Sunday, 14 October 2012

Saat Kritikal untuk Berfikiran Kritikal


Imam Muhammad at-Tahir Ibn 'Ashoor, pengarang kitab Tafsir at-Tahrir wa at-Tanwir

Dalam buku Fitnah at-Takfir: Bayn as-Shi’ah wa al-Wahhabiyyah wa as-Shoufiyyah[i] oleh intelektual Muslim terkenal dari Mesir, Dr Muhammad Imarah, beliau terpaksa menulis prakata yang baru untuk cetakan kitabnya yang baru kerana cetakan sebelumnya telah menyebabkan kebisingan yang bukan sahaja menimpa Mesir, malah menjadi riuh hingga ke Kongres Amerika, pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, malah turut membikin keriuhan dalam kalangan pelobi-pelobi Yahudi di Amerika. Menurut Muhammad Imarah, kebisingan itu berlaku disebabkan tiga kalimah sahaja iaitu, Istibahah Dima’ wa Amwal  (halal darah dan harta benda) para pendusta Rasulullah saw yang telah dipetiknya daripada kitab Faysal at-Tafriqah bayn al-Islam wa al-Zandaqah karangan Imam al-Ghazzali rhm (kitab tersebut dicetak di Mesir pada 1907, petikan kalimah itu pula wujud pada halaman 4 dan 5).

Buku yang mengandungi seruan supaya menghentikan perbuatan takfir antara kaum Muslimin dari pelbagai latar mazhab dan pemikiran itu ternyata telah menjadi bom yang diletus oleh beberapa pihak gereja Kristian di Mesir. Lantas dengan rasa merendah diri dan tegas, Muhammad Imarah menulis penjelasan menerusi prakata baru dalam cetakan yang baru (cetakan 2009). Beliau menyatakan, setelah diselidik terbukti kesilapannya yang tidak berhati-hati memetik beberapa kalimah dalam kitab karangan al-Ghazzali tersebut sedangkan beliau sendiri tidak bermaksud sebegitu kerana istilah “halal darah dan harta benda” terhadap kaum bukan Muslim adalah bertentangan dengan apa yang diajar Islam sendiri yang menjadikan pemeliharaan darah, harta benda, maruah dan akidah sebagai soal teras dalam beragama.

Malah menurutnya, prinsip kewarganegaraan dalam Islam ialah Lahum ma lana wa ‘alayhim ma ‘alayna yang menjamin kesamarataan hak dan tugas antara Muslim dan bukan Muslim. Menurut penjelasannya lagi dalam cetakan terbaru itu, beliau berani membuat kesimpulan bahawa mustahil tokoh sehebat al-Ghazzali mustahil akan memberi pandangan sebegitu kerana tiga kalimah tersebut amat bertentangan dengan prinsip-prinsip teras Islam. Lantas beliau menyatakan, kesilapan pasti berpunca daripada sharikat percetakan yang telah mencetaknya pada 1907 tersebut, justeru beliau berikrar akan membuat kajian terhadap teks iti sekaligus membersihkan kitab al-Ghazzali tersebut daripada kalam yang menggugat keharmonian beragama antara Muslim dan bukan Muslim.

Kritikal yang dimaksudkan

Saya memulakan tulisan pada kali ini dengan kisah di atas kerana ia lantas mengingatkan kita supaya bersikap kritikal  pada saat kritikal zaman ini. Saat kritikal yang saya maksudkan ialah saat genting dan penuh berpotensi untuk menggelincirkan sesiapa yang gagal berinteraksi dengan saat tersebut. Dalam Oxford Dictionary of Current English (edisi ketiga)[ii], salah satu maksud critical ialah, “at a point of danger or crisis”.

Untuk pergi lebih jauh, saya memaksudkan bahawa saat yang kritikal itu turut berkait dengan apa yang disebut oleh nabi saw sebagai sinuun khadda’ah (tahun-tahun yang penuh tipu daya) dalam hadis yang bermaksud:

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).”.[iii]

Sementara perkataan kritikal yang dinisbahkan dengan kata fikir pula saya maksudkan sebagai berfikir dengan rasional, membuat pantulan (refleksi) terhadap sesuatu pandangan, fahaman dan kepercayaan, menimbulkan pertanyaan, mencabar pandangan lazim terhadap sesuatu perkara dan berusaha mendapat kepastian dan keyakinan terhadap sesuatu kepercayaan, isu, berita dan pandangan.

Maksud kata kritikal sedemikian diambil setelah meneliti beberapa takrifan berkenaan critical thinking dalam sebuah tulisan terbitan Cambridge University Press bertajuk Critical Thinking: An Introduction oleh Alec Fisher. Alec Fisher mengemukakan beberapa tafsiran oleh tokoh seperti John Dewey, Edward Glaser dan Robert Ennis (kelihatan takrifan critical thinking oleh ketiga-tiganya mempunyai “semangat” yang hampir sama). Akhirnya untuk meringkaskan maksud critical dalam tulisan ini, saya cenderung mengambil takrifan ringkas dan padat oleh Robert Ennis (Alec Fisher turut menyatakan bahawa takrif itu antara yang digunakan secara meluas) yang menyatakan:

Critical thinking is reasonable, reflective thinking that is focused on deciding what to believe or do.[iv]

Kritikal, tabayyun dan tathabbut

Firman Allah swt yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."[v]

Menurut Imam Muhammad at-Taher Ibn 'Ashoor dalam kitab tafsir agungnya, at-Tahrir wa at-Tanwir[vi], ayat tersebut sekurang-kurangnya mengeluarkan empat persoalan berhubung al-Fiqh dan Usul al-Fiqh iaitu:

1             Kewajipan menyelidik keadilan sesiapa yang tidak diketahui keadaannya (majhul al-hal) dalam menerima penyaksian atau riwayat, di sisi hakim dan di sisi perawi.

2             Petunjuk tentang penerimaan seseorang yang telah hilang tohmahan dusta dalam penyaksian dan periwayatannya dan ia ditanda sebagai adil. Hal ini juga menjadi hujah dalam pengamalan khabar ahad.

3             Menunjukkan bahawa asal sesuatu perkara yang tidak diketahui itu tidak adil, justeru wajib disingkapi ketidak tahuan tersebut dan tidak akan dipraktikkan atau diiyakan perkara tersebut hinggalah dikaji tentangnya dan setelah tetap keadilannya.

4             Firman-Nya "... sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." merupakan ancaman supaya menjauhi daripada segala perbuatan yang menyebabkan penyesalan, yakni segala dosa yang dikehendaki taubat setelah terjerumus ke dalamnya.

Penekanan soal tabayyun dan bersikap kritikal dalam mencabar kesahihan sesuatu berita, maklumat, tuduhan, kepercayaan dan fahaman memang menjadi antara disiplin yang diajar oleh al-Quran dan hadis nabi saw. Bahkan tradisi ini sangat kuat dalam tradisi Islam, contohnya dalam pengajian ‘Ulum al-Hadith, persoalan tathabbut akan dibincangkan terutama apabila sesuatu matan hadis itu dilihat kemungkinan berlakunya kesilapan. Demikian juga disiplin al-Jarh wa at-Ta’dil dalam menentukan keperibadian seseorang perawi sebelum diambil riwayat hadis daripadanya turut menjadi sebuah disiplin dan praktikal penting dalam ilmu hadis.

Berhubung pertuduhan terhadap sesuatu jenayah atau kesalahan, pihak yang dituduh adalah bebas sementara pihak yang menuduh dikehendaki mendatangkan bukti. Contohnya kaedah fiqh yang menyatakan, al-Ashlu bara-ah al-muttaham min irtikab al-jarimah[vii] (asal seseorang itu ialah bebas daripada tuduhan melakukan jenayah) merupakan salah satu daripada banyak contoh kaedah fiqh yang meletakkan syarat ketat sebelum sesuatu tuduhan dilakukan. Sekadar menyebut beberapa contoh, saya tiada hasrat untuk mengulas panjang soal tersebut dalam artikel ini kerana ada beberapa hal lain yang menjadi tumpuan saya untuk dibincangkan.

Kritikal terhadap media

Failasuf merangkap intelektual terkenal, Noam Chomsky dalam sebuah tulisan bertajuk 10 Strategies of Manipulation by The Media[viii] telah meringkaskan sekurang-kurangnya sepuluh strategi yang lazim digunakan oleh sesebuah media untuk memanipulasi dan mempengaruhi masharakat. Antara strategi tersebut ialah The strategy of distraction, create problems then offer solutions dan Keep the public ignorance and mediocrity (sekadar memetik tiga strategi, selebihnya boleh ikuti di artikel tersebut).

Barangkali bencana yang menimpa sesebuah masharakat bertitik tolak daripada tiga entiti iaitu pemberi khabar, pendengar khabar dan penyebar khabar. Dalam kes sesebuah media, bencana akan menimpa sekiranya sesebuah masharakat langsung tidak bersikap kritikal terhadap sebarang perkhabaran dan sebaran maklumat daripada media. Berhubung the strategy of distraction contohnya , sesebuah media sering menggunakan kemahiran mereka dalam mengalihkan tumpuan daripada sesuatu isu penting kepada sesuatu isu picisan. Sebagai contoh, isu-isu rasuah, kezaliman, pencemaran alam, belanjawan dan sebagainya telah disembunyikan, sementara media cetak dan media elektronik akan hanya dibanjiri dengan isu-isu perkauman, sentimen agama dan pelbagai fitnah dan tuduhan.

Kalaupun media menyentuh isu-isu seperti kezaliman dan rasuah, ia hanya digembar-gemburkan pada waktu-waktu tertentu dan terhadap individu-individu tertentu, demi menunjukkan komitmen kerajaan yang menunggangi mereka yang kononnya turut mengambil berat isu rasuah. Selain itu ia berlaku secara emosional dan bukannya rasional, justeru indeks berhubung kajian rasuah antara negara contohnya tidak disebar kepada masharakat dan rakyat, terutama jika kerajaan yang menunggangi media tersebut jatuh merudum dalam indeks rasuah. Demikian juga laporan audit tidak akan dibincang dan dibentangkan dengan meluas melainkan hanya sisi-sisi yang terpilih semata-mata, demi mengekalkan kejahilan rakyat terutama yang tinggal di kawasan-kawasan pedalaman. Media jugalah yang berperanan memutar belit laporan sesuatu maklumat, bahkan ada media yang melakukan penyelewengan terjemahan ucapan tokoh-tokoh tertentu, sebagaimana pernah kecoh baru-baru ini berhubung stesen televisyen Iran yang memutar belit ucapan Presiden Mesir, Mohammed Morsi dalam sebuah persidangan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).[ix]

Media-media juga bijak mencipta masalah dan seterusnya mencadangkan solusi tertentu, sama ada solusi itu dilaungkan oleh mana-mana ahli politik pihak pemerintah, atau menerusi tulisan ilmuan upahan, atau juga menerusi watak-watak tertentu yang diperguna tanpa sedar. Contohnya dalam konteks negara kita, isu-isu perkauman dan sentimen agama akan menjadi hidangan siang dan malam, seterusnya solusinya ialah penggabungan antara dua parti besar kaum Melayu Islam kononnya demi kemaslahatan bersama. Media-media yang asalnya memusuhi kaum ilmuan dan ahli agama, mereka akan memaparkan pandangan-pandangan terpilih ilmuan dan ahli agama tertentu, sebagaimana halnya seorang “Tuan Guru” dari sebuah pondok yang tidak pernah meluas kemunculannya dalam media, tapi diberi perhatian di muka depan setelah mengeluarkan “fatwa” sebuah parti sebagai “Kafir Harbi”!

Di samping itu, pihak media juga yang berperanan mengekalkan kejahilan sesebuah masharakat, selain mempopularkan insan dan pertubuhan tertentu selain menggelamkan tokoh dan pertubuhan intelektual yang gigih mencerahkan masharakat dan golongan yang tegas membela kaum yang tertindas. Media-media lebih gemar memperbanyak slot dengan “ustaz-ustaz popular” menerusi tajuk-tajuk kehidupan seharian semata-mata, sambil perbincangan hal-hal yang lebih ilmiah ditenggelamkan dan tidak mendapat tempat. Tanpa menafikan manfaat menerusi perbincangan hal ehwal kehidupan seharian, wacana-wacana ilmiah yang terabai dan kaum intelektual yang terpinggir setelah berdekad-dekad wujudnya pelbagai media di negara kita adalah suatu yang sungguh mendukacitakan. Al-Marhum Dr Syed Hussein al-Attas menulis:

“Orang pandir menghalang berkembangnya tuntutan umum terhadap kerja intelektual. Kaum intelektual tidak mempunyai cara untuk melaksanakan tuntutan awam terhadap hasil kerja mereka. Apabila sebuah makalah intelektual dihantar ke surat khabar, editor mengatakan tulisan itu terlalu berat. Radio dan televisyen menyajikan acara yang bukan intelektual. Pembicara yang diundang dalam forum jarang sekali terdiri daripada orang intelektual. Penerbit menerbitkan buku pelajaran untuk sekolah dan novel, tetapi jarang sekali karya kreatif kaum intelektual diterbitkan. Dalam pentadbiran tidak ada penghargaan untuk menjadi orang intelektual. Oleh hal yang demikian masyarakat umum tidak diperkenalkan dengan hasil kerja intelektual.”[x]

Kritikal terhadap pemimpin dan media baru

Pada saat yang mana sekalian ahli politik dan pemimpin gemar bertopeng malaikat dan menyembunyikan kesyaitanan dan sifat sebenar mereka, sungguh wajar untuk rakyat turut bersikap kritikal terhadap segala tindak tanduk orang atasan mereka. Bersikap kritikal tidak menghalang untuk turut bekerjasama dan beraspirasi membangunkan negara dan masharakat, namun keberanian mempersoalkan beberapa tindakan mereka merupakan sesuatu keperluan, khasnya dalam konteks sesebuah negara dan organisasi yang besar. Rakyat mesti mempersoalkan wang masuk dan wang keluar sesebuah parti dan negara, bahkan menuntut hujah yang relevansi dan rasional terhadap penggunaan wang tersebut.

Membuat pantulan dan muhasabah (penilaian) terhadap belanjawan dan program yang dibentangkan oleh pihak kerajaan mestilah menjadi amalan sesebuah masharakat, seperti menerusi wahana sesebuah badan bukan kerajaan atau persatuan sivil. Masharakat perlu peka bahawa “keikhlasan” bukanlah tawaran yang kita mahu dengar daripada mana-mana politikus, sebaliknya kecerdasan, amanah dan pemerintahan yang baik yang kita mahu lihat.

Sementara itu, dengan kemunculan pelbagai media baru pada zaman ini telah mengakibatkan kemunculan satu tabiat baru yang sangat tertonjol, iaitu tabiat share dan berkongsi sekalian pautan yang wujud di laman sosial. Blog, facebook, twitter dan pelbagai laman sosial yang turut berperanan sebagai media baru sangat kurang mengamalkan budaya tathabbut dan tabayyun, sebaliknya terus dikongsi dan diulas tanpa mencabar kebenarannya. Contohnya di facebook, penghuninya saling berkongsi apa-apa pautan, petikan kata-kata atau apa-apa gambar tanpa mempersoalkan sumbernya.

Demikian tenatnya masharakat kita dengan ketidak mampuan mempersoal keabsahan sesuatu berita dan sumber, bahkan segelintir penghuni laman sosial terlibat berkongsi khabar angin yang dusta. Seringkali pergaduhan politik kepartian antara rakyat kebanyak yang terjerumus dalam ketenatan tersebut. Masing-masing bersaing untuk berkongsi gambar-gambar yang memaparkan agenda masing-masing, selain galak menyiarkan keburukan malahan fitnah lawan mereka. Sekali lagi malang apabila segelintir masharakat menggemari teknik tersebut, asalkan menyebelahi parti politik yang ditaksubi mereka! Akibatnya, tiada amalan perbandingan antara maklumat kedua-dua parti yang bersaing, politik emosional bermaharajalela menggantikan politik rasional dan tanpa sedar rakyat seolah-olah hanya berperanan di peti-peti undi, kerana tugas mereka hanyalah mengiyakan parti yang ditaksubi.

Pantulan dan kesimpulan

                Meneruskan perenggan, saya merenung kembali kisah Dr Muhammad Imarah dalam prakata baru beliau dalam cetakan terbaru salah sebuah karyanya sebagaimana tercatat di atas. Bahawasanya hanya dengan tiga perkataan boleh menimbulkan keriuhan dan kebisingan antara agama, apatah lagi jika ada pihak yang mengambil keuntungan politik dan menjadi batu api terhadap menyebarkan kesilapan maklumat tersebut.

                Saya berpandangan, inilah saat yang kritikal untuk kita semua bersikap kritikal terhadap sekalian isu dan perkara yang berlaku di sekeliling kita. Dalam berguru dan membaca, tiada patut kita menerima bulat-bulat apa yang disampaikan oleh guru dan tertulis dalam buku. Kalau hanya menerima bulat-bulat, maka lebih baik tinggalkan sahaja guru dan buku.  Berfikir dengan kritikal dengan bersikap rasional, berdebat, mengkritik, sentiasa melazimi pertanyaan “kenapa?” dan sebagainya mesti menjadi asas sebelum sesuatu diterima dan dipercayai. Setelah meragui sesuatu sumber, kita juga hendaklah berusaha keras mendapatkan pengetahuan dan ilmu sesuatu perkara hingga kita menerima dengan yakin dan tenang.

                Demikian antara kandungan praktikal bersikap kritikal yang saya maksudkan. Bukannya kritikal yang hanya tahu mengkritik tapi tak bersedia dikritik, atau sekadar mencipta keraguan tapi tidak berusaha mendapatkan keyakinan, atau bukan juga kritikal hingga mencabar keilmuan seseorang tanpa adab, berbekalkan dua tiga buah buku yang baru dibaca. Kita bukan kaum yang belajar pada hari Sabtu, mengajar pada hari Ahad, mengenali guru pada hari Isnin, seterusnya pada hari Selasa melaungkan Hum rijal, nahnu rijal! (mereka manusia, kita juga manusia!) atau mahu mendabik dada bersaing dengan ilmuan dan kaum intelektual, atas nama kritikal. Tidak, bukan itu yang dimaksudkan. Sebaliknya kita mendidik diri supaya mempersoal kebenaran sesuatu maklumat, sumber sesuatu pengetahuan, membandingkan tawaran parti-parti politik, tidak menjadikan media sebagai sembahan dan mendahului rasional mengatasi emosional.

                Ahli mana-mana organisasi, pertubuhan dan gerakan juga hendaklah bersikap kritikal dalam berinteraksi dengan pemimpin, guru dan dasar kumpulan mereka. Tanpa melanggar disiplin dan kepentingan bersama mereka, mereka tidak wajar menjadi robot yang menerima segala maklumat tanpa soal. Bersikap kritikal bukanlah bermaksud menggadaikan adab atau memperlekeh sesiapa, sebaliknya ia bermaksud mendisiplinkan diri dengan sesuatu yang meyakinkan dan menenangkan jiwa sebelum melakukan sesuatu perkara.

                Saya menyimpulkan, bersikap kritikal yang kita cita-citakan pada zaman yang genting ini terdapat dalam satu firman Allah swt yang bermaksud:

                “
Orang-orang yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.[xi]

                Al-Quran mendidik kita memilih yang terbaik (al-Ahsan) bukannya baik (al-Hasan) semata-mata. Justeru proses memilih al-Ahsan memerlukan penelitian dan proses yang mendalam, bukannya mudah berpuas hati dan enak berpada-pada. Inilah saat yang kritikal untuk bersikap kritikal, juga merupakan tahun-tahun penuh tipu daya yang memerlukan keunggulan upaya. Bersediakah kita semua?





[i] Muhammad Imarah, Fitna at-Takfir: Bayn As-Shi’ah wa al-Wahhabiyyah wa as-Shoufiyyah, cetakan Dar as-Salam, penjelasan kesilapan pencetakan itu diulas oleh beliau di halaman 5-20.
[ii] Oxford Dictionary of Current English (Third Edition),Oxford University Press, hal. 208.
[iii] Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, al-Hakim dll. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi
[iv] Alec Fisher, Critical Thinking: A Introduction, terbitan Cambridge University Press, hal. 4.
[v] Al-Hujurat : 6
[vi] Ibn ‘Ashoor, at-Tahrir wa at-Tanwir. Cetakan Dar Suhnun, jilid ke-10. Ulasan beliau tentang empat persoalan tersebut diulas di halaman 233-234.
[vii] Dr Abdul Karim Zaydan, al-Wajiz fi Sharh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, terbitan Muassasah ar-Risalah Nashirun, hal. 44.
[x] Syed Hussein al-Attas, Intelektual Masyarakat Membangun, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hal. 69. Buku ini merupakan terjemahan daripada buku bahasa Inggeris beliau yang bertajuk Intellectuals in Developing Societies.
[xi] Az-Zumar: 18

Read more...

Thursday, 13 September 2012

Filem Hina Nabi: Mari Bina "Kita" Yang Baru

Cinta, antara seruan penting Muhammad saw.



   1)     Segalanya bermula menerusi satu filem yang tersiar di Youtube bertajuk Innocence of Muslim yang sebenarnya telah berminggu-minggu ditayangkan berlegar di internet. Dipercayai filem tersebut diarahkan oleh Sam Bacile, dikatakan beliau turut berdarah Mesir. Dalam filem tersebut, nabi Muhammad saw digambarkan sebagai seorang yang gila seks, bodoh, dahagakan darah dan sebagainya.

2)     Hal ini mengingatkan kita dengan beberapa siri penghinaan terhadap agama Islam oleh beberapa pihak seperti Terry Jones, seorang paderi ekstrem yang menarik perhatian dunia dengan seruan membakar al-Quran pada tahun 2010. Demikian juga dengan beberapa peristiwa kartun menghina Nabi saw, contohnya oleh Jyllands-Posten’s pada tahun 2006.

3)     Pendirian Islam dalam soal kebebasan berkeyakinan dan keharmonian dalam beragama sangat jelas ditampilkan dalam banyak ayatnya, contohnya seruan Lakum diinukum wa liya diin (Bagimu agamamu dan bagiku agamaku) dalam surah al-Kafirun. Demikian juga, al-Quran mendeklarasikan larangan mencela doktrin-doktrin asas agama lain demi mengelakkan implikasi buruk selepasnya, sebagaimana firman Allah dalam surah al-An’am ayat ke-108:
“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.

4)     Justeru pendirian saya, kebebasan bersuara dan berkeyakinan bukan bermaksud menghina agama lain, atau mana-mana doktrin asas agama lain. Bebas berkata-kata tetap mesti didahului dengan bebas berfikir. Bebas tidak wajar hingga menceroboh hak dan keyakinan agama lain, kalau tidak bersetuju mesti dengan jalan ilmu dan fakta, bukannya menghina. Hal ini demikian demi mengelakkan implikasi buruk yang lebih besar seperti pergeseran dalam masyarakat, keganasan dan sebagainya.

5)     Sesiapa sahaja berhak untuk tidak bersetuju dengan doktrin-doktrin asas agama, malah bisa sahaja untuk tidak persetujui dan mencabar kepercayaan keesaan Tuhan dalam agama Islam sebagai contoh. Namun jalannya mestilah menerusi kajian, dan umat Islam yang mempunyai keyakinan tertentu dalam beragama wajar sahaja menjawabnya menerusi pengetahuan dan kajian yang dilakukannya. Demikian juga umat Islam bisa sahaja tidak bersetuju dengan doktrin-doktrin asas agama lain, seperti konsep Triniti dalam ajaran Kristian, namun biarlah ia diselesaikan menerusi jalan ilmu dan perdebatan ilmiah, bukannya dengan menyebarkan kartun lawak hingga hingga mengguris perasaan mana-mana pihak.

6)     Seringkali Barat mendeklarasikan larangan anti-Semitic, malah ada beberapa negara yang mengenakan tindakan terhadap rakyat mereka yang menafikan peristiwa pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi semasa perang dunia kedua (Holocaust denial). Sebagai contoh Austria, Belgium, Perancis dan beberapa negara lagi mengharamkan penafian dan tindakan mempromosikan Holocaust sebagai tidak benar-benar berlaku. Barang diingat, tujuannya sudah pasti untuk mengelakkan kaum Yahudi berasa terguris dengan peristiwa tragis tersebut. Isu Holocaust dan sejauh mana kebenaran peristiwanya telah sekian lama didebatkan dan dicabar kesahihannya, namun saya tidak berminat mengulasnya dalam tulisan ini. Hanyasanya saya mempersoalkan kenapa tidak juga dianggap perbuatan menjadikan agama sebagai kutukan dan bahan jenaka sebagai sesuatu yang serius dan boleh menggugat keharmonian bermasyarakat? Pendirian kita tegas, anti-semitic dan pro-zionisme merupakan anti-Islam. Tapi ketegasan itu tidak pula bermakna kita wajar berdiam sahaja dengan segala bentuk penghinaan terhadap agama kita.

7)     Berkenaan filem Innocence of Muslim itu juga, dunia gempar apabila Chris Stevens telah mati setelah kedutaan Amerika Syarikat di Libya telah dibom. Jika benar pengebomam itu telah dilakukan oleh segelintir Muslim yang ekstrem, sudah tentu tindakan itu melampaui batas dan wajar ditolak oleh masyarakat Muslim sendiri. Umat Islam wajar tahu bahawa kebebasan berekspresi sangat diangkat di Amerika dan sesetengah negara Barat, oleh itu kerajaan tidak boleh mencampuri urusan rakyatnya dan mereka tidak dikenakan tindakan walaupun menghasilkan filem yang menghina mana-mana agama. Oleh yang demikian, menghalakan isu-isu penghinaan nabi kepada sesebuah negara dan kerajaan bukanlah sesuatu yang sihat.

8)     Saya berpandangan, Muslim tidak perlu merespon isu penghinaan tersebut dengan mendatangkan satu sisi ekstrem yang baru seperti membuat filem yang menghina doktrin-doktrin asas Kristian atau melakukan tindak tanduk keganasan. Adapun jika demonstrasi diadakan, ia mestilah terkawal dan menonjolkan sikap kita Muslim yang menolak keganasan dan seluruh tuduhan oleh pembikin filem kontroversi dan memfitnah tersebut.

9)     Di Malaysia, Muslim juga tidak wajar menghidupkan sentimen dan kekecohan antara agama atas sebab jangkitan daripada filem tersebut. Wajar difahami, beberapa badan Kristian seperti Kristian Ortodoks di Mesir sendiri mengutuk filem tersebut atas semangat beragama dan keharmonian bermasyarakat. Namun dibimbangi jika ada pihak yang menangguk di air keruh dengan menghidupkan sentimen murahan dalam masyarakat jamak agama di Malaysia. Wajar dipegang, sebarang pengamalan ekstrem dan ganas dalam beragama tidak cocok dengan nilai-nilai indah yang diajar nabi kita Muhammad saw.

10) Sebagai muhasabah, sejauh manakah Muslim benar-benar sensitif dengan penghinaan yang dilakukan ke atas nabi mereka? Kadang-kadang kita terlalu reaksionari terhadap sesuatu isu, sambil kita sendiri yang mengabaikan pelbagai suruhan dan ajaran baginda saw. Kebersihan, budaya kerja yang kemas, cermat dan berdisiplin di jalan raya, cergas dalam menuntut ilmu, berlemah-lembut, saling mengasihi, amanah dan sebagainya antara nilai yang seakan-akan sudah terurai dari kalangan sesetengah Muslim. Justeru adakah dengan berkongsi link dan status di facebook  yang mengecam penghinaan nabi sambil terus pasif dan tidak proaktif dalam kehidupan seharian, itu akan menjadikan kita mulia? Barangkali, jika filem itu menuju segala kritikannya kepada umat Islam di tanah Arab contohnya sebagai pengotor, korupsi, zalim, memperendah wanita dan sebagainya, pasti tidak logik untuk kita membantahnya.

11) Hidup dalam masyarakat yang jamak agama dan budaya, sangat penting untuk kita mempelajari dan mengambil tahu tentang doktrin-doktrin asas agama lain, supaya kita sendiri boleh menghormati keyakinan mereka, sambil kita tegas dan beramal dengan keimanan kita. Bayangkan sesetengah orang masih berasa janggal untuk berada satu lif dengan seorang Hindu, sedangkan agamanya sendiri mengajarkan konsep Li ta’arafu (berkenal-kenalan) sebagai seruan penting dalam bermasyarakat. Bagaimana bisa kita praktikkan Li ta’arafu jika kita kita tidak saling pelajari? Juga bagaimana bisa kita dengungkan Lita’arafu sekiranya kita tidak saling menghormati? Tuntasnya, kita sendiri mesti mengubah sikap kita untuk saling mengambil tahu mengenai budaya penganut agama lain khasnya yang tinggal di tanah air kita sendiri.

12) Intihan, kebebasan mestilah berlangsung dengan penuh kesedaran sivik dan bertanggungjawab. Tidak wajar untuk saya meluru kepada seseorang, kemudian mencela dirinya dan ibu bapanya, seterusnya berlalu begitu sahaja atas alasan itu kebebasan saya. Juga tidak pelik jika saya ditumbuk, dicederakan atau dikenakan tindakan agresif selepas itu. Demikian kita wajar guna hak untuk berfikir, sebelum hak untuk berkata-kata dan beraksi.

Read more...

Friday, 24 August 2012

Menikam Matahari, Memanah Purnama

Tiba masa, kita tikam matahari dan panah purnama



Kau bertanya aku
perihal kau harus bagaimana?
menurut sisiku
aku coba menjawab sekadar terbisa

Aku mahu kau, aku, dia, mereka dan kita
berbuat menurut keyakinan dalam sukma
tanpa ikut-ikutan sesiapa
Kau, aku, dia, mereka dan kita
harus sentiasa usaha

membaiki sedaya upaya
bukan hanya menurut sejiwa raga
arahan dan keputusan sesiapa

Aku juga mahu
kau, aku, dia, mereka dan kita
terus maju jaya
tidak abaikan petanda-petanda
menuju gerbang yang dicita-cita

Semoga kau, aku, dia, mereka dan kita
sampai jua ke sana
menikmati harta karun dan jadi kaya
Memanjat langit, menikam matahari dan memanah purnama
walau awalnya seolah-olah diragui cuma

Dan aku tidak mahu
kau, aku, dia, mereka dan kita
sesal pada satu masa
cemburu dengan mereka yang berjaya
nasi menjadi bubur pasti tidak bisa
menyelerakan walau mungkin membuat sendawa

Ini yang aku mahu; buat kau, aku, dia, mereka dan kita.

khabarkan pula, aku harus bagaimana?
menurut sisimu

Irbid,
6 Syawal 1433
240812 - 0340 pm

Read more...

Friday, 17 August 2012

Tuju Fitrah, Junjung Maruah




Sehari dua lagi
Iblis dan syaitan dibuka gari
dibebas Tuhan Maha Tinggi
sekalipun mereka angkuh meninggi diri

Namun warga penjara itu
sedang kemuncak merindu
anak isteri ayah ibu
sambil didera dihina dari dulu

Iblis dan syaitan dibebas Tuhan
mereka tanpa salah, dilanyak mati-matian
mari muhasabah nilai Ramadan
jika ISA kita tak terlawan.

Selamat menyambut kesucian fitrah
salam merdeka menjunjung maruah.

MBH, Irbid
29 Ramadan 1433
170812 - 01.43 am

Read more...

Wednesday, 15 August 2012

Setenang Cinta

Tiba masanya, dilipat langit, gugurlah bintang.
Berundur daripada dunia
penuh tipu dan leka
demi meraih cinta
yang menenangkan jiwa

Manusia tidak sesekali
puas dengan segala keinginan hati
andai diberi emas seribu kati
dipintanya beribu-ribu kati lagi

Justeru berhadapan dunia yang memujuk
perlu menjadikan Tuhan tempat merujuk
akal waras sebagai teman menjenguk
agar tidak ulang cherita Pak Kaduk

Hidup umpama novel, kita mengarang
pelbagai kisah sudah terbentang
sampai masa gugurlah bintang
kemudian diri diperintah baca-ulang

Mengharap redha-Nya, itu kemuncak cita
dalam setiap perkara, kendati kecil cuma
adapun jika mengharap redha manusia
pasti tak keruan, jiwa dan rasa

Mencari tenang,
Irbid,
3.45 am - 15/08/12

Read more...

Wednesday, 1 August 2012

Merawat Masyarakat Diktator


 Apabila menyebut tentang kediktatoran dan sifat-sifatnya, antara yang terawal muncul dalam minda sesetengah orang ialah gambaran sebuah pemerintahan mutlak yang berlandaskan pandangan seseorang individu, ataupun beberapa individu tertentu dan tidak terikat dengan perlembagaan mahupun peraturan. Pemerintah diktator lazimnya akan menuju ke arah kezaliman kerana sesebuah kuasa dan pemerintahan mutlak seringkali akan menjadi korup dengan mutlak.

Namun demikian perbincangan mengenai kediktatoran sentiasa terhenti sekadar sifat “pemimpin diktator” sambil dilupakan perihal kediktatoran yang wujud dalam diri sesetengah masyarakat dan individu. Saya melihat, kewujudan pemimpin diktator dan zalim tidak sunyi daripada kewujudan awal sebuah masyarakat yang diktator. Justeru, sebuah pemerintahan diktator hanya bisa dijatuhkan sekiranya dijalankan aktiviti merawat masyarakat yang diktator.

Masyarakat diktator

Masyarakat diktator yang saya maksudkan ialah sebuah masyarakat individualistik, tamak dan beragama atau berideologi demi kepentingan. Mereka hidup dalam keadaan senang, justeru tiada apa yang perlu diperjuangkan sekalipun pemerintahan di hadapannya mencanggahi demokrasi dan mencabuli hak-hak rakyat sendiri. Respon mereka terhadap sesebuah pemerintahan despotik ialah “asalkan bukan aku dan keluargaku”.

                Sekiranya sesebuah pemerintahan diktator mahu menentukan cara pemerintahan, undang-undang dan sebagainya menurut kepala mereka semata-mata, masyarakat diktator juga berkongsi sikap sedemikian. Sekiranya mereka majoriti, mereka mahu menentukan cara berpakaian, mazhab dan agama golongan lain dengan kekuasaan ataupun kekuatan yang dimiliki. Pokoknya, masyarakat diktator ingin menentukan semua perkara.

Menurut masyarakat diktator, kelompok minoriti ataupun the other mestilah mengikuti apa yang mereka yakini sekalipun dalam masa yang sama, mereka sendiri tidak gemar jika kehidupan mereka dikawal dan ditentukan oleh orang lain. Justeru dalam hubungan antara kaum dan agama, ruang publik tidak digunakan untuk menyelesaikan perselisihan dan perbezaan, sebaliknya pengharaman buku, serbuan dan undang-undang dianggap sebagai solusi. Anggapan mereka, gunung yang tinggi hanya boleh didaki menerusi laluan yang diambil kelompoknya, adapun laluan lain tidak diizinkan lantaran berslogankan, “Kami benar, kalian sesat.” Lantas, demokrasi yang asalnya mahu menjatuhkan kezaliman dan kediktatoran, telah mencetuskan tirani majoriti ke atas kaum minoriti.

Kalaupun masyarakat diktator melaungkan slogan kebebasan bersuara, syaratnya suara itu menyebelahi mereka. Jika tidak, orang yang bersuara itu akan dilabel sebagai jumud, tradisional, sesat, “liberal” ataupun kafir. Mereka mahu berkata-kata tetapi enggan mendengar, mereka mahu bebas tetapi enggan membebaskan. Justeru, individualistik menjadi sangat cocok dengan kewujudan masyarakat diktator, sikap individualistik itu menyebabkan kewujudan masyarakat pluralistik langsung tidak diendahkan, apatah lagi dihargai. Barangkali inilah yang dinamakan sebagai dogmatic mind sebagaimana dinyatakan oleh Prof Dr Tariq Ramadan:

“The dogmatic mind displays, moreover, one further characteristic. It would be a mistake to think that it accepts the existence of only one point of view: the dogmatic mind is a binary mind. Whilst it states that its truth is the only truth, that its Way is exclusive and that its universal is the only universal, that is because it stipulates – at the same time – that anything that does not partake of that truth, that path and that universal is, at best, absolutely ‘other’ and, at worst, culpably mistaken.

[Minda dogmatik memperlihatkan satu lagi ciri. Adalah suatu kesalahan untuk mengandaikan bahawa ia hanya menerima kewujudan hanya satu pandang arah: minda dogmatik itu adalah satu minda binari. Manakala ia menyatakan bahawa kebenarannya itu adalah satu-satunya kebenaran, jalannya pula begitu ekslusif dan universalnya hanyalah ia satu-satunya, kerana ia mengandaikan – pada masa yang sama – sesuatu yang tidak mengikuti kebenaran tersebut, jalan itu dan universal itu, paling tidak, sesuatu yang sama sekali “lain’ dan lebih parah, sesuatu yang salah].[i]

Al-Kawakibi, kediktatoran dan ilmu

Seorang tokoh intelektual Muslim terkenal khasnya pada era kolonial, Abdul Rahman al-Kawakibi (1849-1902) semasa mengulas perihal kediktatoran telah memetik beberapa kata-kata, antaranya ialah:

“Kediktatoran merupakan musuh kebenaran, musuh kebebasan dan merupakan pembunuh kedua-duanya. Kebenaran merupakan bapa kepada manusia, sementara kebebasan pula ibu mereka. Rakyat merupakan anak-anak yatim yang tidur dan tidak mengetahui apa-apa, sementara para ilmuan pula merupakan saudara mereka yang bijaksana. Sekiranya mereka (golongan berilmu) mengejutkan rakyat, pasti rakyat akan bergerak aktif. Adapun jika para ilmuan meninggalkan mereka, mereka akan kekal sebagaimana sebelumnya, lantas akan bersambung tidur mereka (rakyat) dengan kematian.”[ii]

Abd al-Rahman al-Kawakibi
Kenyataan tersebut wujud dalam buku terkenalnya berjudul Tobai’ al-Istibdad wa Masori’ al-Isti’bad (Tabiat-tabiat Kediktatoran dan Kematian Perhambaan). Menurutnya lagi, antara kediktatoran yang paling hodoh ialah kediktatoran kejahilan ke atas ilmu dan kediktatoran nafsu ke atas akal (rasional).[iii] Al-Kawakibi mengulang-ulang hubungan antara ilmu dan akal dalam menangani kediktatoran, membayangkan betapa sesebuah masyarakat yang diperintah oleh kuasa yang diktator sebenarnya disebabkan sikap mereka menyerahkan akal kepada pihak pemerintah sehingga diperbodohkan, selain ketidak upayaan mereka bertindak ke atas projek pembodohan yang sedang ditimpakan ke atas mereka.

Selain itu, al-Kawakibi menegaskan:

“Para ilmuan menggesa kepada pencerahan akal, sementara golongan diktator gigih berusaha memadamkan cahaya pencerahan itu. Dua golongan ini (para ilmuan dan pemerintah diktator) saling menarik orang ramai, siapakah orang ramai itu? Mereka merupakan golongan yang apabila jahil, mereka menjadi takut, apabila takut, mereka menyerah (kepada diktator). Sebagaimana mereka merupakan golongan yang apabila berpengetahuan, mereka berkata-kata, dan apabila mereka berkata-kata, mereka melaksana.”[iv]

Kaum yang jahil pasti akan memberi keuntungan kepada pemerintah yang diktator. Justeru sekalipun sesebuah pemerintah diktator memberi ruang demokrasi menerusi pilihanraya yang diadakan beberapa tahun sekali, ruang kebebasan memilih itu ibarat debu-debu yang berterbangan kerana masyarakat terus bodoh dan diperbodohkan.

Apa guna kaum yang dibutakan diberi pilihan membuat penghakiman terhadap perkara yang memerlukan penglihatan yang tajam? Apa yang boleh dibanggakan jika kaum yang dipekakkan diberi pilihan membuat penghakiman terhadap sesuatu yang memerlukan pendengaran yang teliti. Oleh yang demikian, kediktatoran pemerintahan sememangnya berasal dari sifat-sifat kediktatoran yang wujud pada sesebuah masyarakat. Adapun antara penawar kepada kediktatoran itu ialah rawatan terhadap masyarakat, salah satunya yang penting ialah menerusi medan pendidikan.

Hukum alam dan perubahan

Sebagaimana kertas tidak akan basah selagi tidak dicurahkan air, demikian juga sekalian perubahan lain yang tidak akan berjaya selagi tidak dijalankan usaha untuk mengubahnya . Seorang tokoh ilmuan terkenal dari Turki, Fethullah Gulen menyatakan:

“Islam considers a society to be composed of conscious individuals equipped with free will and having responsibility toward both themselves and others. Islam goes a step further by adding a cosmic dimension. It sees humanity as the “motor” of history, contrary to fatalistic approaches of some of the nineteenth century Western philosophies of history such as dialectical materialism and historicism. Just as every individual’s will and behavior determine the outcome of his or her life in this world and in the hereafter, a society’s progress or decline is determined by the will, worldview, and lifestyle of its inhabitants. The Koran (13:11) says: “God will not change the state of a people unless they change themselves [with respect to their beliefs, worldview, and lifestyle].”[v]

[Islam menganggap sesuatu masyarakat itu terdiri daripada manusia yang sedar yang dipersiapkan dengan pilihan sendiri dan mempunyai tanggungjawab terhadap diri mereka dan orang lain. Islam melangkah setapak lagi dengan menambahkan dimensi kosmik. Ia melihat kemanusiaan sebagai “motor” yang menggerakkan sejarah. Hal ini bertentangan dengan pendekatan fatalis sesetengah falsafah sejarah Barat abad ke-19 seperti materialis dialektik dan historisisme. Sepertimana kehendak dan kelakuan seseorang individu itu akan menatijahkan hasil kehidupannya di dunia ini maupun di hari akhirat, kemajuan dan kemunduran sesuatu masyarakat itu ditentukan oleh kehendak, pandangan sarwa dan gaya hidup umat itu sendiri. Al Qur’an [13: 11] menyebutkan: “Sesungguhnya Tuhan tidak akan merubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri merubah apa yang ada dalam dirinya (berupa keyakinan, pandangan sarwa dan gaya hidup]”

Inilah rahsia perubahan sosial zaman berzaman, perjuangan yang kental dan berterusan akhirnya pasti melahirkan kemenangan. Dalam merawat penyakit masyarakat diktator, menarik jika kita bisa melihat pandangan Dr Jasser Auda yang mengulas perihal revolusi Arab dan perubahan dan pengorbanan masyarakat, menurutnya:

                “Bahawa manusia atau rakyat telah mengubah apa yang ada pada diri mereka bersama-sama revolusi dan merobohkan banteng ketakutan, lantas Allah SWT menghilangkan ketakutan daripada hidup mereka. Mereka melempar di medan-medan revolusi pemisahan, individualistik, perbalahan, penguasaan, hasutan (pihak pemerintah), kekerasan dan tamak. Kemudian Allah mengubah keadaan mereka dan membaiki menerusi revolusi setiap keburukan yang menular dalam masyarakat, bahkan (Dia) menjatuhkan pemimpin pemerintah yang rosak.”[vi]

Mesir telah sekian lama melalui pengalaman getir dan menyeksakan di bawah pemerintahan yang korup dan despotik. Setelah sekian lama para ilmuan dan aktivis politik di sana menyeru kepada perubahan demi menentang kezaliman kediktatoran, mereka hanya berjaya melakukannya setelah sanggup membuang sikap individualistik, tamak, dan berkepentingan dan menuju ke Medan Tahrir hingga ada nyawa-nyawa yang terkorban. Demikian juga dengan kejatuhan Ben Ali di Tunisia, menerusi pengorbanan dan kesungguhan rakyatnya untuk “mengubah takdir” yang sekian lama dikenakan oleh pemerintah dan konco-konco mereka.

Pendidikan demokratik

Mengulang kembali pandangan al-Kawakibi di atas berkenaan pertembungan antara sang diktator dan ilmuan dalam menarik masyarakat, jelas bahawa ilmu menjadi tulang belakang kepada kewujudan kediktatoran dalam pemerintahan, sementara masyarakat menjadi penentu kepada kekalnya kediktatoran sesuatu pemerintahan ataupun robohnya kediktatoran tersebut. Sekiranya masyarakat jahil, maka mereka akan takut, kemudian setelah takut mereka akan menyerah kepada kekuasaan. Sebaliknya jika masyarakat berpengetahuan, mereka akan berkata-kata, kemudian setelah berkata-kata mereka akan melaksana.

Dalam mengkritik sistem pendidikan dunia Arab yang bermasalah dalam membentuk masyarakat yang sedar dan berperanan, Prof Dr Louay Safi menjelaskan:

“We talk about wealth but we do not talk about the responsibility of creating job opportunities for others. When we talk about authority we do not link it to the social duty to improve the social structure, it’s always linked to the glory of one person. And our Arab societies should solve this problem. Of course this was the basis of the political corruption, this strong linkage of the glory of the person, to the authority – and talk about heroes, how to worship them, this is the problem, this is what led to the corruption also.”[vii]

[Kita bercakap tentang kekayaan tetapi kita tidak bercakap tentang tanggungjawab mencipta peluang pekerjaan untuk orang lain. Apabila kita bercakap tentang kekuasaan, kita tidak mengaitkannya dengan tugas sosial untuk meningkatkan struktur sosial, ia sentiasa dikaitkan dengan kehebatan seseorang. Masyarakat Arab kita mesti menyelesaikan masalah ini. Sudah tentu ini merupakan asas kepada korupsi dalam politik, perhubungan yang kuat antara kehebatan manusia dengan kekuasaan – dan bercakap tentang pahlawan-pahlawan, bagaimana mahu menyembah mereka, inilah masalahnya, ini juga yang membawa kepada korupsi.]

Menerusi perbincangan ini juga, kita akan melihat kepentingan kaum intelektual dan berilmu menggerakkan masyarakat menuju sedar dan bertanggungjawab. Jika para ilmuan juga bersifat individualistik, maka sudah pasti masyarakat diktator akan terus wujud dan perubahan sosial dan projek pembangunan manusia dan negara akan tergendala.

Masyarakat mesti turut dididik dengan persoalan kedaulatan undang-undang, hak-hak kewarganegaraan dan kesamarataannya, dialog antara kaum dan agama, kebebasan berkeyakinan dan menghormati kaum minoriti. Tanggungjawab pendidikan ini sudah tentu tidak akan berjaya dipikul oleh sebuah pemerintahan yang diktator, justeru para pendidik, ilmuan dan organisasi sosial patut memainkan peranan dalam membentuk masyarakat sivil sama ada menerusi forum, seminar, tetaer jalanan, filem atau apa-apa sahaja mekanisme yang relevan.

Pantulan dan Kesimpulan

Kebebasan merupakan antara syarat dalam merawat masyarakat diktator. Masyarakat mestilah bebas daripada tekanan, paksaan dan campur tangan pihak lain dalam membuat pilihan dan keputusan. Kalau keputusan dan pilihan yang baik belum tentu diperoleh jika kebebasan dikurniakan, keputusan dan pilihan yang tidak baik pasti akan diperoleh jika kebebasan tidak dikurniakan. Tokoh revolusi Perancis, Jean-Jacques Rosseau (1712-1778) yang dikenali sebagai salah seorang intelektual yang berperanan besar dalam masyarakat pada zamannya menulis dalam bukunya bertajuk The Social Contract:

“To renounce liberty is to renounce being a man, to surrender the rights of humanity and even its duties. For him who renounces everything no indemnity is possible. Such a renunciation is incompatible with man’s nature; to remove all liberty from his will is to remove all morality from his acts.”[viii]

[Untuk menolak kebebasan bererti untuk menolak menjadi manusia, menyerahkan hak-hak dan tanggungjawab kemanusiaan. Untuk mereka yang menolak segalanya tiada penebusan yang mungkin. Penolakan sebegitu adalah tidak selari dengan fitrah manusia; untuk membuang segala kebebasan dari kemahuannya beerti membuang segala moral daripada tindakannya.]

Al-Kawakibi sewaktu ditanya mengapakah Allah menguji hamba-hamba-Nya dengan para diktator? Beliau menjawab:

“Sesungguhnya Allah Maha Adil tidak menzalimi seorang pun. Maka seseorang diktator tidak akan menguasai melainkan ke atas golongan diktator. Sekiranya orang yang bertanya itu memandang dengan pandangan orang bijaksana dan mendalam, setiap individu dari kalangan tawanan kediktatoran merupakan diktator terhadap dirinya. Sekiranya dia mampu, dia akan menjadikan isterinya, keluarganya, kabilahnya, kaumnya dan setiap orang, sehinggalah Tuhannya yang menciptakannya, pengikut kepada pandangan dan tindakannya.”[ix]

Masyarakat merupakan himpunan pelbagai jenis manusia, oleh yang demikian jika kita ingin mengubah masyarakat, manusia haruslah menjadi individu pertama yang wajib diubah. Sifat individualistik mestilah digantikan dengan sifat saling cakna dan sedar sementara sifat redha dengan kesusahan dan kezaliman mesti diubah dengan kesungguhan dalam “mengubah takdir”. Segala-galanya bermula dengan diri manusia dalam menjadi manusia yang bernilai dan seterusnya ahli masyarakat sivil dan warganegara yang bertanggungjawab serta demokratik.


[i] Tariq Ramadan, The Quest For Meaning, (London: Penguin Group, 2010) hal. 14
[ii] Dr Muhammad Imarah, Abdul Rahman al-Kawakibi, al-A’mal al-Kamilah, (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2009), hal. 192
[iii] Ibid. Hal. 193
[iv] Ibid. Hal. 212
[v] Ihsan Yilmaz, Beyond Post-Islamism: Transformation of Turkish Islamism Toward ‘Civil Islam’ and Its Potential Influence in The Muslim World h. 260
[vi] Jasser Auda, Bayn al-Syariah wa al-Siasah, (Beirut: Arab Network, 2012)  hal. 38
[viii] Jean-Jacques Rousseau, The Social Contract, terjemahan G.D.H Cole , hal. 7
[ix] Dr Muhammad Imarah, Abdul Rahman al-Kawakibi, al-A’mal al-Kamilah, (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2009), hal. 194

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP