan memberi respon sewajarnya terhadap penyebaran video ini. Kalau pun bukan menerusi blog atau facebook, sekurang-kurangnya hati kita menolak tindakan lakonan dalam video di atas.

Selain itu, saya melihat di sinilah kepentingan untuk NGO-NGO Islam seperti IKRAM, ABIM, ISMA, PUM (Pada saya, Pas tidak perlu terlalu menumpukan isu ini memandangkan terlalu banyak keutamaan lain yang mesti dilaksanakan dan diperkuat buat masa ini) dan lain-lain merespon tindakan di atas dengan sehikmah mungkin. Apabila sihir digunakan ahli-ahli sihir pada zaman Firaun, maka Musa as dikurnia mukjizat tongkat ajaib utk melemahkan mereka. Tatkala syair-syair yg penuh mempersona digunakan masyarakat Arab jahiliah untuk menentang dakwah nabi saw, maka datang al-Quran yang penuh dengan nilai sastera yang tinggi. Justeru apabila video, filem dan teknologi digunakan dalam memberi tanggapan buruk kepada Islam, apakah sekadar demonstrasi yang akan menjadi satu-satunya jawapan?

Wallahua'lam, semoga Allah merahmati sekalian pejuang keadilan dan kebenaran!

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP