Thursday, 19 February 2015

Al-Quran, Persaudaraan Kemanusiaan dan Pembaharuan Peradaban



Makalah ini asalnya merupakan sebuah kertas kerja yang dibentangkan di Simposium Mahasiswa Timur Tengah yang telah berlangsung di Kaherah pada 4-5 Februari 2015, saya melakukan sedikit semakan terhadap makalah itu lalu disiarkan di sini.


Mukadimah

            Salah satu dimensi terpenting Islam ialah ia diturunkan untuk seluruh manusia tanpa mengira warna kulit, geografi, keturunan dan sebagainya. Hal tersebut diberi penekanan dan diulang dalam al-Quran dan al-Hadis, selain dibincangkan dalam teks-teks silam dan semasa. Apabila demikian antara sifat Islam, bererti selain Islam ada sisi eksklusif seperti hal ehwal kepercayaan dan ibadat yang ada ketegasan tertentu, Islam turut mempunyai sisi inklusif dan meraikan kepelbagaian dan keragaman manusia, terutama dalam interaksi dan urusan keduniaan.

            Hari-hari berlalu, pelbagai peristiwa dan perubahan berlaku sepanjang sejarah kemanusiaan, hal tersebut ternyata memberi kesan terhadap pelbagai aspek kehidupan termasuk wacana keilmuan dan jatuh bangun sesebuah peradaban. Betapa banyak pemikiran dan teori yang dibincangkan para ilmuan, ia merupakan kesan interaksi akal manusia terhadap realiti semasa dan punya latar belakang sejarah yang tertentu.

Namun demikian, di celah-celah saratnya perbedaan dari sudut keyakinan, budaya, keturunan dan sebagainya, ada beberapa perkara asasi yang manusia secara prinsipnya boleh bersepakat, meskipun mereka saling berkhilaf dalam dalam hal pemerincian. Paling utama, semua bisa bersetuju bahawa manusia ialah manusia. Atas hal penting tersebut, hadir tulisan ini berusaha menyumbang beberapa kuntum buah fikir tentang persaudaraan kemanusiaan menurut al-Quran, diikuti beberapa cadangan praktikal dalam dunia realiti.

Al-Ukhuwwah al-Insaniyyah: Pendekatan Tematik Quranik

Untuk menjelaskan maksud perkataan “persaudaraan kemanusiaan” menurut kaca mata Islam, tidak dapat tidak, kita harus meninjaunya dari perkataan yang digunakan wahyu, seterusnya mengeluarkan makna-makna asasnya, kemudian akan dikembangkan dalam penulisan ini dalam menjawab beberapa persoalan yang akan dinyatakan.  Al-Ukhuwwah al-Insaniyyah (dan al-Ikha’ al-Insaniy) merupakan terjemahan literal untuk perkataan persaudaraan kemanusiaan, kedua-dua perkataan itu ada asasnya dalam al-Quran, meskipun ia tidak disebut secara berangkai sebagaimana pada perkataan al-ukhuwwah al-insaniyyah.

Akhaw (أَخَوٌ) merupakan asal kepada perkataan Akh (أخ), dan menurut failasuf Muslim terkenal, al-Raghib al-Asfahani (w. 502 H) ia bererti: “Seseorang yang berkongsi dengan seseorang yang lain dalam kelahiran (dengan orang lain) dari dua pihak, atau dari salah satunya, atau dari (segi) penyusuan.”[1] Iaitu, seseorang yang punya persamaan dengan seseorang yang lain dari ibu bapa, atau dari salah seorang dari ibu bapa (sama ada ibu, atau bapa), atau merupakan saudara susuan.

Beliau berkata lagi; “penggunaan perkataan itu dipinjamkan ke setiap orang yang berkongsi (persamaan atau sifat) dengan orang lain dari segi kabilah, agama, ciptaan, interaksi (muamalah - معاملة) atau kasih sayang, dan lain-lain yang bersesuaian.”[2] Apa yang dinyatakan oleh al-Asfahani itu merupakan asas dalam memahami perbincangan saudara dan persaudaraan sepertimana digunakan al-Quran, contohnya tokoh tafsir terkenal, Abu al-Qasim al-Zamakhsyari (w. 538 H) semasa mentafsirkan ayat ke-10 (pada ayat: “sesungguhnya orang beriman itu bersaudara …”) dari surah al-Hujurat membincangkan tentang persaudaraan dalam beragama (al-ukhuwwah fi al-diin) sambil sebelumnya mengaitkan dengan kefahaman dari sudut literal yang lazim.[3]

Dalam al-Quran, perkataan yang berkait dengan perkataan akhaw digunakan sebanyak 96 kali dalam erti yang berbeza, menunjukkan bahawa bertitik tolak dari erti bahasa untuk perkataan itu, ia berkembang setelah menurut persamaan tertentu yang bersesuaian. Sebagai contoh, ada ayat yang berbicara tentang persaudaraan dalam keimanan, kekufuran, hubungan adik-beradik, persaudaraan dalam kaum atau keturunan, persamaan dalam sifat tertentu (contohnya sifat kekufuran dalam kalangan ahli neraka yang menyebabkan setiap mereka melaknat kalangan sendiri semasa dihumban dalam neraka, lihat al-A’raaf: ayat 38).

Untuk menjelaskan lagi hal di atas, saya akan membincangkan beberapa contoh ayat yang berkait dengan perkataan akhaw dan apa yang dimahukan menerusi penggunaan perkataan itu.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang telah kufur dan berkata kepada saudara-saudara mereka apabila mereka pergi mengembara di muka bumi untuk berniaga, atau keluar berperang (lalu mati atau terbunuh) …” (Aalu ‘Imran: 156)

Perkataan “saudara-saudara mereka” (إخوانهم) dalam ayat tersebut menurut al-Asfahani, ia disebabkan persamaan dalam kekufuran,[4] manakala Ibn ‘Atiyyah (w. 542 H) dalam tafsirnya terhadap ayat tersebut berkata, ia merupakan saudara-saudara mereka yang sama dari segi nasab,[5] iaitu golongan munafik berpesan kepada golongan yang satu ada persamaan dengan mereka dari segi nasab.

Contoh ayat berkaitan persaudaraan dalam keimanan ialah firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat (ayat 10):

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Perkataan ikhwah (إخوة) dalam ayat tersebut tidak syak lagi membawa erti persaudaraan dalam agama dan keimanan, sebagaimana itu kata al-Zamakhsyari dan lain-lain, begitu juga Ibn ‘Atiyyah.[6]

Selain membawa erti persaudaraan adik-beradik, iaitu kefahaman yang paling dekat dengan asal perkataan akhaw (ayat-ayat dalam hal ini tidak sedikit, contohnya al-Nisaa: 11), ia juga bererti persamaan antara dua (dan lebih dalam sifat baik lagi terpuji), sebagai contoh setelah Maryam AS pulang kepada kaumnya, kaumnya menggelarkan Maryam sebagai saudara perempuan Harun (أخت هارون), al-Baidawi (w. 685 H) menjelaskan dalam tafsirnya bahawa menurut sebahagian sarjana, ia bererti Maryam sememangnya ada hubungan kekeluargaan dengan Nabi Harun AS, dan dikatakan jarak antara kedua-duanya ialah 1000 tahun. Sebahagian yang lain pula berpandangan bahawa Harun dalam ayat tersebut ialah seorang pemuda yang terkenal dengan sifat buruk, lalu kaumnya ingin mencela Maryam lalu menyamakannya dengan lelaki itu, satu pandangan lagi menyatakan bahawa Harun yang dimaksudkan dalam ayat ialah seorang lelaki soleh, lalu kaumnya berkata demikian lantaran Maryam dikenali dengan sifat-sifat terpuji.[7]

Jelas dalam ayat tersebut, para ulama berbeza dalam menjelaskan maksud perkataan ukht, ada yang mengembalikannya pada maksud yang lebih dekat dengan kefahaman asal, iaitu keturunan, ada pula yang mengaitkannya dengan persamaan pada sifat dan akhlak.

Untuk meringkaskan lagi persoalan ini, saya mendatangkan beberapa ayat yang lebih dekat dengan maqasid perbahasan ini iaitu contohnya al-Ahqaf: 21, al-A’raaf: 65, 73, 85, Hud: 50, 61, 84, al-Naml: 45, al-‘Ankabut: 36, al-Shu’araa: 106, 124, 142, 161. Semua ayat yang disebut itu tatkala menyebut perkataan akha (أخا), akhuhum (أخوهم) atau akhahum (أخاهم) yang mana konteks dalam ayat-ayat tersebut membawa erti saudara (mereka), iaitu merujuk kepada para Nabi ‘alaihimus salatu was salam yang sedang diceritakan dalam ayat-ayat itu. Antara mereka ialah Nabi Nuh, Nabi Hud, Nabi Soleh, Nabi Syuaib dan Nabi Lut. Adapun perkataan “mereka” yang disandarkan kepada perkataan “saudara” pula merujuk kepada kaum para Nabi tersebut, dan suatu yang sedia maklum bahawa kebanyakan ahli kaum mereka menentang dakwah dan risalah para Nabi tersebut. Bererti, walaupun kaum-kaum tersebut menentang risalah dan dakwah yang dibawa para Nabi, para Nabi masih dirujuk sebagai sebahagian dari kaum mereka. Ringkasnya, masih ada persaudaraan kaum, setempat dan kemanusiaan, sekalipun berlaku pertentangan keras dalam isu keyakinan dan beragama.

Sebahagian ayat tersebut ialah firman Allah SWT:

“Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya?" (al-A’raaf: 65)

Al-Razi (w. 606 H), seorang Imam terkenal yang merupakan sarjana pelbagai bidang, dalam tafsirnya beliau menyebut beberapa pandangan berkenaan “saudara mereka” yang membawa erti Nabi Hud ada persaudaraan dengan kaumnya, sedangkan kaumnya terang-terang menentang dan menghinanya. Al-Razi mendatangkan lima pandangan yang menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan “saudara mereka”, antara pandangan yang dinukilkan al-Razi ialah:

“… Mereka (iaitu: para ulama) bersepakat bahawa Hud bukanlah saudara mereka dalam agama, adapun yang mereka perselisihkan ialah, adakah Hud itu merupakan saudara kerabat yang rapat atau tidak? Al-Kalbi berkata, sesungguhnya beliau (Hud) merupakan salah seorang dari kabilah itu, sebahagian yang lain berkata, sesungguhnya beliau (Hud) merupakan dari kalangan anak-anak Adam, bukannya dari Malaikat …”[8]

Demikian lah antara pandangan ulama yang dinukilkan oleh al-Razi, sama ada disebabkan Hud AS merupakan salah seorang dari ahli kabilahnya, atau semata-mata kerana persaudaraan atas sebab Hud AS juga dari kalangan manusia seperti kaumnya.

Begitu juga jika dilihat ayat-ayat lain yang punya persamaan mesej, seperti ayat 73 dari surah al-A’raaf:

“Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya …”

Dalam Mahasin al-Ta’wil karangan Jamaluddin al-Qasimi (w. 1332 H), beliau tidak membincangkan panjang tentang “saudara mereka”, cukup dengan menyebut bahawa para ulama tafsir dan (ilmu) nasab bahawa Soleh yang merupakan saudara mereka itu merupakan Ibn ‘Ubaid bin Asif bin Masih bin Ubaid bin Hadhir bin Thamud,[9] tokoh tafsir terkenal bernama Abu al-Su’ud al-‘Imadi (w. 982 H) semasa memberi komentar terhadap ayat tersebut, apa yang dinyatakan beliau hampir sama dengan apa yang dinyatakan oleh al-Qasimi, iaitu Thamud merupakan saudara Soleh dari segi nasab.[10]

Berdasarkan perbincangan-perbincangan di atas, secara umumnya kita bisa membuat kesimpulan bahawa adanya persaudaraan lain selain persaudaraan yang bersifat keagamaan. Ia bukanlah suatu yang asing dalam teks-teks silam Muslim, meskipun tanpa menggunakan perkataan “persaudaraan kemanusiaan”. Persaudaraan-persaudaraan tersebut boleh difahami sebagai “persaudaraan kaum”, persaudaraan nasional” dan “persaudaraan kemanusiaan”. Sarjana Muslim komtemporer, Dr Wahbah al-Zuhaili menyebut bahawa tiada pertentangan antara persaudaraan keagamaan antara orang beriman dan persaudaraan kemanusiaan, kedua-duanya ada lapangan, had dan ikatan tersendiri.[11]

Dalam bahasa kontemporer, hal tersebut boleh difahami sebagai perbincangan kepelbagaian identiti. Seseorang itu kebiasaannya mempunyai lebih dari satu identiti, seperti identiti agama, bangsa, warganegara, menyertai organisasi tertentu, dan lain-lain yang berkaitan. Identiti-identiti yang pelbagai tidak semestinya bertentangan, meskipun dalam keadaan tententu, boleh berlaku pertentangan identiti.

Tawhid, Asal-usul Manusia dan  Kepelbagaian

Salah satu tujuan utama al-Quran (merangkap tujuan umum Shariah) ialah membaiki pemikiran dan keyakinan manusia berdasarkan prinsip keesaan Tuhan (tawhid). Yang demikian menurut para sarjana Muslim kontemporari seperti Muhammad Abduh[12], Rashid Redha[13], Muhammad al-Ghazali[14] al-Qaradawi[15] dan Taha Jabir al-‘Alwani[16].

Apa yang didengungkan para sarjana di atas (dan selain mereka yang ramai) merupakan suatu yang telah disebut dalam teks-teks silam, antaranya oleh Hujjah al-Islam Abu Hamid al-Ghazzali (w. 505 H) dalam karya pentingnya mengenai al-Quran iaitu Jawahir al-Quran. Al-Ghazzali menyebut:

“Rahsia al-Quran, tumpuannya yang paling suci dan tujuannya yang paling jauh ialah menyeru para hamba kepada al-Jabbar Yang Maha Tinggi, Tuhan akhirat dan dunia, pencipta lelangit yang tinggi, bebumi yang rendah, serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi. Untuk itu, surah-surah dalam al-Quran dan ayat-ayatnya terhad dalam enam jenis …”[17]

Enam jenis maqasid yang dinyatakan oleh al-Ghazzali telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu tiga bahagian pertama berada dalam kategori “tiga yang penting” (الثلاثة المهمة) dan tiga bahagian yang kedua berada dalam kategori “tiga yang mencukupkan dan menyempurnakan” (الثلاثة المغنية المتمة). Pembahagian al-Ghazzali yang menarik itu seperti bertitik tolak dari latar belakangnya sebagai salah seorang Imam besar dalam madrasah Usuliyyah Maqasidiyyah.

Tiga yang pertama ialah berkaitan mengenali Allah SWT, mengetahui perintah dan larangan dalam Shariah yang wajib dilazimi dan yang ketiga ialah berkaitan hal seseorang apabila berada di hari akhirat.[18] Selain al-Ghazzali, pelbagai lagi tokoh silam dan semasa berwibawa yang menyebut perihal tawhid sebagai salah satu tujuan terbesar diturunkan Shariah. Disebabkan itu, segala perbincangan dan karangan silam dan semasa yang bertujuan menekankan keesaan Tuhan, hajat manusia kepada Rasul dan wahyu, tentang hari akhirat dan sebagainya, ia merupakan antara wasilah dan jalan yang mulia, kerana ia berkhidmat kepada tujuan yang mulia iaitu tawhid.

Bertitik tolak dari persoalan tersebut, timbulnya kepentingan konsep kebebasan dan penolakan paksaan dalam beragama (la ikraha fi al-diin), kepentingan kebebasan membuat kajian ilmiah dan perdebatannya kerana keesaan Tuhan dan kebenaran Islam tertegak atas dasar burhan dan hujah, sebagaimana terjelas dalam kisah para Nabi terdahulu dan teladan para ilmuan silam.

Disebabkan tawhid merupakan salah satu maqasid terpenting agama, maka wasilah-wasilah menuju ke arahnya seperti penulisan menghujahkan kebenaran tawhid, mengadakan pengajian dan dakwah, dan sebagainya merupakan wasilah yang terpuji. Begitu juga dengan wasilah-wasilah lain seperti seperti menolak pemaksaan dalam beragama, menjamin kebebasan akademik (jika menurut bahasa semasa) dan sebagainya yang berkaitan juga suatu yang terpuji.

Al-‘Izz Abd al-Salam (w. 660 H), sarjana maqasid terkenal yang digelar Sultan al-‘Ulama antara ulama yang membincangkan dengan jelas tentang hubungan antara maqasid dan wasa-il, beliau menyebut bahawa “wasilah kepada apa yang menjadi tujuan dengan sendirinya, seperti mengenali tawhid dan sifat-sifat Tuhan, maka sesungguhnya mengetahuinya merupakan sebaik-baik tujuan, dan jalan untuk sampai kepadanya merupakan sebaik-baik jalan.”[19]

Begitu juga apabila membicarakan tentang tawhid, ialah pembicaraan tentang bahawa selain Tuhan, semua manusia itu secara prinsipnya sama. Oleh itu, kita mendapati firman Allah SWT:

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai …” (al-Nisa’: 1)

Seruan “wahai manusia” (يأيها الناس) bererti deklarasi ini ditujukan kepada semua sama ada Muslim mahupun bukan Muslim, begitu juga selepasnya digunakan perkataan Tuhanmu (ربكم) yang menurut al-Asfahani:

“Disebut bersama-sama wahai manusia (يأيها الناس) ialah Tuhanmu (ربكم), dan disebut bersama-sama wahai orang beriman (يأيها الذين ءامنوا) ialah Allah (الله). Wahai manusia merupakan mesej yang bersifat umum, dan wahai orang yang beriman merupakan mesej yang lebih khusus, dan wahai hamba-hamba-Ku (يا عبادي) lebih khusus dari kedua-duanya, yang mana dikehendaki menerusinya ialah golongan khusus dari kalangan yang khusus …”[20]

Seruan dalam surah al-Nisa’ itu menjelaskan bahawa sekalian manusia berasal dari keturunan yang sama, bapa segala bapa dan ibu segala ibu ialah sama. Ia merupakan sisi bersifat sejagat yang amat penting, khasnya dalam masharakat jamak budaya, agama dan keturunan. Al-Quran selain berbicara dengan bahasa khas kepada kaum beriman, ia juga mengandungi banyak ayat-ayat umum yang ditujukan ke atas semua manusia, sebagai contoh pelbagai ayat yang berbicara tentang asal usul manusia, bagaimana mereka diciptakan dan sejarah penciptaan Adam AS sebagai khalifah.

Timbul persoalan, jika bercakap tentang asal-usul manusia itu menunjukkan manusia itu secara asasnya sama, adakah sifat sama itu bercanggah dengan kepelbagaian? Demikian juga, jika tawhid atau keesaan Tuhan itu menunjukkan erti kesatuan, adakah kesatuan itu bertentangan dengan kepelbagaian?

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (al-Hujurat: 13)

            Ayat di atas antara yang menjawab persoalan tersebut, yang mana penciptaan manusia yang menolak rasa keangkuhan ras, bangsa dan sebagainya, tidaklah bercanggah dengan realiti kepelbagaian yang berlaku sejak awal sejarah manusia. Manusia yang berasal dari Tuhan yang esa, tidaklah bertentangan dengan kekuasaan Tuhan yang menciptakan manusia itu berbagai-bagai. Menurut al-Tha’alabi (w. 875), ayat itu bererti “wahai manusia, kalian adalah sama berdasarkan kalian semua yang diciptakan, adapun kalian diciptakan berbagai-bagai kabilah untuk kalian berkenal-kenalan, atau supaya kalian mengenali kebenaran. Adapun kemuliaan pula, ia menerusi takwa kepada Allah dan kesejahteraan hati.”[21]

            Selain kepelbagaian untuk menjadikan manusia berkenal-kenalan, ia juga untuk manusia saling mencari kebenaran.  Dalam ayat tersebut juga disebut tentang takwa yang merupakan hakikat sebenar kemuliaan manusia, persoalan takwa ditekankan selepas dinyatakan perihal kepelbagaian yang bertujuan untuk berkenal-kenalan, yang mana menurut Ibn ‘Ashur, sifat pluralistik itu hikmahnya ialah untuk manusia saling berkenalan,[22] bukannya supaya saling bersikap angkuh dan prejudis terhadap satu sama lain.

Persoalan takwa merangkumi dimensi spiritual dan dimensi etika sosial. Antara contoh dimensi spiritual ialah perkara ibadat khusus dan adab seorang hamba dengan Tuhannya (tasawwuf), ia terbit dari pelbagai seruan yang terkandung dalam Shariah, salah satunya konsep al-ihsan (sebagaimana kata Rasulullah sallallahu ‘alayh wa sallam bahawa al-ihsan itu ialah “kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu). Seorang Muslim yang bertakwa ialah seorang Muslim yang memenuhi kedua-dua dimensi itu; iaitu ketinggian adab dengan Tuhan dan keunggulan etika dalam dunia kemanusiaan dan peradaban.

Dimensi kedua itulah yang sedang dibahaskan, kerana dalamnya terkandung nilai-nilai bersama dan etika-etika sejagat, selain sebahagian arahan terhadap golongan beriman sebagaimana terkandung dalam Shariah ialah bersifat sejagat seperti larangan membunuh, menolak penipuan, kecurian, kezaliman dan sebagainya. Suatu yang lebih menarik, ayat tentang kemuliaan manusia yang berkait langsung dengan ketakwaan dalam surah al-Hujurat itu datang selepas pelbagai ayat yang berbicara tentang etika-etika asas hubungan antara manusia seperti larangan mengumpat, larangan bersangka buruk, suruhan menyelidik sesuatu khabar yang tersebar, larangan memperendah satu sama lain dan sebagainya.

Jika dilihat, perintah dan larangan yang mendahului ayat 13 (dari surah al-Hujurat) tersebut boleh diterima kepentingannya oleh semua manusia, contohnya perintah supaya menyelidik (tabayyun) sesuatu khabar sebelum menyebarkannya, ia sangat dihajati oleh seluruh manusia pada hari ini, bahkan banyak khabar dan berita yang tidak benar dan penuh keraguan tersebar di media cetak, elektronik dan sosial, tapi diterima sebahagian masharakat tanpa ditanggapi dengan kritikal, lalu membikin masalah peringkat nasional dan global. Oleh yang demikian, suatu yang wajar ditekuni ialah apabila berbicara tentang tujuan kepelbagaian ialah untuk saling berkenalan antara masharakat manusia, jangan kita mengesampingkan salah satu aspek penting iaitu etika-etika sosial, jika kepelbagaian itu suatu yang tak dapat dielakkan, etika ialah suatu kemestian.

Menerusi etika, bukan sekadar tercipta masharakat yang baik, bahkan aspirasi yang lebih jauh daripada itu mahu dicapai iaitu mencipta dunia yang saling membantu.[23] Dalam dunia yang kian hangat dengan persengketaan antar-bangsa, negara dan agama, maka wajar dipersoal kembali apa yang mahu dicapai sebenarnya dalam hidup beragama, lalu menyeru kepada semua penganut agama (mahupun yang tiada agama) untuk saling hidup dalam satu dunia, jauhi benci-membenci dan bersedia bekerjasama dalam melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab asas dalam kemanusiaan. Abdullah ben Bayyah mengulasnya dengan sangat baik dalam makalahnya bertajuk al-Qiyam al-Mushtarakah (Shared Values), ringkasnya beliau menyebut meskipun sesebuah masharakat pasti ada perselisihan yang tersendiri, namun nilai-nilai yang asas seperti kejujuran, cinta, kebaikan dan sebagainya diterima oleh semua pihak.[24]

            Tanggungjawab Asas Kemanusiaan Sejagat

1)      Beberapa contoh praktis berdasarkan konsep al-daruriyyat al-khams
Para sarjana Usul al-Fiqh menyebut bahawa apa yang disebut sebagai al-daruriyyat al-khams (lima perkara daruri) iaitu memelihara (hifz) agama (al-din), jiwa (al-nafs), akal (al-‘aql), keturunan (al-nasl) dan harta (al-mal)[25] itu dipelihara dalam semua ajaran, antara yang berkata demikian ialah al-Ghazzali, al-Qarafi, al-Shatibi dan lain-lain[26]. Bererti, ia suatu yang sejagat dan diambil berat oleh semua tanpa mengira agama, aliran dan sebagainya, sekurang-kurangnya pada peringkat umum kalaupun mereka berbeda pada peringkat pemerincian.[27]

Dalam bahagian serba ringkas ini, saya akan menyatakan beberapa contoh relevan (pada hemat saya) berasaskan sudut pandang al-daruriyyat al-khams dalam pelaksanaannya pada peringkat sejagat. Ia akan melibatkan dua sudut lazim sebagaimana disebut para sarjana seperti al-Shatibi dan lain-lain; iaitu sudut mewujudkan, memelihara dan mengukuhkan al-daruriyyat al-khams, dan sudut kedua ialah usaha menolak kehilangan, pelanggaran dan  pencerobohan al-daruriyyat al-khams.[28] Daripada sisi tersebut lazimnya akan terbit darinya pelbagai pendekatan, wasilah dan sebagainya demi merealisasikan al-daruriyyat al-khams.

Antara contoh praktis hifz al-din yang boleh diketengahkan ialah komuniti beragama (dari pelbagai agama) boleh saling berganding bahu dalam berhujah dengan atheism dan isu-isu umum melibatkan agama seperti menolak keganasan atas nama agama, menolak budaya mencela Tuhan dan doktrin-doktrin asas apa-apa agama, menggalakkan dialog antar-peradaban dan sebagainya.

Adapun hifz al-nafs, antara contohnya ialah hak hidup untuk semua manusia, menubuhkan kumpulan masharakat sivil anti-perang, menolak serangan fizikal terhadap manusia tidak bersalah, berkerjasama dalam hal-hal asas berkaitan hak-hak asasi manusia, penguatkuasaan undang-undang tegas dalam hal berkaitan nyawa seperti hukuman bunuh balas, pendidikan kesihatan untuk masharakat awam dan desa, dan lain-lain yang banyak.

Contoh praktis dalam hifz al-aql ialah menggalakkan celik huruf dan menolak buta huruf, menyediakan geran untuk galakan kajian-kajian baru dalam lapangan keilmuan, pendidikan untuk semua peringkat, perbincangan dan debat-debat ilmu, tolak pemimpin yang bodoh lagi dungu, dan sebagainya yang banyak dan boleh melibatkan pelbagai manusia tanpa mengira agama dan kepercayaan.

Seterusnya, contoh praktis hifz al-nasl ialah memperkukuh sistem kekeluargaan, mempromosi perkahwinan lelaki- perempuan dan bekerjasama antar-agama dalam berhujah menolak seruan perkahwinan satu jenis[29], dasar yang lebih mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) (cadangan ini juga boleh masuk dalam bab hifz al-nafs) dan lain-lain.

Antara contoh praktis hifz al-mal melibatkan manusia pelbagai agama dan kepercayaan ialah pendidikan dan pemberdayaan ekonomi masharakat awam dan desa, mewujudkan kumpulan masharakat sivil menolak salah guna wang awam, pelaksanaan undang-undang yang lebih tegas dalam hal penipuan wang dan rasuah, mengatasi ketidaksamarataan ekonomi dan merapatkan jurang kelas sosial, pengukuhan institusi wakaf, dan seumpamanya yang banyak.

Selain al-daruriyyat al-khams yang umum sebagaimana di atas, sebahagian sarjana memasukkan penjagaan alam sekitar, menolak penyeksaan terhadap haiwan dan lain-lain dalam kategori pemeliharaan jiwa.[30] Konsep jiwa (al-nafs) dalam bab ini diperluas fahamnya. Lalu menerusinya, boleh dimasukkan bahawa perjuangan memelihara alam sekitar, pembangunan terancang yang mengambil kira aspek kehijauan, undang-undang lebih ketat dalam menjaga kebersihan sungai dan sebagainya antara yang boleh sama dipikul.

2)      Kemuliaan Manusia

“… bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.” (al-Maidah: 32)

Menurut al-Baidawi, “maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya” bererti menceroboh kehormatan darah (manusia), memulakan pembunuhan, menggalakkan manusia membunuh, atau bererti pembunuhan seorang dan ramai sama sahaja dalam mengundang kemurkaan Allah dan azab yang besar.[31] Sementara “dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya” bererti barangsiapa menjadi sebab dalam kekalnya kehidupan manusia dengan memaafkan (pent: iaitu wali untuk mangsa yang dibunuh memaafkan pembunuh lalu diminta membayat diat), mengelak dari pembunuhan atau menghalang sebahagian sebab yang boleh membawa kehancuran, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.[32]

Ayat tersebut datang langsung selepas Allah SWT menceritakan tentang peristiwa dua anak Adam AS – Habil dan Qabil – yang merupakan pertumpahan darah pertama dalam sejarah manusia seluruhnya. Suatu yang menarik, al-Quran menyebut peristiwa pertama dan terpenting itu dalam sejarah manusia seluruhnya, ,lalu mengambarkan perbuatan membunuh seorang manusia seperti membunuh seluruh kemanusiaan. Sementara jika menghidupkan (iaitu melakukan apa-apa sahaja wasilah dalam meningkatkan kualiti hidup dan melawan pembunuhan) seseorang, seolah-olah menyelamatkan kemanusiaan seluruhnya.

Ia merupakan asas terpenting dalam penekanan nilai-nilai sejagat rentas agama dan bangsa. Sarjana besar, Dr Fathi al-Duraini menyebut semasa mengulas ayat tersebut:

“Dalam ayat ini, ada isyarat kewajipan al-takaful al-insani (kerjasama kemanusiaan) dalam membanteras jenayah kejam ini dari komuniti kemanusiaan seluruhnya, kerana ia dianggap sebagai ancaman bahaya terhadap kewujudan manusia, cabaran terhadap perasaannya, menjejaskan keamanan dan kestabilannya.”[33]

            Perbincangan ini turut berkaitan secara langsung dengan hifz al-nafs, namun penulis mengkhususkan perbahasannya dalam fasal kecil ini kerana situasi dunia sekarang yang sangat berhajat dengan perjuangan menyelamat kemanusiaan dan menentang penjajahan moden serta pembunuhan terang-terangan oleh kuasawan-kuasawan dunia tanpa dihirau suara-suara yang membantah. Aktivisme anti-perang, perjuangan hak-hak asasi manusia (paling tidak, dalam perkara-perkara asas sebegini, sekalipun dalam hal-hal pemerincian, ada perselisihan dalam kalangan masharakat berdasarkan pandangan alam masing-masing)  dan kempen menolak pemerdagangan manusia (human trafficking) antara yang amat relevan dalam dunia hari ini.

Secara lebih jelas, ia berkait langsung dengan ayat 70 dari surah al-Israa tentang kemuliaan anak-anak Adam AS yang turut disebut oleh sarjana legenda Maghribi ‘Allal al-Fasi sebagai haq al-karamah[34]. Persoalan kemuliaan manusia haruslah diiringi dengan perbincangan kekhilafahan yang berkait langsung dengan persoalan kepentingan amanah dan tanggungjawab. Prof Dr Jamaluddin ‘Atiyyah menyebut bahawa “merealisasikan al-khilafah al-‘ammah terhadap manusia di muka bumi” merupakan salah satu maqsid penting daripada maqasid pada peringkat kemanusiaan (al-insaniyyah).[35]

Al-Khilafah al-‘Ammah berkait langsung dengan persoalan amanah dan tanggungjawab umum manusia seluruhnya, walaupun sudah tentu ada pandangan berbeda dalam hal-hal terperinci. Ia akan berbalik kepada sejarah awal manusia pertama Adam AS yang diciptakan dengan tujuan kekhalifahan (al-Baqarah: 30), amanah yang besar (al-Ahzab: 72) dan arahan supaya memakmurkan bumi (Hud: 61). Apabila al-Quran menggunakan uslub penceritaan sejarah awal manusia tentang Adam, peristiwa pembunuhan pertama dan sejarah kaum-kaum terdahulu, ia merupakan sebuah seruan sejagat untuk diambil iktibar oleh seluruh umat manusia tanpa mengira agama dan latar belakang. Disebabkan itu, sebahagian tokoh ilmuan Muslim mengeluarkan pelbagai kaedah peradaban dan teori ketamadunan daripada sebahagian ayat yang terdapat dalam al-Quran, sebagaimana dilakukan oleh al-Asfahani, Ibn Khaldun (w. 808) dan sebagainya.

3)      Dunia yang Saling Bekerjasama dan Keamanan Sejagat

Saling berkenalan, bekerjasama dan melengkapi ialah antara maqsid penting pada peringkat kemanusiaan,[36] demikian juga maqsid merealisasikan keamanan sejagat yang berasaskan keadilan[37]. Saling berkenalan (al-ta’aruf) sebagaimana disebut dalam ayat 13 dari surah al-Hujurat lazimnya akan menatijahkan kewajaran bekerjasama (al-ta’awun) dan secara automatik ia merupakan sebuah penegasan tentang hakikat manusia pelbagai agama dan latar belakang untuk saling melengkapi (al-takamul). Saling bekerjasama dalam kebanyakan urusan bersifat keduniaan ialah antara hal yang hampir tidak dapat dielakkan pada hari ini. Dunia keilmuan, perkongsian teknologi, import dan eksport dalam perdagangan dan  merupakan manifestasi paling jelas dalam menunjukkan kepentingan al-ta’aruf, al-ta’awun dan al-takamul dalam dunia manusia.

Dalam erti kata lebih luas, al-ta’aruf al-hadari merupakan interaksi antar-peradaban yang merupakan faktor penting dalam pembangunan sesebuah peradaban manusia. Malahan jika dilihat sejarah, saling belajar antara Timur dan Barat merupakan antara yang berlaku dan pemangkin ke arah pembangunan manusia dan peradabannya. Dari al-ta’aruf al-hadari, kemudiannya ke al-ta’awun al-hadari dan al-takamul al-hadari. Disebabkan itu, kita melihat hubungan antar-negara dan antar-peradaban merupakan suatu yang berlangsung pesat sejak dahulu khasnya dalam hal ehwal pentadbiran dan ekonomi. Perbezaan geografi dan sumber alam yang berlainan antara yang menjadikan ia suatu yang sangat dikehendaki masharakat dunia seluruhnya.

Selain tiga serangkai itu (al-ta’aruf, al-ta’awun dan al-takamul) pembaharuan peradaban (al-tajdid al-hadari) memerlukan lebih penekanan tentang keamanan sejagat. ‘Allal al-Fasi semasa mengulas tentang hak untuk hidup (haq al-hayah) bawah perbincangan hak-hak manusia (huquq al-insan) menyebut bahawa “seruan Islam terhadap keamanan sejagat” merupakan antara kandungan penting Islam.[38] Bertitik tolak dari itu, perang diharamkan kecuali dalam keadaan darurat dan dalam kadar tertentu.[39]

Keamanan sejagat barangkali adalah antara retorik terbesar dunia hari ini, khasnya oleh kuasawan dunia, namun demikian ia tetap prinsip penting dalam Islam dan wajib diusahakan untuk direalisasikan. Jika keamanan sejagat merupakan antara yang ditekankan Shariah, maka berusaha ke arahnya merupakan antara pelaksanaan Shariah. Wajar diingat, keamanan sejagat bertentangan dengan kediktatoran dan penindasan politik, maka dalam banyak hal jika ketidakamanan berlaku natijah dari kediktatoran dan penindasan, maka yang wajar paling dipersalahkan ialah kediktatoran dan kezaliman. Sementara itu penentangan berhikmah oleh pelbagai lapisan rakyat ke atas kediktatoran dan kezaliman merupakan usaha ke arah keamanan sejagat, bukannya penyerahan total dan redha dengan penipuan.

Apabila membicarakan keamanan sejagat, dalam skala yang lebih kecil, ia turut berkait dengan keamanan nasional. Persaudaraan nasional dengan menumpukan tujuan-tujuan besar bersama tidak bercanggah dengan identiti para warganegara yang berbeza, kerana mereka berkongsi identiti warganegara dan sebagai seorang manusia. Persaudaraan nasional ialah dunia berasaskan dialog dan peranserta dalam membangunkan negara, sambil masih bisa berbeda dalam hal-hal yang tidak dipersetujui. Persaudaraan nasional antaranya bertujuan mengekalkan kestabilan dan mencipta keamanan nasional.

Kesimpulan

Berdasarkan seluruh kalimah, baris dan perenggan yang sudah dinyatakan di atas, saya membuat kesimpulan bahawa persaudaraan kemanusiaan merupakan suatu yang ada asasnya dalam Islam, disebut oleh para sarjana silam dan semasa, ruangnya lebih kepada urusan-urusan keduniaan dan wasilah-wasilahnya sangat banyak dan berubah-ubah berdasarkan tuntutan zaman dan tempat. Persaudaraan kemanusiaan sangat penting untuk didengungkan dalam dunia hari ini, khasnya dalam membina jambatan antara kepercayaan, agama, negara dan peradaban, lalu bekerjasama dalam membangunkan peradaban baru kemanusiaan, sambil bersedia berbeda dalam hal-hal prinsip dan bersifat eksklusif.

Walaupun sudah jelas ia menjadi retorik untuk mengiyakan agenda kotor sebahagian kuasawan, namun ia tidak menghalang kita dari terus mendidik masharakat akan hal ini dan berusaha merealisasikannya. Hal demikian kerana; masharakat merupakan akar, sementara negara dan kekuasaan hanyalah cabang. Akar hendaklah disirami dengan nilai-nilai, tanggungjawab keintelektualan dan misi beretika, lalu diharapkan cabang-cabang (seperti kekuasaan, teknologi dan sebagainya) tidak akan menyongsang jauh dari tanggungjawab etika dan moral. Menurut Islam, siraman terbaik sudah tentu dari embun-embun ketakwaan yang sarat dengan risalah keetikaan dan ditujukan kepada seluruh umat manusia. Persaudaraan kemanusiaan demi pembaharuan peradaban!



[1] Al-Raghib al-Asfahani, Mufradat Alfazh al-Quran, suntingan Mustafa bin al-Adawi, cetakan pertama. (Mansoura: Maktabah Fayyadh, 2009) hlm. 35.

[2] Ibid, hlm. 35.
[3] Al-Zamakhsyari, Abu al-Qasim, Tafsir al-Kasysyaf, cetakan ketiga, (Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, 1407 H), 4/366.
[4] Al-Raghib al-Asfahani, Mufradat Alfazh al-Quran, suntingan Mustafa bin al-Adawi, cetakan pertama. (Mansoura: Maktabah Fayyadh, 2009) hlm. 35.

[5] Ibn ‘Atiyyah, al-Muharrar al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-‘Aziz, cetakan pertama, (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1422 H), 1/530.
[6] 5/148.
[7] Al-Baidawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, cetakan pertama, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1418 H), 4/9.
[8] Al-Razi, Mafatih al-Ghayb, cetakan ketiga, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1420 H, jilid 14 hlm. 299.
[9] Al-Qasimi, Jamaluddin, Mahasin al-Ta’wil, cetakan pertama, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1418 H, 5/125.
[10] Abu al-Su’ud al-‘Imadi, Irshad al-‘Aql al-Salim Ila Mizaya al-Kitab al-Karim, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 3/241.
[11] Dr Wahbah al-Zuhaili, al-Quran al-Karim; Bunyatuh al-Tashri’iyyah wa Khasa-isuh al-Hadariyyah, Damsyik: Dar al-Fikr, 1998M, hlm. 93.
[12] Muhammad Rashid Redha, Tafsir al-Manar (Tafsir al-Quran al-Hakim), cetakan kedua. (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah, 2005) jilid 1, hlm. 34.
[13] Ibid, jilid 11, hlm. 187.
[14] Muhammad al-Ghazali, al-Mahawir al-Khamsah Li al-Quran al-Karim, cetakan keempat (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2010) hlm. 21.
[15] Al-Qaradhawi, Kayf Nata’amal Ma’a al-Quran, cetakan kelapan (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2011) hlm. 73-74.
[16] Fathi Hasan al-Malkawi, Manzumah al-Qiyam al-‘Ulya: al-Tauhid wa al-Tazkiyah wa al-‘Umran, cetakan pertama (Herndon: International Institute of Islamic Thought), hlm. 23.
[17] Al-Ghazzali, Abu Hamid, Jawahir al-Quran, dengan tahqiq Dr Muhammad Rashid Redha al-Qubani, cetakan kedua, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1406 H, hlm. 23.
[18] Ibid. hlm. 23.
[19] Al-‘Izz, Ibn ‘Abd al-Salam, al-Qawa-id al-Kubra, cetakan keempat, Damshik: Dar al-Qalam, 2010, 1/167.
[20] Al-Asfahani, Tafsir al-Raghib al-Asfahani, cetakan pertama, Riyadh: Dar al-Want, 2003, 3/1071.
[21] Al-Tha’alabi, al-Jawahir al-Hisan fi Tafsir al-Quran, cetakan pertama, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1418 H, 5/277
[22] Ibn Ashur, al-Tahrir wa al-Tanwir, Tunis: Dar Suhnun, 10/259.
[23] Al-Qaradhawi, Kayf Nata’amal Ma’a al-Quran, cetakan kelapan (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2011) hlm. 115-125.
[24] http://www.binbayyah.net/portal/research/148
[25] Sebahagian sarjana menyebutnya sebagai enam, seperti al-Qarafi yang menyebut bahawa memelihara maruah (al-‘irdh) juga termasuk dalam perkara daruri, dan Ibn Ashur tidak bersetuju dengannya dalam hal itu. Ia ada perdebatan tersendiri yang tidak sesuai disebut di sini.
[26] Dr Abdul Rahman al-Kaylani, Fiqh al-Musytarak al-Insani ‘ind al-Malikiyyah, al-Qarafi wa al-Shatibi namudhajan. Ia merupakan kertas kerja yang dibentangkan di Oman pada April 2014.
[27] Perbincangan lisan dengan Prof Dr Ahmad al-Raisuni di Doha pada 26 Januari 2014.
[28] Al-Shatibi, al-Muwafaqat, 2/8
[29] Perbincangan lisan dengan Dr Ahmad al-Raisuni di Doha pada 26 Januari 2014.
[30] Prof Dr Jasser Auda dalam ucapannya di International Institute of Advance Islamic Studies (IAIS), Kuala Lumpur, Malaysia, pada 31 Mei 2014.
[31] Al-Baidawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, cetakan pertama, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1418 H), 2/124.
[32] Ibid. 2/124.
[33] Fathi al-Duraini, Khasa-is al-Tashri’ fi al-Siyasah wa al-Hukm, hlm. 243.
[34] ‘Allal al-Fasi, Maqasid al-Shariah al-Islamiyyah wa Makarimuha, cetakan kelima, Dar al-Gharb al-Islami, 1993 hlm. 235-242
[35] Jamaluddin al-‘Atiyyah, Nahw Taf’il Maqasid al-Shariah, cetakan ketiga, Herndon-Virginia: Institut Pemikiran Islam Antarabangsa, 2011, hlm. 159-160.
[36] Ibid. hlm. 158.
[37] Ibid. hlm 158.
[38] ‘Allal al-Fasi, Allal al-Fasi, Maqasid al-Shariah al-Islamiyyah wa Makarimuha, cetakan kelima, Dar al-Gharb al-Islami, 1993 hlm. 231-235.
[39] Ibid. 232.

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP