Friday 14 February 2014

Pendekatan Maqasid dalam Teori Pendidikan: Manusia dan Tamadun

Pendekatan Maqasid dalam Teori Pendidikan: Manusia dan Tamadun[1]

Di Doha pada 26 Januari 2014, semasa sedang mewawancara Shaykh Dr Ahmad al-Raisuni.


Perbincangan tentang maqasid al-shariah telah berkembang dan makin meluncur laju akhir-akhir ini, terutama sejak kebangkitan pemikiran maqasidi (nahdah al-fikr al-maqasidi) di tangan pelbagai tokoh seperti Ibn ‘Ashur, ‘Allal al-Fasi, Rashid Redha dan ramai lagi. Bahkan bukunya Ibn ‘Ashur bertajuk Maqasid al-Shariah al-Islamiyyah dianggap sebagai antara penulisan mengenai maqasid yang terunggul selepas karangan monumental oleh Imam al-Shatibi bertajuk al-Muwafaqat.[2] Pemikiran maqasid bukanlah suatu yang baharu dalam dunia umat Islam hari ini lalu asing dalam khazanah keilmuan Islam, sebaliknya ia sudah ada asas dan telah dipelopori oleh kalangan sarjana silam seperti al-Hakim al-Tirmidhi, al-Shashi, Fakr al-Din al-Razi, al-Juwayni, al-Shatibi, al-Izz Abd al-Salam, Ibn Taimiah, Ibn Qayyim dan ramai lagi hinggalah ditulis secara tuntas oleh Abu Ishaq al-Shatibi menerusi al-Muwafaqat[3]. Bahkan maqasid al-Shariah sudah wujud sejak zaman Nabi saw dan para sahabat, sesungguhnya Nabi saw merupakan insan yang paling arif dalam rahsia dan tujuan Shariah.

Adapun penulisan ini tidak akan memberi tumpuan tentang sejarah ilmu Maqasid al-Shariah, para tokohnya ataupun kaedah-kaedah berhubungnya secara mendalam, demikian juga penulisan ini tidak akan menghuraikan perbahasan dan perdebatan mengenai istilah dan konsep tarbiyah, taadib, taalim dan seumpamanya yang merupakan antara perbincangan yang sinonim dengan bicara konsep pendidikan berdasarkan kerangka Islam. Sebaliknya saya akan mengulas konsep Maqasid al-Shariah sebagai sebuah asas dalam pembaharuan pemikiran Islam[4] dan berdasarkannya, bagaimana memandang perbahasan mengenai teori dan konsep umum dalam dunia pendidikan berdasarkan pandangan berorientasikan maqasid (maqasid-oriented).

Lebih khusus lagi, penulisan ini akan  memberi fokus terhadap konsep manusia, kemanusiaan dan ketamadunan. Penulisan ini juga sebuah usaha atas keyakinan bahawa maqasid al-shariah bukan sekadar untuk menyelesaikan masalah (problem solving) fiqh harian, tetapi maqasid al-shariah juga berperanan dalam membangunkan manusia dan tamadun (social engineering).

Ringkasan Mengenai Maqasid al-Shariah dan Maqasid ‘Ammah

Takrif Maqasid al-Shariah secara umumnya merupakan “tujuan-tujuan yang diletak Shariah untuk direalisasikan, demi maslahah para hamba.”[5] Ia merupakan tujuan, matlamat, kebijaksanaan atau apa-apa perkataan yang seumpamanya yang terkandung dalam setiap arahan Shariah. Shariah yang dimaksudkan dalam penulisan ini bukan sekadar hukum-hakam fiqh atau undang-undang jenayah, sebaliknya dalam erti kata yang lebih luas iaitu sebuah cara hidup (a way of life)[6] lantas merangkumi soal akidah, ibadat dan hukum-hakam praktikal. Ia merupakan sebuah jalan yang terang, atau turut disebut sebagai al-Tariqah al-Ilahiyyah (jalan keTuhanan).[7] Saya menyebut definisinya secara ringkas supaya tiada sesiapa tersilap bahawa apabila bicara tentang Shariah dan matlamat-matlamatnya (maqasid) ialah sebuah bicara tentang hukum-hakam fiqh semata-mata, atau lebih teruk merupakan sebuah bicara yang ‘kolot’, ‘jumud’, ‘ketinggalan zaman’, ‘berorientasikan hukuman’ ataupun ‘keganasan’ sebagaimana telah wujud dalam minda sebahagian masharakat pada hari ini. Sebaliknya ia sebuah bicara tentang asas, matlamat dan nilai sejagat yang mahu dicapai dalam dunia hari ini berdasarkan kerangka Islam.

Al-Shatibi tidak meletakkan takrif khusus terhadap maqasid al-Shariah dalam al-Muwafaqat, barangkali disebabkan al-Muwafaqat sememangnya ditujukan untuk para pembaca yang sudah rasikh dan kompeten dalam ilmu Shariah, selain jauh dari taqlid dan taasub kemazhaban, sebagaimana dinyatakannya secara jelas di hujung pendahuluannya yang ke sembilan (al-muqaddimah al-taasi’ah)[8]. Namun demikian beberapa sarjana seperti Ibn ‘Ashur dan ‘Allal al-Fasi telah mendefinisikan maqasid al-Shariah dengan definisi yang tidak jauh dengan definisi yang dinyatakan di atas.

‘Allal al-Fasi menyatakan; “Yang dimahukan dengan maqasid al-Shariah tujuan (al-ghayah) daripadanya, dan rahsia-rahsia (al-asrar) yang Tuhan letakkan di setiap hukum dari hukum-hukumnya.”[9] Perkataan al-ghayah (tujuan) dalam definisi al-Fasi tersebut bermaksud tujuan-tujuan umum (maqasid ‘ammah), sementara baki takrif merujuk kepada tujuan-tujuan khas (maqasid khassah) dalam bab-bab tertentu dalam fiqh,  atau merujuk kepada maqasid juz’iyyah (yang melibatkan hukum-hakam tertentu).[10]

Saya tidak akan menghurai terlalu terperinci tentang pengkategorian maqasid al-Shariah dan lain-lain perbincangan berkaitannya – sebagaimana dinyatakan di atas – namun disebabkan perbahasan kita dalam penulisan ini akan berkait dengan tujuan-tujuan umum (maqasid ‘ammah) Shariah, maka saya menyertakan serba sedikit kefahaman asas mengenai maqasid ‘ammah. Sebagaimana dinyatakan oleh al-Fasi di atas, Ibn ‘Ashur turut berkongsi maksud yang hampir sama iaitu maqasid ‘ammah merupakan makna dan tujuan Shariah yang merangkumi seluruh (atau kebanyakan) perbincangan dalam Islam dan tidak khusus dengan jenis tertentu dalam hukum hakam Shariah.[11] Berbincang tentang tujuan-tujuan umum Shariah ialah berbicara tentang tujuan tertinggi dan terpenting, selain terkuat pada ketetapannya.[12] Oleh itu maqasid ‘ammah merupakan tujuan dan matlamat Shariah yang wujud dalam setiap (atau kebanyakan) bab dan hukum-hakam, ia tidak khusus dan terhad dalam perbincangan tertentu sahaja seperti halnya maqasid khassah dan maqasid juz’iyyah.

Konsep Tawhid, Kebebasan dan Islah Individu

Antara tujuan umum Shariah menurut sarjana seperti Ibn Ashur, al-Fasi, al-Raisuni dan lain-lain ialah kasih sayang (rahmat), petunjuk (al-hidayah), pendidikan, keadilan, kesamarataan, menguruskan bumi, memperkuat sistem masharakat, keringanan dan memelihara fitrah.[13] Salah satu elemen penting dalam Shariah ialah pendidikan. Muhammad al-Ghazali sebagai contoh menyatakan bahawa salah satu paksi daripada lima paksi utama dalam al-Quran ialah maydan al-tarbiyah wa al-tashri’ (lapangan pendidikan dan perundangan). Menurutnya, Islamm merupakan jalan pendidikan, jauh daripada khurafat kerana ia tertegak atas kebenaran yang rasional, jauh daripada kegelapan kerana ia menuju ke arah cahaya.[14]

Salah satu tujuan utama al-Quran (merangkap tujuan umum Shariah) ialah membaiki pemikiran dan keyakinan manusia berdasarkan prinsip keesaan Tuhan (tawhid). Yang demikian menurut para sarjana Muslim kontemporari seperti Muhammad Abduh[15], Rashid Redha[16], Muhammad al-Ghazali[17] al-Qaradawi[18] dan Taha Jabir al-‘Alwani[19].

Tawhid merupakan manifestasi kepada sebuah usaha membaiki cara fikir manusia jauh daripada khurafat, tahyul, penindasan, perhambaan dan segala bentuk hal yang tidak rasional. Konsep al-Tauhid menolak pembodohan, maka ia menimbulkan pertanyaan yang penting mengenai alam dan kehidupan seperti terlihat dalam pelbagai ayat al-Quran. Muhammad al-Ghazali meletakkan al-Kawnal-Daal ‘ala Khaliqih (Alam yang menjadi petunjuk Dia selaku Pencipta) sebagai paksi kedua daripada lima paksi utama al-Quran.[20]

Bererti, apabila bercakap tentang Tuhan dan kekuasaannya ialah bercakap soal alam dan seluruh kandungannya. Ia soal kajian, renungan, fikiran, bukannya ikut-ikutan (taqlid) secara buta, terima tanpa soal dan beritual tanpa berfikir. Apabila ayat-ayat tentang Ulul Albab (lihat contohnya 2:269, 3:7, 13:19, 38:29, 39:18 dan 3:190) yang merupakan salah satu gelar kepada golongan cerdik pandai dalam al-Quran disebut, ia berkait dengan persoalan alam semesta, sifat-sifat manusia dan juga hukum-hakam agama. Bermaksud, berTuhan hakikatnya ialah sebuah praktis berfikir dan merenung, demi menuju sebuah kebenaran yang agung.

Justeru menurut pemikiran maqasid, yang paling utama mesti diberi tumpuan dalam projek pendidikan ialah manusia itu sendiri kerana sesungguhnya Allah tidak merobah sesuatu kaum sehingga kaum itu merobah apa yang ada dalam diri mereka terlebih dahulu (13:11). Adapun manusia salah satu anggota penting dalam sesebuah kaum, justeru merobah kaum bererti merobah seseorang individu itu sendiri. Ibn ‘Ashur dalam tulisannya bertajuk Usul al-Nizam al-Ijtima’iy  (Asas-asas Sistem Kemasharakatan) telah menjelaskan secara terperinci perihal konsep Islah dalam merobah keyakinan (Islah al-I’tiqadat) dan pemikiran (Islah al-Tafkir) manusia yang merupakan salah satu misi utama Islam.[21]

Melihat kepada tingginya perhatian yang diberikan oleh Islam terhadap berfikir dan kaitannya dengan tawhid, maka sebarang aktiviti beragama yang menyeru kepada kelemahan akal, pembodohan, menolak pembuktian, tidak melihat sebab dan akibat, kemunduran dan penindasan hakikatnya bukanlah interpretasi praktikal agama yang sebenar. Ia tidak lain dan tidak bukan merupakan sebuat praktis yang melencong jauh dari tujuan yang mahu dicapai Shariah.

Selain itu, saya mahu memberi penekanan bahawa apabila dibincangkan soal tawhid dan merobah pemikiran menjadi misi tertinggi Islam, ia tidak bermaksud sasarannya hanyalah Muslim. Bahkan ia merangkumi seluruh manusia sama ada penganut agama Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu, Sikh dan malah manusia yang tiada agama sekalipun. Bukankah seruan supaya menolak pembodohan, mengutamakan bukti saintifik, menggalakkan budaya intelektual and sebagainya merupakan sebuah misi yang bersifat sejagat? Sekalipun natijahnya seseorang (bukan Muslim) itu tidak memeluk konsep tawhid seperti yang diajar Islam, namun kandungan-kandungan dalam prinsip ini tetap menjadi projek dan misi berterusan.

Itulah yang merupakan asas kepada perbincangan mengenai maqasid al-shariah iaitu melihat kepada asas dan dasar yang dipelihara seluruh agama (mura’ah fi kulli millah) – menurut pandangan al-Shatibi – dan diterima oleh akal yang sihat.[22] Hal yang demikian juga rentetan daripada asas bahawa Islam merupakan sebuah keyakinan yang bersifat sejagat dan diturunkan kepada seluruh manusia (34:28, 7:158), bukannya untuk kaum dan bangsa tertentu sahaja. Justeru konsep kesejagatan Shariah (Umum Shariah al-Islam)[23] menjadikan sekalian perbincangan pada pandangan Islam adalah relevan dan sesuai untuk semua manusia, bukan hanya untuk Muslim sahaja. Oleh yang demikian secara asasnya perbincangan mengenai maqasid al-shariah seperti memelihara agama, nyawa, akal, keturunan, harta (dikenali sebagai al-daruriyyat al-khams atau literalnya bermaksud perkara terpenting yang lima), keadilan, kebebasan, sistem masharakat dan pendidikan ialah sebuah perbincangan yang diterima semua pihak, sekalipun berbeza dari sudut pemerincian.

Di samping itu apabila berbicara tentang tawhid dan misi utama Islam dalam mendidik manusia supaya berfikir dan meyakinan keesaan-Nya, ia mestilah diiringi dengan kebebasan dan jauh daripada sebarang pemaksaan. Islam sebuah agama yang jelas dan konsisten menolak pemaksaan dan kediktatoran, kerana ia tidak membuahkan keimanan kecuali kemunafikan. Tokoh terkenal, Abd al-Rahman al-Kawakibi mengatakan bahawa “kediktatoran musuh kebenaran, kebebasan dan merupakan pembunuh kedua-duanya.”[24]  Ibn ‘Ashur menyebut bahawa antara maqasid al-shariah yang terpenting ialah membatalkan perhambaan dan menyebarkan kebebasan.[25] Beliau mengembangkan perbahasan kebebasan sebagai sebuah tujuan Shariah berasaskan perbahasan bahawa Islam sebuah agama yang membebaskan manusia daripada sistem perhambaan.[26]

Beliau turut menyatakan bahawa pencabulan terhadap kebebasan ialah termasuk dalam kategori perbuatan zalim.[27] Selain itu dalam sebuah karangan beliau yang lain, Ibn ‘Ashur menyebut bahawa kebebasan (berkeyakinan, berfikir, berkata-kata dan kebebasan aksi) terhad dengan had yang diletakkan oleh Shariah.[28] Yang demikian pastinya atas keyakinan bahawa segala yang dilarang Shariah membawa keburukan. Contohnya manusia bebas untuk berkata-kata, tetapi Islam melarang sebarang perkataan yang kesat, dusta, carut dan menyakiti hati orang. Itu sebagai contoh ringkas had yang hanya diberi kuasa kepada Shariah, bukannya kepada mana-mana pihak boleh mengekang kebebasan dengan kekuasaan mereka. Juga bahawa sesebuah had yang diletakkan oleh Shariah jika dilanggar oleh seseorang Muslim, maka akan menjadikannya berdosa, namun demikian bukan semua dosa itu sebuah jenayah yang boleh dihukum oleh sesebuah kerajaan.[29]

Seterusnya, daripada hubungkait yang jelas antara tawhid dan kebebasan (al-hurriyyah), timbul persoalan berkenaan bagaimana direalisasikan hubungan kedua-dua ini dalam teori pendidikan?  ‘Allal al-Fasi juga merupakan salah seorang sarjana maqasid yang memberi perhatian serius akan kebebasan sebagai salah satu tujuan terpenting Shariah[30], malahan beliau turut mengulas perihal kebebasan kajian akademik yang sangat penting sebagai sebuah ikhtiar dalam mencari hidayah dan sampai kepada pengetahuan dan keyakinan.[31]

Ia berasaskan seruan al-Quran yang memuji kaum yang menggunakan akal (Ulu al-Albab) iaitu kaum yang mendengar pandangan-pandangan lalu menuruti pandangan yang terbaik (39:18), larangan daripada menuruti sesuatu yang tidak diyakini kerana pendengaran, penglihatan dan jiwa akan bertanggungjawab di hadapan Tuhan satu hari nanti (17:36) dan akan tidak sama antara orang yang berilmu dan orang yang tidak berilmu (39:9). Oleh itu, kebebasan dalam melakukan kajian, berkarya atau ringkasnya kebebasan dalam dunia akademik harus menjadi satu agenda penting bersama dalam dunia pendidikan lantas wajar dipelihara dan ditegakkan.

Syed Hussein al-Attas ada mengkritik sikap sesetengah pemerintah negara membangun “yang tidak dapat bertoleransi terhadap kritikan politik meskipun negara tersebut bukan bersifat totalitarian. Mereka mengizinkan kritikan terhadap aspek yang bukan politik dalam kehidupan sosial, dan tidak menghalang penulis selama mereka tidak menyinggung soal politik.”[32] Negara yang tidak senang dengan kegiatan intelektual lantas menggugat kebebasan akademik hanya akan menatijahkan kemunduran. Akhirnya hanya wujud intelektual yang “hanya sekadar ada”, “menjadi pengguna pasif” terhadap buku-buku luar negeri yang dibeli dan juga “tidak mencipta”[33]. Yang demikian untuk mencapai maqasid terpenting iaitu tawhid yang mengandungi seruan ke arah merobah keyakinan (Islah al-I’tiqadat) dan pemikiran (Islah al-Tafkir) sebagaimana disebut Ibn ‘Ashur.[34]

Kemanusiaan dan Ketamadunan Menurut Lensa Maqasid ‘Ammah

Seterusnya saya membawa perbincangan kepada bahagian kedua, iaitu bagaimana selain memberi tumpuan serius terhadap pembentukan individu – terutama dari segi akal dan keyakinan, antara tujuan besar yang mahu dicapai Shariah ialah mengangkat kemanusiaan dan ketamadunan. Pada hakikatnya fokus terhadap kemanusiaan dan ketamadunan antara yang mahu dicapai menerusi tumpuan terhadap pendidikan individu.

Sosiologis Muslim terkenal, Malek ben Nabi telah merangka sebuah persamaan bagi ketamadunan[35]:

Manusia (al-Insan) + Tanah (al-Turab) + Waktu (al-Waqt) = Ketamadunan (al-Hadarah)

Menurut Malek ben Nabi, kemusykilan ketamadunan berkait dengan manusia, tanah dan waktu. Namun ketiga-tiganya semata-mata tidak cukup untuk mencipta sebuah tamadun, sebaliknya yang turut diperlukan ialah pemikiran keagamaan yang menurutnya sentiasa wujud dalam ketamadunan sepanjang sejarah.[36] Agama justeru menurut Malek ben Nabi hakikatnya suatu yang menggerakkan dan mendorong penganutnya membina tamadun dan menyelamat kemanusiaan, bukan sekadar ritual. Kalau tidak, masakan beliau menyatakan agama sebagai faktor terpenting.

Antara ketiga-tiga unsur tersebut, sudah tentu manusia menjadi elemen yang paling utama. Antara tujuan diciptakan manusia ialah untuk memakmurkan bumi dengan kebaikan dan kemajuan, berpandukan petunjuk agama. Ia bertitik tolak kepada penciptaan Adam as yang diisytiharkan sebagai khalifah di muka bumi (2:30). Khilafah ialah penggantian akan orang lain sama ada disebabkan kehilangan orang yang diganti, kematian, kelemahan atau disebabkan untuk memuliakan orang yang dilantik sebagai khalifah.[37] Menurut al-Asfahani, faktor keempat (memuliakan orang yang dilantik) yang berkait dengan konsep khalifah. Semua manusia merupakan khalifah menurut Islam, mereka dari satu sudut dimuliakan mengatasi makhluk-makhluk lain hatta malaikat, dari satu sudut yang lain manusia menanggung amanah yang cukup besar dalam memakmurkan bumi dan memelihara kemanusiaan.

Para rasul yang diutus dan umat turut diperingat akan tanggungjawab mereka sebagai khalifah (35:39, 6:165,38:26, 11:57, 10:73, 7:69 ) menunjukkan ia merupakan tujuan besar penciptaan manusia dan salah satu maqasid ‘ammah terpenting. Sebahagian sarjana menamakannya sebagai al-‘umran[38]  merujuk kepada kalimah ‘amara (membangunkan). ‘Imarah (pembangunan) merupakan lawan kepada kalimah al-kharab (kehancuran)[39] dan lebih menarik konsep al-‘umran yang turut diberi perhatian serius oleh Ibn Khaldun ini turut berkait dengan perkataan ‘umr (usia) yang sangat berkait dengan unsur ruh. Contohnya jika seseorang berkata “panjang umurnya” (tala ‘umruhu), ia bermaksud “pembangunan (‘imarah) badannya dengan ruhnya”. [40]

Bahkan jika diteliti, al-Quran selain menggunakan perkataan ‘amara – ya’muru  – ‘imarah pada perkara material (30:9, 11:61), ia turut merujuknya kepada aktiviti pembangunan keagamaan seperti membangun dan menghidupkan masjid (9:18, 9:17), bahkan ibadat umrah sendiri berasal dari perkataan ‘amara (2:158, 2:196). Saya tidak pasti adakah berdasarkan kajian ini Malek ben Nabi merumuskan teori (al-Insan + al-Turab + al-Waqt = al-Hadarah) itu, tetapi saya bersyukur kepada Allah swt kerana apa yang saya tulis berkenaan hal ini (pada tarikh 13 Februari 2014) terilham setelah meneliti ayat-ayat al-Quran yang merujuk kepada perkataan ‘amaraya’muruista’mara – ‘ammara - imarah – dll.

Biar saya menghurai teori Malek ben Nabi tersebut berdasarkan konsep ‘umran ini. Manusia merupakan elemen penting, bahkan wujud surah dan kisah keluarga ‘Imran () yang sebenarnya telah mencipta sejarah besar dalam ketamadunan dengan kelahiran Maryam as dan seterusnya ‘Isa as, ‘Imran berasal daripada perkataan ‘amara. Pada hemat saya kisah keluarga ‘Imran merupakan contoh yang hidup mengenai kepentingan manusia yang terbangun fizikal, akal dan ruhnya, lalu dengan itu mereka boleh mencipta ketamadunan dan memelihara kemanusiaan. Sementara tanah pula merupakan elemen material yang sememangnya turut disebut dalam al-Quran sebagaimana saya nyatakan di atas. Selain itu waktu pula merupakan manifestasi kepada persoalan ‘umr  atau tempoh hidup yang sememangnya paling kerap dirujuk dalam al-Quran (36:78, 2: 96, 21:44, 10:16, 26:18, 35:11) berdasarkan perkataan ‘amara. Demikian juga, faktor agama dan kerohanian turut berkait dengan ‘umran selain faktor material – sebagaimana telah diulas di atas.

Berhubung hal (manusia + tanah + waktu = tamadun), saya bersetuju dengan pandangan bahawa manusia yang paling penting. Dalam masa yang sama saya berhemat bahawa cabaran utama manusia ada pada waktu. Jika tidak digunakan sebaiknya, maka ia akan mencipta kerugian dan kemunduran. Tanah ataupun elemen material sudah wujud di hadapan mata, namun hanya manusia yang benar-benar menggunakan masa dengan baik akan merjaya mencipta sejarah gemilang dalam mencipta ketamadunan dan memelihara kemanusiaan.

Di samping itu teori khalifah dan ‘umran yang merupakan antara tujuan umum Shariah akan berkait dengan usaha menegakkan keadilan menerusi ruang pengurusan dan pentadbiran. Jika ditinjau maksud perkataan al-Siyasah, al-Asfahani dalam al-Dhari’ah Ila Makarim al-Shariah menyebut bahawa siyasah terbahagi kepada dua iaitu (1) siyasah seseorang akan dirinya, badannya dan apa yang khas dengannya. Sementara yang kedua ialah siyasah seseorang terhadap orang lain dari kalangan ahli keluarga dan ahli negerinya. Tidak akan baik siyasah terhadap orang lain sesiapa yang tidak baik dalam siyasah terhadap dirinya sendiri. Dan Allah swt mencela orang yang demikian yang menguruskan orang lain, menyeru kepada al-ma’ruf dan mencegah daripada al-munkar sedangkan dirinya sendiri tidak disucikan (2:44, 61:2, 5:105,).[41] Sebelum ulasan al-Asfahani mengenai siyasah, beliau mengulas mengenai kelebihan manusia ke atas haiwan yang lain, menerangkan kelebihan manusia, kedudukan manusia di tengah-tengah antara binatang dan malaikat dan kenapa diciptakan manusia.[42] sementara fasal siyasah dalam bukunya al-Asfahani, antara yang dibicarakannya ialah ibadah, kebersihan jiwa, membangunkan bumi, solat, nafsu dan akhlak.[43]

Hal tersebut menunjukkan bahawa dalam menguruskan dunia, membangunkan bumi, mencipta ketamadunan dan memelihara kemanusiaan yang menjadi antara tujuan penting yang mahu dicapai, manusia sekali lagi tetap menjadi masalah yang besar dan harus dididik dan diutamakan dalam mengendalikan dirinya berdasarkan akal yang sejahtera. Jika manusia wujud keamanan dalam dirinya, maka manusia bisa menjadi duta keamanan untuk dunia yang sejahtera. Sebaliknya berlaku jika diri manusia penuh dengan tamak haloba, hasad dengki dan permusuhan.

Nabi saw diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia[44] dan Allah swt menyatakan Nabi saw mempunyai akhlak yang agung (68:4). Ini merupakan salah satu maqasid ‘ammah terpenting Islam yang dengannya agama ini tertegak. Konsep akhlak ada dalam semua bidang sama ada ibadat mahupun muamalat, ia mahu dicapai dalam seluruh hukum-hakam, bahkan dalam kehidupan seluruhnya.[45] Saya mengulasnya dalam perbincangan kemanusiaan dan ketamadunan kerana meyakini bahawa tidak akan terselamat kemanusiaan dan tidak akan berjaya sesebuah ketamadunan tanpa berpegang teguh dengan falsafah akhlak. Inilah antara ruh ulung dalam konsep pendidikan berteraskan Maqasid al-Shariah. Ia menghasilkan cinta yang dengannya manusia ‘bersaing’ untuk saling membantu dan bermanfaat, bukannya mencipta persaingan yang tidak berkesudahan antara pelajar, sekolah dan guru.

Menerusi falsafah akhlak, bukan sekadar tercipta masharakat yang baik, bahkan aspirasi yang lebih jauh daripada itu mahu dicapai iaitu mencipta dunia yang saling membantu.[46] Dalam dunia yang kian hangat dengan persengketaan antara bangsa dan agama, maka maqasid al-shariah mempersoal kembali apa yang mahu dicapai sebenarnya dalam hidup beragama, lalu menyeru kepada semua penganut agama (mahupun yang tiada agama) untuk saling hidup dalam satu dunia dan jauhi benci-membenci. Abdullah ben Bayyah mengulasnya dengan sangat baik dalam makalahnya bertajuk al-Qiyam al-Mushtarakah (Shared Values) yang meskipun sesebuah masharakat pasti ada perselisihan yang tersendiri, namun nilai-nilai yang asas seperti kejujuran, cinta, kebaikan dan sebagainya diterima oleh semua pihak.[47]

Kesimpulan

Membicarakan pendidikan menurut kerangka maqasid al-shariah ialah sebuah tindakan merenung kembali apa yang mahu dicapai manusia dalam hidup ini, lebih-lebih lagi pada era pelbagai kesulitan dan cabaran sentiasa datang. Ia juga merupakan sebuah usaha menimbulkan secara serius persoalan kemuliaan manusia (karamah al-Insan) yang merupakan antara mesej terpenting Shariah.

Kemuliaan yang disebut oleh Allah dalam al-Quran merangkumi semua, bukan terhad untuk umat Islam sahaja. Ia mesej sejagat yang atas nama kemanusiaan yang justeru langsung berkait dengan tanggungjawab manusia memakmurkan bumi berdasarkan falsafah akhlak. Manusia harus menghentikan peperangan, penindasan dan kezaliman. Atas nama kemanusiaan manusia harus menyebarkan kasih sayang, cinta, kebaikan dan seruan bersatu atas perkara yang disepakati. Hal tersebut tidak bercanggah langsung dengan identiti Islam sebagai sebuah agama yang mempunyai pandangannya yang tersendiri. Sebahagian umat Islam masih menganggap ia bercanggah dan seolah-olah mereka hanya boleh berbuat baik sesama mereka, adapun penganut agama lain seolah-olah terlalu asing daripada konsep kemanusiaan.

Saya menutup perbincangan dengan membuat kesimpulan yang sebenarnya telah saya sebut berulang kali di atas iaitu, fokus utama pendidikan ialah manusia; kita. Mulakan dengan merobah diri sendiri, kemudian ubah orang lain. Ajak orang lain merobah diri mereka dan seru mereka supaya merobah orang lain juga. Demi dunia yang lebih baik. Atas nama kemanusiaan, mari kita mulakan.




[1] Kertas kerja ini disediakan untuk Persidangan Tahunan Malaysia Se-Jordan kali kelapan, pada 14-15 Februari 2014, di Mudarraj al-Hasan, University of Jordan.
[2] Perbualan lisan dengan Prof Dr Abdul Rahman al-Kaylani di Amman pada 8 Februari 2014, beliau menganggap karangan Maqasid al-Shariah al-Islamiyyah oleh Ibn ‘Ashur sebagai yang terbaik selepas al-Muwafaqat oleh al-Shatibi.
[3] Ahmad al-Raysouni, Nazariyyah al-Maqasid ‘inda al-Imam as-Shatibi, cetakan kelima (Washington: The International Institute of Islamic Thought, 2008) hlm. 37-68, lihat juga tulisannya bertajuk Muhadarat fi Maqasid al-Shariah, cetakan pertama (Kaherah: Dar al-Salam, 2009) hlm. 58-85.
[4] Perbualan lisan dengan Prof Dr Ahmad al-Raisuni di Doha pada 26 Januari 2014, demikian juga pandangan Dr Abdul Rahman al-Kaylani menerusi perbualan lisan dengan beliau di Amman pada 8 Februari 2014. Lihat juga Dr Jasser Auda, Maqasid al-Shariah: A Beginner’s Guide (Washington: The International Institute of Islamic Thought, 2008), hlm. 22-23.
[5] Ahmad al-Raysouni, Nazariyyah al-Maqasid ‘inda al-Imam as-Shatibi, cetakan kelima (Washington: The International Institute of Islamic Thought, 2008) hlm. 19
[6] Jasser Auda, Maqasid as-Shariah as Philosophy of Islamic Law (Washington: The International Institute of Islamic Thought, 2007) hlm. 57, Tariq Ramadan, To Be A European Muslim (Leicester: Islamic Foundation, 1999) hlm. 28
[7] Al-Raghib al-Asfahani, Mufradat Alfazh al-Quran, suntingan Mustafa bin al-Adawi, cetakan pertama. (Mansoura: Maktabah Fayyadh, 2009) hlm. 368.
[8] al-Shatibi, Abu Ishaq, al-Muwaqat (Beirut: Muassasah ar-Risalah, 2011) jilid 1, hlm. 93
[9] ‘Allal al-Fasi, Maqasid al-Shariah wa Makarimuha, suntingan Dr Ismail al-Hasani, cetakan pertama (Kaherah: Dar al-Salam, 2011) hlm. 111.
[10] Ahmad al-Raysouni, Nazariyyah al-Maqasid ‘inda al-Imam as-Shatibi, cetakan kelima (Washington: The International Institute of Islamic Thought, 2008) hlm. 18.
[11] Ibn ‘Ashur, Maqasid al-Shariah al-Islamiyyah, cetakan keempat (Kaherah: Dar al-Salam, 2009 / Tunis: Dar Suhnun, 2009) hlm. 55.
[12] Ahmad al-Raysouni, al-Fikr al-Maqasidi (Ribat: al-Zaman, 1999) hlm. 17
[13] Jamaluddin ‘Atiyyah, Nahw Taf’il Maqasid al-Shariah (Damsyik: Dar al-Fikr dan al-Maahad al-‘Alami Li al-Fikr al-Islami, 2001) hlm. 111
[14] Muhammad al-Ghazali, al-Mahawir al-Khamsah Li al-Quran al-Karim, cetakan keempat (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2010) hlm. 158.
[15] Muhammad Rashid Redha, Tafsir al-Manar (Tafsir al-Quran al-Hakim), cetakan kedua. (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah, 2005) jilid 1, hlm. 34.
[16] Ibid, hlm. 187.
[17] Muhammad al-Ghazali, al-Mahawir al-Khamsah Li al-Quran al-Karim, cetakan keempat (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2010) hlm. 21.
[18] Al-Qaradhawi, Kayf Nata’amal Ma’a al-Quran, cetakan kelapan (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2011) hlm. 73-74.
[19] Fathi Hasan al-Malkawi, Manzumah al-Qiyam al-‘Ulya: al-Tauhid wa al-Tazkiyah wa al-‘Umran, cetakan pertama (Herndon: International Institute of Islamic Thought), hlm. 23.
[20] Muhammad al-Ghazali, al-Mahawir al-Khamsah Li al-Quran al-Karim, cetakan keempat (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2010) hlm. 51.
[21] Ibn Ashur, Usul al-Nizam al-Ijtima’iy, cetakan ketiga (Kaherah: Dar al-Salam, 2009 / Tunis: Dar Suhnun, 2010) hlm. 41-58,
[22] Jasser Auda, Bayn al-Shariah wa al-Siyasah, cetakan pertama (Beirut: Arab Network for Research and Publishing, 2012) hlm. 37, demikian juga berdasarkan perbualan lisan dengan Prof Dr Ahmad al-Raisuni di Doha pada 26 Januari 2014.
[23] Ibn ‘Ashur, Maqasid al-Shariah al-Islamiyyah, cetakan keempat (Kaherah: Dar al-Salam, 2009 / Tunis: Dar Suhnun, 2009) hlm. 98.
[24] Dr Muhammad Imarah, Abdul Rahman al-Kawakibi, al-A’mal al-Kamilah, (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2009), hal. 192
[25] Maqasid al-Shariah al-Islamiyyah, op. cit. hlm. 146.
[26] Ibid, hlm. 145-152.
[27] Ibid, hlm. 151.
[28] Ibn Ashur, Usul al-Nizam al-Ijtima’iy, cetakan ketiga (Kaherah: Dar al-Salam, 2009 / Tunis: Dar Suhnun, 2010) hlm. 160.
[29] Jasser Auda, Bayn al-Shariah wa al-Siyasah, cetakan pertama (Beirut: Arab Network for Research and Publishing, 2012) hlm. 93-98.
[30] ‘Allal al-Fasi, Maqasid al-Shariah wa Makarimuha, suntingan Dr Ismail al-Hasani, cetakan pertama (Kaherah: Dar al-Salam, 2011) hlm. 352-364
[31] Ibid, hlm. 362.
[32] Syed Hussein al-Attas, Intelektual Masyarakat Membangun, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 2009), hal. 69.
[33] Ibid, hlm. 93
[34] Ibn Ashur, Usul al-Nizam al-Ijtima’iy, cetakan ketiga (Kaherah: Dar al-Salam, 2009 / Tunis: Dar Suhnun, 2010) hlm. 41-58

[35] Malek ben Nabi, Shurut al-Nahdah, terjemahan dari bahasa Perancis ke bahasa Arab oleh Abd al-Sobur Shahin dan Umar Kamil Masqawi, (Damsyik: Dar al-Fikr, 1979) hlm. 49-50.
[36] Ibid, hlm. 50
[37] Al-Raghib al-Asfahani, Mufradat Alfazh al-Quran, suntingan Mustafa bin al-Adawi, cetakan pertama. (Mansoura: Maktabah Fayyadh, 2009) hlm. 212.
[38] Fathi Hasan al-Malkawi, Manzumah al-Qiyam al-‘Ulya: al-Tauhid wa al-Tazkiyah wa al-‘Umran, cetakan pertama (Herndon: International Institute of Islamic Thought), hlm. 127-167.
[39] Ibid, hlm 441
[40] Ibid, hlm 441.
[41] Al-Raghib al-Asfahani, al-Dhari’ah Ila Makarim al-Shariah, cetakan pertama (Kaherah: Dar al-Salam, 2007) hlm. 84.
[42] Ibid, hlm. 69-83.
[43] Ibid, hlm. 83-106.
[44] Riwayat Malik.
[45] http://www.alislah.ma/2012-11-13-12-27-31/2013-02-13-16-53-15/item/28952-2013-11-14-12-15-30.html
[46] -Qaradhawi, Kayf Nata’amal Ma’a al-Quran, cetakan kelapan (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2011) hlm. 115-125.
[47] http://www.binbayyah.net/portal/research/148

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP