Menolak Politik Fitnah, Mengangkat Nilai-nilai Bermaruah
Saya memulakan penulisan saya pada kali ini dengan memetik satu kata-kata kemanusiaan yang sangat indah daripada Shakespeare dalam Hamlet:
“What a piece of work is a man! How noble in reason! How infinite in faculty! In form, in moving, how express and admirable! In action how like an angel! In apprehension how like a god! The beauty of the world! The paragon of animal!”
(“Alangkah sempurnanya manusia! Begitu mulia pemikirannya! Kemampuannya tanpa batas! Dalam bentuk, dalam gerak, penuh perasaan dan mengkagumkan! Bergerak sebagai malaikat! Memahami sebagai dewa! Penghias alam! Kemuncak di antara makhluk!”)
Demikian luahan apresiatif terhadap nilai manusia daripada seorang penyair terkenal dalam sejarah Barat. Beliau mengungkapkannya dengan ikhlas dan jelas, seolah-olah suatu ungkapan penuh kesyukuran kepada Yang Maha Pencipta, bahawa manusia asalnya mulia dan bermaruah. Justeru, seharusnya fi’ilnya bermaruah, wawasannya jelas dan sewajarnya pengakhirannya ialah hasanah (husn al-khatimah).
Seabad setengah sebelum kata-kata indah ini diungkapkan oleh Shakespeare, seorang humanis yang muncul pada era awal Renaissance, Pico Della Mirandola telah menyatakan kekagumannya mengenai hakikat kemuliaan insan. Beliau telah berucap di hadapan para paderi pada satu ketika:
“I have read, reverend Fathers, in the works of the Arabs, that when Abdala the Saracen was asked what he regarded as most to be wondered at on the world’s stage, so to speak, he answered that there is nothing to be seen more wonderful than man (nihil spectari homine admirabilius.)”
(“Saya sudah membaca, Bapa yang mulia, dalam karya orang Arab, apabila Abdullah Si Arab, ditanya apakah yang dianggapnya paling dikaguminya di pentas dunia, maka beliau menjawab, tiada yang lebih dikagumi daripada manusia.”)
Demikianlah ujaran jujur daripada Pico Della Mirandola, si humanis yang dikatakan sebagai manusia Eropah pertama yang bercakap soal kemuliaan insan secara tegas di Eropah. Apabila saya membaca kisah hidup Pico, saya mendapati beliau hidup di tempat yang mula-mula terpengaruh dengan idea perubahan zaman yang dikenali sebagai renaissance (kelahiran baru/rebirth) di Itali. Merupakan teman rapat kepada seorang paderi muda bernama Savoranola, beliau hidup semasa tranquisisi masih lagi dipraktikkan secara berleluasa.
Bagi yang membaca sejarah Kristian Barat, mereka pasti mengerti bahawa tranquisisi merupakan antara tragedi maha kejam yang pernah berlaku di Barat. Hukuman sula, bunuh dan pelbagai seksaan lagi dikenakan ke atas sesiapa yang “mengingkari” autoriti agamawan. Atas nama agama, lantas dikenakan seksaan, atas nama agama, maka kemuliaan insan telah dibakul sampahkan.
Kata-kata Pico Della Mirandola tersebut juga telah dipetik oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sebuah bukunya yang bertajuk The Asian Renaissance.
Apa yang menarik ialah apabila Pico berlaku sangat jujur semasa menyampaikan ucapan tersebut di hadapan khalayak paderi, beliau mengakui bahawa pendirian kemuliaan insan yang didokongi beliau merupakan hikmah yang diambil daripada salah seorang yang digelarnya sebagai Abdala the Saracen (Abdullah Si Arab). Para pengkaji menyatakan bahawa kemungkinan Abdullah Si Arab yang dimaksudkan oleh Pico itu ialah Ibnu Qutayba, seorang pemikir humanis terkenal semasa era pemerintahan Khilafah Abbasiyyah, juga merupakan pengarang kitab Khalq al-Insan (Penciptaan Manusia).
Islam dan kemuliaan insan
Sememangnya diakui sejarah bahawa pemikiran ke hadapan yang dimiliki oleh umat Islam pada zaman Abbasiyyah khasnya sangat mempengaruhi beberapa cara berfikir umat Barat. Persoalannya, dari manakah pemikiran fitrah dan sihat itu (kemuliaan insan) diambil? Jawapannya sudah tentu, menerusi al-Quran dan hadis nabi saw. Islam sememangnya datang untuk membebaskan manusia daripada kehinaan perhambaan sesama makhluk, kepada kemuliaan menjadi hamba hanya kepada Allah s.w.t, tuhan makhluk (min ‘ibaadati al-‘ibaad, ila ‘ibadati rabbi al-‘ibad). Kehebatan dan kegaungan mutlak hanyalah milik Allah, bukannya milik mana-mana makhluk.
Sebagai menegaskan hal ini, saya mendatangkan beberapa ayat al-Quran dan hadis nabi saw mengenai kemuliaan insan (karamah insaniah):
Allah menyatakan dalam surah al-Israa’ (ayat ke-70):
“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”
Manakala dalam surah al-Tiin (4-5), Allah berfirman:
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah.”
Sementara itu, Nabi Muhammad saw telah bersabda semasa peristiwa Hajj al-wida’ (haji perpisahan):
“Hai manusia, darahmu, harta bendamu dan kehormatanmu sama sucinya dengan tanah suci ini.” (Riwayat al-Bukhari)
Dalil-dalil tersebut merupakan sebagian kecil daripada keluhuran ajaran Islam yang sangat menekankan soal kemanusiaan, keadilan dan kebebasan. Kalau kita membuka kitab-kitab sirah, pastinya antara kisah yang sering ditemui ialah bagaimana para sahabat nabi saw yang hartawan akan membebaskan para sahabat nabi saw yang menjadi hamba dan teruk diseksa, semua ini sudah tentu sebuah praktikal mulia gara-gara kefahaman yang tuntas mengenai kemuliaan insan dan hak-hak manusia sesama manusia.
Ilmuan Muslim muda antarabangsa yang sedang meningkat naik, Dr Jasser Auda dalam buku beliau Maqasid al-Syariah : Dalil Li al-Mubtadi’ telah mengulas satu topik penting iaitu Maqasid al-Syariah Masyruu’an li al-Tanmiah wa Huquq al-Insan (Maqasid as Project for ‘Development’ and ‘Human Rights’). Beliau mengulas mengenai perkembangan dalam disiplin ilmu Islam berhubung pengaplikasian teori maqasid dalam menjaga al-nasl (keturunan), al-‘irdh (maruah) dan pelbagai pengistilahan lain lagi. Hinggalah disiplin tersebut diperluaskan selari dengan kemodenan dan tuntutan zaman seperti penggunaan istilah Hifzh karamah insaniyah (Memelihara kemuliaan insan) dan Hifzh huquq al-insan (Memelihara hak-hak asasi manusia) sebagaimana pernah ditulis Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam buku beliau bertajuk Madkhal Lidirasah al-Syariah al-Islamiyah.
Seterusnya nilai dan prinsip asas ini telah diprojekkan secara lebih komprehensif dan berdaya saing menerusi deklarasi bersejarah pada tahun 1981 di Kaherah iaitu al-I’lan al-Islami al-‘Alami li Huquq al-Insan (Universal Islamic Declaration of Human Rights - UIDHR). Hak kehidupan, kebebasan, keadilan, kesamarataan, hak kebebasan beragama, kebebasan berhimpun dan pendakwaan yang adil merupakan antara isi daripada perbincangan tersebut. Sekalipun masih berlaku perdebatan mengenai kandungan dalam UIDHR, namun deklarasi tersebut secara jelas menampakkan bahawa syariah dan kemuliaan insan ibarat laut dan pantai, tidak bisa berpisah. (Untuk rujukan lanjut, lihat Maqasid al-Syariah, Jasser Auda, m.s 54-64)
Syariah dan keadilan
Syariah yang diturunkan kepada umat Muhammad saw bukanlah sesuatu yang membebankan, sebaliknya suatu kemuliaan dan amanah untuk dilaksanakan.
Ibnu Qayyim rahimahullah menegaskan bahawa syariah itu berasaskan kepada hikmah-hikmah dan maslahah-maslahah untuk manusia sama ada di dunia atau di akhirat. Perubahan hukum yang berlaku berdasarkan perubahan zaman dan tempat adalah untuk menjamin syariah dapat mendatangkan kemaslahatan kepada manusia. Ibnu Qayyim menegaskan hal tersebut dalam kitab masyhurnya, I’lam al-Muwaqqi’iin (dipetik oleh Dr Jasser Auda dalam bukunya, Maqasid Syariah: Dalil Li al-Mubtadi’, m.s 50)
“Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, rahmat, hikmah, kebaikan. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmah kepada sia- sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”.
Allah swt memerintahkan manusia supaya menegakkan keadilan, sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Maidah (ayat ke-8):
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
Dalam surah an-Nahl (ayat ke-90) pula, Allah menegaskan:
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.”
Justeru, sekiranya kita meneliti dengan serius setiap hukuman yang dikenakan oleh Allah s.w.t dalam kanun jenayah syariah, nescaya kita akan bersetuju bahawa hukuman-hukuman yang disediakan sangat berkait rapat dengan prinsip keadilan dan kemuliaan insan. Sebagai contoh, amalan riba, memakan harta anak yatim dan qadzaf yang dikategorikan oleh nabi saw sebagai antara tujuh dosa besar dalam hadis baginda yang sangat masyhur (ijtanibu al-sab’a al-muubiqaat…) yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan al-Nasa’ie daripada Abu Hurayrah r.a.
Politik lucah dan bangsa Melayu
Sejak akhir-akhir ini, politik fitnah dan kotor semakin menjadi-jadi dalam tanah air kita, dan sasaran yang paling menonjol sekali ialah seorang politikus yang bernama Anwar Ibrahim. Satu demi satu tuduhan dilemparkan kepada beliau. Bermula dengan tuduhan liwat 1 semasa era reformasi satu ketika dahulu, kemudian beliau difitnah dengan tuduhan yang sama (liwat 2), dengan lebih bertalu-talu sebagaimana dahulu. Dan seterusnya ialah kononnya sebuah video seks melibatkan Anwar Ibrahim dan seorang pelacur asing.
Soal tuduhan fitnah seks (liwat dan zina) merupakan soal yang sangat cabul dan tidak bermaruah. Jika di Barat, sejarah menunjukkan betapa persoalan seks sangat sensitif sekiranya melibatkan seseorang yang mempunyai nama, justeru mengakibatkan beberapa pemimpin di dunia Barat seperti Clinton yang terjunam dalam karier politiknya. Dalam al-Quran, pernah diceritakan perihal nabi Yusuf a.s yang pernah ditimpa fitnah seks, melibatkan baginda dan isteri al-Aziz. Namun akhirnya terbukti bahawa baginda tidak bersalah dan telah difitnah oleh isteri al-Aziz. (sila rujuk surah Yusuf, ayat 23-35). Kisah tersebut memberi pengajaran kepada kita bahawa tuduhan dan fitnah seks merupakan pengamalan sesetengah umat yang bertujuan menjatuhkan kredibiliti dan maruah individu-induvidu tertentu.
Lebih menarik apabila kita memerhati komentar pemerhati politik tanah air, Dr Abu Hasan Hasbullah yang mendapati budaya politik fitnah seks ini wujud dalam sejarah bangsa Melayu sendiri. Hang Tuah difitnah berzina dengan gundik raja, sehingga menyebabkan beliau terhukum bunuh dan seterusnya mencetuskan kebangkitan revolusi Hang Jebat yang kemudian menyebabkan pertempuran saudara di Melaka. Begitu juga fitnah ke atas anak perempuan Sang Rajuna Tapa yang dituduh berzina dengan seorang pemuda di Temasik akhirnya menyebabkan pergelutan antara dua kuasa dan menyebabkan penjajahan Majapahit ke atas Singapura. Kita juga diberitahu dalam sejarah tentang kisah Mahsuri yang dituduh berzina dengan Deramang yang menyebabkan pembunuhan ke atas Mahsuri, justeru menurutnya isu-isu ini adalah berhubungan dengan politik bangsa Melayu sedari dahulu. (Komentar tersebut telah disiarkan oleh laman freemalaysiatoday.com pada 31 Mac 2011.)
Mengenai politik fitnah sebegini, syariah Islam secara terang dan tegas sudah meletakkan soal seks dalam hukuman jenayah syariah. Paling jelas ialah sebagaimana terpapar dalam beberapa ayat awal surah al-Nuur, iaitu soal zina, qadzaf dan li’an. Dalam kes Anwar, secara jelas ia melibatkan hukuman qadzaf yang sangat menekankan soal saksi dan pembuktian yang benar-benar jelas. Namun, sebagaimana kita lihat, soal qadzaf ini dipermain-mainkan oleh pelbagai politikus murahan dan ilmuan jadi-jadian. Semuanya menyerang Anwar tanpa pertimbangan ilmu dan kematangan yang unggul. Kezaliman ini berterusan, sementara keadilan sebagaimana ditekankan oleh Islam telah diperbodohkan.
Seruan demokrasi
Melihat kepada hal di atas, saya teringat sebuah kata-kata penuh inspirasi daripada Reinhold Niebuhr (1892-1971) dalam bukunya The Children of Light and the Children of Darkness, iaitu:
“Man’s capacity for justice makes democracy possible, but man’s inclination to injustice makes democracy necesssary”
(Kemampuan manusia terhadap keadilan menjadikan demokrasi suatu kemungkinan, tetapi kecenderungan manusia terhadap kezaliman menjadikan demokrasi satu tanggungjawab)
Kezaliman demi kezaliman telah melatari politik di tanah air menyebabkan demokrasi di Malaysia sangat-sangat diperlukan, bahkan lebih daripada itu, demokrasi wajar dipulihkan dengan sesungguh-sungguhnya. Kebebasan bersuara, media, berhimpun, pilihanraya yang bebas dan sebagainya yang telah diperjuangkan sewajibnya disahut oleh pihak kerajaan. Kata-kata daripada Niebuhr di atas boleh dipandang dengan lebih dalam lagi iaitu, sekiranya demokrasi sudah dizalimi, maka kerajaan wajib bersedia menerima rakyat yang biadap.
Saya melihat, perhimpunan rakyat yang bakal diadakan pada 9 Januari ini (Himpunan 901) bertujuan mendesak pengadilan yang adil dan telus merupakan perhimpunan yang penting. Ia bukanlah sebuah perhimpunan dan perjuangan kepada seorang individu dan peribadi semata-mata, bahkan jauh daripada itu ia merupakan sebuah perjuangan menentang sebarang kezaliman dan budaya politik fitnah tanpa sebarang alasan. Hujah rapuh sesetengah pihak kononnya perhimpunan itu merupakan simbol ketaksuban terhadap Anwar Ibrahim sangat meleset daripada akal yang sihat. Sebuah kes yang berprofil tinggi dan dipenuhi pelbagai kontroversi sedang berhadapan dengan mahkamah yang sekian lama tergugat kepercayaannya oleh masyarakat, khasnya dengan pelbagai kes dan isu seperti percaturan hakim dan pengaruh oleh pihak kerajaan.
Mana mungkin dihalakan kepercayaan kepada sistem kehakiman sebegini? Semoga Himpunan 901 akan menjadi satu peristiwa penting untuk menentang segala budaya politik lucah dan fitnah seterusnya mencipta budaya politik baru, matang dan dipandu nilai-nilai mulia.
Sebagai khatimah, saya tinggalkan kalian dengan satu puisi menarik daripada Usman Awang (1929-2001) dalam Antologi Sajak Teluk Gong:
“Sebuah perkataan yang paling ditakuti, yang tradisional sekali, untuk bangsa kita yang pemalu, sekarang kata ini kuajarkan pada anakku, kau harus menjadi manusia kurang ajar, untuk tidak mewarisi malu ayahmu, lihat petani-petani yang kurang ajar, memiliki tanah dengan caranya, sebelumnya mereka tak punya apa, kerana ajaran malu dari bangsanya, suatu bangsa tidak menjadi besar tanpa memiliki sifat kurang ajar”
2 comments:
Pada akhir zaman fitnah akan berleluasa di sana sini hingga kite sendiri tidak dpt membezakan yg mana yg btul dan yg mana yg palsu.hanya keimanan yg teguh saja yg dpt melihat yg mana yg betul dan mana yg salah.Oleh itu dinasihatkan kite memeriksa dahulu kesahihan berita yg kite terima sblm menyebarkannye kpd org lain.
Pada akhir zaman fitnah akan berleluasa di sana sini hingga kite sendiri tidak dpt membezakan yg mana yg btul dan yg mana yg palsu.hanya keimanan yg teguh saja yg dpt melihat yg mana yg betul dan mana yg salah.Oleh itu dinasihatkan kite memeriksa dahulu kesahihan berita yg kite terima sblm menyebarkannye kpd org lain.
Post a Comment