Friday, 10 February 2012

Mencari Solusi Selain Revolusi



Dunia Arab dan Islam merupakan antara tumpuan para ilmuan dan pengkaji politik, sosial dan kebudayaan. Selain pernah tertegak tamadun besar dunia di sana, sejarah era modennya juga penuh dengan fakta dan sudut pandang yang berbeda. Lebih-lebih lagi, dunia Arab seolah-olah menjadi benchmark kepada jatuh bangun umat Islam menurut segelintir pengkaji.

Semalam (Khamis, 9 Februari 2012))saya telah berkesempatan berkongsi buah fikiran dan pandangan dalam sebuah program ‘Open Talk’ yang dianjurkan PERMAI (Persatuan Pelajar Malaysia Irbid). Salah satu budaya mutakhir yang boleh dipuji dalam kalangan mahasiswa di Irbid ialah kehadiran dan partisipasi mereka dalam siri perbincangan bebas – antara panel dan audien – atas nama ‘Open Talk’ ini. Saya kira program positif ini membudayakan keberanian untuk berbeda dalam berfikiran dan meluahkan pandangan.

Sebagai salah seorang daripada tiga panelis dalam wacana bertajuk “Dunia Islam Pasca-Revolusi Arab : Isu dan Masa Depan” itu, saya telah cuba meringkaskan beberapa poin penting sebagai lontaran sebelum dibincangkan secara terbuka oleh setiap audien dan teman-teman panelis. Namun demikian ada juga beberapa poin yang tidak smepat disampaikan semalam lantaran masa yang terlalu singkat.

Latar belakang kebangkitan

Saya berhemat, revolusi dunia Arab bukanlah sebuah perjuangan singkat dan berlaku pantas tanpa didahului ‘muqaddimah’ dan jalan cerita yang panjang. Justeru saya memulakan hujah dengan premis bahawa kebangkitan umat Islam dan bangsa Arab bermula aktif sejak akhir abad ke-19 menerusi beberapa tokoh seperti Sultan Abdul Hamid 2 (1842-1918), Jamaluddin al-Afghani (1838-1897), Muhammad Abduh (1849-1905), Rasyid Redha (1865-1935), Khairuddin at-Tunisi (1822-1889), Said Nursi (1878-1960) Malik ben Nabi (1905-1973), Muhammad at-Taher ibn ‘Ashoor (1879-1970), Abd Hamid ben Badis (1889-1940) dan sebagainya. Kesemua mereka cuba mencari penawar bagi merawat penyakit umat pada masa itu.

Seterusnya era kolonial khasnya pada suku pertama abad ke-20 telah menjadikan umat Islam terus tersungkur dan pada waktu yang sama gerakan kebangkitan rakyat dan kesedaran umat telah cuba direncanakan menerusi tokoh-tokoh seperti Hasan al-Banna, al-Maududi dan Hasan Hudaybi. Al-Banna yang lahir pada 1906 telah menubuhkan gerakan al-Ikhwan al-Muslimun pada 1928 dan menyebarluaskan arus kebangkitan pada masa itu ke seluruh ceruk Mesir hinggalah beliau terbunuh pada 1949. Sementara al-Maududi (1903-1979) pula menjadi ideolog kebangkitan di Pakistan selain telah menubuhkan gerakan Jamaat Islami. Sekitar era itu juga munculnya pemimpin dan tokoh pemikir seperti Sayyid Qutb (1906-1966), Ali Shariati (1933-1875), Muhammad Iqbal (1877-1938), Ghannouchi (1941-sekarang) dan sebagainya. Kebangkitan tersebut turut tersebar ke pelosok dunia termasuk nusantara seperti Tanah Melayu dan Indonesia menerusi aktiviti penterjemahan tulisan ilmuan-ilmuan di atas dan kepulangan ulama dan ilmuan dari Nusantara yang telah berpeluang menuntut ilmu dengan tokoh-tokoh revivalis di Mesir khasnya.

Saya menjadikan sejarah di atas sebagai premis penting bahawa kebangkitan dunia Arab pada hari ini mempunyai sejarah yang sangat panjang sebagaimana telah dibukukan oleh banyak pihak. Saya yakin bahawa aktiviti dan gerakan keilmuan selain kaderisasi tenaga-tenaga muda merupakan antara ciri penting kebangkitan tersebut, apatah lagi kewujudan tirani, pemerintahan zalim, korupsi dan totalitarian di kebanyakan dunia Arab dan Islam pada era tersebut seperti Gamal Abdul Naser (1918-1970), Anwar Sadat (1918-1981), Hosni Mubarak (1928 – sekarang, telah dijatuhkan oleh revolusi rakyat di Mesir pada awal 2011), Habib Bourguiba (1903-2000), Shah Iran (1919-1980, beliau telah dijatuhkan oleh rakyat pada 1979) dan Zein al-‘Abidin ben Ali (1936 – sekarang, beliau telah dijatuhkan oleh revolusi rakyat pada awal 2011) menambahkan lagi kegiatan reaktif dan penentangan oleh gerakan umat yang sedar.

Revolusi sebagai solusi?

Menghadapi persoalan sama ada adakah revolusi merupakan satu-satunya jalan penentangan terhadap pemerintahan totalitarian dan pelbagai kezaliman dalam sesebuah negara, saya lebih berpandangan bahawa revolusi bukanlah merupakan satu-satunya jalan yang baik dalam membaiki sistem pemerintahan dan menyeru ke arah demokrasi, namun pada waktu-waktu tertentu revolusi berkemungkinan menjadis esuatu yang terdesak untuk dilaksanakan. Disebabkan itu perdebatan tentang kepentingan revolusi terus berlaku khasnya dalam kalangan ilmuan Islam, sekalipun mereka bersepakat tidak bersetuju dengan sesuatu pemerintahan yang zalim. Pertimbangan antara keburukan dan kebaikan terus berjalan serius lantaran mahu mengelakkan tragedi buruk berlaku sekalipun keikhlasan niat dan kejujuran para revolusioner tidak dipertikai.

Saya kira, setakat ini Tunisia merupakan sebuah contoh revolusi yang agak berjaya. Berbanding Mesir dan Libya yang masih belum tentu pemerintahan pasca-revolusi mereka, Tunisia yang kini sudah mendirikan sebuah negara baru selepas pilihanraya umum beberapa bulan lepas telah mengembalikan kemenangan revolusi tersebut kepada rakyat, bukannya terus mendirikan kerajaan pengganti – tanpa pilihanraya – sebagaimana pernah berlaku dalam revolusi Iran 1979 dan revolusi Mesir 1952. Iran merupakan antara negara yang kurang demokratik setelah tertegaknya negara baru pasca-1979, begitu juga dengan Mesir yang sangat jelas terlihat kezalimannya.

Sepatutnya selepas sesuatu revolusi yang telah melihat kerja keras dan keberanian rakyat demi menjatuhkan kezaliman, rakyat diberikan kuasa memilih pemimpin mereka sendiri menerusi pilihanraya baru dan dasar-dasar pemerintahan baru yang menyuburkan demokrasi, kebebasan dan persamaan. Sebaliknya berlaku di Iran yang menjadi sebuah negara agama yang diperintah oleh rijal al-diin dan para Ayatollah menerusi doktrin wilayatul faqih. Sementara di Mesir pula, pemerintahan Muhammad Naguib (1901-1984), Gamal Abd Naser, Anwar Sadat dan Mubarak telah menegakkan kediktatoran baru selepas revolusi 1952. Begitu juga – menurut hemat saya – revolusi Perancis 1789 turut gagal bertindak jujur dengan demokrasi dan kebebasan sebagaimana diperjuangkan sebelumnya tatkala perempuan Islam masih dilarang daripada berhijab di institusi-institusi kerajaan sedangkan hak kebebasan berkeyakinan dan mempraktikkan ajaran agama merupakan sesuatu yang sangat teras dalam sebuah dengara demokratik. Adapun dari sudut yang lain, revolusi Iran turut mempunyai sisi positif yang tersendiri seperti lebih baik berbanding pemerintahan pra-1979 (sebagaimana diterangkan oleh banyak pihak), demikian juga dengan sudut positif dalam revolusi Perancis.

Bukan sekadar hitam dan putih

Pokoknya, dalam menilai isu-isu politik seperti perihal revolusi ini, kita bukan sekadar menggunakan bandingan hitam putih atau positif negatif semata-mata. Begitu juga dalam urusan keduniaan yang lain, penilaiannya mestilah dilihat menerusi banyak sudut secara terperinci. Oleh yang demikian, keberanian untuk tidak bersetuju dan ethics of disagreements (etika dalam perselisihan/adaab al-ikhtilaf) sewajarnya menjadi perhatian kita dalam setiap isu yang dibincangkan. Kita kena akur bahawa sekalipun kita mempunyai impian ideal yang tersendiri, namun satu masa kita hendaklah membuat keputusan yang paling tepat walaupun bukan paling terbaik. Dalam Islam sendiri, cara berfikir ini wujud mekar terutama dalam perbincangan disiplin ilmu Usul al-Fiqh dan Maqasid al-Shariah (saya tidak berniat untuk menjelaskan perihal tersebut di sini).

Selain itu, saya turut mengusulkan dalam ‘Open Talk’ semalam bahawa sebagai seorang manusia dan warga terpelajar, kita sewajarnya meluaskan lagi cara berfikir bahawa tanggungjawab membuat perubahan bukan sahaja menerusi kuasa, ‘atas ke bawah’ dan politik partisan. Sebaliknya kita mesti menghidupkan ruh firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu sehingga kaum itu sendiri yang mengubahnya.” (al-Ra’d : 11)

Ayat tersebut membawa pengertian yang besar dan jelas menunjukkan bahawa setiap warga mestilah bertanggungjawab atas setiap urusan kehidupannya, termasuk dalam bidang politik. Akan tetapi, menjadi seorang warga yang bertanggungjawab bukan sahaja menerusi pintu politik partisan dan kuasa, sebaliknya menghidupkan civil society dan gerakan keilmuan dan kebajikan dalam masyarakat. Salah satu contoh menarik dalam hal ini ialah gerakan yang diketuai oleh Fethullah Gulen (1941-sekarang) sangat terkenal sebagai salah satu aktor penting dalam menggerakkan kerja-kerja kebajikan, pendidikan dan dialog antara agama di Turki dan di luar Turki. Pergerakannya yang berorientasikan hizmet atau perkhidmatan telah ditulis dan diiktiraf oleh banyak pengkaji seperti Ihsan Yilmaz, John L. Esposito dan sebagainya. Malah hubungan mereka dan parti politik AKP di Turki telah menjadi buah mulut dan open secret dalam kalangan pengkaji, pemerhati politik dan rakyat Turki.

Pergerakan dan aktiviti masyarakat sivil seperti itu boleh menjadi contoh terbaik bahawa dalam melaksanakan tanggungjawab kita membaiki kerosakan dalam masyarakat, kuasa pemerintahan bukan satu-satunya jalan yang ada, sekalipun kita tidak menafikan kebaikan penglibatan dalam politik kuasa.

Masa depan

Harapan dan impian tertinggi kita ialah supaya keadilan, keamanan,demokrasi, pemerintahan yang baik, toleransi dalam beragama dan sebagainya menjadi suatu realiti dalam dunia baru khasnya negara-negara pasca-revolusi. Kesedaran rakyat dan warga dalam menunaikan tanggungjawab mereka mestilah sentiasa diberi perhatian dan penekanan. Di samping itu, kesedaran mengenai kepentingan pendidikan dalam membina insan yang berilmu, kritis dan mempraktikkan nilai-nilai mulia sewajarnya tidak dipandang enteng, kerana sebuah kebangkitan tanpa penggantian dan persediaan yang rapi pasti akan mengakibatkan keburukan.

Berhubung persoalan umat Islam, saya mengulangi pandangan Dr Taha Jabir al-‘Alwani (dalam buku Usul al-Fiqh al-Islami), Prof Dr Tariq Ramadhan (dalam buku Radical Reform) dan lain-lain supaya disinergikan antara ulama un-nusus dan ulama ul-waqie dalam menggerakkan kebangkitan baru yang lebih bermakna, sesuai dengan Islam sebagai sebuah agama rahmatan lil ‘alamin. Bahkan keyakinan bahawa Islam sebagai agama yang relevan sepanjang zaman juga sewajarnya menjadikan kita lebih peka dengan ilmu dan tentangan semasa supaya peranan agama dapat dihidupkan dengan zeitgeist (semangat zaman).

Akhirnya, saya berharap supaya program wacana terbuka seperti siri ‘Open Talk’ ini akan terus menjadikan mahasiswa di Irbid terus matang, cakna dan berani berbeda dalam setiap isu.

Sekian,
Marwan Bukhari A. Hamid

*Tulisan ini merupakan catatan ringkas, justeru sekiranya anda mahu mengetahui secara lebih lanjut dan mendapatkan rujukan-rujukan yang saya gunakan, boleh berhubung menerusi emel.

1 comments:

Anonymous,  12 February 2012 at 02:05  

alhamdulillah. perkongsian yang baik .
kalau kita lihat sekarang , ramai mahasiswa/i yang kurang mengambil tahu soal ini . dan seterusnya membuat satu kesimpulan sendiri terhadap isu revolusi ini . dan ada juga yang mengambil inisiatif untuk tidak mengambil tahu langsung . untuk menyuruh mereka membuka mata bukan satu usaha mudah , revolusi telah lama berlaku dan kemungkinan juga banyak sejarah yang telah diseleweng . wallahua'lam . mahasiswa cakna dunia .

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP