'Gezi Park', Erdogan dan Demokrasi : Catatan Awal
*Tulisan ini juga tersiar di The Malaysian Insider (Link)
Peristiwa di Taksim Square pada hari ini menentukan nasib Erdogan dalam pilihanraya akan datang. |
1) Media-media dari seluruh dunia sedang menumpukan perhatian kepada Turki
yang dipimpin Erdogan dari Adalet ve Kalkinma Partisi (AKP) – Justice
and Development Party (JDP) – berikutan satu peristiwa yang berlaku pada 31
Mei 2013 di Gezi Park, Beyoglu, Istanbul. Perhimpunan yang asalnya aman
telah bertukar menjadi panas apabila pihak polis telah melepaskan gas pemedih
mata dan mengasari para demonstran mengakibatkan ratusan demonstran telah
cedera. Menteri Dalam Negeri, Muammer Guler pula menyatakan bahawa lebih 900
peserta demonrasi dari pelbagai tempat yang berbeda telah ditahan. Badan hak-hak
asasi manusia terkenal, Amnesty International (AI) sebagaimana badan-badan
hak asasi manusia yang lain telah mengkritik respon keras pihak berautoriti terhadap
para demonstran di Turki. Intelektual yang dikenali lantang bersuara dalam
isu-isu antarabangsa, Noam Chomsky turut mengeluarkan kenyataan mengkritik
kekasaran yang dikenakan terhadap para demonstran di Gezi Park. Perdana
Menteri Turki, Recceb Tayyib Erdogan mengakui bahawa pihak polis telah melebihi
batas, demikian juga dengan Timbalannya, Bulent Arinc.
2) Gezi Park adalah sebuah taman di Istanbul. Pihak pemerintah berhasrat menubuhkan replika
sebuah bangunan lama dan bersejarah yang pernah menjadi berek tentera kerajaan
Uthmaniyyah satu masa lalu. Bangunan tersebut telah dirobohkan pada 1940 oleh
parti pemerintah aliran Kemalism pada masa itu iaitu Cumhuriyet Halk
Partisi (CHP) – Republican People’s Party (RPP). Replika yang akan
dibina tersebut akan menjadi sebuah pusat niaga. Namun bantahan timbul oleh
segelintir rakyat karena pembinaan bangunan itu akan menghapuskan sebuah taman,
lalu protes aman berlaku. Kekasaran pihak berkuasa menjadikan protes yang
asalnya berlangsung aman bertukar agresif. Beribu-ribu demonstran mula memenuhi
Taksim Square dan demonstrasi-demonstrasi turut berlangsung di
tempat-tempat lain di Turki. Presiden Turki, Abdullah Gul telah memberi respon
bahawa sepatutnya rakyat diizinkan untuk menyuarakan pandangan mereka dan
layanan pihak polis tidak sepatutnya.
3) Demikian antara kronologi dan latar belakang ringkas tentang isu yang
sedang melanda Turki. Penganalisis politik terkenal Turki, Ihsan Yilmaz menegur
projek pembangunan pemerintah yang seakan-akan terlalu sarat, hingga dibimbangi
memberi keuntungan kepada pihak yang kecil sahaja dan merugikan generasi akan datang.
Beliau juga menyatakan di Istanbul hanya ada sedikit taman yang bersejarah yang
menjadi tempat rekreasi rakyat di sana.
4) Persoalannya adakah benar itu sahaja ceritanya? Karena sebuah taman,
tercetusnya protes di pelbagai kawasan? Erdogan menerusi partinya (AKP
ditubuhkan pada 2001) telah menang bergaya dalam tiga pilihanraya sebelum ini
iaitu pada 2002, 2007 dan 2011. Sekalipun kerajaan Turki telah mencapai
pertumbuhan ekonomi yang sangat baik sepanjang diperintah AKP, namun itu bukan
satu-satunya yang dimahukan rakyatnya. Wajar diingat, undi yang diperoleh AKP
sejak 2002 bukan sekadar untuk pemacuan ekonomi, tapi juga kedaulatan
undang-undang (rule of law), demokratisasi, pemfokusan akan hak asasi
manusia, kebebasan dan sebagainya.
5) Diakui, pemerintah telah melakukan beberapa perobahan dalam perkara
tersebut seperti ruang publik yang lebih baik, bahkan larangan untuk mengadakan
demonstrasi jalanan di Taksim Square sejak 1977 telah dibatalkan oleh
pemerintah pada 2010 dan demonstrasi jalanan di situ dibenarkan kembali. Namun itu
tidak cukup, beberapa isu yang berlaku dan melibatkan Erdogan seakan-akan tidak
menyenangkan beberapa pihak. Sejak AKP memerintah Turki, Turki menjadi antara
negara tertinggi yang memenjarakan para wartawan, malahan Erdogan dilaporkan
tidak toleran terhadap media-media yang mengkritiknya. Isu larangan pengguguran
anak juga pernah tercetus pada Jun 2012 apabila ribuan orang (kebanyakannya
wanita) telah berhimpun membantah idea Erdogan merancang mengenakan larangan
pengguguran anak (laporan Reuters).
6) Terbaru pada 24 Mei 2013 (Jumaat), Erdogan meluluskan satu bil yang
megehadkan pengiklanan dan jualan minuman beralkohol di Turki. Bil tersebut
turut melarang penjualan minuman beralkohol di tempat yang berdekatan masjid
dan pusat-pusat pendidikan, selain mengenakan penalti yang lebih keras terhadap
pemandu dalam keadaan mabuk. Hal tersebut dilaporkan berlaku pantas dan tidak
demokratik apabila rakyat tidak seolah-olah hanya menerima ‘arahan’ dan tidak
demokratik. Alasan Erdogan tentang kesihatan dan bahawa kerajaan mahu melahirkan
generasi yang lebih baik bukanlah perbincangannya, tapi sikapnya yang
seolah-olah cuba memaksakan budaya hidup tertentu dipersoal sebahagian orang. Salah
seorang kolumnis di Todayszaman, Yavuz Baydar menyebut sejak 2011,
Erdogan seolah-olah melakukan pendekatan laissez moi faire tout (biar
aku buat semua). Arzu Kaya Uranli mengulas, sepatutnya seorang ketua dan
kerajaan bertindak lebih baik terhadap rakyatnya, berusaha untuk menyatukan dan
bukannya melakukan polarisasi.
7) Isu-isu di atas merupakan antara yang timbul dan dibincangkan
akhir-akhir ini, di celah-celah pujian ramai akan ekonomi Turki yang memacu
makin laju. Bermaksud rakyat bukan sekadar mahu melihat ekonomi yang baik, tapi
lebih daripada itu rakyat mahu melihat bagaimana pihak pemerintah melayan
mereka. Penulis Islam Without Extremes, Mustafa Akyol menimbulkan
persoalan kenapakah rakyat lebih menujukan bantahan mereka terhadap Erdogan dan
bukannya AKP? Isu-isu yang saya tulis di atas sekilas pandang seolah-olah bisa
menjawab soalan Mustafa tersebut. Bahkan setelah berlakunya kekasaran polis
terhadap protes di Taksim Square, respon Erdogan agak kurang demokratik,
‘intimidating’ dan tidak menggunakan bahasa yang berkompromi.
8) Selaku seorang Perdana Menteri yang menang menerusi pilihanraya yang sah
dan bersih, Erdogan pasti bukan seorang diktator, tapi demokrasi di Turki bukan
lagi sebuah demokrasi liberal (illiberal democracy), sebaliknya menjadi
demokrasi illiberal (liberal democracy) dan pseudo-democracy dan
dibimbangi undi popular yang tinggi diperolehi beliau bisa mencipta keadaan tyranny
of majority. Oleh itu, sebahagian pemerhati
politik melihat, Erdogan wajar melakukan perobahan pada pendekatannya dan
kerajaan yang diketuainya. Beliau wajar menitik beratkan kembali dasar partinya
yang melaungkan soal demokratisasi dan hak-hak asasi manusia. Tentang hak-hak
asasi, semak imbang, kebebasan berhimpun, protes dan mengkritik wajar dilihat
kembali oleh Erdogan dan kerajaannya. Demikian juga isu kaum minoriti (others)seperti
isu Kurdish yang tidak kunjung selesai. Semua perkara di atas merupakan
asas-asas yang dipandang sangat penting dalam sebuah negara demokratik. Selain itu partisipasi politik masharakat
Turki akan bertambah baik menerusi pengaplikasian serius akan konsep participatory
democracy, dan ia lebih relevan berbanding representative democracy. Salah satu wacana demokrasi yang wajar diangkat juga ialah tentang deliberative
democracy yang kelihatan lebih mesra masharakat pelbagai latar belakang pemikiran dan
generasi.
9) Antara persoalan lain yang timbul ialah mengenai pembangkang kepada
pemerintah iaitu CHP. Dikatakan ramai ahli CHP yang memenuhi Taksim Square
dan menyertai protes. CHP merupakan sebuah parti yang ditubuhkan oleh Mustafa
Kemal dan lebih cenderung dengan ideologi sosialisme (mereka beraliran "Social Democrat") berbanding AKP yang ekonominya
berideologi liberalisme. Kelihatan pertembungan ideologi kedua-dua parti ini
sangat jelas, bahkan dalam isu Syria yang mana Erdogan telah menyatakan
penentangan jelas terhadap Assad, CHP pula menyebelahi Asad. Selain itu CHP
juga merupakan sekularis yang beraliran Kemalism, justeru kelihatan
pertembungan mereka dengan AKP turut tertumpu di situ, memandangkan AKP sejak
dahulu dikaitkan sebagai mewakili Islamis (sekalipun mereka cuba menafikan),
bahkan sejarah mereka dengan Islamis pimpinan Erbakan tidak bisa dipisahkan. Berhubung
hal ini, jelas kelihatan bahawa faktor pertembungan ideologi (socialism vs
capitalism dan kemalism vs Islamism) turut memainkan peranan. Namun begitu adakah
sememangnya rakyat yang menyertai protes disebabkan ideologi ekonomi yang
diwakili AKP? Sebahagian pemerhati melihat, itu bukan isu utama. Isu utama
tetap soal demokrasi yang kian lama kian tidak dihayati oleh pemerintah,
khasnya Erdogan.
10) Secara peribadi saya tidak melihat kewajaran untuk berlakunya revolusi di
Turki, bahkan saya tidak melihat ia akan berlaku sekalipun ia bukanlah mustahil.
Namun begitu saya tetap meyakini bahawa siri protes akan mengambil masa sebelum
beransur reda, selain itu protes dan demonstrasi akan menjadi budaya rakyat
Turki selepas ini jika berlaku apa-apa tindakan yang tidak diingini mereka. Hal
yang demikian pasti akan mencabar ‘kedemokrasian’ Erdogan dan kerajaan
pimpinannya, sejauh mana beliau akan memberi keizinan dan kerjasama terhadap
protes dan demonstrasi yang diadakan, demikian juga sejauh mana beliau akan bersikap
lebih demokratik dalam mengeluarkan apa-apa keputusan dan arahan selepas ini.
Hal tersebut juga yang mesti dilihat dan diambil berat oleh semua pemerintah di
dunia termasuk Malaysia. Demokrasi bukanlah perihal rakyat hanya berperanan di
peti-peti undi sahaja, lebih dari itu demokrasi adalah sebuah konseptual yang
mendidik budaya semak imbang, menghormati hak-hak asasi manusia, menjauhi
kediktatoran, majoriti tidak menekan minoriti dan minoriti pula tidak memaksa majoriti.
11) Erdogan dan AKP wajar beringat, peristiwa di Istanbul pada hari ini akan
menentukan nasibnya dalam pilihanraya yang dijangka akan diadakan setahun lagi.
Read more...