Revolusi Pasca-Islamisme (Bahagian 1)
*Tulisan ini turut tersiar di laman al-ahkam.net dan laman rasmi Islamic Renaissance Front.
Asef Bayat
Pada Mei 1996, seorang sosiologis bernama Asef Bayat telah menyampaikan satu syarahan di American University, Kaherah dengan sebuah perbincangan bertajuk “The Coming of a Post-Islamist Society” (Salah satu tajuk dalam buku Critique: Critical Middle East Studies, no. 9 (Fall 1996), m.s 43-52). Syarahan yang disebar sebagai sebuah esei sederhana panjang itu membincangkan kemunculan satu era baru bagi kelompok Islamis, khususnya melibatkan Negara Iran yang menjadi tumpuannya dalam esei itu.
Ciri-ciri sebelum Pasca Islamisme
Sebelum menjelaskan apakah itu pasca-Islamisme, Bayat menjelaskan beberapa ciri umum dalam masyarakat dan pemerintahan era Islamisme. Antaranya ialah struktur pemerintahan yang berasaskan kepemimpinan ulama’ dan teori vilayat-i-faqih sebagai menggantikan rejim despotic Shah Iran, selain beberapa ciri dan simbol penting sesebuah negara seperti bendera dan lagu kebangsaan. Keinginan untuk mengIslamkan negara pada masa itu telah menyebabkan berlakunya interaksi secara “atas-bawah” iaitu secara pemaksaan arahan dan undang-undang.
Pada awal 1980-an, undang-undang mewajibkan hijab telah dilaksanakan dan ia dianggap sebagai antara tindakan yang paling drastick pada masa itu selain beberapa persoalan sosial seperti poligami, hak penjagaan anak, hak suami untuk menceraikan dan hal-hal lain berlangsung tanpa seimbang dengan perbahasan keadilan gender.
Sementara itu kebanyakan undang-undang yang berjalan pada zaman Shah Iran telah dibuang dan digantikan dengan undang-undang Islam. Secara mudahnya, era Islamisme yang dimaksudkan Bayat telah berlangsung dalam semua segi secara kuasa dan revolusi Iran 1979 umpama satu anjakan radikal dalam mengIslamkan negara.
Secara umum, Bayat telah memberikan contoh ide dan praktis dengan memberikan gambaran fizikal Iran dalam membahaskan era sebelum pasca-Islamisme tatkala beliau mengungkapkan kata-kata ini:
“For a long time during the early 1980s, the maktabis view was quite predominant, Islam was considered a complete social, economic, political and moral system that had answers to all human problems. It was up to the “true” Muslims, through resiliency and commitment, to discover them. Such a monopolization of truth meant that there was no room for the coexistenceof competing views or systems. Islamism was exclusivist and intolerant of pluralism.”
(Dalam jangkawaktu yang lama semenjak awal tahun 80-an, aliran maktabi atau kelompok agamawan adalah amat dominan. Islam di anggap sebagai sistem yang lengkap dengan sistem sosial, ekonomi, politik dan moral yang mampu memberi jawapan kepada kesemua persoalan duniawi. Ia hanya bergantung kepada Muslim “sebenar” yang mempunyai daya ketahanan dan bersifat komited untuk menemuinya. Sikap pemonopolian kebenaran itu bermakna bahawa tiada sebarang ruang bagi sebarang aliran atau sistem lain untuk bersaing. Islamisme merupakan sesuatu yang ekslusif dan tidak toleran sama sekali terhadap pluralisme.)
Namun demikian saya berhasrat meluaskan lagi perbincangan tersebut dengan memberikan contoh ide tanpa praktis - lantaran kerana tiada kuasa pemerintahan - sekitar era 50-an hingga 80-an khasnya.
Era Pra-Islamisme
Antara figur pada zaman tersebut ialah asy-Syahid Sayyid Qutb (1906-1966) rahimahullah yang tampil dengan beberapa idea wacana berpengaruh seperti teori Hakimiyah, pembahagian masyarakat Islam dan masyarakat jahiliah (asalnya idea ini dilontarkan oleh Mawdudi – 1903-1979 -, salah seorang ideolog daripada Pakistan) dan kewajipan menjatuhkan rejim tirani dan menegakkan pemerintahan Islam.
Antara buku yang sangat berpengaruh khasnya dalam dunia gerakan Islam ialah karya monumentalnya iaitu Tafsir Fi Zilalil Quran dan buku Ma’alim fi al-Tariq (diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai “Milestones” dan “Petunjuk Sepanjang Jalan” dalam bahasa Melayu).
Qutb telah dihukum penjara selama sepuluh tahun pada 1954 sebelum dihukum gantung pada 1966 menghadapi era pasca-kolonial yang menyaksikan kekejaman dan penindasan di beberapa dunia umat Islam seperti di Mesir, Tunisia dan Turki. Demikian ringkasan konteks yang dinilai oleh pengkaji sebagai salah satu kemungkinan factor ide-ide besarnya begitu berpengaruh pada masa itu.
Antara pandangan masyhur beliau dalam bukunya yang menjadi buku teks kepada para aktivis gerakan Islam seluruh dunia,Ma’alim fi al-Tariq ialah:
“All that is around us is jahiliyah. Peoples imaginings, their beliefs, customs, and traditions, the source of their culture, their art and literature, their laws and statutes, much even of what we take to be Islamic culture, Islamic authorities, Islamic philosophy, Islamic thought: all this too is of the making of this jahiliyah.”
(Segala sesuatu disekeliling kita adalah jahiliyah. Pemikiran manusia, kepercayaan mereka, adat istiadat, tradisi, sumber kebudayaan mereka, seni dan kesusasteraan, undang-undang dan kehakiman, malahan apa yang diterima sebagai kebudayaan Islam, penguatkuasaan Islam, falsafah Islam, pemikiran Islam: kesemuanya adalah hasil daripada jahiliyah ini.)
Selain itu, pada era itu juga slogan “al-Islam huwa al-hal” (Islam sebagai penyelesaian kepada semua masalah) dan kepemimpinan atas arahan wahyu (divine order) menjadi taruhan tanpa dijelaskan secara spesifik dan zeitgeist mengenai apakah dan bagaimanakah penyelesaian yang ditawarkan Islam.
Wacana theocracy dan vilayat-i-faqih dianggap sebagai jawapan kepada umat Islam meskipun jelas ketidak-adilan akan melatari apabila teori itu diguna pakai. Urusan rakyat dicampur tangan secara wewenang atas pendirian autoriti agama dan pemerintah yang menjadi “pelaksana wahyu”.
Sebagai contoh daripada sudut vilayat-i-faqih, Ketua Tertinggi (supreme leader) memutuskan urusan-urusan rakyat Iran, melintasi hampir seluruh urusan mereka (hawzah wilayat). Cendikiawan Iran yang diharamkan pulang ke Iran, Mohsen Kadivar (1959-sekarang) telah menulis sebuah artikel bertajuk “Vilayat-i-Faqih and Democracy” yang merupakan satu tajuk daripada buku "Islam, the State, and Authority: Medieval Concerns and Modern Issues” (diedit oleh Asma Afsaruddin) berhubung permasalahan ini.
Katanya: “Legitimacy of all decisions and actions in public domain depend on the approval and authorization of the supreme leader, as the waliyal-amr. Another meaning of Vilayat over people is their guardianship, which is fundamentally different from representing them.The citizenry - having been placed in care of the supreme leader - has no say in the appointment or dismissal of the waliy al-amr, and no authority to oversee his conduct of wilayat, or his personal conduct (that of the waliy al-amr, or supreme leader.”
(Keabsahan semua keputusan dan tindakan di dalam lingkungan masyarakat umum bergantung kepada kebenaran dan kuasa Ketua Tertinggi sebagai Waliyal-Amr. Satu lagi makna daripada konsep Vilayatke atas rakyat ialah Penguasaan, sesuatu konsep yang berbeze sama sekali dengan Perwakilan. Rakyat – yang diletak di bawah penguasaan seorang Ketua Tertinggi – dengan tidak mempunyai sebarang suara dalam menentukan pertabalan atau penyingkiran seorang waliy al-amr, dan tiada kuasa untuk menyelia (menilai) perilaku Ketua Tertinggi tersebut dalam urusan wilayat maupun perilaku peribadinya).
Pasca-Islamisme di Iran
Dalam esei yang disyarahkan oleh Bayat dalam “The Coming of a Post-Islamist Society” pada 1996 itu, beliau menjelaskan beberapa perubahan yang berlaku di Iran satu masa dahulu terutama selepas perang Iran-Iraq dan setelah kematian Khomeini.
Antara sudut penting daripada ulasan Bayat tersebut ialah perubahan pada beberapa dasar dan slogan kerajaan Iran terutama melibatkan kegiatan sosial dalam kalangan warganya. Kemunculan kumpulan baru, Andisheh-ye Diger (AlternativeThought – Pemikiran Alternatif) yang menjadi kumpulan yang diketuai oleh Abdul Karim Soroush (1945-sekarang), seorang professof bidang falsafah telah merancakkan agenda pencerahan dan pemikiran baru di sana.
Kumpulan Andisheh-ye Diger tersebut menolak sikap eksklusiviti golongan ulama’ dalam membaca dan memahami al-Quran (“true reading” and “expert reading” by the ulama’). Kumpulan itu turut mengkritik doktrin vilayat-i-faqih dan mengumandangkan demokrasi sebagai solusi. Kumpulan yang diketuai Soroush ini mendapat dokongan anak muda, golongan terpelajar dan kedua-dua golongan - religious-minded dan warga Iran yang berfikiran sekular.
Sementara itu, slogan “Equality of Men and Women in Islam” (Kesamarataan antara Pria dan Wanita) juga didengungkan oleh kumpulan tersebut. Kumpulan ini bergerak dan menuntut keadilan gender dalam soal pekerjaan, pendidikan dan undang-undang keluarga.
Kesannya, separuh daripada posisi dalam sektor kerajaan dipenuhi oleh wanita dan lebih daripada 40 peratus tugas-tugas pendidikan diisi oleh wanita (perangkaan ini adalah berdasarkan perkiraan pada tahun 1996). Isu poligami, perkahwinan mut’ah, penjagaan anak juga telah didebatkan. Malahan, usaha untuk membenarkan wanita menjadi hakim adalah antara usaha penting daripada gerakan tersebut.
Menurut Bayat , antara faktor berlakunya pasca-Islamisme ialah kerana pengalaman Islamis di Iran yang mendapati kelemahan dalam pemerintahan sebelumnya. Selain apa yang mereka namakan sebagai “Islamic Economy” yang tidak berjaya sebagaimana dihajatkan, Islamisasi sekolah juga akhirnya gagal melahirkan anak-anak muda yang patuh beragama, bahkan hasil kajian pada masa itu menunjukkan bilangan perempuan yang belajar di sekolah dan universiti tidak berminat untuk mengenakan tudung (sebagaimana yang dikuatkuasakan undang-undang oleh pihak pemerintah) telah meningkat dengan banyak.
0 comments:
Post a Comment