Wednesday, 4 January 2012

Isu Nur Amalina : Komentar




1) Apabila masyarakat Malaysia bercakap isu Nur Amalina Che Bakri dan tudungnya, adakah disebabkan peduli atau menyibuk urusan peribadi orang lain? Sementara apabila masyarakat Malaysia membisu mengenai pelbagai ketempangan dalam negara, adakah ia disebabkan terlalu sibuk atau tidak prihatin? Saya memulakan komentar terhadap isu ini dengan lontaran persoalan ini memandangkan terlalu ramai masyarakat Malaysia yang mengambil bahagian dalam isu tersebut, sambil sebahagian yang lain buat tidak endah dalam isu rasuah, kezaliman dan lain-lain.

2) Isu tudung adalah dosa peribadi, adapun isu penindasan dan kezaliman adalah dosa yang melibatkan kepentingan banyak pihak yang lain. Amalina mempunyai kebebasan dan pilihan untuk menuruti atau melanggar arahan bertudung, dan dalam masa yang sama kita juga mempunyai kebebasan dan pilihan untuk menasihati beliau supaya menjadi seorang Muslimah yang praktis, sementara selebihnya terserah kepada kedua ibu bapanya dan Allah swt. Hal ini sejajar dengan antara asas utama yang menjadi pegangan kita iaitu "Agama itu nasihat" sebagaimana terdapat dalam surah al-'Asr dan hadis nabi saw.

3) Adapun isu rasuah, penyelewengan wang zakat, kezaliman dan lain-lain, melibatkan hak manusia lain, justeru semua kita wajar menentang dan mencegahnya semampu kudrat yang ada. Ia merupakan dosa yang memberi kesan sosial dan melanggar hak manusia yang lain. Justeru konsep nasihat dan mencegah kemungkaran seperti ini berbeza dengan konsep nasihat dalam bab dosa peribadi, kemungkaran sebegini wajar ditentang dan disebar supaya masyarakat awam mengetahui, kerana isu tersebut melibatkan hak mereka juga.

4) Saya melihat, di sinilah kekurangan kita dalam memahami falsafah dosa pahala. Tidak sewajarnya kita menjaja kisah peribadi manusia lain selagimana dosa tersebut hanya berkait dengan dirinya sahaja. Kita wajar menasihati, bukannya mencerca dan memaki tanpa henti. Sementara dalam masa yang sama, segelintir manusia lain buat tidak reti dan peduli dalam isu hak dan kepentingan mereka sendiri sendiri seperti pencabulan demokrasi, kezaliman, rasuah, kronisme dan sebagainya. Aneh.

5) Berbalik kepada isu Amalina, ada beberapa isu yang wajarnya kita perhatikan iaitu perkaitan antara mahasiswa dan budaya ilmu, sejauh mana keberkesanan sistem pendidikan negara dalam memberi jaya, kepentingan peranan institusi keluarga (termasuk kursus perkahwinan yang lebih mementingkan lawak lucah berbanding bab tanggungjawab berkeluarga), apa yang ditumpukan dalam kursus-kursus perguruan (adakah nilaian A semata-mata?) dan seumpamanya, bukannya menyebarkan kesilapan Amalina dan disertai pelbagai cemuhan.

6) Kepada yang mencela, jangan lupa anda ada anak atau setidak-tidaknya bakal mempunyai anak yang akan hidup dalam dunia yang sangat berbeza. Jangan terlalu bermudah-mudah berasa puas hati dengan amalan kita, lantas lupa melihat segala kelemahan diri kita. Seorang tidak bertudung yang berasa malu kepada Tuhan atas dosanya lebih baik daripada seorang yang "soleh" namun takabbur dan memandang hina kesalahan orang lain.

7) Selain itu, apabila membincangkan soal dosa tidak bertudung, kita sentiasa lupa bahawa pertimbangan dosa pahala dalam Islam sangat penting. Contohnya dosa tidak bertudung dan dosa seorang pelajar yang membazir dan menyalahgunakan wang biasiswa dan zakat tidak sama, dosa tidak bertudung melibatkan dirinya dan Tuhannya sementara dosa berkaitan wang biasiswa dan zakat berkaitan dengan amanah yang diberikan oleh para pembayar cukai dan zakat. (Perkara harus masih lagi dibenarkan, termasuk membeli makanan, pakaian dan sebagainya. Bukan bererti hanya membeli kitab dan membayar yuran sahaja. Contoh salah guna dan pembaziran ialah membeli rokok dan untuk tujuan maksiat yang lain. Adapun dalam bab harus, sebaiknya sentiasa dimuhasabah supaya perbuatan harus itu menjadi ibadah. Wallahua'lam.)

8) Kita sentiasa terlebih sentimen dan emosional dalam menilai keburukan dan kelemahan orang lain, namun sebaliknya kita sentiasa bersangka baik dan memujuk diri sendiri apabila menilai keburukan dan kelemahan kita. Sesungguhnya kejujuran kita dalam menasihati dan menegur kesalahan seseorang terbukti menerusi kesungguhan kita mentaati perintah agama. Selain kita diamanahkan untuk emnjadi umat yang saling menasihati dalam persoalan dosa peribadi, kita juga dipinta supaya menentang segala dosa yang memberi kesan kepada sosial dan negara. Akhirnya, marilah kita merenungi dan menginsafi sebuah hadis nabi saw:

“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”. (Riwayat al-Bukhari).

Sesungguhnya tugas kita bukanlah untuk menghukum dan memberi pelbagai label kepada manusia, biarlah Allah yang menilainya. Kepada yang berbuat demikian, sudahkah anda membelah dada dan melihat hatinya?

Wallahua'lam

13 comments:

Ashcroftstylus Az 5 January 2012 at 03:17  

Like ur post.
The implementation of socialization (pemasyarakatan) should be there....

anonymous 5 January 2012 at 08:31  

Alhamdulillah..dapat pandangan dari sudut pandang yg berbeza dan more comprehensive..

Anonymous,  5 January 2012 at 15:17  

tahniah saudara. pemikiran yang bernas. saya sgt bersetuju

Anonymous,  5 January 2012 at 15:42  

Tu lah.... Amalina perlu lebih peka dan sensitif terhadap pandangan dan persepsi oranag ramai kerana beliau merupakan contoh pelajar yang berjaya. Isu ini berbangkit kerana beliau tidak matang lagi walaupun sudah baligh. Memang tudung itu soal peribadi, tetapi sebagai seoarang yang telah diangkat sebagai contoh, ianya bersifat umum.

Anonymous,  5 January 2012 at 15:57  

hmm, bg sy isu aurat ni bukan dosa individu tu je, setiap mata yg memandang dgn nafsu pd aurat yg didedahkan mybabkan dosa. Aurat dibuka mmberi dosa pada diri sndiri di samping mnambah dosa pd org lain jgk. Dosa yg hanya melibatkan diri sndiri bila ia dilakukan di tmpt tertutup tanpa org lain di sekeliling.

Marwan Bukhari 5 January 2012 at 16:10  

Mengenai pandangan anonymous yang menyatakan: "isu aurat ni bukan dosa individu tu je, setiap mata yg memandang dgn nafsu pd aurat yg didedahkan mybabkan dosa."

Pandangan saya: Benar bahawa mata yg memandang akan mengakibatkan dosa Cuma point saya ialah, ia tidak sama dengan dosa lain yg memberi kesan sosial spt yg saya sebut dalam artikel itu. Justeru, tindakan kita menangani dan menasihatinya berbeda. Tidak perlu disebarkan gambarnya bertujuan mengaibkan, sebaliknya nasihatilah beliau secara berhemah dan penuh dgn nilai Islam. Apatah lagi mencela dan pelbagai cemuhan lain, lagilah tidak wajar.

2)Berhubung Nur Amalina sebagai role model, saya mengakui hal tersebut. Namun tindakan kita menasihatinya bukannya sebagaimana yg telah terjadi. Apa-apa pun kita sangat berharap sdr Amalina akan berubah dan kembali seperti asal, kami sangat rindukan Amalina yang dulu.

3) Sebagai tambahan, sebenarnya point dalam artikel ini juga berkaitan dengan tindakan sesetengah politikus dan rakyat yang sewenang-wenangnya terlibat dalam menghina peribadi, fitnah dan politik lucah. Sewajarnya semua ini dijauhi dan politikus hanya perlu becakap soal dasar mereka. Kalau penjelasan mengenai kes rasuah, penyelewengan amanah,kenyataan audit negara, itu semua salah satu perbincangan sihat, asalkan berfakta. Yg tidak sihat ialah tindakan sebarkan video (sama ada super impose atau tidak) peribadi politikus, gambar2 dan perkara-perkara lain yang berkaitan.

Apa-apa pun, terima kasih atas komentar. Terima kasih.

-MBH

Anonymous,  5 January 2012 at 17:07  

alhamduLillah, sLot muhasabah yg ringkas dan padat..tang duit zakat tu yg menarik cuma kurg menyengat...

Anonymous,  5 January 2012 at 19:12  

'...kita adalah PENYERU bukan PENGHUKUM.."

Hikaru Yui 5 January 2012 at 19:12  

rasanya betul kot point2 dalam entry ni... tp kalau perempuan tak bertudung yg malu dgn dosanya kepada tuhan lebih baik daripada org soleh yg takabbur, nanti ramailah org free hair yg terus free hair sambil rasa malu... sebab mereka lebih baik daripada org soleh yg takabbur...

kalau dosa org tak solat mungkinlah hal peribadi.. aurat tak sama.. pada pendapat aku, aurat ialah hal masyarakat.. dosa aurat melibatkan ramai org.. org yg membuka aurat, org yg melihat aurat, mak bapak yg tak menekankan kepentingan tutup aurat, kawan2 yg menggalakkan tak menutup aurat, banyak kot...

Marwan Bukhari 5 January 2012 at 21:20  

Hikaru Yui:
"tp kalau perempuan tak bertudung yg malu dgn dosanya kepada tuhan lebih baik daripada org soleh yg takabbur, nanti ramailah org free hair yg terus free hair sambil rasa malu... sebab mereka lebih baik daripada org soleh yg takabbur..."

Saya:
Terima kasih atas pandangan itu. Saya tegaskan bahawa lelaki dan perempuan wajib menutup aurat sebagaimana arahan Allah swt, dan tudung merupakan salah satu jenis pakaian yang menutupi kepala bertujuan menutup aurat. Hal tersebut merupakan perkara yg telah sedia maklum oleh hampir seluruh umat Islam secara daruri.

Namun dalam artikel ini, mengulas dari sudut yang lain iaitu sudut "pemerhati" dan "pendakwah", setelah sudah ramai yang mengulas dan mengkritik tindakan Amalina tidak bertudung. Oleh sebab itu, saya menampilkan beberapa cara berfikir kita dalam berbicara soal dosa seperti kaedah menegur, isu di sebalik tudung (sistem pendidikan, etc), perbandingan antara dosa tudung dan dosa-dosa lain, kealpaan sesetengah daripada kita dalam bab dosa rasuah, kezaliman, etc dan sebagainya.

Adapun perbandingan antara seorang yg tidak bertudung yang berasa malu dgn tindakannya lebih baik drpd seorang yg kelihatan soleh namun hati penuh takabbur dalam menilai manusia lain, itu merupakan antara mafhum secara umum kata-kata hikmah Ibnu 'Athaillah as-Sakandri rahimahullah. Tetapi dalam kata-kata itu tidak disebut tudung, sebaliknya dinyatakan perihal orang berdosa secara umum.

Mengenai sama ada aurat dalam bahagian urusan peibadi atau masyarakat, saya katakan peribadi kerana kalau Amalina mahu bertaubat dan berubah, itu antara dia dan Allah, berbanding dosa seorang pengumpat n pencuri yg diwajibkan meminta maaf kpd orang yg diumpat (hal ini juga dibahas panjang oleh ulama'). Dalam masa yang sama, kita diperintahkan oleh Allah untuk menjadi umat yang peduli, lantas diwajibkan amar amkruf nahy munkar dalam komuniti, justeru inilah tugas komuniti. Adapun selebihnya - berkaitan tatacara dakwah - saya sudah jelaskan.

Terima kasih atas komentar.

-MBH

azmie 6 January 2012 at 02:32  

"Amalina mempunyai kebebasan dan pilihan untuk menuruti atau melanggar arahan bertudung, dan dalam masa yang sama kita juga mempunyai kebebasan dan pilihan untuk menasihati beliau"
seriously?? out of curiousity, profile saudara menyatakan saudara aktif dlm Persatuan Ulama' Malaysia. seriously??
"jangan lupa anda ada anak atau setidak-tidaknya bakal mempunyai anak yang akan hidup dalam dunia yang sangat berbeza" jika anak sy mengambil pendekatan kebebasan memilih yg saudara sebut di atas, masuh terpakai lagi ke teori dosa peribadi ni?
kita pun tak setuju dgn segala maki hamun dlm facebook dan blog, cumanya fitnah yg ditimbulkan ke atas agama dr isu ni, lebih besar dr hal peribadi dia. lastly, dah masuk facebook dia?

Marwan Bukhari 6 January 2012 at 12:23  

To Azmie
"Amalina mempunyai kebebasan dan pilihan untuk menuruti atau melanggar arahan bertudung, dan dalam masa yang sama kita juga mempunyai kebebasan dan pilihan untuk menasihati beliau"

Azmie, ini bukan menghalalkan dosa, cuma menyatakan manusia ada kelemahan dan boleh membuat pilihan utk berbuat dosa atau pahala. Agama datang mengajar kita supaya sentiasa memilih kebaikan dalam membuat pilihan.

kita ada ikhtiyar utk buat baik dan buruk. Ikhtiyar drpd perkataan khair bermaksud baik, so sepatutnya kita pilih buat baik. Tapi manusia tetap manusia, ada kelemahan. Oleh itu freedom to repent juga satu ikhtiyar utk buat kebaikan. Cuba bilang dosa-dosa kita dan renungi sudah berapa kali kita pilih buat keburukan berbanding kebaikan? Jels bahawasanya kita sendiri sudah lama mempunyai "kebebasan" ini, bahkan kita sendiri telah pernah melakukan dosa.

"jangan lupa anda ada anak atau setidak-tidaknya bakal mempunyai anak yang akan hidup dalam dunia yang sangat berbeza"

Berhubung hal ini, sebab itu saya katakan ia merupakan tanggungjawab keluarga, dan sistem pendidikan, kursus perguruan, kursus perkahwinan, ruang utk NGO Islam bergerak lebi bebas (bukannya terhad sbgmana sekarang), isu tauliah yg dikenakan kpd penceramah hingga menghalang hak penceramah utk berdakwah dan lain-lain. Semua di atas wajar dinilai semula, dan itu semua ada kaitan dengan cara berfikir dan perlakuan pemerintah.

Kalau saya sebagai bapa, saya sendiri akan mewajibkan dan mengarahkan (menerusi didikan) anak saya utk berpakaian menutup aurat dan menjadi Muslim in Practice inshaAllah, mudah-mudahan Allah permudah.

Mengenai dosa peribadi, ia bukan teori ciptaan saya, cuma kita boleh rujuk kewujudan konsep itu dalam Islam, bahawa masyarakat mempunyai hak utk menasihati pelaku, bukannya memaksa. Adapun kesalahan lain yg membawa kesan buruk dan menceroboh hak orang lain spt curi, rompak, rasuah, etc, semua ini akan dicampur tangan oleh undang-undang.

Rupa-rupanya terlalu payah uk jelaskan kpd masyarakat bahawa mereka hanya ada hak utk menasihati , dan dalam masa yg sama mad'u (bahkan kita) sendiri mempunyai pilihan menerusi konsep ikhtiyar utk melakukan dosa (na'udzubillah). Namun agamasudah jelas dgn perintah-perintah utk membuat kebaikan.

Wallahua'lam, terima kasih atas komentar.

-MBH

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP