Wednesday, 30 April 2014

Memuji Pendekatan IKRAM, ABIM & PAS

                Malaysia penuh warna-warni dengan kepelbagaian; sama ada agama, bangsa, etnik, pemikiran, latar belakang sosial dan sebagainya. Dalam keunikan Malaysia yang pelbagai ini, saya mahu menyentuh perihal wujud kesedaran sesetengah kumpulan Islam untuk menyampai dan mengajak masharakat mempraktikkan Islam dalam kehidupan. Kesedaran sebegini sudah lama, kewujudan pondok dan madrasah (sekadar dua contoh) di pelbagai negeri sekian lama menunjukkan betapa kesedaran ini menjadi antara keistimewaan Malaysia.

                Dalam konteks selepas merdeka, institusi seperti madrasah dan pondok atau secara umumnya institusi berbentuk pendidikan formal masih lagi wujud. Dalam tulisan ini, saya hanya mahu menyebut sebahagian kecil berkaitan Islam dan gerakan keIslaman di Malaysia; saya mahu memuji beberapa pertubuhan keIslaman iaitu IKRAM (Pertubuhan IKRAM Malaysia), ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) dan PAS (Parti Islam Se-Malaysia). Tanpa menafikan ada hal-hal yang saya kurang dan tidak bersetuju dengan mereka, tapi saya mahu memuji mereka berhubung pendekatan mereka dalam menyampaikan mesej-mesej Islam di sebuah negara yang jamak agama, bangsa dan budaya seperti Malaysia ini.

IKRAM ada masa depan yang baik dalam dunia kegerakanan di tanah air.

                Saya memuji IKRAM dan ABIM yang merupakan antara gerakan keIslaman yang terbuka, anjal dan menyahut kepentingan "engagement" dengan kumpulan-kumpulan lain; sama ada kumpulan berasaskan Islam ataupun tidak. Mereka ada prinsip, tapi terbuka. Kerana mereka terbuka dan sedia untuk engage, ada segelintir pihak menuduh mereka dengan macam-macam tuduhan dan memberi pelbagai pelabelan. Seperti juga PAS, mereka sebuah parti yang berprinsip dan berdisiplin, tapi mereka terbuka dan bersedia bekerjasam dengan pelbagai pihak, sekalipun masih ada anggota mereka yang masih mahu kekal 'eksklusif' seperti dahulu, tapi PAS tetap menunjukkan qudwah yang baik dalam dunia gerakan keIslaman di Malaysia. Mereka tidak melihat dunia aktivisme keIslaman menurut kaca mata hitam dan putih, lalu mengganggap "selain kami" sebagai musuh Islam! Tidak, mereka ada pendirian dan ada perkara yang mereka tidak persetujui dengan "pihak-pihak lain", tetapi mereka mendahulukan pertemuan, dialog dan bekerjasama khasnya dalam hal-hal melibatkan kepentingan bersama yang dikongsi dalam sebuah negara.

                Gerakan keIslaman harus sedar, dialog dan "engagement" suatu wasilah yang sangat baik dan wajar diberi penekanan, sama ada "intra" mahupun "inter". Ketiga-tiga pertubuhan di atas menunjukkan komitmen yang baik dalam hal ini, sekalipun tanpa menafikan, masih ada yang perlu diperbaiki dan diperkasa. IKRAM, ABIM dan PAS harus menjauhi budaya memperbanyak (dan mencipta) musuh, menggunakan bahasa yang kasar dan berasa hanya "kami" yang sempurna. Jelasnya, IKRAM, ABIM dan PAS memang sedang menjauhi budaya sebegitu, sebab itu sesetengah yang tidak senang dengan pendekatan mereka melakukan macam-macam tuduhan dan pelabelan. Bukanlah masalah untuk berada dalam satu forum, bekerjasama dalam satu gerakan nasional demi kepentingan negara dan meningkatkan dialog dan debat antara idea.

                Shaykh Yusuf al-Qaradawi antara tokoh yang sangat menekankan perihal dialog rentas idea dan pertubuhan. Lihatlah dalam bukunya, "Awlawiyyat al-Harakah al-Islamiyyah fi al-Marhalah al-Qadimah", khasnya di halaman 147-165 (terbitan Maktabah Wahbah, cetakan ketujuh, 2010). Al-Qaradawi menyebut tentang kepentingan dialog antara gerakan keIslaman dengan orang yang tidak bersetuju dengan mereka sama ada dengan cerdik pandai yang pro-sekularisme, intelektual di Barat, dialog pemikiran antara agama dan dialog antara ilmuan Muslim dan golongan para pengkaji tentang Islam. Bahkan pada musim panas tahun 1985, ada sebuah program bersejarah di Dar al-Hikmah, Kaherah, yang mana Shaykh Muhammad al-Ghazali rahimahullah dan al-Qaradawi mewakili kumpulan Islamis, sementara Dr Fuad Zakariya mewakili kem sekular. Suatu keanehan, adakah segelintir kumpulan yang mengaku perjuangkan Islam dan sangat fobia dengan dialog itu telah baca tulisan al-Qaradawi tersebut? Baik, kalau tidak bersetuju dengan pandangan itu pun, janganlah mereka mudah menuduh dan menggelar kumpulan sederhana seperti IKRAM, ABIM dan PAS dengan gelaran yang buruk.

PAS antara parti yang berdisiplin di tanah air.

                PAS mungkin berbeza dengan IKRAM dan ABIM, kerana PAS sebuah parti politik, namun saya menyebut juga PAS dalam tulisan ini, kerana PAS berani untuk mempunyai sikap yang tersendiri dalam dunia politik dan dakwah di Malaysia, sekalipun sekian lama dikenali berlatarbelakangkan prinsip keIslaman. PAS sejak beberapa dekad (terutama dekad terbaharu ini) mendekati bukan Muslim dengan bijaksana. Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak ketinggalan menunjukkan contoh yang baik, sehingga beliau disayangi sebahagian bukan Muslim. Dr Mujahid Yusof Rawa pula semakin dikenali sebagai antara jaguh dalam dunia dialog antara agama. Beliau memasuki puluhan geraja, berdialog dan menyampaikan mesej-mesej kedamaian antara agama. Dr Mujahid selaku manusia pasti ada kelemahan, tetapi segelintir "pejuang Islam" melabel Dr Mujahid sebagai "liberal" dan sebagainya. Mungkin mereka tidak suka dengan pendekatan harmoni Dr Mujahid, kerana mereka lebih senang dengan "kalau tidak bersetuju dengan Islam dan Melayu, keluarlah dari Malaysia!" Ijtihad politik PAS menyebabkan mereka sekarang berada dalam Pakatan Rakyat (PR) yang punya pelbagai agama, kaum dan aliran pemikiran. PAS tahu realiti Malaysia menjadikan pakatan sebegitu antara pilihan yang baik dan relevan, sekalipun belum tentu yang terbaik. Politik Islam bukanlah dilihat menurut pandangan binari, sekadar halal ataupun haram, tetapi ia lebih kepada pandangan berteraskan pertimbangan maslahah dan mafsadah, tepat atau salah, menguntungkan atau merugikan dan sebaliknya. Sungguh hairan akan pihak yang ringan lidah mereka dengan perkataan "haram" dalam menilai hal ehwal kepolitikan; haram demonstrasi, haram kerjasama politik, haram itu dan haram ini. Pandangan kepolitikan sudah tentu boleh didebatkan dan atas kesediaan bersetuju untuk tidak bersetuju, tapi bukannya dengan mudah meletakkan hukum haram itu dan ini. Ia ruang pertandingan idea, pertimbangan dan penilaian yang kritikal dan praktikal yang keberpijakan.

Kekuatan ABIM lebih jelas menerusi tradisi keintelektualan mereka.

                ABIM pula sejak dahulu dikenali mempunyai sumbangan yang tinggi dalam dunia gerakan keIslaman di tanah air, khasnya berkenaan pendidikan dan keintelektualan, selain dunia dakwah. ABIM punya anggota yang pelbagai, mereka ada yang menjadi tokoh intelektual, ada yang menjadi ahli politik (sama ada kerajaan atau pembangkang) dan ada yang aktif dalam dunia aktivisme kebeliaan. ABIM kurang dikenali dengan sikap suka mencari salah gerakan-gerakan keIslaman lain, atau suka membuat kenyataan perkauman atas nama Islam, sekalipun ABIM antara kumpulan keIslaman yang memberikan perhatian dalam isu-isu keMelayuan dan keIslaman. ABIM tidak bising mahu tutup mulut bangsa itu dan ini, tapi mereka lebih menyampaikan idea-idea keIslaman menerusi pentas keilmuan; menerusi penulisan, penterjemahan dan program-program keilmuan. Mereka tahu kerencaman dunia pemikiran dan mereka ada pendirian tersendiri, tetapi tidaklah pula penglibatan mereka dalam sepak terajang dunia pemikiran menyebabkan mereka gigih ke hulu ke hilir melabel pihak lain itu dan ini! Kalau ada pun, ia mungkinkes-kes yang kecil dan terpencil.

                IKRAM yang secara rasmi didaftarkan pada 22 Oktober 2009 merupakan sebuah pertubuhan yang ada sejarah yang tersendiri dan sumbangan yang tidak kecil dalam dunia gerakan keIslaman di tanah air kita. Seperti pertubuhan-pertubuhan keIslaman lain, mereka memberi perhatian dalam dunia tarbiah, dakwah dan kebajikan, selain hal-hal keilmuan. Saya memuji IKRAM, identiti keIslaman mereka tidak menjadikan mereka cenderung melihat Malaysia secara hitam dan putih, "kami" dan "lain-lain" dan sewaktu dengannya. IKRAM ada pandangan tersendiri dalam isu-isu kepolitikan tanah air, begitu juga dengan isu-isu keagamaaan. Lihatlah pandangan mereka dalam isu-isu seperti kalimah Allah, hubungan antara Muslim dan bukan Muslim serta pandangan-pandangan mereka berhubung politik nasional. Mereka ada menyertai beberapa kerjasama dengan kumpulan-kumpulan yang pro-liberal dan hak-hak asasi manusia, termasuk dalam menganjurkan beberapa program intelektual. Hal tersebut menyebabkan ada pihak yang tidak senang, lalu menuduh mereka sebagai "bersekongkol dengan musuh Islam" dan sebagainya. Itulah lumrah segelintir pihak yang tertutup, mudah sungguh menuduh orang lain sebagai musuh, liberal dan sebagainya. Syukur, IKRAM tidak seperti sebahagian pihak, IKRAM melaksanakan misi-misi keIslaman dengan bijaksana dan bukan berwajah bengis lalu melulu atas nama "memperjuangkan Islam".

                Pandangan-pandangan di atas, sekadar beberapa contoh. Anda yang membaca, boleh bersetuju dan jika tidak, anda boleh tidak bersetuju. Saya mahu teruskan beberapa perenggan lagi. Setelah memuji, saya mahu melontarkan beberapa cadangan pesanan dan memberikan harapan. Saya sangat berharap IKRAM, ABIM dan PAS menjauhi budaya melabel dan menggelarakan pihak yang tidak bersetuju dengan mereka dengan pelabelan yang bertujuan memburukkan lawan. IKRAM, ABIM dan PAS harus meningkatkan budaya dialog dan "engagement" dengan kumpulan-kumpulan selain mereka dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan bersama dan nasional. Mereka harus bertukar-tukar buah fikiran dengan pertubuhan-pertubuhan keIslaman yang lain, ia sangat baik untuk bekerjasama membangunkan umat Islam. Tetapi mereka juga harus berdialog, berkomunikasi dan bersedia bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan di luar aliran "Islamisme", kerana akhirnya yang kita mahu ialah menyampaikan mesej Islam kepada semua pihak, bukannya Islam menjadi terpencil dan jauh daripada ruang awam atas alasan "mahu selamat".

                Selain itu, saya lebih cenderung supaya kumpulan-kumpulan keIslaman di tanah air kita lebih memberi fokus dalam memperkasa masharakat sivil menerusi aktiviti pendidikan, kebajikan dan sebagainya. Malaysia yang lebih demokratik dan utuh harus dibentuk dan diperkukuh; IKRAM, ABIM dan PAS antara yang kita boleh meletakkan harapan dalam menjayakannya berteraskan prinsip-prinsip Islam. IKRAM, ABIM dan PAS juga harus sentiasa menjadikan kepelbagaian gerakan keIslaman (ta'addud al-jamaat) sebagai peluang untuk saling melengkapi, bersaing mengerjakan kebaikan dan sebagainya. Mereka harus saling merendah diri, selain berkeyakinan tinggi, bukannya meninggi diri dan giat memperendah pihak lain sebagai "sudah cair sifat-sifat keIslamannya". Ada pihak yang sempit dadanya, mata mereka hanya melihat keburukan kumpulan yang tidak bersetuju dengan mereka, lalu akhirnya kepelbagaian gerakan seperti menatijahkan permusuhan, berbanding kebaikan yang boleh diambil. IKRAM, ABIM dan PAS juga harus terbuka dengan kritikan dan teguran, jangan sesekali mengabaikannya lantas menganggapnya sebagai "mehnah" dan "tribulasi" lalu memekakkan telinga lantaran berasa sentiasa benar. Semua manusia harus sentiasa bersedia untuk belajar; prinsip kita ialah "kita semua pelajar", bukannya "jangan ajar saya".


                Sekadar ini tulisan pendek dan pandangan ringkas saya, saya menyebut kekaguman saya terhadap IKRAM, ABIM dan PAS dalam hal-hal yang umum dan lebih memberi fokus berhubung hubungan dan sikap gerakan Islam dalam Malaysia yang amat rencam, meskipun ada juga yang saya kurang persetujui dalam beberapa hal - sambil menghormati pendekatan masing-masing. Jika ada kebaikan menerusi tulisan ini, boleh diambil pengajaran. Jika dirasakan tiada apa-apa yang bisa diambil perhatian, tulisan ini boleh diabaikan. IKRAM, ABIM dan PAS selain dekat dengan fikr al-harakah (pemikiran kegerakanan), harapnya mereka turut berperanan sebagai harakah al-fikr (gerakan pemikiran), semoga terus menyumbang!

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP