Jika Nabi Dihina, Bagaimana Respon Seorang Muslim?
Muhammad sallallahu 'alayh wa sallam (SAW) |
Kes
serangan terhadap pejabat Charlie Hebdo, akhbar mingguan satira berbahasa
Perancis menghangatkan menggegarkan tahun baru 2015, ia mengakibatkan
pembunuhan sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan 11 orang. Charlie Hebdo ialah akhbar yang sarat dengan
satira dan jenaka terhadap pelbagai sudut, termasuk terhadap agama-agama
seperti Kristian, Islam dan Yahudi. Kes yang sedang dibicarakan ramai ini bukan
suatu yang baru, sebelum ini ada satu
filem yang tersiar di Youtube bertajuk Innocence
of Muslim. Filem yang dipercayai diarahkan oleh Sam Bacile, Nabi Muhammad
saw digambarkan sebagai seorang yang gila seks, bodoh, dahagakan darah dan
sebagainya.
Hal ini turut mengingatkan kita
dengan beberapa siri penghinaan terhadap agama Islam oleh beberapa pihak
seperti Terry Jones, seorang paderi ekstrem yang menarik perhatian dunia dengan
seruan membakar al-Quran pada tahun 2010. Demikian juga dengan beberapa
peristiwa kartun menghina Nabi saw, contohnya oleh Jyllands-Posten’s pada tahun 2006.
Peristiwa serangan terhadap
pejabat Charlie Hebdo itu telah dikritik ramai pihak, para sarjana Muslim dan
pemimpin negara berpendudukan majoriti Muslim antara yang pantas memberi respon
menolak tindakan ganas tersebut, demikian juga pelbagai tokoh agama lain dan
aktivis sosial dan politik. Mereka bersepakat dalam mengecam hal tersebut. Saya
secara prinsipnya bersetuju dengan kecaman tersebut, namun artikel ini bukan
datang untuk mengecam sahaja, saya berhemat ada beberapa persoalan penting
harus dibincangkan dan dijawab jujur, terutama untuk diambil berat oleh Muslim.
Islam dan Kepelbagaian Beragama
Pendirian Islam dalam soal
kebebasan berkeyakinan dan keharmonian dalam beragama sangat jelas ditampilkan
dalam banyak ayatnya, contohnya seruan Lakum
diinukum wa liya diin (Bagimu
agamamu dan bagiku agamaku) dalam surah al-Kafirun. Demikian juga, al-Quran
mendeklarasikan larangan mencela doktrin-doktrin asas agama lain demi
mengelakkan implikasi buruk selepasnya, sebagaimana firman Allah dalam surah
al-An’am ayat ke-108:
“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.”
Islam turut menolak pemaksaan
dalam hal ewal beragama, kerana pemaksaan akan menghilangkan makna keimanan,
sebaliknya akan mengembang biak kemunafikan. Jalan untuk mengajak manusia
kepada Islam ialah dakwah dan pendidikan. Ayat La Ikraha Fi al-Diin
(al-Baqarah: 256) menjadi antara mesej terpenting Islam dalam persoalan
pertentangan antara agama dan pemaksaan.
Namun begitu, kebebasan bersuara
dan berkeyakinan bukan bermaksud galakan menghina agama lain, atau mana-mana
doktrin asas agama lain. Bebas berkata-kata tetap mesti didahului dengan bebas
berfikir. Bebas tidak wajar hingga menceroboh hak dan keyakinan agama lain,
kalau tidak bersetuju mesti dengan jalan ilmu dan fakta, bukannya menghina. Hal ini demikian demi mengelakkan
implikasi buruk yang lebih besar seperti pergeseran dalam masyarakat, keganasan
dan sebagainya.
Sesiapa sahaja berhak untuk tidak
bersetuju dengan doktrin-doktrin asas agama, malah bisa sahaja untuk tidak
persetujui dan mencabar kepercayaan keesaan Tuhan dalam agama Islam sebagai
contoh. Namun jalannya mestilah menerusi kajian dan perdebatan ilmiah, dan umat
Islam yang mempunyai keyakinan tertentu dalam beragama wajar sahaja menjawabnya
menerusi pengetahuan dan kajian yang dilakukannya. Demikian juga umat Islam
bisa sahaja tidak bersetuju dengan doktrin-doktrin asas agama lain, seperti
konsep Triniti dalam ajaran Kristian, namun biarlah ia diselesaikan menerusi
jalan ilmu dan perdebatan ilmiah, bukannya dengan menyebarkan kartun lawak
hingga hingga mengguris perasaan mana-mana pihak.
Saya memberi contoh, seringkali sebahagian
negara Barat menyebut tentang larangan anti-Semitic, malah ada beberapa negara
yang mengenakan tindakan terhadap rakyat mereka yang menafikan peristiwa
pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi semasa perang dunia kedua (Holocaust
denial). Sebagai contoh Austria, Belgium, Perancis dan beberapa negara lagi
mengharamkan penafian dan tindakan mempromosikan Holocaust sebagai tidak benar-benar berlaku.
Barang diingat, tujuannya sudah pasti untuk mengelakkan kaum Yahudi berasa
terguris dengan peristiwa tragis tersebut. Isu Holocaust dan sejauh mana kebenaran peristiwanya
telah sekian lama didebatkan dan dicabar kesahihannya, namun saya tidak
berminat mengulasnya dalam tulisan ini. Hanyasanya saya mempersoalkan kenapa
tidak juga dianggap perbuatan menjadikan agama sebagai kutukan dan bahan jenaka
sebagai sesuatu yang serius dan boleh menggugat keharmonian bermasyarakat?
Bagaimana Muslim Merespon
Penghinaan Terhadap Nabi Mereka?
Pada perkiraan saya, isu ini
sangat penting dan wajar dijawab Muslim dengan jujur dan realistik, selain
mempertimbang pelbagai aspek. Persoalan ini datang selepas saya menulis
pendirian dan sikap yang sepatutnya kita ambil dalam menangani kepelbagaian dan
kebebasan sebagaimana terpampang di atas. Kepelbagaian dan kebebasan harus
secara prinsipnya beretika dan berlangsung jauh dari provokasi dan penghinaan
murahan terhadap kepercayaan agama lain. Saya menyebut murahan kerana bukan
semua kritikan dalam isu keagamaan itu perbuatan menghina, kerana kritikan dan
perdebatan ilmiah tak sewajarnya ditolak dalam segenap bab, termasuk bab keagamaan.
Dalam sahih al-Bukhari, disebut
tentang pada suatu hari Muhammad SAW telah naik ke bukit Safa dan memanggil
kaum Quraisy, kaum Quraisy berkumpul seraya bertanya, “ada apa dengan kamu?”
Nabi SAW berkata: “Apa kata kamu jika aku memberitahu bahawa ada musuh akan
datang kepadamu pada pagi atau petang?” Kaum Quraisy menjawab, “Ya (kami
percaya).” Nabi SAW menyambung: “Sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan
kepada kalian sebelum datangnya azab yang pedih.” Abu Lahab terus berkata:
“Binasalah engkau, adakah untuk ini sahaja engkau mengumpulkan kami?” Lalu
Allah SWT menurunkan ayat: “Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, binasalah!”
Hadis tersebut salah satu dari
pelbagai hadis dan ayat al-Quran (contohnya ayat ke-57 dari surah al-Ahzab yang
menyebut laknat Allah beserta azab yang menghinakan terhadap sesiapa yang
menyakiti Allah dan Rasul-Nya) yang menyebut bahawa penghinaan terhadap
Rasulullah SAW ialah satu kesalahan amat besar dan dimurkai Tuhan. Betapa,
sejak peristiwa itu celaan terhadap Abu Lahab diulang-ulang oleh majoriti
Muslim zaman berzaman, hanya kerana Abu Lahab menyakiti Rasulullah SAW dengan
perkataannya. Oleh itu, kita bersetuju dengan larangan mencela Muhammad SAW.
Tetapi persoalannya, adakah setiap penghinaan dibalas dengan hukuman? Dan jika
ada, apa hukuman tersebut? Selain itu, wujudkah perbezaan dalam sikap kita jika
dalam satu kes penghina merupakan seorang Muslim, sementara dalam kes yang
lain, penghina merupakan bukan Muslim?
Contoh-contoh Penghinaan Terhadap
Nabi Dalam al-Quran dan al-Hadis?
Untuk
menjawab soalan-soalan tersebut, sangat sesuai jika kita lihat beberapa contoh
penghinaan, sindiran dan sarkasme yang dilakukan oleh pembenci Nabi SAW
sebagaimana terpampang dalam al-Quran, disusuli perbincangan tentang apa yang
Allah SWT perintahkan kepada Nabi SAW dan para sahabat untuk lakukan.
Sebagai
contoh apabila diseru supaya beriman, mereka (kaum munafiq) menggelarkan para
sahabat yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya sebagai kaum yang bodoh
(al-Baqarah: 13), mereka juga menyebut terang-terangan akan bersama-sama dengan
kaum Yahudi jika mereka dihalau dan diperangi akibat melanggar perlembagaan
Madinah (al-Hashr: 11). Mereka mendustakan Rasul, angkuh dalam berpaling,
berkempen supaya tidak diberi harta kepada orang-orang yang bersama Rasulullah
SAW dan menyebut Rasulullah SAW sebagai hina (al-Munafiqun: 1, 5, 7, 8). Mereka
menyakiti Rasulullah SAW dan berkata Muhammad mendengar dan terima apa sahaja
yang didengar (al-Taubah: 61), dan pelbagai lagi ayat al-Quran yang
menceritakan perihal sindiran, fitnah dan pendustaan yang dilakukan mereka
terhadap Rasulullah SAW.
Demikian
juga beberapa contoh dalam hadis Nabi SAW, antaranya ialah apa yang
diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim tentang seorang lelaki yang telah
berkata kepada Rasulullah SAW, “Bersikap adillah wahai Muhammad, sesungguhnya
engkau tidak berlaku adil! …, Nabi SAW membalas, binasalah kamu, siapa lagi
yang adil kalau aku tidak adil?!” Umar al-Khattab RA menawarkan diri untuk membunuh
lelaki tersebut, lalu Rasulullah SAW melarang dan berkata: “Aku berlindung
dengan Allah dari perkataan manusia bahawa Muhammad membunuh para sahabatnya.”
Nabi
SAW Sebaik-baik Teladan
Perbuatan
menghina seseorang ialah suatu yang amat sensitif dan boleh menyebabkan
pergaduhan, apatah laki jika yang dihina itu suatu yang dianggap besar dan
mulia oleh sekumpulan manusia. Seterusnya, menarik jika kita turut
membincangkan beberapa contoh dari al-Quran dan al-Hadis sendiri berkenaan
bagaimana respon dan tindakan yang dilakukan terhadap apa-apa penghinaan.
Antara
yang paling jelas ketara jika ditinjau sirah Nabi SAW ialah, sekalipun kaum
munafiq khasnya dan selain mereka (antaranya sebahagian Yahudi di Madinah) yang
bertubi-tubi menyakiti Rasulullah SAW menerusi perkataan dan perbuatan, Nabi
SAW tidak memerintahkan para sahabatnya supaya mendiamkan para pencelanya,
begitu juga tidak memerintahkan supaya dibunuh golongan tersebut.
Malah,
jika dilihat dalam al-Quran, kebanyakan ayat menyuruh supaya berpaling dari
mereka, memaafkan, teruskan memberi pesan dan sebagainya, selain dalam beberapa
ayat Allah SWT sendiri yang menetapkan azab dan kehinaan di dunia dan di
akhirat terhadap para pencela Rasul-Nya.
Sebagai
contoh dalam surah al-Nisa’, selepas Allah SWT berbicara tentang sekumpulan
orang munafiq yang berpaling dari seruan Allah dan Rasul-Nya, selain
bersungguh-sungguh memalingkan manusia dari Rasulullah SAW (ayat ke-60-61),
datang kemudiannya perintahNya:
“…
oleh itu berpalinglah engkau
daripada mereka, dan nasihatilah mereka, serta katakanlah kepada mereka
kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati mereka.” (al-Nisa’: 63)
Semasa Allah membicarakan tentang
kekufuran mereka dan ejekan yang dilakukan terhadap ayat-ayat dari al-Quran
(al-Nisa’: 140), dalam ayat yang sama, Allah SWT berpesan:
“… maka janganlah kamu duduk
(bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang
lain.”
Apabila mereka menghasut supaya
tidak keluar berperang mempertahankan negara Madinah atas alasan musim panas
(al-Taubah: 81), Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya menjawab dalam ayat yang
sama:
“… Katakanlah (wahai Muhammad):
"Api neraka Jahannam lebih panas membakar", kalaulah mereka itu
orang-orang yang memahami.”
Demikian beberapa respon dan
tindakan Nabi SAW dalam berinteraksi dengan celaan, penghinaan dan pendustaan
yang dilakukan oleh beberapa golongan khasnya di Madinah. Kalau agama ini agama
yang memaksa dan berdendam, maka Rasulullah SAW boleh sahaja mendiamkan mereka
yang membantah, bahkan membalas dengan hukuman fizikal, sebagaimana beliau SAW
dan para sahabat hadapi di Makkah sebelum itu. Namun, sifat agama yang mulia
bukan begitu, kebodohan tidak perlu dilayan, sindiran tidak perlu diendahkan,
selagi tidak disertai dengan konspirasi pengkhianatan terhadap negara Madinah
dan cubaan menyakiti fizikal sesiapa dari kalangan Rasul SAW mahupun para
penduduk Madinah yang lain. Itulah agama dakwah dan pendidikan, agama yang
tidak membalas kejahatan dengan kejahatan yang lain, apatah lagi kejahatan
sehingga melibatkan pertumpahan darah.
Terdapat yang bertanya, kalau benar
itu interaksi dan respon Nabi SAW terhadap pihak yang menghina dan mencelanya,
bagaimana dengan kisah Ka’b bin Ashraf yang telah dibunuh oleh Muhammad bin
Maslamah dan Abu Na’ilah kerana menyakiti Allah dan Rasul-Nya. Bukankah
Rasulullah SAW sendiri yang telah mengizinkan pembunuhan tersebut? Persoalan
ini wajar dijawab dan difahami dengan baik, kerana sebahagian pihak berpegang
dengan peristiwa ini dalam memfatwakan pembunuhan orang yang menghina
Rasulullah SAW.
Jika dibuka teks-teks sejarah dan dilihat
dengan teliti[1],
Ka’b bin Ashraf bukan semata-mata menghina dan menyakiti dengan perkataan,
bahkan Ka’b bin Ashraf yang merupakan seorang Yahudi di Madinah telah pergi ke
Makkah selepas peristiwa perang Badar yang menyaksikan kekalahan tentera
Quraisy Makkah, Ka’b telah menyeru tentera Quraisy untuk menyerang tentera
Muslim di Madinah. Apa yang paling jelas, ini merupakan pengkhianatan seorang
warganegara terhadap negara sendiri sedangkan perlembagaan negara Madinah
mewajibkan semua pihak mempertahankan negara Madinah, saling bekerjasama
membangunkan Madinah dan tidak berkomplot dengan pihak musuh. Kalau dalam
konteks dunia hari ini, ia ibarat seorang warganegara A telah berpakat dengan
pembesar negara B untuk membalas dendam menyerang tentera negara A (yang
merupakan negaranya sendiri), sudah tentu ia tidak boleh dibiarkan kerana
bahaya akan menimpa negara dan seluruh penduduk sesebuah negara. Oleh itu,
Kisah Ka’b bin Ashraf ada faktor lain di luar faktor “penghinaan” semata-mata.
Akhlak Dalam Berinteraksi
& Kepentingan Melihat Implikasi
Al-Shaykh al-Maqasidi Dr Ahmad
al-Raisuni[2]
dalam bukunya al-Kulliyyat al-Asasiyyah Li al-Shariah al-Islamiyyah (hlm.
141-145, terbitan Dar Ibn Hazm) menganggap bahawa memaafkan “memaafkan” dan
“tidak mengendahkan” ialah antara asas dalam akhlak berinteraksi terhadap golongan
di atas, beliau memetik kata Allah SWT:
“… Dan engkau (wahai Muhammad)
sentiasa dapat melihat perbuatan khianat yang mereka (kaum Yahudi) lakukan,
kecuali sedikit dari mereka (yang tidak berlaku khianat). Oleh itu, maafkanlah
mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan, kerana
sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berusaha supaya baik
amalannya.” (al-Maidah: 13)
Begitu juga kata Allah SWT dalam
surah (al-Shura: 43):
“Dalam pada itu (ingatlah), orang
yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang
demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat
(melakukannya).”
Sudah tentu memaafkan dan tidak
membalas kebodohan dengan kebodohan yang serupa bukan bererti ia terhenti
setakat itu sahaja. Namun ia turut disertai seruan untuk menjawab tohmahan,
menyampaikan peringatan dan sebagainya (sebagaimana terlihat dalam ayat-ayat
yang telah disebut di atas). Apabila ia merupakan asas, bererti perbuatan ganas
tertolak serta-merta.
Melihat implikasi (al-Ma’alat)
yang dijangka menerusi apa-apa tindakan ialah suatu yang sangat dituntut.
Contoh-contoh praktikal Nabi SAW dalam mengambil kira implikasi sesuatu
perbuatan sangat banyak dalam Hadis, seperti menangguhkan pembaikpulihan binaan
Kaabah di tempat asalnya kerana bimbang umat Islam yang baru meninggalkan ajaran
lama mereka berasa musykil lalu meninggalkan Islam, mengarahkan sahabat supaya
tidak memanjangkan bacaan dalam solat semasa menjadi imam supaya manusia tidak
bosan lalu tidak hadir ke masjid dan sebagainya.
Begitu juga dalam konteks
perbincangan kita dalam tulisan ini, apa-apa tindakan dalam merespon celaan dan
penghinaan sesetengah pihak terhadap hal-hal asas agama Islam dan Nabi Muhammad
SAW, haruslah dilihat pelbagai pertimbangan, dan bukannya menerusi kebodohan
melulu. Tulisan lawannya tulisan, kartun lawannya kartun, filem lawannya filem
dan sebagainya. Namun begitu, kartun, tulisan, filem yang mengandungi
kebodohan, fitnah dan sarkasme tidak perlu dibalas dengan kebodohan yang sama,
sebaliknya dijawab dengan menerangkan hal yang sebenar, atau dihasilkan tulisan
dan filem yang mengajak kepada keharmonian dalam hidup jamak budaya dan agama.
Konklusi
dan Refleksi
1) Kebebasan mestilah
berlangsung dengan penuh kesedaran sivik dan bertanggungjawab. Tidak wajar
untuk saya meluru kepada seseorang, kemudian mencela dirinya dan ibu bapanya,
seterusnya berlalu begitu sahaja atas alasan itu kebebasan saya. Juga tidak
pelik jika saya ditumbuk, dicederakan atau dikenakan tindakan agresif selepas
itu. Demikian kita wajar guna hak untuk berfikir, sebelum hak untuk berkata-kata
dan beraksi.
2)
Kebodohan tidak seharusnya dibalas dengan kebodohan, dan
lebih-lebih lagi apa-apa kebodohan tidak seharusnya dibalas dengan pertumpahan
darah. Sangat wajar untuk kita renung bagaimana respon lazim Nabi SAW semasa
berhadapan dengan para pencelanya. Kalau ada Muslim yang terlalu bersemangat,
siapa yang lebih bersemangat dalam memelihara maruah Nabi SAW lebih dari para
sahabat dan Umar al-Khattab? Umar al-Khattab dan para sahabat sendiri telah
dipesan Nabi SAW menerusi katanya, “… supaya manusia tidak berkata bahawa
Muhammad telah membunuh para sahabatnya.”
3)
Menjaga kemuliaan Nabi SAW merupakan salah satu tanggungjawab
seseorang Muslim dan ia bukan berlaku dengan berteriak di jalanan melaungkan
slogan itu ini sahaja, tapi membangunkan masharakat Muslim dari segi
intelektual, spiritual dan material juga salah satu bentuk memelihara kemuliaan
Nabi SAW. Demikian juga, kita mesti bersedia mengakui bahawa kewujudan IS (Islamic
State) juga salah satu bentuk penghinaan terhadap Nabi SAW, oleh itu
bersikap jelas dan menangani IS juga salah satu bentuk memelihara maruah Nabi
SAW.
4) Memaafkan
dan berpaling tidak mengendahkan sindiran ialah salah satu akhlak yang sangat
mulia dan dipesan beberapa kali dalam al-Quran sebagaimana telah disebut dalam perenggan-perenggan
di atas. Memaafkan tidak bermaksud terhenti setakat itu sahaja, namun ia turut
disertai usaha untuk membetulkan salah faham terhadap Islam dan Rasulullah SAW
sama ada menerusi ucapan, tulisan, filem dan sebagainya. Suatu yang tidak dapat
dielakkan apabila berbicara tentang Islam ialah Islam mempunyai hubungan yang
amat erat dengan dakwah dan pendidikan.
5)
Hidup dalam masyarakat yang jamak agama dan budaya, sangat penting
untuk kita mempelajari dan mengambil tahu tentang doktrin-doktrin asas agama
lain, supaya kita sendiri boleh menghormati keyakinan mereka, sambil kita tegas
dan beramal dengan keimanan kita. Bagaimana bisa kita praktikkan Li ta’arafu (saling berkenalan) jika kita kita
tidak saling pelajari? Juga bagaimana bisa kita dengungkan Lita’arafu sekiranya kita tidak saling
menghormati? Tuntasnya, kita sendiri mesti mengubah sikap kita untuk saling
mengambil tahu mengenai budaya penganut agama lain khasnya yang tinggal di
tanah air kita sendiri.
6)
Dakwah ialah asas yang kekal, tindakan undang-undang (jika relevan
pun) hanyalah salah satu wasilah yang berubah-ubah untuk merawat, bukan
sebaliknya. Oleh itu atas semangat apa yang ditunjukkan teladan oleh al-Quran
dan al-Sunnah, saya secara peribadi sangat menekankan kekuatan masharakat sivil
untuk mendidik manusia meninggalkan perbuatan menghina kepercayaan orang lain.
Pertama, masharakat sivil dari pelbagai agama atas semangat “komuniti beragama”
(community of faith), kedua ialah dari kalangan
pertubuhan-pertubuhan Muslim sendiri. Sebahagian pihak sangat teruja untuk
menggunakan kekuasaan dalam menangani hal sebegini, walhal kekuasaan dalam hal
kepercayaan hanya mengembang biak kemunafikan dan iman yang penuh
kepura-puraan.
7)
Kita mengecam pembunuhan yang berlaku di Perancis,
dalam masa yang sama juga kita mengecam dan mengajak dunia untuk sama-sama
membantah dan prihatin terhadap apa yang berlaku di Syria, Myanmar, Afrika
Tengah, Abu Ghraib dan sebagainya. Darah dan maruah setiap manusia sangat
bernilai dan harus dipelihara tanpa mengira warna kulit, keturunan dan agama.
“…
bahawasanya
sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan
membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka
seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga
keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga
keselamatan hidup manusia semuanya.” (al-Maidah: 32)
[1]
Safiyurrahman al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, cetakan ke-20, 2009, Dar
al-Hadis: Mansurah, hlm 220-222. Lihat juga Muhammad al-Ghazali, Fiqh al-Sirah,
cetakan pertama, Dar al-Qalam, 2006: Damsyik, hlm. 249-251. Ibn Kathir, Tafsir
al-Quran al-‘Azhim, cetakan pertama, 2002, Dar al-Manar: Kaherah, jilid 1: hlm.
496-497. Ibn ‘Ashur, al-Tahrir wa al-Tanwir, Dar al-Suhnun: Tunisia, jilid 2:
hlm 86 (semasa tafsir ayat ke-51 surah al-Nisa’), begitu juga dalam pelbagai
teks hadis, sejarah dan tafsir yang lain, sama ada silam mahupun semasa.
[2]
Ahmad al-Raisuni, al-Kulliyyat al-Asasiyyah Li
al-Shariah al-Islamiyyah, cetakan
pertama, 2010, Dar Ibn Hazm: Jeddah, hlm 141-145. ‘Allal al-Faasi juga
ada pandangan hampir serupa dalam bukunya Maqasid al-Shariah al-Islamiyyah wa Makarimuha,
tahqiq Dr Ismail al-Hasani, cetakan pertama, 2011, Dar al-Salam: Kaherah, hlm.
306-314.