Showing posts with label Puisi MarBu. Show all posts
Showing posts with label Puisi MarBu. Show all posts

Sunday, 14 September 2014

Suara Setia Laila


Dari kejauhan

Sayup kedengaran
Suara demi suara panggilan
Menenang jiwa dari keliaran

Terduduk, lagi terkedu
Terdiam, merentas masa lalu
Tertanya, suara apa itu
Tersentak, berdebar-debar kalbu

Dihimpit gelisah
Diburu resah
Selagi tak diendah
Panggilan tanpa lidah

Perlahan-lahan, berlari
Di kedamaian dinihari
Dan berenang, mencari
Suara apa memanggil tadi

Kian dijejak, kian dahaga
Alangkah indahnya tak terkira
Kalau diketahui para raja
Pedang dihunus demi merampasnya

Kerap amat panggilan itu
Peka tak peka, itulah pintu
Adakala dosa penyebab tamu
Setelah sesal, lalu diri buntu

Syahdu, mengenang panggilan
Setia, walau alpanya insan
Meski salah seperti buih di lautan
Tetap sentiasa dialu-alukan

Di balik kelamnya laila
Penuh harap fakir meminta
Selain diampun sekalian dosa
Tak terhijab wajah yg mulia

MBH, 14-09-14 / 02:38

Read more...

Tuesday, 22 July 2014

Maaf, Tanpa Segan Kuulang



Maaf, kepada diri
Karena sering dizalimi
Jua karena amal terpuji
Jarang amat kumiliki

Maaf, kepada semalam
Berlalu penuh kelam
Jua kelmarin, maaf atas zulam
Yang tak sepatutnya kuberdiam

Maaf, buatmu yang telah pergi
Duhai jantung hati
Tak sempat akanmu kuberbakti
Hanya air mata rindu peneman diri

Maaf, kau yang sering berkeringat
Inspirasi untuk kami bersemangat
Demi mengejar matlamat
Menjadi baik, berbakti untuk umat

Maaf, buat cinta yang kulafaz pernah
Tapi tiada daya, bukan tak endah
Demikian, maaf buat cinta tak pernah
Kulafaz, hingga di minda ia menjengah

Maaf, kepada ‘esok’ yang setia
Jarang amat kutamumu penuh mesra
Seperti sering dilalui sambil lewa
Walhal ‘esok’ teguh bersahabat sentiasa

Maaf, buat Tuhan
Tiada serius aku dalam keimanan
Sebaliknya galakku dalam kederhakaan
Kutangisi kedaifan, dari keampunan tidak berputusan

Kutunduk, ikhlas buatmu wahai al-Mustafa
Malu amat, akanmu sering kualpa
Deritamu, sepatutnya deritaku jua
Maaf, leka tak berkesudahan dengan dunia

Maaf kepada semua, khasnya guru dan teman
Menjadi terbaik, tetap sebuah harapan
Maaf, sarat aku dengan kekurangan
Terima kasih, sudi hulur salam persahabatan

Maaf, empat huruf sentiasa kuulang
Aku beranikan, walau segan suatu yang memang
Maaf, kalian penuh budi kuberhutang
Aku pula, hanya maaf bisa kubertiang

MBH, Irbid
220714, 01:40

Read more...

Wednesday, 18 December 2013

Karma Cinta

Cerita semalam
seolah-olah bertukar
menjadi karma
mengerikan hari ini

mungkin benar, kehidupan
ada karma
termasuk cerita
cinta semalam

kutahu ada mata
dilorong mutiara
dari kolam
melalui pipi

kudengar khabar
sukar sungguh
untuk dia
menyeka air mata

kugerun jika
cerita cinta
semalam akhirnya
menjadi karma

lama sudah
kurenung lantas
kutakut mahu
ingati semalam

bukan sengaja
mahu meluka
bukan pula
niat utama

sebahagian berterusan
berkongsi pesan
cinta itu katanya
ada karma

semalam, tolong
jangan jadi karma
jua kelmarin, usah
mengerikan hari ini

kupujuk hati
karma hanya untuk
insan sengaja meluka
dan keras hatinya

cerita semalam
bukan cerita karma
ia tentang berani
ambil keputusan

tiada karma
harapnya
esok tiada ngeri
pastinya

MBH, 20:42 (171213), Irbid

Read more...

Thursday, 12 December 2013

Ronta Jiwa di Balik Diam

kan terus menangis mencari rumah
yang di dalamnya ada aman untuk kujamah


Dalam diam,
meraung jiwa dalam
akur kepada Tuhan
akan mahalnya sebuah tenang

di tengah-tengah sesak manusia ramai
siapa tahu bahawa
sedang bersendirian sebuah jiwa
menjerit batinnya sekuat tenaga

alangkah, banyak amat
penghibur yang suaranya lunak
lagunya mendapat puji hormat
daripada para peminat

namun di sebalik jayanya ia
menjadi penghibur setia
jiwanya sendiri sebenarnya
masih mencari ketenangan dan makna

demikian hiburan tiada semestinya
menenangkan manusia
tetapi ketenangan pula pastinya
menghiburkan semua

dan, masih garang meronta jantung hati
di balik khulwah bersama sepi
pengembaraan spiritual menuju ilahi
yang air mata meluncur acap kali

apa lagi yang lebih derita, Tuhan?
selain kerasnya hati daripada jalan
lalu dicari ketenangan dan kebebasan
yang palsu walhal sesekali tak kesampaian

sungguh, aku mahu bebas daripada
kata, cela dan pandang beberapa
manusia yang laju mulut mereka berkata
walhal aku berbuat demi apa kupercaya

betapa, yang kuyakin sedari dahulu
sesiapa sahaja yang ke hilir atau ke hulu
berdisiplin mencari hakikat yang jitu
tanpa kibr pastilah hujungnya ia ketemu

Tuhan, aku yang lemah
kan terus menangis mencari rumah
yang di dalamnya ada aman untuk kujamah
hingga akhirnya kukembali ke tanah

[MBH, Irbid - 11/12/13 - 23:20]

"... there was silence, meditative solitude, and the experience of a journey, beyond time and space, toward the heart, the essence of spiritual quest, and initiation into meaning. Moments of plenitude, and often of tears; of contemplation and vulnerability..."

Read more...

Saturday, 11 May 2013

Persaudaraan Rindu dan Chenta




Rindu dan chenta,
adalah dua yang bersaudara,
menerusi ibu yang berbeda,
bapa yang sama

Alangkah perit menjadi chenta,
andai tanpa wujudnya rindu,
aduhai hati lara berduka,
andai cinta tidak disambut-Mu

Kau yang sentiasa menchenta,
aku pula kadang-kadang sahaja,
tatkala hati menangis mendamba sejahtera,
'kadang-kadang' mula berlagak 'sentiasa'

Menjadi manusia, pertamanya menjadi pendosa
menjadi penchenta, taubat syarat selamanya
rindu merintih berulang-ulang, tawar tanpa air mata
berdoa memohon aman, manis dengan chenta

Chenta adalah kehidupan,
rindu pula sahabat perjalanan,
seperti malam dan kegelapan,
tiada berpisah, apa lagi berjauhan

Chenta dan rindu,
sungguh ia hanyalah satu.

MBH, Irbid,
110513, 11:41

Read more...

Tuesday, 25 December 2012

Buat Temanku Penuntut Ilmu

Semasa menziarahi Sh. Dr Sollah al-Khalidi di Amman



(Didedikasi buat teman-teman penuntut ilmu di Irbid khasnya, dan amnya buat semua kaum penuntut ilmu)

Temanku,

Masharakat penuntut ilmu merdeka yang kita impikan
terasa masih jauh dari kenyataan
dadaku ditimpa kepedihan
apabila kita dijurang-jurangkan
jurang itu semakin berjauhan
rasional yang diharapkan
emosional yang menggantikan

Jangan kita ulang cherita bangsa malang
bangsa mengaku berilmu, tapi gaduhnya bukan kepalang
saling mahu dinobat pemilik kebenaran
walhal umat terus dalam kejahilan, kebuntuan
bukankah kita dari rahim yang punya banyak persamaan?

Mari, bina masharakat penuntut ilmu merdeka
jauh dari provokasi dan emosi menebal
persis ilmuan terdahulu, perbedaan sebagai peluang

Kemuncak kemerdekaan,
terpancarnya akhlak mulia
budaya ilmu di sini sana.

Marwan Bukhari,
Irbid, 1151 - 251212

*Puisi ini terinspirasi daripada sebuah puisi oleh Sasterawan Negara, Usman Awang bertajuk Sahabatku (seputar isu Melayu dan Bukan Melayu di Bumi Malaysia

Read more...

Friday, 24 August 2012

Menikam Matahari, Memanah Purnama

Tiba masa, kita tikam matahari dan panah purnama



Kau bertanya aku
perihal kau harus bagaimana?
menurut sisiku
aku coba menjawab sekadar terbisa

Aku mahu kau, aku, dia, mereka dan kita
berbuat menurut keyakinan dalam sukma
tanpa ikut-ikutan sesiapa
Kau, aku, dia, mereka dan kita
harus sentiasa usaha

membaiki sedaya upaya
bukan hanya menurut sejiwa raga
arahan dan keputusan sesiapa

Aku juga mahu
kau, aku, dia, mereka dan kita
terus maju jaya
tidak abaikan petanda-petanda
menuju gerbang yang dicita-cita

Semoga kau, aku, dia, mereka dan kita
sampai jua ke sana
menikmati harta karun dan jadi kaya
Memanjat langit, menikam matahari dan memanah purnama
walau awalnya seolah-olah diragui cuma

Dan aku tidak mahu
kau, aku, dia, mereka dan kita
sesal pada satu masa
cemburu dengan mereka yang berjaya
nasi menjadi bubur pasti tidak bisa
menyelerakan walau mungkin membuat sendawa

Ini yang aku mahu; buat kau, aku, dia, mereka dan kita.

khabarkan pula, aku harus bagaimana?
menurut sisimu

Irbid,
6 Syawal 1433
240812 - 0340 pm

Read more...

Friday, 17 August 2012

Tuju Fitrah, Junjung Maruah




Sehari dua lagi
Iblis dan syaitan dibuka gari
dibebas Tuhan Maha Tinggi
sekalipun mereka angkuh meninggi diri

Namun warga penjara itu
sedang kemuncak merindu
anak isteri ayah ibu
sambil didera dihina dari dulu

Iblis dan syaitan dibebas Tuhan
mereka tanpa salah, dilanyak mati-matian
mari muhasabah nilai Ramadan
jika ISA kita tak terlawan.

Selamat menyambut kesucian fitrah
salam merdeka menjunjung maruah.

MBH, Irbid
29 Ramadan 1433
170812 - 01.43 am

Read more...

Wednesday, 15 August 2012

Setenang Cinta

Tiba masanya, dilipat langit, gugurlah bintang.
Berundur daripada dunia
penuh tipu dan leka
demi meraih cinta
yang menenangkan jiwa

Manusia tidak sesekali
puas dengan segala keinginan hati
andai diberi emas seribu kati
dipintanya beribu-ribu kati lagi

Justeru berhadapan dunia yang memujuk
perlu menjadikan Tuhan tempat merujuk
akal waras sebagai teman menjenguk
agar tidak ulang cherita Pak Kaduk

Hidup umpama novel, kita mengarang
pelbagai kisah sudah terbentang
sampai masa gugurlah bintang
kemudian diri diperintah baca-ulang

Mengharap redha-Nya, itu kemuncak cita
dalam setiap perkara, kendati kecil cuma
adapun jika mengharap redha manusia
pasti tak keruan, jiwa dan rasa

Mencari tenang,
Irbid,
3.45 am - 15/08/12

Read more...

Tuesday, 8 May 2012

Itulah Namanya Juang


Kadang-kadang,
mehnah perjuangan oleh yang menentang
lebih mudah dihadap iman
tapi tidak jika perasaan
yang kita perlu korbankan

Kalaulah tiap-tiap jalan juang
dihiasi keindahan sepanjang jalan
atau kejayaan tanpa pengorbanan
pasti menggembirakan
sekalian pencinta kebenaran

Perjuangan menuntut keletihan
selain perlu pengorbanan
perubahan menuntut kesabaran
selain perlu kefahaman
karena surga tuntut istiqamah dan keikhlasan

Alangkah sekiranya
mereka ketahui betapa
Islah yang dicita-cita
bukanlah, berselisih antara jiwa
bukan jua, mencabar kaum lama

Kalaulah, mereka sudi mendengar
walau sekadar sebaris kata...

MBH,
Irbid, 7/5/12

Read more...

Tuesday, 20 December 2011

Sekuntum Doa Cuma



(Puisi ini didedikasikan buat pejuang kebenaran seluruh dunia)

Membilang dosa
tak terkira
merenung pahala
entah di mana

sesak dada
terdiam sukma
diri terpana
hati terluka

sedang tertanya-tanya
bagaimana bisa kulena
umat terseksa
oleh kebisuan dunia

di akhir umur dunia
makin ramai terlupa
membiarkan tirani bermaharajalela
adalah satu dosa

duhai ibu, bapa, dan temanku di sana
maafkan hamba
sekuntum doa cuma
daripadaku yang hina

aneh buat yang mengehadkan erti dosa
lantas, disempitkan falsafah pahala.

-MBH, Irbid, 201211

*Boleh lihat video keganasan polis-tentera di Mesir ( sini )

Read more...

Friday, 29 April 2011

Baris-baris protes [29 April 2011]

Post saya pada kali ini mengandungi perkongsian peribadi daripada saya, baris-baris yang ditaip, sebagai protes kepada kemuncak kebodohan politik lucah di bumi Malaysia. 29 April 2011, Jumaat. Kebenaran akan mengalahkan kebatilan.

[Marwan Bukhari A. Hamid]

Sehelai selendang berlumuran darah,
dijulang setiawan dari pelbagai daerah,
menuntut bela atas pendokong politik murah,
politik murah, amarah, barah dan lucah,

selendang itu terus berdarah,
di tengah kecamuk politik tanpa arah,
politikus murah mahu membunuh dia, si ayah,
ayah kpd perjuangan, ayah kpd penat lelah,

selendang berdarah itu, selendang juang utk ubah..

-Marwan Bukhari,29 April 2011-


Langit dan suria bermuram durja
sebagaimana teman-temanya sedang duka lara
burung-burung berterbangan hampa
dosa dan lubang neraka di mana-mana

pemimpin celaka,digandingi ilmuan dunia
menabur fitnah di sini sana
tanah airku kian mendekati bala
bahkan sedang ditimpa bala

duhai burung,terbanglah ke dunia sana
bumi ini sedang nestapa..

-ba'da Jumaat,29 April-



Kau sumpah, kami juga bersumpah
sumpah kau, menabur fitnah
sumpah kami, supaya derita berubah
agar umat dalam sakinah

sumpah kau, menuduh qadzaf
sumpah kami, menuntut balas
kau bersumpah, demi menjatuh maruah
kami bersumpah, untuk karamah insaniah

kau dan kami,
ayuh kita bersumpah.
dan Dia, Pemilik naar dan jannah.

-3.11 pm, 29 April 2011-

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP