Thursday, 13 September 2012

Filem Hina Nabi: Mari Bina "Kita" Yang Baru

Cinta, antara seruan penting Muhammad saw.



   1)     Segalanya bermula menerusi satu filem yang tersiar di Youtube bertajuk Innocence of Muslim yang sebenarnya telah berminggu-minggu ditayangkan berlegar di internet. Dipercayai filem tersebut diarahkan oleh Sam Bacile, dikatakan beliau turut berdarah Mesir. Dalam filem tersebut, nabi Muhammad saw digambarkan sebagai seorang yang gila seks, bodoh, dahagakan darah dan sebagainya.

2)     Hal ini mengingatkan kita dengan beberapa siri penghinaan terhadap agama Islam oleh beberapa pihak seperti Terry Jones, seorang paderi ekstrem yang menarik perhatian dunia dengan seruan membakar al-Quran pada tahun 2010. Demikian juga dengan beberapa peristiwa kartun menghina Nabi saw, contohnya oleh Jyllands-Posten’s pada tahun 2006.

3)     Pendirian Islam dalam soal kebebasan berkeyakinan dan keharmonian dalam beragama sangat jelas ditampilkan dalam banyak ayatnya, contohnya seruan Lakum diinukum wa liya diin (Bagimu agamamu dan bagiku agamaku) dalam surah al-Kafirun. Demikian juga, al-Quran mendeklarasikan larangan mencela doktrin-doktrin asas agama lain demi mengelakkan implikasi buruk selepasnya, sebagaimana firman Allah dalam surah al-An’am ayat ke-108:
“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.”

4)     Justeru pendirian saya, kebebasan bersuara dan berkeyakinan bukan bermaksud menghina agama lain, atau mana-mana doktrin asas agama lain. Bebas berkata-kata tetap mesti didahului dengan bebas berfikir. Bebas tidak wajar hingga menceroboh hak dan keyakinan agama lain, kalau tidak bersetuju mesti dengan jalan ilmu dan fakta, bukannya menghina. Hal ini demikian demi mengelakkan implikasi buruk yang lebih besar seperti pergeseran dalam masyarakat, keganasan dan sebagainya.

5)     Sesiapa sahaja berhak untuk tidak bersetuju dengan doktrin-doktrin asas agama, malah bisa sahaja untuk tidak persetujui dan mencabar kepercayaan keesaan Tuhan dalam agama Islam sebagai contoh. Namun jalannya mestilah menerusi kajian, dan umat Islam yang mempunyai keyakinan tertentu dalam beragama wajar sahaja menjawabnya menerusi pengetahuan dan kajian yang dilakukannya. Demikian juga umat Islam bisa sahaja tidak bersetuju dengan doktrin-doktrin asas agama lain, seperti konsep Triniti dalam ajaran Kristian, namun biarlah ia diselesaikan menerusi jalan ilmu dan perdebatan ilmiah, bukannya dengan menyebarkan kartun lawak hingga hingga mengguris perasaan mana-mana pihak.

6)     Seringkali Barat mendeklarasikan larangan anti-Semitic, malah ada beberapa negara yang mengenakan tindakan terhadap rakyat mereka yang menafikan peristiwa pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi semasa perang dunia kedua (Holocaust denial). Sebagai contoh Austria, Belgium, Perancis dan beberapa negara lagi mengharamkan penafian dan tindakan mempromosikan Holocaust sebagai tidak benar-benar berlaku. Barang diingat, tujuannya sudah pasti untuk mengelakkan kaum Yahudi berasa terguris dengan peristiwa tragis tersebut. Isu Holocaust dan sejauh mana kebenaran peristiwanya telah sekian lama didebatkan dan dicabar kesahihannya, namun saya tidak berminat mengulasnya dalam tulisan ini. Hanyasanya saya mempersoalkan kenapa tidak juga dianggap perbuatan menjadikan agama sebagai kutukan dan bahan jenaka sebagai sesuatu yang serius dan boleh menggugat keharmonian bermasyarakat? Pendirian kita tegas, anti-semitic dan pro-zionisme merupakan anti-Islam. Tapi ketegasan itu tidak pula bermakna kita wajar berdiam sahaja dengan segala bentuk penghinaan terhadap agama kita.

7)     Berkenaan filem Innocence of Muslim itu juga, dunia gempar apabila Chris Stevens telah mati setelah kedutaan Amerika Syarikat di Libya telah dibom. Jika benar pengebomam itu telah dilakukan oleh segelintir Muslim yang ekstrem, sudah tentu tindakan itu melampaui batas dan wajar ditolak oleh masyarakat Muslim sendiri. Umat Islam wajar tahu bahawa kebebasan berekspresi sangat diangkat di Amerika dan sesetengah negara Barat, oleh itu kerajaan tidak boleh mencampuri urusan rakyatnya dan mereka tidak dikenakan tindakan walaupun menghasilkan filem yang menghina mana-mana agama. Oleh yang demikian, menghalakan isu-isu penghinaan nabi kepada sesebuah negara dan kerajaan bukanlah sesuatu yang sihat.

8)     Saya berpandangan, Muslim tidak perlu merespon isu penghinaan tersebut dengan mendatangkan satu sisi ekstrem yang baru seperti membuat filem yang menghina doktrin-doktrin asas Kristian atau melakukan tindak tanduk keganasan. Adapun jika demonstrasi diadakan, ia mestilah terkawal dan menonjolkan sikap kita Muslim yang menolak keganasan dan seluruh tuduhan oleh pembikin filem kontroversi dan memfitnah tersebut.

9)     Di Malaysia, Muslim juga tidak wajar menghidupkan sentimen dan kekecohan antara agama atas sebab jangkitan daripada filem tersebut. Wajar difahami, beberapa badan Kristian seperti Kristian Ortodoks di Mesir sendiri mengutuk filem tersebut atas semangat beragama dan keharmonian bermasyarakat. Namun dibimbangi jika ada pihak yang menangguk di air keruh dengan menghidupkan sentimen murahan dalam masyarakat jamak agama di Malaysia. Wajar dipegang, sebarang pengamalan ekstrem dan ganas dalam beragama tidak cocok dengan nilai-nilai indah yang diajar nabi kita Muhammad saw.

10) Sebagai muhasabah, sejauh manakah Muslim benar-benar sensitif dengan penghinaan yang dilakukan ke atas nabi mereka? Kadang-kadang kita terlalu reaksionari terhadap sesuatu isu, sambil kita sendiri yang mengabaikan pelbagai suruhan dan ajaran baginda saw. Kebersihan, budaya kerja yang kemas, cermat dan berdisiplin di jalan raya, cergas dalam menuntut ilmu, berlemah-lembut, saling mengasihi, amanah dan sebagainya antara nilai yang seakan-akan sudah terurai dari kalangan sesetengah Muslim. Justeru adakah dengan berkongsi link dan status di facebook  yang mengecam penghinaan nabi sambil terus pasif dan tidak proaktif dalam kehidupan seharian, itu akan menjadikan kita mulia? Barangkali, jika filem itu menuju segala kritikannya kepada umat Islam di tanah Arab contohnya sebagai pengotor, korupsi, zalim, memperendah wanita dan sebagainya, pasti tidak logik untuk kita membantahnya.

11) Hidup dalam masyarakat yang jamak agama dan budaya, sangat penting untuk kita mempelajari dan mengambil tahu tentang doktrin-doktrin asas agama lain, supaya kita sendiri boleh menghormati keyakinan mereka, sambil kita tegas dan beramal dengan keimanan kita. Bayangkan sesetengah orang masih berasa janggal untuk berada satu lif dengan seorang Hindu, sedangkan agamanya sendiri mengajarkan konsep Li ta’arafu (berkenal-kenalan) sebagai seruan penting dalam bermasyarakat. Bagaimana bisa kita praktikkan Li ta’arafu jika kita kita tidak saling pelajari? Juga bagaimana bisa kita dengungkan Lita’arafu sekiranya kita tidak saling menghormati? Tuntasnya, kita sendiri mesti mengubah sikap kita untuk saling mengambil tahu mengenai budaya penganut agama lain khasnya yang tinggal di tanah air kita sendiri.

12) Intihan, kebebasan mestilah berlangsung dengan penuh kesedaran sivik dan bertanggungjawab. Tidak wajar untuk saya meluru kepada seseorang, kemudian mencela dirinya dan ibu bapanya, seterusnya berlalu begitu sahaja atas alasan itu kebebasan saya. Juga tidak pelik jika saya ditumbuk, dicederakan atau dikenakan tindakan agresif selepas itu. Demikian kita wajar guna hak untuk berfikir, sebelum hak untuk berkata-kata dan beraksi.

Read more...

Friday, 24 August 2012

Menikam Matahari, Memanah Purnama

Tiba masa, kita tikam matahari dan panah purnama



Kau bertanya aku
perihal kau harus bagaimana?
menurut sisiku
aku coba menjawab sekadar terbisa

Aku mahu kau, aku, dia, mereka dan kita
berbuat menurut keyakinan dalam sukma
tanpa ikut-ikutan sesiapa
Kau, aku, dia, mereka dan kita
harus sentiasa usaha

membaiki sedaya upaya
bukan hanya menurut sejiwa raga
arahan dan keputusan sesiapa

Aku juga mahu
kau, aku, dia, mereka dan kita
terus maju jaya
tidak abaikan petanda-petanda
menuju gerbang yang dicita-cita

Semoga kau, aku, dia, mereka dan kita
sampai jua ke sana
menikmati harta karun dan jadi kaya
Memanjat langit, menikam matahari dan memanah purnama
walau awalnya seolah-olah diragui cuma

Dan aku tidak mahu
kau, aku, dia, mereka dan kita
sesal pada satu masa
cemburu dengan mereka yang berjaya
nasi menjadi bubur pasti tidak bisa
menyelerakan walau mungkin membuat sendawa

Ini yang aku mahu; buat kau, aku, dia, mereka dan kita.

khabarkan pula, aku harus bagaimana?
menurut sisimu

Irbid,
6 Syawal 1433
240812 - 0340 pm

Read more...

Friday, 17 August 2012

Tuju Fitrah, Junjung Maruah




Sehari dua lagi
Iblis dan syaitan dibuka gari
dibebas Tuhan Maha Tinggi
sekalipun mereka angkuh meninggi diri

Namun warga penjara itu
sedang kemuncak merindu
anak isteri ayah ibu
sambil didera dihina dari dulu

Iblis dan syaitan dibebas Tuhan
mereka tanpa salah, dilanyak mati-matian
mari muhasabah nilai Ramadan
jika ISA kita tak terlawan.

Selamat menyambut kesucian fitrah
salam merdeka menjunjung maruah.

MBH, Irbid
29 Ramadan 1433
170812 - 01.43 am

Read more...

Wednesday, 15 August 2012

Setenang Cinta

Tiba masanya, dilipat langit, gugurlah bintang.
Berundur daripada dunia
penuh tipu dan leka
demi meraih cinta
yang menenangkan jiwa

Manusia tidak sesekali
puas dengan segala keinginan hati
andai diberi emas seribu kati
dipintanya beribu-ribu kati lagi

Justeru berhadapan dunia yang memujuk
perlu menjadikan Tuhan tempat merujuk
akal waras sebagai teman menjenguk
agar tidak ulang cherita Pak Kaduk

Hidup umpama novel, kita mengarang
pelbagai kisah sudah terbentang
sampai masa gugurlah bintang
kemudian diri diperintah baca-ulang

Mengharap redha-Nya, itu kemuncak cita
dalam setiap perkara, kendati kecil cuma
adapun jika mengharap redha manusia
pasti tak keruan, jiwa dan rasa

Mencari tenang,
Irbid,
3.45 am - 15/08/12

Read more...

Wednesday, 1 August 2012

Merawat Masyarakat Diktator


 Apabila menyebut tentang kediktatoran dan sifat-sifatnya, antara yang terawal muncul dalam minda sesetengah orang ialah gambaran sebuah pemerintahan mutlak yang berlandaskan pandangan seseorang individu, ataupun beberapa individu tertentu dan tidak terikat dengan perlembagaan mahupun peraturan. Pemerintah diktator lazimnya akan menuju ke arah kezaliman kerana sesebuah kuasa dan pemerintahan mutlak seringkali akan menjadi korup dengan mutlak.

Namun demikian perbincangan mengenai kediktatoran sentiasa terhenti sekadar sifat “pemimpin diktator” sambil dilupakan perihal kediktatoran yang wujud dalam diri sesetengah masyarakat dan individu. Saya melihat, kewujudan pemimpin diktator dan zalim tidak sunyi daripada kewujudan awal sebuah masyarakat yang diktator. Justeru, sebuah pemerintahan diktator hanya bisa dijatuhkan sekiranya dijalankan aktiviti merawat masyarakat yang diktator.

Masyarakat diktator

Masyarakat diktator yang saya maksudkan ialah sebuah masyarakat individualistik, tamak dan beragama atau berideologi demi kepentingan. Mereka hidup dalam keadaan senang, justeru tiada apa yang perlu diperjuangkan sekalipun pemerintahan di hadapannya mencanggahi demokrasi dan mencabuli hak-hak rakyat sendiri. Respon mereka terhadap sesebuah pemerintahan despotik ialah “asalkan bukan aku dan keluargaku”.

                Sekiranya sesebuah pemerintahan diktator mahu menentukan cara pemerintahan, undang-undang dan sebagainya menurut kepala mereka semata-mata, masyarakat diktator juga berkongsi sikap sedemikian. Sekiranya mereka majoriti, mereka mahu menentukan cara berpakaian, mazhab dan agama golongan lain dengan kekuasaan ataupun kekuatan yang dimiliki. Pokoknya, masyarakat diktator ingin menentukan semua perkara.

Menurut masyarakat diktator, kelompok minoriti ataupun the other mestilah mengikuti apa yang mereka yakini sekalipun dalam masa yang sama, mereka sendiri tidak gemar jika kehidupan mereka dikawal dan ditentukan oleh orang lain. Justeru dalam hubungan antara kaum dan agama, ruang publik tidak digunakan untuk menyelesaikan perselisihan dan perbezaan, sebaliknya pengharaman buku, serbuan dan undang-undang dianggap sebagai solusi. Anggapan mereka, gunung yang tinggi hanya boleh didaki menerusi laluan yang diambil kelompoknya, adapun laluan lain tidak diizinkan lantaran berslogankan, “Kami benar, kalian sesat.” Lantas, demokrasi yang asalnya mahu menjatuhkan kezaliman dan kediktatoran, telah mencetuskan tirani majoriti ke atas kaum minoriti.

Kalaupun masyarakat diktator melaungkan slogan kebebasan bersuara, syaratnya suara itu menyebelahi mereka. Jika tidak, orang yang bersuara itu akan dilabel sebagai jumud, tradisional, sesat, “liberal” ataupun kafir. Mereka mahu berkata-kata tetapi enggan mendengar, mereka mahu bebas tetapi enggan membebaskan. Justeru, individualistik menjadi sangat cocok dengan kewujudan masyarakat diktator, sikap individualistik itu menyebabkan kewujudan masyarakat pluralistik langsung tidak diendahkan, apatah lagi dihargai. Barangkali inilah yang dinamakan sebagai dogmatic mind sebagaimana dinyatakan oleh Prof Dr Tariq Ramadan:

“The dogmatic mind displays, moreover, one further characteristic. It would be a mistake to think that it accepts the existence of only one point of view: the dogmatic mind is a binary mind. Whilst it states that its truth is the only truth, that its Way is exclusive and that its universal is the only universal, that is because it stipulates – at the same time – that anything that does not partake of that truth, that path and that universal is, at best, absolutely ‘other’ and, at worst, culpably mistaken.”

[Minda dogmatik memperlihatkan satu lagi ciri. Adalah suatu kesalahan untuk mengandaikan bahawa ia hanya menerima kewujudan hanya satu pandang arah: minda dogmatik itu adalah satu minda binari. Manakala ia menyatakan bahawa kebenarannya itu adalah satu-satunya kebenaran, jalannya pula begitu ekslusif dan universalnya hanyalah ia satu-satunya, kerana ia mengandaikan – pada masa yang sama – sesuatu yang tidak mengikuti kebenaran tersebut, jalan itu dan universal itu, paling tidak, sesuatu yang sama sekali “lain’ dan lebih parah, sesuatu yang salah].[i]

Al-Kawakibi, kediktatoran dan ilmu

Seorang tokoh intelektual Muslim terkenal khasnya pada era kolonial, Abdul Rahman al-Kawakibi (1849-1902) semasa mengulas perihal kediktatoran telah memetik beberapa kata-kata, antaranya ialah:

“Kediktatoran merupakan musuh kebenaran, musuh kebebasan dan merupakan pembunuh kedua-duanya. Kebenaran merupakan bapa kepada manusia, sementara kebebasan pula ibu mereka. Rakyat merupakan anak-anak yatim yang tidur dan tidak mengetahui apa-apa, sementara para ilmuan pula merupakan saudara mereka yang bijaksana. Sekiranya mereka (golongan berilmu) mengejutkan rakyat, pasti rakyat akan bergerak aktif. Adapun jika para ilmuan meninggalkan mereka, mereka akan kekal sebagaimana sebelumnya, lantas akan bersambung tidur mereka (rakyat) dengan kematian.”[ii]

Abd al-Rahman al-Kawakibi
Kenyataan tersebut wujud dalam buku terkenalnya berjudul Tobai’ al-Istibdad wa Masori’ al-Isti’bad (Tabiat-tabiat Kediktatoran dan Kematian Perhambaan). Menurutnya lagi, antara kediktatoran yang paling hodoh ialah kediktatoran kejahilan ke atas ilmu dan kediktatoran nafsu ke atas akal (rasional).[iii] Al-Kawakibi mengulang-ulang hubungan antara ilmu dan akal dalam menangani kediktatoran, membayangkan betapa sesebuah masyarakat yang diperintah oleh kuasa yang diktator sebenarnya disebabkan sikap mereka menyerahkan akal kepada pihak pemerintah sehingga diperbodohkan, selain ketidak upayaan mereka bertindak ke atas projek pembodohan yang sedang ditimpakan ke atas mereka.

Selain itu, al-Kawakibi menegaskan:

“Para ilmuan menggesa kepada pencerahan akal, sementara golongan diktator gigih berusaha memadamkan cahaya pencerahan itu. Dua golongan ini (para ilmuan dan pemerintah diktator) saling menarik orang ramai, siapakah orang ramai itu? Mereka merupakan golongan yang apabila jahil, mereka menjadi takut, apabila takut, mereka menyerah (kepada diktator). Sebagaimana mereka merupakan golongan yang apabila berpengetahuan, mereka berkata-kata, dan apabila mereka berkata-kata, mereka melaksana.”[iv]

Kaum yang jahil pasti akan memberi keuntungan kepada pemerintah yang diktator. Justeru sekalipun sesebuah pemerintah diktator memberi ruang demokrasi menerusi pilihanraya yang diadakan beberapa tahun sekali, ruang kebebasan memilih itu ibarat debu-debu yang berterbangan kerana masyarakat terus bodoh dan diperbodohkan.

Apa guna kaum yang dibutakan diberi pilihan membuat penghakiman terhadap perkara yang memerlukan penglihatan yang tajam? Apa yang boleh dibanggakan jika kaum yang dipekakkan diberi pilihan membuat penghakiman terhadap sesuatu yang memerlukan pendengaran yang teliti. Oleh yang demikian, kediktatoran pemerintahan sememangnya berasal dari sifat-sifat kediktatoran yang wujud pada sesebuah masyarakat. Adapun antara penawar kepada kediktatoran itu ialah rawatan terhadap masyarakat, salah satunya yang penting ialah menerusi medan pendidikan.

Hukum alam dan perubahan

Sebagaimana kertas tidak akan basah selagi tidak dicurahkan air, demikian juga sekalian perubahan lain yang tidak akan berjaya selagi tidak dijalankan usaha untuk mengubahnya . Seorang tokoh ilmuan terkenal dari Turki, Fethullah Gulen menyatakan:

“Islam considers a society to be composed of conscious individuals equipped with free will and having responsibility toward both themselves and others. Islam goes a step further by adding a cosmic dimension. It sees humanity as the “motor” of history, contrary to fatalistic approaches of some of the nineteenth century Western philosophies of history such as dialectical materialism and historicism. Just as every individual’s will and behavior determine the outcome of his or her life in this world and in the hereafter, a society’s progress or decline is determined by the will, worldview, and lifestyle of its inhabitants. The Koran (13:11) says: “God will not change the state of a people unless they change themselves [with respect to their beliefs, worldview, and lifestyle].”[v]

[Islam menganggap sesuatu masyarakat itu terdiri daripada manusia yang sedar yang dipersiapkan dengan pilihan sendiri dan mempunyai tanggungjawab terhadap diri mereka dan orang lain. Islam melangkah setapak lagi dengan menambahkan dimensi kosmik. Ia melihat kemanusiaan sebagai “motor” yang menggerakkan sejarah. Hal ini bertentangan dengan pendekatan fatalis sesetengah falsafah sejarah Barat abad ke-19 seperti materialis dialektik dan historisisme. Sepertimana kehendak dan kelakuan seseorang individu itu akan menatijahkan hasil kehidupannya di dunia ini maupun di hari akhirat, kemajuan dan kemunduran sesuatu masyarakat itu ditentukan oleh kehendak, pandangan sarwa dan gaya hidup umat itu sendiri. Al Qur’an [13: 11] menyebutkan: “Sesungguhnya Tuhan tidak akan merubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri merubah apa yang ada dalam dirinya (berupa keyakinan, pandangan sarwa dan gaya hidup]”

Inilah rahsia perubahan sosial zaman berzaman, perjuangan yang kental dan berterusan akhirnya pasti melahirkan kemenangan. Dalam merawat penyakit masyarakat diktator, menarik jika kita bisa melihat pandangan Dr Jasser Auda yang mengulas perihal revolusi Arab dan perubahan dan pengorbanan masyarakat, menurutnya:

                “Bahawa manusia atau rakyat telah mengubah apa yang ada pada diri mereka bersama-sama revolusi dan merobohkan banteng ketakutan, lantas Allah SWT menghilangkan ketakutan daripada hidup mereka. Mereka melempar di medan-medan revolusi pemisahan, individualistik, perbalahan, penguasaan, hasutan (pihak pemerintah), kekerasan dan tamak. Kemudian Allah mengubah keadaan mereka dan membaiki menerusi revolusi setiap keburukan yang menular dalam masyarakat, bahkan (Dia) menjatuhkan pemimpin pemerintah yang rosak.”[vi]

Mesir telah sekian lama melalui pengalaman getir dan menyeksakan di bawah pemerintahan yang korup dan despotik. Setelah sekian lama para ilmuan dan aktivis politik di sana menyeru kepada perubahan demi menentang kezaliman kediktatoran, mereka hanya berjaya melakukannya setelah sanggup membuang sikap individualistik, tamak, dan berkepentingan dan menuju ke Medan Tahrir hingga ada nyawa-nyawa yang terkorban. Demikian juga dengan kejatuhan Ben Ali di Tunisia, menerusi pengorbanan dan kesungguhan rakyatnya untuk “mengubah takdir” yang sekian lama dikenakan oleh pemerintah dan konco-konco mereka.

Pendidikan demokratik

Mengulang kembali pandangan al-Kawakibi di atas berkenaan pertembungan antara sang diktator dan ilmuan dalam menarik masyarakat, jelas bahawa ilmu menjadi tulang belakang kepada kewujudan kediktatoran dalam pemerintahan, sementara masyarakat menjadi penentu kepada kekalnya kediktatoran sesuatu pemerintahan ataupun robohnya kediktatoran tersebut. Sekiranya masyarakat jahil, maka mereka akan takut, kemudian setelah takut mereka akan menyerah kepada kekuasaan. Sebaliknya jika masyarakat berpengetahuan, mereka akan berkata-kata, kemudian setelah berkata-kata mereka akan melaksana.

Dalam mengkritik sistem pendidikan dunia Arab yang bermasalah dalam membentuk masyarakat yang sedar dan berperanan, Prof Dr Louay Safi menjelaskan:

“We talk about wealth but we do not talk about the responsibility of creating job opportunities for others. When we talk about authority we do not link it to the social duty to improve the social structure, it’s always linked to the glory of one person. And our Arab societies should solve this problem. Of course this was the basis of the political corruption, this strong linkage of the glory of the person, to the authority – and talk about heroes, how to worship them, this is the problem, this is what led to the corruption also.”[vii]

[Kita bercakap tentang kekayaan tetapi kita tidak bercakap tentang tanggungjawab mencipta peluang pekerjaan untuk orang lain. Apabila kita bercakap tentang kekuasaan, kita tidak mengaitkannya dengan tugas sosial untuk meningkatkan struktur sosial, ia sentiasa dikaitkan dengan kehebatan seseorang. Masyarakat Arab kita mesti menyelesaikan masalah ini. Sudah tentu ini merupakan asas kepada korupsi dalam politik, perhubungan yang kuat antara kehebatan manusia dengan kekuasaan – dan bercakap tentang pahlawan-pahlawan, bagaimana mahu menyembah mereka, inilah masalahnya, ini juga yang membawa kepada korupsi.]

Menerusi perbincangan ini juga, kita akan melihat kepentingan kaum intelektual dan berilmu menggerakkan masyarakat menuju sedar dan bertanggungjawab. Jika para ilmuan juga bersifat individualistik, maka sudah pasti masyarakat diktator akan terus wujud dan perubahan sosial dan projek pembangunan manusia dan negara akan tergendala.

Masyarakat mesti turut dididik dengan persoalan kedaulatan undang-undang, hak-hak kewarganegaraan dan kesamarataannya, dialog antara kaum dan agama, kebebasan berkeyakinan dan menghormati kaum minoriti. Tanggungjawab pendidikan ini sudah tentu tidak akan berjaya dipikul oleh sebuah pemerintahan yang diktator, justeru para pendidik, ilmuan dan organisasi sosial patut memainkan peranan dalam membentuk masyarakat sivil sama ada menerusi forum, seminar, tetaer jalanan, filem atau apa-apa sahaja mekanisme yang relevan.

Pantulan dan Kesimpulan

Kebebasan merupakan antara syarat dalam merawat masyarakat diktator. Masyarakat mestilah bebas daripada tekanan, paksaan dan campur tangan pihak lain dalam membuat pilihan dan keputusan. Kalau keputusan dan pilihan yang baik belum tentu diperoleh jika kebebasan dikurniakan, keputusan dan pilihan yang tidak baik pasti akan diperoleh jika kebebasan tidak dikurniakan. Tokoh revolusi Perancis, Jean-Jacques Rosseau (1712-1778) yang dikenali sebagai salah seorang intelektual yang berperanan besar dalam masyarakat pada zamannya menulis dalam bukunya bertajuk The Social Contract:

“To renounce liberty is to renounce being a man, to surrender the rights of humanity and even its duties. For him who renounces everything no indemnity is possible. Such a renunciation is incompatible with man’s nature; to remove all liberty from his will is to remove all morality from his acts.”[viii]

[Untuk menolak kebebasan bererti untuk menolak menjadi manusia, menyerahkan hak-hak dan tanggungjawab kemanusiaan. Untuk mereka yang menolak segalanya tiada penebusan yang mungkin. Penolakan sebegitu adalah tidak selari dengan fitrah manusia; untuk membuang segala kebebasan dari kemahuannya beerti membuang segala moral daripada tindakannya.]

Al-Kawakibi sewaktu ditanya mengapakah Allah menguji hamba-hamba-Nya dengan para diktator? Beliau menjawab:

“Sesungguhnya Allah Maha Adil tidak menzalimi seorang pun. Maka seseorang diktator tidak akan menguasai melainkan ke atas golongan diktator. Sekiranya orang yang bertanya itu memandang dengan pandangan orang bijaksana dan mendalam, setiap individu dari kalangan tawanan kediktatoran merupakan diktator terhadap dirinya. Sekiranya dia mampu, dia akan menjadikan isterinya, keluarganya, kabilahnya, kaumnya dan setiap orang, sehinggalah Tuhannya yang menciptakannya, pengikut kepada pandangan dan tindakannya.”[ix]

Masyarakat merupakan himpunan pelbagai jenis manusia, oleh yang demikian jika kita ingin mengubah masyarakat, manusia haruslah menjadi individu pertama yang wajib diubah. Sifat individualistik mestilah digantikan dengan sifat saling cakna dan sedar sementara sifat redha dengan kesusahan dan kezaliman mesti diubah dengan kesungguhan dalam “mengubah takdir”. Segala-galanya bermula dengan diri manusia dalam menjadi manusia yang bernilai dan seterusnya ahli masyarakat sivil dan warganegara yang bertanggungjawab serta demokratik.


[i] Tariq Ramadan, The Quest For Meaning, (London: Penguin Group, 2010) hal. 14
[ii] Dr Muhammad Imarah, Abdul Rahman al-Kawakibi, al-A’mal al-Kamilah, (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2009), hal. 192
[iii] Ibid. Hal. 193
[iv] Ibid. Hal. 212
[v] Ihsan Yilmaz, Beyond Post-Islamism: Transformation of Turkish Islamism Toward ‘Civil Islam’ and Its Potential Influence in The Muslim World h. 260
[vi] Jasser Auda, Bayn al-Syariah wa al-Siasah, (Beirut: Arab Network, 2012)  hal. 38
[viii] Jean-Jacques Rousseau, The Social Contract, terjemahan G.D.H Cole , hal. 7
[ix] Dr Muhammad Imarah, Abdul Rahman al-Kawakibi, al-A’mal al-Kamilah, (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2009), hal. 194

Read more...

Thursday, 17 May 2012

Isu Ulama Politik : Respon Kepada WAF

Sahabat saya, saudara Wan Ahmad Fayhsal (WAF) telah menulis sebuah artikel bertajuk “Sedikit bingkisan berkenaan ulamaʾ haraki/siasah dan faham perubahan yang didakyah mereka” yang secara ringkasnya menjelaskan beberapa kritikan beliau terhadap wacana baru politik era moden khasnya yang kelihatan bercanggah dengan pengamalan para ulama silam. Justeru saya menulis artikel ini sebagai respon kepada beberapa idea yang telah ditampilkan oleh beliau.
Takrif Siasah
                Saya akan mendatangkan takrif siasah syar’iyyah secara ringkas memandangkan tulisan ini tidak bertujuan mengulas panjang lebar berhubung perbahasan politik Islam. Dari segi bahasa, al-Siasah merupakan kata terbitan (masdar) kepada perkataan saasa-yasuusu-siasah yang bermaksud “mengatur”, mengurus”, “memerintah” dan seumpamanya. Siasah menurut kamus Taj al-‘Urus bermaksud: “menegakkan sesuatu dengan apa-apa yang memberi kebaikan.”[i] Dalam Mawsuu’ah al-‘Ulum al-Siasiyyah, kalimah siasah diberi makna:
                “Asas-asas atau ilmu menguruskan urusan-urusan umum.”[ii]
                Perlu diketahui bahawa kalimah siasah tidak wujud di dalam al-Quran sama ada dalam surah-surah Madaniyyah atau surah-surah Makkiyyah, dan tidak wujud kalimah yang muncul menerusi kalimah saasa-yasuusu walaupun sebagai sifat atau fi’il.[iii] Perkara ini kita boleh lihat apabila kalimah siasah tidak ditemui dalam kitab Mufradat Alfaazh al-Quran[iv] yang merupakan karya agung dalam pemaknaan kalimah-kalimah al-Quran oleh Imam al-Raghib al-Asfahani. Sebagaiman akidah yang tidak disebut dalam al-Quran tetapi mempunyai kandungan yang padat dengan perbahasan akidah, demikian juga siasah apabila kalimah seperti makkana-yumakkinu-tamkiin, al-Mulk, al-Hukm dan al-Istikhlaf yang mengandungi ayat-ayat berkaitan tadbir urus sama ada secara langsung (literal) ataupun secara tidak langsung. Bahkan disebut juga kisah raja-raja yang adil, zalim dan ada yang tidak disifatkan secara jelas (contohnya al-‘Aziz dalam surah Yusuf).
                Namun demikian, kalimah siasah ditemui dalam beberapa hadis dan athar para sahabat. Sebagai contoh hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurayrah yang bermaksud:
                “Adalah Bani Israel, tadbir urus mereka oleh para nabi, setiap kali meninggalnya seseorang nabi, maka nabi lain yang akan menggantikannya. Dan sesungguhnya tiada nabi selepas aku dan aka nada para pemerintah (khulafa’) dan bilangan mereka ramai.” Para sahabat bertanya, “Justeru apakah arahan kamu kepada kami?” Nabi saw menjawab, “Berilah bay’ah (taat setia) kepada yang awal kemudian yang awal, dan berikanlah hak mereka yang dijadikan Allah kepada mereka, sesungguhnya Allah akan bertanya mereka tentang apa yang mereka lakukan.”[v]
                Siasah syar’iyyah bukan setakat berkaitan urusan tadbir urus negara dengan makna sebagaimana pada hari ini, namun ia turut berkait bab jenayah dan takzir sebagaimana wujud dalam banyak kitab yang berkaitan.[vi]
                Perkembangan Makna Siasah Syar'iyyah


al-Qaradhawi dan Ghannouchi, antara sosok yang unggul dalam bidang Siasah Syar'iyyah

                Sementara itu dalam turath Islam, sesuatu yang diketahui umum oleh para pengkaji politik Islam bahawa bicara siasah menurut ulama bermazhab Syafie seperti al-Juwayni dan al-Mawardi sangat sempit dan ketat, salah satunya disebabkan mereka tidak menerima al-Masalih al-Mursalah[vii] sebagai salah satu sumber pengeluaran hukum berbanding mazhab-mazhab lain.[viii] Justeru berkaitan hal ini, tidak sewajarnya bagi Wan Ahmad Fayhsal untuk sentiasa mengulang-ulang nama ulama bermazhab syafie semata-mata dalam artikel beliau tersebut, kerana sesuatu yang diketahui umum perihal pandangan ketat mereka berkaitan persoalan ini sebagaimana dijelaskan oleh ramai ilmuan dan para pengkaji.
Berhubung persoalan ini, al-Qaradhawi yang dikenali sebagai salah seorang ilmuan ulung dan cakna dalam urusan politik umat Islam telah menulis satu perbincangan kecil bertajuk Tadhyiiq Imam al-Haramayn fi al-Siasah (Penyempitan oleh Imam al-Haramayn (al-Juwayni) dalam Ilmu Siasah) dalam bukunya bertajuk al-Diin wa al-Siasah yang mengulas pandangan beberapa kandungan dalam buku politik terkenal beliau bertajuk Ghiyaatsul Umam, khasnya menerusi komentar daripada Dr Abdul Azhim al-Diib.[ix]
Secara ringkasnya, perkembangan makna siasah syar’iyyah mula muncul di tangan seorang ilmuan terkenal bernama Ibn ‘Aqil yang bermazhab Hanbali. Ibnu ‘Aqil yang dipuji oleh Ibnu Taymiah sebagai antara ulama yang sangat cerdas telah menjelaskan takrif siasah syar’iyyah sebagaimana berikut:
“Setiap tindakan daripada pemerintah yang menjadikan manusia lebih dekat dengan kebaikan dan menjauhi mereka daripada kefasadan, sekalipun tidak didatangkan oleh syarak. Dengan syarat tidak menyalahi apa yang didatangkan oleh syarak.”[x]
Perkataan “sekalipun tidak didatangkan oleh syarak, dengan syarat tidak menyalahi apa yang didatangkan oleh syarak” yang sangat penting untuk menjelaskan keterbukaan siasah syar’iyyah yang menggalakkan penemuan dan ijtihad baru, berlangsung dengan perubahan suasana, zaman, adat dan konsep kenegaraan semasa. Selain beliau, Imam Ibnu Qayyim turut dikenali berperanan besar dalam member nafas baru berkaitan takrif siasah syar’iyyah, antaranya sebagaimana termaktub dalam Turuq Hukmiyyah. Justeru bagi mana-mana pihak yang mengehadkan politik Islam menurut keterbatasan dalil-dalil semata-mata, maka hal tersebut bercanggah dengan keluasan politik Islam. Selain al-Qaradhawi yang jelas aktif menulis perihal siasah syar’iyyah, Racid Ghannouchi turut mengemukakan teori faraghat (ruang) yang menjelaskan perihal ruang ijtihad yang luas berteraskan kepentingan umum, berbeza menurut zaman dan tempat.[xi]
Ulama berpolitik melanggar tradisi?
Saudara WAF menyatakan:

“Pada hemat saya Ulamaʾ Haraki/Siasah seperti yang dicanang hebat kini – khusus dari kalangan golongan ilmuan agama yang terjun dalam parti-parti politik (harakah Islamiyyah) merupakan satu perkara baharu yang agak terkeluar daripada pengklasifikasian tradisi keilmuan Islam.  Ianya timbul daripada cabaran dan kesan zaman moden, bukan warisan sejarah dan tradisi kita.”
Kenyataan ini merupakan antara inti utama dalam artikel beliau tersebut, justeru saya memilih untuk memberi sedikit komentar berkaitannya. Sengaja saya memulakan penulisan ini dengan menjelaskan takrif siasah menurut bahasa dan kajian turath Islam kerana saya ingin menjelaskan posisi saya berhubung persoalan politik Islam iaitu,
“Kalau tiada dalam teks al-Quran dan hadis pun kita masih dibenarkan melakukan apa-apa sahaja penambahan asalkan bermanfaat kepada kepentingan umum (sebagaimana takrifan siasah syar’iyyah oleh Ibnu ‘Aqil, Ibnu Qayyim dan sebagainya), justeru lebih-lebih lagi dibenarkan kita membuat pembaharuan (bid’ah) dalam urusan politik sekalipun tidak dinyatakan oleh para ulama terdahulu dalam teks-teks klasik mereka.”
Kenyataan ini merupakan penegasan saya yang akan melatari komentar saya selepas ini inshaAllah. Sememangnya respon yang diberikan oleh sesetengah ulama haraki/siasah pada era moden menerusi aksi mereka dalam menentang saki baki tali barut penjajahan menyebabkan pelbagai ijtihad dan pandangan baru berkaitan politik mula muncul. Dalam perbahasan Usul al-fiqh, hal ini lebih dikenali sebagai nawazil[xii] (jamak/plural kepada perkataan nazil) yang merupakan isu-isu yang timbul, menuntut kepada pandangan ijtihad para ulama. Berbanding model pemerintahan dahulu yang berteraskan sistem  khilafah dan monarki (terutamanya selepas penukaran sistem pemerintahan pasca-Khulafa’ al-Rasyidin), sistem pada hari ini sangat jauh berbeza di mana konsep nation state  diguna pakai dengan pengamalan pemerintahan yang berbeza-beza antara negara. Ini antara perubahan politik era moden yang jelas kelihatan pada hari ini.
Berkaitan kewujudan ulama yang terjun ke bidang politik kepartian, saya melihat isu ini tidak wajar dilihat sama ada “perlu” atau “tidak perlu” sahaja kerana ia boleh dilihat dari banyak sudut yang saling menguat. Bagi yang mewajarkan tindakan tersebut, mereka merujuk kepada hadis yang saya kemukakan di atas yang menjelaskan bahawa para pemimpin Bani Israel dahulu ialah para Anbiya’, justeru sifir bagi kelompok ini ialah, ulama’ pewaris para nabi. Sementara bagi yang tidak mewajarkan tindakan tersebut, dijelaskan antaranya oleh saudara WAF dalam artikel beliau tersebut, antaranya ulama sebagai penasihat pemerintah dan para ilmuan ulung terdahulu tidak pernah menisbahkan diri mereka kepada perkataan siasah/haraki dan sebagainya.
Sebagaimana saya sebutkan di atas, isu ini tidak wajar dilihat secara hitam putih semata-mata. Para ulama mempunyai hak untuk terlibat sama dalam arena politik sekiranya mereka merasakan itu yang terbaik, dan saya secara peribadi lebih cenderung kepada ketidaklibatan mereka secara keseluruhan dalam arena politik tanpa menafikan manfaat-manfaat yang wujud jika mereka melibatkan diri dalam politik. Dua sebab utama saya melihat wujud kewajaran mereka untuk berpolitik ialah (pertama) kerana melihat kepada takrif siasah yang berkaitan tadbir urus, bakat dan seni tadbir urus ini dimiliki oleh sesetengah manusia sahaja, tanpa mengira apa latar belakang mereka, termasuklah para ulama. Kedua, penglibatan mereka sebagai penasihat dan pentadbir pergerakan parti juga mempunyai sudut positif terutama dalam mempraktikkan sendiri ijtihad-ijtihad politik yang mereka usahakan menerusi daya intelektual mereka, selain mendidik warga parti mereka.
Saya memberikan contoh kejayaan Parti en-Nahda yang dipimpin oleh Ghannouchi di Tunisia, yang telah menjatuhkan pemerintahan zalim Ben Ali dan mereka sedang membaiki pemerintahan baru di sana. Demikian juga dengan Freedom and Justice Party (FJP) yang merupakan sebuah parti yang ditubuhkan oleh al-Ikhwan al-Muslimun juga sedang mengusahakan perubahan tadbir urus di Mesir.[xiii]
Saudara WAF juga menyatakan:

“Antara perkara yang saya amat musykil ialah mengapa ribuan tahun lamanya para ulamaʾ kita, semacam mana teruk dan kegentingan keadaan umat Islam dalam berhadapan dengan penguasa yang zalim tidak pernah mendambakan diri mereka untuk menggantikan penguasa tersebut.
 Ya, mereka menentang penguasa dan sebarang bentuk kezaliman tetapi tiada sesekali mereka menjadi ahl-haraki/siasah seperti yang ada pada hari ini – ya’ni golongan ulamaʾ yang mencalonkan diri mereka untuk bertanding menjadi pemimpin (umarāʾ).”

Dalam hal ini, saya mengulangi kembali hujah saya bahawa situasi politik zaman silam yang mengguna pakai sistem khilafah tidak mewajarkan manusia selain dari keturunan raja untuk memiliki kuasa, kecuali pada jawatan-jawatan tertentu seperti gabenor dan qadhi. Adapun pada hari ini, sistem pemilihan pemimpin menerusi pilihanraya membuka ruang kepada pelbagai pihak (termasuk ulama) untuk menawarkan diri mereka sebagai pemimpin sekiranya mereka meyakini kemampuan diri dan kepentingan untuk terlibat. Beberapa sarjana, antaranya Al-Mawududi mengkritik keras penukaran sistem pemerintahan monarki oleh Muawiyah radhiallahu ‘anhu yang antaranya menyebabkan pemilihan pemimpin berteraskan syura bertukar kepada berasaskan keturunan. Kritikan tersebut boleh dibaca dalam bukunya bertajuk al-Khilafah wa al-Mulk.[xiv] Selain itu, saya tidak melihat kepentingan untuk WAF berasa musykil (sebagaimana dinyatakan beliau dalam petikan di atas) kerana dahulu tiada keperluan untuk golongan ulama mencalonkan diri dan bertanding untuk menjadi pemimpin.

Berkaitan hal tersebut, dapat dilihat sebahagian ulama melibatkan diri dalam pentadbiran negara, antaranya ialah pengarang kitab al-Ahkam al-Sultoniyyah, Imam al-Mawardi yang terlibat dalam pentadbiran ‘Abbasiyyah. Penglibatan beliau dalam kerajaan sudah tentu berbeza dengan Imam Abu Hanifah yang enggan menerima jawatan hakim sehingga dikenakan hukuman oleh pemerintah pada masa itu.[xv] Dalam hal ini, kita dapat melihat penerimaan jawatan oleh ulama seperti al-Mawardi berkait dengan takrif siasah syar’iyyah itu sendiri yang mana antara inti utamanya ialah “mentadbir urusan umum atas dasar maslahah” sebagaimana telah dijelaskan di atas. Justeru berdasarkan inti tersebut juga, tiada masalah untuk ulama turut melibatkan diri mereka dalam arena politik pada hari ini, dengan konteks yang jauh berbeza berbanding era al-Mawardi, namun tujuannya masih sama iaitu “tadbir urus”. Kalau golongan bukan Islam mempunyai wakil dalam parlimen, mengapa tidak dialu-alukan ulama untuk berbahas dalam parlimen? (berbanding dahulu tiada parlimen) Sekali lagi, konteks yang berbeza menyebabkan saya melihat hakikatnya tiada masalahnya untuk mereka melibatkan diri dalam persaingan kuasa, mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian.
Adapun kata-kata almarhum Badi’uzzaman Said Nursi sebagaimana didatangkan oleh WAF merupakan pandangan peribadi beliau berdasarkan zaman dan pergolakan politik yang dihadapi beliau di sana, justeru tidak sewajarnya menjadi inti utama perbincangan hingga diguna pakai secara umum.
Golongan 'Maqsadiyyun' dan Keanjalan Politik
Saudara WAF menyatakan:
“Dan kalau kita kaji latar persejarahan timbulnya arus ulamaʾ menyertai medan siasah ini sebagai ahl siasah atau politikus, banyak timbul selepas era wujudnya gerakan Pan-Islamisme seperti yang dibawa Shaykh Muhammad ʿAbduh dan al-Afghani. Golongan ini sering melaungkan slogan pembaharuan dalam pelbagai rupa dan agenda. Saya lihat golongan yang mempertahankan pembaharuan (bidʿah) ini, atau lebih tepat golongan Maqsadiyyun – golongan yang sering mengangkat hujjah maqāṣid  al-sharīʿahsebagai yang termutlak dengan memborong semua perkara seolah-olah boleh diperturunkan (reductionist) kepada juzuk itu – semata-mata ingin memenuhi dan menuntut penyesuaian kepada perubahan zaman.”
Dalah hujah di atas, WAF  seolah-olah menyalahkan golongan yang mengangkat hujah maqasid al-syariah yang lantang melaungkan slogan pembaharuan semata-mata ingin memenuhi dan menuntut penyesuaian kepada perubahan zaman. Perlu difahami, dalam Islam ada perbahasan perihal yang berbeza berkenaan ruang antara al-ibadat dan al-mu’amalat di mana kaedah yang digunapakai berhubung perkara ini ialah al-Ashlu fi al-‘Ibadat al-Ta’abbud wa iltizaam al-Naas (Asal dalam perkara ibadat ialah perhambaan dan iltizam dengan nas) dan al-Ashlu fi al-‘Aadat wa al-Mu’amalat al-Iltifaat ila al-ma’ani wa al-maqasid (Asal dalam perkara adat dan mu’amalat ialah berpaling kepada makna dan maksud syarak).[xvi]
Politik turut termasuk dalam bab al-mu’amalat yang sememangnya terhad dengan dalil dan luas peranan ijtihadnya. Maaf jika saya katakan, hujah beliau di atas yang akan menyempitkan bicara siasah tidak jauh bezanya dengan pemikiran sempit pseudo-salaf dalam bab politik, terhad dengan teks klasik semata-mata. Pembaharuan dan perkembangan fiqh adalah satu rahmat buat umat Islam dan bukti relevansi Islam yang sesuai untuk setiap zaman dan bukan merupakan slogan ‘modernis’ semata-mata. Kalau dalam soal ibadat (yang diketahui sangat ketat perbahasannya) sekalipun berlaku pembaharuan wacana[xvii], apatah lagi politik Islam. Bagaimana ulama Islam terkini bisa mengulas soal hukum menyertai pilihanraya, parlimen, hubungan antarabangsa dan sebagainya yang tidak wujud perbahasannya pada zaman lampau. Saya ulangi, konsep siasah syar’iyyah sangat realistik dengan zaman dan sentiasa menawarkan perubahan atas segala pemasalahan. Oleh yang demikian, bacaan teks-teks silam juga menuntut kepada pemahaman konteks dan realiti semasa kerana teks-teks klasik tidak menjawab banyak perkara yang timbul pada hari ini khasnya, dan penulisnya menulis berdasarkan kerangka hidup dan suasana politik mereka.
Penulis buku “Who Needs an Islamic State”, Dr Abdel Wahab el-Affendi dalam bab kedua buku itu telah menulis satu sub-topik bertajuk “Problems with the Classical Theory”. Beliau mengulas salah isu penerimaan al-Mawardi perihal penamaan (penentuan) pemimpin oleh pemimpin sebelumnya, dalam kitabnya, Ahkam Sultoniyyah:
"Al-Mawardi memetik kisah Abu Bakr melantik Umar menjadi penggantinya sebagai dalil bahawa adalah sah untuk mana-mana pemerintah memilih penggantinya. Beliau mengabaikan hakikat bahawa tindakan sedemkian adalah sah bukan kerana individu menentukannya, tetapi juga kerana tindakan itu disahkan oleh umat-umat Islam yang utama pada masa itu. Beliau turut terlepas pandang, perbezaan ketara antara perlantikan Umar oleh Abu Bakr dan paksaan melalui kekerasan Muawiyah melantik anaknya sebagai pengganti. Ini merupakan kekurangan di dalam mana-mana teori.”[xviii]
Pandangan al-Mawardi itu tidak menghairankan kerana bentuk pemerintahan pada masa itu menyebabkan beliau mengemukakan pandangan sedemikian. Namun yang mesti menjadi kepentingan dan perhatian oleh kita ialah, “bagaimana kita berinteraksi dengan kitab-kitab klasik”, bahkan persoalan “bagaimana kita berinteraksi dengan nas-nas berkaitan politik” sebagaimana telah diusulkan oleh Imam al-Qurafi dalam kitabnya, al-Furuq dan Imam Ibnu ‘Ashoor dalam Maqasid al-Syariah al-Islamiah[xix].
Setakat ini sahaja pandangan dan respon saya berhubung artikel WAF tersebut. Saya memberi respon menerusi artikel ini atas kesedaran saya untuk turut sama memberi pandangan terhadap topik siasah syar’iyyah, bukannya kerana apa-apa tujuan dunia inshaAllah. Selain itu, pandangan saya yang mewajarkan penglibatan golongan ulama dalam arena politik tidak pula bermaksud saya menyokong slogan “kepemimpinan ulama” kerana pendirian saya berhubung politik dan pemerintahan sudah dijelaskan dalam beberapa tulisan yang lain.
Wallahua’lam,
Marwan Bukhari A. Hamid,

Irbid, Jordan, 3.45 am.



[i] Lihat Taj al-‘Urus (4/169), cetakan Dar al-Shodir, Beirut. Lihat juga al-Qaradhawi, al-Diin wa al-Siasah, cetakanan Dar al-Shurouk, Kaherah, hal. 27
[ii] Mawsuu’ah al-‘Ulum al-siasiyyah, terbitan Universiti al-Kuwait, hal. 102
[iii] al-Qaradhawi, al-Diin wa al-Siasah, cetakan Dar al-Shurouk, Kaherah, hal. 28
[iv] al-Asfahani tidak menyertakan makna kalimah siasah dalam kitabnya berkaitan makna-makna kalimah dalam al-Quran, namun takrif beliau perihal siasah boleh ditemui dalam kitabnya yang bertajuk al-Dzari’ah ila Makarim al-Siasah.
[v] Diriwayatkan oleh al-Bukhari (3455), Muslim (1842), Ahmad (7960) dan Ibn Majah (2871). Dalam hadis tersebut, nabi saw melafazkan: “Kaanat banu Israel, tasuusahum al-Anbiya’”
[vi] Dr Abdullah Ibrahim Zayd al-Kaylani, al-Siasah al-Syar’iyyah: Madkhal Ila Tajdid Kitab al-Islami, cetakan Darul Furqan (Amman), lihat perbahasan umum sekitar makna kalimah siasah syar’iyyah di halaman 17-21
[vii] Sesetengah pengkaji menyatakan sesetengah ulama bermazhab syafie turut menerima pakai al-Masalih al-Mursalah menerusi istilah yang lain. Berkaitan al-Masalih al-Mursalah, saya tidak berhasrat menjelaskannya di sini, lihat perbahasannya dalam buku-buku Usul al-Fiqh, adapun dalam konteks perbincangan kita ini, boleh rujuk al-Diin wa al-Siasah oleh al-Qaradhawi, juga lihat perbahasan sederhana panjang berkenaan al-Masalih al-Mursalah dalam al-Siasah al-Syar’iyyah Fi Dhau’ Nusus al-Syariah wa Maqasidiha oleh al-Qaradhawi, halaman 82-104.
[viii] al-Qaradhawi, al-Diin wa al-Siasah, cetakan Dar al-Shurouk, Kaherah, hal. 33
[ix] Ibid, 34-38
[x] Ibid, 41, lihat juga al-Siasah al-Syar’iyyah Fi Dhau’ Nusus al-Syariah wa Maqasidiha oleh al-Qaradhawi, halaman 33.
[xi] Boleh lihat dalam biografi pemikiran beliau oleh Azzam Tamimi, Rachid Ghannouchi: A Democrat Within Islamism (New York: Oxford University Press, 2001)
[xii] Boleh ditemui dalam banyak kitab Usul al-Fiqh, khasnya berkaitan sejarah perkembangan ilmu tersebut.
[xiii] Saya ada mengulas ringkas hal ini dalam beberapa tulisan saya, antaranya tulisan bertajuk “Revolusi Pasca-Islamisme” berkenaan Tunisia, Ghannouchi tidak menyertai kabinet pemerintahan, sebaliknya menumpukan pada perjalanan partinya. Sementara itu FJP yang turut mencatatkan kemenangan besar dalam pilihanraya Mesir pasca-Mubarak diketahui umum dinasihati dan disokong oleh ulama al-Ikhwan al-Muslimun di belakangnya
[xiv] Al-Mawdudi, al-Khilafah wa al-Mulk, cetakan Dar al-Qalam, (1978: Kuwait)
[xv] Muhammad al-Khudhri, Tarikh al-Tasyri’ al-Islamiy, cetakan Muassasah al-Kutub al-Thaqafiyyah
[xvi] Kaedah ini bisa ditemui dalam banyak kitab Usul al-Fiqh, dan al-Qaradhawi ada mengulasnya dalam al-Siasah al-Syar’iyyah Fi Dhau’ Nusus al-Syariah wa Maqasidiha, hal. 281-286.
[xvii] Sebagai contoh, perbincangan Fiqh al-Aqalliyat al-Muslimah (Fiqh Minoriti Muslim) yang ditulis oleh beberapa ilmuan, antaranya oleh Dr Jasser Auda dan al-Qaradhawi. Kitab Fi Fiqh al-Aqalliyyat al-Muslimah oleh al-Qaradhawi sebagai contoh, membincangkan pelbagai sudut termasuklah bab ibadat dan munakahat.
[xviii] Abdel Wahab el-Affendi, Who Needs an Islamic State (Kuala Lumpur: Malaysia Think Tank London, 2008), hal. 76. Syed A. Ahsani turut mengkritik pandangan al-Mawardi dalam isu tersebut dalam tulisan beliau bertajuk al-Mawardi’s Political Paradigm: Principles of The Islamic Political System dalam buku  Muslim Contributions To World Civilization, terbitan The International Institute of Islamic Thought (IIIT).
[xix] Contohnya, Imam al-Qurafi dalam menjelaskan perbezaan hadis nabi saw berkaitan al-qadha’, al-fatwa¸dan al-Imamah. Begitu juga dengan Imam Ibnu ‘Ashoor yang membahagikan cara memahami hadis nabi saw kepada dua belas bahagian yang berbeza. Dr Jasser Auda ada mengulas secara ringkas hal ini dalam bukunya bertajuk Maqasid al-Syariah: Dalil Li al-Mubtadi’, terbitan IIIT.

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP