Thursday, 23 February 2012

Komentar: Undang-undang Moral?



1) Sesetengah kumpulan Islamis (baca : ahli/gerakan politik Islam) sangat cenderung untuk mengenakan atau mengadakan kod pakaian menerusi akta, kanun dan seumpamanya atas hujah mahu membina masyarakat yang lebih 'Islamik' atau seolah-olah itulah syarat sebuah 'pemerintahan Islam'. Dalam hal ini, tidak terkecuali Kelantan yang merupakan salah sebuah negeri yang diperintah oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di tanah air kita. Untuk lanjutan, lihat link berita Sinar Harian ini.

2) Dalam sejarah Islamis era moden, Iran merupakan negara pertama yang mengenakan dressing code kepada warga negara mereka selain Arab Saudi (Arab Saudi memerlukan perbincangan berasingan lantaran case study mereka dan latar belakang sejarah mereka berbeda dengan kebanyakan negara umat Islam dan gerakan Islam yang lain). PengIslaman dari atas (pemerintah) ke bawah (rakyat) menerusi kata putus pihak tertentu semata-mata (kalau kes Iran, menerusi konsep wilayatul faqih) tanpa dibincangkan dengan rakyat (referendum, dll) akan mengundang masalah jika turut diaplikasikan oleh pihak pemerintah yang pseudo-secular (laicism / anti-agama) seperti Habib Bourguiba - di Tunisia - dan Kemalism - di Turki - satu masa dahulu yang menutup masjid dan melarang aktiviti agama dan pengamalan serta pemakaian simbol agama seperti hijab dan sebagainya di ruang awam atau seperti Perancis sekarang yang melarang pemakaian hijab di institusi awam. Menurut sesetengah pengkaji dan ilmuan, campur tangan pemerintah dalam isu moral dan aktiviti agama mesti dijauhi kerana ia boleh membawa keburukan seperti dilakukan atas dasar kepentingan ideologi dan agama anutan pemerintah.

3) Selain contoh Iran, Saudi juga 'terlebih agresif' hinggakan kaum wanita dilarang untuk memandu dan pelbagai peraturan lain, atas hujah agama. Sementara Perancis lebih kontradiks apabila masih melarang pemakaian hijab di institusi awam, kononnya atas hujah mengelakkan ekstremisme dan perselisihan antara agama.

4) Dalam satu ceramah bertajuk ad-Dawlah al-Madaniyyah min Manzur Islam oleh Dr Jasser Auda (lihat di sini), beliau lebih cenderung untuk menolak dressing code kerana ia akan memperbanyak sifat munafik/hipokrit dalam kalangan warganegara, pandangan beliau turut dikongsi Dr Taha Jabir al-'Alwani dan Shaykh Ghannouchi yang merupakan antara ilmuan politik Islam ternama pada era ini. Namun beberapa ulama khasnya dari Saudi menyokong akta dan kanun tentang moral. Contohnya dalam beberapa temuramah bersama Ghannouci dan agensi berita antarabangsa, beliau berulang kali menolak untuk mengenakan undang-undang moral di Tunisia jika partinya menang dalam pilihanraya di sana.

5) Setakat kefahaman saya, perbincangan isu moral ini bertitik tolak daripada ayat berkenaan kebebasan beragama dan berkeyakinan yang terdapat dalam al-Quran seperti ialah ayat ke-256 daripada surah al-Baqarah, surah al-Kahfi (ayat ke-29) dan ayat ke-99 dari surah Yunus. Maksud ayat dalam surah Yunus tersebut ialah;

"Maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?"

Antara ulama yang dikenali telah menulis kajian penuh mengenai kebebasan beragama dalam Islam ialah Shaykh Dr Taha Jabir al-'Alwani menerusi bukunya bertajuk La Ikraha Fid Diin (kepada sesiapa yang mahu edisi Arab buku tersebut, boleh tinggalkan emelnya kepada saya, buku ini turut diterjemahkan ke bahasa Inggeris dan bahasa Melayu). Di samping itu, Almarhum Muhammad Taher Ibn 'Asyur juga ada mengulas perihal kebebasan berkeyakinan dalam buku Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah, begitu juga dengan Shaykh 'Allal al-Faasi dalam buku beliau bertajuk Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah wa Makarimuha (lihat hal. 355-359), demikian juga Ustadz Dr Raysouni yang dipetik sebagai berkata:

“Agama dan paksaan menurut pandangan Islam adalah dua perkara yang pertembung yang tidak mungkin bergabung sekali. Apabila ada paksaan, maka batallah agama. Paksaan tidak menghasilkan agama, bahkan menghasilkan nifaq (hipokrit), dusta dan tipu daya. Semuanya adalah sifat-sifat batil dan ditolak dalam syarak. Ia tidak menghasilkan sesuatu yang baik kecuali kehinaan hidup di dunia dan akhirat. Sepertimana paksaan tidak melahirkan agama dan iman, maka demikian juga ia tidak melahirkan kufur dan riddah. Orang yang dipaksa atas kekufuran, tidak dikira sebagai kafir. Orang yang dipaksa supaya murtad tidak dikira sebagai murtad. Demikian juga orang yang dipaksa beriman, dia bukan seorang beriman. Orang yang dipaksa dengan Islam bukan beragama Islam.”

(Perbincangan panjang ini turut melibatkan pengtakrifan dan pembahagian ulama tentang murtad iaitu antara murtad "mujarraddah dan muharabah" atau menurut istilah al-Qaradhawi sebagai murtad mukhaffafah dan murtad mughallazah, tetapi tidak menjadi tujuan saya untuk berbincang lanjut perihal kebebasan beragama dan hukuman murtad di sini)

6) Selain itu, al-Bouti dan Dr Jamal Badawi turut sependapat dengan tokoh-tokoh di atas berkenaan kebebasan beragama. Justeru atas premis kebebasan beragama ini, timbul persoalan mengenai polisi moral iaitu sekiranya isu akidah yang melibatkan keluar agama (yang sangat besar dalam Islam) turut menjadi ikhtilaf oleh ulama mengenai hukuman jenayah syariahnya, justeru bagaimana dengan isu-isu moral dan akhlak lain - yang sudah tentu lebih rendah berbanding keluar agama - digunakan undang-undang dengan sewenang-wenangnya?

7) Sekadar hemat saya - penuntut ilmu - yang boleh diterima atau ditolak, apa yang paling penting ialah sesebuah pemerintah perlu menyediakan ruang kebebasan beragama, berpersatuan, aktiviti dakwah, kebajikan dan sebagainya dan mengelakkan daripada campur tangan berlebihan dalam soal moral, apatah lagi jika tanpa dibuat referendum. Hal tersebut demikian kerana dari segi ma'alat al-af'al (implikasi perbuatan), pihak pseudo-secular yang anti agama boleh melakukan sekatan hampir sama yang sudah tentu kita turut tidak menerima. Justeru ruang untuk membetulkan pemahaman dan pengamalan umat Islam terhadap agama mesti diisi oleh para pendakawah dan NGO-NGO (badan-badan bukan kerajaan) Islam, menerusi aktiviti masing-masing.

8) Adapun peraturan-peraturan moral yang nyata memberi kesan buruk terhadap masyarakat dan negara seperti membuat fitnah (seperti penggunaan media atau lain-lain), pelacuran, menghina doktrin-doktrin asas agama lain, perjudian dan seumpamanya mestilah diletakkan hukuman dan peruntukkan undang-undang yang setimpal. Namun demikian persoalan ini turut mesti dibincangkan seluruh masyarakat dan kerajaan (seperti dibincangkan di kampung-kampung, kemudian Dewan Undangan Negeri atau dalam kalangan ahli parlimen dan seumpamanya. Penggunaan parlimen dan saluran yang bertepatan dengan perlembagaan sangat penting untuk mengelakkan sebarang penggunaan kuasa individu atau kuasa berkelompok selepas itu.

9) Sesetengah Islamis hanya seolah-olah hanya melihat kuasa dalam menyelesaikan isu moral dalam negara mereka, justeru mereka lebih dikenali ketika wujud isu konsert, Valentine's Day dan sebagainya. Saya kira, mereka perlu menumpukan isu-isu seperti tatakelola yang baik (good governance), membaiki sistem demokrasi, ketelusan, akauntabiliti dan sebagainya. Dalam waktu yang sama, komuniti Muslim mestilah merancakkan aktiviti mereka dalam memulihkan masyarakat berteraskan konsep faith-based civil society. Ruang demokrasi itu sangat luas, bukan berkait antara parti dan kuasa semata-mata.

10) Sebagai akhirnya, saya memetik pandangan Dr Jasser Auda dalam sebuah wawancara saya bersama beliau (wawancara tersebut boleh diakses di sini):

"I think the best approach is to say that your priorities are the welfare of Malaysia and the Malaysian people, first and before any Islamic or moral agenda, and that you will respect the multi-religious free society of Malaysia, and that you will leave the Islamic agendas to the areas of Islamic education and Islamic media, but not to the political institutions."

Wallahua'lam,
Penuntut ilmu,
Marwan Bukhari bin A. Hamid

Read more...

Tuesday, 14 February 2012

Komentar Isu Kashgari



1) Pendirian saya, kebebasan bersuara dan berkeyakinan bukan bermaksud menghina agama lain, atau mana-mana doktrin asas agama lain. Bebas berkata-kata tetap mesti didahului dengan bebas berfikir. Bebas tidak wajar hingga mnceroboh hak dan keyakinan agama lain, kalau tidak bersetuju mesti dengan jalan ilmu dan fakta, bukannya menghina. Justeru kalau benar Kashgari menghina nabi saw, maka beliau telah menceroboh hak orang lain untuk berkeyakinan. Malah Islam sendiri melarang menghina doktrin-doktrin asas agama lain, apatah lagi agama sendiri. Setakat yang saya tahu, di Amerika dan beberapa negara Barat sendiri masih ada undang-undang melarang menghina Jesus. Justeru itu lazim lantaran kesan satu celaan dan penghinaan akan menyebabkan tindak balas, lantas akhirnya boleh merebak kepada pertelingkahan antara agama.

2) Beliau telah meminta maaf dan buat kenyataan terbuka. Tapi sesetengah kumpulan wahabism ekstrem sudah mengumumkan untuk menyambutnya dengan hukuman bunuh! Wajah agama jadi bengis di tangan Saudi (konotasi wahhabism di sini merujuk kepada golongan ekstrem dalam beragama, bukan dinisbahkan kpd Shaykh Muhammad bin Abd Wahab). Cuma negara Monarki Saudi sudah ada banyak isu berhubung ketidakadilan dalam penghukuman sebelum ini, telah diulas oleh ramai tokoh termasuk Tariq Ramadhan. Justeru itu yang dibimbangi ramai pihak.

3)Dalam sejarah Islam, terlalu banyak kisah nabi saw yg mengutamakan dialog, malah baginda akan cuba sedaya mungkin menghindari daripada hukum sebaliknya nilai dan etika. Justeru adanya watak Wahsy yg pernah membunuh singa Allah Hamzah bin Abi Talib dlm perang Uhud, Wahsy bertaubat dan beliau dimaafkan. Hindun, Umar al-Khattab, Abu Sufyan dan banyak lagi watak turut wujud. Rahmat Allah luas, tapi di tangan Saudi, jadi sempit sesempit pemikiran wahhabism ekstrem mereka! Sedangkan isu penyelewengan dan perebutan kuasa dalam kalangan raja-raja mereka belum selesai.

4) Tentang kebebasan beragama dan hukuman murtad, boleh baca pandangan ulama seperti al-Qaradhawi, Muhammad Taher Ibn 'Asyur, Taha Jabir al-'Alwani, Ramadhan al-Bouti, Jamal Badawi, Jasser Auda dan sebagainya yang mempunyai pandangan berbeda berhubung isu ini. Perbincangan fiqh dalam isu murtad masih terbuka dan luas, tidak memadai kita terus menerus satu hala dalam pandangan fiqh berhubung isu ini - sambil kita menghormati perbedaan pendapat. Dan saya yakin hukuman dalam Islam adalah "nakaalan min Allah" - satu bentuk pendidikan dan berteraskan nilai daripada Allah- , bukannya semata-mata untuk menghukum.

5) Ini keyakinan dan pendirian saya, saya berlepas diri daripada sebarang pandangan individu, NGO atau mana-mana pihak yg bercanggah dengan keyakinan saya di atas, sambil menghormati pandangan mereka.

Wallahua'lam

Read more...

Friday, 10 February 2012

Mencari Solusi Selain Revolusi



Dunia Arab dan Islam merupakan antara tumpuan para ilmuan dan pengkaji politik, sosial dan kebudayaan. Selain pernah tertegak tamadun besar dunia di sana, sejarah era modennya juga penuh dengan fakta dan sudut pandang yang berbeda. Lebih-lebih lagi, dunia Arab seolah-olah menjadi benchmark kepada jatuh bangun umat Islam menurut segelintir pengkaji.

Semalam (Khamis, 9 Februari 2012))saya telah berkesempatan berkongsi buah fikiran dan pandangan dalam sebuah program ‘Open Talk’ yang dianjurkan PERMAI (Persatuan Pelajar Malaysia Irbid). Salah satu budaya mutakhir yang boleh dipuji dalam kalangan mahasiswa di Irbid ialah kehadiran dan partisipasi mereka dalam siri perbincangan bebas – antara panel dan audien – atas nama ‘Open Talk’ ini. Saya kira program positif ini membudayakan keberanian untuk berbeda dalam berfikiran dan meluahkan pandangan.

Sebagai salah seorang daripada tiga panelis dalam wacana bertajuk “Dunia Islam Pasca-Revolusi Arab : Isu dan Masa Depan” itu, saya telah cuba meringkaskan beberapa poin penting sebagai lontaran sebelum dibincangkan secara terbuka oleh setiap audien dan teman-teman panelis. Namun demikian ada juga beberapa poin yang tidak smepat disampaikan semalam lantaran masa yang terlalu singkat.

Latar belakang kebangkitan

Saya berhemat, revolusi dunia Arab bukanlah sebuah perjuangan singkat dan berlaku pantas tanpa didahului ‘muqaddimah’ dan jalan cerita yang panjang. Justeru saya memulakan hujah dengan premis bahawa kebangkitan umat Islam dan bangsa Arab bermula aktif sejak akhir abad ke-19 menerusi beberapa tokoh seperti Sultan Abdul Hamid 2 (1842-1918), Jamaluddin al-Afghani (1838-1897), Muhammad Abduh (1849-1905), Rasyid Redha (1865-1935), Khairuddin at-Tunisi (1822-1889), Said Nursi (1878-1960) Malik ben Nabi (1905-1973), Muhammad at-Taher ibn ‘Ashoor (1879-1970), Abd Hamid ben Badis (1889-1940) dan sebagainya. Kesemua mereka cuba mencari penawar bagi merawat penyakit umat pada masa itu.

Seterusnya era kolonial khasnya pada suku pertama abad ke-20 telah menjadikan umat Islam terus tersungkur dan pada waktu yang sama gerakan kebangkitan rakyat dan kesedaran umat telah cuba direncanakan menerusi tokoh-tokoh seperti Hasan al-Banna, al-Maududi dan Hasan Hudaybi. Al-Banna yang lahir pada 1906 telah menubuhkan gerakan al-Ikhwan al-Muslimun pada 1928 dan menyebarluaskan arus kebangkitan pada masa itu ke seluruh ceruk Mesir hinggalah beliau terbunuh pada 1949. Sementara al-Maududi (1903-1979) pula menjadi ideolog kebangkitan di Pakistan selain telah menubuhkan gerakan Jamaat Islami. Sekitar era itu juga munculnya pemimpin dan tokoh pemikir seperti Sayyid Qutb (1906-1966), Ali Shariati (1933-1875), Muhammad Iqbal (1877-1938), Ghannouchi (1941-sekarang) dan sebagainya. Kebangkitan tersebut turut tersebar ke pelosok dunia termasuk nusantara seperti Tanah Melayu dan Indonesia menerusi aktiviti penterjemahan tulisan ilmuan-ilmuan di atas dan kepulangan ulama dan ilmuan dari Nusantara yang telah berpeluang menuntut ilmu dengan tokoh-tokoh revivalis di Mesir khasnya.

Saya menjadikan sejarah di atas sebagai premis penting bahawa kebangkitan dunia Arab pada hari ini mempunyai sejarah yang sangat panjang sebagaimana telah dibukukan oleh banyak pihak. Saya yakin bahawa aktiviti dan gerakan keilmuan selain kaderisasi tenaga-tenaga muda merupakan antara ciri penting kebangkitan tersebut, apatah lagi kewujudan tirani, pemerintahan zalim, korupsi dan totalitarian di kebanyakan dunia Arab dan Islam pada era tersebut seperti Gamal Abdul Naser (1918-1970), Anwar Sadat (1918-1981), Hosni Mubarak (1928 – sekarang, telah dijatuhkan oleh revolusi rakyat di Mesir pada awal 2011), Habib Bourguiba (1903-2000), Shah Iran (1919-1980, beliau telah dijatuhkan oleh rakyat pada 1979) dan Zein al-‘Abidin ben Ali (1936 – sekarang, beliau telah dijatuhkan oleh revolusi rakyat pada awal 2011) menambahkan lagi kegiatan reaktif dan penentangan oleh gerakan umat yang sedar.

Revolusi sebagai solusi?

Menghadapi persoalan sama ada adakah revolusi merupakan satu-satunya jalan penentangan terhadap pemerintahan totalitarian dan pelbagai kezaliman dalam sesebuah negara, saya lebih berpandangan bahawa revolusi bukanlah merupakan satu-satunya jalan yang baik dalam membaiki sistem pemerintahan dan menyeru ke arah demokrasi, namun pada waktu-waktu tertentu revolusi berkemungkinan menjadis esuatu yang terdesak untuk dilaksanakan. Disebabkan itu perdebatan tentang kepentingan revolusi terus berlaku khasnya dalam kalangan ilmuan Islam, sekalipun mereka bersepakat tidak bersetuju dengan sesuatu pemerintahan yang zalim. Pertimbangan antara keburukan dan kebaikan terus berjalan serius lantaran mahu mengelakkan tragedi buruk berlaku sekalipun keikhlasan niat dan kejujuran para revolusioner tidak dipertikai.

Saya kira, setakat ini Tunisia merupakan sebuah contoh revolusi yang agak berjaya. Berbanding Mesir dan Libya yang masih belum tentu pemerintahan pasca-revolusi mereka, Tunisia yang kini sudah mendirikan sebuah negara baru selepas pilihanraya umum beberapa bulan lepas telah mengembalikan kemenangan revolusi tersebut kepada rakyat, bukannya terus mendirikan kerajaan pengganti – tanpa pilihanraya – sebagaimana pernah berlaku dalam revolusi Iran 1979 dan revolusi Mesir 1952. Iran merupakan antara negara yang kurang demokratik setelah tertegaknya negara baru pasca-1979, begitu juga dengan Mesir yang sangat jelas terlihat kezalimannya.

Sepatutnya selepas sesuatu revolusi yang telah melihat kerja keras dan keberanian rakyat demi menjatuhkan kezaliman, rakyat diberikan kuasa memilih pemimpin mereka sendiri menerusi pilihanraya baru dan dasar-dasar pemerintahan baru yang menyuburkan demokrasi, kebebasan dan persamaan. Sebaliknya berlaku di Iran yang menjadi sebuah negara agama yang diperintah oleh rijal al-diin dan para Ayatollah menerusi doktrin wilayatul faqih. Sementara di Mesir pula, pemerintahan Muhammad Naguib (1901-1984), Gamal Abd Naser, Anwar Sadat dan Mubarak telah menegakkan kediktatoran baru selepas revolusi 1952. Begitu juga – menurut hemat saya – revolusi Perancis 1789 turut gagal bertindak jujur dengan demokrasi dan kebebasan sebagaimana diperjuangkan sebelumnya tatkala perempuan Islam masih dilarang daripada berhijab di institusi-institusi kerajaan sedangkan hak kebebasan berkeyakinan dan mempraktikkan ajaran agama merupakan sesuatu yang sangat teras dalam sebuah dengara demokratik. Adapun dari sudut yang lain, revolusi Iran turut mempunyai sisi positif yang tersendiri seperti lebih baik berbanding pemerintahan pra-1979 (sebagaimana diterangkan oleh banyak pihak), demikian juga dengan sudut positif dalam revolusi Perancis.

Bukan sekadar hitam dan putih

Pokoknya, dalam menilai isu-isu politik seperti perihal revolusi ini, kita bukan sekadar menggunakan bandingan hitam putih atau positif negatif semata-mata. Begitu juga dalam urusan keduniaan yang lain, penilaiannya mestilah dilihat menerusi banyak sudut secara terperinci. Oleh yang demikian, keberanian untuk tidak bersetuju dan ethics of disagreements (etika dalam perselisihan/adaab al-ikhtilaf) sewajarnya menjadi perhatian kita dalam setiap isu yang dibincangkan. Kita kena akur bahawa sekalipun kita mempunyai impian ideal yang tersendiri, namun satu masa kita hendaklah membuat keputusan yang paling tepat walaupun bukan paling terbaik. Dalam Islam sendiri, cara berfikir ini wujud mekar terutama dalam perbincangan disiplin ilmu Usul al-Fiqh dan Maqasid al-Shariah (saya tidak berniat untuk menjelaskan perihal tersebut di sini).

Selain itu, saya turut mengusulkan dalam ‘Open Talk’ semalam bahawa sebagai seorang manusia dan warga terpelajar, kita sewajarnya meluaskan lagi cara berfikir bahawa tanggungjawab membuat perubahan bukan sahaja menerusi kuasa, ‘atas ke bawah’ dan politik partisan. Sebaliknya kita mesti menghidupkan ruh firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu sehingga kaum itu sendiri yang mengubahnya.” (al-Ra’d : 11)

Ayat tersebut membawa pengertian yang besar dan jelas menunjukkan bahawa setiap warga mestilah bertanggungjawab atas setiap urusan kehidupannya, termasuk dalam bidang politik. Akan tetapi, menjadi seorang warga yang bertanggungjawab bukan sahaja menerusi pintu politik partisan dan kuasa, sebaliknya menghidupkan civil society dan gerakan keilmuan dan kebajikan dalam masyarakat. Salah satu contoh menarik dalam hal ini ialah gerakan yang diketuai oleh Fethullah Gulen (1941-sekarang) sangat terkenal sebagai salah satu aktor penting dalam menggerakkan kerja-kerja kebajikan, pendidikan dan dialog antara agama di Turki dan di luar Turki. Pergerakannya yang berorientasikan hizmet atau perkhidmatan telah ditulis dan diiktiraf oleh banyak pengkaji seperti Ihsan Yilmaz, John L. Esposito dan sebagainya. Malah hubungan mereka dan parti politik AKP di Turki telah menjadi buah mulut dan open secret dalam kalangan pengkaji, pemerhati politik dan rakyat Turki.

Pergerakan dan aktiviti masyarakat sivil seperti itu boleh menjadi contoh terbaik bahawa dalam melaksanakan tanggungjawab kita membaiki kerosakan dalam masyarakat, kuasa pemerintahan bukan satu-satunya jalan yang ada, sekalipun kita tidak menafikan kebaikan penglibatan dalam politik kuasa.

Masa depan

Harapan dan impian tertinggi kita ialah supaya keadilan, keamanan,demokrasi, pemerintahan yang baik, toleransi dalam beragama dan sebagainya menjadi suatu realiti dalam dunia baru khasnya negara-negara pasca-revolusi. Kesedaran rakyat dan warga dalam menunaikan tanggungjawab mereka mestilah sentiasa diberi perhatian dan penekanan. Di samping itu, kesedaran mengenai kepentingan pendidikan dalam membina insan yang berilmu, kritis dan mempraktikkan nilai-nilai mulia sewajarnya tidak dipandang enteng, kerana sebuah kebangkitan tanpa penggantian dan persediaan yang rapi pasti akan mengakibatkan keburukan.

Berhubung persoalan umat Islam, saya mengulangi pandangan Dr Taha Jabir al-‘Alwani (dalam buku Usul al-Fiqh al-Islami), Prof Dr Tariq Ramadhan (dalam buku Radical Reform) dan lain-lain supaya disinergikan antara ulama un-nusus dan ulama ul-waqie dalam menggerakkan kebangkitan baru yang lebih bermakna, sesuai dengan Islam sebagai sebuah agama rahmatan lil ‘alamin. Bahkan keyakinan bahawa Islam sebagai agama yang relevan sepanjang zaman juga sewajarnya menjadikan kita lebih peka dengan ilmu dan tentangan semasa supaya peranan agama dapat dihidupkan dengan zeitgeist (semangat zaman).

Akhirnya, saya berharap supaya program wacana terbuka seperti siri ‘Open Talk’ ini akan terus menjadikan mahasiswa di Irbid terus matang, cakna dan berani berbeda dalam setiap isu.

Sekian,
Marwan Bukhari A. Hamid

*Tulisan ini merupakan catatan ringkas, justeru sekiranya anda mahu mengetahui secara lebih lanjut dan mendapatkan rujukan-rujukan yang saya gunakan, boleh berhubung menerusi emel.

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP