Wednesday, 11 December 2013

Membezakan antara Hukum dan Prinsip Syariah

Tulisan ini merupakan terjemahan kepada tulisan asal oleh Prof Dr Jasser Auda (gambar) bertajuk Ma al-Farq bayn Ahkam al-Shariah wa Mabadi' al-Shariah, salah satu tajuk dalam bukunya yang berjudul "Syariah dan Politik: Persoalan Pasca-Revolusi" (Bayn al-Shariah wa al-Siyasah: As-ilah Li marhalah ma ba'd al-Thawrah).

                Antara yang penting sebelum kita berbicara tentang sesuatu yang mewajibkan kita kembali kepada prinsip-prinsip umum – contohnya sebagaimana disebut dalam dokumen al-Azhar[i]  dan selainnya daripada dokumen-dokumen dan karya keperlembagaan yang penting pada peringkat ini – suatu yang penting untuk kita menjawab soalan berikut:
Apakah prinsip-prinsip perundangan Islam? Apa pula hubungannya dengan hukum hakam fiqh yang pelbagai? Sejauh manakah kesahihan dan ketetapannya (thubut)? Adakah merujuk kepadanya (prinsip-prinsip syariah) sebagai “sumber asas untuk legislatif” bermakna kita sewajibnya tidak boleh kembali kepada pemerincian syariah sebagaimana para fuqaha’ telah memahaminya dalam sesuatu masalah?
                Pertama: nama yang ilmiah untuk prinsip-prinsip syariah, keumumannya dan tujuan-tujuannya ialah “maqasid al-shariah”. Maqasid al-Shariah merupakan matlamat-matlamat (al-ghayaat), kebaikan-kebaikan (al-masalih), makna-makna (al-ma’ani), tujuan-tujuan (al-ahdaaf), alasan-alasan (al-‘ilal) dan sebab-sebab (al-asbab) – berdasarkan pemerincianan kepada pemahaman istilah-istilah yang maksudnya saling mendekat menurut kalangan ahli ilmu – dan syariat telah datang untuk merealisasikannya dalam dunia manusia.
Asas kefalsafahan yang terbina al-maqasid ini ialah bahawa Allah Azza wa Jalla tidak membuat sesuatu perkara dengan sia-sia. Dia mengurniakan nikmat kepada kita dengan pengutusan Rasulullah saw dan penurunan syariat ini (dengan maksud apa yang diwahyukan daripada Allah), perkara ini tidak menjadi sia-sia tetapi untuk merealisasikan kebaikan, matlamat, tujuan dan makna tertentu.
Sebagai contoh, antara maqasid dan ma’ani´yang paling penting ialah al-‘adl (keadilan) di mana Allah swt berfirman:
“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan”[ii]
Huruf al-lam yang terdapat pada perkataan li-yaqum merupakan al-lam al-sababiyyah (huruf lam yang memberi maksud sebab), oleh itu keadilan merupakan maksud dan tujuan utama daripada pengutusan para rasul dan penurunan kitab-kitab. Ia juga merupakan antara maqasid al-syariah “al-‘ammah” (umum) dan al-kulliyyah (sejagat) selain maqasid al-shariah lain yang telah disebutkan oleh para ulama dalam teori-teori mereka yang pelbagai[iii]. Lihatlah di sini bahawa keadilan dan menolak kezaliman merupakan sesuatu yang menjadikan seseorang syahid apabila dia mati ketika berada atas perjuangan untuk menegakkannya (keadilan) sebagaimana wujud dalam hadis Nabi saw.
Al-maqasid dan al-mabaadi’ (prinsip-prinsip) dalam erti kata ini merupakan daripada pengetahuan dan pemahaman kepada syariat, bukannya merupakan syariat itu sendiri. Adapun ia merupakan teori-teori dan kefahaman yang mendalam dan penting untuk syariat ini. Untuk itu, sesungguhnya pemahaman ini mempunyai teori yang pelbagai dan tidak hanya satu penyelarasan sahaja. Sekalipun ruang ini agak terbatas untuk menjelaskannya[iv], kami akan melontarkan penjelasan kepada sebahagian pembahagian asas iaitu perkara yang berkait dengan apa yang dinamakan  al-Darurat (asasi), al-Hajiyyat (kehendak) dan  al-Tahsiniyyat (penyempurnaan).
Al-Darurat bermaksud persoalan-persoalan kehidupan dan kematian. Justeru sesuatu yang penting (daruri) berkait dengan kehidupan manusia atau kebinasaan mereka. Sementara al-Hajiyyat datang selepas al-Dharurat dan merangkumi setiap apa yang diperlukan manusia yang tidak termasuk dalam persoalan hidup dan mati. Ia merupakan keperluan yang digunakan tetapi sangat dituntut dan penting. Bahagian ketiga pula ialah al-Tahsiniy atau al-Kamaliy iaitu perkara-perkara yang digunakan yang bukan merupakan asasi ataupun bertaraf daruri. Semua peringkat al-masalih ini merupakan daripada apa yang Syariah datang untuk merealisasikannya dalam kehidupan manusia dan bertujuan memenuhinya berdasarkan peringkat-peringkat yang pelbagai.
Adapun al-Darurat, berhubung hal ini para ulama telah menyatakan bahawa keperluan-keperluan syarak ialah melindungi atau memelihara perkara berikut; al-Din (Agama), al-Nafs (Nyawa), al-‘Aql (Akal), al-Nasl (Keturunan), al-‘Irdh (Maruah) dan al-Mal (Harta) dengan perberzaan dalam penjelasan urutan dan istilah. Imam al-Ghazali mempunyai kata-kata yang indah iaitu bahawa pemeliharaan (al-Hifz) mempunyai sudut positif dan sudut negatif. Sudut negatif ialah memelihara maslahah daripada berkurang atau menjadi sia-sia, sementara sudut positif pula ialah pemeliharaan pada perkara pertumbuhan dan pengembangan, dan mesti memelihara kedua-dua sudut tersebut dalam implementasi dan pengamalan.[v]
Sebagai contoh, memelihara agama yang dimaksudkan ialah memelihara asal agama, iaitu asal keimanan dengan Allah swt, kerana setiap sesuatu dalam Islam mempunyai hubungan dengan agama. Tetapi memelihara agama – menurut erti ini iaitu prioriti utama pada apa yang Syariah turunkan untuk merealisasikan maslahah dan tujuan-tujuan – ialah memelihara asal keimanan dengan Allah daripada apa yang bertentang dengan kepercayaan dan pemikiran Islam, dan ini untuk umat Islam.
Adapun untuk bukan Muslim, memelihara agama dalam hak mereka juga terjamin dan penting dalam Syariah kerana: “bagi mereka hak sebagaimana bagi kita dan ke atas mereka tanggungjawab sebagaimana ke atas kita”[vi] – menerusi jalan memelihara asal keyakinan menurut mereka, al-Quran jelas menyebut hal ini menerusi firman-Nya: “Tiada paksaan dalam urusan agama”[vii], “maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”[viii], “maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?”[ix].
Ayat-ayat ini mutlak, jelas yang kukuh menunjukkan bahawa bukan Mulsim tidak sah untuk dipaksa kepada Islam atau kepada apa hukum-hakam yang khas untuk umat Islam. Ini merupakan pemeliharaan agama pada haknya, pandangan Shaykh Imam al-Tahir Ibn Ashur menurut erti yang sama ialah Hurriyah al-I’tiqadat (kebebasan berkeyakinan).[x]
Adapun memelihara jiwa berkait dengan memelihara kehidupan manusia dalam Islam, dengan setiap gambarannya dan pada setiap peringkatnya. Ia berkait secara praktisnya dengan menolak apa yang menghilangkan kehidupan ini seperti bunuh dan apa yang membawa kepada bahaya terhadap jiwa menerusi apa-apa bentuk sekalipun, seperti apa yang membahayakan manusia dengan bahaya yang hingga menghilangkan salah satu anggotanya atau menjadikan perempuan yang hamil tergugur janinnya atau apa yang membawa kepada penyakit contohnya. Selain sudut negatif daripada tujuan yang telah dinyatakan, sudut positif pula berkait dengan pelaksanaan setiap apa yang meningkatkan kesihatan manusia dan melindungi daripada penyakit, jangkitan dan sebagainya. Bahkan sesungguhkan pemeliharaan jiwa dalam Islam berkait juga dengan memelihara segala kehidupan yang pelbagai seperti haiwan, tumbuhan dan alam sekitar. Justeru menceroboh kehidupan dengan apa-apa bentuk sekalipun adalah diharamkan dalam Syariah dan mengekalkannya disyariatkan dan menjadi tujuan.[xi]
Adapun memlihara akal para ulama silam mengikatnya dengan isu pengharaman arak dalam Syariah Islam, mereka berkata sesungguhnya memelihara akal daripada keadaan tidak sedar menerusi tiap-tiap yang memabukkan atau menjadikan khayal (dadah) walau apa pun nama dan kandungannya, selain walau apa cara membuatnya dan walau apa bahan yang memberi kesan! Tetapi hakikatnya memelihara akal dalam Islam sebagaimana yang al-Quran terangkan turut mempunyai erti positif yang lebih luas daripada erti negatif dalam pemeliharaan dan penjagaan, kerana ia berkait dengan faham-faham yang bersifat pembangunan seperti menuntut ilmu, perkembangan kemahiran, pemeliharaan akal manusia daripada khurafat, silap mata dan mengikut sesuatu secara buta, selain menggalakkan bukti-bukti dan dalil-dalil akal dalam setiap persoalan (sama ada manhaj akal atau manhaj falsafah), sekalipun persoalan tersebut merupakan persoalan kewujudan Allah taala atau kebenaran para rasul. Selain itu, ia melawan rasional yang putus (terus menutup perbincangan), tidak berpendirian dan contoh-contoh lain yang memelihara akal yang berkembang.
Adapun memelihara keturunan, dalam Syariah ia tidak berkait dengan memelihara keturunan anak-anak kepada ayah mereka semata-mata. Bahkan ditambah kepadanya akan pemeliharaan kanak-kanak dan memelihara keluarga dalam erti negatif dan erti positif, atau perlindungan dan pertumbuhan pada masa yang sama. Dalam realiti semasa kita, keluarga merupakan asas dalam pemeliharaan umat dan pertumbuhan anak-anak dan pendidikan mereka. Oleh itu pemeliharaan keturunan sebagai satu kefahaman menjadi luas dalam ijtihad semasa dalam maqasid al-shariah untuk merangkumi pemeliharaan keluarga – sebagaimana tersebar dalam penulisan-penulisan kontemporari – dan setiap yang berkait dengannya pada sistem sosial, kebudayaan dan undang-undang.
Adapun pemeliharaan maruah, ia merupakan kefahaman yang juga berkembang di sebalik kewujudannya yang berkait dengan pemeliharaan daripada cakap-cakap manusia – sama ada laki-laki mahupun perempuan – daripada qazaf, cercaan, celaan, tuduhan yang tidak benar ataupun pengintipan, sehinggalah berkait dengan kemuliaan manusia (karamah al-insan) dan hak-hak asasi manusia sebagaimana kita kenalinya pada hari ini dalam dokumen-dokumen semasa berkaitan hak-hak asasi. Akan tetapi kita harus membezakan antara hak-hak asasi manusia yang disepakati akannya seluruh manusia (seperti hak kehiduan, kebebasan memilih, perlindungan daripada seksaan, kebebasan memberi pandangan, keadilan perundangan dan sebagainya) dan antara pelaksanaan erti-erti ini dalam kebudayaan yang berbeza antara masyarakat Timur, Barat dan antara umat Islam dan selain mereka – tanpa pemaksaan apa-apa budaya daripada kebudayaan lain dalam penerimaan kefahaman dan pelaksanaannya yang terperinci. Namun kita melihat kadang-kadang sebahagian negara yang mempunyai pengaruh atau kekayaan dan kemewahan cuba memaksa budayanya yang spesifik ke atas pihak lain atas nama hak-hak manusia. Perbuatan ini – menurut pandangan Syariah – mesti dirujuk, khasnya dalam lapangan keluarga sebagaimana akan menyusul nanti.
Adapun pemeliharaan harta, dalam fiqh ia berkait dengan hukuman-hukuman yang Syariah wajibkan ke atas jenayah kecurian, penipuan, monopoli dan penggelapan wang. Tetapi erti fiqh semasa menambah dimensi positif yang berkembang kepada memlihara hak-hak, pemilikan (termasuk hak-hak dan pemilikan intelektual), pemeliharaan ekonomi daripada keruntuhan, pengangguran, inflasi dan lain-lain.
Shaykh Muhammad al-Tahir Ibn Ashur rahimahullah mempunyai lontaran yang diasaskannya seputar “darurat al-fard” (keperluan-keperluan individu) dan “darurat al-ummah” (keperluan-keperluan umat), apabila beliau menyatakan bahawa kepentingan umat didahului daripada kepentingan individu. Oleh itu, agama, jiwa, akal, keturunan, maruah dan harta yang melibatkan umat, semuanya didahului daripada agama, jiwa, akal, keturunan, maruah dan harta yang melibatkan individu. Erti ini sangat penting dalam pelaksanaan dan implementasi Syariah, khasnya dalam lapangan keutamaan-keutamaan dan berkaitan kepolitikan. Menurut erti semasa, ia bermaksud kepentingan umum didahului – sebagai kaedah umum – ke atas kepentingan individu, akan menyusul perbincangannya nanti.
Adapun al-hajiyyat, ia merupakan isu dan kepentingan yang manusia kehendakinya pada peringkat yang lebih sedikit berbanding al-darurat kerana ia bukan merupakan persoalan kehidupan atau kematian. Para ulama telah meletakkan contoh-contoh berkaitan al-hajiyyat ini seperti perkahwinan, perjalanan dan perniagaan, bererti seseorang itu tidak mati jika tidak berniaga, berkahwin (saya harap ia seperti yang dikata!) atau lain-lain yang seumpamanya. Tetapi sebahagian para sarjana Usul al-Fiqh menyatakan bahawa “sesuatu kehendak (al-hajah) apabila ia merebak, ia turun ke kedudukan keperluan (al-darurat)”, iaitu apabila terdapat kemelesetan yang umum dalam perniagaan, maka perniagaan menjadi suatu keperluan, dan apabila terdapat kemerosotan yang umum dalam perkahwinan, maka perkahwinan menjadi suatu keperluan, demikian juga contoh-contoh lain. Oleh itu, kehendak-kehendak ini penting, namun ia datang selepas keperluan-keperluan dan tidak mendahuluinya dalam tangga kepentingan dan pengambilan berat. Pemerhatian kepada prinsip-prinsip Syariah mesti menjaga turutan ini dan tidak lari daripadanya, ia merupakan turutan yang logik yang disepakati akannya orang yang berakal.
Adapun al-tahsiniyyat, daripada kurniaan Allah swt, kemuliaan dan kasih sayang-Nya menjadikan daripada objektif Syariah dan tujuannya ialah untuk mencantikkan kehidupan kita dan memperindahnya hingga dengan penyempurnaan-penyempurnaan, tidak sekadar melibatkan al-darurat dan al-hajat. Yang demikian seperti menghias rumah, masjid dan penurapan jalan, juga seperti perkara hiburan yang diharuskan dan bau-bauan yang wangi, makanan dan minuman yang menyelerakan yang diharuskan, kelengkapan rumah yang selesa dan warna-warna yang cantik dan contoh-contoh lain. Merealisasikan semua ini merupakan sebahagian daripada tujuan Syariah dan objektifnya, namun ia datang pada kedudukan selepas al-hajaat, mendahulukan dan mempermudah al-hajaat, tidak sah ia mendahului al-hajaat dalam tangga keutamaan, pengambilan berat, kepolitikan dan pertimbangan-pertimbangan yang berkaitan.
                Selain daripada pembahagian yang terkenal ini dalam pembahagian-pembahagian al-maqasid, terdapat pembahagian-pembahagian lain yang berkaitan dengan apa yang dinamakan dengan al-kulliyyat al-‘ammah. Para ulama telah menyatakan bahawa keadilan merupakan antara maqasid al-shariah yang bersifat kulli, mereka berkata bahawa penjagaan fitrah atau tabiat-tabiat manusia yang Allah ciptakan manusia menurutnya, juga merupakan antara maqasid al-shariah yang bersifat kulli. Demikian juga dengan penjagaan aturan-aturan Tuhan dengan erti kata sistem dan undang-undang alam yang Allah azza wa jalla menjadikannya sebagai pemerintah ke atas pergerakan alam dan kehidupan – mereka berkata, sesungguhnya Syariah bertujuan memelihara undang-undang ini dan tidak sesekali bertujuan bertembung dengannya, mereka menyebut “hifz nizam al-ummah” (pemeliharaan sistem umat) dalam al-maqasid al-kulliyyah al-‘ammah (tujuan-tujuan menyeluruh yang umum) yang mahu dicapai Syariah menerusi pemerinciannya yang berbeza, dan ia mempunyai kepentingan yang khas dalam perbincangan kita tentang prioriti pasca-revolusi.
                Antara erti tujuan-tujuan menyeluruh yang umum yang para sarjana maqasid nyatakan ialah: al-samahah (lapang dada), al-taysir (kemudahan), al-hikmah (kebijaksanaan), al-maslahah al-‘ammah (kepentingan umum), al-ta’awun (saling membantu), al-ta’ayush (saling hidup), al-takaful (tanggungan bersama), al-amanah (amanah), al-tatawwu’ (kesukarelawanan) dan lain-lain yang termasuk dalam nilai-nilai kemasyarakatan yang kita sebut pada hari ini sebagai ‘nilai-nilai ketamadunan’.
                Oleh itu, merujuk kepada “prinsip-prinsip Syariah Islam” ialah merujuk kepada setiap makna dan tujuan yang disebut di atas, yang mahu dicapai Syariah dan bertujuan memeliharanya seperti kepentingan-kepentingan dan hak-hak yang disebut. Merujuk kepada prinsip-prinsip Syariah, keistimewaannya ialah orang yang berakal tidak berselisih mengenainya memandangkan tujuan-tujuan ini “dipelihara dalam setiap agama” – menurut pandangan al-Imam al-Shatibi rahimahullah – dan akal yang sejahtera menerimanya secara spontan dan tidak berdebat padanya walau apa agama atau ideologinya. Justeru, ia merupakan landasan bersama antara seluruh ketumbukan politik dalam apa-apa projek kepolitikan yang umum, dan ia penting menurut konteks perkataan kita mengenai Syariah dan peringkat pasca-revolusi.
                Terdapat hukum-hakam daripada Syariah Islam (contohnya undang-undang kekeluargaan) yang tidak membolehkan umat Islam sama ada majoriti atau minoriti, juga di mana-mana negeri dan bawah mana-mana pemerintahan untuk tidak berpegang dengannya. Tidak cukup untuk penggubal undang-undang melihat kepada “prinsip-prinsip umum” dan makna-makna yang am, bahkan seseorang Muslim – sama ada secara individu atau menerusi undang-undang jika boleh – mestilah kembali kepada pemerincian, rukun, syarat, sebab dan halangan-halangan tertentu yang ditetapkan Syariah. Yang demikian supaya tafsiran nas-nas yang terperinci tidak terkeluar daripada prinsip dan maqasid umum yang disebutkan – demikianlah berlakunya pertimbangan antara nas-nas tertentu yang tetap dan tujuan-tujuan menyeluruh yang umum.
                Adapun beza antara lapangan yang cukup padanya prinsip dan maqasid umum dan antara apa yang wajib kembali kepada pemerincian fiqh dan tafsiran-tafsiran berasaskan mazhab, hal ini akan kami jelaskan kemudian menerusi konteks perbincangan tentang pertimbangan antara “al-diniy” (keagamaan) dan “al-madaniy” (kemodenan).





[i] Rujuk isyarat tersebut (dengan melihat) ke “mabaadi’ al-syariah” yang banyak dalam dokumen al-Azhar yang terkenal itu. Rujuk laman al-Hai’ah al-‘ammah li al-Isti’malat: www.sis.gov.eg, disebut pada prinsip-prinsipnya: “Pertama: Membantu membina sebuah negara kebangsaan, berperlembagaan, demokratik dan moden, yaitu (sebuah negara) yang berpegang dengan perlembagaan yang diterima rakyat, memisahkan antara pemerintahan negara dan institusi undang-undang kehakiman. Ditetapkan bahagian pemerintahan dan dijamin hak-hak dan kewajipan (keperluan/daruri) untuk setiap rakyatnya secara sama rata di mana kuasa legislatif padanya terdapat dewan-dewan rakyat yang bertepatan dengan pemahaman Islam yang sahih. Islam sama ada syariat, tamadun mahupun sejarahnya tidak pernah mengenali apa yang dikenali oleh sejarah yang lain sebagai negara agama (teokratik) di mana gereja/paderi yang memerintah rakyat. Manusia membimbangi konsep negara agama tersebut menerusi sebahagian peringkat sejarah, bahkan meninggalkan kepada rakyat pengurusan masyarakat mereka dan pemilihan mekanisme dan institusi pelaksanaan untuk kemaslahatan mereka, dengan syarat prinsip-prinsip umum kepada syariah Islamiyah menjadi asas umum penggubalan undang-undang, termasuk menjamin kepada pengikut agama-agama samawi yang lain untuk berhukum dengan syariat-syariat agama mereka  dalam isu-isu kekeluargaan. Kedua: Menerima sistem demokrasi berdasarkan pilihanraya yang bebas, yang merupakan mekanisme semasa dalam merealisasikan prinsip-prinsip syura Islam…”.
[ii] Al-Hadid : 25
[iii] Rujuk contohnya: Jaaser Audah, Fiqh al-maqasid, Institut Pemikiran Islam Antarabangsa – Cetakan ketiga – Beirut, 2008.
[iv] Aku mempunyai beberapa kajian dan makalah yang diterbitkan. Rujuk contohnya: Jaaser Audah, Fiqh al-maqasid, Institut Pemikiran Islam Antarabangsa – Cetakan ketiga – Beirut, 2008. Jasser Auda, Maqasid al-Syariah Ka Falsafah al-Tasyri’ al-Islamiy: Ru’yah Manzhumiyyah, Institut Pemikiran Islam Antarabangsa, Beirut, 2012.
[v] Tambahan daripada penjelasan pada rujukan-rujukan yang lepas.
[vi] Dinamakan dalam fiqh sebagai “kaedah lahum ma lana wa ‘alayhim ma ‘alayna”, ia merupakan perkataan Imam Ali bin Abi Talib, Shaykh al-Islam Ibn Taymiah dan selain mereka dalam karangan-karangan fiqh dan Usul al-Fiqh di banyak tempat dan terdapat implementasi yang pelbagai berdasarkan kaedah itu, kaedah itu juga diriwayatkan secara marfu’ (iaitu ia hadis yang disandarkan kepada Nabi saw) tetapi ia bukan sebuah hadis, walaupun maksudnya sahih, rujuk contohnya: Ahmad Abdul Halim Ibn Taymiah, Kutub wa Rasail wa Fatawa Shaykh al-Islam Ibn Taymiah, cetakan kedua, tanpa tarikh, jilid 28, hlm. 618, Ala’ al-Din al-Kasani, Bada’i’ al-Sana’I’, Dar al-Kitab al-Arabiy, cetakan kedua, Beirut, 1982 M, jilid 7, hlm. 111.
[vii] Al-Baqarah:256, menafikan kenafian lebih kuat ertinya berbanding menetapkan kenafian, iaitu bahawa pandangan menafikan paksaan dalam agama lebih kuat berbanding pandangan kebebasan keagamaan.
[viii] Al-Kahfi:29
[ix] Yunus: 99
[x] Adapun isu had al-riddah (hukuman hudud berkaitan murtad), ia merupakan isu khilaf yang mempunyai pemerincian yang bercabang-cabang. Pada pandangan saya, penulisan terbaik berkaitannya pada zaman kita ialah karangan Taha al-Alwani dan Yusuf al-Qaradawi. Rujuk: Taha al-Alwani, La Ikrah fi al-Din: Dirasah fi Ishkaliyyah al-Riddah wa al-Murtaddin, Maktabah al-Shuruq al-Duwaliyyah, 2003 M, Yusuf al-Qaradawi, Jarimah al-Riddah wa ‘Uqubah al-Murtad, Maktabah Wahbah, Kaherah, cetakan ekdua, 2005. Dalam kedua-dua karangan itu menafikan wujudnya hukuman syarak ke atas sekadar menukar agama tanpa jenayah-jenayah yang lain, sebagaimana dikhayalkan sebahagian pihak.
[xi] Rujuk contohnya buku al-Qaradawi: Ri’ayah al-Bi’ah fi Shariah al-Islam, Dar al-Shuruq, 2001 M.

Read more...

Thursday, 5 December 2013

Tafsir al-Ikhlas, Seruan Pembebasan dan Kemanusiaan.

Surah al-Ikhlas membawa tema penting iaitu pembebasan dan kemanusiaan.

                Salah satu kandungan utama ajaran Islam ialah konsep keesaan Tuhan atau lebih dikenali dengan perkataan tauhid. Suatu yang diketahui umum bahawa tauhid merupakan asas yang maha penting dalam wacana agama Islam, hal tersebut jelas dalam seluruh teks Islam. Sebagai contoh, terlalu banyak ayat dalam al-Quran yang mengulang-ulang perihal keesaan  Tuhan di pelbagai tempat yang berbeza.

                Latar belakang surah al-Ikhlas

                Selain dalam pelbagai ayat yang berbeza, persoalan tauhid turut dibincangkan khusus dalam sebuah surah yang dinamakan al-Ikhlas. Surah pendek ini dinamakan al-Ikhlas sekalipun tiada walau satu perkataan  al-Ikhlas dan perkataan-perkataan berkait dengan huruf kha-la-sa seperti akh-la-sa, khalis, mukhlis (dan sebagainya) disebut di dalamnya. Apakah rahsianya? Imam al-Raghib al-Asfahani yang merupakan sarjana tafsir dan falsafah yang terkenal dalam dunia keilmuan Islam silam telah menyatakan bahawa perkataan kha-la-sa  yang merupakan asal perkataan al-Ikhlas bermaksud al-Safi sesuatu yang suci, bebas dan murni daripada hal-hal lain. Menurutnya, yang membezakan al-Khalis dan al-Safi ialah al-Khalis merupakan sesuatu yang menjadi suci setelah sebelumnya bercampur dengan sesuatu perkara lain, adapun al-Safi pula boleh dimaksudkan sebagai sesuatu yang sedari awal tidak bercampur dengan apa-apa. Oleh itu al-Asfahani menyatakan hakikat al-Ikhlas ialah ‘berlepas diri daripada segala perkara selain daripada Allah’.[i]

                Imam Muhammad al-Tahir Ibn Ashur menyebut bahawa antara nama surah al-Ikhlas dalam kitab al-Itqan fi Ulum al-Quran karangan Imam al-Suyuthi  ialah “surah al-Asas” kerana ia mengandungi soal keesaan Allah dan keesaan Allah pula merupakan asas Islam. demikian juga pelbagai nama lain seperti surah al-Samad (nama Allah yang disebut dalam surah al-Ikhlas), al-Tauhid, al-Najah (bermaksud kejayaan, kerana tauhid menjadikan seseorang berjaya bebas daripada kekufuran di dunia dan bebas daripada neraka di akhirat)dan beberapa nama lagi[ii].

                Menurut Ibn Ashur, antara tujuan-tujuan daripada surah ini ialah “menetapkan keesaan Allah swt, bahawa manusia sangat berhajat kepada Allah semasa ia sedang ditimpa kesusahan, membatalkan tuduhan bahawa ada Tuhan mempunyai anak dan diperanak”.[iii]

                Sayyid Qutb dalam karangannya bertajuk Fi Zilal al-Quran menyatakan konsep keesaan Tuhan sebagaimana dijelaskan dalam surah ini merupakan “keyakinan untuk nurani, penjelasan kepada kewujudan Tuhan, manhaj untuk kehidupan dan surah ini mengandungi garis-garis yang pokok dalam hakikat besar Islam.”[iv]

Dalam riwayat-riwayat hadis yang sahih, surah al-Ikhlas dinyatakan sebagai menyamai satu pertiga al-Quran. Sabda Nabi saw: “Demi Dia yang jiwaku di tangan-Nya, sesungguhnya ia menyamai satu pertiga al-Quran.”[v] Muhammad Abduh mengulas bahawa perihal fadhilat yang besar akan surah ini bukanlah suatu yang ganjil kerana sesiapa yang mengetahui erti surah ini dengan sebenar-benar pengetahuan dan memahaminya dengan sebenar-benarnya, tiada lagi selepas pengetahuannya tentang al-Tauhid dan al-Tanzih (Tuhan itu suci daripada segala kekurangan) selain pengajaran seterusnya merupakan penjelasan tentang apa yang dia sudah tahu dan syarah akan apa yang dia sudah peroleh.[vi]

Demikian berdasarkan beberapa petikan daripada para sarjana di atas, kita fahami bahawa persoalan keesaan Tuhan dan mengenali Tuhan dengan sebenar-benar pengetahuan merupakan antara tujuan diturunkan agama dan diutuskan para rasul. Akal manusia mungkin boleh berimaginasi dalam banyak perkara, selain mencapai pengetahuan yang baik dalam membina teknologi, namun untuk mengenali Tuhan dan mengetahui perkara-perkara ghaib seperti alam selepas kematian, manusia sangat lemah dan berhajat kepada pembimbing. Oleh itu diturunkan agama Islam sebagai panduan zaman berzaman dan diutuskan para rasul untuk mendidik manusia tentang tauhid sebagai satu asas terpenting sistem kehidupan, seterusnya setelah difahami dan dihayati dengan teguh sistem itu, manusia diperintahkan untuk membangunkan bumi dengan kebaikan dan keadilan.

Sebab turunnya ayat ini menurut para ilmuan tafsir ialah berdasarkan soalan daripada kaum musyrikin kepada Rasulullah saw supaya baginda saw menceritakan kepada mereka tentang Allah swt. Lalu Allah swt menurunkan: “Katakanlah Dia ialah Allah yang esa, sehingga akhir surah.”[vii]
Tauhid Sebagai Salah Satu Maqasid al-Quran
Justeru para sarjana Islam yang menulis dan mengulas tentang Maqasid al-Quran, salah satu yang disenarai dan berada di kedudukan teratas ialah mengenai keesaan Tuhan. Al-Ustaz al-Imam Muhammad Abduh menyatakan bahawa maqasid al-Quran ada lima semuanya, salah satu dan yang pertama menurut beliau ialah al-Tauhid, selain al-wa’d wa al-wa’id (janji ganjaran baik kepada orang yang mentaati perintah Tuhan dan ancaman buruk kepada orang yang melanggar perintah Tuhan ), al-Ibadah, Bayan Sabil al-Sa’adah (menerangkan jalan kebahagiaan) dan al-Akhbar wa al-Qasas (Kisah kaum-kaum terdahulu)[viii]. Menurut Muhammad Abduh lagi, al-Tauhid merupakan kandungan agama paling penting dan agama diturunkan demi mencapai tujuan agung tersebut. Ia menolak akar syirik dan penyembahan berhala yang sebelum itu merebak dalam banyak kaum dan bangsa hingga diambil pembantu-pembantu selain daripada Allah dan mereka (yang syirik) berdoa dan meminta kepada selain Allah swt.[ix]
Selain Muhammad Abduh, para sarjana Islam lain yang melakukan kajian terhadap maqasid al-Quran juga menyatakan bahawa al-Quran mengangkat persoalan keesaan Tuhan sebagai perkara paling pokok dalam ajarannya. Sebagai contoh Rashid Redha semasa membahaskan mengenai maqasid al-Quran (menurutnya, maqasid al-Quran ada sepuluh) dalam karangan terkenalnya al-Wahy al-Muhammadi (juga dalam tafsir al-Manar-nya) menyatakan bahawa salah satu maqasid al-Quran ialah melakukan perobahan keagamaan berdasarkan tiga rukun utama iaitu salah satunya, keimanan dengan Allah taala.[x] Keimanan kepada Allah merupakan rukun pertama yang terbesar daripada tiga rukun dalam maqasid al-Quran yang pertama iaitu al-Islah al-Dini (Perubahan keagamaan). Disebabkan itu, didapati perkara paling banyak diulang-ulang dalam al-Quran ialah persoalan keesaan Allah.[xi]
Muhammad al-Ghazali dalam bukunya bertajuk al-Mahawir al-Khamsah Li al-Quran al-Karim, iaitu sebuah buku yang menulis tentang lima paksi utama yang terkandung dalam al-Quran. Paksi yang pertama menurut beliau ialah Allah al-Wahid (Allah yang Esa) yang merupakan mesej terpenting al-Quran.[xii] Kaum dan manusia sebelum ini mengenali Tuhan dengan pengetahuan yang kurang dan cacar, lalu mereka menyembah Tuhan lain selain Allah, walhal Tuhan yang disembah itu hasil ciptaan tangan mereka sendiri. Lantas diutuskan para Rasul untuk membetulkan kesesatan tersebut dan manusia diseru supaya kembali kepada Allah yang Esa.
Selain itu, Yusuf al-Qaradhawi dan Taha Jabir al-‘Alwani antara sarjana yang turut mengulas mengenai maqasid tertinggi al-Quran dan kedua-duanya memasukkan keesaan Tuhan sebagai salah satu tujuan besar yang mahu dicapai al-Quran. Al-Qaradhawi berpandangan, maqasid al-Quran ada tujuh semuanya, salah satunya ialah Tashih al-‘Aqa’id wa al-Tasawwurat (Membetulkan Kepercayaan dan Tasawwur). Dalam maqasid yang pertama ini, diletakkan tiga unsur dan salah satunya ialah mengukuhkan doktrin Tauhid. Al-Qaradhawi menyatakan:
“al-Quran menyatakan syirik sebagai jenayah terbesar yang dilakukan makhluk (al-Nisa’:48). Yang demikian kerana pada syirik itu merupakan kezaliman akan hakikat, pemalsuan akan realiti dan menurunkan manusia daripada martabat ketua kepada alam – sebagaimana Allah mahukan – kepada martabat menjadi hamba dan tunduk kepada sekalian makhluk, sama ada makhluk yang keras, tumbuh-tumbuhan, haiwan, manusia atau lain-lain.”[xiii]
Adapun Taha Jabir al-Alwani menyatakan maqasid al-Quran yang tertinggi dan mentadbir seluruh kandungan al-Quran yang lain ialah al-Tauhid, al-Tazkiyah dan al-‘Umran. Dr Fathi al-Malkawi telah melakukan kajian lanjut mengenai tiga maqasid menurut pandangan al-‘Alwani tersebut dalam sebuah buku bertajuk Manzumah al-Qiyam al-‘Ulya: al-Tauhid wa al-Tazkiyah wa al-‘Umran dan dalam satu konsep Tauhid sememangnya teras paling utama menurut al-Alwani dan diulas lanjut oleh Fathi al-Malkawi dalam bukunya tersebut. Menurutnya: “Tiada ertinya agama tanpa mengesakan Allah Yang Maha Mencipta, dan penyucian (al-Tazkiyah) diri manusia pula untuk memperkuat manusia untuk memikul amanah pentadbir di muka bumi, menguruskan dunia dan membina tamadun.”[xiv]
Demikian sebahagian sarjana Islam yang telah melakukan kajian dan renungan terhadap al-Quran, lalu mereka mengeluarkan apa yang mereka nyata sebagai maqasid al-Quran, iaitu tujuan-tujuan yang mahu dicapai oleh al-Quran menerusi seluruh ayat di dalamnya. Mereka mungkin berbeza dengan bilangan maqasid, hakikatnya maqasid yang dikeluarkan saling memperkukuh dan memperkuat antara sama lain, bahkan secara umumnya semua menyebut perkara yang sama, menerusi ungkapan yang berbeza. Namun demikian, semua sarjana di atas (bahkan seluruh ilmuan Islam) bersetuju bahawa al-Tauhid merupakan mesej utama yang disampaikan oleh al-Quran dan juga merupakan tujuan diutuskan para rasul.
al-Tauhid sebagai slogan pembebasan
Ayat pertama dalam surah al-Ikhlas menyebut: “Katakanlah wahai Muhammad, Dia Allah Yang Maha Esa.” Ayat yang sangat pendek ini mengandungi slogan yang sangat besar iaitu menolak perhambaan, kediktatoran, pembodohan, kerendahan dan segala hal yang bercanggah dengan keesaan Tuhan. Konsep keesaan Tuhan secara langsung menonjolkan falsafah kemuliaan insan. Manusia disuruh supaya mengesakan Tuhan dan meninggalkan apa-apa yang merendahkan nilai manusia daripada mulia kepada hina, manusia diseru supaya membebaskan diri mereka daripada khayalan dan penipuan dunia, lalu menghambakan diri kepada satu-satunya Pencipta.
Disebabkan hanya Allah swt sahaja yang Esa dan disembah, maka tiada erti segala bentuk penyembahan yang lain, sama ada penyembahan bukit-bukau, berhala, manusia, bahkan menolak penyembahan diri manusia sendiri. Konsep al-Tauhid menolak pembodohan, maka ia menimbulkan pertanyaan yang penting mengenai alam dan kehidupan seperti terlihat dalam pelbagai ayat al-Quran. Muhammad al-Ghazali meletakkan al-Kawnal-Daal ‘ala Khaliqih (Alam yang menjadi petunjuk Dia selaku Pencipta) sebagai paksi kedua daripada lima paksi utama al-Quran.[xv] Bererti, apabila bercakap tentang Tuhan dan kekuasaannya ialah bercakap soal alam dan seluruh kandungannya. Ia soal kajian, renungan, fikiran, bukannya ikut-ikutan (taqlid) secara buta, terima tanpa soal dan beritual tanpa berfikir. Apabila ayat-ayat tentang Ulul Albab (lihat contohnya 2:269, 3:7, 13:19, 38:29, 39:18 dan 3:190) yang merupakan salah satu gelar kepada golongan cerdik pandai dalam al-Quran disebut, ia berkait dengan persoalan alam semesta, sifat-sifat manusia dan juga hukum-hakam agama. Bermaksud, berTuhan hakikatnya ialah sebuah praktis berfikir dan merenung, demi menuju sebuah kebenaran yang agung.
Manusia harus tahu apa yang dilakukan dan mempunyai alasan dan hujah di sebalik setiap tindakan mereka. Sebahagian manusia (terutamanya Muslim) mungkin sudah berasa berjaya membebaskan diri daripada perhambaan dalam erti kata berhala, bukit-bukau dan sebagainya, namun tanpa sedar manusia boleh terjebak dengan penyembahan harta benda dan diperhamba sistem dan manusia tertentu. Sebahagian manusia mengejar kekayaan, pangkat dan kemasyhuran sehingga mengabaikan amanah besar menjadi manusia seperti berbuat baik kepada manusia lain dan menegakkan keadilan dan kebaikan di mana sahaja berada.
                Hal yang paling penting dalam konsep Tauhid sebagai sebuah slogan pembebasan ini ialah manusia harus berhati-hati dengan bahaya diri sendiri. Seringkali kita diperingat supaya berhati-hati dengan bahaya dari luar, namun realitinya diri sendiri turut wajar kita waspadai. Disebabkan itu terdapat ayat yang menceritakan perihal manusia yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan (lihat 45:23) hingga tertutup telinga dan matanya serta tidak mengakui kebenaran yang telah dibentangkan. Adakala manusia menolak untuk melakukan sesuatu kebaikan hanya kerana ia dicadangkan atau dilakukan oleh insan atau kumpulan yang tidak disukainya, lalu tanpa hujah, telinga dan matanya buta daripada melihat perbuatan baik sebagai ‘baik’. Menjadi seorang Muslim yang mengesakan Tuhan sebagaimana terdapat pada ayat pertama surah al-Ikhlas itu hakikatnya menjadi seorang yang sentiasa mendisiplinkan diri dalam menundukkan ego
Tokoh sufi terkenal, al-Imam al-Qushayri dalam bukunya bertajuk al-Risalah al-Qushayriyyah telah meletakkan satu tajuk al-Hurriyyah (Kebebasan) dalam bukunya itu. Selain mendefinisikan kebebasan sebenar ialah bebas daripada sebarang perhambaan dan tiada apa-apa dalam hati manusia selain Allah, al-Qushayri menulis bahawa kebanyakan kebebasan itu ada pada berkhidmat kepada orang faqir.[xvi] Demikian, kebebasan yang sebenar itu ialah diri yang bebas daripada segala hal dalam dunia yang sementara dan bebas daripada penjara ego sendiri, dan jika menurut al-Qushayri, ia ada pada berkhidmat dan berbuat baik kepada golongan yang memerlukan. Oleh itu, pertanyaan tentang kualiti spiritual kita, terjawab pada sejauh mana kita membantu orang yang sedang dalam kesusahan.
Tidak beranak, diperanak dan tiada yang setara dengan-Nya
Pada ayat ketiga dan keempat dalam surah al-Ikhlas, perbincangan tentang kesempurnaan dan keagungan Tuhan yang tiada apa-apa yang serupa dengan-Nya. Al-Quran menyelar sikap sesetengah ahlul Kitab yang telah menciptakan pendustaan apabila menyatakan Tuhan mempunyai anak, selain itu khayalan salah sesetengah penganut dan pendokong agama tentang Tuhan berlangsung zaman berzaman. Lalu dalam sebuah surah kecil ini, ia turut menyentuh persoalan ini, demi merealisasikan salah satu maqasid al-Quran yang menegakkan konsep Tauhid yang benar.
Selain perbincangan menolak doktrin salah tentang ketuhanan, ia juga hakikatnya sebuah perbincangan tentang penolakan terhadap sebarang perbuatan ta’lih iaitu mempertuhan sesiapa sahaja termasuk ahli agama dan penguasa. Sebagai contoh dalam surah al-Taubah (9:31) Allah swt menyebut perihal sebahagian ahlu al-Kitab yang menjadikan pendeta dan ahli agama mereka sebagai sebahan selain daripada Allah. ‘Adi Ibn Hatim ra (ketika itu, beliau masih belum memeluk Islam dan beragama Nasrani) ketika mendengar ayat tersebut dibacakan telah menafikan bahawa mereka menyembah para pendeta dan ahli agama. Lalu Nabi saw menyebut bahawa mereka telah menjadikan para pendeta dan ahli agama sebagai Tuhan apabila dengan penuh wewenang apabila para ahli agama menghalalkan perkara haram dan mengharamkan perkara halal tanpa hujah yang benar, lalu para penganut agama menuruti tanpa soal, itu juga salah satu bentuk penyembahan.[xvii]
Oleh yang demikian, berdasarkan hal di atas, beberapa sarjana terkemuka termasuk Yusuf al-Qaradawi begitu tegas dengan soal halal dan haram, khasnya apabila segelintir pihak begitu mudah mengharamkan itu dan ini seperti mengharamkan nyanyian, muzik dan banyak perkara lain khasnya isu-isu baharu dan kontemporari yang kebanyakannya berada di bawah bab al-mu’amalat. Menurutnya: “tiada pendeta atau ahli agama, tiada pemerintah atau penguasa memiliki kuasa untuk mengharamkan sesuatu dengan pengharaman yang kekal ke atas hamba Allah. Sesiapa yang melakukannya, ia telah melampaui batasannya dan melanggar hak ketuhanan dalam meletakkan syariat kepada manusia.”[xviii]
Selain itu, ayat ketiga dan keempat tersebut menegaskan penolakan terhadap kekuasaan selain daripada Tuhan. Khurafat dan kepercayaan karut seperti tangkal dan sebagainya ditolak, kerana keesaan Tuhan selain menolak khayalan Tuhan itu beranak atau diperanak, ia membebaskan akal manusia daripada kekarutan, hingga menjadi lemah dan tunduk kepada perkara khurafat kerana segala apa selain Tuhan ialah makhluk dan semua makhluk itu bersifat sementara dan lemah.
Pemikiran ini juga terpakai apabila manusia berhadapan dengan penguasa yang zalim dan jahat. Dalam al-Quran, kisah pemimpin diktator, zalim dan menindas diulang-ulang di banyak ayat yang berbeza. Sebahagian manusia berasa lemah dan mengambil keputusan untuk menyerah dan ‘bersabar’ atas penindasan yang sedang dihadapi. Walhal, konsep Tauhid yang diajar Islam menyeru kepada mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada memperhamba diri kepada Tuhan manusia, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, dan daripada kezaliman atas nama agama kepada keadilan Islam. Pemikiran Tauhid menyeru kepada setiap manusia ialah sama di sisi Allah, kecuali yang paling bertaqwa kepada-Nya. Pemikiran berteraskan kasta ditolak keras kerana ia bercanggah dengan kesamarataan atas dasar Tauhid, demikian juga berdasarkan pemikiran Tauhid, dalam sesebuah negara undang-undang yang dipakai antara orang miskin dan orang kaya, rakyat dan pemerintah adalah sama. Kerana Tuhan itu tidak beranak dan diperanak dan Tuhan itu tiada yang setara dengan-Nya.
Kepada al-Samad kita bergantung harap
Dalam ayat kedua surah al-Ikhlas, Allah swt memperkenalkan dirinya sebagai al-Samad. Menurut al-Asfahani, al-Samad ialah Tuan yang menjadi tujuan oleh setiap yang berhajat dalam sesuatu urusan.[xix] Al-Samad menurut Ibn Ashur ialah setiap yang selain daripada-Nya berhajat kepada-Nya.[xx] Nama al-Samad yang amat indah ini hanya disebut dalam surah yang bernilai satu pertiga al-Quran ini, tiada dalam ayat-ayat yang lain. Sayyid Qutb semasa mengulas tentang al-Samad telah berkata:
“Erti al-Samad menurut bahasa ialah Tuan yang menjadi tujuan di mana tidak berlaku sesuatu urusan melainkan dengan izin-Nya. Allah swt ialah Tuan yang tiada tuan selain-Nya, Dia itu Esa dalam ketuhanannya dan seluruh perkara merupakan hamba kepada-Nya. Dia merupakan satu-satu yang menjadi tujuan setiap hajat, satu-satunya yang menjawab permintaan orang yang memerlukan. Dia lah yang melakukan setiap perkara dengan izin-Nya, tiada sesiapa boleh menjadikan sesuatu perkara berlaku bersama-sama-Nya. Sifat ini adalah bermula dengan hal-Nya yang Maha Esa.”[xxi]
Begitu indah dan mendalam sekali maksud nama Allah al-Samad ini,hakikatnya setiap manusia sentiasa berinteraksi dengan al-Samad. Dalam kehidupan, manusia akan berhadapan dengan kesukaran dan kadang-kadang seperti sudah tiada jalan keluar, maka manusia mengadu memanggil nama Tuhannya, memohon kemudahan. Al-Samad itu sentiasa hadir dalam hidup kita sama ada ketika kita senang atau susah, siang atau malam. Adapun (kebanyakan) kita, memilih untuk meminta dan mengadu kepada al-Samad hanya ketika sedang ditimpa susah.
Ketika kita kabur dengan jalan di hadapan, al-Samad lah yang memimpin menuntun kita sampai ke destinasi yang dimahukan. Ketika kita sendiri meragui kemampuan kita berhadapan dan menyelesaikan sesuatu masalah, al-Samad berbicara: “Allah tidak membebankan seseorang melainkan kadar kemampuannya” (3:286). Ketika kita berasa sedang sendirian dan tidak punya teman untuk dikongsi duka dan lara, al-Samad berkata: “dan Dia bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada” (57:4). Sebahagian manusia awalnya sombong untuk mengingati al-Samad, tetapi sampai satu masa manusia itu akan terduduk tidak terkata apabila ditimpa sesuatu musibah, lalu selepas peristiwa itu manusia itu mula berkenalan dengan al-Samad.
Di samping itu, nama Allah al-Samad ini mengajar kita sesuatu, iaitu mencontohi sifat Allah yang mulia ini dengan sentiasa ringan tulang membantu sesiapa sahaja yang memerlukan. Bertanya tentang sejauh mana kualiti keimanan kita terjawab dengan sejauh mana kita membantu orang yang memerlukan. Bertanya tentang di mana Tuhan di hati kita ialah bertanya tentang di mana orang miskin dan golongan yang ditindas di fikiran kita. Inilah persoalan keesaan Tuhan dan hakikat keimanan yang ditampilkan menerusi surah pendek ini, ia berkait dengan penghayatan akan nilai besar dalam bertuhan, iaitu sejauh mana kita serius mahu menyumbang kepada manusia dan kemanusiaan?



[i] Al-Raghib al-Asfahani, Mufradat Alfazh al-Quran, suntingan Mustafa bin al-Adawi, cetakan pertama. (Mansoura: Maktabah Fayyadh, 2009) hlm. 210.
[ii] Muhammad al-Tahir Ibn Ashur, al-Tahrir wa al-Tanwir (Tunisia: Dar Suhnun) jilid 12, hlm. 609-610
[iii] Ibid, hlm. 612.
[iv] Sayyid Qutb, Fi Zilal al-Quran cetakn ke-34 (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2004) jilid 6, hlm. 4002.
[v] Al-Bukhari
[vi] Muhammad Abduh dalam tafsir Juzuk Ammanya, dipetik dalam al-A’mal al-Kamilah Li al-Imam al-Shaykh Muhammad Abduh, tahqiq oleh Muhammad Imarah, cetakan pertama (Kaherah: Dar al-Shuruq, 1993) hlm. 535-536.
[vii] Al-Suyuthi, Asbab al-Nuzul, tahqiq Muhammad Salah, cetakan pertama (Kaherah: Maktabah al-Rahhab, 2007) hlm. 247, Ibnu Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim (Kaherah: Dar al-Manar, 2002) jilid 4, hlm. 553
[viii] Muhammad Rashid Redha, Tafsir al-Manar (Tafsir al-Quran al-Hakim), cetakan kedua. (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah, 2005) jilid 1, hlm. 34.
[ix] Ibid, jilid 1 hlm. 35.
[x] Ibid, jilid 11, hlm. 187.
[xi] Ibid, jilid 11, hlm. 187-188
[xii] Muhammad al-Ghazali, al-Mahawir al-Khamsah Li al-Quran al-Karim, cetakan keempat (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2010) hlm. 21.
[xiii] Al-Qaradhawi, Kayf Nata’amal Ma’a al-Quran, cetakan kelapan (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2011) hlm. 73-74
[xiv] Fathi Hasan al-Malkawi, Manzumah al-Qiyam al-‘Ulya: al-Tauhid wa al-Tazkiyah wa al-‘Umran, cetakan pertama (Herndon: International Institute of Islamic Thought), hlm. 23.
[xv] Muhammad al-Ghazali, al-Mahawir al-Khamsah Li al-Quran al-Karim, cetakan keempat (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2010) hlm. 21.
[xvi] Al-Qushayri, Abu al-Qasim, al-Risalah al-Qushayriyyah, cetakan keempat (Kaherah: Dar al-Salam, 2010) hlm. 120-121.
[xvii] Ibnu Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim (Kaherah: Dar al-Manar, 2002) jilid 2, hlm. 348
[xviii] Al-Qaradhawi, al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, cetakan ke-29 (Kaherah: Wahbah, 2007) hlm. 23-24
[xix] Al-Raghib al-Asfahani, Mufradat Alfazh al-Quran, suntingan Mustafa bin al-Adawi, cetakan pertama. (Mansoura: Maktabah Fayyadh, 2009) hlm. 368.
[xx] Muhammad al-Tahir Ibn Ashur, al-Tahrir wa al-Tanwir (Tunisia: Dar Suhnun) jilid 12, hlm. 617.
[xxi] Sayyid Qutb, Fi Zilal al-Quran cetakn ke-34 (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2004) jilid 6, hlm. 4004.

Read more...

Wednesday, 4 September 2013

Gambaran Awal Konflik di Tunisia

Tunisia.

1) Kewujudan kumpulan radikal salafi dan kumpulan Hizbut Tahrir yang sering mengganggu pemerintahan kerajaan Tunisia. Mereka dahulunya diam di bawah pemerintahan Ben Ali, tetapi setelah revolusi, tiada mereka diam dan taat akan pemerintah, sebaliknya melaungkan seruan yang bercanggah dengan perlembagaan dan semangat demokrasi. Mereka bercakap tentang shariah dalam bahasa yang sempit hingga mengganggu ketenteraman awam. Dilaporkan mereka menguasai sebahagian masjid di Tunisia dan berterusan menyampaikan seruan mereka, bahkan hingga menyeru kepada 'jihad'. Dalam satu siaran televisyen, tokoh en-Nahda bernama Shaykh Abdul Fattah Moro pernah berdebat dengan salah seorang tokoh mereka dan mengkritik keras sikap mereka yang mengkafirkan pihak yang tidak sebulu dengan mereka.

2) Hal di atas menyebabkan kumpulan sekular dan liberal yang punya hubungan dengan en-Nahda sangat terganggu dengan sikap ekstrem dan literal aliran 'salafi' (?) tersebut. Saya perasan, sehingga melahirkan sikap Islamofobia dan ketakutan terhadap agama dek karena kefahaman sempit aliran-aliran tersebut. Lebih-lebih lagi dua orang tokoh dari parti sekular telah dibunuh sebelum ini, sebahagian pihak menganggap hal tersebut merupakan tindakan aliran literal yang disebut di atas. Pemimpin pembangkang, Mohamed Brahmi telah ditembak pada Jun 2013, sementara pada Februari sebelum itu, Chokri Belaid telah terbunuh hingga mencetuskan demonstrasi lalu memaksa Perdana Menteri - Hamadi Jebali - pada masa itu meletak jawatan. Hamadi digantikan oleh Ali Larayedh.

3) Berikutan isu-isu melibatkan kumpulan beraliran literal di atas, sebilangan rakyat menyeru supaya kerajaan bersikap lebih tegas dengan aliran salafi dan Hizbut Tahrir. Pada tahun pertama pemerintahannya, Kerajaan Tunisia telah membenarkan kumpulan-kumpulan salafi dan Hizbut Tahrir bergerak secara sah sebagai parti politik. Hal tersebut mungkin tidak disenangi segelintir pihak yang menganggap kewujudan mereka mengganggu keharmonian Tunisia, namun saya berpandangan, dalam dunia demokrasi, sebuah negara sekular haruslah membenarkan parti politik berjenama Islam bergerak secara sah, sebagaimana sesebuah negara Islam wajar membenarkan parti beraliran sekular bergerak sah.

4) Ghannouchi yang dinobat sebagai salah seorang ideolog yang serius dengan demokrasi dan pembaharuan wacana politik Islam turut berhadapan dengan aliran 'kaum muda' dan 'kaum tua'. En-Nahda sekalipun kelihatan berwajah progresif sedari awal kemunculan mereka pasca-revolusi, masih tidak konsisten dengan identiti sebuah gerakan Islamis yang moderat. Hal ini adalah kebiasaan dalam mana-mana gerakan, tidak terkecuali en-Nahda. Keadaan tersebut menjejaskan persepsi parti-parti lain terhadap en-Nahda karena dibimbangi wacana aliran konservatif akan mengganggu konsistensi sifat moderat dan demokrat yang cuba ditonjolkan en-Nahda dan tokoh utamanya, Ghannouchi.

5) Konflik di Tunisia masih berlangsung hangat, hingga timbul seruan supaya dipercepat pilihanraya sebagaimana dilaungkan di Mesir sebelum ini. Bahkan skrip yang hampir serupa apabila disebarkan kononnya sokongan rakyat terhadap en-Nahda telah merosot berbanding pilihanraya sebelum ini (contohnya kajian oleh Control Risks consultancy). Beda besar Tunisia dan Mesir ialah tentera di sana tidak berkuasa sebagaimana tentera di Mesir.

6) Komitmen semua pihak di Tunisia terhadap demokrasi akan teruji, sejauh mana berpegang dengan nilai bahawa sesebuah kerajaan hanya boleh diturunkan menerusi peti undi, setelah dilantik secara adil dan telus. Selain itu, renungan besar juga dihadap untuk gerakan Islamis dalam menghadapi cabaran dan konflik sebegitu, termasuk bagaimana berhadapan dengan segelintir pihak yang ekstrem dan literal dalam memahami shariah. Selain itu, komitmen pihak pembangkang terhadap demokrasi juga akan kelihatan. Tidak sepatutnya mana-mana pihak yang tidak gemar akan sesebuah kerajaan yang dilantik secara demokratik bertepuk sorak apabila segelintir pihak mahu menjatuhkan kerajaan tersebut tanpa melalui proses demokrasi. Memetik pandangan Michael J. Koplow dalam tulisannya bertajuk "First They Came for the Islamists" (tersiar di laman Foreign Affairs);


"The secularists should think twice before cheering on the regime’s campaign against the Muslim Brotherhood and other Islamists, no matter what type of language the government is using to couch its antidemocratic actions. The lesson of Tunisia is that once the Islamists are gone, the secularist opposition is going to be next."

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP