Friday 7 March 2014

Getir Bergelut Mencari Sejahtera

Untuk bebas dari ‘diri’ ialah sebuah perjuangan yang sengit, pergelutan yang getir.
Kadang-kadang seseorang yang keluar dari rumah sebenarnya sedang dalam sebuah kembara mencari rumah; mencari diri sendiri. Mengasingkan diri daripada riuh-rendah dunia dan manusia, juga merapatkan diri dengan 'diri' sendiri.

Bukanlah aneh jika di tengah sesak manusia dan zahirnya semua sedang bersuka ria, ada jiwa sedang menyendiri, jauh pergi dari kesesakan dan sekalian aktiviti, sedang mencari aman dan tenang. Sepertimana tiada aneh jika seorang penghibur yang berjaya menghiburkan para pendengar, penghibur itu sendiri sedang gersang dan kontang jiwanya. Dekat dengan peminat dan pendengar, namun jauh daripada ‘diri’ sendiri. Hiburan belum tentu menenangkan, tetapi ketenangan pasti menghiburkan.

Apakah itu kehidupan? Inilah kehidupan. Sebuah proses tanpa noktah dalam mencari aman. Kehidupan tiada penghujung dan pengakhiran, tapi kehidupan sarat dengan permulaan. Kita menganggap sesuatu sebagai ‘akhir’ dan ‘tamat’, hakikatnya ia sebuah permulaan yang baharu.

Tuhan menyebut, Dia mencipta kehidupan dan kematian untuk menguji manusia, siapakah yang paling baik amalannya (67:2). Kesedihan, derita, air mata, luka, duka dan lara ialah untuk melihat siapa paling baik, demikian juga kegembiraan, tawa, puji, hormat dan keindahan. Kehidupan ialah tentang bagaimana manusia berinteraksi dengan kegembiraan dan kesedihan.

Manusia mencari aman, tenang dan sejahtera. Tuhan menyebut tentang Ibrahim yang datang kepada Tuhannya dengan hati yang sejahtera (37:84) dan bahawa hari kebangkitan itu ialah hari yang tiada apa-apa manfaat dan nilai, kecuali sesiapa yang datang kepada Tuhan dengan hati yang sejahtera (26:89). Ia tentang qalbun saleem (hati sejahtera).

Perjuangan mendapat hati yang sejahtera ialah sebuah perjuangan pembebasan; bebas dari tunduk kepada dunia dan seisinya. Bahkan ia sebuah pergelutan untuk bebas daripada ‘diri’ sendiri. Berapa ramai manusia yang menyangka mereka bebas, tetapi hakikatnya sedang memperhamba diri kepada dunia dan bertuhankan diri sendiri. Benarkah kita bebas jika sebenarnya masih banyak yang merantai diri?

Lihatlah Ibrahim as pemilik hati yang sejahtera itu, sungguh-sungguh ia bertanya kepada Tuhannya tentang hakikat keimanan. Ibrahim bertanya kritis tentang bagaimana Tuhan menghidupkan orang yang mati, demi menenangkan hatinya (2:260). Itulah iman, ia sebuah proses mencari aman. Bertanya kritikal tentang keimanan bukan sebuah larangan, namun wajar disertai rasa bertanggungjawab bekerja keras mencari jawapan, dan di hujungnya demi memperoleh aman.

Muslim itu kata Nabi saw, seorang yang manusia lain selamat daripada bahaya lidah dan tangannya. Manusia yang ada sejahtera dan aman dalam dirinya, akan bisa mencipta dan memelihara sejahtera dan aman terhadap orang lain.

Lidah contohnya, bisa mengundang pergaduhan dan peperangan, selain turut bisa membikin aman dan tenang. Manusia yang berjaya mengawal lidah ialah manusia yang berjaya mengawal dirinya. Perkataan dan ‘bahasa’ yang keluar dari seseorang ialah cerminan apa yang jantung hati dan mindanya sedang bergelutan.

Justeru jika direnung, apabila berbicara tentang dunia yang aman atau perang, ialah sebuah bicara tentang bagaimana manusia bisa mencapai aman (dalam dirinya) dan bagaimana pula bisa terjebak ia ke dalam perang (dalam dirinya). Kita bincang pelbagai masalah dan krisis, di hujungnya kita akan temui, manusia di sebalik itu semua.

Oleh itu apabila kita berbincang tentang masa depan, kita harus patah balik berbincang tentang ‘dalam’; diri manusia. Berpatah balik bermaksud berjalan ke hadapan, kerana hanya manusia yang mempersoalkan makna dan tujuan kehidupan akan mampu harungi rintangan dan cabaran.

Menurut Dalai Lama dalam bukunya bertajuk Towards The True Kinship of Faiths,  dalam tradisi agama Buddha, persoalan menjinakkan diri sendiri ialah sebuah persoalan besar. Sesiapa yang berupaya menguasai dirinya, dia akan berjaya.

“You are your own master,  Who else will be your master? The wise who has become his own master, He shall accomplish his aims” (Udanavarga, 23:10)

Benar, walau sukar sungguh membina sebuah bangunan besar, ia tetap lebih mudah berbanding membina jiwa dan diri seseorang manusia. Ia perlukan latihan dan disiplin, terutama latihan merendahkan diri. Sebab itu kita lihat dalam tradisi sufi, sebahagian shaykh menyuruh muridnya yang mahu berguru dengan mereka supaya ‘mencari diri’ terlebih dahulu; pergi berkhidmat kepada orang miskin.

Iya, bagaimana kita berinteraksi dengan orang lain menunjukkan apa yang ada dalam diri kita. Surah al-Ma’un (107: 1-7) menempelak keras manusia yang mendustakan agama; iaitu manusia yang bersikap kasar dengan anak yatim dan tidak bersegera memberi makan kepada orang miskin. Hal tersebut disebabkan beragama tinggal menjadi ritual semata-mata lalu menghilang maknanya.

Surah tersebut memberi contoh solat yang lalai dan bertujuan menunjuk-nunjuk, lantas terabai tujuan dan makna tertinggi beragama; iaitu berkhidmat untuk manusia dan kemanusiaan. Ibadah yang sebenar ialah untuk menundukkan diri kita dari berasa besar, angkuh dan sombong; ia tentang membebaskan diri kita daripada ‘diri’. Memelihara hubungan dengan Tuhan ialah sentiasa meningkatkan kualiti interaksi kita dengan manusia dan kehidupan.

Hari berlalu pantas, dan kita seperti masih di kaki gunung. Hajatnya mahu kita tawan gunung qalbun saleem. Walau kerap kali sembam, luka dan darah dalam pendakian, selain tawa, suka dan terhibur menikmati indahnya persekitaran. Pendakian menuju aman dan sejahtera, dengan itu harapnya kita bisa cipta dan pelihara aman dan sejahtera terhadap manusia dan kemanusiaan. Ia tentang pembebasan, berkaitan dengan mengawal dan mentadbir dalam diri.


Apakah itu kehidupan? Inilah kehidupan. Tiada pengakhiran sebelum kematian, tetapi sarat dengan permulaan. Untuk bebas dari ‘diri’ ialah sebuah perjuangan yang sengit, pergelutan yang getir.

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP