Thursday, 5 December 2013

Tafsir al-Ikhlas, Seruan Pembebasan dan Kemanusiaan.

Surah al-Ikhlas membawa tema penting iaitu pembebasan dan kemanusiaan.

                Salah satu kandungan utama ajaran Islam ialah konsep keesaan Tuhan atau lebih dikenali dengan perkataan tauhid. Suatu yang diketahui umum bahawa tauhid merupakan asas yang maha penting dalam wacana agama Islam, hal tersebut jelas dalam seluruh teks Islam. Sebagai contoh, terlalu banyak ayat dalam al-Quran yang mengulang-ulang perihal keesaan  Tuhan di pelbagai tempat yang berbeza.

                Latar belakang surah al-Ikhlas

                Selain dalam pelbagai ayat yang berbeza, persoalan tauhid turut dibincangkan khusus dalam sebuah surah yang dinamakan al-Ikhlas. Surah pendek ini dinamakan al-Ikhlas sekalipun tiada walau satu perkataan  al-Ikhlas dan perkataan-perkataan berkait dengan huruf kha-la-sa seperti akh-la-sa, khalis, mukhlis (dan sebagainya) disebut di dalamnya. Apakah rahsianya? Imam al-Raghib al-Asfahani yang merupakan sarjana tafsir dan falsafah yang terkenal dalam dunia keilmuan Islam silam telah menyatakan bahawa perkataan kha-la-sa  yang merupakan asal perkataan al-Ikhlas bermaksud al-Safi sesuatu yang suci, bebas dan murni daripada hal-hal lain. Menurutnya, yang membezakan al-Khalis dan al-Safi ialah al-Khalis merupakan sesuatu yang menjadi suci setelah sebelumnya bercampur dengan sesuatu perkara lain, adapun al-Safi pula boleh dimaksudkan sebagai sesuatu yang sedari awal tidak bercampur dengan apa-apa. Oleh itu al-Asfahani menyatakan hakikat al-Ikhlas ialah ‘berlepas diri daripada segala perkara selain daripada Allah’.[i]

                Imam Muhammad al-Tahir Ibn Ashur menyebut bahawa antara nama surah al-Ikhlas dalam kitab al-Itqan fi Ulum al-Quran karangan Imam al-Suyuthi  ialah “surah al-Asas” kerana ia mengandungi soal keesaan Allah dan keesaan Allah pula merupakan asas Islam. demikian juga pelbagai nama lain seperti surah al-Samad (nama Allah yang disebut dalam surah al-Ikhlas), al-Tauhid, al-Najah (bermaksud kejayaan, kerana tauhid menjadikan seseorang berjaya bebas daripada kekufuran di dunia dan bebas daripada neraka di akhirat)dan beberapa nama lagi[ii].

                Menurut Ibn Ashur, antara tujuan-tujuan daripada surah ini ialah “menetapkan keesaan Allah swt, bahawa manusia sangat berhajat kepada Allah semasa ia sedang ditimpa kesusahan, membatalkan tuduhan bahawa ada Tuhan mempunyai anak dan diperanak”.[iii]

                Sayyid Qutb dalam karangannya bertajuk Fi Zilal al-Quran menyatakan konsep keesaan Tuhan sebagaimana dijelaskan dalam surah ini merupakan “keyakinan untuk nurani, penjelasan kepada kewujudan Tuhan, manhaj untuk kehidupan dan surah ini mengandungi garis-garis yang pokok dalam hakikat besar Islam.”[iv]

Dalam riwayat-riwayat hadis yang sahih, surah al-Ikhlas dinyatakan sebagai menyamai satu pertiga al-Quran. Sabda Nabi saw: “Demi Dia yang jiwaku di tangan-Nya, sesungguhnya ia menyamai satu pertiga al-Quran.”[v] Muhammad Abduh mengulas bahawa perihal fadhilat yang besar akan surah ini bukanlah suatu yang ganjil kerana sesiapa yang mengetahui erti surah ini dengan sebenar-benar pengetahuan dan memahaminya dengan sebenar-benarnya, tiada lagi selepas pengetahuannya tentang al-Tauhid dan al-Tanzih (Tuhan itu suci daripada segala kekurangan) selain pengajaran seterusnya merupakan penjelasan tentang apa yang dia sudah tahu dan syarah akan apa yang dia sudah peroleh.[vi]

Demikian berdasarkan beberapa petikan daripada para sarjana di atas, kita fahami bahawa persoalan keesaan Tuhan dan mengenali Tuhan dengan sebenar-benar pengetahuan merupakan antara tujuan diturunkan agama dan diutuskan para rasul. Akal manusia mungkin boleh berimaginasi dalam banyak perkara, selain mencapai pengetahuan yang baik dalam membina teknologi, namun untuk mengenali Tuhan dan mengetahui perkara-perkara ghaib seperti alam selepas kematian, manusia sangat lemah dan berhajat kepada pembimbing. Oleh itu diturunkan agama Islam sebagai panduan zaman berzaman dan diutuskan para rasul untuk mendidik manusia tentang tauhid sebagai satu asas terpenting sistem kehidupan, seterusnya setelah difahami dan dihayati dengan teguh sistem itu, manusia diperintahkan untuk membangunkan bumi dengan kebaikan dan keadilan.

Sebab turunnya ayat ini menurut para ilmuan tafsir ialah berdasarkan soalan daripada kaum musyrikin kepada Rasulullah saw supaya baginda saw menceritakan kepada mereka tentang Allah swt. Lalu Allah swt menurunkan: “Katakanlah Dia ialah Allah yang esa, sehingga akhir surah.”[vii]
Tauhid Sebagai Salah Satu Maqasid al-Quran
Justeru para sarjana Islam yang menulis dan mengulas tentang Maqasid al-Quran, salah satu yang disenarai dan berada di kedudukan teratas ialah mengenai keesaan Tuhan. Al-Ustaz al-Imam Muhammad Abduh menyatakan bahawa maqasid al-Quran ada lima semuanya, salah satu dan yang pertama menurut beliau ialah al-Tauhid, selain al-wa’d wa al-wa’id (janji ganjaran baik kepada orang yang mentaati perintah Tuhan dan ancaman buruk kepada orang yang melanggar perintah Tuhan ), al-Ibadah, Bayan Sabil al-Sa’adah (menerangkan jalan kebahagiaan) dan al-Akhbar wa al-Qasas (Kisah kaum-kaum terdahulu)[viii]. Menurut Muhammad Abduh lagi, al-Tauhid merupakan kandungan agama paling penting dan agama diturunkan demi mencapai tujuan agung tersebut. Ia menolak akar syirik dan penyembahan berhala yang sebelum itu merebak dalam banyak kaum dan bangsa hingga diambil pembantu-pembantu selain daripada Allah dan mereka (yang syirik) berdoa dan meminta kepada selain Allah swt.[ix]
Selain Muhammad Abduh, para sarjana Islam lain yang melakukan kajian terhadap maqasid al-Quran juga menyatakan bahawa al-Quran mengangkat persoalan keesaan Tuhan sebagai perkara paling pokok dalam ajarannya. Sebagai contoh Rashid Redha semasa membahaskan mengenai maqasid al-Quran (menurutnya, maqasid al-Quran ada sepuluh) dalam karangan terkenalnya al-Wahy al-Muhammadi (juga dalam tafsir al-Manar-nya) menyatakan bahawa salah satu maqasid al-Quran ialah melakukan perobahan keagamaan berdasarkan tiga rukun utama iaitu salah satunya, keimanan dengan Allah taala.[x] Keimanan kepada Allah merupakan rukun pertama yang terbesar daripada tiga rukun dalam maqasid al-Quran yang pertama iaitu al-Islah al-Dini (Perubahan keagamaan). Disebabkan itu, didapati perkara paling banyak diulang-ulang dalam al-Quran ialah persoalan keesaan Allah.[xi]
Muhammad al-Ghazali dalam bukunya bertajuk al-Mahawir al-Khamsah Li al-Quran al-Karim, iaitu sebuah buku yang menulis tentang lima paksi utama yang terkandung dalam al-Quran. Paksi yang pertama menurut beliau ialah Allah al-Wahid (Allah yang Esa) yang merupakan mesej terpenting al-Quran.[xii] Kaum dan manusia sebelum ini mengenali Tuhan dengan pengetahuan yang kurang dan cacar, lalu mereka menyembah Tuhan lain selain Allah, walhal Tuhan yang disembah itu hasil ciptaan tangan mereka sendiri. Lantas diutuskan para Rasul untuk membetulkan kesesatan tersebut dan manusia diseru supaya kembali kepada Allah yang Esa.
Selain itu, Yusuf al-Qaradhawi dan Taha Jabir al-‘Alwani antara sarjana yang turut mengulas mengenai maqasid tertinggi al-Quran dan kedua-duanya memasukkan keesaan Tuhan sebagai salah satu tujuan besar yang mahu dicapai al-Quran. Al-Qaradhawi berpandangan, maqasid al-Quran ada tujuh semuanya, salah satunya ialah Tashih al-‘Aqa’id wa al-Tasawwurat (Membetulkan Kepercayaan dan Tasawwur). Dalam maqasid yang pertama ini, diletakkan tiga unsur dan salah satunya ialah mengukuhkan doktrin Tauhid. Al-Qaradhawi menyatakan:
“al-Quran menyatakan syirik sebagai jenayah terbesar yang dilakukan makhluk (al-Nisa’:48). Yang demikian kerana pada syirik itu merupakan kezaliman akan hakikat, pemalsuan akan realiti dan menurunkan manusia daripada martabat ketua kepada alam – sebagaimana Allah mahukan – kepada martabat menjadi hamba dan tunduk kepada sekalian makhluk, sama ada makhluk yang keras, tumbuh-tumbuhan, haiwan, manusia atau lain-lain.”[xiii]
Adapun Taha Jabir al-Alwani menyatakan maqasid al-Quran yang tertinggi dan mentadbir seluruh kandungan al-Quran yang lain ialah al-Tauhid, al-Tazkiyah dan al-‘Umran. Dr Fathi al-Malkawi telah melakukan kajian lanjut mengenai tiga maqasid menurut pandangan al-‘Alwani tersebut dalam sebuah buku bertajuk Manzumah al-Qiyam al-‘Ulya: al-Tauhid wa al-Tazkiyah wa al-‘Umran dan dalam satu konsep Tauhid sememangnya teras paling utama menurut al-Alwani dan diulas lanjut oleh Fathi al-Malkawi dalam bukunya tersebut. Menurutnya: “Tiada ertinya agama tanpa mengesakan Allah Yang Maha Mencipta, dan penyucian (al-Tazkiyah) diri manusia pula untuk memperkuat manusia untuk memikul amanah pentadbir di muka bumi, menguruskan dunia dan membina tamadun.”[xiv]
Demikian sebahagian sarjana Islam yang telah melakukan kajian dan renungan terhadap al-Quran, lalu mereka mengeluarkan apa yang mereka nyata sebagai maqasid al-Quran, iaitu tujuan-tujuan yang mahu dicapai oleh al-Quran menerusi seluruh ayat di dalamnya. Mereka mungkin berbeza dengan bilangan maqasid, hakikatnya maqasid yang dikeluarkan saling memperkukuh dan memperkuat antara sama lain, bahkan secara umumnya semua menyebut perkara yang sama, menerusi ungkapan yang berbeza. Namun demikian, semua sarjana di atas (bahkan seluruh ilmuan Islam) bersetuju bahawa al-Tauhid merupakan mesej utama yang disampaikan oleh al-Quran dan juga merupakan tujuan diutuskan para rasul.
al-Tauhid sebagai slogan pembebasan
Ayat pertama dalam surah al-Ikhlas menyebut: “Katakanlah wahai Muhammad, Dia Allah Yang Maha Esa.” Ayat yang sangat pendek ini mengandungi slogan yang sangat besar iaitu menolak perhambaan, kediktatoran, pembodohan, kerendahan dan segala hal yang bercanggah dengan keesaan Tuhan. Konsep keesaan Tuhan secara langsung menonjolkan falsafah kemuliaan insan. Manusia disuruh supaya mengesakan Tuhan dan meninggalkan apa-apa yang merendahkan nilai manusia daripada mulia kepada hina, manusia diseru supaya membebaskan diri mereka daripada khayalan dan penipuan dunia, lalu menghambakan diri kepada satu-satunya Pencipta.
Disebabkan hanya Allah swt sahaja yang Esa dan disembah, maka tiada erti segala bentuk penyembahan yang lain, sama ada penyembahan bukit-bukau, berhala, manusia, bahkan menolak penyembahan diri manusia sendiri. Konsep al-Tauhid menolak pembodohan, maka ia menimbulkan pertanyaan yang penting mengenai alam dan kehidupan seperti terlihat dalam pelbagai ayat al-Quran. Muhammad al-Ghazali meletakkan al-Kawnal-Daal ‘ala Khaliqih (Alam yang menjadi petunjuk Dia selaku Pencipta) sebagai paksi kedua daripada lima paksi utama al-Quran.[xv] Bererti, apabila bercakap tentang Tuhan dan kekuasaannya ialah bercakap soal alam dan seluruh kandungannya. Ia soal kajian, renungan, fikiran, bukannya ikut-ikutan (taqlid) secara buta, terima tanpa soal dan beritual tanpa berfikir. Apabila ayat-ayat tentang Ulul Albab (lihat contohnya 2:269, 3:7, 13:19, 38:29, 39:18 dan 3:190) yang merupakan salah satu gelar kepada golongan cerdik pandai dalam al-Quran disebut, ia berkait dengan persoalan alam semesta, sifat-sifat manusia dan juga hukum-hakam agama. Bermaksud, berTuhan hakikatnya ialah sebuah praktis berfikir dan merenung, demi menuju sebuah kebenaran yang agung.
Manusia harus tahu apa yang dilakukan dan mempunyai alasan dan hujah di sebalik setiap tindakan mereka. Sebahagian manusia (terutamanya Muslim) mungkin sudah berasa berjaya membebaskan diri daripada perhambaan dalam erti kata berhala, bukit-bukau dan sebagainya, namun tanpa sedar manusia boleh terjebak dengan penyembahan harta benda dan diperhamba sistem dan manusia tertentu. Sebahagian manusia mengejar kekayaan, pangkat dan kemasyhuran sehingga mengabaikan amanah besar menjadi manusia seperti berbuat baik kepada manusia lain dan menegakkan keadilan dan kebaikan di mana sahaja berada.
                Hal yang paling penting dalam konsep Tauhid sebagai sebuah slogan pembebasan ini ialah manusia harus berhati-hati dengan bahaya diri sendiri. Seringkali kita diperingat supaya berhati-hati dengan bahaya dari luar, namun realitinya diri sendiri turut wajar kita waspadai. Disebabkan itu terdapat ayat yang menceritakan perihal manusia yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan (lihat 45:23) hingga tertutup telinga dan matanya serta tidak mengakui kebenaran yang telah dibentangkan. Adakala manusia menolak untuk melakukan sesuatu kebaikan hanya kerana ia dicadangkan atau dilakukan oleh insan atau kumpulan yang tidak disukainya, lalu tanpa hujah, telinga dan matanya buta daripada melihat perbuatan baik sebagai ‘baik’. Menjadi seorang Muslim yang mengesakan Tuhan sebagaimana terdapat pada ayat pertama surah al-Ikhlas itu hakikatnya menjadi seorang yang sentiasa mendisiplinkan diri dalam menundukkan ego
Tokoh sufi terkenal, al-Imam al-Qushayri dalam bukunya bertajuk al-Risalah al-Qushayriyyah telah meletakkan satu tajuk al-Hurriyyah (Kebebasan) dalam bukunya itu. Selain mendefinisikan kebebasan sebenar ialah bebas daripada sebarang perhambaan dan tiada apa-apa dalam hati manusia selain Allah, al-Qushayri menulis bahawa kebanyakan kebebasan itu ada pada berkhidmat kepada orang faqir.[xvi] Demikian, kebebasan yang sebenar itu ialah diri yang bebas daripada segala hal dalam dunia yang sementara dan bebas daripada penjara ego sendiri, dan jika menurut al-Qushayri, ia ada pada berkhidmat dan berbuat baik kepada golongan yang memerlukan. Oleh itu, pertanyaan tentang kualiti spiritual kita, terjawab pada sejauh mana kita membantu orang yang sedang dalam kesusahan.
Tidak beranak, diperanak dan tiada yang setara dengan-Nya
Pada ayat ketiga dan keempat dalam surah al-Ikhlas, perbincangan tentang kesempurnaan dan keagungan Tuhan yang tiada apa-apa yang serupa dengan-Nya. Al-Quran menyelar sikap sesetengah ahlul Kitab yang telah menciptakan pendustaan apabila menyatakan Tuhan mempunyai anak, selain itu khayalan salah sesetengah penganut dan pendokong agama tentang Tuhan berlangsung zaman berzaman. Lalu dalam sebuah surah kecil ini, ia turut menyentuh persoalan ini, demi merealisasikan salah satu maqasid al-Quran yang menegakkan konsep Tauhid yang benar.
Selain perbincangan menolak doktrin salah tentang ketuhanan, ia juga hakikatnya sebuah perbincangan tentang penolakan terhadap sebarang perbuatan ta’lih iaitu mempertuhan sesiapa sahaja termasuk ahli agama dan penguasa. Sebagai contoh dalam surah al-Taubah (9:31) Allah swt menyebut perihal sebahagian ahlu al-Kitab yang menjadikan pendeta dan ahli agama mereka sebagai sebahan selain daripada Allah. ‘Adi Ibn Hatim ra (ketika itu, beliau masih belum memeluk Islam dan beragama Nasrani) ketika mendengar ayat tersebut dibacakan telah menafikan bahawa mereka menyembah para pendeta dan ahli agama. Lalu Nabi saw menyebut bahawa mereka telah menjadikan para pendeta dan ahli agama sebagai Tuhan apabila dengan penuh wewenang apabila para ahli agama menghalalkan perkara haram dan mengharamkan perkara halal tanpa hujah yang benar, lalu para penganut agama menuruti tanpa soal, itu juga salah satu bentuk penyembahan.[xvii]
Oleh yang demikian, berdasarkan hal di atas, beberapa sarjana terkemuka termasuk Yusuf al-Qaradawi begitu tegas dengan soal halal dan haram, khasnya apabila segelintir pihak begitu mudah mengharamkan itu dan ini seperti mengharamkan nyanyian, muzik dan banyak perkara lain khasnya isu-isu baharu dan kontemporari yang kebanyakannya berada di bawah bab al-mu’amalat. Menurutnya: “tiada pendeta atau ahli agama, tiada pemerintah atau penguasa memiliki kuasa untuk mengharamkan sesuatu dengan pengharaman yang kekal ke atas hamba Allah. Sesiapa yang melakukannya, ia telah melampaui batasannya dan melanggar hak ketuhanan dalam meletakkan syariat kepada manusia.”[xviii]
Selain itu, ayat ketiga dan keempat tersebut menegaskan penolakan terhadap kekuasaan selain daripada Tuhan. Khurafat dan kepercayaan karut seperti tangkal dan sebagainya ditolak, kerana keesaan Tuhan selain menolak khayalan Tuhan itu beranak atau diperanak, ia membebaskan akal manusia daripada kekarutan, hingga menjadi lemah dan tunduk kepada perkara khurafat kerana segala apa selain Tuhan ialah makhluk dan semua makhluk itu bersifat sementara dan lemah.
Pemikiran ini juga terpakai apabila manusia berhadapan dengan penguasa yang zalim dan jahat. Dalam al-Quran, kisah pemimpin diktator, zalim dan menindas diulang-ulang di banyak ayat yang berbeza. Sebahagian manusia berasa lemah dan mengambil keputusan untuk menyerah dan ‘bersabar’ atas penindasan yang sedang dihadapi. Walhal, konsep Tauhid yang diajar Islam menyeru kepada mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada memperhamba diri kepada Tuhan manusia, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, dan daripada kezaliman atas nama agama kepada keadilan Islam. Pemikiran Tauhid menyeru kepada setiap manusia ialah sama di sisi Allah, kecuali yang paling bertaqwa kepada-Nya. Pemikiran berteraskan kasta ditolak keras kerana ia bercanggah dengan kesamarataan atas dasar Tauhid, demikian juga berdasarkan pemikiran Tauhid, dalam sesebuah negara undang-undang yang dipakai antara orang miskin dan orang kaya, rakyat dan pemerintah adalah sama. Kerana Tuhan itu tidak beranak dan diperanak dan Tuhan itu tiada yang setara dengan-Nya.
Kepada al-Samad kita bergantung harap
Dalam ayat kedua surah al-Ikhlas, Allah swt memperkenalkan dirinya sebagai al-Samad. Menurut al-Asfahani, al-Samad ialah Tuan yang menjadi tujuan oleh setiap yang berhajat dalam sesuatu urusan.[xix] Al-Samad menurut Ibn Ashur ialah setiap yang selain daripada-Nya berhajat kepada-Nya.[xx] Nama al-Samad yang amat indah ini hanya disebut dalam surah yang bernilai satu pertiga al-Quran ini, tiada dalam ayat-ayat yang lain. Sayyid Qutb semasa mengulas tentang al-Samad telah berkata:
“Erti al-Samad menurut bahasa ialah Tuan yang menjadi tujuan di mana tidak berlaku sesuatu urusan melainkan dengan izin-Nya. Allah swt ialah Tuan yang tiada tuan selain-Nya, Dia itu Esa dalam ketuhanannya dan seluruh perkara merupakan hamba kepada-Nya. Dia merupakan satu-satu yang menjadi tujuan setiap hajat, satu-satunya yang menjawab permintaan orang yang memerlukan. Dia lah yang melakukan setiap perkara dengan izin-Nya, tiada sesiapa boleh menjadikan sesuatu perkara berlaku bersama-sama-Nya. Sifat ini adalah bermula dengan hal-Nya yang Maha Esa.”[xxi]
Begitu indah dan mendalam sekali maksud nama Allah al-Samad ini,hakikatnya setiap manusia sentiasa berinteraksi dengan al-Samad. Dalam kehidupan, manusia akan berhadapan dengan kesukaran dan kadang-kadang seperti sudah tiada jalan keluar, maka manusia mengadu memanggil nama Tuhannya, memohon kemudahan. Al-Samad itu sentiasa hadir dalam hidup kita sama ada ketika kita senang atau susah, siang atau malam. Adapun (kebanyakan) kita, memilih untuk meminta dan mengadu kepada al-Samad hanya ketika sedang ditimpa susah.
Ketika kita kabur dengan jalan di hadapan, al-Samad lah yang memimpin menuntun kita sampai ke destinasi yang dimahukan. Ketika kita sendiri meragui kemampuan kita berhadapan dan menyelesaikan sesuatu masalah, al-Samad berbicara: “Allah tidak membebankan seseorang melainkan kadar kemampuannya” (3:286). Ketika kita berasa sedang sendirian dan tidak punya teman untuk dikongsi duka dan lara, al-Samad berkata: “dan Dia bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada” (57:4). Sebahagian manusia awalnya sombong untuk mengingati al-Samad, tetapi sampai satu masa manusia itu akan terduduk tidak terkata apabila ditimpa sesuatu musibah, lalu selepas peristiwa itu manusia itu mula berkenalan dengan al-Samad.
Di samping itu, nama Allah al-Samad ini mengajar kita sesuatu, iaitu mencontohi sifat Allah yang mulia ini dengan sentiasa ringan tulang membantu sesiapa sahaja yang memerlukan. Bertanya tentang sejauh mana kualiti keimanan kita terjawab dengan sejauh mana kita membantu orang yang memerlukan. Bertanya tentang di mana Tuhan di hati kita ialah bertanya tentang di mana orang miskin dan golongan yang ditindas di fikiran kita. Inilah persoalan keesaan Tuhan dan hakikat keimanan yang ditampilkan menerusi surah pendek ini, ia berkait dengan penghayatan akan nilai besar dalam bertuhan, iaitu sejauh mana kita serius mahu menyumbang kepada manusia dan kemanusiaan?



[i] Al-Raghib al-Asfahani, Mufradat Alfazh al-Quran, suntingan Mustafa bin al-Adawi, cetakan pertama. (Mansoura: Maktabah Fayyadh, 2009) hlm. 210.
[ii] Muhammad al-Tahir Ibn Ashur, al-Tahrir wa al-Tanwir (Tunisia: Dar Suhnun) jilid 12, hlm. 609-610
[iii] Ibid, hlm. 612.
[iv] Sayyid Qutb, Fi Zilal al-Quran cetakn ke-34 (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2004) jilid 6, hlm. 4002.
[v] Al-Bukhari
[vi] Muhammad Abduh dalam tafsir Juzuk Ammanya, dipetik dalam al-A’mal al-Kamilah Li al-Imam al-Shaykh Muhammad Abduh, tahqiq oleh Muhammad Imarah, cetakan pertama (Kaherah: Dar al-Shuruq, 1993) hlm. 535-536.
[vii] Al-Suyuthi, Asbab al-Nuzul, tahqiq Muhammad Salah, cetakan pertama (Kaherah: Maktabah al-Rahhab, 2007) hlm. 247, Ibnu Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim (Kaherah: Dar al-Manar, 2002) jilid 4, hlm. 553
[viii] Muhammad Rashid Redha, Tafsir al-Manar (Tafsir al-Quran al-Hakim), cetakan kedua. (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah, 2005) jilid 1, hlm. 34.
[ix] Ibid, jilid 1 hlm. 35.
[x] Ibid, jilid 11, hlm. 187.
[xi] Ibid, jilid 11, hlm. 187-188
[xii] Muhammad al-Ghazali, al-Mahawir al-Khamsah Li al-Quran al-Karim, cetakan keempat (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2010) hlm. 21.
[xiii] Al-Qaradhawi, Kayf Nata’amal Ma’a al-Quran, cetakan kelapan (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2011) hlm. 73-74
[xiv] Fathi Hasan al-Malkawi, Manzumah al-Qiyam al-‘Ulya: al-Tauhid wa al-Tazkiyah wa al-‘Umran, cetakan pertama (Herndon: International Institute of Islamic Thought), hlm. 23.
[xv] Muhammad al-Ghazali, al-Mahawir al-Khamsah Li al-Quran al-Karim, cetakan keempat (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2010) hlm. 21.
[xvi] Al-Qushayri, Abu al-Qasim, al-Risalah al-Qushayriyyah, cetakan keempat (Kaherah: Dar al-Salam, 2010) hlm. 120-121.
[xvii] Ibnu Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim (Kaherah: Dar al-Manar, 2002) jilid 2, hlm. 348
[xviii] Al-Qaradhawi, al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, cetakan ke-29 (Kaherah: Wahbah, 2007) hlm. 23-24
[xix] Al-Raghib al-Asfahani, Mufradat Alfazh al-Quran, suntingan Mustafa bin al-Adawi, cetakan pertama. (Mansoura: Maktabah Fayyadh, 2009) hlm. 368.
[xx] Muhammad al-Tahir Ibn Ashur, al-Tahrir wa al-Tanwir (Tunisia: Dar Suhnun) jilid 12, hlm. 617.
[xxi] Sayyid Qutb, Fi Zilal al-Quran cetakn ke-34 (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2004) jilid 6, hlm. 4004.

Read more...

Wednesday, 4 September 2013

Gambaran Awal Konflik di Tunisia

Tunisia.

1) Kewujudan kumpulan radikal salafi dan kumpulan Hizbut Tahrir yang sering mengganggu pemerintahan kerajaan Tunisia. Mereka dahulunya diam di bawah pemerintahan Ben Ali, tetapi setelah revolusi, tiada mereka diam dan taat akan pemerintah, sebaliknya melaungkan seruan yang bercanggah dengan perlembagaan dan semangat demokrasi. Mereka bercakap tentang shariah dalam bahasa yang sempit hingga mengganggu ketenteraman awam. Dilaporkan mereka menguasai sebahagian masjid di Tunisia dan berterusan menyampaikan seruan mereka, bahkan hingga menyeru kepada 'jihad'. Dalam satu siaran televisyen, tokoh en-Nahda bernama Shaykh Abdul Fattah Moro pernah berdebat dengan salah seorang tokoh mereka dan mengkritik keras sikap mereka yang mengkafirkan pihak yang tidak sebulu dengan mereka.

2) Hal di atas menyebabkan kumpulan sekular dan liberal yang punya hubungan dengan en-Nahda sangat terganggu dengan sikap ekstrem dan literal aliran 'salafi' (?) tersebut. Saya perasan, sehingga melahirkan sikap Islamofobia dan ketakutan terhadap agama dek karena kefahaman sempit aliran-aliran tersebut. Lebih-lebih lagi dua orang tokoh dari parti sekular telah dibunuh sebelum ini, sebahagian pihak menganggap hal tersebut merupakan tindakan aliran literal yang disebut di atas. Pemimpin pembangkang, Mohamed Brahmi telah ditembak pada Jun 2013, sementara pada Februari sebelum itu, Chokri Belaid telah terbunuh hingga mencetuskan demonstrasi lalu memaksa Perdana Menteri - Hamadi Jebali - pada masa itu meletak jawatan. Hamadi digantikan oleh Ali Larayedh.

3) Berikutan isu-isu melibatkan kumpulan beraliran literal di atas, sebilangan rakyat menyeru supaya kerajaan bersikap lebih tegas dengan aliran salafi dan Hizbut Tahrir. Pada tahun pertama pemerintahannya, Kerajaan Tunisia telah membenarkan kumpulan-kumpulan salafi dan Hizbut Tahrir bergerak secara sah sebagai parti politik. Hal tersebut mungkin tidak disenangi segelintir pihak yang menganggap kewujudan mereka mengganggu keharmonian Tunisia, namun saya berpandangan, dalam dunia demokrasi, sebuah negara sekular haruslah membenarkan parti politik berjenama Islam bergerak secara sah, sebagaimana sesebuah negara Islam wajar membenarkan parti beraliran sekular bergerak sah.

4) Ghannouchi yang dinobat sebagai salah seorang ideolog yang serius dengan demokrasi dan pembaharuan wacana politik Islam turut berhadapan dengan aliran 'kaum muda' dan 'kaum tua'. En-Nahda sekalipun kelihatan berwajah progresif sedari awal kemunculan mereka pasca-revolusi, masih tidak konsisten dengan identiti sebuah gerakan Islamis yang moderat. Hal ini adalah kebiasaan dalam mana-mana gerakan, tidak terkecuali en-Nahda. Keadaan tersebut menjejaskan persepsi parti-parti lain terhadap en-Nahda karena dibimbangi wacana aliran konservatif akan mengganggu konsistensi sifat moderat dan demokrat yang cuba ditonjolkan en-Nahda dan tokoh utamanya, Ghannouchi.

5) Konflik di Tunisia masih berlangsung hangat, hingga timbul seruan supaya dipercepat pilihanraya sebagaimana dilaungkan di Mesir sebelum ini. Bahkan skrip yang hampir serupa apabila disebarkan kononnya sokongan rakyat terhadap en-Nahda telah merosot berbanding pilihanraya sebelum ini (contohnya kajian oleh Control Risks consultancy). Beda besar Tunisia dan Mesir ialah tentera di sana tidak berkuasa sebagaimana tentera di Mesir.

6) Komitmen semua pihak di Tunisia terhadap demokrasi akan teruji, sejauh mana berpegang dengan nilai bahawa sesebuah kerajaan hanya boleh diturunkan menerusi peti undi, setelah dilantik secara adil dan telus. Selain itu, renungan besar juga dihadap untuk gerakan Islamis dalam menghadapi cabaran dan konflik sebegitu, termasuk bagaimana berhadapan dengan segelintir pihak yang ekstrem dan literal dalam memahami shariah. Selain itu, komitmen pihak pembangkang terhadap demokrasi juga akan kelihatan. Tidak sepatutnya mana-mana pihak yang tidak gemar akan sesebuah kerajaan yang dilantik secara demokratik bertepuk sorak apabila segelintir pihak mahu menjatuhkan kerajaan tersebut tanpa melalui proses demokrasi. Memetik pandangan Michael J. Koplow dalam tulisannya bertajuk "First They Came for the Islamists" (tersiar di laman Foreign Affairs);


"The secularists should think twice before cheering on the regime’s campaign against the Muslim Brotherhood and other Islamists, no matter what type of language the government is using to couch its antidemocratic actions. The lesson of Tunisia is that once the Islamists are gone, the secularist opposition is going to be next."

Read more...

Monday, 29 July 2013

Krisis Mesir: Kegagalan Islamisme (?) dan Masa Depan Politik Islam

Mesir di persimpangan jalan.

Ternyata tarikh keramat 25 Januari 2011 bukanlah segala-galanya untuk rakyat Mesir. Satu masa lalu setelah Mubarak dihukum oleh rakyat, ramai yang telah membuat kesimpulan bahawa itu petanda kelahiran sebuah Mesir baru; demokratik, bebas dan moden. Pergolakan politik di Timur Tengah sangat rumit dan melibatkan banyak pemain dari dalam dan luar Timur Tengah. Demikian juga Mesir, terlalu banyak permainan dan pemain-pemain politik di dalam dan di luar negara tersebut. Morsi yang secara rasmi telah menjadi Presiden Mesir pada 30 Jun 2012 akhirnya dijatuhkan pada 3 Julai 2013 menerusi campur tangan pihak tentera di Mesir setelah dimulakan oleh sebuah himpunan besar rakyat yang dikenali sebagai gerakan Tamarrod, membantah Morsi pada 30 Jun 2013.

Ikhwan, demokrasi dan tamarrod

                Pada 24 Jun 2012, Morsi telah diumumkan sebagai Presiden mengalahkan Ahmed Shafik menerusi sebuah pilihanraya yang dinilai adil dan demokratik setelah sekian lama siri pilihanraya di Mesir hanya sebagai sebuah tipu daya dan helah pemerintah untuk mengekalkan kediktatoran mereka. Morsi yang mewakili Freedom and Justice Party (FJP) merupakan calon ganti kepada Khairat Shater yang tidak dibenarkan menjadi calon atas alasan tertentu. Sebelum itu al-Ikhwan al-Muslimun (IM) yang awalnya berkata mereka tidak akan meletakkan calon Presiden telah memecat Abd al-Muneim Abou al-Futuh disebabkan beliau membuat keputusan untuk bertanding dalam pilihanraya sebagai calon Presiden Mesir. Akhirnya IM menerusi FJP telah mencalonkan Morsi untuk bertanding dan beliau telah menang.

                Hal tersebut sekalipun kelihatan remeh bagi segelintir pihak, ia telah memberi persepsi negatif terhadap IM sedari awal, lebih-lebih lagi IM sekalipun merupakan sebuah gerakan sangat tersusun dan mempunyai ramai ahli yang kental dalam perjuangan, mereka juga mempunya ramai lawan dan musuh. Bahkan tidak sedikit pihak yang membuat anggapan bahawa FJP membawa agenda IM dan Morsi akan tunduk kepada mesyuarat IM. Semua itu adalah persepsi yang mula dimainkan media secara besar-besaran. Sesuatu yang dipuji pada zaman Morsi, kebebasan media mula dibuka dengan jauh lebih luas berbanding era sebelumnya hinggakan akhbar-akhbar bebas mengkritik kerajaan dan presiden, suatu keadaan yang terlarang pada era sebelum itu.

                Sejarah dunia Mesir semasa dan selepas era kolonial adalah sejarah yang sangat erat dengan IM; perjuangan, pengorbanan, darah dan air mata. IM mungkin mempunyai ramai golongan yang bersimpati terhadap mereka, namun ia bukan bermaksud kredibiliti mereka tidak dipersoal oleh rakyat. Zaman sebelum dan selepas Mubarak adalah zaman yang jauh berbeda, sekalipun jaraknya beberapa tahun sahaja. Mubarak bukan sekadar meninggalkan Mesir yang korup dan rosak, malah Mubarak telah berjaya meninggalkan legasinya yang tersendiri; Mubarakism. Saki baki Mubarak ada di mana-mana seperti di mahkamah, jabatan tentera dan para jutawan yang menjadi kroni Mubarak pada zamannya. Oleh yang demikian, apabila Morsi memenangi pilihanraya presiden, itu bermaksud satu tanggungjawab besar akan dipikul beliau dan pihak pemerintah. Mubarak yang meninggalkan pelbagai lompang, namun jika tidak dibaiki Morsi, Morsi mesti bersedia disalahkan.

                IM sudah terlalu lama dalam dunia gerakan Islam dan cukup dikenali dengan dunia pendidikan (tarbiyah) dan melahirkan ramai tokoh ilmuan berkaliber, malah IM turut menjadi inspirasi kepada banyak gerakan di seluruh dunia dalam melakukan perubahan fikrah dan harakah. Tetapi kita wajar akui, IM terlalu mentah dalam dunia pemerintahan. Mesir sangat mencabar, para diktator di sana sudah sekian lama dibantu oleh Amerika Syarikat (AS) untuk menjaga kepentingan mereka dan Israel. Tarbiyah IM melahirkan kader-kader yang hebat dalam dunia harakah Islamiyyah, itu sangat ketara terbukti khasnya di Mesir. Namun setelah hampir satu abad mereka mencipta kader-kader hebat yang tinggi pengorbanan dan perjuangan, tempoh (hampir) satu abad mewajarkan kita untuk berfikir; bahawa ada sesuatu yang mesti dibaiki IM dan pengkagum mereka di seluruh dunia dalam mencipta pemimpin-pemimpin yang pragmatik dan relevan dalam dunia semasa. Tantangan yang hebat khasnya dalam dunia pasca-moden ini sangat rumit, memerlukan kecerdasan dan daya saing selaku sebuah"harakah al-fikr" (gerakan pemikiran) dan bukan semata-mata "fikr al-harakah" (pemikiran gerakan - haraki).

                Kembali kepada Tamarrod, sebahagian rakyat melihat setahun sudah terlalu cukup untuk sebuah kegagalan pada pandangan mereka. Lalu gerakan Tamarrod yang menyeru rakyat untuk turun ke jalan raya mendesak supaya diawalkan Pilihanraya Presiden telah digerakkan oleh lima orang termasuk jurucakap rasminya, Mahmoud Badr. Selain mendapat sokongan Ahmed Shafik (bekas calon Presiden yang kalah menentang Morsi) dan Mohamed El Baradei, beberapa parti politik telah menyatakan sokongan terhadap Gerakan Tamarrod termasuk National Salvation Front (NSF) di mana El Baradei merupakan salah seorang pemimpinnya.

Demokrasi bukan sekadar peti undi, malah demokrasi juga melibatkan soal hak bersuara, kedaulatan undang-undang, kebebasan berhimpun, galakan partisipasi politik dan sebagainya. Justeru gerakan Tamarrod secara prinsipnya merupakan sebuah gerakan demokratik yang disertai rakyat yang melakukan protes terhadap Morsi. Sebagaimana wajar untuk rakyat pro-Morsi merespon terhadap gerakan Tamarrod iaitu dengan menubuhkan gerakan Tajarrod dan Muayyed, demikian juga rakyat yang tidak bersetuju dengan pemerintahan Morsi punya hak membantah dan melakukan protes.

Namun demikian, dakwaan bahawa majoriti rakyat Mesir menyokong Tamarrod hingga mewajarkan Morsi untuk turun awal, sangat terbuka ruang untuk didebatkan kerana dalam dunia demokrasi, majoriti yang memilih di peti undi akan menentukan parti mana yang akan memerintah, bukannya majoriti (bagaimana mahu tahu ‘kemajoritian’ yang sebenar apabila kedua-dua pihak mendakwa mereka paling ramai?) selepas bermulanya pemerintahan dan sebelum tamat tempoh pemerintahan sebagaimana dalam perlembagaan (kedaulatan undang-undang).

Beberapa penganalisis politik melihat, ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan atas rasa tidak puas hati sebahagian rakyat terhadap pemerintahan Morsi berdasarkan beberapa peristiwa sebelum tercetusnya Tamarrod. Antaranya Talal Asad dalam wawancara panjang beliau bersama Jadaliyya.com (bertajuk; Neither Heroes, Nor Villains: A Conversation with Talal Asad on Egypt After Morsi) telah menyebut perihal beberapa perbualan antara Mohamed El Baradei dan Ahmed Shafik di Arab Saudi. Malah beliau melihat tidak mungkin pihak tentera tidak mengetahui apa pertemuan kedua-dua tokoh tersebut. Selain itu, beberapa jutawan contohnya Naguib Sawiris telah mendanai gerakan Tamarrod. Justeru, kewujudan koordinasi (kalaupun bukan konspirasi) oleh pihak tertentu ada kemungkinannya, sekalipun barangkali sebahagian rakyat yang menyertai protes menerusi Tamarrod mungkin tidak menyedari hal tersebut.

Coup d’etat & bersediakah Barat dengan demokrasi?

Pertembungan antara Tamarrod dan Tajarrod telah menyebabkan pihak tentera memberi kata dua kepada kedua-dua kumpulan dan akhirnya mereka mengabsahkan kudeta atas nama mendengar suara rakyat. Ternyata yang berkuasa selama ini di Mesir ialah tentera, malahan ketika peristiwa ‘revolusi’ 25 Januari, kerjasama daripada tentera juga antara faktor menyebabkan Mubarak telah berjaya dijatuhkan.

Para penganalisis politik Timur Tengah tahu akan hubungan erat antara tentera Mesir dan AS. Malah AS sendiri sejak era Anwar Sadat telah memberi bantuan kewangan kepada Mesir – setelah perjanjian Camp David dilakukan. Oleh itu secara simplistiknya sesiapa sahaja yang memerintah Mesir tanpa bantuan kewangan daripada AS akan menanggung risiko kesusahan. AS mahu kerajaan yang mudah menjadi boneka dan melaksanakan dasar mereka dalam memerintah Mesir, justeru semasa awal kemenangan Morsi dahulu, sebahagian penganalisis menyatakan AS melihat IM dan Morsi sesuai dalam melakasanakan agenda mereka di Mesir. Apabila AS seolah-olah berada di belakang kudeta ini, kita bertanya; adakah IM dan Morsi benar-benar bisa menjadi boneka AS? Selain AS, kuda tunggangan mereka iaitu Arab Saudi dan UAE juga terang-terang menyokong kudeta dan menyalurkan bantuan kewangan selepas kejatuhan Morsi. Sebelum itu sekalipun Mesir selepas 25 Januari lebih memerlukan bantuan kewangan untuk bangun, namun Arab Saudi dan UAE tidak menyalurkan kewangan. Bahkan pinjaman daripada International Monetary Fund (IMF) yang cuba dilakukan oleh Morsi menghadapi karenah dan pelbagai ‘halangan-halangan yang tak dapat dielakkan’, ajaibnya selepas tiga hari kudeta di Mesir, halangan-halangan itu mula hilang.

Obama tidak menggelarkan apa yang berlaku di Mesir sebagai sebuah kudeta berbanding apa yang dilakukannya semasa kudeta di Honduras apabila tentera menjatuhkan Manuel Zelaya pada 2011. Jika Obama menggelarkan secara rasmi apa yang berlaku di Mesir sebagai sebuah kudeta, maka bantuan kewangan (sebanyak US 1.55 bilion setahun) yang biasa diberi kepada Mesir akan terhenti sebagaimana terdapat di Seksyen 508 Akta Bantuan Luar (Foreign Assistance Act) yang penggantungan dana terhadap mana-mana negara yang telah dipilih oleh rakyatnya secara wajar tetapi dijatuhkan oleh tentera atau dekri. Noah Feldman telah menjelaskan isu tersebut dengan baik dalam dua artikelnya bertajuk Call Egpyt’s Coup a Coup  dan Obama Ignores U.S Law To Ignore Egypt’s Coup.

Lihatlah, tatkala sebahagian orang cuba memperlekeh masharakat Arab dengan menimbulkan persoalan “adakah Arab dan dunia Muslim bersedia dengan demokrasi?”, soalan yang sepatutnya ditanya ialah “adakah AS dan negara-negara Barat bersedia dengan demokrasi?!” AS terkenal membelai diktator yang boleh menjadi boneka dan melaksanakan dasar mereka sebagaimana telah dilakukan kepada Mesir sebelum 25 Januari 2011. AS sekalipun mendengungkan slogan demokratisasi, namun mereka sendiri berkawan rapat dengan Arab Saudi dan beberapa negara Arab yang mempunyai minyak dan sumber bumi yang lain. Demokrasi di tangan manusia dan kerajaan berkepentingan adalah candu, demikian juga slogan hak-hak asasi manusia. Bukan semata-mata agama boleh menjadi candu, demokrasi juga apabila sesiapa yang berkuasa boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu. Obama menggelarkan apa yang berlaku di Honduras sebagai kudeta kerana AS mahu, sementara Obama berdiam diri daripada kudeta di Mesir kerana mereka mahu. Bukan kerana komitmen dengan demokrasi dan hak asasi manusia, tetapi komitmen dengan apa kepentingan yang mereka mahu.

Apabila mengulas tentang kudeta, sebahagian orang akan mengimbau beberapa peristiwa yang berlaku khasnya dalam dunia gerakan Islamis. Contohnya dalam kes Turki, kesemua Perdana Menteri Turki yang dilantik secara demokratik terpaksa menghadapi campur-tangan pihak tentera walaupun dalam darjah yang berbeza. Adnan Menderes dihukum  gantung selepas rampasan kuasa pada tahun 1960. Suleyman Demirel pula dirampas kuasanya hasil daripada pemberontakan tentera tahun 1971 dan 1980. Sedangkan Necmettin Erbakan dipaksa untuk meletakkan jawatan akibat daripada rampasan kuasa secara “halus” (dikenali sebagai post-modern coup) pada Jun 1997. Mustafa Akyol dalam satu wawancara bersama stesen televisyen Al-Jazeera (bertajuk Egypt: A Coup or A Second Revolution?) telah mengatakan:

"I live in a country where we have had four military coups over the past 60 years, and I know [the military] are not a solution to anything. They are actually the biggest problems in Turkish political history. So I am also very critical of the military coup in Egypt.

Pada 1992 pula, FIS (Front Islamique du Salut) telah dijatuhkan oleh tentera setelah memenangi pilihanraya dan para pimpinan dan aktivis FIS telah ditahan penjara.

Demikian juga di Mesir, suatu yang menyedihkan apabila sebahagian kaum liberal (sebetulnya illiberal!)  dan sekular (contohnya Mohamed El Baradei) yang mendengungkan slogan demokrasi dan hak asasi manusia telah mengizinkan kudeta dijalankan oleh tentera. Sebahagian mereka mengecam apa yang disifatkan sebagai tindakan tidak demokratik Morsi dalam pemerintahan, dalam masa yang sama mendiamkan diri apabila pejabat dan bangunan IM dibakar, aktivis politik dikenakan tahanan penjara dan sehingga kini (29 Julai 2011) beratus-ratus telah mati dan cedera parah dalam pertembungan dengan tentera. Dalam hal ini, antara persoalan penting untuk ditanya ialah adakah jika AS, Barat dan golongan sekular dan liberal di Mesir mengiyakan kudeta, adakah kerana mereka anti-Islamis? Adapun jika kebanyakan tokoh Islamis dari seluruh dunia dan dalam Mesir lantang menolak kudeta tentera, adakah semata-mata kerana mereka Islamis? Persoalan ini kelihatan ringkas tetapi sangat penting dalam menentukan cara berfikir supaya tidak terjebak dengan pandangan binari dalam menilai sepak terajang politik.

Apa pun yang dibincangkan, hakikatnya atas nama demokrasi, darah rakyat Mesir sekarang menjadi murah dan seakan-akan tidak berharga. Mengulang komentar Khaled Abou al-Fadhl (Egypt: Is Political Islam is Dead?), manakala golongan yang kononnya sekular dan liberal di Mesir mengeksploitasi bahasa demokrasi dan hak asasi manusia sebagaimana segelintir Islamis mengeksploitasi simbol-simbol Islam dan nilai-nilai Syariah. Kedua-dua pihak mengajar apa yang mereka tidak amal, dan kedua-dua berkelakuan dengan cara yang benar-benar bercanggah dengan apa yang mereka ajar.

Kegagalan Islamisme, Pasca-Islamisme dan Wacana Baru Islamisme

Sebelum berbincang lanjut tentang Islamisme, saya mahu membawa kepada perbincangan ringkas tentang istilah-istilah yang berkaitan iaitu; Islam, Muslim, Islamisme, pasca-Islamisme, Islamis, Muslim yang berpolitik, dan pemikiran politik menurut Islam.

Islam adalah agama yang mempunyai dasar dan asas-asasnya, rujukan tertinggi ialah al-Quran dan al-Hadis dan ribuan kitab dan para ulama menjelaskan tentang perkara-perkara mengenai Islam sejak dahulu hingga kini. Adapun Muslim perupakan penganut agama Islam yang melaksanakan tuntutan dan meninggalkan larangan yang termaktub dalam agama. Islam bukan Islamisme, bahkan ia lebih luas daripada itu.

Islamisme pula sebuah istilah yang muncul pada era moden berkaitan gerakan tertentu yang berpolitik dan bersosial dengan menjadikan pandangan Islam sebagai dasar dan rujukan. Mereka dikenali antaranya dengan cita-cita menjadikan penubuhan negara Islam khasnya di negara-negara yang majoriti Muslim berdasarkan visi dan misi yang tertentu. Islamis merupakan pihak yang mendokong apa yang dicita-citakan oleh gerakan tersebut. Namun demikian istilah Islamisme dan Islamis masih punya banyak ketidak tentuan dan terbuka untuk perdebatan, contohnya Islamisme yang menerima demokrasi tidak sama dengan Islamisme yang hanya melihat jalan perang sebagai solusi. Islamisme juga mengalami peralihan dan pengalaman sejarah yang panjang, adakah sama Islamisme yang menentang penjajah pada era kolonial dan Islamisme selepas 11 September? Adakah jika kumpulan seperti al-Qaeda memberi pandangan politik, maka mereka mewakili suara Islamisme?

Demikian juga Islamis, ia merujuk kepada sesiapa sahaja individu yang menjunjung dan melaksanakan aspirasi Islamisme, jika sesebuah gerakan Islamis memberi komitmen dengan pendekatan demokrasi, maka tiada masalah untuk digelarkannya sebagai Islamis demokrat (berbanding kekecohan istilah ini di tanah air kita). Dalam hal ini, timbul persoalan adakah golongan bukan-Muslim mungkin turut boleh digelarkan sebagai Islamis jika mereka bersetuju untuk perjuangkan visi dan misi sesebuah gerakan Islamis? Justeru, seorang Muslim belum tentu seorang Islamis, demikian juga seorang Islamis kebiasaannya seorang Muslim, namun boleh jadi ia juga seorang bukan Muslim (?).

Muslim yang berpolitik juga belum tentu seorang Islamis, belum tentu juga dia seorang yang berpolitik menurut dasar pemikiran politik Islam. Bahkan demikiran juga seseorang Islamis yang mendakwa mereka muncul atas faktor tanggungjawab agama, belum tentu mereka berpolitik menurut pandangan Islam – berdasarkan takrif, keanjalan dan keluasan cara pandang dalam politik Islam.

Pasca-Islamisme pula adalah pandangan yang dicetuskan oleh beberapa tokoh seperti Asef Bayat sebagai respon kepada apa yang mereka namakan sebagai peralihan daripada dunia Islamisme kepada pasca-Islamisme. Pada Mei 1996, Asef Bayat telah menyampaikan satu syarahan di American University, Kaherah dengan sebuah perbincangan bertajuk “The Coming of a Post-Islamist Society” (Salah satu tajuk dalam buku Critique: Critical Middle East Studies, no. 9 (Fall 1996), m.s 43-52). Syarahan yang disebar sebagai sebuah esei sederhana panjang itu membincangkan kemunculan satu era baru bagi kelompok Islamis, dengan menjadikan negara Iran sebagai contoh perubahan wacana di sana. Ringkasnya Asef Bayat menyatakan bahawa peralihan wacana dan sikap pemerintahan daripada era pasca-Shah Iran kepada era revolusi Islam Iran ialah asal kemunculan Islamisme – yang lebih membincangkan soal pelaksanaan undang-undang shariah, pemaksaan memakai hijab dan sebagainya. Kemudian selepas beberapa dekad, beberapa perubahan berlaku dalam negara Iran khasnya menerusi gerakan intelektual seperti Andisheh-ye Diger (AlternativeThought – Pemikiran Alternatif) yang diketuai Abdul Karim Soroush.

Ihsan Yilmaz juga mengulas dengan nada hamper serupa walaupun berdasarkan kes Turki yang jau berbeda berbanding Iran dalam tulisannya bertajuk, Beyond Post-Islamism: Transformation of Turkish Islamism Toward ‘Civil Islam’ and Its Potential Influence in The Muslim World. Ihsan lebih melihat perubahan dan perbandingan wacana politik Islamis pada era Erbakan dan pada era Erdogan. Hal tersebut serupa dengan cara pandang Asef Bayat yang melihat perbedaan wacana semasa awal revolusi Islam Iran dan selepas beberapa dekad pemerintahan.

Merujuk kepada krisis semasa di Mesir, sebilangan penulis mengemukakan persoalan yang hakikatnya sentiasa diulang-ulang setiap kali peristiwa besar dunia politik Islamis berlaku iaitu; adakah politik Islam sudah gagal dan mati?

IM menerusi FJP adalah sebuah gerakan Islamis, di Mesir ada beberapa lagi kumpulan politik Islamis yang lain termasuk Parti an-Nour beraliran salafi. Tariq Ramadan dalam satu sharahannya bertajuk Post-Islamist Revolution dalam satu program anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) di Istac pada Julai 2012, beliau menyebut nama seorang intelektual Perancis bernama Francois Burgat yang merupakan pengkritik utama idea kegagalan politik Islam oleh Olivier Roy dan Kepel. Buku Francois Burgat bertajuk Face to Face with Political Islam dan Islamism in The Shadow of al-Qaeda mengkritik penggunaan istilah Islamisme yang memberi implikasi tidak sihat lantaran wacana selektif segelintir ahli akademik Barat.

Dalam buku The Arab Awakening (halaman 113), Tariq Ramadan selepas mengulas persoalan The End of Political Islam? menyatakan:

“In fact that Islam itself is being called into question is a clear sign that political Islam is not dead but is facing a new conjuncture and stands poised to undergo a profound shift brought on by the dynamics of history and the new political, economic, cultural and brpad geo-strategic environment.

Justeru saya berpandangan, persoalan pemikiran politik Islam lebih luas berbanding persoalan Islamisme dan Islamis. Pemikiran politik Islam sentiasa menyebelahi kepentingan rakyat, demi mencapai tujuan-tujuan seperti keadilan, kebebasan, keamanan dan pendidikan yang baik. Jika disoal dalam bahasa ringkas mengenai apa itu pemikiran politik Islam, saya berpandangan ia berkait dengan perdebatan soal masolih dan mafasid – kebaikan dan keburukan – dan pertimbangannya. Pelaksanaan wacana tersebut melihat kepada konteks sesebuah negara, sejarahnya, pengalaman dan krisis yang mesti diatasi dalam jangka masa panjang dan jangka masa pendek. Oleh itu jika mahu dijelaskan bahawa pasca-Islamisme ialah sebuah peralihan wacana baru Islamis, maka itu lebih tepat. Adapun jika menganggap pasca-Islamisme sebagai perubahan cara pandangan berbanding Islamisme yang lebih “dekat” dengan agenda shariah, maka ia wajar ditanggapi secara kritikal kerana “aktivis dan Islamis era pasca-Islamisme” sendiri memandang perubahan wacana mereka berasaskan pemikiran politik Islam yang luas dan sentiasa berkembang berdasarkan tantangan zaman. Apabila mereka bercakap soal demokrasi, negara madani, kebebasan, tatakelola yang baik dan sebagainya, Islam dan pemikirannya masih menjadi rujukan.

Oleh yang demikian, memandang krisis yang sedang berlaku di Mesir sebagai satu bukti kegagalan dan kematian politik Islam sangat wajar ditanggapi secara kritikal, kerana istilah political Islam itu sendiri masih dicanggahi para sarjana dan sosiolog, selain ketidak tentuan istilah-istilah seperti Islamisme, Islamis dan pasca-Islamisme.

Pantulan dan Kesimpulan

Bagaimana masa depan Islamis seluruh dunia? Adakah rakyat yang masih bertembung dengan tentera akan berundur? Apa yang akan berlaku di Mesir selepas ini? Adakah aktivis IM di Mesir akan lebih lunak dengan demokrasi atau sebaliknya akan mencipta gerakan militan atas nama Islam?

                Persoalan-persoalan tersebut sangat wajar ditanya serius. Rakyat Mesir yang protes (sebahagian besarnya merupakan penyokong Morsi) masih tiada tanda-tanda mereka akan berundur, lebih-lebih lagi jika mereka berundur; tiada jaminan bahawa Mesir akan lebih baik, keputusan rakyat dalam pilihanraya akan dihormati, tahanan politik akan dibebaskan, IM dan FJP akan dibenarkan berpolitik dan sebagainya.

                Di Algeria selepas kudeta yang dilakukan tentera terhadap FIS, ia telah menyebabkan kemunculan aliran keras yang bersenjata gara-gara kekecewaan mereka terhadap pencabulan demokrasi oleh pihak tentera setelah kemenangan FIS dalam pilihanraya. Sementara itu di Turki setelah ‘kudeta pasca-moden’ pada 1997, ia telah mencetuskan penubuhan Fazilet Partisi yang lebih lunak dan berbeda wacana berbanding parti Erbakan sebelum itu. Kemudiannya setelah Fazilet Partisi  turut diharamkan, perubahan yang lebih radikal berlaku apabila Erdogan, Abdullah Gul dan lain-lain menubuhkan Adalet ve Kalkinma Partisi (AKP) yang lebih progresif, berjiwa reformis dan terbuka dan buat masa ini AKP boleh diiktiraf sebagai masih berjaya hingga kini.

                Selain itu saya melihat sebahagian orang melakukan perbandingan simplistik antara Tunisia, Turki dan Mesir terutama pada aspek sekular dan wacana politik Islam lalu menyatakan salah satu punca kejatuhan Morsi ialah kerana terlalu Islamik. Dari satu segi, saya mungkin boleh bersetuju. Benar, di Tunisia (dan juga Turki) tiada perkataan shariah dalam perlembagaan, bahkan pemimpin utama en-Nahda – Ghannouchi - sendiri tegas dengan pandangan tersebut dan agak lunak dengan konsep negara sekular. Namun kes yang berlaku di Mesir adalah sangat berbeda. Sejak era Mubarak lagi perkataan Mabadi’ as-Sharia diguna pakai dalam perlembagaan, dan ia satu isu yang sangat serius dan diambil berat oleh rakyat Mesir yang majoritinya Muslim. Namun pemerintahan Mubarak sendiri tidak mewakili apa yang diaspirasikan menerusi perkataan Mabadi’ as-Sharia. Ia sekadar istilah, sebagaimana sebahagian negara merujuk negara mereka sebagai sebuah negara demokrasi, walhal pemerintahan mereka sangat drakonian. Kalau terus dibuang perkataan Mabadi’ as-Sharia  dalam perlembagaan mungkin akan memperlihat sisi FJP dan Morsi yang lebih moderat, tapi ia tetap bukan suatu tindakan yang demokratik jika bercanggah dengan referendum rakyat dan tidak melalui proses demokratik dalam parlimen, bahkan kemungkinan akan lebih mengundang kemarahan rakyat dek kerana latar kes yang tidak sama antara Mesir dan Tunisia, demikian juga konteks yang berbeda dengan negara-negara lain tidak memungkinkan apa-apa penyelarasan sama ada atas nama 'Shariah' ataupun 'Sekularisme'. Paling penting, ia bukan sekadar soal istilah, sebaliknya soal sejauh mana sesebuah pemerintahan memberi komitmen untuk menegakkan nilai-nilai teras seperti keadilan, keamanan, kebajikan dan kebebasan dalam pemerintahan mereka.


                Demikian serba-sedikit ulasan saya mengenai krisis di Mesir sekarang dan sejauh mana ia memberi kesan kepada perbincangan pemikiran politik Islam dan dunia Islamisme. Saya menutup baris-baris akhir ini dengan persoalan yang telah disebut sebelum ini iaitu; isu di Mesir meyakinkan kita bahawa persoalan sebenar bukannya “adakah Arab dan dunia Muslim bersedia dengan demokrasi?” tapi, “sudahkah AS dan negara-negara Barat yang lain serius dan jujur dengan demokrasi?”

Read more...

Monday, 3 June 2013

'Gezi Park', Erdogan dan Demokrasi : Catatan Awal

*Tulisan ini juga tersiar di The Malaysian Insider (Link)

Peristiwa di Taksim Square pada hari ini menentukan nasib Erdogan dalam pilihanraya akan datang.


1)     Media-media dari seluruh dunia sedang menumpukan perhatian kepada Turki yang dipimpin Erdogan dari Adalet ve Kalkinma Partisi (AKP) – Justice and Development Party (JDP) – berikutan satu peristiwa yang berlaku pada 31 Mei 2013 di Gezi Park, Beyoglu, Istanbul. Perhimpunan yang asalnya aman telah bertukar menjadi panas apabila pihak polis telah melepaskan gas pemedih mata dan mengasari para demonstran mengakibatkan ratusan demonstran telah cedera. Menteri Dalam Negeri, Muammer Guler pula menyatakan bahawa lebih 900 peserta demonrasi dari pelbagai tempat yang berbeda telah ditahan. Badan hak-hak asasi manusia terkenal, Amnesty International (AI) sebagaimana badan-badan hak asasi manusia yang lain telah mengkritik respon keras pihak berautoriti terhadap para demonstran di Turki. Intelektual yang dikenali lantang bersuara dalam isu-isu antarabangsa, Noam Chomsky turut mengeluarkan kenyataan mengkritik kekasaran yang dikenakan terhadap para demonstran di Gezi Park. Perdana Menteri Turki, Recceb Tayyib Erdogan mengakui bahawa pihak polis telah melebihi batas, demikian juga dengan Timbalannya, Bulent Arinc.

2)     Gezi Park adalah sebuah taman di Istanbul. Pihak pemerintah berhasrat menubuhkan replika sebuah bangunan lama dan bersejarah yang pernah menjadi berek tentera kerajaan Uthmaniyyah satu masa lalu. Bangunan tersebut telah dirobohkan pada 1940 oleh parti pemerintah aliran Kemalism pada masa itu iaitu Cumhuriyet Halk Partisi (CHP) – Republican People’s Party (RPP). Replika yang akan dibina tersebut akan menjadi sebuah pusat niaga. Namun bantahan timbul oleh segelintir rakyat karena pembinaan bangunan itu akan menghapuskan sebuah taman, lalu protes aman berlaku. Kekasaran pihak berkuasa menjadikan protes yang asalnya berlangsung aman bertukar agresif. Beribu-ribu demonstran mula memenuhi Taksim Square dan demonstrasi-demonstrasi turut berlangsung di tempat-tempat lain di Turki. Presiden Turki, Abdullah Gul telah memberi respon bahawa sepatutnya rakyat diizinkan untuk menyuarakan pandangan mereka dan layanan pihak polis tidak sepatutnya.

3)     Demikian antara kronologi dan latar belakang ringkas tentang isu yang sedang melanda Turki. Penganalisis politik terkenal Turki, Ihsan Yilmaz menegur projek pembangunan pemerintah yang seakan-akan terlalu sarat, hingga dibimbangi memberi keuntungan kepada pihak yang kecil sahaja dan merugikan generasi akan datang. Beliau juga menyatakan di Istanbul hanya ada sedikit taman yang bersejarah yang menjadi tempat rekreasi rakyat di sana.

4)     Persoalannya adakah benar itu sahaja ceritanya? Karena sebuah taman, tercetusnya protes di pelbagai kawasan? Erdogan menerusi partinya (AKP ditubuhkan pada 2001) telah menang bergaya dalam tiga pilihanraya sebelum ini iaitu pada 2002, 2007 dan 2011. Sekalipun kerajaan Turki telah mencapai pertumbuhan ekonomi yang sangat baik sepanjang diperintah AKP, namun itu bukan satu-satunya yang dimahukan rakyatnya. Wajar diingat, undi yang diperoleh AKP sejak 2002 bukan sekadar untuk pemacuan ekonomi, tapi juga kedaulatan undang-undang (rule of law), demokratisasi, pemfokusan akan hak asasi manusia, kebebasan dan sebagainya.

5)     Diakui, pemerintah telah melakukan beberapa perobahan dalam perkara tersebut seperti ruang publik yang lebih baik, bahkan larangan untuk mengadakan demonstrasi jalanan di Taksim Square sejak 1977 telah dibatalkan oleh pemerintah pada 2010 dan demonstrasi jalanan di situ dibenarkan kembali. Namun itu tidak cukup, beberapa isu yang berlaku dan melibatkan Erdogan seakan-akan tidak menyenangkan beberapa pihak. Sejak AKP memerintah Turki, Turki menjadi antara negara tertinggi yang memenjarakan para wartawan, malahan Erdogan dilaporkan tidak toleran terhadap media-media yang mengkritiknya. Isu larangan pengguguran anak juga pernah tercetus pada Jun 2012 apabila ribuan orang (kebanyakannya wanita) telah berhimpun membantah idea Erdogan merancang mengenakan larangan pengguguran anak (laporan Reuters).

6)     Terbaru pada 24 Mei 2013 (Jumaat), Erdogan meluluskan satu bil yang megehadkan pengiklanan dan jualan minuman beralkohol di Turki. Bil tersebut turut melarang penjualan minuman beralkohol di tempat yang berdekatan masjid dan pusat-pusat pendidikan, selain mengenakan penalti yang lebih keras terhadap pemandu dalam keadaan mabuk. Hal tersebut dilaporkan berlaku pantas dan tidak demokratik apabila rakyat tidak seolah-olah hanya menerima ‘arahan’ dan tidak demokratik. Alasan Erdogan tentang kesihatan dan bahawa kerajaan mahu melahirkan generasi yang lebih baik bukanlah perbincangannya, tapi sikapnya yang seolah-olah cuba memaksakan budaya hidup tertentu dipersoal sebahagian orang. Salah seorang kolumnis di Todayszaman, Yavuz Baydar menyebut sejak 2011, Erdogan seolah-olah melakukan pendekatan laissez moi faire tout (biar aku buat semua). Arzu Kaya Uranli mengulas, sepatutnya seorang ketua dan kerajaan bertindak lebih baik terhadap rakyatnya, berusaha untuk menyatukan dan bukannya melakukan polarisasi.

7)     Isu-isu di atas merupakan antara yang timbul dan dibincangkan akhir-akhir ini, di celah-celah pujian ramai akan ekonomi Turki yang memacu makin laju. Bermaksud rakyat bukan sekadar mahu melihat ekonomi yang baik, tapi lebih daripada itu rakyat mahu melihat bagaimana pihak pemerintah melayan mereka. Penulis Islam Without Extremes, Mustafa Akyol menimbulkan persoalan kenapakah rakyat lebih menujukan bantahan mereka terhadap Erdogan dan bukannya AKP? Isu-isu yang saya tulis di atas sekilas pandang seolah-olah bisa menjawab soalan Mustafa tersebut. Bahkan setelah berlakunya kekasaran polis terhadap protes di Taksim Square, respon Erdogan agak kurang demokratik, ‘intimidating’ dan tidak menggunakan bahasa yang berkompromi.

8)     Selaku seorang Perdana Menteri yang menang menerusi pilihanraya yang sah dan bersih, Erdogan pasti bukan seorang diktator, tapi demokrasi di Turki bukan lagi sebuah demokrasi liberal (illiberal democracy), sebaliknya menjadi demokrasi illiberal (liberal democracy) dan pseudo-democracy dan dibimbangi undi popular yang tinggi diperolehi beliau bisa mencipta keadaan tyranny of majority.  Oleh itu, sebahagian pemerhati politik melihat, Erdogan wajar melakukan perobahan pada pendekatannya dan kerajaan yang diketuainya. Beliau wajar menitik beratkan kembali dasar partinya yang melaungkan soal demokratisasi dan hak-hak asasi manusia. Tentang hak-hak asasi, semak imbang, kebebasan berhimpun, protes dan mengkritik wajar dilihat kembali oleh Erdogan dan kerajaannya. Demikian juga isu kaum minoriti (others)seperti isu Kurdish yang tidak kunjung selesai. Semua perkara di atas merupakan asas-asas yang dipandang sangat penting dalam sebuah negara demokratik. Selain itu partisipasi politik masharakat Turki akan bertambah baik menerusi pengaplikasian serius akan konsep participatory democracy, dan ia lebih relevan berbanding representative democracySalah satu wacana demokrasi yang wajar diangkat juga ialah tentang deliberative democracy yang kelihatan lebih mesra masharakat pelbagai latar belakang pemikiran dan generasi.

9)     Antara persoalan lain yang timbul ialah mengenai pembangkang kepada pemerintah iaitu CHP. Dikatakan ramai ahli CHP yang memenuhi Taksim Square dan menyertai protes. CHP merupakan sebuah parti yang ditubuhkan oleh Mustafa Kemal dan lebih cenderung dengan ideologi sosialisme (mereka beraliran "Social Democrat") berbanding AKP yang ekonominya berideologi liberalisme. Kelihatan pertembungan ideologi kedua-dua parti ini sangat jelas, bahkan dalam isu Syria yang mana Erdogan telah menyatakan penentangan jelas terhadap Assad, CHP pula menyebelahi Asad. Selain itu CHP juga merupakan sekularis yang beraliran Kemalism, justeru kelihatan pertembungan mereka dengan AKP turut tertumpu di situ, memandangkan AKP sejak dahulu dikaitkan sebagai mewakili Islamis (sekalipun mereka cuba menafikan), bahkan sejarah mereka dengan Islamis pimpinan Erbakan tidak bisa dipisahkan. Berhubung hal ini, jelas kelihatan bahawa faktor pertembungan ideologi (socialism vs capitalism dan kemalism vs Islamism)  turut memainkan peranan. Namun begitu adakah sememangnya rakyat yang menyertai protes disebabkan ideologi ekonomi yang diwakili AKP? Sebahagian pemerhati melihat, itu bukan isu utama. Isu utama tetap soal demokrasi yang kian lama kian tidak dihayati oleh pemerintah, khasnya Erdogan.

10) Secara peribadi saya tidak melihat kewajaran untuk berlakunya revolusi di Turki, bahkan saya tidak melihat ia akan berlaku sekalipun ia bukanlah mustahil. Namun begitu saya tetap meyakini bahawa siri protes akan mengambil masa sebelum beransur reda, selain itu protes dan demonstrasi akan menjadi budaya rakyat Turki selepas ini jika berlaku apa-apa tindakan yang tidak diingini mereka. Hal yang demikian pasti akan mencabar ‘kedemokrasian’ Erdogan dan kerajaan pimpinannya, sejauh mana beliau akan memberi keizinan dan kerjasama terhadap protes dan demonstrasi yang diadakan, demikian juga sejauh mana beliau akan bersikap lebih demokratik dalam mengeluarkan apa-apa keputusan dan arahan selepas ini. Hal tersebut juga yang mesti dilihat dan diambil berat oleh semua pemerintah di dunia termasuk Malaysia. Demokrasi bukanlah perihal rakyat hanya berperanan di peti-peti undi sahaja, lebih dari itu demokrasi adalah sebuah konseptual yang mendidik budaya semak imbang, menghormati hak-hak asasi manusia, menjauhi kediktatoran, majoriti tidak menekan minoriti dan minoriti pula tidak memaksa majoriti.


11) Erdogan dan AKP wajar beringat, peristiwa di Istanbul pada hari ini akan menentukan nasibnya dalam pilihanraya yang dijangka akan diadakan setahun lagi.

Read more...

Tuesday, 28 May 2013

Pada menyatakan; Mengkritik orang politik bukanlah bermaksud mengkritik ulama

Identiti-identiti yang berbeda mestilah dicerakinkan dan berperanan menurut tempatnya - MBH



[Pada menyatakan; "Mengkritik orang politik bukanlah bermaksud mengkritik ulama"]

Shahdan, tuan-tuan sekalian;

1) Jika sebahagian pensyarah dan tokoh ilmuan menduduki sesuatu jawatan dalam pentadbiran, lalu apabila para pelajar mengkritik dan menegur urusan pentadbiran universiti atau pengurusan bahagian pengajian tinggi di dalam atau di luar negara, ia tidak bermaksud para pelajar tersebut sedang melecehkan guru-guru mereka. Tugas pensyarah tersebut yang menguruskan hal ehwal pentadbiran dan kesarjanaan seseorang ilmuan mesti dicerakinkan, bukan digeneralisasikan dan menjadikannya bercampur aduk. Justeru sekiranya timbul rungutan tentang urusan pentadbiran, perkara yang mesti dibincangkan ialah tentang masalah pentadbiran, karena ia menimpa semua manusia, melibatkan pula kepentingan mereka. Tiadalah wajar diubah topik kepada 'kemuliaan guru', 'usah biadap dengan ilmuan' dan sebagainya. Tuntasnya, identiti yang berbeda mesti dicerakinkan.

2) Demikian juga PAS (Parti Islam Se-Malaysia) sebagai sebuah parti politik, apabila masharakat bercakap tentang idea-idea politik mereka, atau kelemahan pentadbiran di tempat yang diwakili mereka; ia tidak bermaksud melecehkan individu yang dikritik sekiranya individu itu merupakan seorang ustaz, ilmuan atau ulama. Perbincangan yang menyusul seterusnya ialah tentang idea-idea yang ditegur, berkenaan tindakan dan pengurusan yang disebutkan oleh masharakat. Bukannya dihidupkan perbincangan 'hormati ulama', 'daging ulama beracun', 'ulama pewaris nabi' dan sebagainya. Pencerakinan antara dua kedudukan sangat penting, lantaran memandangkan mereka sebagai ustaz telah memilih untuk melibatkan diri dalam politik dan hal ehwal pengurusan yang melibatkan kepentingan manusia seluruhnya.

3) Kalau seseorang pensyarah itu mengajar di universiti, atau seseorang ilmuan itu sedang menyampaikan sharahan ilmu, atau seseorang tokoh agama sedang menyampaikan kuliah; lalu jika ada pendengar atau pelajar mereka yang tidak menyetujui pandangan mereka, haruslah pelajar tersebut mendatangkan fakta dan hujah ilmiah, bukannya melakukan komplen yang bukan-bukan. Adapun jika pensyarah atau ilmuan tersebut melakukan tugas-tugas pentadbiran dan politik, mereka mestilah bersedia untuk dibaiki dan ditegur, bahkan wajarlah ia bersedia untuk ditegur secara terbuka, lebih-lebih lagi jika melibatkan kepentingan masharakat dan rakyat. Soal husnuz zhon (bersangka baik) bukan jawapannya, begitu juga soal 'hormati ilmuan/guru/ulama/dsb)', yang mesti dilakukan ialah memberikan penjelasan dan mengambil tindakan sewajarnya.

4) Saya mengulangi, wajarlah kedua-dua keadaan dan identiti tersebut dicerakinkan. Saya menghormati sesiapa yang berslogan 'kepemimpinan ulama', tapi kena ingat identiti seseorang sebagai seorang 'ulama'dan peranannya sebagai 'pemimpin/ahli politik' tidaklah sama. Tentunya ia mempunyai identiti yang bercampur, oleh itu wajarlah ia memakai identiti yang sesuai, di tempat yang sesuai. Sebagaimana seorang Pengarah urusan sebuah sharikat, jika ia juga seorang anak dan bapa, identitinya sebagai seorang anak dan bapa tiada berubah semasa berada di sharikatnya, tapi haruslah ia memakai identiti sebagai seorang Pengarah urusan, sementara di rumah pula, ia seorang anak dan bapa, bukannya bersikap sebagai seorang Pengarah urusan sebuah sharikat.

5) Demikian tuan-tuan, secara ringkasnya kebiasaannya kita punya lebih daripada satu identiti, justeru haruslah kita bijak mencerakinkan identiti kita dan tidak mencampur aduk hingga terciptanya kekeliruan. Juga dalam kes di atas; janganlah salah guna identiti seseorang (guru, pensyarah, ulama, ustaz, etc) hingga hilang fokus bahawa yang dikritik orang ialah tugasnya sebagai pentadbir dan ahli politik, bukan pula sebaliknya. 


Tammat

WaLlahua'lam,
MBH, Irbid.

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP