Wednesday, 5 October 2011

Menilai Kembali Negara Islam (Siri 1)

*Artikel ini tersiar di al-ahkam.net (siri kedua sudah siap dan akan disiarkan kemudian)



Sejak kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah pada awal abad ke-20, umat Islam seakan-akan hilang arah. Kejatuhan Khilafah dianggap sebagai sangat bermasalah sekalipun umat Islam sudah bermasalah beratus-ratus tahun yang lampau dalam keadaan mereka “dipayungi” Khilafah. Pada awal abad ke-20 itu juga kegiatan kolonialisasi oleh golongan Barat berlaku dengan hebat, bumi umat Islam difaraidkan sesuka hati antara mereka, dan hal ini sangat menggusarkan cendikiawan Islam pada masa itu.

Lantas Syeikh Rasyid Redha yang sangat berpengaruh pada masa itu mengajak umat Islam untuk mendirikan Dawlah Islamiyyah (Islamic State) dan Khilafah. Para pengkaji menyifatkan istilah Dawlah Islamiyyah mula tercetus pada zaman tersebut, sebagai reaksi terhadap asakan demi asakan yang menimpa umat Islam pada masa itu.

Rasyid Redha merupakan murid Imam Muhammad Abduh, dan Abduh merupakan penggerak Pan-Islamisme bersama-sama Jamaluddin al-Afghani sejak lewat abad ke-19. Terdapat pengkaji sejarah yang menyatakan bahawa Pan-Islamisme asalnya dicetuskan oleh Sultan Abdul Hamid, adapun perjuangannya lebih jelas kelihatan pada jasad mereka berdua.

Ketika itu juga kemunculan Imam Hasan al-Banna yang dianggap oleh kebanyakan ulama’ sebagai mujaddid dan penghidup era baru umat Islam. Gerakannya iaitu al-Ikhwan al-Muslimun sangat berpengaruh di seluruh dunia pada masa itu. Al-Banna juga telah menjadi sosok penting kepada sekalian umat Islam yang merupakan figur kebangkitan dan perjuangan.

Sejarah kebangkitan umat Islam cukup panjang dan hingga kini masih diulang-ulang. Apa yang saya perasan, salah satu reaksi penting umat Islam pada zaman tersebut ialah dengan memainkan sensitiviti pada Istilah dan Agama.

Slogan “al-Islam huwa al-haal” (Islam sebagai penyelesaian) dan “Islam minhaj al-hayah” (Islam Sistem Hidup)” telah berkumandang di sana-sini, sebagaimana Rasyid Redha mendengungkan istilah Dawlah Islamiyyah sebelum itu. Desakan demi desakan wujud, gerakan demi gerakan menggunakan nama Islam tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Barangkali, persaingan sengit antara kumpulan Islamis dan kolonialis (termasuk tali barut kolonial) menyebabkan terciptanya “Wittsgensteinian”– persoalan kekeliruan istilah dan perbedaan dalam penggunaan bahasa – ataupun disebut Dr Tariq Ramadhan sebagai “terminological haze” (kekaburan istilah) dalam beberapa persoalan penting.

Pada hemat saya, antara kekaburan yang ketara telah wujud pada masa itu ialah perihal hubungan antara Agama dan Negara. Bertitik tolak daripada kekaburan inilah, umat Islam lebih banyak melaungkan slogan “Islam sebagai penyelesaian” berbanding menyediakan pelan strategik “bagaimanakah bentuk penyelesaian itu?”

Malangnya persoalan “bagaimanakah” (how) itu dijawab dengan premis “Islam sebagai penyelesaian” dan “Islam sebagai sistem hidup”. Terang lagi bersuluh, umat Islam telah terperangkap dalam polemik slogan dan istilah semata-mata.

Meletakkan urusan kenegaraan dalam bab ‘aqidah adalah sebagaimana Khawarij yang mengakibatkan mereka galak mengkafirkan kumpulan yang tidak sehaluan dengan merekaMembedakan antara urusan Agama dan Negara

Tindakan sesetengah Islamis yang merujuk urusan kenegaraan dan pemerintahan dalam bab ‘aqidah telah menyebabkan perdebatan soal Islam dan kenegaraan pada masa itu terjebak dalam gejala takfir, begitu juga kewujudan kumpulan Islam yang merujuk urusan kenegaraan dalam bab ibadah khusus menyebabkan politik Islam teramat kaku dan jumud.

Meletakkan urusan kenegaraan dalam bab ‘aqidah adalah sebagaimana Khawarij yang mengakibatkan mereka galak mengkafirkan kumpulan yang tidak sehaluan dengan mereka.

Adapun tindakan meletakkan urusan kenegaraan dalam bab ‘ibadah berlawanan dengan keluasan sains politik Islam (siyasah syar’iyyah), kerana “asal dalam ‘ibadah ialah tawaqquf hinggalah ada dalil yang membenarkan.”
Justeru menyebabkan kewujudan sesetengah ilmuan Muslim yang menghukum beberapa ijtihad baru dalam soal politik sebagai bid’ah sedangkan tiada istilah bid’ah dalam urusan kenegaraan, juga lebih dahsyat mereka menolak penentangan terhadap rejim zalim dan penerapan demokrasi gara-gara tafsiran mereka bahawa urusan kenegaraan sama seperti fiqh ibadah.

Saya tidak menafikan bahawa segala amalan kita merupakan ‘ibadah (asalkan mempunyai niat) dan persoalan ‘aqidah merupakan soal pokok dalam beragama, sebaliknya saya mengkritik pengitlakan (generalisasi) hingga menjadikan urusan kenegaraan sangat jumud dan sempit dan tidak dibincangkan menurut sudut yang sewajarnya.

Kita bisa melihat banyak peristiwa pada zaman Nabi di mana para sahabat akan bertanya Baginda: “Adakah ini wahyu?” sebelum memberikan pandangan sebagaimana berlaku peristiwa perubahan strategi tentera Islam dalam perang Badar, melibatkan Baginda dan Hubbab bin Munzir.

Selain itu, Rasulullah mendahulukan musyawarah dalam banyak hal (khasnya melibatkan bab mu’amalat) kecuali melibatkan pensyariatan (‘aqidah dan ibadat). Baginda tidak mudah menjustiikasikan dirinya selaku seorang Nabi untuk memaksa penerimaan terhadap pandangan Baginda. Malahan peristiwa dalam perang Uhud di mana baginda telah menerima suara majoriti (yang mahu tentera Islam keluar dari Madinah) berbanding pandangan peribadi Baginda (yang mahu menyerang dari dalam Madinah).

Tidak terkecuali, hadis Ghilah (menyetubuhi isteri yang masih menyusukan anak) yang terdapat dalam sahih Muslim (sila rujuk sahih Muslim pada hadis ke-2612, 2613 dan 2614), di mana Baginda menolak untuk melarang amalan “ghilah” setelah mendapati masyarakat Rom dan Parsi tidak menerima mudarat menerusi praktikal tersebut (adapun masyarakat Arab pada masa itu menganggapnya sebagai memudaratkan).

Jelas keterbukaan Nabi dalam urusan muamalat, tiada salahnya mencontohi kaum lain selagimana mendatangkan maslahah umum (public interest) kepada masyarakat. Dr Jasser Auda (penulis buku Maqāsid al-Sharī`ah wal-Ijtihad: Buhuth Manhajiyah wa Namādhij Tatbīqīah (Purposes and Reasoning in the Islamic Law)) memberikan komentar berikut berhubung hal ehwal pemerintahan sebelum mendatangkan hadis ghilah tersebut sebagai contoh.

Kata beliau: “ there are many issues that generally fall under the category of ‘worldly affairs’ (shu’oon al-dunya) that Islam did not give a specific and clear guideline for, and governance style is one of these issues”.

Terjemahan: [“terdapat banyak isu yang jatuh di bawah kategori 'urusan duniawi' (shu’oon al-dunya) yang Islam tidak memberikan sebarang panduan yang terperinci dan khusus dan urusan tadbur urus adalah salah satu darinya.”]

Katanya lagi: “Worldly affairs’ (Shu’oon al-dunya) are ‘technical’ issues that the Prophet (s) left for us, and even stated that we could make better decisions than him in these areas.”

Terjemahan: [“Urusan duniawi (shu’oon al-dunya) adalah isu teknikal yang Rasulullah SAW serahkan kepada kita, malahan menyatakan bahawa dalam ruang lingkup itu kita mampu membuat keputusan yang lebih baik daripada beliau.”]



Negara Agama?

Atas dasar inilah (beserta banyak lagi contoh yang lain), urusan agama dan negara hendaklah dibedakan supaya tidak berlaku percampuran dan pertindanan tugasan antara kedua-duanya hingga menyebabkan penyalahgunaan kuasa atas nama agama. Semua pihak berebut menonjolkan diri siapa yang lebih Islamik daripada segi jenama dan slogan hingga menenggelamkan konsep asal antara Agama dan Negara.

Selain Saadeddine Othmani, penulis dan pemimpin Parti Keadilan dan Pembangunan Maghribi (Morocco's Party of Justice and Development ) yang menulis buku Tamyiz la Fasl bayna al-Din wa al-Siayasah (Perbedaan dan Bukannya Pemisahan Antara Agama dan Negara), para sarjana lain termasuk Dr Muhammad Imarah dan Shaykh Ghannouchi juga menyatakan hal sedemikian – berkenaan pembedaan antara urusan agama dan negara.

Justeru tiada konsep negara agama dalam Islam sebagaimana berlaku terhadap negara gereja di Barat sebelum tercetusnya Renaissance dahulu kala. Niccolo Machiavelli dalam buku terkenalnya, “The Prince” turut menulis mengenai penglibatan kerajaan agama pada abad ke-15, misalnya melibatkan watak Alexander VI, pemimpin tertinggi gereja yang telah menjatuhkan paderi muda, Savoranola daripada takhta kerajaan Florence di negara Itali.

Savoranola akhirnya meninggal setelah diseksa teruk menerusi inkuisisi (inquisition). Inkuisisi merupakan salah satu senjata mahal pemerintahan gereja dalam menolak pandangan dan gerakan yang bertentangan dengan mereka. Pemonopolian kebenaran, pemusatan kuasa dan pemasungan kebebasan bersuara bermaharajalela sepanjang berkuasanya kerajaan gereja. Inkuisisi dihuraikan lanjut oleh banyak sarjana Barat, antaranya ialah Henry Charles Lea menerusi bukunya, A History of the Inquisition of Spain.

Apa Sebenarnya Demokrasi Islam?

Dr Azzam TamimiDr Azzam Tamimi memetik pandangan Ghannouchi dalam bukunya berkenaan biografi pemikiran Ghannouchi , “Rachid Ghannouchi: A Democrat Within Islamism” dengan katanya:

“The transformation, in many civilizations, of religion into an institution that monopolizes the interpretation of religious texts, and that speaks in the name of God, had tempted monarchs to exploit the expanding influence of the religious institution so as to bestow sanctity on their own authorities.”

Terjemahan: [“Transformasi agama menjadi institusi yang memonopoli tafsiran teks-teks agama dan bersuara bagi pihak Tuhan dalam kebanyakkan tamadun , telah memikat raja-raja untuk mempergunakan pengaruh institusi agama yang semakin meluas demi mengurniakan kesucian kepada autoriti mereka sendiri.”]

“Gradually, the will of a monarch had become the will of God, and the rule of law had become confused with the will of the ruler, who from then on had no hesitation to proclaim “I am the state, I am the shadow of God on earth. In what amounted to be a race for power and influence, clergymen claimed that they alone speak for religion. The result was catastrophic for both religion and politics. Such was the foundation of despotism.”

Terjemahan: [“Sedikit demi sedikit kehendak raja-raja menjadi kehendak Tuhan, dan berlaku kekeliruan antara kedaulatan undang-undang dan kehendak pemerintah, yang tidak pernah ragu-ragu untuk mengisytiharkan "Aku adalah negara, aku adalah bayangan Tuhan di bumi. Di dalam apa yang menjadi suatu perlumbaan merebut kuasa dan pengaruh, paderi-paderi mengdakwa mereka sahaja yang berhak bersuara dalam urusan agama. Hasilnya adalah malapetaka kepada agama dan juga politik. Itulah dasar kepada terbentuknya despotisme..”]

Berikanlah kepada Kaisar apa yang wajib kamu berikan kepada Kaisar dan kepada Tuhan apa yang wajib kamu berikan kepada Tuhan. (Matius 22:21)Ironinya kedapatan sesetengah penulis bab Islam dan kenegaraan cuba menjustifikasikan negara agama dengan dalil bersumberkan Bible sebagai bukti betapa Islam berbeda dengan Kristian, “Render unto Caesar that which is Caesar’s and render unto God that which is God’s “(Matthew 22:21).

Terjemahan: [Berikanlah kepada Kaisar apa yang wajib kamu berikan kepada Kaisar dan kepada Tuhan apa yang wajib kamu berikan kepada Tuhan.] (Matius 22:21)

Tatkala mereka menolak ayat tersebut atas dakwaan sekular, mereka mempraktikkan sekular (yang difahami mereka sebagai pemisahan antara pemerintahan dan agama) dengan mengasingkan antara kuasa raja dan agama. Raja berkuasa mutlak dengan hujah “ketaatan hanya pada perkara yang makruf sahaja, tiada ketaatan pada perkara dosa”.

Malangnya dosa ditakrifkan dengan had yang sangat sempit, lantas mengkritik secara terbuka kesalahan pemerintah menjadi dosa sementara tindakan pemerintah mengumpul kekayaan dan melakukan penyelewengan tidak pula disebut sebagai dosa.

Mereka mengasingkan antara agama dan negara apabila arahan agama supaya “melawan pemerintah yang zalim, menghisbah kekayaan pemerintah, membela golongan yang ditindas pemerintah” telah ditolak semata-mata kerana mahu mengutamakan pemerintah. Bak kata Abdel Wahab el-Affendi ketika mengulas persoalan ini, “Sewaktu umat Islam menolak prinsip-prinsip sekularisme, mereka sebenarnya mengangkat sekularisme di dalam amalan!”

*Lihat sambungannya di sini.

2 comments:

Anonymous,  5 October 2011 at 21:55  

terima kasih di atas artikel ini. baru sahaja berdiskusi dengan rakan sekerja tentang negara Islam. tampaknya, apa yang saudara katakan tentang "meletakkan urusan kenegaraan dalam bab ‘aqidah" itu terlihat di dalam hujah beliau.

artikel ini juga menyentuh tentang satu perkara yang sering bermain dalam fikiran saya apabila disebut mengenai negara theocracy iaitu semua arahan & tindakan pihak kerajaan adalah intepretasi kehendak Tuhan! saya mengerti mengapa ramai orang memilih sekularisme.

Yevi Yusnanda Usman 26 November 2012 at 18:17  

terima kasih pak,,semoga tulisannya bermanfaat

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP