Getir Bergelut Mencari Sejahtera
Kadang-kadang seseorang yang keluar dari rumah
sebenarnya sedang dalam sebuah kembara mencari rumah; mencari diri sendiri.
Mengasingkan diri daripada riuh-rendah dunia dan manusia, juga merapatkan diri
dengan 'diri' sendiri.
Bukanlah aneh jika di tengah sesak manusia dan
zahirnya semua sedang bersuka ria, ada jiwa sedang menyendiri, jauh pergi dari
kesesakan dan sekalian aktiviti, sedang mencari aman dan tenang. Sepertimana
tiada aneh jika seorang penghibur yang berjaya menghiburkan para pendengar, penghibur
itu sendiri sedang gersang dan kontang jiwanya. Dekat dengan peminat dan
pendengar, namun jauh daripada ‘diri’ sendiri. Hiburan belum tentu menenangkan,
tetapi ketenangan pasti menghiburkan.
Apakah itu kehidupan? Inilah kehidupan. Sebuah
proses tanpa noktah dalam mencari aman. Kehidupan tiada penghujung dan
pengakhiran, tapi kehidupan sarat dengan permulaan. Kita menganggap sesuatu
sebagai ‘akhir’ dan ‘tamat’, hakikatnya ia sebuah permulaan yang baharu.
Tuhan menyebut, Dia mencipta kehidupan dan kematian
untuk menguji manusia, siapakah yang paling baik amalannya (67:2). Kesedihan,
derita, air mata, luka, duka dan lara ialah untuk melihat siapa paling baik,
demikian juga kegembiraan, tawa, puji, hormat dan keindahan. Kehidupan ialah tentang
bagaimana manusia berinteraksi dengan kegembiraan dan kesedihan.
Manusia mencari aman, tenang dan sejahtera.
Tuhan menyebut tentang Ibrahim yang datang kepada Tuhannya dengan hati yang
sejahtera (37:84) dan bahawa hari kebangkitan itu ialah hari yang tiada apa-apa
manfaat dan nilai, kecuali sesiapa yang datang kepada Tuhan dengan hati yang
sejahtera (26:89). Ia tentang qalbun saleem (hati sejahtera).
Perjuangan mendapat hati yang sejahtera ialah
sebuah perjuangan pembebasan; bebas dari tunduk kepada dunia dan seisinya.
Bahkan ia sebuah pergelutan untuk bebas daripada ‘diri’ sendiri. Berapa ramai
manusia yang menyangka mereka bebas, tetapi hakikatnya sedang memperhamba diri
kepada dunia dan bertuhankan diri sendiri. Benarkah kita bebas jika sebenarnya
masih banyak yang merantai diri?
Lihatlah Ibrahim as pemilik hati yang sejahtera
itu, sungguh-sungguh ia bertanya kepada Tuhannya tentang hakikat keimanan.
Ibrahim bertanya kritis tentang bagaimana Tuhan menghidupkan orang yang mati,
demi menenangkan hatinya (2:260). Itulah iman, ia sebuah proses mencari aman.
Bertanya kritikal tentang keimanan bukan sebuah larangan, namun wajar disertai
rasa bertanggungjawab bekerja keras mencari jawapan, dan di hujungnya demi
memperoleh aman.
Muslim itu kata Nabi saw, seorang yang manusia
lain selamat daripada bahaya lidah dan tangannya. Manusia yang ada sejahtera
dan aman dalam dirinya, akan bisa mencipta dan memelihara sejahtera dan aman
terhadap orang lain.
Lidah contohnya, bisa mengundang pergaduhan dan
peperangan, selain turut bisa membikin aman dan tenang. Manusia yang berjaya
mengawal lidah ialah manusia yang berjaya mengawal dirinya. Perkataan dan
‘bahasa’ yang keluar dari seseorang ialah cerminan apa yang jantung hati dan
mindanya sedang bergelutan.
Justeru jika direnung, apabila berbicara
tentang dunia yang aman atau perang, ialah sebuah bicara tentang bagaimana
manusia bisa mencapai aman (dalam dirinya) dan bagaimana pula bisa terjebak ia
ke dalam perang (dalam dirinya). Kita bincang pelbagai masalah dan krisis, di
hujungnya kita akan temui, manusia di sebalik itu semua.
Oleh itu apabila kita berbincang tentang masa
depan, kita harus patah balik berbincang tentang ‘dalam’; diri manusia.
Berpatah balik bermaksud berjalan ke hadapan, kerana hanya manusia yang
mempersoalkan makna dan tujuan kehidupan akan mampu harungi rintangan dan
cabaran.
Menurut Dalai Lama dalam bukunya bertajuk Towards
The True Kinship of Faiths, dalam tradisi agama Buddha, persoalan
menjinakkan diri sendiri ialah sebuah persoalan besar. Sesiapa yang berupaya
menguasai dirinya, dia akan berjaya.
“You are your own master, Who else will be your master? The wise who
has become his own master, He shall accomplish his aims” (Udanavarga, 23:10)
Benar, walau sukar sungguh membina sebuah
bangunan besar, ia tetap lebih mudah berbanding membina jiwa dan diri seseorang
manusia. Ia perlukan latihan dan disiplin, terutama latihan merendahkan diri.
Sebab itu kita lihat dalam tradisi sufi, sebahagian shaykh menyuruh muridnya
yang mahu berguru dengan mereka supaya ‘mencari diri’ terlebih dahulu; pergi
berkhidmat kepada orang miskin.
Iya, bagaimana kita berinteraksi dengan orang
lain menunjukkan apa yang ada dalam diri kita. Surah al-Ma’un (107: 1-7)
menempelak keras manusia yang mendustakan agama; iaitu manusia yang bersikap
kasar dengan anak yatim dan tidak bersegera memberi makan kepada orang miskin.
Hal tersebut disebabkan beragama tinggal menjadi ritual semata-mata lalu
menghilang maknanya.
Surah tersebut memberi contoh solat yang lalai
dan bertujuan menunjuk-nunjuk, lantas terabai tujuan dan makna tertinggi
beragama; iaitu berkhidmat untuk manusia dan kemanusiaan. Ibadah yang sebenar
ialah untuk menundukkan diri kita dari berasa besar, angkuh dan sombong; ia
tentang membebaskan diri kita daripada ‘diri’. Memelihara hubungan dengan Tuhan
ialah sentiasa meningkatkan kualiti interaksi kita dengan manusia dan
kehidupan.
Hari berlalu pantas, dan kita seperti masih di
kaki gunung. Hajatnya mahu kita tawan gunung qalbun saleem. Walau kerap
kali sembam, luka dan darah dalam pendakian, selain tawa, suka dan terhibur
menikmati indahnya persekitaran. Pendakian menuju aman dan sejahtera, dengan
itu harapnya kita bisa cipta dan pelihara aman dan sejahtera terhadap manusia
dan kemanusiaan. Ia tentang pembebasan, berkaitan dengan mengawal dan mentadbir
dalam diri.
Apakah itu kehidupan? Inilah kehidupan. Tiada
pengakhiran sebelum kematian, tetapi sarat dengan permulaan. Untuk bebas dari
‘diri’ ialah sebuah perjuangan yang sengit, pergelutan yang getir.