Friday 20 May 2011

Negara Islam, Biarkan Wacana Kritis Berjalan

Saya kira, debat mengenai Islam dan kenegaraan pernah berlangsung hangat tatkala Syeikh Ali Abdul Raziq menggemparkan wacana politik Mesir menerusi buku terkenalnya, al-Islam wa Usul Hukm (AWUH) beberapa tahun selepas kejatuhan pemerintahan Uthmaniyyah. Dengan hanya sebuah buku kritikal mengenai politik kenegaraan dan Islam, sekalian ulama al-Azhar pada waktu itu seakan-akan terkejut, lantaran Ali Abdul Raziq juga merupakan salah seorang ulama al-Azhar bersama-sama mereka. Lantas, menyebabkan Ali Abdul Raziq dihukum dengan beberapa tindakan, antaranya ialah dilucutkan statusnya selaku ulama al-Azhar.

Malahan lebih daripada itu, Dr Muhammad Imarah yang merupakan seorang intelektual Muslim terkenal mencatatkan dalam buku kajian objektifnya terhadap AWUH bahawa mengikut Peruntukan 101, Kanun al-Azhar Bil. 10 (tahun 1911), memperincikan bahawa setiap ulama yang dilucutkan gelar ulama oleh Majlis Tertinggi Ulama, namanya “akan dipadam dari rekod al-Azhar dan institusi-institusi lain, dan dibuang dari segala pekerjaannya, dipotong pendapatannya tidak kira dari mana sumbernya, dan dicabut kelayakannya untuk membuat apa jua pekerjaan umum sama ada bersangkutan agama atau tidak.”

Demikian nasib seorang yang bernama Ali Abdul Raziq, selepas terbitnya buku beliau (AWUH) itu, beliau dikecam dari segenap sudut oleh para agamawan mahupun yang bukan agamawan, sambil dibela oleh beberapa golongan sahaja. Buku-buku yang menolak pendapat beliau dalam AWUH seolah-olah hanya menembak beliau, sehinggalah kira-kira 47 tahun kemudian, barulah Dr Muhammad Imarah telah membuat satu kajian objektif, dari pelbagai pandang sisi berhubung buku AWUH dan pengharamannya. Sementara itu di Malaysia, pihak yang bertanggungjawab menterjemah buku AWUH iaitu Institut Kajian Dasar (IKD) telah dikritik hebat. Menandakan, sejumlah besar yang menamakan diri mereka sebagai pendokong perjuangan Islam sangat bersikap acuh dan tak acuh dalam berwacana kritis, diskusi merentas idea.

Ya, demikian salah satu sejarah yang pernah berlangsung dalam dunia umat Islam. Menyertakan kisah di atas bukanlah menjadi maksud saya yang utama, sebaliknya saya mahu menjelaskan kepada pembaca bahawa isu politik kenegaraan Islam seolah-olah menjadi begitu sakral, sehingga tiada ruang untuk dikritik dan dibincangkan sesuai dengan peredaran zaman. Kalaulah isu ibadat khusus seperti solat dan haji pun diizinkan oleh syarak untuk dikaji pelaksanaannya yang murunah (fleksibel), maka masakan langsung tiada ruang untuk politik Islam dibentang secara lebih terbuka, selagimana prinsip-prinsip umum dipelihara dengan sebaiknya.

Islam, negara dan demokrasi


Menyentuh soal demokrasi dan Islam, saya tidak berkenan untuk mengulas isu hukum demokrasi lantaran sudah diulas secara tuntas oleh tokoh-tokoh seperti Qaradhawiy, Turabi dan Ghannouchi. Namun saya mahu menyinggung beberapa isu berkenaan demokrasi dan politik Islam.

Sesetengah gerakan politik Islam mendakwa bahawa mereka meraikan demokrasi, tetapi apa yang kita lihat ialah mereka hanya bersungguh-sungguh dalam soal pilihanraya dan berparlimen. Ironi apabila kita mendakwa mendokong demokrasi, namun beberapa nilai besar demokrasi tidak dilaungkan dengan kadar yang sepatutnya.

Idea tokoh gerakan Islam seperti Turabi sewajarnya dilihat dengan pandangan yang tajam, beliau berhujah bahawa premis terpenting dalam doktrin demokrasi Barat ialah pembentukan kerajaan tanpa kongkongan agama (hukm la dini). Bukanlah bermaksud pemisahan antara Islam dan politik, sebaliknya konsep kenegaraan Islam mestilah dinyatakan secara tegas bahawa sesebuah pemerintahan telah dihadkan oleh beberapa panduan syarak. Pemerintah dalam Islam bukanlah berkuasa mutlak, sebaliknya sangat berkecenderungan untuk dijatuhkan dan rakyat mempunyai kuasa untuk menegur dan melakukan hisbah terhadap mereka. Petikan tulisan Abdel Wahab Affendi dalam bukunya Who Needs an Islamic State barangkali bisa menjelaskan secara ringkas mengenai hal ini:

“The authority of government should be limited by the division of powers, periodic elections, free press and free associations.”

Bicara soal negara Islam tidak sewajarnya ditakuti dengan penggunaan kuasa oleh kerajaan untuk menjulang agama semata-mata. Seolah-olah politik kita hanya berkisar soal hukum semata-mata, dan muflis nilai. Oleh yang demikian kalau kita perhatikan, wacana kebebasan, keadilan, hak-hak kemanusiaan, tadbir urus atau tatakelola yang baik (good governance), kedaulatan undang-undang, akauntabiliti dan seumpamanya kurang dilaungkan oleh segelintir gerakan Islam. Kalau wujud pun, barangkali akhir-akhir ini sahaja.

Sekiranya kita meninjau kembali puluhan tahun yang lepas, konsep kenegaraan Islam diperkenalkan dengan laungan penerapan hukum syariat, tanpa dijelaskan secara tuntas mengenai objektif yang tersirat dalam syariat (maqasid syariah). Lantas hasilnya negara Islam dikenali sebagai sebuah negara yang mengerikan, tiada kebebasan individu dan tidak mesra kemanusiaan. Hudud, akta berpakaian dan akta hiburan merupakan antara stigma yang melekat kuat dalam minda warganegara kita. Selain itu, masyarakat bukan Islam juga kelihatan bimbang dengan perkataan “jizyah” yang akan dikenakan ke atas mereka sekiranya kerajaan Islam berkuasa. Pelbagai salah faham yang wujud dan terus berlangsung ini antaranya disebabkan laungan atas nama Islam oleh segelintir pendakwah yang kononnya mewakili perjuangan Islam, di samping kurangnya aktiviti pencerahan kefahaman baru politik Islam yang lebih demokrat dan serasi dengan zaman.

Islam dan konsep kerajaan terhad

Arakian, masih ramai pihak yang memahami bahawa sekiranya Islam diberi ruang memerintah, maka kita (pihak Islam) akan menggunakan kuasa yang ada untuk melaksanakan segala arahan al-Quran dan al-Sunnah. Niat itu sungguh murni, namun kelihatan slogannya berbaur ancaman seolah-olah pemerintahan Islam itu akan menonjolkan watak “tuan” dan berbentuk pemaksaan, yakni ketuanan Islam. Kenapa mereka tidak menjelaskan sahaja bahawa arahan al-Quran dan al-Sunnah yang dimaksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah, keadilan, kemakmuran ekonomi, kebebasan dan sebagainya. Sesungguhnya tidak wujud konsep “ketuanan Islam” dalam kamus Islam selaku agama rahmatan lil ‘alamin. Islam tidak menonjolkan dirinya sebagai tuan, sebaliknya menyalurkan perkhidmatan selaku ummatan wasatan, menyebarkan rahmat Islam yang bersifat inklusif melepasi batas keagamaan dan kebangsaan yang sempit.

Justeru dalam menyantuni konsep kerajaan terhad (limited government) dalam pemerintahan Islam, saya melihat, kita seakan-akan terlalu romantisme dengan sejarah sehingga membutakan mata dalam mendiskusikan “absolute power corrupts absolutely”. Saya tertarik untuk menyemak kembali sejarah lampau umat Islam dalam pengamalan konsep khilafah. Sistem monarki yang diamalkan sangat mendukacitakan dan berlawanan dengan prinsip Islam, lantas sistem ini telah memberi keuntungan kepada satu pihak sahaja,yakni darah daging “mereka dan keluarga mereka”. Tercatat pelbagai peperangan saudara di bumi umat Islam, termasuk semasa era ‘Abbasiyyah, ‘Uthmaniyyah mahupun kerajaan Islam di Sepanyol. Pemberontakan-pemberontakan dilakukan oleh rakyat, bantahan-demi bantahan terjadi, namun pemberontakan itu hanya dikalahkan oleh satu kalimah, “pengharaman bughah” oleh segelintir ulama setiawan kerajaan.

Ada benarnya kata Syeikh Ghannouchi bahawa salah satu punca keruntuhan tamadun Islam ialah disebabkan adanya pemerintahan kuku besi. Ghannouchi menambah, “dunia Barat pula telah mengambil falsafah syura dengan mengembangkannya sebagai satu wahana yang akhirnya menjadi satu institusi politik. Sistem pemerintahan bersilih ganti, keamanan wujud dengan tiada berlaku sebarang kekacauan, rakyat diberi peluang untuk membuat tekanan politik ke atas elit pemerintah, kaedah nasihat, perundingan dan melakukan perubahan sentiasa digalakkan.”

Kuku besi terlahir dari rahim kemutlakan kuasa, oleh yang demikian tidak hairanlah sewaktu Abu Bakar ra dilantik sebagai khalifah pertama, beliau mengucapkan:

“Wahai tuan-tuan, saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, dan saya bukanlah orang terbaik di kalangan kamu, sekiranya saya melakukan kebaikan maka tolonglah saya, dan sekiranya saya melakukan kejahatan perbetulkanlah saya, benar adalah amanah, bohong adalah khianat.”

Umar ra pula semasa dilantik sebagai khalifah kedua menyatakan:

“Apabila kamu melihat pada diriku ini penyelewengan maka perbetulkanlah aku.”

Jelas dan terang, rakyat mempunyai hak-hak mereka yang tersendiri, menjadi pemerintah bukanlah bermaksud bisa mencampuri urusan-urusan rakyat yang lain secara berlebih-lebihan. Konsep pemimpin sebagai taklifan la tasyrifan (amanah bukannya kebanggaan) menjelaskan lagi bahawa ultimate authority rested with community. Dalam hal ini juga timbulnya peranan perlembagaan yang mesti didaulatkan. Kerajaan tidak sewenang—wenangnya mencampuri urusan rakyat dalam soal ekonomi, menentukan moral, hak-hak beragama dan sebagainya kerana masyarakat dan rakyat mempunyai hak mereka tersendiri. Namun begitu saya mahu tegaskan betapa wujud satu seni yang cukup halus dalam pemerintahan Islam iaitu seni “membaiki manusia supaya menjadi manusia”, pemimpin selaku teladan yang baik dan tanggungjawab mendidik manusia dengan nilai-nilai yang suci.

Namun sekali lagi kita bernasib malang apabila gerakan Islam tidak banyak menampilkan nilai ini dalam perbahasan mereka mengenai kenegaraan dan Islam. Pemerintahan Islam dilihat sempit, bersifat memaksa dan mengerikan. Rakyat melihat, seandainya Islam memerintah maka ruang kebebasan yang diidamkan mereka akan tertutup rapat. Malahan, sejarah lampau mengingatkan kita akibat campur tangan yang berlebihan pemerintah terhadap hak-hak rakyat menyebabkan peristiwa masyhur pembunuhan ulama berwibawa, Sa’id Jubair oleh Hajjaj ath-Thaqafiy dan pemenjaraan terhadap Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Taimiah. Tidak termasuk lagi kes-kes lain yang bisa ditemui dalam kitab-kitab sejarah umat.

Negara Islam, aktiviti sosial dan kedudukan non-Muslim

Saya memilih untuk memasukkan perbincangan isu ini memandangkan ini antara isu yang banyak disinggung apabila berbicara soal kenegaraan dan Islam.

Seringkali kita temui pendapat yang menyatakan bahawa apabila pemerintahan bercorakkan Islam dilaksanakan, maka segala aktiviti social akan dihadkan dan “polis-polis moral” akan berkeliaran memburu manusia yang melanggar arahan agama. Lantas, jalan keluarnya ialah dengan mengenakan akta hiburan, akta berpakaian dan pelbagai akta lagi. Secara jujurnya, inilah gambaran yang banyak dimainkan selama ini. Bukankah ini amat menakutkan, khasnya buat muda-mudi yang berada di klimaks usia? Saya bukan mahu membela hiburan terlampau dan variasi fesyen yang kedapatan di luar, tetapi saya berbicara jujur bahawa gerakan Islam mesti menyatakan sikap yang paling realistic dan berpijak di bumi nyata dalam menangani soal ini.

Dalam keadaan masyarakat yang jauh sudah berubah, tiba-tiba dipopularkan idea yang menyekat minat mereka, sudah tentu akan ditolak secara mentah-mentah. Kerajaan Islam yang mendidik sewajarnya mendahulukan perbincangan, wacana dan komunikasi pelbagai hala sebelum melaungkan sesuatu dasar. Isu-isu seperti pelacuran, hiburan melampau (contohnya black metal) dan pasaran video lucah merupakan titik pertemuan antara pihak pemerintah dan masyarakat pelbagai bangsa dan agama. Adapun drama-drama, filem dan konsert-konsert mesti dibuat perbincangan berulang-ulang, dan mengambil jalan yang benar-benar realistic, seperti mengguna pakai kaedah fathu al-dzari’ah, sebagaimana luasnya perbincangan fiqh dalam hal ini. Amat tidak wajar, isu-isu ini ditangani dengan sepatah dua hukum, kemudian akibatnya terfitnah kepada Islam, kononnya Islam agama yang mengawal aktiviti manusia dan menentang arus kemodenan.

Berhubung kewarganegaraan bukan Islam pula, saya tertarik dengan pandangan para intelektual Muslim kontemporari seperti Qaradhawiy, Wahbah Zuhailiy dan Ghannouchi yang menggunakan istilah al-muwaathinuun (warganegara) dalam menamakan bukan Islam, bukannya ahlu al-dzimmah. Saya agak terkilan apabila wacana mengenai kedudukan bukan Islam dalam pemerintahan Islam masih berjalan suram dan kurang diminati kelompok yang mengakui mahu menegakkan pemerintahan Islam. Akibatnya, tatkala berbicara soal sebegini, mereka akan mengguna pakai pandangan ulama-ulama terdahulu semata-mata tanpa menyedari bahawa ulama pada hari ini meletakkan sekurang-kurangnya tiga asas dalam membincangkan isu masyarakat bukan Islam iaitu hurriyyah (kebebasan), ‘adalah (keadilan) dan muwaathanah (kewarganegaraan). Tindakan membeza-bezakan penggunaan istilah dalam kerakyatan hanya akan membuahkan sensitivity dan sentimen yang tidak sepatutnya, apatah lagi sememangnya Islam sudah mengistiharkan dalam al-Quran bahawa perbedaan warna kulit, bangsa, puak dan sebagainya supaya manusia berkenal-kenalan bukannya saling membeza-bezakan.

Termasuk dalam senarai yang sensitive ialah berkenaan pelaksanaan hudud, saya berhemat, satu perbincangan yang objektif wajar diadakan dalam isu ini. Pendokong gerakan Islam seakan-akan sedang tersepit antara melaksanakan syariat Allah ini dan serangan luar yang berterusan menghujahi Islam. Pandangan daripada tokoh intelektual Muslim seperti Tariq Ramadhan bahawa undang-undang jenayah syariah hudud dan qisas wajar dibeku buat sementara waktu mesti diambil perhatian. Kita tidak mahu melaksanakan syariat Allah sambil menyebabkan terciptanya fitnah yang lebih besar, sebagaimana jawapan Umar Abdul ‘Aziz semasa diminta anaknya supaya melaksanakan syariah Islam secara total,

“jangan tergesa-gesa wahai anakku, sesungguhnya Allah mencela arak sebanyak dua kali dan mengharamkannya pada kali yang ketiga, dan aku takut untuk membawa kebenaran secara total lantas mereka (rakyat) meninggalkannya secara total, maka berlakulah fitnah.”

Kesimpulan

Sekali lagi, saya memetik kenyataan menarik daripada Affendi dalam bukunya mengenai betapa umat Islam sewajarnya menyesali akan diri mereka yang gagal menghayati dan mempraktikkan prinsip-prinsip demokrasi dalam tata-kenegaraan sebagaimana penyesalan Qabil sewaktu dirinya menyedari ketidak tahuannya bagaimana menanam mayat saudaranya Habil sehinggakan terpaksa belajar daripada seekor gagak. Affendi menyinggung hal ini sebagaimana terdapat dalam ayat surah al-Maidah (5:31) :

“Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: "Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?". kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal.”

Affendi mengulas:

And the moral of the story is this: if God can teach mankind through the observation of how animal behave, there is surely a lot to learn from how other human beings conduct themselves. And when we can see clearly from the human experience that democratic governance solves a lot of problems which had plagued human (including Muslim) societies for millennia,the proper reaction is not go back to al-Mawardi and other outdated texts to find out if these self-evidently good systems are compatible with Islam, but to exclaim with Cain (Qabil):

“Woe be us! Are we so incompetent as to not even be able to have our own functioning parliaments and working democracies?”


(“Wahai celakanya aku! Alangkah kita sungguh lemah, kerana itu kita tidak mampu untuk mempunyai parlimen yang berperanan dan demokrasi yang berjalan”)

Perdebatan ini sudah dimulakan, dan tiada sesiapa yang akan bisa menutupnya selagi dunia diberi umur oleh Dia. Ulasan saya dalam tulisan ini sudah tentu banyak terlalu cacat dan tidak lengkap memandangkan ini hanyalah satu artikel, namun mesej yang saya mahu tegaskan ialah betapa politik dan kenegaraan Islam akan sentiasa progresif dan meyakinkan sesuai dengan peralihan zaman dan relevansi Islam menghadapi tentangan zaman. Mari kita berdebat dan berwacana, demi esok yang lebih bersinar.

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP