Saturday, 21 January 2012

Yang Kecil dan Yang Besar



Dalam kehidupan ini, kita tidak dapat lari daripada membincangkan perihal “kecil” dan “besar”. Kadang-kadang sesuatu itu kecil di mata kita namun ia besar di mata orang lain, dan adakala sesuatu itu besar pada pemerhatian kita namun ia dianggap kecil oleh pihak yang lain. Menentukan apa yang besar dan apa pula yang kecil bergantung kepada isu dan masalah, juga bergantung kepada laras dan parameter yang digunakan. Berhubung hal ini, Islam juga mempunyai falsafahnya yang tersendiri dalam membiacarakan soal kecil dan besar. Malah ia disebut secara berulang-ulang dalam al-Quran dan hadis nabi saw.

Menilai dosa dan pahala

Salah satu keajaiban yang sentiasa memuhasabah dan menginsafkan saya ialah apabila Allah Yang Maha Adil mengadili dan menghakimi manusia bukan menerusi kata dua daripadanya semata-mata. Sedangkan sekiranya Dia melakukan hal demikian, siapalah kita untuk membantah sementelah sudah terlalu banyak nikmat dan kurniaan-Nya yang masih terhutang di pundak kita. Namun Allah SWT menilai kita menerusi timbangan-Nya dari dua sisi utama iaitu baik dan buruk, dosa dan pahala. Sebagai contoh sebuah firman Allah SWT yang bermaksud:

“adapun orang yang berat timbangannya (amalan baik), maka dia berada dalam kehidupan yang senang lenang. Sesiapa yang ringan timbangannya (amalan baik), maka tempat kembalinya ialah “Haawiyah”, Dan apa jalan engkau dapat mengetahui, apa dia “Haawiyah” itu? (Haawiyah itu ialah): api yang panas membakar” (Surah al-Qariah 6-11).

Demikianlah salah satu kenyataan keadilan Tuhan sebagaimana termaktub dalam kitab-Nya. Dia Yang Maha Tahu, Maha Adil, Maha Melihat dan sebagainya akan menilai manusia menerusi mizan, justeru adalah suatu keanehan apabila terdapat segelintir manusia yang menilai orang yang berbeda dengannya dengan hanya sebelah mata dan hanya menerusi satu sudut. Kalau dalam penulisan ilmiah, penilaian yang hanya melihat dari sisi negatif semata-mata sedangkan terbukti wujud kebaikan yang tersembunyi, maka penulisan itu masih boleh dicabar. Begitu juga dengan dua ayat terakhir dalam surah al-Zalzalah yang membawa maksud:

“Barangsiapa yang membuat amalan yang baik sebesar zarah, nescaya Allah melihatnya (dan mengganjarinya). Dan barangsiapa yang melakukan amalan yang buruk sebesar zarah, nescaya Allah melihatnya (dan membalasnya).” (al-Zalzalah 7-8)

Dalam kitab tafsir karangan Imam Ibnu Kathir (Cetakan Darul Manar, juzuk keempat, m.s 526), beliau telah mendatangkan banyak riwayat hadis yang berkaitan dengan ayat tersebut. Antaranya ialah dua hadis daripada sahih al-Bukhari iaitu:

“Takutilah api neraka, meskipun hanya dengan sebelah buah tamar, walaupun hanya dengan satu kalimah yang baik (kalimah tayyibah)”

Begitu juga hadis ini:

“Janganlah kamu memandang rendah terhadap sesuatu perkara kebajikan, (salah satunya ialah) walaupun kamu bertemu dengan saudaramu dengan wajah yang menyenangkan.”

Kedua-dua hadis di atas menunjukkan kepada kita bahawa terlampau banyak amalan, jalan dan cara yang boleh dilakukan untuk melakukan kebaikan dan kesemua jalan tersebut hendaklah dihormati oleh manusia lain tanpa diremehi dan dipandang rendah. Kalaulah hanya sebelah buah tamar mempunyai nilai yang besar dalam menjauhi seseorang daripada neraka, maka siapalah kita untuk menjadi penilai kepada amalan manusia lain. Begitu juga berbuat baik itu bukanlah sekadar melibatkan kebendaan, namun sebuah senyuman dan wajah mesra tatkala bertemu orang lain juga dinilai baik oleh Islam.

Menghormati setiap posisi

Kedapatan sesetengah manusia meyakini jalan dan perjuangannya sebagai benar, lantas mereka bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan. Namun menjadi kesilapan apabila dalam masa yang sama mereka memandang rendah posisi dan peranan yang dimainkan oleh orang lain. Mereka memilih politik kepartian dalam melakukan kebaikan dan perubahan dan dalam masa yang sama memperendah kumpulan yang berpolitik tanpa parti politik. Sudahlah parti politik lawan dihentam mereka, kemudian mereka juga kental menolak orang yang memilih bersikap neutral dalam soal partisan. Dengan meyakini kepentingan politik dan menunjukkan sikap dan pendirian dalam setiap isu, tidak melibatkan diri secara aktif dalam kepartian tidak sepatutnya menjadi hujahan dan tembakan oleh pihak berkepentingan.

Demikian juga sekumpulan manusia yang terlibat dengan jemaah dan persatuan Islam, mereka saling mendakwa hanya kumpulan mereka yang benar, sambil dalam masa yang sama menyalahkan kelompok yang berbeda dengan mereka. Katanya jemaah mereka syumul, lantas jemaah yang lain mesti ditolak. Ada jemaah yang melebihkan politik, lalu dikritik jemaah yang kurang berpolitik, sementara ada jemaah yang melebihkan tarbiyah, pendidikan, kebajikan dan sebagainya, lantas dipandang rendah kumpulan yang berbeda haluan dengan mereka. Sungguh ajaib, mereka meyakini kebenaran kumpulan masing-masing dengan menyalahkan kumpulan yang lain.

Selain itu, ada juga segelintir pelajar dan masyarakat yang memilih untuk berdemonstrasi dalam meluahkan pandangan dan bantahan mereka, atas sebab sudah banyak kali aduan dan perjuangan mereka tidak dipandang. Dalam dunia demokrasi dan sifat Islam yang menghormati kebebasan, sudah tentu tindakan tersebut kita raikan. Akan tetapi sikap menuduh golongan yang tidak memilih jalan demonstrasi sebagai penakut, tidak peduli, tidak berjuang dan sebagainya bukanlah sebuah budaya yang sihat. Kita sewajarnya menghormati posisi setiap golongan. Ada yang hebat membuat kajian akademik, ada yang gigih dalam kerja-kerja kebajikan, ada yang aktif dalam berpolitik dan pelbagai posisi lagi. Sedangkan sebuah senyuman dilarang untuk diperendah, apatah lagi mana-mana amalan yang member kesan dan impak yang lebih besar.

Yang besar dan yang kecil

Apabila wujudnya dua penilaian yang berbeda, maka keutamaan akan diputuskan dengan membuat kajian dan pemilihan. Allah SWT mengisyaratkan hal ini dalam sebuah ayat dari surah al-Taubah yang bermaksud:

“Adakah kamu menyangka bahawa memberi minum kepada orang yang menunaikan haji dan menguruskan Masjid al-Haram sama dengan orang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang zalim. (al-Taubah 19)

Ayat di atas sering diguna sebagai dalil dan hujah wujudnya perbedaan keutamaan dalam sesuatu tindakan. Malah al-Qaradhawi juga ada memetik ayat tersebut dalam menjelaskan pemahaman perihal keutamaan dalam buku masyhurnya bertajuk Fiqh al-Awlawiyyat. Dua jenis amalan telah dibuat perbandingan oleh Allah SWT dan dijelaskan perbedaan ketara antara kedua-duanya meskipun pada zahirnya amalan memberi minum kepada jemaah Haji adalah terpuji, namun keimanan kepada Allah dan hari akhirat adalah jauh lebih utama bagi kaum yang berakal. Justeru, zalimlah barangsiapa yang menolak untuk beriman sesudah didatangkan pelbagai hujah dan jawapan kepada persoalan. Dalam bab kejahatan pula, terdapat sebuah firman Allah yang berkaitan dengan perbincangan ini:

“ketika kamu menerima berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan kamu pula menyangka ianya perkara kecil, pada hal di sisi Allah adalah perkara yang besar dosanya”. (Surah an-Nur: 15).

Allah menjelaskan bahawa ada dosa yang dianggap kecil oleh manusia yang lain namun hakikatnya ia besar di sisi Allah, iaitu menyebarkan berita dusta dan fitnah. Di sinilah timbulnya ironi terhadap sesetengah pihak media di tanah air kita iaitu tatkala mereka menyiarkan berita tentang pelbagai jenayah di tanah air, dalam masa yang sama terdapat kalangan mereka yang menulis dan menyebarkan tajuk dan bahan berita yang telah dipusing daripada berita asal. Lantas bahananya ialah huru-hara dan peperangan politik dalam kalangan masyarakat.

Ketempangan dalam memahami keutamaan dan perbahasan soal besar dan kecil ini juga menyebabkan terdapat masyarakat yang berterusan memandang rendah terhadap bekas pencuri dompet dan penyeluk saku, sambil dalam masa yang sama mereka mengangkat perasuah yang telah bebas daripada penjara. Hal ini bukanlah ciptaan akal saya, sebaliknya ia berlaku dalam masyarakat kita apabila terdapat ahli politik yang dikenakan tindakan dan dibuktikan terlibat dalam politik wang, kemudiannya setelah dua tahun dikenakan tindakan disiplin, terus dipilih dan diangkat sebagai salah seorang pemimpin masyarakat, bahkan menjaga kepentingan sebuah institusi penting.

Adapun dalam masa yang sama bekas penyeluk saku yang sudah bertaubat dan cuba berubah dengan membuka gerai kecil-kecilan pula telah diserbu kerana katanya tiada lesen perniagaan. Kemudian gerai diroboh tanpa belas kasihan, sebaliknya bekas perasuah pula terus “berkhidmat” dengan muka menebal. Kedua-duanya pernah dipenjara dengan jenayah yang berbeda di mana seorang pernah menyeluk saku di jalanan dengan hasil kecurian sedikit cuma, sementara seorang lagi perasuah yang memakan harta orang ramai tanpa beramanah. Rupa-rupanya, bedanya kerana si perasuah itu pernah belajar hingga ke hujung dunia, sementara si penyeluk saku hanya cukup-cukup makan sahaja.

Di sebalik gahnya pengistilahan

Seringkali berlaku perbicaraan mengenai nama berkembang mekar sambil isinya diabaikan, atau setidak-tidaknya telah dikecilkan skopnya. Saya membawa contoh apabila dibisingkan isu halal atau haramnya sesua produk makanan. Jenama dan cop halal seolah-olah telah disempitkan apabila ia hanya melibakan penyembelihan dan hukum yang berkaitan, juga berhubung isu kebersihan dan kesucian premis perniagaan. Namun bagaimana dengan bahagian pemasaran, pembungkusan, kualiti perkhidmatan dan lain-lain yang berkaitan?

Begitu juga apabila dibicarakan soal Muslimah yang praktis, jawapan cliché yang biasa diberikan ialah tudung dan aurat dan ia seolah-olah terhenti di situ sahaja. Saya meyakini bahawa telah ramai yang tahu tentang kewajipan menutup aurat, juga meyakini kebaikan diulang-ulang amalan wajib tersebut. Namun usah dilupa perbahasan mengenai seorang Muslimah juga pasti akan berkait dengan tanggungjawab mereka dalam keluarga dan masyarakat, hak mereka untutk diberi pendidikan dan bermasyarakat, juga dalam member sumbangan menerusi pelbagai ruang dan bidang. Saya ulangi kembali persoalan ini memandangkan ia pernah terjadi di beberapa negara umat Islam satu masa dahulu, termasuklah di Tanah Melayu ini. Perdebatan antara ‘kaum tua’ dan ‘kaum muda’ satu masa dahulu sepatutnya memberi pengajaran kepada kita.

Dalam soal keyakinan kita berhubung kesyumulan Islam ,ketika mana Islam diuar-uarkan sebagai sebuah agama yang lengkap, namun tiba-tiba mitos lain muncul dalam penghayatannya – dunia yang kompleks dan penuh simpang-siur tidak digali dan difahami sepenuhnya untuk membolehkan idealisme agama diterapkan dengan sebenar-benarnya. Soal kepemimpinan dalam sesebuah parti dan badan juga dihadkan, iaitu diistimewakan kepada orang agama atas nama “kepemimpinan ulama”, sementara masih ada yang galak membahagikan fadhilat antara "ilmu agama" dan "bukan ilmu agama", sambil dia yang meyakini berada atas jalan ilmu agama sedang menaiki kereta buatan bukan orang Islam, yang dianggapnya sebagai bukan ilmu agama. Tiada masalah membuat pembahagian bidang, namun yang salahnya apabila mudah membuat kesimpulan bahawa pelajar agama lebih utama berbanding selainnya, bukankah semua ilmu dari Tuhan yang sama? Juga, bukankah Islam itu suatu sistem yang komprehensif justeru menuntut kita menguasai semua bidang ilmu?

Khatimah

Yakinilah bahawa pertimbangan antara kecil dan besar, penting dan utama dan sebagainya akan terus berlangsung selagimana umur dunia masih berusia. Dalam kehidupan seharian, bukanlah tugas kita untuk mempersoal dan membuat penghukuman terhadap keimanan dan dosa pahala manusia, sebaliknya kita mestilah sentiasa mempersoalkan keimanan kita. Saya kira, tidaklah serius dan kental keimanan kita jika ia tidak sentiasa dipersoalkan, lantaran keimanan itu bukanlah sekadar diperoleh menerusi keturunan sebaliknya menerusi pencarian kebenaran yang mana asas utamanya ialah persoalan demi persoalan.

Selain berharap tiada dari kalangan kita berasa selesa bersikap menghukum manusia dan tersilap membuat keputusan dalam soal keutamaan, janganlah kita terleka dengan sebuah perbincangan hingga menumpulkan akal kita dalam meletakkan pendirian dan berpijak pada realiti kehidupan. Soalnya ke mana kita mahu membawa kehidupan yang penuh bersimpang siur ini? Adakah seringkas melaungkan slogan “aku pejuang Islam” atau berpanas terik sambil menjerit-jerit di medan demonstrasi semata-mata? Sungguh, kita sudah terlalu ramai jaguh dalam pengucapan, namun masih kontang jaguh dalam apa-apa kepakaran.

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP