Saturday, 11 May 2013

Persaudaraan Rindu dan Chenta




Rindu dan chenta,
adalah dua yang bersaudara,
menerusi ibu yang berbeda,
bapa yang sama

Alangkah perit menjadi chenta,
andai tanpa wujudnya rindu,
aduhai hati lara berduka,
andai cinta tidak disambut-Mu

Kau yang sentiasa menchenta,
aku pula kadang-kadang sahaja,
tatkala hati menangis mendamba sejahtera,
'kadang-kadang' mula berlagak 'sentiasa'

Menjadi manusia, pertamanya menjadi pendosa
menjadi penchenta, taubat syarat selamanya
rindu merintih berulang-ulang, tawar tanpa air mata
berdoa memohon aman, manis dengan chenta

Chenta adalah kehidupan,
rindu pula sahabat perjalanan,
seperti malam dan kegelapan,
tiada berpisah, apa lagi berjauhan

Chenta dan rindu,
sungguh ia hanyalah satu.

MBH, Irbid,
110513, 11:41

Read more...

Friday, 26 April 2013

Surat Sh. Yusuf al-Qaradhawi kepada DSAI, Hadi, PR dan Rakyat Malaysia




*Surat ini saya terjemahkan daripada link ini, sebarang kekurangan mohon dimaafkan dan jika ada pembetulan, dialu-alukan.

Doha: 20 Rabi' al-Akhir 1434
Bersamaan: 2/03/2013

Saudara-saudaraku tercinta di Malaysia yang dikasihi.

Saudaraku Yang Mulia: Tuan Anwar Ibrahim dan saudara-saudara dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipelihara oleh Allah.

Saudaraku Yang Mulia: Tuan Shaykh Hj. Abdul Hadi bin Hj Awang dan saudara-saudara dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang dipelihara oleh Allah.

Saudara-saudaraku dalam Parti DAP (*pent: disebut dalam surat sebagai Parti Cina)

Aku mengucapkan salam hormat dengan kehormatan Islam, Assalamu’alaykum wa Rahmatullah wa Barakatuh, seterusnya:

Aku mengambil peluang mengucapkan seindah-indah penghormatan, sebaik-baik keselamatan dan seikhlas doa kepada Allah swt untuk memimpin urusan kamu semua, membetulkan kesalahanmu, menguatkanmu untuk menambah dalam melaksanakan kebaikan dan kebenaran, demi kebaikan Islam dan umat Islam amnya, dan demi Malaysia khasnya. Dan supaya Dia memelihara mereka (rakyat) menerusi penjagaan dan perlindungannya, mengurniakan mereka kesejahteraan, membantu mereka dalam pembangunan dan pertumbuhan dan menyebarkan keadilan sosial.

Saudaraku tercinta,

Sesungguhnya Malaysia mempunyai kedudukan yang besar dalam diri kami, penduduknya  sungguh dicintai dalam hati dan perasaan kami, dan Malaysia merupakan harapan kami dalam menunjukkan contoh Islam yang pertengahan (wasatiy), bertamadun, moden dan kontemporari.

Kami mengikuti kebangkitannya sejak ia bermula, kami (juga) mengikuti perkembangan rakyatnya yang datang dari Malaysia ke al-Azhar as-Shareef. Kami sentiasa mengikuti perkembangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), PAS, pembantu-pembantu seruan (dakwah) kepada Islam dan seruan ke arah pembangunan dan kesejahteraan.

Perpecahan yang berlaku dalam Parti UMNO (United Malays National Organisation), kejahatan yang melampau dan dikesali sungguh menyakitkan kami. Ia telah menimpa Tuan Anwar Ibrahim, yang pernah menjadi orang kedua di Malaysia, Timbalan Presiden UMNO  dan Timbalan Perdana Menteri. Kami menghitung di sisi Allah ujian dan pendustaan yang telah menimpanya, yang terbongkar jua (pendustaan) selepas itu. Demikian Allah membenarkan apa yang benar dan membatilkan apa yang batil sekalipun dibenci golongan penjenayah
.
Pada ketika itu, pendirian majoriti rakyat Malaysia menentang kepalsuan yang jelas dan dusta. Antara mereka ialah PAS yang berpegang dengan kebenaran, berdiri bersama Parti Keadilan yang dipimpin isteri Anwar Ibrahim, DAP juga telah bersama-sama kedua-duanya, menentang perbuatan palsu dan segala kebatilan.

Betapa gembira dan lapang dada kami – Islamis di Dunia Arab dan Kesatuan Ulama Islam Sedunia: akan pendirian Barisan Alternatif (BA) yang saling menolong atas perkara kebajikan dan ketaqwaan, dan selama-lamanya tidak bersatu atas dosa dan permusuhan., tegas dalam membina dan tidak meruntuh, bergabung dan tidak berpecah. BA memberi komitmen membantu Anwar Ibrahim, dan menentang orang yang menzaliminya secara dusta dan palsu, hingga Allah membantu kebenaran dan mendedahkan kebatilan kepada semua.

Untuk itu kami sangat gembira dengan barisan ini yang bersatu bersama Anwar Ibrahim, menjadi pembantu kepadanya dalam pendirian-pendiriannya, mampu pula berjalan dengan langkah yang tetap dan manhaj yang lurus untuk merealisasikan objektif-objektif Malaysia yang diberkati, sejak tahun-tahun yang lalu. Dan barisan ini tidak berundur atau meninggalkan pendirian yang satu, berterusan atas kerjasama dan kesatuan, bermesyuarat dan bertolong-tolong sesama mereka. (“Tangan Allah bersama-sama dengan jemaah”) , (“Sesungguhnya Allah merupakan yang ketiga kepada dua orang yang bekerjasama”), (yang demikian) apabila kedua-duanya saling bersatu dan saling membantu. Tetapi apabila berselisih atau berlaku antara mereka apa yang menyelisihi amanah (“syaitan akan berada di antara kedua-duanya”).

Dari sini kami menekankan ke atasmu kepentingan kesatuan dalam Islam. Agama ini hakikatnya agama yang meng-Esa-kan Allah dari sudut akidah dan menyatukan manusia pada tujuan dan amalan. (Dan sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu - agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepada-Ku. – al-Mukminun : 52), untuk itu Tuhan menjadikannya suatu kefardhuan syarak – sebagaimana menurut realitinya, ia sangat penting – berfirman Allah swt (“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai” – Aali 'Imran : 103), (Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. – al-Maidah : 2).

(Seruan untuk bersatu itu ) Sepertimana al-Quran mengancam dengan sesungguh-sungguhnya daripada perpecahan dan perselisihan. Allah swt berfirman menerangkan besarnya kesalahan perpecahan; (“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani ) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.” – Aali 'Imran : 105). Berkata Allah taala menerangkan bahaya di dunia menerusi perpecahan; (“dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu” – al-Anfal : 46) Sabda Nabi saw: “Janganlah kamu berselisih, sesungguhnya orang sebelum kamu telah berselisih lalu menjadi binasa.” (Riwayat al-Bukhari)

Atas sebab kefahaman yang besar ini, Nabi Allah Harun as bersabar atas kaumnya yang menyembah anak lembu, karena takut akan perpecahan yang mencerai-berai mereka. Firman Allah swt menerusi lisan Harun as, yang berkata kepada Nabi Musa as: ("Wahai anak ibuku! Janganlah engkau menarik janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!" – Toha : 94)

Ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi saw di atas (tentang perpecahan) tidak tersembunyi (pent: wajib diambil berat) ke atas kamu semua, demikian pengalaman yang dilalui umat-umat yang terdahulu dan umat Islam, menerusi kesan-kesan kesatuan dan persepakatan, dan akibat-akibat perpecahan dan perselisihan. Kami hanyalah mahu memberi peringatan yang sentiasa bermanfaat kepada orang beriman, firman Allah taala; (“Berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang yang beriman” – adz-Dzariyat : 55). Kami mahu nasihat yang Rasul kami ajarkan ketika baginda bersabda: “Agama itu adalah nasihat. Kami (sahabat) bertanya, kepada siapa wahai Rasulullah? Sabda Nabi saw: Kepada Allah, Rasul-Nya,kitab-Nya, pemimpin-pemimpin dan umatnya.” – (Riwayat Muslim)

Tiadalah di sana seorang Muslim yang terlebih kecil (kelayakan) untuk menasihati saudaranya, dan tiada juga seorang Muslim yang terlebih besar (layaknya) untuk dinasihati.

Kami mengetahui bahawa kejayaan di dunia dan di akhirat tidak sempurna melainkan menerusi saling berpesan dengan kebenaran dan kesabaran, sebagaimana firman Allah:
(“
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” – al-‘Asr : 1-3)

Berdasarkan atas perkara itu, aku menyampaikan kepada kamu semua satu seruan yang ikhlas, terpancar – demi Allah – daripada hati yang mencintai kamu semua, dengan sokongan-sokongan syarak dan akal; teruskan atas apa yang kamu telah lakukan, janganlah kesampingkannya. Bersatulah dan janganlah kamu berselisih, bergabunglah dan jangan kamu bercerai-berai, saling menguatkan dan jangan saling bertentangan. Seorang mukmin dengan mukmin yang lain seperti bangunan, saling menguatkan sesama mereka.

Aku menyeru kamu semua kerana Allah dan kepentingan Islam dan umat Islam, dan kepentingan Malaysia dengan setiap visinya; supaya kamu menjadi barisan yang satu, seperti bangunan yang saling memperkuat, selesaikan kemusykilan antara kamu, saling memahami antara kamu, kamu sedang mewakili masa depan Malaysia yang bersinar.

Aku menasihati kamu supaya memelihara perjanjian dan persetujuan yang telah diputuskan antara kamu, janganlah membatalkannya. Allah swt telah berfirman: (“Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.” – al-Maidah : 1) dan firman-Nya lagi: (“dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.” – al-Israa : 34)

Aku menasihati kamu supaya membincangkan masalah-masalah yang tergantung menerusi badan-badan mesyuarat yang daripada pihak-pihak dalam barisan tersebut (pent: awalnya Sh. merujuk perkataan “al-Jabhah” barisan sebagai BA, tapi pada perenggan ini, dimaksudkan PR). Dalam bermesyuarat itu ada kebaikan, “tidak akan rugi orang yang beristikharah, tidak akan menyesal orang yang bermesyuarat”, demikianlah (sifat) RasuluLlah saw, para sahabat dan orang-orang yang beriman. Firman Allah: (“dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka” – as-Syura : 38) Allah swt memerintahkan nabi-Nya dengan syura: (“dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu” – Aali ‘Imran : 159)

Aku melihat bahawa Anwar Ibrahim menerusi sejarahnya, pengalamannya, kebijaksanaannya, perjuangannya, kesabarannya, kekuatannya dalam bersabar, sejak zaman mudanya hingga ke hari ini. Beliau juga dikasihi rakyat Malaysia daripada dua kelompok – Melayu dan Cina, sangat layak untuk mengepalai kerajaan dan memimpin negara. Beliau merupakan ahli untuk jawatan tersebut, layak untuk menunaikan keperluan-keperluan jawatan itu pada saat yang penting ini, untuk pertumbuhan Malaysia dan membangunkannya pada setiap sudut. Beliaulah yang kamu sepakati sepanjang zaman lepas dan ke atas tiap-tiap pembantu kebenaran (tanggungjawab) untuk membantunya, berdiri di sisinya, sehinggal mereka layak mendapat pertolongan Allah; (“sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya” – al-Hajj : 40)

Sesungguhnya aku bersama-sama saudaraku para ulama, mencintai kamu (rakyat Malaysia) dan mendoakan kepada kamu kemenangan dan pertolongan. Kami menantikan berita-berita gembira dengan mengumpulkan perkataan, menyatukan barisan dan bersatu-padu dengan saudara-mara pada waktu terdekat.

Aku dan saudara-saudaraku berwasiat kepadamu dengan sungguh-sungguh supaya kamu kekal menjadi pasukan yang satu, bersepakat dalam perkataan, mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri dan membenci ke atas orang lain apa yang ia benci ke atas diri sendiri. Segala kebaikan itu untukmu, saudara-saudaramu, negerimu dan tiap-tiap orang yang mencintaimu.  Jangan benarkan perpecahan memasuki barisan kamu, tiadalah di belakang perpecahan itu selain daripada kebinasaan dan kehancuran.

Di belakang kamu, (adanya) umat Islam di Timur dan Barat, daripada negara Arab dan bukan Arab, membantu, memuji dan mendoakanmu. Terdahulu, pertolongan daripada Allah Tabarak wa Ta’ala kepada kamu, pertolongan (ke atas) kamu bersama-sama bantuan-Nya, tawfiq-Nya dan pembelaan-Nya. (“Dan tiadalah kemenangan itu melainkan dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” – al-Anfal : 10)

Allah memberkatimu pada apa yang ada padanya kebaikan, petunjuk dan keberkatan. Bagimu, rakyatmu dan negaramu, pada agamamu dan (urusan) duniamu. Dia mengumpulkan perkataanmu atas petunjuk, meluaskan kepadamu rezekimu, menyelamatkan mereka dari kelaparan dan mengamankan mereka dari ketakutan.

"Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami". (al-Kahfi : 10)

Yusuf al-Qaradhawi,
Pengerusi, Kesatuan Ulama Islam Sedunia

Read more...

Monday, 25 March 2013

Tentang Kehidupan dan Mencari Aman


                Sampai satu saat, kita akan kembali mengulang-ulang soalan-soalan teras dalam hidup ini. Kita akan tertanya-tanya “kenapa kita dicipta Tuhan?”, “apa tanggungjawab kita di sini?” “ke mana kita selepas ini?” dan pelbagai renungan dan persoalan yang berkaitan. Kita akan mengeluh bahawa kita sudah letih hidup; cabarannya, kekurangan, kesedihan, ujian dan sebagainya, tapi kita tidak bisa berundur dan akhirnya kita akur bahawa kita hendaklah terus hidup dan melaksanakan tuntutannya. Tuhan yang menciptakan kehidupan dan kematian untuk menguji siapakah dari kalangan hamba-Nya yang paling baik amalan.[i]

                al-Raghib al-Asfahani dalam kitabnya Mufradat Alfazh al-Quran menyebut bahawa perkataan hayy yang berkait dengan perkataan al-hayah disebut dalam al-Quran dalam pelbagai maksud. Antaranya bermaksud; kekuatan yang bertambah (al-quwwah an-naamiah) yang wujud dalam tumbuh-tumbuhan dan haiwan, juga bermaksud kehidupan akhirat yang abadi, terangkatnya kesedihan dan kehibaan(sebagaimana halnya al-hayah yang dilalui para syuhada’), kadang-kadang dimaksudkan sebagai kehidupan dunyawi dan sebagainya.[ii]

                Dalam bahasa Arab, ada perkataan at-tahiyyah yang bermaksud ucapan doa-doa kebaikan kepada seseorang. Allah swt mengarahkan kepada manusia supaya membalas setiap tahiyyah dengan balasan yang lebih baik, atau setidak-tidaknya sepadan dengan ucapan yang diungkapkan[iii]. Contoh ungkapan doa berbentuk At-tahiyyah ialah “semoga Allah memberikanmu kehidupan”, “Allah memanjangkan umurmu”, ucapan salam dan sebagainya. Sebenarnya kalimah tahiyyah berasal daripada perkataan hayy yang bermaksud hidup[iv], demikian ajaran Islam yang sering memotivasi manusia untuk mendapat kebaikan dalam hidup, lantas sentiasa memberi harapan kepada manusia lain untuk terus hidup.

Kita mencari tahu, supaya kita tahu banyak yang kita tidak tahu.
                Hidup adalah pencarian yang tidak berkesudahan sehingga kita kembali kepada Tuhan. Kita diarahkan untuk mencari yang terbaik dan menjadikan jiwa kita tenang. Al-Quran dalam pelbagai ayatnya menyeru manusia mencapai peringkat terbaik (al-Ahsan) dalam tiap-tiap perbuatan mereka. al-Ahsan bukanlah al-Hasan karena yang diperintahkan Tuhan ialah kebaikan yang tidak diketahui sesiapa apa yang terbaik selain ukuran-Nya semata-mata. Justeru kita tidak diajar untuk sentiasa berpuas hati dengan pencapaian kita dalam beramal, sebaliknya disuruh sentiasa mencari kebaikan yang terbaik dalam segenap sudut. Dalam memilih pandangan dan mengamalkannya, kita diarahkan mendengar dari pelbagai sudut dan pihak lantas memilih yang terbaik setelah dibanding-banding[v].  Diminta melakukan yang terbaik bukanlah bermaksud mengatakan orang lain tidak baik, tapi diarahkan melakukan yang terbaik bermaksud sentiasa merendah diri dengan orang lain sambil belajar membaiki kekurangan kerja buat kita.

                Perjalanan dan perbuatan mencapai al-Ahsan salah satunya menerusi jalan mencela dan memuhasabah kekurangan diri. Dalam surah al-Qiyamah, Allah swt bersumpah dengan jiwa yang sentiasa mencela (an-nafs al-lawwamah)[vi]. Az-Zamakhsyari dalam al-Kasysyaf karangannya menyatakan: “Bahawa yang dimahukan dengan an-nafs al-lawwamah ialah jiwa-jiwa orang beriman. Disifatkan dengan al-lawwamah karena ia sangat banyak mencela pemiliknya (manusia) atas kekurangan dalam ketaqwaan dan ketaatan. Celaan itu dalam istilah lain dikenali sebagai al-muhasabah, celaannya berlaku dengan fikir dan bermonolog dengan diri sendiri. Berkata al-Hasan, tiada dilihat seseorang mukmin melainkan ia akan mencela dirinya atas apa yang telah terluput dan dia menyesali atas kejahatan – kenapa ia melakukannya – dan atas kebaikan – kenapa ia tidak menjadikannya banyak.”[vii]

Syahdan, menghitung diri sendiri dan mengkritik kelemahan sendiri adalah salah satu perjalanan panjang menuju kepada al-Ahsan. Demikian juga apabila orang mencela keburukan dan mengkritik kesilapan dan kekurangan kita, haruslah kita berlapang dada menerimanya sekalipun pahit. Namun begitu sebahagian orang pada hari ini suka mengkritik dan mencela kelemahan orang lain, sebaliknya apabila mereka dikritik atau ditegur, diabaikan teguran lantas menganggapnya sebagai “ujian”, “mehnah” ataupun tidak mengendahkannya lantaran menganggapnya sebagai satu sifat mulia iaitu sebagaimana disebut dalam al-Quran: “mereka tidak takut akan celaan orang yang mencela”[viii]. Kalau perbuatan menghina, mengeji, mengutuk dan mencela yang kontang daripada kritikan konstrukif, maka haruslah ia diabaikan sebagaimana kita tidak terlalu mengambil berat apabila orang memberi pujian kepada kita, adapun jika kritikan dan teguran yang merupakan muhasabah, wajar ke atas kita untuk mengambil berat dan coba membaiki kekurangan sedaya upaya.

Adapun menjadikan sesuatu kritikan sebagai “celaan orang yang mencela” adalah suatu akhlak yang tidak lagi mulia karena tidak diletakkan pada tempat yang sesuai. Ibnu ‘Ashoor dalam Usul an-Nizhom al-Ijtimaie menyatakan: “Sesungguhnya banyak akhlak tidak menjadi terpuji melainkan apabila pemiliknya meletakkan (mengamalkan) pada tempat yang sesuai.”[ix] Beliau kemudiannya memberi contoh konsep tawakkal dan redha dengan al-qadha’ yang asalnya merupakan dua akhlak yang sangat mulia, tapi akhirnya menjadi buruk apabila tidak diamalkan di tempat yang sepatutnya.[x]

Menjalani kehidupan selaku manusia, kita akur bahawa manusia penuh dengan sifat negatif yang mesti sentiasa dibaiki. Al-Quran dalam banyak ayat menyebut insan dengan sifat-sifat yang negatif seperti lemah (dhaif)[xi], berputus asa (ya’us)[xii], zalim lagi kufur[xiii], sangat kedekut (qatu-ra)[xiv] tergesa-gesa[xv], dalam kerugian (lafi khusr)[xvi] dan pelbagai sifat lagi. Dalam masa yang sama al-Quran menggambarkan kaum manusia yang beriman sebagai suatu komuniti (ummah), demikian supaya manusia sentiasa saling menegur, mengkritik dan berpesan sesama mereka dan sentiasa sedar bahawa masing-masing mempunyai tanggungjawab untuk melakukan kebaikan dan melarang daripada keburukan, bertolong-tolong akan kebaikan (lantaran kelemahannnya) dan sebagainya. Namun kehidupan kita pada era materialistik ini, ruh khayr ummah, ummatan wasata dan lain-lain semangat bermasyarakat tidak lagi berperanan baik. Islam seolah-olah hanya berkait soal kuasa, lalu jika disebut soal syumulnya Islam, pasti akan terbayangkan soal kekuasaan. Kita katakan, benar kekuasaan itu penting karena untuk elakkan penyelewengan dan mengangkat keadilan, maka kekuasaan merupakan medannya. Namun demikian lupakah semua bahawa kekuasaan itu dipikul oleh sesebuah komuniti, sementara sesebuah komuniti itu disertai oleh seorang manusia? Pemikiran “Islam-kuasa” seakan-akan telah menggelamkan kunh dan jawhar utama Islam yang tertegak menerusi manusia dan komunitinya. Pemikiran “Islam-kuasa” yang berlebihan telah menyebabkan soal hijab seseorang wanita juga mahu diselesaikan menerusi kekuasaan, demikian juga soal-soal yang lain, lupakah mereka akan konsep khayr ummah dan ummatan wasata yang lebih menekankan komuniti yang aktif dan proaktif? Ketahuilah bahawa ada kemungkaran (seperti korupsi, kezaliman, dsb) yang hanya bisa diselesaikan menerusi kuasa, tapi terlalu banyak kekurangan yang sepatutnya ditangani menerusi semangat komuniti. Itu antara  yang saya faham demi menjawab persoalan “apa tanggungjawab kita?” sebagaimana disebut pada perenggan awal. Adapun untuk menjayakan ruh komuniti yang saling menegur, mengkritik, memuhasabah, membaiki kekurangan dan sebagainya, hanya bisa diaplikasi oleh jiwa-jiwa yang merendah diri dan dijauhi daripada keangkuhan.

Menjadi manusia beriman dan percaya bermaksud mencoba untuk memahami, yaitu memahami bahawa terlalu banyak yang akal kita tidak terdaya (terhad) untuk faham. Al-Quran berterusan mengarahkan kita supaya menimba ilmu supaya peroleh tahu, demikian agar kita sentiasa sedar diri bahawa terlalu banyak yang kita tidak tahu. Oleh itu kekurangan kita untuk faham dan tahu menuntut kita merendah diri belajar dengan sesiapa yang dikurniakan faham dan tahu, sekalipun orang-orang yang sudah berkurun lama meninggalkan kita. Kita bimbang atas apa yang kita tidak tahu, lantas kita mencari ketenangan demi meredakan kebimbangan, ketakutan dan kerunsingan. Saat itu kita hanya bergantung dengan Tuhan, berbekalkan usaha kita menuju kebenaran. Yang menghalang perjalan menuju tenang dalam kehidupan ini hanyalah satu iaitu kibr yang bermaksud keangkuhan. Kita akan terhalang menerima kebenaran apabila kita berada dalam penjara keangkuhan. Kita diperintah Tuhan supaya mengulang-ulang doa hari-harian, yaitu supaya sentiasa dituntun pada jalan yang lurus dalam kehidupan[xvii].

Tuhan tidak mencipta kita dan kehidupan dengan sia-sia, jua Tuhan tidak menciptakan kita kemudian meninggalkan sendirian. Sebaliknya Tuhan mengutuskan para Rasul membawa pesan, sentiasa hadir bersama kita saat susah mahupun senang. Kita dicipta antaranya supaya menyembahnya (liya’budun)[xviii]. Ibnu Katheer dalam tafsirnya membawa pandangan Juraij yang menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan liya’budun ialah liya’rifun (supaya manusia mengenali-Ku)[xix]. Tiadalah kita mengenali-Nya melainkan dengan ilmu, demikian tiadalah kita akan menyembahnya melainkan dengan ilmu. Kita diajar untuk mengenali-Nya supaya kita tahu terlalu banyak yang kita tidak tercapai dek akal untuk mengenali-Nya. Kita tidak akan mengenalinya tanpa mengenali diri sendiri, kita tidak akan mengenang segala kebaikan-Nya tanpa kita merendah diri mengucap terima kasih atas kebaikan orang lain kepada kita.

Demikian beberapa persoalan tentang kehidupan yang kita sedang berletih-letihan. Harus kita tahu dalam keterbatasan pengetahuan kita untuk tahu, mesti kita faham sekalipun akal kita terlalu lemah untuk faham. Semua itu supaya kita tidak akan menyesal satu hari nanti lantas berkata sebagaimana nukilan al-Quran: “Ia akan berkata - alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini)!"[xx] Hidup (al-hayah) yang dimaksudkan dalam ayat tersebut ialah kehidupan abadi, tempat kita akan kembali.



[i] Al-Mulk: 2
[ii] Al-Imam al-Raghib al-Asfahani, Mufradat Alfaazh al-Quran, Maktabah Fayyadh, hal. 190-192
[iii] An-Nisaa’: 86
[iv] Al-Imam al-Raghib al-Asfahani, op. cit, hal. 191
[v] Az-Zumar: 18
[vi] Al-Qiyamah: 2
[vii] Muhammad at-Toher Ibn ‘Ashoor, At-Tahrir wa at-Tanwir, Dar Suhnun, jilid 12, hal. 338. Ibnu ‘Ashoor memetik pandangan az-Zamakshari di atas.
[viii] Al-Maidah: 54
[ix] Muhammad at-Toher Ibn ‘Ashoor, Usul an-Nizham al-Ijtimaie, Dar Suhnun & Dar as-Salam, hal. 67.
[x] Ibid. hal. 67-70
[xi] An-Nisa’: 28
[xii] Hud: 9
[xiii] Ibrahim: 34
[xiv] Al-Isra’: 100
[xv] Al-Anbiya’: 37
[xvi] Al-‘Asr: 2
[xvii] Al-Fatihah: 6
[xviii] Ad-Dzariyat: 56
[xix] Ibnu Katheer, Tafsir al-Quran al-‘Azhim, Darul Manar, jilid empat, hal. 228
[xx] Al-Fajr: 24

Read more...

Tuesday, 25 December 2012

Buat Temanku Penuntut Ilmu

Semasa menziarahi Sh. Dr Sollah al-Khalidi di Amman



(Didedikasi buat teman-teman penuntut ilmu di Irbid khasnya, dan amnya buat semua kaum penuntut ilmu)

Temanku,

Masharakat penuntut ilmu merdeka yang kita impikan
terasa masih jauh dari kenyataan
dadaku ditimpa kepedihan
apabila kita dijurang-jurangkan
jurang itu semakin berjauhan
rasional yang diharapkan
emosional yang menggantikan

Jangan kita ulang cherita bangsa malang
bangsa mengaku berilmu, tapi gaduhnya bukan kepalang
saling mahu dinobat pemilik kebenaran
walhal umat terus dalam kejahilan, kebuntuan
bukankah kita dari rahim yang punya banyak persamaan?

Mari, bina masharakat penuntut ilmu merdeka
jauh dari provokasi dan emosi menebal
persis ilmuan terdahulu, perbedaan sebagai peluang

Kemuncak kemerdekaan,
terpancarnya akhlak mulia
budaya ilmu di sini sana.

Marwan Bukhari,
Irbid, 1151 - 251212

*Puisi ini terinspirasi daripada sebuah puisi oleh Sasterawan Negara, Usman Awang bertajuk Sahabatku (seputar isu Melayu dan Bukan Melayu di Bumi Malaysia

Read more...

Tuesday, 13 November 2012

Komentar: Beberapa Renungan Seputar Isu Nurul

Nurul Izzah Anwar


Dalam komentar ringkas ini, saya tidak mahu melibatkan diri dalam polemik konsep Deen, Sharia, tafsir ayat La Ikraha Fid Deen, tentang sejauh mana kebenaran wujudnya ijmak dalam isu hukuman murtad dan soal bagaimana berinteraksi dengan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi saw seputar isu tersebut. Sebaliknya saya berhajat ingin memberi komentar pendek tentang isu yang kian hangat dalam negara kita, terutamanya setelah dipanaskan oleh media dan para pesaing politik.

1)     Sudah sekian lama politik kita bermasalah besar, apabila para politikus sentiasa bersifat rakus dengan mempolitikkan apa-apa sahaja isu yang menguntungkan pihak mereka dan merebahkan pihak lawan. Tentang kenyataan Nurul Izzah berhubung kebebasan agama, tidak langsung dibincang secara ilmiah, sebaliknya dibincang dengan penuh sentimen kepartian dan diangkat secara besar-besaran sentimen agama dan kaum. Saya sentiasa mengulang kata-kata bahawa, sebaik-baik manusia (politikus) dalam kancah politik kepartian merupakan manusia (rakyat) yang paling hipokrit dalam kalangan masharakat. Kata-kata ini sangat bisa didebatkan, namun saya secara peribadi tidak menolak seratus peratus atau menerimanya seratus peratus.

2)     Media kita juga semakin parah. Media-media juga bijak mencipta masalah dan seterusnya mencadangkan solusi tertentu, sama ada solusi itu dilaungkan oleh mana-mana ahli politik pihak pemerintah, atau menerusi tulisan ilmuan upahan, atau juga menerusi watak-watak tertentu yang diperguna tanpa sedar. Contohnya dalam konteks negara kita, isu-isu perkauman dan sentimen agama akan menjadi hidangan siang dan malam, seterusnya solusinya ialah penggabungan antara dua parti besar kaum Melayu Islam kononnya demi kemaslahatan bersama. Media-media yang asalnya memusuhi kaum ilmuan dan ahli agama, mereka akan memaparkan pandangan-pandangan terpilih ilmuan dan ahli agama tertentu, sebagaimana halnya seorang “Tuan Guru” dari sebuah pondok yang tidak pernah meluas kemunculannya dalam media, tapi diberi perhatian di muka depan setelah mengeluarkan “fatwa” sebuah parti sebagai “Kafir Harbi”!

3)     Dalam isu Nurul Izzah, sebahagian media mengulang-ulang sentimen keagamaan dan perkauman atas alasan Nurul menyeru kepada murtad. Dalam masa yang sama mereka mencadangkan solusi, lantas ditemuramah beberapa pihak yang berupaya menguntungkan mereka, lantas solusi akan wujud. Contohnya dalam isu ini, salah satu solusi penting ialah menamakan Pakatan Rakyat (PR) sebagai parti liberal dan mengancam umat Islam, adapun Nurul yang ber"binti"kan Anwar pula digambarkan sebagai salah seorang politikus murahan yang wajar ditolak dalam pilihanraya akan datang. Demikian tugas media, mencipta masalah dan mencadangkan solusi.

4)     Selain itu, wujud juga media pembangkang yang keterlaluan membela Nurul, lantas satu demi satu serangan dijawab dengan pertahanan dan serangan balas. Ini bahana besar media berorientasikan politik kepartian, akibatnya para ilmuan akan dipinggirkan dan tiada wacana besar-besaran dan objektif dijalankan sebagai penyelesaian. Media-media lebih menyiarkan tulisan-tulisan yang bersifat argumentum ad hominem. Tidak dinafikan wujudnya masharakat sedar yang membincangkan dengan serius menerusi forum dan wacana isu murtad ini, tapi ia bukan anjuran mana-mana media. Bahkan, sebahagian forum dan wacana isu tersebut lebih menjurus kepada perbincangan satu hala dan bukannya dialog atau debat ilmiah antara dua pihak yang berpegang dengan pandangan yang berbeda, juga forum dan wacana tersebut turut dipengaruhi sentimen politik kepartian.

5)     Selain itu, kita turut mempunyai masharakat yang berpenyakit. Masharakat tersebut bergantung dengan media dan ahli politik. Bayangkan, ada masharakat Muslim yang sudah berpuluh tahun hidup, namun tidak pernah berbincang secara serius, ilmiah dan objektif tentang konsep La Ikraha Fid Deen. Tiada seminar dan wacana yang serius, melainkan sedikit. Kalau ada pun, ia tidak diminati dan dihadiri melainkan oleh sejumlah kecil. Malahan itu juga penyakit sejumlah mahasiswa yang merupakan kaum penuntut ilmu, mereka mengikuti perkembangan politik tapi sangat malas menghadiri program ilmu! Lebih memilukan, sesetengah mahasiswa gerakan Islam yang membaca ayat La Ikraha Fid Deen dalam al-Ma’thurat susunan Almarhum Hasan al-Banna tidak langsung berbincang dengan serius tentang maksud ayat itu. Walhal mereka kaum yang siang malam mendakwa sebagai pejuang Islam!

6)     Seterusnya masharakat kita turut terperangkap dengan wacana yang populis dan selektif. Mereka tidak membincangkan sesuatu perkara melainkan setelah menjadi isu politik dan popular di dada-dada akhbar. Contohnya tidak dibincang soal “Kafir harbi” kecuali setelah menjadi isu besar negara, tidak dibincang secara serius soal hudud melainkan menerusi pintu media dan ahli politik. Hal ini juga disebabkan sebahagian penceramah agama (?) yang menggelarkan diri mereka sebagai penceramah bebas sentiasa bercakap soal politik kepartian. Sekalipun mereka mendakwa sebagai penceramah bebas, segelintir mereka tidak langsung bebas daripada ketaksuban politik kepartian dalam ceramah dan kuliah yang diadakan.

7)     Sementara itu, dengan kemunculan pelbagai media baru pada zaman ini telah mengakibatkan kemunculan satu tabiat baru yang sangat tertonjol, iaitu tabiat share dan berkongsi sekalian pautan yang wujud di laman sosial. Blog, facebook, twitter dan pelbagai laman sosial yang turut berperanan sebagai media baru sangat kurang mengamalkan budaya tathabbut dan tabayyun, sebaliknya terus dikongsi dan diulas tanpa mencabar kebenarannya. Contohnya di facebook, penghuninya saling berkongsi apa-apa pautan, petikan kata-kata atau apa-apa gambar tanpa mempersoalkan sumbernya.

8)     Bagaimana dengan institusi dan badan keilmuan? Saya selaku seorang marhaen terperasan sesuatu yang tragis iaitu institusi dan badan keilmuan seolah-olah sudah tenggelam dibawa arus ganas politik kepartian. Politikus yang malas membaca dan hipokrit menguasai perbincangan-perbincangan ilmiah. Saya kira, tragedi ini bukan semata-mata sebuah kesalahan kaum politikus kerana mereka sedang memainkan peranan mereka di kancah politik. Adapun kelompok ilmuan seolah-olah sudah berundur dan tidak lantang memimpin dan mendidik masharakat, melainkan sedikit. Agak sukar mengulas isu ini kerana media merupakan watak utama dalam masharakat sejak dahulu hingga kini. Sedangkan media tidak mengajak masharakat ke arah pendidikan dan berfikir kritis, sebaliknya mempopularkan isu-isu perbalahan politik dan membiarkan “ustaz-ustaz popular” mengambil tempat dalam program-program siaran mereka.

9)     Mengaitkan isu Nurul dan tanggungjawab gerakan keilmuan sungguh sulit kerana pintu politik ialah “pintu keuntungan dan kepentingan”. Tidak dapat tidak, gerakan keilmuan dan para pendokongnya wajar turut merespon dan mengadakan wacana ilmiah serius tentang La Ikraha Fid Deen dengan menampilkan para ilmuan yang berbeda latar belakang dan pandangan, sekalipun seolah-olah mereka terperangkap dengan wacana populis dan selektif.

10) Akhirnya ialah persoalan di mana mahasiswa dan gerakannya? Saya tertanya-tanya apakah peranan mereka selain melakukan demonstrasi bulanan, mengadakan seminar dan forum tentang cinta serta menghabiskan masa di laman-laman sosial semata-mata. Mahasiswa merupakan kaum yang sinonim dengan ilmu, bahkan mereka sememangnya kaum yang membudayakan ilmu selaku penuntutnya. Suatu masalah yang besar jika pemimpin mahasiswa juga pasif, malas membaca dan terikat dengan politik kepartian. Sama ada mahasiswa dalam negara mahupun luar negara, saya tidak pasti di mana peranan mereka dan sejauh mana mereka bisa menonjolkan diri selaku salah satu pemberi solusi dan pendidik masharakat dalam pelbagai isu yang melanda, termasuk isu Nurul yang sedang panas. Tanpa menafikan kebaikan dalam menjaga ehwal kebajikan kaum mahasiswa mereka, tidakkah wujud kesedaran bahawa mereka selaku mahasiswa juga menanggung amanah ilmu untuk mendidik masharakat? Saya gagal memahami apa yang wujud dalam kepala segelintir pemimpin mahasiswa. Barangkali ini bala apabila masharakat penuntut ilmu melantik orang yang tidak konsisten membudayakan ilmu sebagai pemimpin mereka

11) Sekadar itu pandangan saya, seperti telah dijelaskan di atas, komentar ini tidak berniat membincangkan soal tafsir ayat La Ikraha Fid Deen ataupun hukum-hukum seputarnya, sebaliknya sebuah komentar yang mengajak para pembaca merenung beberapa perkara di sebalik isu yang berlaku. Karena perkara-perkara tersebut sentiasa berulang dan terus berulang, sementara watak-wataknya ialah pihak-pihal yang disebut di atas.

Wallahua'lam,
Marwan Bukhari A. Hamid, Irbid.

Baca juga: Saat Kritikal Untuk Berfikiran Kritikal

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP