Monday 29 July 2013

Krisis Mesir: Kegagalan Islamisme (?) dan Masa Depan Politik Islam

Mesir di persimpangan jalan.

Ternyata tarikh keramat 25 Januari 2011 bukanlah segala-galanya untuk rakyat Mesir. Satu masa lalu setelah Mubarak dihukum oleh rakyat, ramai yang telah membuat kesimpulan bahawa itu petanda kelahiran sebuah Mesir baru; demokratik, bebas dan moden. Pergolakan politik di Timur Tengah sangat rumit dan melibatkan banyak pemain dari dalam dan luar Timur Tengah. Demikian juga Mesir, terlalu banyak permainan dan pemain-pemain politik di dalam dan di luar negara tersebut. Morsi yang secara rasmi telah menjadi Presiden Mesir pada 30 Jun 2012 akhirnya dijatuhkan pada 3 Julai 2013 menerusi campur tangan pihak tentera di Mesir setelah dimulakan oleh sebuah himpunan besar rakyat yang dikenali sebagai gerakan Tamarrod, membantah Morsi pada 30 Jun 2013.

Ikhwan, demokrasi dan tamarrod

                Pada 24 Jun 2012, Morsi telah diumumkan sebagai Presiden mengalahkan Ahmed Shafik menerusi sebuah pilihanraya yang dinilai adil dan demokratik setelah sekian lama siri pilihanraya di Mesir hanya sebagai sebuah tipu daya dan helah pemerintah untuk mengekalkan kediktatoran mereka. Morsi yang mewakili Freedom and Justice Party (FJP) merupakan calon ganti kepada Khairat Shater yang tidak dibenarkan menjadi calon atas alasan tertentu. Sebelum itu al-Ikhwan al-Muslimun (IM) yang awalnya berkata mereka tidak akan meletakkan calon Presiden telah memecat Abd al-Muneim Abou al-Futuh disebabkan beliau membuat keputusan untuk bertanding dalam pilihanraya sebagai calon Presiden Mesir. Akhirnya IM menerusi FJP telah mencalonkan Morsi untuk bertanding dan beliau telah menang.

                Hal tersebut sekalipun kelihatan remeh bagi segelintir pihak, ia telah memberi persepsi negatif terhadap IM sedari awal, lebih-lebih lagi IM sekalipun merupakan sebuah gerakan sangat tersusun dan mempunyai ramai ahli yang kental dalam perjuangan, mereka juga mempunya ramai lawan dan musuh. Bahkan tidak sedikit pihak yang membuat anggapan bahawa FJP membawa agenda IM dan Morsi akan tunduk kepada mesyuarat IM. Semua itu adalah persepsi yang mula dimainkan media secara besar-besaran. Sesuatu yang dipuji pada zaman Morsi, kebebasan media mula dibuka dengan jauh lebih luas berbanding era sebelumnya hinggakan akhbar-akhbar bebas mengkritik kerajaan dan presiden, suatu keadaan yang terlarang pada era sebelum itu.

                Sejarah dunia Mesir semasa dan selepas era kolonial adalah sejarah yang sangat erat dengan IM; perjuangan, pengorbanan, darah dan air mata. IM mungkin mempunyai ramai golongan yang bersimpati terhadap mereka, namun ia bukan bermaksud kredibiliti mereka tidak dipersoal oleh rakyat. Zaman sebelum dan selepas Mubarak adalah zaman yang jauh berbeda, sekalipun jaraknya beberapa tahun sahaja. Mubarak bukan sekadar meninggalkan Mesir yang korup dan rosak, malah Mubarak telah berjaya meninggalkan legasinya yang tersendiri; Mubarakism. Saki baki Mubarak ada di mana-mana seperti di mahkamah, jabatan tentera dan para jutawan yang menjadi kroni Mubarak pada zamannya. Oleh yang demikian, apabila Morsi memenangi pilihanraya presiden, itu bermaksud satu tanggungjawab besar akan dipikul beliau dan pihak pemerintah. Mubarak yang meninggalkan pelbagai lompang, namun jika tidak dibaiki Morsi, Morsi mesti bersedia disalahkan.

                IM sudah terlalu lama dalam dunia gerakan Islam dan cukup dikenali dengan dunia pendidikan (tarbiyah) dan melahirkan ramai tokoh ilmuan berkaliber, malah IM turut menjadi inspirasi kepada banyak gerakan di seluruh dunia dalam melakukan perubahan fikrah dan harakah. Tetapi kita wajar akui, IM terlalu mentah dalam dunia pemerintahan. Mesir sangat mencabar, para diktator di sana sudah sekian lama dibantu oleh Amerika Syarikat (AS) untuk menjaga kepentingan mereka dan Israel. Tarbiyah IM melahirkan kader-kader yang hebat dalam dunia harakah Islamiyyah, itu sangat ketara terbukti khasnya di Mesir. Namun setelah hampir satu abad mereka mencipta kader-kader hebat yang tinggi pengorbanan dan perjuangan, tempoh (hampir) satu abad mewajarkan kita untuk berfikir; bahawa ada sesuatu yang mesti dibaiki IM dan pengkagum mereka di seluruh dunia dalam mencipta pemimpin-pemimpin yang pragmatik dan relevan dalam dunia semasa. Tantangan yang hebat khasnya dalam dunia pasca-moden ini sangat rumit, memerlukan kecerdasan dan daya saing selaku sebuah"harakah al-fikr" (gerakan pemikiran) dan bukan semata-mata "fikr al-harakah" (pemikiran gerakan - haraki).

                Kembali kepada Tamarrod, sebahagian rakyat melihat setahun sudah terlalu cukup untuk sebuah kegagalan pada pandangan mereka. Lalu gerakan Tamarrod yang menyeru rakyat untuk turun ke jalan raya mendesak supaya diawalkan Pilihanraya Presiden telah digerakkan oleh lima orang termasuk jurucakap rasminya, Mahmoud Badr. Selain mendapat sokongan Ahmed Shafik (bekas calon Presiden yang kalah menentang Morsi) dan Mohamed El Baradei, beberapa parti politik telah menyatakan sokongan terhadap Gerakan Tamarrod termasuk National Salvation Front (NSF) di mana El Baradei merupakan salah seorang pemimpinnya.

Demokrasi bukan sekadar peti undi, malah demokrasi juga melibatkan soal hak bersuara, kedaulatan undang-undang, kebebasan berhimpun, galakan partisipasi politik dan sebagainya. Justeru gerakan Tamarrod secara prinsipnya merupakan sebuah gerakan demokratik yang disertai rakyat yang melakukan protes terhadap Morsi. Sebagaimana wajar untuk rakyat pro-Morsi merespon terhadap gerakan Tamarrod iaitu dengan menubuhkan gerakan Tajarrod dan Muayyed, demikian juga rakyat yang tidak bersetuju dengan pemerintahan Morsi punya hak membantah dan melakukan protes.

Namun demikian, dakwaan bahawa majoriti rakyat Mesir menyokong Tamarrod hingga mewajarkan Morsi untuk turun awal, sangat terbuka ruang untuk didebatkan kerana dalam dunia demokrasi, majoriti yang memilih di peti undi akan menentukan parti mana yang akan memerintah, bukannya majoriti (bagaimana mahu tahu ‘kemajoritian’ yang sebenar apabila kedua-dua pihak mendakwa mereka paling ramai?) selepas bermulanya pemerintahan dan sebelum tamat tempoh pemerintahan sebagaimana dalam perlembagaan (kedaulatan undang-undang).

Beberapa penganalisis politik melihat, ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan atas rasa tidak puas hati sebahagian rakyat terhadap pemerintahan Morsi berdasarkan beberapa peristiwa sebelum tercetusnya Tamarrod. Antaranya Talal Asad dalam wawancara panjang beliau bersama Jadaliyya.com (bertajuk; Neither Heroes, Nor Villains: A Conversation with Talal Asad on Egypt After Morsi) telah menyebut perihal beberapa perbualan antara Mohamed El Baradei dan Ahmed Shafik di Arab Saudi. Malah beliau melihat tidak mungkin pihak tentera tidak mengetahui apa pertemuan kedua-dua tokoh tersebut. Selain itu, beberapa jutawan contohnya Naguib Sawiris telah mendanai gerakan Tamarrod. Justeru, kewujudan koordinasi (kalaupun bukan konspirasi) oleh pihak tertentu ada kemungkinannya, sekalipun barangkali sebahagian rakyat yang menyertai protes menerusi Tamarrod mungkin tidak menyedari hal tersebut.

Coup d’etat & bersediakah Barat dengan demokrasi?

Pertembungan antara Tamarrod dan Tajarrod telah menyebabkan pihak tentera memberi kata dua kepada kedua-dua kumpulan dan akhirnya mereka mengabsahkan kudeta atas nama mendengar suara rakyat. Ternyata yang berkuasa selama ini di Mesir ialah tentera, malahan ketika peristiwa ‘revolusi’ 25 Januari, kerjasama daripada tentera juga antara faktor menyebabkan Mubarak telah berjaya dijatuhkan.

Para penganalisis politik Timur Tengah tahu akan hubungan erat antara tentera Mesir dan AS. Malah AS sendiri sejak era Anwar Sadat telah memberi bantuan kewangan kepada Mesir – setelah perjanjian Camp David dilakukan. Oleh itu secara simplistiknya sesiapa sahaja yang memerintah Mesir tanpa bantuan kewangan daripada AS akan menanggung risiko kesusahan. AS mahu kerajaan yang mudah menjadi boneka dan melaksanakan dasar mereka dalam memerintah Mesir, justeru semasa awal kemenangan Morsi dahulu, sebahagian penganalisis menyatakan AS melihat IM dan Morsi sesuai dalam melakasanakan agenda mereka di Mesir. Apabila AS seolah-olah berada di belakang kudeta ini, kita bertanya; adakah IM dan Morsi benar-benar bisa menjadi boneka AS? Selain AS, kuda tunggangan mereka iaitu Arab Saudi dan UAE juga terang-terang menyokong kudeta dan menyalurkan bantuan kewangan selepas kejatuhan Morsi. Sebelum itu sekalipun Mesir selepas 25 Januari lebih memerlukan bantuan kewangan untuk bangun, namun Arab Saudi dan UAE tidak menyalurkan kewangan. Bahkan pinjaman daripada International Monetary Fund (IMF) yang cuba dilakukan oleh Morsi menghadapi karenah dan pelbagai ‘halangan-halangan yang tak dapat dielakkan’, ajaibnya selepas tiga hari kudeta di Mesir, halangan-halangan itu mula hilang.

Obama tidak menggelarkan apa yang berlaku di Mesir sebagai sebuah kudeta berbanding apa yang dilakukannya semasa kudeta di Honduras apabila tentera menjatuhkan Manuel Zelaya pada 2011. Jika Obama menggelarkan secara rasmi apa yang berlaku di Mesir sebagai sebuah kudeta, maka bantuan kewangan (sebanyak US 1.55 bilion setahun) yang biasa diberi kepada Mesir akan terhenti sebagaimana terdapat di Seksyen 508 Akta Bantuan Luar (Foreign Assistance Act) yang penggantungan dana terhadap mana-mana negara yang telah dipilih oleh rakyatnya secara wajar tetapi dijatuhkan oleh tentera atau dekri. Noah Feldman telah menjelaskan isu tersebut dengan baik dalam dua artikelnya bertajuk Call Egpyt’s Coup a Coup  dan Obama Ignores U.S Law To Ignore Egypt’s Coup.

Lihatlah, tatkala sebahagian orang cuba memperlekeh masharakat Arab dengan menimbulkan persoalan “adakah Arab dan dunia Muslim bersedia dengan demokrasi?”, soalan yang sepatutnya ditanya ialah “adakah AS dan negara-negara Barat bersedia dengan demokrasi?!” AS terkenal membelai diktator yang boleh menjadi boneka dan melaksanakan dasar mereka sebagaimana telah dilakukan kepada Mesir sebelum 25 Januari 2011. AS sekalipun mendengungkan slogan demokratisasi, namun mereka sendiri berkawan rapat dengan Arab Saudi dan beberapa negara Arab yang mempunyai minyak dan sumber bumi yang lain. Demokrasi di tangan manusia dan kerajaan berkepentingan adalah candu, demikian juga slogan hak-hak asasi manusia. Bukan semata-mata agama boleh menjadi candu, demokrasi juga apabila sesiapa yang berkuasa boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu. Obama menggelarkan apa yang berlaku di Honduras sebagai kudeta kerana AS mahu, sementara Obama berdiam diri daripada kudeta di Mesir kerana mereka mahu. Bukan kerana komitmen dengan demokrasi dan hak asasi manusia, tetapi komitmen dengan apa kepentingan yang mereka mahu.

Apabila mengulas tentang kudeta, sebahagian orang akan mengimbau beberapa peristiwa yang berlaku khasnya dalam dunia gerakan Islamis. Contohnya dalam kes Turki, kesemua Perdana Menteri Turki yang dilantik secara demokratik terpaksa menghadapi campur-tangan pihak tentera walaupun dalam darjah yang berbeza. Adnan Menderes dihukum  gantung selepas rampasan kuasa pada tahun 1960. Suleyman Demirel pula dirampas kuasanya hasil daripada pemberontakan tentera tahun 1971 dan 1980. Sedangkan Necmettin Erbakan dipaksa untuk meletakkan jawatan akibat daripada rampasan kuasa secara “halus” (dikenali sebagai post-modern coup) pada Jun 1997. Mustafa Akyol dalam satu wawancara bersama stesen televisyen Al-Jazeera (bertajuk Egypt: A Coup or A Second Revolution?) telah mengatakan:

"I live in a country where we have had four military coups over the past 60 years, and I know [the military] are not a solution to anything. They are actually the biggest problems in Turkish political history. So I am also very critical of the military coup in Egypt.

Pada 1992 pula, FIS (Front Islamique du Salut) telah dijatuhkan oleh tentera setelah memenangi pilihanraya dan para pimpinan dan aktivis FIS telah ditahan penjara.

Demikian juga di Mesir, suatu yang menyedihkan apabila sebahagian kaum liberal (sebetulnya illiberal!)  dan sekular (contohnya Mohamed El Baradei) yang mendengungkan slogan demokrasi dan hak asasi manusia telah mengizinkan kudeta dijalankan oleh tentera. Sebahagian mereka mengecam apa yang disifatkan sebagai tindakan tidak demokratik Morsi dalam pemerintahan, dalam masa yang sama mendiamkan diri apabila pejabat dan bangunan IM dibakar, aktivis politik dikenakan tahanan penjara dan sehingga kini (29 Julai 2011) beratus-ratus telah mati dan cedera parah dalam pertembungan dengan tentera. Dalam hal ini, antara persoalan penting untuk ditanya ialah adakah jika AS, Barat dan golongan sekular dan liberal di Mesir mengiyakan kudeta, adakah kerana mereka anti-Islamis? Adapun jika kebanyakan tokoh Islamis dari seluruh dunia dan dalam Mesir lantang menolak kudeta tentera, adakah semata-mata kerana mereka Islamis? Persoalan ini kelihatan ringkas tetapi sangat penting dalam menentukan cara berfikir supaya tidak terjebak dengan pandangan binari dalam menilai sepak terajang politik.

Apa pun yang dibincangkan, hakikatnya atas nama demokrasi, darah rakyat Mesir sekarang menjadi murah dan seakan-akan tidak berharga. Mengulang komentar Khaled Abou al-Fadhl (Egypt: Is Political Islam is Dead?), manakala golongan yang kononnya sekular dan liberal di Mesir mengeksploitasi bahasa demokrasi dan hak asasi manusia sebagaimana segelintir Islamis mengeksploitasi simbol-simbol Islam dan nilai-nilai Syariah. Kedua-dua pihak mengajar apa yang mereka tidak amal, dan kedua-dua berkelakuan dengan cara yang benar-benar bercanggah dengan apa yang mereka ajar.

Kegagalan Islamisme, Pasca-Islamisme dan Wacana Baru Islamisme

Sebelum berbincang lanjut tentang Islamisme, saya mahu membawa kepada perbincangan ringkas tentang istilah-istilah yang berkaitan iaitu; Islam, Muslim, Islamisme, pasca-Islamisme, Islamis, Muslim yang berpolitik, dan pemikiran politik menurut Islam.

Islam adalah agama yang mempunyai dasar dan asas-asasnya, rujukan tertinggi ialah al-Quran dan al-Hadis dan ribuan kitab dan para ulama menjelaskan tentang perkara-perkara mengenai Islam sejak dahulu hingga kini. Adapun Muslim perupakan penganut agama Islam yang melaksanakan tuntutan dan meninggalkan larangan yang termaktub dalam agama. Islam bukan Islamisme, bahkan ia lebih luas daripada itu.

Islamisme pula sebuah istilah yang muncul pada era moden berkaitan gerakan tertentu yang berpolitik dan bersosial dengan menjadikan pandangan Islam sebagai dasar dan rujukan. Mereka dikenali antaranya dengan cita-cita menjadikan penubuhan negara Islam khasnya di negara-negara yang majoriti Muslim berdasarkan visi dan misi yang tertentu. Islamis merupakan pihak yang mendokong apa yang dicita-citakan oleh gerakan tersebut. Namun demikian istilah Islamisme dan Islamis masih punya banyak ketidak tentuan dan terbuka untuk perdebatan, contohnya Islamisme yang menerima demokrasi tidak sama dengan Islamisme yang hanya melihat jalan perang sebagai solusi. Islamisme juga mengalami peralihan dan pengalaman sejarah yang panjang, adakah sama Islamisme yang menentang penjajah pada era kolonial dan Islamisme selepas 11 September? Adakah jika kumpulan seperti al-Qaeda memberi pandangan politik, maka mereka mewakili suara Islamisme?

Demikian juga Islamis, ia merujuk kepada sesiapa sahaja individu yang menjunjung dan melaksanakan aspirasi Islamisme, jika sesebuah gerakan Islamis memberi komitmen dengan pendekatan demokrasi, maka tiada masalah untuk digelarkannya sebagai Islamis demokrat (berbanding kekecohan istilah ini di tanah air kita). Dalam hal ini, timbul persoalan adakah golongan bukan-Muslim mungkin turut boleh digelarkan sebagai Islamis jika mereka bersetuju untuk perjuangkan visi dan misi sesebuah gerakan Islamis? Justeru, seorang Muslim belum tentu seorang Islamis, demikian juga seorang Islamis kebiasaannya seorang Muslim, namun boleh jadi ia juga seorang bukan Muslim (?).

Muslim yang berpolitik juga belum tentu seorang Islamis, belum tentu juga dia seorang yang berpolitik menurut dasar pemikiran politik Islam. Bahkan demikiran juga seseorang Islamis yang mendakwa mereka muncul atas faktor tanggungjawab agama, belum tentu mereka berpolitik menurut pandangan Islam – berdasarkan takrif, keanjalan dan keluasan cara pandang dalam politik Islam.

Pasca-Islamisme pula adalah pandangan yang dicetuskan oleh beberapa tokoh seperti Asef Bayat sebagai respon kepada apa yang mereka namakan sebagai peralihan daripada dunia Islamisme kepada pasca-Islamisme. Pada Mei 1996, Asef Bayat telah menyampaikan satu syarahan di American University, Kaherah dengan sebuah perbincangan bertajuk “The Coming of a Post-Islamist Society” (Salah satu tajuk dalam buku Critique: Critical Middle East Studies, no. 9 (Fall 1996), m.s 43-52). Syarahan yang disebar sebagai sebuah esei sederhana panjang itu membincangkan kemunculan satu era baru bagi kelompok Islamis, dengan menjadikan negara Iran sebagai contoh perubahan wacana di sana. Ringkasnya Asef Bayat menyatakan bahawa peralihan wacana dan sikap pemerintahan daripada era pasca-Shah Iran kepada era revolusi Islam Iran ialah asal kemunculan Islamisme – yang lebih membincangkan soal pelaksanaan undang-undang shariah, pemaksaan memakai hijab dan sebagainya. Kemudian selepas beberapa dekad, beberapa perubahan berlaku dalam negara Iran khasnya menerusi gerakan intelektual seperti Andisheh-ye Diger (AlternativeThought – Pemikiran Alternatif) yang diketuai Abdul Karim Soroush.

Ihsan Yilmaz juga mengulas dengan nada hamper serupa walaupun berdasarkan kes Turki yang jau berbeda berbanding Iran dalam tulisannya bertajuk, Beyond Post-Islamism: Transformation of Turkish Islamism Toward ‘Civil Islam’ and Its Potential Influence in The Muslim World. Ihsan lebih melihat perubahan dan perbandingan wacana politik Islamis pada era Erbakan dan pada era Erdogan. Hal tersebut serupa dengan cara pandang Asef Bayat yang melihat perbedaan wacana semasa awal revolusi Islam Iran dan selepas beberapa dekad pemerintahan.

Merujuk kepada krisis semasa di Mesir, sebilangan penulis mengemukakan persoalan yang hakikatnya sentiasa diulang-ulang setiap kali peristiwa besar dunia politik Islamis berlaku iaitu; adakah politik Islam sudah gagal dan mati?

IM menerusi FJP adalah sebuah gerakan Islamis, di Mesir ada beberapa lagi kumpulan politik Islamis yang lain termasuk Parti an-Nour beraliran salafi. Tariq Ramadan dalam satu sharahannya bertajuk Post-Islamist Revolution dalam satu program anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) di Istac pada Julai 2012, beliau menyebut nama seorang intelektual Perancis bernama Francois Burgat yang merupakan pengkritik utama idea kegagalan politik Islam oleh Olivier Roy dan Kepel. Buku Francois Burgat bertajuk Face to Face with Political Islam dan Islamism in The Shadow of al-Qaeda mengkritik penggunaan istilah Islamisme yang memberi implikasi tidak sihat lantaran wacana selektif segelintir ahli akademik Barat.

Dalam buku The Arab Awakening (halaman 113), Tariq Ramadan selepas mengulas persoalan The End of Political Islam? menyatakan:

“In fact that Islam itself is being called into question is a clear sign that political Islam is not dead but is facing a new conjuncture and stands poised to undergo a profound shift brought on by the dynamics of history and the new political, economic, cultural and brpad geo-strategic environment.

Justeru saya berpandangan, persoalan pemikiran politik Islam lebih luas berbanding persoalan Islamisme dan Islamis. Pemikiran politik Islam sentiasa menyebelahi kepentingan rakyat, demi mencapai tujuan-tujuan seperti keadilan, kebebasan, keamanan dan pendidikan yang baik. Jika disoal dalam bahasa ringkas mengenai apa itu pemikiran politik Islam, saya berpandangan ia berkait dengan perdebatan soal masolih dan mafasid – kebaikan dan keburukan – dan pertimbangannya. Pelaksanaan wacana tersebut melihat kepada konteks sesebuah negara, sejarahnya, pengalaman dan krisis yang mesti diatasi dalam jangka masa panjang dan jangka masa pendek. Oleh itu jika mahu dijelaskan bahawa pasca-Islamisme ialah sebuah peralihan wacana baru Islamis, maka itu lebih tepat. Adapun jika menganggap pasca-Islamisme sebagai perubahan cara pandangan berbanding Islamisme yang lebih “dekat” dengan agenda shariah, maka ia wajar ditanggapi secara kritikal kerana “aktivis dan Islamis era pasca-Islamisme” sendiri memandang perubahan wacana mereka berasaskan pemikiran politik Islam yang luas dan sentiasa berkembang berdasarkan tantangan zaman. Apabila mereka bercakap soal demokrasi, negara madani, kebebasan, tatakelola yang baik dan sebagainya, Islam dan pemikirannya masih menjadi rujukan.

Oleh yang demikian, memandang krisis yang sedang berlaku di Mesir sebagai satu bukti kegagalan dan kematian politik Islam sangat wajar ditanggapi secara kritikal, kerana istilah political Islam itu sendiri masih dicanggahi para sarjana dan sosiolog, selain ketidak tentuan istilah-istilah seperti Islamisme, Islamis dan pasca-Islamisme.

Pantulan dan Kesimpulan

Bagaimana masa depan Islamis seluruh dunia? Adakah rakyat yang masih bertembung dengan tentera akan berundur? Apa yang akan berlaku di Mesir selepas ini? Adakah aktivis IM di Mesir akan lebih lunak dengan demokrasi atau sebaliknya akan mencipta gerakan militan atas nama Islam?

                Persoalan-persoalan tersebut sangat wajar ditanya serius. Rakyat Mesir yang protes (sebahagian besarnya merupakan penyokong Morsi) masih tiada tanda-tanda mereka akan berundur, lebih-lebih lagi jika mereka berundur; tiada jaminan bahawa Mesir akan lebih baik, keputusan rakyat dalam pilihanraya akan dihormati, tahanan politik akan dibebaskan, IM dan FJP akan dibenarkan berpolitik dan sebagainya.

                Di Algeria selepas kudeta yang dilakukan tentera terhadap FIS, ia telah menyebabkan kemunculan aliran keras yang bersenjata gara-gara kekecewaan mereka terhadap pencabulan demokrasi oleh pihak tentera setelah kemenangan FIS dalam pilihanraya. Sementara itu di Turki setelah ‘kudeta pasca-moden’ pada 1997, ia telah mencetuskan penubuhan Fazilet Partisi yang lebih lunak dan berbeda wacana berbanding parti Erbakan sebelum itu. Kemudiannya setelah Fazilet Partisi  turut diharamkan, perubahan yang lebih radikal berlaku apabila Erdogan, Abdullah Gul dan lain-lain menubuhkan Adalet ve Kalkinma Partisi (AKP) yang lebih progresif, berjiwa reformis dan terbuka dan buat masa ini AKP boleh diiktiraf sebagai masih berjaya hingga kini.

                Selain itu saya melihat sebahagian orang melakukan perbandingan simplistik antara Tunisia, Turki dan Mesir terutama pada aspek sekular dan wacana politik Islam lalu menyatakan salah satu punca kejatuhan Morsi ialah kerana terlalu Islamik. Dari satu segi, saya mungkin boleh bersetuju. Benar, di Tunisia (dan juga Turki) tiada perkataan shariah dalam perlembagaan, bahkan pemimpin utama en-Nahda – Ghannouchi - sendiri tegas dengan pandangan tersebut dan agak lunak dengan konsep negara sekular. Namun kes yang berlaku di Mesir adalah sangat berbeda. Sejak era Mubarak lagi perkataan Mabadi’ as-Sharia diguna pakai dalam perlembagaan, dan ia satu isu yang sangat serius dan diambil berat oleh rakyat Mesir yang majoritinya Muslim. Namun pemerintahan Mubarak sendiri tidak mewakili apa yang diaspirasikan menerusi perkataan Mabadi’ as-Sharia. Ia sekadar istilah, sebagaimana sebahagian negara merujuk negara mereka sebagai sebuah negara demokrasi, walhal pemerintahan mereka sangat drakonian. Kalau terus dibuang perkataan Mabadi’ as-Sharia  dalam perlembagaan mungkin akan memperlihat sisi FJP dan Morsi yang lebih moderat, tapi ia tetap bukan suatu tindakan yang demokratik jika bercanggah dengan referendum rakyat dan tidak melalui proses demokratik dalam parlimen, bahkan kemungkinan akan lebih mengundang kemarahan rakyat dek kerana latar kes yang tidak sama antara Mesir dan Tunisia, demikian juga konteks yang berbeda dengan negara-negara lain tidak memungkinkan apa-apa penyelarasan sama ada atas nama 'Shariah' ataupun 'Sekularisme'. Paling penting, ia bukan sekadar soal istilah, sebaliknya soal sejauh mana sesebuah pemerintahan memberi komitmen untuk menegakkan nilai-nilai teras seperti keadilan, keamanan, kebajikan dan kebebasan dalam pemerintahan mereka.


                Demikian serba-sedikit ulasan saya mengenai krisis di Mesir sekarang dan sejauh mana ia memberi kesan kepada perbincangan pemikiran politik Islam dan dunia Islamisme. Saya menutup baris-baris akhir ini dengan persoalan yang telah disebut sebelum ini iaitu; isu di Mesir meyakinkan kita bahawa persoalan sebenar bukannya “adakah Arab dan dunia Muslim bersedia dengan demokrasi?” tapi, “sudahkah AS dan negara-negara Barat yang lain serius dan jujur dengan demokrasi?”

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP