Menjernihkan Bala dengan Mendemokrasikan Media
Memulakan tulisan ini, saya ingin menyebut secara ringkas beberapa nama akhbar yang pernah menggegarkan dunia anti-kolonialisme satu ketika dahulu. Akhbar-akhbar tersebut ialah seperti al-‘Urwa al-Wuthqa yang telah diasaskan oleh Jamaluddin al-Afghani yang merupakan salah seorang tokoh umat Islam yang tegas menentang kebiadapan sang penjajah pada abad ke-19. Al-‘Urwa al-Wuthqa menjadi titik pemula kepada keseriusan umat manusia di Asia dan Afrika untuk menyusun gerakan anti-kolonialisme pada masa itu. Sin Ch’ao (New Tide) pula menjadi sebuah jurnal yang mengetuai Gerakan 4 Mei di China pada awal abad ke-20. Pada masa yang sama, majalah Pujangga Baru telah menyemarakkan lagi gerakan rakyat menuntut kemerdekaan di Indonesia. Selain itu, beberapa dekad sebelumnya, British telah digeruni oleh beberapa penerbitan berpengaruh seperti Kesari, Bengali dan Indu Prakash yang berpusat di India.
Tanah Melayu juga tidak sunyi daripada gerakan kewartawanan seperti ini apabila al-Imam telah berupaya membangkitkan rasa cinta akan tanah air dalam kalangan masyarakat Melayu pada waktu itu. Malahan, akhbar Utusan Melayu juga telah menjadi fenomena yang sangat mengesankan dalam jiwa masyarakat Melayu dalam memperjuangkan kemerdekaan dan kedaulatan tanah air pada era penjajahan dan awal pasca kemerdekaan. Namun demikian, akhbar Utusan Melayu kemudiannya telah terikat dengan kerajaan, dan lama kelamaan, kebebasan dan aura perjuangan atas prinsip kebenaran telah merosot teruk dalam kamus media cetak tersebut. Said Zahari pernah menceritakan beberapa kisah benar beliau sepanjang beliau berkecimpung dalam dunia kewartawanan sehinggalah beliau ditahan ISA dalam buku beliau yang bertajuk, “Meniti Lautan Gelora”.
Media,kewartawanan dan fasikisme
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Hujurat, ayat ke-6:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
Prinsip tabayyun (menyelidik) telah dijelaskan oleh Allah s.w.t sebagai benteng untuk mengelakkan umat Islam daripada terjerumus ke lembah pembohongan, fitnah dan malapetaka. Kelalaian kita daripada menyelidik sesuatu berita itu akan menyebabkan kerugian kepada seluruh umat manusia tanpa mengira agama dan bangsa. Dalam konteks Malaysia pada hari ini, peringatan Allah ini menjadi sangat penting terutama apabila melibatkan media dan campur tangan politik berkepentingan. Lihat sahaja tajuk-tajuk yang menghiasi dada-dada akhbar pada hari ini, sangat memualkan, lucah dan sangat cenderung untuk berlaku fitnah. Fi’il sebegini digelar oleh al-Quran (surah al-Qalam,ayat ke11) sebagai Hammazin masysya-in bi namiim yang membawa maksud, “suka mencela, lagi suka menyebarkan fitnah (untuk memecah belahkan orang ramai).”
Inilah keburukan dan ancaman buat media pembohong dan pembawa fitnah, sama ada media cetak ataupun media elektronik. Masih tidak ramai yang cakna dan ambil peduli bahawa setiap tulisan, rakaman video dan segala macam bahan yang boleh disebarkan bakal mengakibatkan dosa yang berkekalan, sebanyak mana manusia yang mengambil “manfaat” daripada bahan tersebut. Sebagai contoh, apabila seorang wartawan menyebarkan berita bohong, lantas dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, dan kemudiannya berita tersebut disebarkan menerusi sms, emel dan sebagainya, ketahuilah bahawa dosa semua yang terlibat itu akan kembali kepada pemula berita tersebut.
Sebagaimana terdapat dalam satu firman Allah (surah al-Baqarah, ayat ke-79):
“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah kalam Allah Dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: "Ini ialah dari sisi Allah", supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.”
Ayat di atas secara jelasnya memaparkan celaan Allah s.w.t kpd kaum Yahudi yang terlibat dalam mengubah ayat-ayat Allah, lantas kemudiannya kitab edisi ubahan itu akan tersebar dan sambil dinyatakan bahawa kitab itu benar dan merupakan kalamullah. Pembohongan tersebut sangat besar kerana ia akan terus dibaca dan tersebar. Maka sekalian penulis, wartawan, media dan seumpamanya sewajarnya berhati-hati dalam menyebarkan apa-apa bahan. Dibimbangi akan menjerumuskan kita ke dalam kemurkaan Allah s.w.t.
Ruwaibidhoh dan zaman putar-belit
Napoleon Bonaparte dilaporkan pernah menyebut:
“Four hostile newspapers are more to be feared than a thousand bayonets.”
Kata-kata ini ringkas, namun sangat realistik dan berbetulan dengan sebuah kata-kata:
“Fitnah itu tidur, Allah melaknat sesiapa yang mengejutkannya.”
Hostile newspapers sebagaimana dinyatakan oleh Bonaparte sudah tentu akan mencelakakan hidup manusia, dan fitnah yang dicipta dan disebarkan merupakan malapetaka yang besar menurut Islam.
Dalam satu hadis berkenaan akhir zaman (riwayat al-Hakim, disahihkan oleh az-Dzahabi), nabi saw pernah menyebut:
“Sesungguhnya sebelum kemunculan Dajjal (dalam riwayat lain,sebelum as-sa-‘ah), adanya tahun-tahun yang menipu daya. Orang yang benar akan dikatakan sebagai dusta, manakala pendusta akan dikatakan sebagai benar. Orang yang beramanah akan dikatakan sebagai khianat, manakala pengkhianat akan dikatakan sebagai beramanah. Dan Ruwaibidhah akan berkata-kata.”
Sahabat bertanya, siapakah Ruwaibidhoh wahai Rasulullah? Maka baginda bersabda, “orang bodoh yang bercakap mengenai urusan umat.”
Inilah zamannya, zaman di mana kebenaran itu bisa dimansuhkan dengan menggunakan media. Islamophobia tercipta dan disalah fahami di seluruh dunia pun disebabkan media yang menyebarkannya tanpa neraca keadilan. Pejuang Palestin yang digelar sebagai pengganas, juga disebabkan media yang menyebarkan gelaran tersebut. Malah kezaliman para pemerintah di dunia Barat, menjadi sakral pun disebabkan media yang menyembunyikan keaiban dan membesar-besarkan jasa mereka. Kebenaran dan kebatilan telah berselerak, sementara amanah dan pengkhianatan pula makin tidak jelas siapa yang mendokongnya.
Lihat sahaja apa yang berlaku di media Malaysia, media yang menjadi wahana rakyat mendapatkan berita dan memangkin budaya tabayyun dan cerdas akal, telah hancur berkecai disogok pemimpin takabbur berlagak tuhan. Demi Tuhan, bencana ini lebih dahsyat daripada bencana alam, malahan inilah jemputan daripada manusia kepada alam supaya bala datang menyondol alam.
Pendemokrasian media
Bencana kebebasan dan demokrasi yang sedang berlaku seolah-olah merupakan satu panggilan kecemasan (emergency call) betapa sudah tiba saatnya untuk agenda pendemokrasian dan kebebasan media digerakkan secara serius dan serta-merta. Apalah guna kita mendokong idea demokrasi sekiranya ciri-ciri utamanya sendiri telah dinafikan oleh kita.
Rachid Ghannoushi telah menyatakan dalam bukunya, al-Hurriyah al-‘Ammah fi al-Daulah al-Islamiyyah:
“Demokrasi bukan sekadar proses pemindahan kuasa kepada rakyat dan juga bukan satu deklarasi keluhuran perlembagaan bagi sesebuah negara. Peri pentingnya demokrasi adalah berpaksi kepada kemuliaan insan (dignity of man). Manusia mempunyai hak-hak yang dapat mempertahan kemuliaan diri, menjamin hak untuk berpartisipasi dalam pentadbiran awam, dan dalam masa yang sama manusia dapat membuat tekanan dan mempengaruhi penguasa-penguasa, dan terjamin selamat dari sebarang tekanan dan kezaliman.”
Sementara itu, Dr Hasan Abdullah al-Turabi pula menegaskan:
“Adalah benar demi kebaikan hidup manusia dipertingkatkan usaha-usaha demokrasi, di sini, saya maksudkan prinsi-prinsip keadilan, kebebasan dan toleransi yang bertambah, inilah makna demokrasi iaitu satu jaminan hidup antara manusia dan alam maya.”
Pengamal media sewajarnya lebih bertanggungjawab dan peka beberapa prinsip teras yang melatari demokrasi, mereka tidak perlu syok sendiri menjadi barua kepada mana-mana pihak, sama ada kerajaan atau pembangkang, lantas mewujudkan satu budaya fitnah dan pembohongan. Prinsip demokrasi wajar dijunjung bersama-sama, barulah landskap politik yang sihat akan wujud. Rakyat juga sewajibnya mengamalkan prinsip tabayyun dalam menilai apa-apa berita, memandangkan ini merupakan zaman di mana sekiranya ada sepuluh berita, hanya satu yang boleh dipercayai, sementara selebihnya hanya layak diingkari.
Saya memetik dua bait syair daripada Bapak Hamka yang saya kira sangat indah untuk diteladani:
“Pun banyak pula penjual negeri
Mengharap emas perak bertimba
Untuk keuntungan diri sendiri
Biarlah bangsa menjadi hamba
Sakitnya bangsa bukan di luar
Tapi terhunjam di dalam nyawa
Walau diubat walau ditawar
Semangat hancur apakan daya”
Semoga bencana media ini tidak akan berterusan membuat durjana.
0 comments:
Post a Comment