Saturday, 26 March 2011

Politik Fitnah, Memufliskan Kemuliaan Insan

Saya memulakan penulisan saya pada kali ini dengan memetik satu kata-kata kemanusiaan yang sangat indah daripada Shakespeare dalam Hamlet:

“What a piece of work is a man! How noble in reason! How infinite in faculty! In form, in moving, how express and admirable! In action how like an angel! In apprehension how like a god! The beauty of the world! The paragon of animal!”


(“Alangkah sempurnanya manusia! Begitu mulia pemikirannya! Kemampuannya tanpa batas! Dalam bentuk, dalam gerak, penuh perasaan dan mengkagumkan! Bergerak sebagai malaikat! Memahami sebagai dewa! Penghias alam! Kemuncak di antara makhluk!”)

Demikian luahan apresiatif terhadap nilai manusia daripada seorang penyair terkenal dalam sejarah Barat. Beliau mengungkapkannya dengan ikhlas dan jelas, seolah-olah suatu ungkapan penuh kesyukuran kepada Yang Maha Pencipta, bahawa manusia asalnya mulia dan bermaruah. Justeru, seharusnya fi’ilnya bermaruah, wawasannya jelas dan sewajarnya pengakhirannya ialah hasanah (husn al-khatimah).

Seabad setengah sebelum kata-kata indah ini diungkapkan oleh Shakespeare, seorang humanist yang muncul pada era awal Renaissance, Pico Della Mirandola telah menyatakan kekagumannya mengenai hakikat kemuliaan insan. Beliau telah berucap di hadapan para paderi pada satu ketika:

“I have read, reverend Fathers, in the works of the Arabs, that when Abdala the Saracen was asked what he regarded as most to be wondered at on the world’s stage, so to speak, he answered that there is nothing to be seen more wonderful than man (nihil spectari homine admirabilius.)”


(“Saya sudah membaca, Bapa yang mulia, dalam karya orang Arab, apabila Abdullah Si Arab, ditanya apakah yang dianggapnya paling dikaguminya di pentas dunia, maka beliau menjawab, tiada yang lebih dikagumi daripada manusia.”)

Demikianlah ujaran jujur daripada Pico Della Mirandola, si humanist yang dikatakan sebagai manusia Eropah pertama yang bercakap soal kemuliaan insan secara tegas di Eropah. Apabila saya membaca kisah hidup Pico, saya mendapati beliau hidup di tempat yang mula-mula terpengaruh dengan idea perubahan zaman yang dikenali sebagai renaissance (kelahiran baru/rebirth) di Itali. Merupakan teman rapat kepada seorang paderi muda bernama Savoranola, beliau hidup semasa tranquisisi masih lagi dipraktikkan secara berleluasa. Bagi yang membaca sejarah Kristian Barat, mereka pasti mengerti bahawa tranquisisi merupakan antara tragedy maha kejam yang pernah berlaku di Barat. Hukuman sula, bunuh dan pelbagai seksaan lagi dikenakan ke atas sesiapa yang “mengingkari” autoriti agamawan. Atas nama agama, lantas dikenakan seksaan, atas nama agama, maka kemuliaan insan telah dibakul sampahkan.

Islam dan kemuliaan insan


Apa yang menarik ialah apabila Pico berlaku sangat jujur semasa menyampaikan ucapan tersebut di hadapan khalayak paderi, beliau mengakui bahawa pendirian kemuliaan insan yang didokongi beliau merupakan hikmah yang diambil daripada salah seorang yang digelarnya sebagai Abdala the Saracen (Abdullah Si Arab). Para pengkaji menyatakan bahawa kemungkinan Abdullah Si Arab yang dimaksudkan oleh Pico itu ialah Ibnu Qutayba, seorang pemikir humanist terkenal semasa era pemerintahan Khilafah Abbasiyyah, juga merupakan pengarang kitab khalq al-insan (Penciptaan manusia).

Sememangnya diakui sejarah bahawa pemikiran ke hadapan yang dimiliki oleh umat Islam pada zaman Abbasiyyah khasnya sangat mempengaruhi beberapa cara berfikir umat Barat. Persoalannya, dari manakah pemikiran fitrah dan sihat itu (kemuliaan insan) diambil? Jawapannya sudah tentu, menerusi al-Quran dan hadis nabi saw. Islam sememangnya datang untuk membebaskan manusia daripada kehinaan perhambaan sesama makhluk, kepada kemuliaan menjadi hamba hanya kepada Allah s.w.t, tuhan makhluk (min ‘ibaadati al-‘ibaad, ila ‘ibadati rabbi al-‘ibad). Kehebatan dan kegaungan mutlak hanyalah milik Allah, bukannya milik mana-mana makhluk.

Sebagai menegaskan hal ini, saya mendatangkan beberapa ayat al-Quran dan hadis nabi saw mengenai kemuliaan insan (karamah insaniah):

Allah menyatakan dalam surah al-Israa’ (ayat ke-70):

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

Manakala dalam surah al-Tiin (4-5), Allah berfirman:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah.”

Sementara itu, nabi Muhammad saw telah bersabda semasa peristiwa Hajj al-wida’ (haji perpisahan):

“Hai manusia, darahmu, harta bendamu dan kehormatanmu sama sucinya dengan tanah suci ini.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalil-dalil tersebut merupakan sebagian kecil daripada keluhuran ajaran Islam yang sangat menekankan soal kemanusiaan, keadilan dan kebebasan. Kalau kita membuka kitab-kitab sirah, pastinya antara kisah yang sering ditemui ialah bagaimana para sahabat nabi saw yang hartawan akan membebaskan para sahabat nabi saw yang menjadi hamba dan teruk diseksa, semua ini sudah tentu sebuah praktikal mulia gara-gara kefahaman yang tuntas mengenai kemuliaan insan dan hak-hak manusia sesama manusia.


Syariah dan keadilan

Salah satu kelebihan umat Muhammad saw berbanding umat yang lain ialah apabila mereka telah dikurniakan satu syariah yang lengkap untuk diamalkan dalam kehidupan sepanjang zaman. Kitab al-Quran merupakan sebuah kitab agung yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw, malahan merupakan mukjizat mulia yang akan terus dimiliki dan diwarisi oleh umat Islam. Islam secara umumnya terdiri daripada tiga tunjang asas iaitu akidah, syariah dan akhlak. Syariah yang diturunkan kepada umat Muhammad saw bukanlah sesuatu yang membebankan, sebaliknya suatu kemuliaan dan amanah untuk dilaksanakan. Tambahan, syariah yang ditaklifkan di pundak umat Muhammad saw itu mengandungi objektif dan hikmahnya yang tersendiri (maqasid syariah).

Ibnu Qayyim menegaskan bahawa syariah itu berasaskan kepada hikmah-hikmah dan maslahah-maslahah untuk manusia sama ada di dunia atau di akhirat. Perubahan hukum yang berlaku berdasarkan perubahan zaman dan tempat adalah untuk menjamin syariah dapat mendatangkan kemaslahatan kepada manusia. Imam al-Izz Abdul Salam juga sealiran dengan Ibnu Qayyim apabila beliau menyatakan:

“Syariah itu semuanya maslahah, sam ada menolak kejahatan atau menarik kebaikan.” (Kata-kata Ibnu Qayyim itu dipetik dari kitab I’lam al-Muwaqqi’iin, manakala kata-kata al-Izz Abdul Salam itu dipetik dari buku al-Manahij al-Usuliyyah. –saya memetik kedua-dua pandangan tersebut daripada buku Konsep Maqasid Syariah, daripada Ustaz Ahmad Badri Abdullah dan Ustaz Wan Ji Wan Husin)

Allah swt memerintahkan manusia supaya menegakkan keadilan, sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Maidah (ayat ke-8):

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Dalam surah an-Nahl (ayat ke-90) pula, Allah menegaskan:

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.”

Justeru, sekiranya kita meneliti dengan serius setiap hukuman yang dikenakan oleh Allah s.w.t dalam kanun jenayah syariah, nescaya kita akan bersetuju bahawa hukuman-hukuman yang disediakan sangat berkait rapat dengan prinsip keadilan dan kemuliaan insan. Sebagai contoh, amalan riba, memakan harta anak yatim dan qadzaf yang dikategorikan oleh nabi saw sebagai antara tujuh dosa besar dalam hadis baginda yang sangat masyhur (ijtanibu al-sab’a al-muubiqaat…).

Fitnah terhadap Anwar, Qadzaf dan Demokrasi

Sejak akhir-akhir ini, politik fitnah dan kotor semakin menjadi-jadi dalam tanah air kita, dan sasaran yang paling menonjol sekali ialah seorang politikus yang bernama Anwar Ibrahim. Satu demi satu tuduhan dilemparkan kepada beliau. Bermula dengan tuduhan liwat 1 semasa era reformasi satu ketika dahulu, kini beliau difitnah dengan tuduhan yang sama (liwat 2), dengan lebih bertalu-talu sebagaimana dahulu. Dan kes terbaru ialah kononnya sebuah video seks melibatkan Anwar Ibrahim dan seorang pelacur asing.

Soal tuduhan fitnah seks (liwat dan zina) merupakan soal yang sangat cabul dan tidak bermaruah. Jika di Barat, sejarah menunjukkan betapa persoalan seks sangat sensitif sekiranya melibatkan seseorang yang mempunyai nama, justeru mengakibatkan beberapa pemimpin di dunia Barat seperti Clinton terjunam dalam karier politiknya. Dalam al-Quran, pernah diceritakan perihal nabi Yusuf a.s yang pernah ditimpa fitnah seks, melibatkan baginda dan isteri al-Aziz. Namun akhirnya terbukti bahawa baginda tidak bersalah dan telah difitnah oleh isteri al-Aziz. (sila rujuk surah Yusuf, ayat 23-35)

Mengenai politik fitnah sebegini, syariah Islam secara terang dan tegas sudah meletakkan soal seks dalam hukuman jenayah syariah (dikenali sebagai hukum hudud). Paling jelas ialah sebagaimana terpapar dalam beberapa ayat awal surah al-Nuur, iaitu soal zina, qadzaf dan li’an. Dalam kes Anwar, secara jelas ia melibatkan hukuman qadzaf yang sangat menekankan soal saksi dan pembuktian yang benar-benar jelas. Namun, sebagaimana kita lihat, soal qadzaf ini dipermain-mainkan oleh pelbagai politikus murahan dan ilmuan jadi-jadian. Semuanya menyerang Anwar, seolah-olah Anwar itu merupakan Dajjal pada zaman ini. Kezaliman ini berterusan, sementara keadilan sebagaimana ditekankan oleh Islam telah diperbodohkan.

Melihat kepada hal ini, saya teringat sebuah kata-kata hebat daripada Reinhold Niebuhr yang menyatakan:

“Man’s capacity for justice makes democracy possible, but man’s inclination to injustice makes democracy necesssary”

Kezaliman demi kezaliman telah melatari politik di tanah air menyebabkan demokrasi di Malaysia sangat-sangat diperlukan, bahkan lebih daripada itu, demokrasi wajar dipulihkan dengan sesungguh-sungguhnya. Kebebasan bersuara, media, berhimpun, pilihanraya yang bebas dan sebagainya yang telah diperjuangkan sewajibnya disahut oleh pihak kerajaan. Kata-kata daripada Niebuhr di atas boleh dipandang dengan lebih dalam lagi iaitu, sekiranya demokrasi sudah dizalimi, maka kerajaan wajib bersedia menerima rakyat yang biadap.

Firaunisme dan Musa a.s

Pertembungan antara Haq versus Bathil dan Adil versus Zalim telah direkodkan oleh Allah s.w.t dalam pelbagai ayat. Nabi Nuh dengan pemuka-pemuka (al-Mala’) yang takabbur dan melampau, Syuaib a.s menentang kumpulan peniaga dan bangsawan yang menindas, Ibrahim a.s menentang kezaliman Namrud dan nabi-nabi lain menentang kezaliman dan kekufuran umat masing-masing. Namun demikian, antara kisah yang sangat kerap diulang-ulang dalam al-Quran ialah kisah Bani Israel dan pertembungan antara Firaun yang maha zalim, ditentang oleh Nabi Musa as. Jelas, pengajarannya buat kita ialah betapa pertarungan antara haq dan bathil akan terus berlangsung, dengan kemenangan akan berpihak kepada penegak kebenaran dan keadilan.

Seorang ahli sufi terkenal, Mawlana Rumi telah menyentap hati nurani umat Islam dengan puisinya yang sangat menyentuh hati:

"O traveller of truth! Do you want to know the truth? Neither Moses nor the Pharoah are dead. They are alive in you. They keep fighting each other in you! So look for them in yourself!"

Puisi ini boleh dinilai dan dihayati dari pelbagai sudut, namun temanya tetap sama iaitu menonjolkan pertarungan dan pergelutan antara haq dan bathil, adil dan zalim, dosa dan pahala dan sebaginya. Ya benar wahai mahaguru Rumi, Firaun dan Musa itu sedang mendiami diri kami, pertarungan itu berterusan dan sentiasa berlaku.

Pergelutan antara Musa dan Firaun juga telah melatari sistem politik kita. Politik firaunisme digelar oleh saya, membawa maksud sistem politik kekuasaan yang tidak sekata, kacau, menindas, perbedaan kelas yang keterlaluan, penghinaan terhadap kemuliaan insan dan politik pembodohan dan tiada maruah. Maka sekiranya kita lihat dalam al-Quran, Musa as terus gigih melawan rejim zalim sebegitu kendatipun pelbagai tekanan dikenakan. Musa as membela dan membebaskan Bani Israel lantaran Bani Israel sedang dihina kemuliaan diri mereka, kemudiannya bani Israel yang setia dengan nabi Musa as terus mulia sebagaimana mereka tercipta, dan mereka terus khuduk dan khusyuk mentaati Tuhan Yang Maha Mulia.

Oleh yang demikian, sebagai khatimah, maka saya menegaskan bahawa Islam sangat menitik beratkan soal kemuliaan insan (karamah insaniah/dignity of man). Jadi, saya berhemat, dalam melayani politik fitnah dan jahat sekarang ini, hanya satu bahasa yang difahami oleh rejim iaitu, LAWAN!

Saya tinggalkan kalian dengan satu puisi menarik daripada Usman Awang:

“Sebuah perkataan yang paling ditakuti, untuk bangsa kita yang pemalu, sekarang kata ini kuajarkan pada anakku, kau harus menjadi manusia kurang ajar, untuk tidak mewarisi malu ayahmu, lihat petani-petani yang kurang ajar, memiliki tanah dengan caranya, sebelumnya mereka tak punya apa, kerana ajaran malu dari bangsanya, suatu bangsa tidak menjadi besar tanpa memiliki sifat kurang ajar”


Sekian.

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP