Tuesday 24 December 2013

Ucapan Perayaan Bukan Muslim: Dari Hukum, Ke Tujuan dan Nilai

Persaudaraan kemanusiaan harus terus diangkat dan diperkukuh.


1)     Perbahasan mengenai hukum kepada Muslim dalam mengucapkan tahniah atas perayaan penganut agama lain sentiasa timbul, khasnya dalam kalangan komuniti majoriti Muslim. Ia timbul kebiasaannya berikutan rasa bertanggungjawab seseorang Muslim untuk melakukan aktiviti seharian berpandukan panduan agama, kerana menurut Islam, agama ialah sebuah cara hidup.

2)     Secara umumnya, persoalan ini menimbulkan dua jawapan dan pandangan, iaitu jawapan yang melarang dan mengizinkan. Antara fatwa yang tidak membenarkan datang daripada tokoh ilmuan terkenal dari Arab Saudi iaitu Muhammad bin Soleh al-Uthaymeen dalam kitab fatwanya. Beliau juga mendatangkan pandangan tokoh silam, Ibn al-Qayyim dalam karangannya bertajuk Ahkam Ahl al-Dhimmah. Antara hujahnya (dan hujah pihak lain yang melarang) ialah bahawa orang yang mengucapkan ucapan khas sempena perayaan kaum bukan Muslim, maka ia seolah-olah meredhai akidah dan kepercayaan mereka. Pihak yang melarang juga kebiasaannya menyatakan perbuatan tersebut sebagai menyerupai penganut agama lain. Selain itu, al-Qaradawi menyebut dalam kitab Fatawanya (juga dalam Fiqh al-Aqalliyyat – halaman 145 hingga 153, selain turut dimuatkan oleh ‘Allama ‘Abdullah ben Bayyah dalam kitabnya Sina’ah al-Fatwa wa Fiqh al-Aqalliyyat – halaman 424 hingga 431) mengenai Ibn Taymiah yang melarang ucapan tahniah atas perayaan penganut agama lain.

3)     Ibn Taymiah menurut al-Qaradawi merupakan antara yang keras dalam persoalan ini, contohnya dalam karangannya bertajuk Iqtidha’ al-Sirat al-Mustaqim. Shaykh Ben Bayyah semasa melakukan komentar berkenaan pandangan Ibn Taymiah (yang dipetik sebahagian sarjana sebagai melarang) tersebut, beliau menyatakan bahawa riwayat yang lebih tepat pada pandangannya ialah Ibn Taymiah sendiri berpandangan akan keharusan mengucapkan tahniah atas perayaan bukan Muslim. Pandangan tersebut boleh ditemui dalam al-Insaf karangan al-Mardawi (lihat Abdullah Ben Bayyah, Sina’ah al-Fatwa, halaman 430). Hal ini menunjukkan kurang tepat dakwaan bahawa Ibn Taymiah hanya diriwayatkan sebagai melarang semata-mata, kerana al-Mardawi menyatakan sebaliknya dalam al-Insaf. Sementara itu, al-Qaradawi menyebut (jika tepat disandarkan pandangan Ibn Taymiah dalam Iqtidha’al-Sirat al-Mustaqim) bahawa pandangan Ibn Taymiah berdasarkan konteks. Justeru beliau berpandangan jika Ibn Taymiah hidup pada zaman ini, sama ada Ibn Taymiah akan menukar pandangannya atau jika tidak, akan lebih ringan sikapnya dalam melarang.

4)     Al-Qaradawi dan Ben Bayyah merupakan antara sebilangan ulama yang mengizinkan ucapan tahniah atas perayaan bukan Muslim. Pelbagai hujah yang diberikan mereka, sebahagiannya lebih kepada hujah dalil-dalil umum yang menyeru kepada berbuat baik terhadap kaum bukan Muslim yang tidak bermusuh dan memerangi Muslim (60:8-9). Selain itu, ia juga berasaskan hubungan antara Muslim dan Ahl al-Kitab yang mempunyai beberapa kelonggaran tertentu seperti perkahwinan dan sembelihan (5:5).

5)     Al-Quran menyeru kepada membalas ucapan dan penghormatan baik dengan balasan yang lebih baik, atau setidak-tidaknya serupa dengan ucapan awal (4:87). Ibn Kathir dalam tafsirnya akan ayat tersebut menyatakan bahawa Ibn Abbas diriwayatkan berkata: “Sesiapa dari makhluk Allah yang memberi salam kepadamu, maka balaslah kepadanya sekalipun dia seorang penganut agama majusi, kerana Allah berkata: “ucaplah dengan ucapan yang lebih baik daripadanya atau sekurang-kurangnya sama,”” Demikian juga satu riwayat bahawa satu hari seorang penganut Majusi telah memberi salam kepada Ibn Abbas, lalu Ibn Abbas berkata: “wa ‘alaykum al-salam wa rahmah Allah” lantas sebahagian sahabat bertanya: “kamu berkata kepadanya ‘dan rahmat Allah’?”, Ibn Abbas menjawab: “Tidakkah dalam rahmat Allah dia sedang hidup?” (Lihat Fiqh al-Aqalliyyat – halaman 149)

6)     Pengajaran paling penting dan utama sebelum kita pergi lanjut ialah persoalan ini ada perselisihan pandangannya di sisi para ulama, sejak dahulu hingga sekarang. Justeru tidak harus bersikap keras dan melampau dalam hal ini. Saya secara peribadi setuju dengan pandangan yang membolehkan ucapan tahniah ke atas perayaan bukan Muslim, khasnya dalam konteks Malaysia yang jamak bangsa dan agama, malahan guru kami Prof Dr Uqlah Ibrahim turut berpandangan ia suatu keharusan dan tiada masalah. Kepada sesiapa yang tidak bersetuju, tidak bermaksud mereka kurang sederhana atau ‘jumud’, demikian juga pihak yang bersetuju dengan larangan janganlah berkata pihak yang memberi ucapan sebagai 'longgar' dalam praktis agama, setiap manusia bebas untuk berpegang dengan pandangan yang mereka yakin. Memberi ucapan atau tidak memberi ucapan tidak seharusnya dijadikan ukuran seseorang itu Muslim yang ‘baik’, ‘sederhana’ atau sebaliknya. Ia sekadar sebuah usaha dan mekanisme dalam menjaga hubungan sesama manusia, bukanlah segala-galanya kerana tuntutan berbuat baik dengan seluruh manusia dan kehidupan tetap menjadi mesej utama Islam.

7)     Barangkali kita kadang-kadang terlalu obses dengan perbincangan hukum hingga secara tanpa sedar, terabai perbincangan soal tujuan dan matlamat yang mahu dicapai menerusi hubungan antara Muslim dan bukan Muslim, bahkan hakikatnya hubungan sesama manusia (rentas agama dan bangsa)! Dalam kehidupan bernegara dan bermasharakat yang jamak agama, bangsa dan budaya, kita tidak perlu mengabaikan ruh penting dalam persaudaraan kemanusiaan dan persaudaraan kenegaraan. Ia mempunyai asas yang sangat kukuh dalam Islam. Bahkan jika dilihat dalam pelbagai ayat, para Nabi digelar Allah swt sebagai “akhuhum” (saudara mereka) semasa merujuknya dengan kaum masing-masing, sekalipun kaum mereka menentang ajaran yang disampaikan (contohnya 7:73, 7:85, 11:50, 11:61, 11:84, 27:45 dan 26:36). Bermaksud sekalipun berbeza agama (bahkan menentang sesuatu ajaran agama), ia tidak menghalang untuk wujudnya persaudaraan kemanusiaan dan persaudaraan kenegaraan.

8)     Nabi saw sendiri menyeru kepada akhlak yang mulia kepada seluruh manusia, bahkan baginda saw diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia (al-Bazzar dalam Musnadnya – 15/364) dan dalam satu hadis Nabi saw menyebut “berakhlaklah kepada manusia dengan akhlak yang baik.” (riwayat al-Tirmidhi, hadis hasan) Baginda menggunakan perkataan ‘manusia’ dan bukannya sekadar ‘Muslim’. Demikian juga hadis yang menyebut tentang tidak sempurna keimanan seseorang sehinggalah dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri (riwayat al-Bukhari dan Muslim). Imam Ibn Rajab al-Hanbali menulis dalam sharahnya akan hadis tersebut bahawa terdapat sebahagian sarjana Islam merujuk perkataan ‘saudaranya’ (akhihi) sebagai saudaranya dari kalangan manusia secara umum, bukan sekadar saudara Muslim. Demikian juga kata Ben Bayyah dalam tulisannya bertajuk al-Qiyam al-Mushtarakah.

9)     Hakikatnya perbincangan tentang interaksi dan hubungan antara sesama manusia (Muslim dan bukan Muslim) bukan semata-mata terhad dengan perbincangan hukum mengucapkan tahniah atas perayaan mereka, ia juga perbincangan tentang saling hidup aman, makmur dan sentosa. Ia tentang Muslim dan seluruh penganut agama lain – termasuk yang tiada agama – haruslah bersatu padu atas persamaan tertentu dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman dan penindasan. Ia bukan sekadar halal haram, tetapi tentang nilai-nilai utama seperti keadilan dan hak-hak asas yang disepakati dan universal yang mesti sama-sama diangkat tanpa mengira kaum, agama dan sistem kepercayaan. Demikian juga, perbincangan tentang mengucapkan tahniah atas perayaan penganut agama lain ialah perbincangan berbuat baik sesama manusia, bukannya orang yang mengucapkannya harus menyindir dan melakukan sarkastik terhadap pihak yang berpandangan tidak harus mengucapkannya (paradoks sungguh, berbuat baik sebelah pihak, kemudian menyindir pihak yang lain!). Yang demikian kerana bertanya tentang kualiti spiritual dan intelektual kita terjawab dengan bagaimana kita berinteraksi dengan orang yang kita tidak bersetuju dengan mereka.


10) Akhirnya, saya mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Natal kepada rakan-rakan yang beragama Kristian. Terus memperkukuh persaudaraan kemanusiaan dan saling hidup dengan aman dan makmur, jauh dari sebarang sentimen agama dan bangsa. Isu agama tidak boleh dipolitikkan, mari bina masa depan baharu yang lebih baik. Bersatu atas kepelbagaian.

Read more...

Wednesday 18 December 2013

Melihat Maqasid Praktis Politik Nabi saw

Tulisan ini merupakan terjemahan kepada tulisan asal oleh Prof Dr Jasser Auda (gambar) bertajuk "Hal Siyasah al-Rasul Tulzimuna Shar'an?", salah satu tajuk dalam bukunya yang berjudul "Syariah dan Politik: Persoalan Pasca-Revolusi" (Bayn al-Shariah wa al-Siyasah: As-ilah Li marhalah ma ba'd al-Thawrah).
Tidak mungkin kita berbicara tentang “pelaksanaan Syariah” dalam realiti negara tanpa membezakan antara apa yang merupakan perakuan dan perbuatan Nabi saw menurut jalan pensyariatan (tashri’) dan apa yang dilakukan semata-mata atas faktor dirinya sebagai manusia  dan bukan merupakan pensyariatan, dan apa yang dilakukan menurut jalan “kepemimpinan” (al-Imamah), atau apa yang kita sebutkannya dengan bahasa semasa sebagai al-siyasat (hal-hal berkaitan politik).

Adapun tashri’, ia merupakan wahyu Tuhan yang tetap dan tidak berubah, adapun apa yang datang daripada Nabi saw atas sebab perbuatan hariannya sebagai manusia (contohnya tiada pensyariatan padanya daripada pakaian, makanan, minuman, peralatan, perubatan,kenderaan, kelengkapan rumah, perhiasan, bangunan dan lain-lain), ia tidak wajib kepada manusia melainkan beberapa individu mengikuti Nabi saw dalam perkara-perkara itu atas faktor kebersangatan, meneladani dan kecintaan dalam diri mereka. Adapun apa yang menurut faktor hal-hal kepolitikan – menerusi jenisnya yang pelbagai – maka pengajarannya di sini ialah berdasarkan makna, prinsip dan tujuan-tujuan yang telah kami sebutkannya (dalam tajuk Membezakan Antara Hukum dan Prinsip Syariah), bukannya berdasarkan bentuk, hukum yang telah lalu dan keputusan-keputusan yang terbatas.

Terdapat ulama yang menyebut pembahagian lain daripada tujuan-tujuan perbuatan Rasulullah saw lalu mereka bertanya: “adakah Nabi saw bermaksud pensyariatan pada perkara tertentu ataupun tidak bermaksud pensyariatan?” Ini merupakan perkara yang saling bersilang, justeru terdapat terdapat perbuatan-perbuatan yang semestinya dimaksudkan Rasulullah saw padanya pensyariatan, dan ia diketahui, seperti solat kerana Nabi saw bersabda: (“solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku bersolat ”) dan seperti haji kerana baginda saw bersabda: (“ambillah daripada aku ibadat haji kamu”). Terdapat juga perbuatan yang semestinya tidak dimaksudkan Nabi saw padanya pensyariatan seperti kegemarannya terhadap sebahagian makanan yang terkenal dalam kalangan orang Arab, atau pakaiannya daripada pakaian putih Arab, maka baginda saw tidak berkata: “makanlah labu sepertimana aku memakannya,” “pakailah pakaian putih sebagaimana aku pakai,” “tanamlah pohon kurma sebagaimana aku tanam,” dan “binalah rumah sebagaimana aku bina,” semua ini daripada perkara adat iaitu Nabi saw melakukannya menerusi jalan al-jibillah (tabiat semula jadi) seseorang manusia. Perbuatan al-jibiliyyah semata-mata merupakan perbuatan dengan hukum persekitarannya saw dan apa yang geografi dan sejarah jadikannya begitu.

Namun terdapat ruang penting dalam konteks perbincangan kita yang wujud perbezaan pandangan akannya, iaitu ruang-ruang yang kita bertanya padanya: “adakah Rasulullah saw maksudkan menerusi perbuatannya ini supaya menjadi pensyariatan untuk setiap Muslim atau tidak bermaksud demikian? Atau ia pensyariatan untuk sekumpulan tertentu yang baginya fungsi-fungsi tertentu?” ia merupakan topik yang menarik.[1]  Ruang ini – iaitu antara apa yang merupakan pensyariatan dan apa yang bukan pensyariatan – sendiri terbahagi kepada beberapa bahagian. Imam al-Qarafi dalam karangannya al-Furuq (ia kitab yang penting) telah membezakan antara jenis-jenis perbuatan Nabi saw, lalu beliau rahimahullah berkata dalam bahagian ke-36:

“Terdapat perbezaan antara perbuatan-perbuatan Nabi saw berkenaan al-qadha’ (kehakiman), perbuatannya berkaitan fatwa dan ia adalah al-tabligh (penyampaian) dan al-Imamah (kepemimpinan) … Perbuatan-perbuatannya berdasarkan ciri-ciri ini berbeza kesannya dalam Shariah … Setiap apa yang beliau ungkap atau buat berdasarkan jalan al-tabligh ia merupakan hukum umum … Adapun baginda saw membangkitkan tentera, menguruskan harta –harta Baitul Mal, Pelantikan hakim dan pemimpin, pembahagian harta rampasan perang dan menandatangani perjanjian, perbuatannya padanya menerusi jalan al-Imamah bukannya selainnya.”[2]

Oleh itu, apa yang Rasulullah saw sabda menerusi jalan al-tabligh, maka ia wajib secara syarak kepada setiap Muslim (adapun secara kanun, ia topik yang berbeza, kita akan sampai perbincangannya). Apa yang Rasulullah saw sabda atas jalan al-qadha’ iaitu baginda saw menghakimi antara dua yang bertelingkah dan sesuatu kes, ia kembali kepada para hakim sahaja dan bukannya seluruh manusia. Apa yang Nabi saw kata atas jalan al-imamah iaitu atas jalan ‘politik’ atau apa yang kita sebut hari ini sebagai perkara-perkara kepolitikan, keputusan-keputusan eksekutif, prosedur-prosedur atau pentadbiran kepolitikan atau kekuasaan, semuanya menurut pemimpin atau pada hari ini ia menurut rakyat, sebagaimana kami akan terangkan.

Terdapat persoalan-persoalan yang dikenali dalam fiqh yang dibezakan para ulama padanya antara apa yang hanya harus kepada pemerintah – menurut perkataan mereka – dan apa yang harus kepada setiap Muslim. Apa yang boleh difahami di sini ialah apa yang Nabi saw buat dengan tujuan pelaksanaan atau perkara-perkara berkaitan politik tidak wajib ke atas semua Muslim elainkan pada konteksnya yang terhad dan bukannya pada setiap konteks. Apa yang wajib daripada perbuatan-perbuatan ini kepada setiap Muslim ialah tujuan, matlamat dan makna yang dimahukan Nabi saw menerusi perbuatannya yang mulia, bukannya semestinya perkara terperinci dalam sesuatu kes antara dua yang bertelingkah atau perkara-perkara terperinci berkaitan perjanjian bersama musuh tertentu atau perkara-perkara terperinci berkaitan politik dalam pelbagai jenis hal ehwal politik, kerana pengajarannya di sini ialah kepentingan umum (maslahah ‘ammah) dan ia daripada apa berubah menurut zaman, tempat dan konteks.

Contohnya, semasa Nabi saw membahagikan tentera ke bahagian kanan, kiri dan tengah, ini dalam bab politik, atau sebagaimana mereka sebut, “al-Imamah”, oleh itu pembahagian ini tidak wajib kepada umat Islam di setiap zaman dan tempat, bahkan mereka yang membahagikan tentera, iaitu pembahagian yang mereka lihat sesuai. Apa yang diwajibkan di sini ialah tujuan dan prinsip iaitu ketelitian pembahagian tentera untuk kebaikan perang.

Sama dengan makna ini ialah isu pembahagian harta rampasan perang (al-ghana-im) sekalipun ia disebut dalam al-Quran, firman Allah:

“Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada "Hari Al-Furqaan", iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”[3]

Sekalipun hukum ini disebut dalam al-Quran dengan jelas, namun hukum ini termasuk dalam bab hal-hal berkaitan politik, kerana Nabi saw telah melakukan pembahagian rampasan perang ini untuk tujuan dan matlamat tertentu yang mana berkait dengan pengagihan harta rampasan ini ke atas tentera, seolah-olah ia merupakan gaji, ganjaran atau bayaran kepada tentera. Contohnya apabila pemimpin memutuskan atau – sekarang – apabila rakyat memutuskan di setiap negeri supaya berubah sistem tersebut kepada gaji-gaji askar dan untuk setiap peringkat ada gaji yang berbeza dan ada syarat-syarat untuk kenaikan … hingga akhirnya. Penggajian, kenaikan dan sistem baharu ini tidak ‘bercanggah’ dengan sistem harta rampasan perang, kerana sistem harta rampasan perang asanya merupakan hal berkaitan politik dan bukannya syariah yang wajib, dan adalah tujuan Nabi saw dalamnya merupakan hal pengurusan. Oleh itu, ikutan kita secara syaraknya di sini bukannya ikutan secara literal, tetapi ikutan yang bersifat maqasid dan makna, tiada mana-mana sarjana Muslim hari ini berkata tentang kewajipan pembahagian harta rampasan perang dengan jalan yang disebut dalam al-Quran atau al-Sunnah kerana ia merupakan wasilah yang telah luput zamannya.

Persoalan ini benar-benar menyerupai persoalan-persoalan lain yang banyak perdebatan seputarnya, iaitu arahan-arahan Nabi saw kepada sahabatnya yang dimahukan menerusinya hanyalah maksud kepolitikan tertentu yang berkait dengan bukan Muslim dalam masyarakat pada masa itu. Contohnya persoalan jizyah ke atas bukan Muslim, perhambaan tawanan perang dan arahan-arahan kepolitikan lain yang Nabi saw tidak bermaksud padanya pensyariatan seperti pensyariatan Islam yang tetap ke atas umat Islam hingga hari kiamat. Sebaliknya yang dimaksudkan menerusi persoalan dan prosedur ini seluruhnya ialah tujuan dan matlamat tertentu. Apabila direalisasi tujuan-tujuan ini dengan jalan-jalan lain, maka jalan-jalan lain turut sah dan Islamik juga. Yang demikian kerana persoalan-persoalan ini bukanlah hal-hal ibadat dan bukan menjadi tujuan sendirinya. Oleh itu, sesungguhnya kita pada zaman ini hendaklah memahami dengan baik bahawa terdapat nas-nas wasa-il (jalan-jalan/mekanisme) dan nas-nas yang merupakan tujuan-tujuan (maqasid), dan kita hendaklah membezakan antara jalan dan tujuan, meskipun ia dinaskan dalam kitab Allah taala.

Sebagai contoh, semasa Allah taala berfirman dalam kitabnya yang mulia:

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia”[4]

Pasukan-pasukan berkuda dalam ayat tersebut merupakan jalan sekalipun ia disebut dalam al-Quran, dan bukan setiap apa yang disebut dan dinaskan secara jelas dalam al-Quran, bertukar menjadi tujuan sendirinya dengan literalnya dan kedudukannya sebagai wasilah. Sebaliknya kita mesti bertanya – dan ini sudah tentu merupakan peranan sarjana yang mujtahid – soalan berikut: “adakah ini merupakan jalan menuju tujuan? Ataupun ini merupakan tujuan yang dimaksudnya sendirinya?” Sekiranya ia termasuk dalam bab jalan seperti kuda, pedang, harta rampasan dan jizyah, maka jalan itu berubah dengan perubahan zaman, tempat, keadaan dan individu. Adapun jika ia termasuk dalam bab tujuan, maka tujuan itu tetap dan tidak berubah. Ini merupakan pengajaran yang penting ketika kita berfikir dalam pelaksanaan Syariah pada realiti semasa.

Saya mengulang di sini bahawa perkara-perkara politik ini tidak termasuk padanya persoalan-persoalan yang mana tujuannya ialah al-ta’abbud (pengibadatan), iaitu ibadat semata-mata dan menuruti dengan literal, yang demikian sebagaimana kata Imam al-Shatibi yang merupakan Imam yang dikenali dari kalangan sarjana al-maqasid:

“Asal dalam urusan ibadat ialah al-ta’abbud tanpa berpaling kepada tujuan-tujuan dan asal padanya ialah tidak dilakukan kecuali dengan keizinan, memandangkan tiada ruang untuk akal dalam mereka cipta hal-hal ibadat. Sementara apa yang termasuk dalam perkara kebiasaan manusia, maka asal padanya ialah berpaling kepada tujuan-tujuan dan asal padanya ialah keizinan sehingga ada dalil menunjukkan sebaliknya.”[5]

Justeru asal dalam perkara interaksi antara manusia (al-mu’amalat) ialah melihat kepada makna, prinsip, niat, tujuan dan matlamatnya yang tinggi, bukan semestinya melihat kepada bentuk, literal dan rupanya kerana bentuk dan rupa berubah dengan perubahan zaman, tempat dan kebiasaan yang dikenali setempat. Ini memberikan keanjalan dalam kefahaman Syariah Islam pada waktu yang kita sangat berhajat kepadanya (keanjalan) pada peringkat ini. Tetapi asal dalam urusan ibadat yang melibatkan antara manusia dan Tuhannya ialah melihat kepada bentuk dan rupa kerana ketaatan daripada hamba untuk Tuhan ini merupakan tujuan secara sendirinya.

Kenapa al-Shatibi menyebut: al-Asl (asal)? Kerana di sana terdapat pengecualian. Telah berkata para sarjana seperti al-Tufi dan beliau merupakan antara Imam besar mazhab Hanbali, beliau berkata sesungguhnya al-muqaddarat (iaitu apa yang ditetap kadar bilangannya) ia tetap dan termasuk dalam kategori ibadat. Iaitu contohnya 2.5 % dan kadar secara umumnya dalam persoalan-persoalan zakat, bilangan talak yang tiga, tiga bulan dalam tempoh ‘iddah (tempoh yang wajib ditunggu oleh seorang balu atau yang diceraikan sebelum boleh berkahwin dengan lelaki lain) dalam persoalan kekeluargaan dan lain-lain. Iaitu apa yang termasuk dalam kadar yang telah ditentukan secara spesifik yang disepakati tanpa khilaf akan tafsirannya oleh para ulama, maka ia merupakan dari kategori ibadat dan wajib kita mengambilnya dengan pengibadatan, kerana pengibadatan merupakan tujuan padanya.

Meskipun perkara-perkara al-mu’amalat yang disebut ini berkait dengan keluarga dan zakat, iaitu interaksi antara manusia dalam masyarakat, namun ia merupakan hal interaksi antara manusia dan separuhnya merupakan ibadat kerana ia merupakan kefarduan dan kewajipan agama yang ditetapkan, separuh lagi merupakan hal-hal interaksi antara manusia kerana ia berkait dengan harta yang diberi oleh golongan kaya kepada golongan fakir demi hikmah-hikmah kemasyarakatan dan ekonomi yang tertentu. Hikmah-hikmah tersebut contohnya: “... supaya harta itu tidak hanya berlegar-legar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu”[6], berlegar-legar dalam ayat ini bermaksud monopoli harta dalam kalangan golongan kaya semata-mata. Ia merupakan maksud kerana perkataan “kay” (supaya) yang disebut dalam ayat tersebut merupakan sababiyyah (memberi maksud sebab). Antara hadis Nabi saw tentang zakat: (diambil daripada orang kaya dalam kalangan mereka dan diberi kepada golongan fakir dalam kalangan mereka)[7]. Justeru zakat dalam contoh ini merupakan perkara mu’amalat kerana baginya tujuan dan matlamat berkaitan kemasyarakatan dan ekonomi, juga ibadat padanya iaitu kadar, nilai, bilangan dan nisbah.

Adapun contohnya jika kita melihat kepada isu lain yang berkaitan dengan zakat iaitu disebut sebagai isu “wi’a’ al-zakah” iaitu apakah jenis dan harta yang wajib dikeluarkan zakat daripadanya? Isu ini bukanlah ditetapkan dan bukan dilihat secara literal. Di sini contohnya kita mendapati sedikit dari kalangan ulama mengambil secara literal seperti Imam Ibn Hazm al-Andalusi al-Zahiri yang menulis:

“Tiada zakat melainkan pada lapan jenis harta sahaja iaitu emas, perak, gandum, barli, kurma, unta, lembu dan kambing sahaja ... Berhubungnya telah datang sunnah ... Tiada zakat pada sesuatu daripada buah-buahan, pertanian dan tiada pada apa selain apa yang kami sebutkan dan tiada pada kuda, kepingan logam, madu dan harta perniagaan.”[8]

Jenis-jenis yang terhad untuk zakat yang disebut dalam hadis Nabi saw merupakan tujuan sendirinya menurut pandangan Ibn Hazmi. Pandangan sempit yang literal terhadap nas-nas tanpa melihat kepada matlamat, tujuan dan maknanya membawa kepada pemikiran, sesiapa yang memiliki lima ekor unta hendaklah membayar zakat, sebaliknya sesiapa yang memiliki satu telaga petrol contohnya, tidak perlu membayar zakat! Sesiapa yang memiliki emas contohnya hendaklah membayar zakat tetapi orang yang memiliki berlian tidak perlu membayar zakat! Pandangan ini salah kerana ia menafikan keadilan yang menjadi tujuan pada asalnya.

Namun jalan berbentuk sebegini dalam berfikir terhasil daripada fatwa-fatwa literal – dahulu atau sekarang – yang dekat kepada jenaka berbanding fatwa dan tidak elok untuk apa-apa pemikiran yang bagus dalam pelaksanaan Syariah pada zaman kita. Yang demikian meskipun keagungan Imam Ibn Hazm yang merupakan failasuf besar, Imam yang hebat dalam Fiqh, Usul al-Fiqh, sejarah agama-agama dan dalam ilmu hadis, selain merupakan penyair yang terkemuka, tetapi lihatlah sebagai contoh kepada satu hadis yang datang daripada Nabi saw mengenai “lelaki yang kencing dalam air, lalu Nabi saw berkata: janganlah seseorang daripada kamu kencil dalam air yang bertakung”[9] di mana Ibn Hazm membuat komentar ke atasnya dengan berkata: “Apabila seseorang kencing dalam bekas kemudian mencurahnya ke dalam air, air itu tidak bernajis (ia sangat aneh!). sebagaimana komentarnya ke atas hadis yang dinyatakan oleh Nabi saw bahawa keizinan seorang perempuan dara berhubung perkahwinannya cukup dengan diamnya – iaitu lantaran malu, di mana Nabi saw berkata: “keizinannya ada pada diamnya”, lalu Ibn Hazm menyebut dalam kitabnya (al-Muhalla bi al-Athar) bahawa jika perempuan dara itu berkata “ya”, terbatallah akad perkahwinan.

Manhaj berfikir dalam pelaksanaan perkara berkaitan al-mu’amalat dan politik Islam dalam realiti kita pada hari ini, jika kita mengambilnya dengan literal, kita akan sampai kepada keputusan yang tidak logik dan tidak boleh diterima, sebagaimana kita lihat pada zaman kita menerusi sebahagian aliran Islam dan golongan yang Shaykh al-Qaradawi namakan sebagai al-Zahiriyyah al-Judud (Literal baharu)!

Sebaliknya, apabila kita mengambil manhaj berfikir yang melihat kepada makna dan prinsip sahaja tanpa meletakkan disiplin dan pengikat, seperti ibadat, kadar-kadar dan selainnya daripada disiplin-disiplin ijtihad yang kami telah sebutkannya, kita akan sampai kepada makna yang longgar yang menganggap setiap perkara di bawah erti kebebasan, fitrah atau bahkan keadilan. Apa yang kita perlu ialah manhaj pertengahan antara literal dan melihat kepada tujuan dalam berinteraksi dengan apa yang kita kenali dalam petunjuk Rasulullah saw dan daripada nas-nas al-Quran.

Perbincangan ini seluruhnya berkait dengan pengamalan Islam pada peringkat individu atau hingga ke peringkat masyarakat. Adapun apa yang berkait dengan pengamalan Islam yang merupakan perundangan yang diwajibkan ke atas negara dan undang-undang, ia persoalan yang perlu kepada penjelasan yang lebih banyak, akan menyusul nanti.



[1] Rujuk: Ali Khafif, “al-Sunnah al-Tashri’iyyah” dalam buku: al-Sunnah al-Tashri’iyyah wa ghayr al-Tashri’iyyah, suntingan Muhammad Imarah (Kaherah: Nahdah Mesir, 2001).
[2] Shihab al-Din al-Qarafi, al-Furuq (bersama komentarnya), suntingan Khalil Mansur (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1998), jilid 1, hlm. 357.
[3] Al-Anfal:41
[4] Al-Anfal:4
[5] Al-Shatibi, al-Muwafaqat, jilid 2, hlm. 6.
[6] Al-Hasyr:7
[7] Al-Bukhari: (1331), bab kewajipan zakat.
[8] Ali Ibn Hazm, al-Muhalla, suntingan Lajnah Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cetakan pertama (Beirut: Dar al-Afaq, tanpa tarikh), hlm 209.
[9] Ibn Majah (344), daripada hadis Abu Hurayrah

Read more...

Karma Cinta

Cerita semalam
seolah-olah bertukar
menjadi karma
mengerikan hari ini

mungkin benar, kehidupan
ada karma
termasuk cerita
cinta semalam

kutahu ada mata
dilorong mutiara
dari kolam
melalui pipi

kudengar khabar
sukar sungguh
untuk dia
menyeka air mata

kugerun jika
cerita cinta
semalam akhirnya
menjadi karma

lama sudah
kurenung lantas
kutakut mahu
ingati semalam

bukan sengaja
mahu meluka
bukan pula
niat utama

sebahagian berterusan
berkongsi pesan
cinta itu katanya
ada karma

semalam, tolong
jangan jadi karma
jua kelmarin, usah
mengerikan hari ini

kupujuk hati
karma hanya untuk
insan sengaja meluka
dan keras hatinya

cerita semalam
bukan cerita karma
ia tentang berani
ambil keputusan

tiada karma
harapnya
esok tiada ngeri
pastinya

MBH, 20:42 (171213), Irbid

Read more...

Thursday 12 December 2013

Ronta Jiwa di Balik Diam

kan terus menangis mencari rumah
yang di dalamnya ada aman untuk kujamah


Dalam diam,
meraung jiwa dalam
akur kepada Tuhan
akan mahalnya sebuah tenang

di tengah-tengah sesak manusia ramai
siapa tahu bahawa
sedang bersendirian sebuah jiwa
menjerit batinnya sekuat tenaga

alangkah, banyak amat
penghibur yang suaranya lunak
lagunya mendapat puji hormat
daripada para peminat

namun di sebalik jayanya ia
menjadi penghibur setia
jiwanya sendiri sebenarnya
masih mencari ketenangan dan makna

demikian hiburan tiada semestinya
menenangkan manusia
tetapi ketenangan pula pastinya
menghiburkan semua

dan, masih garang meronta jantung hati
di balik khulwah bersama sepi
pengembaraan spiritual menuju ilahi
yang air mata meluncur acap kali

apa lagi yang lebih derita, Tuhan?
selain kerasnya hati daripada jalan
lalu dicari ketenangan dan kebebasan
yang palsu walhal sesekali tak kesampaian

sungguh, aku mahu bebas daripada
kata, cela dan pandang beberapa
manusia yang laju mulut mereka berkata
walhal aku berbuat demi apa kupercaya

betapa, yang kuyakin sedari dahulu
sesiapa sahaja yang ke hilir atau ke hulu
berdisiplin mencari hakikat yang jitu
tanpa kibr pastilah hujungnya ia ketemu

Tuhan, aku yang lemah
kan terus menangis mencari rumah
yang di dalamnya ada aman untuk kujamah
hingga akhirnya kukembali ke tanah

[MBH, Irbid - 11/12/13 - 23:20]

"... there was silence, meditative solitude, and the experience of a journey, beyond time and space, toward the heart, the essence of spiritual quest, and initiation into meaning. Moments of plenitude, and often of tears; of contemplation and vulnerability..."

Read more...

Wednesday 11 December 2013

Membezakan antara Hukum dan Prinsip Syariah

Tulisan ini merupakan terjemahan kepada tulisan asal oleh Prof Dr Jasser Auda (gambar) bertajuk Ma al-Farq bayn Ahkam al-Shariah wa Mabadi' al-Shariah, salah satu tajuk dalam bukunya yang berjudul "Syariah dan Politik: Persoalan Pasca-Revolusi" (Bayn al-Shariah wa al-Siyasah: As-ilah Li marhalah ma ba'd al-Thawrah).

                Antara yang penting sebelum kita berbicara tentang sesuatu yang mewajibkan kita kembali kepada prinsip-prinsip umum – contohnya sebagaimana disebut dalam dokumen al-Azhar[i]  dan selainnya daripada dokumen-dokumen dan karya keperlembagaan yang penting pada peringkat ini – suatu yang penting untuk kita menjawab soalan berikut:
Apakah prinsip-prinsip perundangan Islam? Apa pula hubungannya dengan hukum hakam fiqh yang pelbagai? Sejauh manakah kesahihan dan ketetapannya (thubut)? Adakah merujuk kepadanya (prinsip-prinsip syariah) sebagai “sumber asas untuk legislatif” bermakna kita sewajibnya tidak boleh kembali kepada pemerincian syariah sebagaimana para fuqaha’ telah memahaminya dalam sesuatu masalah?
                Pertama: nama yang ilmiah untuk prinsip-prinsip syariah, keumumannya dan tujuan-tujuannya ialah “maqasid al-shariah”. Maqasid al-Shariah merupakan matlamat-matlamat (al-ghayaat), kebaikan-kebaikan (al-masalih), makna-makna (al-ma’ani), tujuan-tujuan (al-ahdaaf), alasan-alasan (al-‘ilal) dan sebab-sebab (al-asbab) – berdasarkan pemerincianan kepada pemahaman istilah-istilah yang maksudnya saling mendekat menurut kalangan ahli ilmu – dan syariat telah datang untuk merealisasikannya dalam dunia manusia.
Asas kefalsafahan yang terbina al-maqasid ini ialah bahawa Allah Azza wa Jalla tidak membuat sesuatu perkara dengan sia-sia. Dia mengurniakan nikmat kepada kita dengan pengutusan Rasulullah saw dan penurunan syariat ini (dengan maksud apa yang diwahyukan daripada Allah), perkara ini tidak menjadi sia-sia tetapi untuk merealisasikan kebaikan, matlamat, tujuan dan makna tertentu.
Sebagai contoh, antara maqasid dan ma’ani´yang paling penting ialah al-‘adl (keadilan) di mana Allah swt berfirman:
“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan”[ii]
Huruf al-lam yang terdapat pada perkataan li-yaqum merupakan al-lam al-sababiyyah (huruf lam yang memberi maksud sebab), oleh itu keadilan merupakan maksud dan tujuan utama daripada pengutusan para rasul dan penurunan kitab-kitab. Ia juga merupakan antara maqasid al-syariah “al-‘ammah” (umum) dan al-kulliyyah (sejagat) selain maqasid al-shariah lain yang telah disebutkan oleh para ulama dalam teori-teori mereka yang pelbagai[iii]. Lihatlah di sini bahawa keadilan dan menolak kezaliman merupakan sesuatu yang menjadikan seseorang syahid apabila dia mati ketika berada atas perjuangan untuk menegakkannya (keadilan) sebagaimana wujud dalam hadis Nabi saw.
Al-maqasid dan al-mabaadi’ (prinsip-prinsip) dalam erti kata ini merupakan daripada pengetahuan dan pemahaman kepada syariat, bukannya merupakan syariat itu sendiri. Adapun ia merupakan teori-teori dan kefahaman yang mendalam dan penting untuk syariat ini. Untuk itu, sesungguhnya pemahaman ini mempunyai teori yang pelbagai dan tidak hanya satu penyelarasan sahaja. Sekalipun ruang ini agak terbatas untuk menjelaskannya[iv], kami akan melontarkan penjelasan kepada sebahagian pembahagian asas iaitu perkara yang berkait dengan apa yang dinamakan  al-Darurat (asasi), al-Hajiyyat (kehendak) dan  al-Tahsiniyyat (penyempurnaan).
Al-Darurat bermaksud persoalan-persoalan kehidupan dan kematian. Justeru sesuatu yang penting (daruri) berkait dengan kehidupan manusia atau kebinasaan mereka. Sementara al-Hajiyyat datang selepas al-Dharurat dan merangkumi setiap apa yang diperlukan manusia yang tidak termasuk dalam persoalan hidup dan mati. Ia merupakan keperluan yang digunakan tetapi sangat dituntut dan penting. Bahagian ketiga pula ialah al-Tahsiniy atau al-Kamaliy iaitu perkara-perkara yang digunakan yang bukan merupakan asasi ataupun bertaraf daruri. Semua peringkat al-masalih ini merupakan daripada apa yang Syariah datang untuk merealisasikannya dalam kehidupan manusia dan bertujuan memenuhinya berdasarkan peringkat-peringkat yang pelbagai.
Adapun al-Darurat, berhubung hal ini para ulama telah menyatakan bahawa keperluan-keperluan syarak ialah melindungi atau memelihara perkara berikut; al-Din (Agama), al-Nafs (Nyawa), al-‘Aql (Akal), al-Nasl (Keturunan), al-‘Irdh (Maruah) dan al-Mal (Harta) dengan perberzaan dalam penjelasan urutan dan istilah. Imam al-Ghazali mempunyai kata-kata yang indah iaitu bahawa pemeliharaan (al-Hifz) mempunyai sudut positif dan sudut negatif. Sudut negatif ialah memelihara maslahah daripada berkurang atau menjadi sia-sia, sementara sudut positif pula ialah pemeliharaan pada perkara pertumbuhan dan pengembangan, dan mesti memelihara kedua-dua sudut tersebut dalam implementasi dan pengamalan.[v]
Sebagai contoh, memelihara agama yang dimaksudkan ialah memelihara asal agama, iaitu asal keimanan dengan Allah swt, kerana setiap sesuatu dalam Islam mempunyai hubungan dengan agama. Tetapi memelihara agama – menurut erti ini iaitu prioriti utama pada apa yang Syariah turunkan untuk merealisasikan maslahah dan tujuan-tujuan – ialah memelihara asal keimanan dengan Allah daripada apa yang bertentang dengan kepercayaan dan pemikiran Islam, dan ini untuk umat Islam.
Adapun untuk bukan Muslim, memelihara agama dalam hak mereka juga terjamin dan penting dalam Syariah kerana: “bagi mereka hak sebagaimana bagi kita dan ke atas mereka tanggungjawab sebagaimana ke atas kita”[vi] – menerusi jalan memelihara asal keyakinan menurut mereka, al-Quran jelas menyebut hal ini menerusi firman-Nya: “Tiada paksaan dalam urusan agama”[vii], “maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”[viii], “maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?”[ix].
Ayat-ayat ini mutlak, jelas yang kukuh menunjukkan bahawa bukan Mulsim tidak sah untuk dipaksa kepada Islam atau kepada apa hukum-hakam yang khas untuk umat Islam. Ini merupakan pemeliharaan agama pada haknya, pandangan Shaykh Imam al-Tahir Ibn Ashur menurut erti yang sama ialah Hurriyah al-I’tiqadat (kebebasan berkeyakinan).[x]
Adapun memelihara jiwa berkait dengan memelihara kehidupan manusia dalam Islam, dengan setiap gambarannya dan pada setiap peringkatnya. Ia berkait secara praktisnya dengan menolak apa yang menghilangkan kehidupan ini seperti bunuh dan apa yang membawa kepada bahaya terhadap jiwa menerusi apa-apa bentuk sekalipun, seperti apa yang membahayakan manusia dengan bahaya yang hingga menghilangkan salah satu anggotanya atau menjadikan perempuan yang hamil tergugur janinnya atau apa yang membawa kepada penyakit contohnya. Selain sudut negatif daripada tujuan yang telah dinyatakan, sudut positif pula berkait dengan pelaksanaan setiap apa yang meningkatkan kesihatan manusia dan melindungi daripada penyakit, jangkitan dan sebagainya. Bahkan sesungguhkan pemeliharaan jiwa dalam Islam berkait juga dengan memelihara segala kehidupan yang pelbagai seperti haiwan, tumbuhan dan alam sekitar. Justeru menceroboh kehidupan dengan apa-apa bentuk sekalipun adalah diharamkan dalam Syariah dan mengekalkannya disyariatkan dan menjadi tujuan.[xi]
Adapun memlihara akal para ulama silam mengikatnya dengan isu pengharaman arak dalam Syariah Islam, mereka berkata sesungguhnya memelihara akal daripada keadaan tidak sedar menerusi tiap-tiap yang memabukkan atau menjadikan khayal (dadah) walau apa pun nama dan kandungannya, selain walau apa cara membuatnya dan walau apa bahan yang memberi kesan! Tetapi hakikatnya memelihara akal dalam Islam sebagaimana yang al-Quran terangkan turut mempunyai erti positif yang lebih luas daripada erti negatif dalam pemeliharaan dan penjagaan, kerana ia berkait dengan faham-faham yang bersifat pembangunan seperti menuntut ilmu, perkembangan kemahiran, pemeliharaan akal manusia daripada khurafat, silap mata dan mengikut sesuatu secara buta, selain menggalakkan bukti-bukti dan dalil-dalil akal dalam setiap persoalan (sama ada manhaj akal atau manhaj falsafah), sekalipun persoalan tersebut merupakan persoalan kewujudan Allah taala atau kebenaran para rasul. Selain itu, ia melawan rasional yang putus (terus menutup perbincangan), tidak berpendirian dan contoh-contoh lain yang memelihara akal yang berkembang.
Adapun memelihara keturunan, dalam Syariah ia tidak berkait dengan memelihara keturunan anak-anak kepada ayah mereka semata-mata. Bahkan ditambah kepadanya akan pemeliharaan kanak-kanak dan memelihara keluarga dalam erti negatif dan erti positif, atau perlindungan dan pertumbuhan pada masa yang sama. Dalam realiti semasa kita, keluarga merupakan asas dalam pemeliharaan umat dan pertumbuhan anak-anak dan pendidikan mereka. Oleh itu pemeliharaan keturunan sebagai satu kefahaman menjadi luas dalam ijtihad semasa dalam maqasid al-shariah untuk merangkumi pemeliharaan keluarga – sebagaimana tersebar dalam penulisan-penulisan kontemporari – dan setiap yang berkait dengannya pada sistem sosial, kebudayaan dan undang-undang.
Adapun pemeliharaan maruah, ia merupakan kefahaman yang juga berkembang di sebalik kewujudannya yang berkait dengan pemeliharaan daripada cakap-cakap manusia – sama ada laki-laki mahupun perempuan – daripada qazaf, cercaan, celaan, tuduhan yang tidak benar ataupun pengintipan, sehinggalah berkait dengan kemuliaan manusia (karamah al-insan) dan hak-hak asasi manusia sebagaimana kita kenalinya pada hari ini dalam dokumen-dokumen semasa berkaitan hak-hak asasi. Akan tetapi kita harus membezakan antara hak-hak asasi manusia yang disepakati akannya seluruh manusia (seperti hak kehiduan, kebebasan memilih, perlindungan daripada seksaan, kebebasan memberi pandangan, keadilan perundangan dan sebagainya) dan antara pelaksanaan erti-erti ini dalam kebudayaan yang berbeza antara masyarakat Timur, Barat dan antara umat Islam dan selain mereka – tanpa pemaksaan apa-apa budaya daripada kebudayaan lain dalam penerimaan kefahaman dan pelaksanaannya yang terperinci. Namun kita melihat kadang-kadang sebahagian negara yang mempunyai pengaruh atau kekayaan dan kemewahan cuba memaksa budayanya yang spesifik ke atas pihak lain atas nama hak-hak manusia. Perbuatan ini – menurut pandangan Syariah – mesti dirujuk, khasnya dalam lapangan keluarga sebagaimana akan menyusul nanti.
Adapun pemeliharaan harta, dalam fiqh ia berkait dengan hukuman-hukuman yang Syariah wajibkan ke atas jenayah kecurian, penipuan, monopoli dan penggelapan wang. Tetapi erti fiqh semasa menambah dimensi positif yang berkembang kepada memlihara hak-hak, pemilikan (termasuk hak-hak dan pemilikan intelektual), pemeliharaan ekonomi daripada keruntuhan, pengangguran, inflasi dan lain-lain.
Shaykh Muhammad al-Tahir Ibn Ashur rahimahullah mempunyai lontaran yang diasaskannya seputar “darurat al-fard” (keperluan-keperluan individu) dan “darurat al-ummah” (keperluan-keperluan umat), apabila beliau menyatakan bahawa kepentingan umat didahului daripada kepentingan individu. Oleh itu, agama, jiwa, akal, keturunan, maruah dan harta yang melibatkan umat, semuanya didahului daripada agama, jiwa, akal, keturunan, maruah dan harta yang melibatkan individu. Erti ini sangat penting dalam pelaksanaan dan implementasi Syariah, khasnya dalam lapangan keutamaan-keutamaan dan berkaitan kepolitikan. Menurut erti semasa, ia bermaksud kepentingan umum didahului – sebagai kaedah umum – ke atas kepentingan individu, akan menyusul perbincangannya nanti.
Adapun al-hajiyyat, ia merupakan isu dan kepentingan yang manusia kehendakinya pada peringkat yang lebih sedikit berbanding al-darurat kerana ia bukan merupakan persoalan kehidupan atau kematian. Para ulama telah meletakkan contoh-contoh berkaitan al-hajiyyat ini seperti perkahwinan, perjalanan dan perniagaan, bererti seseorang itu tidak mati jika tidak berniaga, berkahwin (saya harap ia seperti yang dikata!) atau lain-lain yang seumpamanya. Tetapi sebahagian para sarjana Usul al-Fiqh menyatakan bahawa “sesuatu kehendak (al-hajah) apabila ia merebak, ia turun ke kedudukan keperluan (al-darurat)”, iaitu apabila terdapat kemelesetan yang umum dalam perniagaan, maka perniagaan menjadi suatu keperluan, dan apabila terdapat kemerosotan yang umum dalam perkahwinan, maka perkahwinan menjadi suatu keperluan, demikian juga contoh-contoh lain. Oleh itu, kehendak-kehendak ini penting, namun ia datang selepas keperluan-keperluan dan tidak mendahuluinya dalam tangga kepentingan dan pengambilan berat. Pemerhatian kepada prinsip-prinsip Syariah mesti menjaga turutan ini dan tidak lari daripadanya, ia merupakan turutan yang logik yang disepakati akannya orang yang berakal.
Adapun al-tahsiniyyat, daripada kurniaan Allah swt, kemuliaan dan kasih sayang-Nya menjadikan daripada objektif Syariah dan tujuannya ialah untuk mencantikkan kehidupan kita dan memperindahnya hingga dengan penyempurnaan-penyempurnaan, tidak sekadar melibatkan al-darurat dan al-hajat. Yang demikian seperti menghias rumah, masjid dan penurapan jalan, juga seperti perkara hiburan yang diharuskan dan bau-bauan yang wangi, makanan dan minuman yang menyelerakan yang diharuskan, kelengkapan rumah yang selesa dan warna-warna yang cantik dan contoh-contoh lain. Merealisasikan semua ini merupakan sebahagian daripada tujuan Syariah dan objektifnya, namun ia datang pada kedudukan selepas al-hajaat, mendahulukan dan mempermudah al-hajaat, tidak sah ia mendahului al-hajaat dalam tangga keutamaan, pengambilan berat, kepolitikan dan pertimbangan-pertimbangan yang berkaitan.
                Selain daripada pembahagian yang terkenal ini dalam pembahagian-pembahagian al-maqasid, terdapat pembahagian-pembahagian lain yang berkaitan dengan apa yang dinamakan dengan al-kulliyyat al-‘ammah. Para ulama telah menyatakan bahawa keadilan merupakan antara maqasid al-shariah yang bersifat kulli, mereka berkata bahawa penjagaan fitrah atau tabiat-tabiat manusia yang Allah ciptakan manusia menurutnya, juga merupakan antara maqasid al-shariah yang bersifat kulli. Demikian juga dengan penjagaan aturan-aturan Tuhan dengan erti kata sistem dan undang-undang alam yang Allah azza wa jalla menjadikannya sebagai pemerintah ke atas pergerakan alam dan kehidupan – mereka berkata, sesungguhnya Syariah bertujuan memelihara undang-undang ini dan tidak sesekali bertujuan bertembung dengannya, mereka menyebut “hifz nizam al-ummah” (pemeliharaan sistem umat) dalam al-maqasid al-kulliyyah al-‘ammah (tujuan-tujuan menyeluruh yang umum) yang mahu dicapai Syariah menerusi pemerinciannya yang berbeza, dan ia mempunyai kepentingan yang khas dalam perbincangan kita tentang prioriti pasca-revolusi.
                Antara erti tujuan-tujuan menyeluruh yang umum yang para sarjana maqasid nyatakan ialah: al-samahah (lapang dada), al-taysir (kemudahan), al-hikmah (kebijaksanaan), al-maslahah al-‘ammah (kepentingan umum), al-ta’awun (saling membantu), al-ta’ayush (saling hidup), al-takaful (tanggungan bersama), al-amanah (amanah), al-tatawwu’ (kesukarelawanan) dan lain-lain yang termasuk dalam nilai-nilai kemasyarakatan yang kita sebut pada hari ini sebagai ‘nilai-nilai ketamadunan’.
                Oleh itu, merujuk kepada “prinsip-prinsip Syariah Islam” ialah merujuk kepada setiap makna dan tujuan yang disebut di atas, yang mahu dicapai Syariah dan bertujuan memeliharanya seperti kepentingan-kepentingan dan hak-hak yang disebut. Merujuk kepada prinsip-prinsip Syariah, keistimewaannya ialah orang yang berakal tidak berselisih mengenainya memandangkan tujuan-tujuan ini “dipelihara dalam setiap agama” – menurut pandangan al-Imam al-Shatibi rahimahullah – dan akal yang sejahtera menerimanya secara spontan dan tidak berdebat padanya walau apa agama atau ideologinya. Justeru, ia merupakan landasan bersama antara seluruh ketumbukan politik dalam apa-apa projek kepolitikan yang umum, dan ia penting menurut konteks perkataan kita mengenai Syariah dan peringkat pasca-revolusi.
                Terdapat hukum-hakam daripada Syariah Islam (contohnya undang-undang kekeluargaan) yang tidak membolehkan umat Islam sama ada majoriti atau minoriti, juga di mana-mana negeri dan bawah mana-mana pemerintahan untuk tidak berpegang dengannya. Tidak cukup untuk penggubal undang-undang melihat kepada “prinsip-prinsip umum” dan makna-makna yang am, bahkan seseorang Muslim – sama ada secara individu atau menerusi undang-undang jika boleh – mestilah kembali kepada pemerincian, rukun, syarat, sebab dan halangan-halangan tertentu yang ditetapkan Syariah. Yang demikian supaya tafsiran nas-nas yang terperinci tidak terkeluar daripada prinsip dan maqasid umum yang disebutkan – demikianlah berlakunya pertimbangan antara nas-nas tertentu yang tetap dan tujuan-tujuan menyeluruh yang umum.
                Adapun beza antara lapangan yang cukup padanya prinsip dan maqasid umum dan antara apa yang wajib kembali kepada pemerincian fiqh dan tafsiran-tafsiran berasaskan mazhab, hal ini akan kami jelaskan kemudian menerusi konteks perbincangan tentang pertimbangan antara “al-diniy” (keagamaan) dan “al-madaniy” (kemodenan).





[i] Rujuk isyarat tersebut (dengan melihat) ke “mabaadi’ al-syariah” yang banyak dalam dokumen al-Azhar yang terkenal itu. Rujuk laman al-Hai’ah al-‘ammah li al-Isti’malat: www.sis.gov.eg, disebut pada prinsip-prinsipnya: “Pertama: Membantu membina sebuah negara kebangsaan, berperlembagaan, demokratik dan moden, yaitu (sebuah negara) yang berpegang dengan perlembagaan yang diterima rakyat, memisahkan antara pemerintahan negara dan institusi undang-undang kehakiman. Ditetapkan bahagian pemerintahan dan dijamin hak-hak dan kewajipan (keperluan/daruri) untuk setiap rakyatnya secara sama rata di mana kuasa legislatif padanya terdapat dewan-dewan rakyat yang bertepatan dengan pemahaman Islam yang sahih. Islam sama ada syariat, tamadun mahupun sejarahnya tidak pernah mengenali apa yang dikenali oleh sejarah yang lain sebagai negara agama (teokratik) di mana gereja/paderi yang memerintah rakyat. Manusia membimbangi konsep negara agama tersebut menerusi sebahagian peringkat sejarah, bahkan meninggalkan kepada rakyat pengurusan masyarakat mereka dan pemilihan mekanisme dan institusi pelaksanaan untuk kemaslahatan mereka, dengan syarat prinsip-prinsip umum kepada syariah Islamiyah menjadi asas umum penggubalan undang-undang, termasuk menjamin kepada pengikut agama-agama samawi yang lain untuk berhukum dengan syariat-syariat agama mereka  dalam isu-isu kekeluargaan. Kedua: Menerima sistem demokrasi berdasarkan pilihanraya yang bebas, yang merupakan mekanisme semasa dalam merealisasikan prinsip-prinsip syura Islam…”.
[ii] Al-Hadid : 25
[iii] Rujuk contohnya: Jaaser Audah, Fiqh al-maqasid, Institut Pemikiran Islam Antarabangsa – Cetakan ketiga – Beirut, 2008.
[iv] Aku mempunyai beberapa kajian dan makalah yang diterbitkan. Rujuk contohnya: Jaaser Audah, Fiqh al-maqasid, Institut Pemikiran Islam Antarabangsa – Cetakan ketiga – Beirut, 2008. Jasser Auda, Maqasid al-Syariah Ka Falsafah al-Tasyri’ al-Islamiy: Ru’yah Manzhumiyyah, Institut Pemikiran Islam Antarabangsa, Beirut, 2012.
[v] Tambahan daripada penjelasan pada rujukan-rujukan yang lepas.
[vi] Dinamakan dalam fiqh sebagai “kaedah lahum ma lana wa ‘alayhim ma ‘alayna”, ia merupakan perkataan Imam Ali bin Abi Talib, Shaykh al-Islam Ibn Taymiah dan selain mereka dalam karangan-karangan fiqh dan Usul al-Fiqh di banyak tempat dan terdapat implementasi yang pelbagai berdasarkan kaedah itu, kaedah itu juga diriwayatkan secara marfu’ (iaitu ia hadis yang disandarkan kepada Nabi saw) tetapi ia bukan sebuah hadis, walaupun maksudnya sahih, rujuk contohnya: Ahmad Abdul Halim Ibn Taymiah, Kutub wa Rasail wa Fatawa Shaykh al-Islam Ibn Taymiah, cetakan kedua, tanpa tarikh, jilid 28, hlm. 618, Ala’ al-Din al-Kasani, Bada’i’ al-Sana’I’, Dar al-Kitab al-Arabiy, cetakan kedua, Beirut, 1982 M, jilid 7, hlm. 111.
[vii] Al-Baqarah:256, menafikan kenafian lebih kuat ertinya berbanding menetapkan kenafian, iaitu bahawa pandangan menafikan paksaan dalam agama lebih kuat berbanding pandangan kebebasan keagamaan.
[viii] Al-Kahfi:29
[ix] Yunus: 99
[x] Adapun isu had al-riddah (hukuman hudud berkaitan murtad), ia merupakan isu khilaf yang mempunyai pemerincian yang bercabang-cabang. Pada pandangan saya, penulisan terbaik berkaitannya pada zaman kita ialah karangan Taha al-Alwani dan Yusuf al-Qaradawi. Rujuk: Taha al-Alwani, La Ikrah fi al-Din: Dirasah fi Ishkaliyyah al-Riddah wa al-Murtaddin, Maktabah al-Shuruq al-Duwaliyyah, 2003 M, Yusuf al-Qaradawi, Jarimah al-Riddah wa ‘Uqubah al-Murtad, Maktabah Wahbah, Kaherah, cetakan ekdua, 2005. Dalam kedua-dua karangan itu menafikan wujudnya hukuman syarak ke atas sekadar menukar agama tanpa jenayah-jenayah yang lain, sebagaimana dikhayalkan sebahagian pihak.
[xi] Rujuk contohnya buku al-Qaradawi: Ri’ayah al-Bi’ah fi Shariah al-Islam, Dar al-Shuruq, 2001 M.

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP