Friday 9 January 2015

Jika Nabi Dihina, Bagaimana Respon Seorang Muslim?

Muhammad sallallahu 'alayh wa sallam (SAW)


Kes serangan terhadap pejabat Charlie Hebdo, akhbar mingguan satira berbahasa Perancis menghangatkan menggegarkan tahun baru 2015, ia mengakibatkan pembunuhan sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan 11 orang.  Charlie Hebdo ialah akhbar yang sarat dengan satira dan jenaka terhadap pelbagai sudut, termasuk terhadap agama-agama seperti Kristian, Islam dan Yahudi. Kes yang sedang dibicarakan ramai ini bukan suatu yang baru, sebelum ini ada satu filem yang tersiar di Youtube bertajuk Innocence of Muslim. Filem yang dipercayai diarahkan oleh Sam Bacile, Nabi Muhammad saw digambarkan sebagai seorang yang gila seks, bodoh, dahagakan darah dan sebagainya.

Hal ini turut mengingatkan kita dengan beberapa siri penghinaan terhadap agama Islam oleh beberapa pihak seperti Terry Jones, seorang paderi ekstrem yang menarik perhatian dunia dengan seruan membakar al-Quran pada tahun 2010. Demikian juga dengan beberapa peristiwa kartun menghina Nabi saw, contohnya oleh Jyllands-Posten’s pada tahun 2006.

Peristiwa serangan terhadap pejabat Charlie Hebdo itu telah dikritik ramai pihak, para sarjana Muslim dan pemimpin negara berpendudukan majoriti Muslim antara yang pantas memberi respon menolak tindakan ganas tersebut, demikian juga pelbagai tokoh agama lain dan aktivis sosial dan politik. Mereka bersepakat dalam mengecam hal tersebut. Saya secara prinsipnya bersetuju dengan kecaman tersebut, namun artikel ini bukan datang untuk mengecam sahaja, saya berhemat ada beberapa persoalan penting harus dibincangkan dan dijawab jujur, terutama untuk diambil berat oleh Muslim.

Islam dan Kepelbagaian Beragama

Pendirian Islam dalam soal kebebasan berkeyakinan dan keharmonian dalam beragama sangat jelas ditampilkan dalam banyak ayatnya, contohnya seruan Lakum diinukum wa liya diin (Bagimu agamamu dan bagiku agamaku) dalam surah al-Kafirun. Demikian juga, al-Quran mendeklarasikan larangan mencela doktrin-doktrin asas agama lain demi mengelakkan implikasi buruk selepasnya, sebagaimana firman Allah dalam surah al-An’am ayat ke-108:

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.”

Islam turut menolak pemaksaan dalam hal ewal beragama, kerana pemaksaan akan menghilangkan makna keimanan, sebaliknya akan mengembang biak kemunafikan. Jalan untuk mengajak manusia kepada Islam ialah dakwah dan pendidikan. Ayat La Ikraha Fi al-Diin (al-Baqarah: 256) menjadi antara mesej terpenting Islam dalam persoalan pertentangan antara agama dan pemaksaan.

Namun begitu, kebebasan bersuara dan berkeyakinan bukan bermaksud galakan menghina agama lain, atau mana-mana doktrin asas agama lain. Bebas berkata-kata tetap mesti didahului dengan bebas berfikir. Bebas tidak wajar hingga menceroboh hak dan keyakinan agama lain, kalau tidak bersetuju mesti dengan jalan ilmu dan fakta, bukannya menghina. Hal ini demikian demi mengelakkan implikasi buruk yang lebih besar seperti pergeseran dalam masyarakat, keganasan dan sebagainya.

Sesiapa sahaja berhak untuk tidak bersetuju dengan doktrin-doktrin asas agama, malah bisa sahaja untuk tidak persetujui dan mencabar kepercayaan keesaan Tuhan dalam agama Islam sebagai contoh. Namun jalannya mestilah menerusi kajian dan perdebatan ilmiah, dan umat Islam yang mempunyai keyakinan tertentu dalam beragama wajar sahaja menjawabnya menerusi pengetahuan dan kajian yang dilakukannya. Demikian juga umat Islam bisa sahaja tidak bersetuju dengan doktrin-doktrin asas agama lain, seperti konsep Triniti dalam ajaran Kristian, namun biarlah ia diselesaikan menerusi jalan ilmu dan perdebatan ilmiah, bukannya dengan menyebarkan kartun lawak hingga hingga mengguris perasaan mana-mana pihak.

Saya memberi contoh, seringkali sebahagian negara Barat menyebut tentang larangan anti-Semitic, malah ada beberapa negara yang mengenakan tindakan terhadap rakyat mereka yang menafikan peristiwa pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi semasa perang dunia kedua (Holocaust denial). Sebagai contoh Austria, Belgium, Perancis dan beberapa negara lagi mengharamkan penafian dan tindakan mempromosikan Holocaust sebagai tidak benar-benar berlaku. Barang diingat, tujuannya sudah pasti untuk mengelakkan kaum Yahudi berasa terguris dengan peristiwa tragis tersebut. Isu Holocaust dan sejauh mana kebenaran peristiwanya telah sekian lama didebatkan dan dicabar kesahihannya, namun saya tidak berminat mengulasnya dalam tulisan ini. Hanyasanya saya mempersoalkan kenapa tidak juga dianggap perbuatan menjadikan agama sebagai kutukan dan bahan jenaka sebagai sesuatu yang serius dan boleh menggugat keharmonian bermasyarakat?

Bagaimana Muslim Merespon Penghinaan Terhadap Nabi Mereka?

Pada perkiraan saya, isu ini sangat penting dan wajar dijawab Muslim dengan jujur dan realistik, selain mempertimbang pelbagai aspek. Persoalan ini datang selepas saya menulis pendirian dan sikap yang sepatutnya kita ambil dalam menangani kepelbagaian dan kebebasan sebagaimana terpampang di atas. Kepelbagaian dan kebebasan harus secara prinsipnya beretika dan berlangsung jauh dari provokasi dan penghinaan murahan terhadap kepercayaan agama lain. Saya menyebut murahan kerana bukan semua kritikan dalam isu keagamaan itu perbuatan menghina, kerana kritikan dan perdebatan ilmiah tak sewajarnya ditolak dalam segenap bab, termasuk bab keagamaan.

Dalam sahih al-Bukhari, disebut tentang pada suatu hari Muhammad SAW telah naik ke bukit Safa dan memanggil kaum Quraisy, kaum Quraisy berkumpul seraya bertanya, “ada apa dengan kamu?” Nabi SAW berkata: “Apa kata kamu jika aku memberitahu bahawa ada musuh akan datang kepadamu pada pagi atau petang?” Kaum Quraisy menjawab, “Ya (kami percaya).” Nabi SAW menyambung: “Sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan kepada kalian sebelum datangnya azab yang pedih.” Abu Lahab terus berkata: “Binasalah engkau, adakah untuk ini sahaja engkau mengumpulkan kami?” Lalu Allah SWT menurunkan ayat: “Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, binasalah!”

Hadis tersebut salah satu dari pelbagai hadis dan ayat al-Quran (contohnya ayat ke-57 dari surah al-Ahzab yang menyebut laknat Allah beserta azab yang menghinakan terhadap sesiapa yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya) yang menyebut bahawa penghinaan terhadap Rasulullah SAW ialah satu kesalahan amat besar dan dimurkai Tuhan. Betapa, sejak peristiwa itu celaan terhadap Abu Lahab diulang-ulang oleh majoriti Muslim zaman berzaman, hanya kerana Abu Lahab menyakiti Rasulullah SAW dengan perkataannya. Oleh itu, kita bersetuju dengan larangan mencela Muhammad SAW. Tetapi persoalannya, adakah setiap penghinaan dibalas dengan hukuman? Dan jika ada, apa hukuman tersebut? Selain itu, wujudkah perbezaan dalam sikap kita jika dalam satu kes penghina merupakan seorang Muslim, sementara dalam kes yang lain, penghina merupakan bukan Muslim?

Contoh-contoh Penghinaan Terhadap Nabi Dalam al-Quran dan al-Hadis?

            Untuk menjawab soalan-soalan tersebut, sangat sesuai jika kita lihat beberapa contoh penghinaan, sindiran dan sarkasme yang dilakukan oleh pembenci Nabi SAW sebagaimana terpampang dalam al-Quran, disusuli perbincangan tentang apa yang Allah SWT perintahkan kepada Nabi SAW dan para sahabat untuk lakukan.

            Sebagai contoh apabila diseru supaya beriman, mereka (kaum munafiq) menggelarkan para sahabat yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya sebagai kaum yang bodoh (al-Baqarah: 13), mereka juga menyebut terang-terangan akan bersama-sama dengan kaum Yahudi jika mereka dihalau dan diperangi akibat melanggar perlembagaan Madinah (al-Hashr: 11). Mereka mendustakan Rasul, angkuh dalam berpaling, berkempen supaya tidak diberi harta kepada orang-orang yang bersama Rasulullah SAW dan menyebut Rasulullah SAW sebagai hina (al-Munafiqun: 1, 5, 7, 8). Mereka menyakiti Rasulullah SAW dan berkata Muhammad mendengar dan terima apa sahaja yang didengar (al-Taubah: 61), dan pelbagai lagi ayat al-Quran yang menceritakan perihal sindiran, fitnah dan pendustaan yang dilakukan mereka terhadap Rasulullah SAW.

            Demikian juga beberapa contoh dalam hadis Nabi SAW, antaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim tentang seorang lelaki yang telah berkata kepada Rasulullah SAW, “Bersikap adillah wahai Muhammad, sesungguhnya engkau tidak berlaku adil! …, Nabi SAW membalas, binasalah kamu, siapa lagi yang adil kalau aku tidak adil?!” Umar al-Khattab RA menawarkan diri untuk membunuh lelaki tersebut, lalu Rasulullah SAW melarang dan berkata: “Aku berlindung dengan Allah dari perkataan manusia bahawa Muhammad membunuh para sahabatnya.”
           
            Nabi SAW Sebaik-baik Teladan

            Perbuatan menghina seseorang ialah suatu yang amat sensitif dan boleh menyebabkan pergaduhan, apatah laki jika yang dihina itu suatu yang dianggap besar dan mulia oleh sekumpulan manusia. Seterusnya, menarik jika kita turut membincangkan beberapa contoh dari al-Quran dan al-Hadis sendiri berkenaan bagaimana respon dan tindakan yang dilakukan terhadap apa-apa penghinaan.

            Antara yang paling jelas ketara jika ditinjau sirah Nabi SAW ialah, sekalipun kaum munafiq khasnya dan selain mereka (antaranya sebahagian Yahudi di Madinah) yang bertubi-tubi menyakiti Rasulullah SAW menerusi perkataan dan perbuatan, Nabi SAW tidak memerintahkan para sahabatnya supaya mendiamkan para pencelanya, begitu juga tidak memerintahkan supaya dibunuh golongan tersebut.

            Malah, jika dilihat dalam al-Quran, kebanyakan ayat menyuruh supaya berpaling dari mereka, memaafkan, teruskan memberi pesan dan sebagainya, selain dalam beberapa ayat Allah SWT sendiri yang menetapkan azab dan kehinaan di dunia dan di akhirat terhadap para pencela Rasul-Nya.

            Sebagai contoh dalam surah al-Nisa’, selepas Allah SWT berbicara tentang sekumpulan orang munafiq yang berpaling dari seruan Allah dan Rasul-Nya, selain bersungguh-sungguh memalingkan manusia dari Rasulullah SAW (ayat ke-60-61), datang kemudiannya perintahNya:

            “… oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka, dan nasihatilah mereka, serta katakanlah kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati mereka.” (al-Nisa’: 63)

            Semasa Allah membicarakan tentang kekufuran mereka dan ejekan yang dilakukan terhadap ayat-ayat dari al-Quran (al-Nisa’: 140), dalam ayat yang sama, Allah SWT berpesan:

            “… maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain.”

            Apabila mereka menghasut supaya tidak keluar berperang mempertahankan negara Madinah atas alasan musim panas (al-Taubah: 81), Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya menjawab dalam ayat yang sama:

            “… Katakanlah (wahai Muhammad): "Api neraka Jahannam lebih panas membakar", kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami.”

            Demikian beberapa respon dan tindakan Nabi SAW dalam berinteraksi dengan celaan, penghinaan dan pendustaan yang dilakukan oleh beberapa golongan khasnya di Madinah. Kalau agama ini agama yang memaksa dan berdendam, maka Rasulullah SAW boleh sahaja mendiamkan mereka yang membantah, bahkan membalas dengan hukuman fizikal, sebagaimana beliau SAW dan para sahabat hadapi di Makkah sebelum itu. Namun, sifat agama yang mulia bukan begitu, kebodohan tidak perlu dilayan, sindiran tidak perlu diendahkan, selagi tidak disertai dengan konspirasi pengkhianatan terhadap negara Madinah dan cubaan menyakiti fizikal sesiapa dari kalangan Rasul SAW mahupun para penduduk Madinah yang lain. Itulah agama dakwah dan pendidikan, agama yang tidak membalas kejahatan dengan kejahatan yang lain, apatah lagi kejahatan sehingga melibatkan pertumpahan darah.

            Terdapat yang bertanya, kalau benar itu interaksi dan respon Nabi SAW terhadap pihak yang menghina dan mencelanya, bagaimana dengan kisah Ka’b bin Ashraf yang telah dibunuh oleh Muhammad bin Maslamah dan Abu Na’ilah kerana menyakiti Allah dan Rasul-Nya. Bukankah Rasulullah SAW sendiri yang telah mengizinkan pembunuhan tersebut? Persoalan ini wajar dijawab dan difahami dengan baik, kerana sebahagian pihak berpegang dengan peristiwa ini dalam memfatwakan pembunuhan orang yang menghina Rasulullah SAW.

Jika dibuka teks-teks sejarah dan dilihat dengan teliti[1], Ka’b bin Ashraf bukan semata-mata menghina dan menyakiti dengan perkataan, bahkan Ka’b bin Ashraf yang merupakan seorang Yahudi di Madinah telah pergi ke Makkah selepas peristiwa perang Badar yang menyaksikan kekalahan tentera Quraisy Makkah, Ka’b telah menyeru tentera Quraisy untuk menyerang tentera Muslim di Madinah. Apa yang paling jelas, ini merupakan pengkhianatan seorang warganegara terhadap negara sendiri sedangkan perlembagaan negara Madinah mewajibkan semua pihak mempertahankan negara Madinah, saling bekerjasama membangunkan Madinah dan tidak berkomplot dengan pihak musuh. Kalau dalam konteks dunia hari ini, ia ibarat seorang warganegara A telah berpakat dengan pembesar negara B untuk membalas dendam menyerang tentera negara A (yang merupakan negaranya sendiri), sudah tentu ia tidak boleh dibiarkan kerana bahaya akan menimpa negara dan seluruh penduduk sesebuah negara. Oleh itu, Kisah Ka’b bin Ashraf ada faktor lain di luar faktor “penghinaan” semata-mata.

            Akhlak Dalam Berinteraksi & Kepentingan Melihat Implikasi

            Al-Shaykh al-Maqasidi Dr Ahmad al-Raisuni[2] dalam bukunya al-Kulliyyat al-Asasiyyah Li al-Shariah al-Islamiyyah (hlm. 141-145, terbitan Dar Ibn Hazm) menganggap bahawa memaafkan “memaafkan” dan “tidak mengendahkan” ialah antara asas dalam akhlak berinteraksi terhadap golongan di atas, beliau memetik kata Allah SWT:

            “… Dan engkau (wahai Muhammad) sentiasa dapat melihat perbuatan khianat yang mereka (kaum Yahudi) lakukan, kecuali sedikit dari mereka (yang tidak berlaku khianat). Oleh itu, maafkanlah mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan, kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya.” (al-Maidah: 13)

            Begitu juga kata Allah SWT dalam surah (al-Shura: 43):
                                                                                       
            “Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).”

            Sudah tentu memaafkan dan tidak membalas kebodohan dengan kebodohan yang serupa bukan bererti ia terhenti setakat itu sahaja. Namun ia turut disertai seruan untuk menjawab tohmahan, menyampaikan peringatan dan sebagainya (sebagaimana terlihat dalam ayat-ayat yang telah disebut di atas). Apabila ia merupakan asas, bererti perbuatan ganas tertolak serta-merta.
           
            Melihat implikasi (al-Ma’alat) yang dijangka menerusi apa-apa tindakan ialah suatu yang sangat dituntut. Contoh-contoh praktikal Nabi SAW dalam mengambil kira implikasi sesuatu perbuatan sangat banyak dalam Hadis, seperti menangguhkan pembaikpulihan binaan Kaabah di tempat asalnya kerana bimbang umat Islam yang baru meninggalkan ajaran lama mereka berasa musykil lalu meninggalkan Islam, mengarahkan sahabat supaya tidak memanjangkan bacaan dalam solat semasa menjadi imam supaya manusia tidak bosan lalu tidak hadir ke masjid dan sebagainya.

            Begitu juga dalam konteks perbincangan kita dalam tulisan ini, apa-apa tindakan dalam merespon celaan dan penghinaan sesetengah pihak terhadap hal-hal asas agama Islam dan Nabi Muhammad SAW, haruslah dilihat pelbagai pertimbangan, dan bukannya menerusi kebodohan melulu. Tulisan lawannya tulisan, kartun lawannya kartun, filem lawannya filem dan sebagainya. Namun begitu, kartun, tulisan, filem yang mengandungi kebodohan, fitnah dan sarkasme tidak perlu dibalas dengan kebodohan yang sama, sebaliknya dijawab dengan menerangkan hal yang sebenar, atau dihasilkan tulisan dan filem yang mengajak kepada keharmonian dalam hidup jamak budaya dan agama.

Konklusi dan Refleksi        


1)     Kebebasan mestilah berlangsung dengan penuh kesedaran sivik dan bertanggungjawab. Tidak wajar untuk saya meluru kepada seseorang, kemudian mencela dirinya dan ibu bapanya, seterusnya berlalu begitu sahaja atas alasan itu kebebasan saya. Juga tidak pelik jika saya ditumbuk, dicederakan atau dikenakan tindakan agresif selepas itu. Demikian kita wajar guna hak untuk berfikir, sebelum hak untuk berkata-kata dan beraksi.


2)     Kebodohan tidak seharusnya dibalas dengan kebodohan, dan lebih-lebih lagi apa-apa kebodohan tidak seharusnya dibalas dengan pertumpahan darah. Sangat wajar untuk kita renung bagaimana respon lazim Nabi SAW semasa berhadapan dengan para pencelanya. Kalau ada Muslim yang terlalu bersemangat, siapa yang lebih bersemangat dalam memelihara maruah Nabi SAW lebih dari para sahabat dan Umar al-Khattab? Umar al-Khattab dan para sahabat sendiri telah dipesan Nabi SAW menerusi katanya, “… supaya manusia tidak berkata bahawa Muhammad telah membunuh para sahabatnya.”

3)     Menjaga kemuliaan Nabi SAW merupakan salah satu tanggungjawab seseorang Muslim dan ia bukan berlaku dengan berteriak di jalanan melaungkan slogan itu ini sahaja, tapi membangunkan masharakat Muslim dari segi intelektual, spiritual dan material juga salah satu bentuk memelihara kemuliaan Nabi SAW. Demikian juga, kita mesti bersedia mengakui bahawa kewujudan IS (Islamic State) juga salah satu bentuk penghinaan terhadap Nabi SAW, oleh itu bersikap jelas dan menangani IS juga salah satu bentuk memelihara maruah Nabi SAW.

4)     Memaafkan dan berpaling tidak mengendahkan sindiran ialah salah satu akhlak yang sangat mulia dan dipesan beberapa kali dalam al-Quran sebagaimana telah disebut dalam perenggan-perenggan di atas. Memaafkan tidak bermaksud terhenti setakat itu sahaja, namun ia turut disertai usaha untuk membetulkan salah faham terhadap Islam dan Rasulullah SAW sama ada menerusi ucapan, tulisan, filem dan sebagainya. Suatu yang tidak dapat dielakkan apabila berbicara tentang Islam ialah Islam mempunyai hubungan yang amat erat dengan dakwah dan pendidikan.

5)     Hidup dalam masyarakat yang jamak agama dan budaya, sangat penting untuk kita mempelajari dan mengambil tahu tentang doktrin-doktrin asas agama lain, supaya kita sendiri boleh menghormati keyakinan mereka, sambil kita tegas dan beramal dengan keimanan kita. Bagaimana bisa kita praktikkan Li ta’arafu (saling berkenalan) jika kita kita tidak saling pelajari? Juga bagaimana bisa kita dengungkan Lita’arafu sekiranya kita tidak saling menghormati? Tuntasnya, kita sendiri mesti mengubah sikap kita untuk saling mengambil tahu mengenai budaya penganut agama lain khasnya yang tinggal di tanah air kita sendiri.

6)     Dakwah ialah asas yang kekal, tindakan undang-undang (jika relevan pun) hanyalah salah satu wasilah yang berubah-ubah untuk merawat, bukan sebaliknya. Oleh itu atas semangat apa yang ditunjukkan teladan oleh al-Quran dan al-Sunnah, saya secara peribadi sangat menekankan kekuatan masharakat sivil untuk mendidik manusia meninggalkan perbuatan menghina kepercayaan orang lain. Pertama, masharakat sivil dari pelbagai agama atas semangat “komuniti beragama” (community of faith), kedua ialah dari kalangan pertubuhan-pertubuhan Muslim sendiri. Sebahagian pihak sangat teruja untuk menggunakan kekuasaan dalam menangani hal sebegini, walhal kekuasaan dalam hal kepercayaan hanya mengembang biak kemunafikan dan iman yang penuh kepura-puraan.

7)     Kita mengecam pembunuhan yang berlaku di Perancis, dalam masa yang sama juga kita mengecam dan mengajak dunia untuk sama-sama membantah dan prihatin terhadap apa yang berlaku di Syria, Myanmar, Afrika Tengah, Abu Ghraib dan sebagainya. Darah dan maruah setiap manusia sangat bernilai dan harus dipelihara tanpa mengira warna kulit, keturunan dan agama.

“… bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.” (al-Maidah: 32)




[1] Safiyurrahman al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, cetakan ke-20, 2009, Dar al-Hadis: Mansurah, hlm 220-222. Lihat juga Muhammad al-Ghazali, Fiqh al-Sirah, cetakan pertama, Dar al-Qalam, 2006: Damsyik, hlm. 249-251. Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azhim, cetakan pertama, 2002, Dar al-Manar: Kaherah, jilid 1: hlm. 496-497. Ibn ‘Ashur, al-Tahrir wa al-Tanwir, Dar al-Suhnun: Tunisia, jilid 2: hlm 86 (semasa tafsir ayat ke-51 surah al-Nisa’), begitu juga dalam pelbagai teks hadis, sejarah dan tafsir yang lain, sama ada silam mahupun semasa.
[2] Ahmad al-Raisuni, al-Kulliyyat al-Asasiyyah Li al-Shariah al-Islamiyyah, cetakan pertama, 2010, Dar Ibn Hazm: Jeddah, hlm 141-145. ‘Allal al-Faasi juga ada pandangan hampir serupa dalam bukunya Maqasid al-Shariah al-Islamiyyah wa Makarimuha, tahqiq Dr Ismail al-Hasani, cetakan pertama, 2011, Dar al-Salam: Kaherah, hlm. 306-314.

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP