Al-Quran, Persaudaraan Kemanusiaan dan Pembaharuan Peradaban
Mukadimah
Salah satu dimensi terpenting Islam
ialah ia diturunkan untuk seluruh manusia tanpa mengira warna kulit, geografi,
keturunan dan sebagainya. Hal tersebut diberi penekanan dan diulang dalam al-Quran
dan al-Hadis, selain dibincangkan dalam teks-teks
silam dan semasa. Apabila demikian antara sifat Islam, bererti selain Islam ada
sisi eksklusif seperti hal ehwal kepercayaan dan ibadat yang ada ketegasan
tertentu, Islam turut mempunyai sisi inklusif dan meraikan kepelbagaian dan
keragaman manusia, terutama dalam interaksi dan urusan keduniaan.
Hari-hari berlalu, pelbagai
peristiwa dan perubahan berlaku sepanjang sejarah kemanusiaan, hal tersebut
ternyata memberi kesan terhadap pelbagai aspek kehidupan termasuk wacana keilmuan
dan jatuh bangun sesebuah peradaban. Betapa banyak pemikiran dan teori yang
dibincangkan para ilmuan, ia merupakan kesan interaksi akal manusia terhadap
realiti semasa dan punya latar belakang sejarah yang tertentu.
Namun demikian, di celah-celah saratnya perbedaan dari sudut
keyakinan, budaya, keturunan dan sebagainya, ada beberapa perkara asasi yang
manusia secara prinsipnya boleh bersepakat, meskipun mereka saling berkhilaf
dalam dalam hal pemerincian. Paling utama, semua bisa bersetuju bahawa manusia
ialah manusia. Atas hal penting tersebut, hadir tulisan ini berusaha menyumbang
beberapa kuntum buah fikir tentang persaudaraan kemanusiaan menurut al-Quran,
diikuti beberapa cadangan praktikal dalam dunia realiti.
Al-Ukhuwwah al-Insaniyyah: Pendekatan Tematik Quranik
Untuk menjelaskan maksud perkataan “persaudaraan kemanusiaan”
menurut kaca mata Islam, tidak dapat tidak, kita harus meninjaunya dari
perkataan yang digunakan wahyu, seterusnya mengeluarkan makna-makna asasnya,
kemudian akan dikembangkan dalam penulisan ini dalam menjawab beberapa
persoalan yang akan dinyatakan.
Al-Ukhuwwah al-Insaniyyah (dan al-Ikha’ al-Insaniy) merupakan
terjemahan literal untuk perkataan persaudaraan kemanusiaan, kedua-dua
perkataan itu ada asasnya dalam al-Quran, meskipun ia tidak disebut secara
berangkai sebagaimana pada perkataan al-ukhuwwah al-insaniyyah.
Akhaw (أَخَوٌ) merupakan asal kepada
perkataan Akh (أخ),
dan menurut failasuf Muslim terkenal, al-Raghib al-Asfahani (w. 502 H) ia
bererti: “Seseorang yang berkongsi dengan seseorang yang lain dalam kelahiran
(dengan orang lain) dari dua pihak, atau dari salah satunya, atau dari (segi)
penyusuan.”[1]
Iaitu, seseorang yang punya persamaan dengan seseorang yang lain dari ibu bapa,
atau dari salah seorang dari ibu bapa (sama ada ibu, atau bapa), atau merupakan
saudara susuan.
Beliau berkata lagi; “penggunaan perkataan itu dipinjamkan ke
setiap orang yang berkongsi (persamaan atau sifat) dengan orang lain dari segi
kabilah, agama, ciptaan, interaksi (muamalah - معاملة)
atau kasih sayang, dan lain-lain yang bersesuaian.”[2]
Apa yang dinyatakan oleh al-Asfahani itu merupakan asas dalam memahami
perbincangan saudara dan persaudaraan sepertimana digunakan al-Quran, contohnya
tokoh tafsir terkenal, Abu al-Qasim al-Zamakhsyari (w. 538 H) semasa
mentafsirkan ayat ke-10 (pada ayat: “sesungguhnya orang beriman itu bersaudara
…”) dari surah al-Hujurat membincangkan tentang persaudaraan dalam beragama (al-ukhuwwah
fi al-diin) sambil sebelumnya mengaitkan dengan kefahaman dari sudut
literal yang lazim.[3]
Dalam al-Quran, perkataan yang berkait dengan perkataan akhaw
digunakan sebanyak 96 kali dalam erti yang berbeza, menunjukkan bahawa bertitik
tolak dari erti bahasa untuk perkataan itu, ia berkembang setelah menurut
persamaan tertentu yang bersesuaian. Sebagai contoh, ada ayat yang berbicara
tentang persaudaraan dalam keimanan, kekufuran, hubungan adik-beradik,
persaudaraan dalam kaum atau keturunan, persamaan dalam sifat tertentu
(contohnya sifat kekufuran dalam kalangan ahli neraka yang menyebabkan setiap
mereka melaknat kalangan sendiri semasa dihumban dalam neraka, lihat al-A’raaf:
ayat 38).
Untuk menjelaskan lagi hal di atas, saya akan membincangkan
beberapa contoh ayat yang berkait dengan perkataan akhaw dan apa yang
dimahukan menerusi penggunaan perkataan itu.
“Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik)
yang telah kufur dan berkata kepada saudara-saudara mereka apabila mereka pergi
mengembara di muka bumi untuk berniaga, atau keluar berperang (lalu mati atau
terbunuh) …” (Aalu ‘Imran: 156)
Perkataan
“saudara-saudara mereka” (إخوانهم)
dalam ayat tersebut menurut al-Asfahani, ia disebabkan persamaan dalam
kekufuran,[4]
manakala Ibn ‘Atiyyah (w. 542 H) dalam tafsirnya terhadap ayat tersebut
berkata, ia merupakan saudara-saudara mereka yang sama dari segi nasab,[5]
iaitu golongan munafik berpesan kepada golongan yang satu ada persamaan dengan
mereka dari segi nasab.
Contoh ayat berkaitan persaudaraan dalam keimanan ialah
firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat (ayat 10):
“Sesungguhnya
orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua
saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu
beroleh rahmat.”
Perkataan
ikhwah (إخوة)
dalam ayat tersebut tidak syak lagi membawa erti persaudaraan dalam agama dan
keimanan, sebagaimana itu kata al-Zamakhsyari dan lain-lain, begitu juga Ibn
‘Atiyyah.[6]
Selain
membawa erti persaudaraan adik-beradik, iaitu kefahaman yang paling dekat
dengan asal perkataan akhaw (ayat-ayat dalam hal ini tidak sedikit,
contohnya al-Nisaa: 11), ia juga bererti persamaan antara dua (dan lebih dalam
sifat baik lagi terpuji), sebagai contoh setelah Maryam AS pulang kepada
kaumnya, kaumnya menggelarkan Maryam sebagai saudara perempuan Harun (أخت هارون),
al-Baidawi (w. 685 H) menjelaskan dalam tafsirnya bahawa menurut sebahagian
sarjana, ia bererti Maryam sememangnya ada hubungan kekeluargaan dengan Nabi
Harun AS, dan dikatakan jarak antara kedua-duanya ialah 1000 tahun. Sebahagian
yang lain pula berpandangan bahawa Harun dalam ayat tersebut ialah seorang
pemuda yang terkenal dengan sifat buruk, lalu kaumnya ingin mencela Maryam lalu
menyamakannya dengan lelaki itu, satu pandangan lagi menyatakan bahawa Harun
yang dimaksudkan dalam ayat ialah seorang lelaki soleh, lalu kaumnya berkata
demikian lantaran Maryam dikenali dengan sifat-sifat terpuji.[7]
Jelas
dalam ayat tersebut, para ulama berbeza dalam menjelaskan maksud perkataan ukht,
ada yang mengembalikannya pada maksud yang lebih dekat dengan kefahaman asal,
iaitu keturunan, ada pula yang mengaitkannya dengan persamaan pada sifat dan
akhlak.
Untuk
meringkaskan lagi persoalan ini, saya mendatangkan beberapa ayat yang lebih
dekat dengan maqasid perbahasan ini iaitu contohnya al-Ahqaf: 21,
al-A’raaf: 65, 73, 85, Hud: 50, 61, 84, al-Naml: 45, al-‘Ankabut: 36,
al-Shu’araa: 106, 124, 142, 161. Semua ayat yang disebut itu tatkala menyebut
perkataan akha (أخا), akhuhum
(أخوهم) atau akhahum (أخاهم)
yang mana konteks dalam ayat-ayat tersebut membawa erti saudara (mereka), iaitu
merujuk kepada para Nabi ‘alaihimus salatu was salam yang sedang
diceritakan dalam ayat-ayat itu. Antara mereka ialah Nabi Nuh, Nabi Hud, Nabi
Soleh, Nabi Syuaib dan Nabi Lut. Adapun perkataan “mereka” yang disandarkan
kepada perkataan “saudara” pula merujuk kepada kaum para Nabi tersebut, dan
suatu yang sedia maklum bahawa kebanyakan ahli kaum mereka menentang dakwah dan
risalah para Nabi tersebut. Bererti, walaupun kaum-kaum tersebut menentang
risalah dan dakwah yang dibawa para Nabi, para Nabi masih dirujuk sebagai
sebahagian dari kaum mereka. Ringkasnya, masih ada persaudaraan kaum, setempat
dan kemanusiaan, sekalipun berlaku pertentangan keras dalam isu keyakinan dan
beragama.
Sebahagian
ayat tersebut ialah firman Allah SWT:
“Dan
kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Ia berkata:
"Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan
bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya?"
(al-A’raaf: 65)
Al-Razi
(w. 606 H), seorang Imam terkenal yang merupakan sarjana pelbagai bidang, dalam
tafsirnya beliau menyebut beberapa pandangan berkenaan “saudara mereka” yang
membawa erti Nabi Hud ada persaudaraan dengan kaumnya, sedangkan kaumnya terang-terang
menentang dan menghinanya. Al-Razi mendatangkan lima pandangan yang menjelaskan
apa yang dimaksudkan dengan “saudara mereka”, antara pandangan yang dinukilkan
al-Razi ialah:
“…
Mereka (iaitu: para ulama) bersepakat bahawa Hud bukanlah saudara mereka dalam
agama, adapun yang mereka perselisihkan ialah, adakah Hud itu merupakan saudara
kerabat yang rapat atau tidak? Al-Kalbi berkata, sesungguhnya beliau (Hud)
merupakan salah seorang dari kabilah itu, sebahagian yang lain berkata,
sesungguhnya beliau (Hud) merupakan dari kalangan anak-anak Adam, bukannya dari
Malaikat …”[8]
Demikian
lah antara pandangan ulama yang dinukilkan oleh al-Razi, sama ada disebabkan
Hud AS merupakan salah seorang dari ahli kabilahnya, atau semata-mata kerana
persaudaraan atas sebab Hud AS juga dari kalangan manusia seperti kaumnya.
Begitu
juga jika dilihat ayat-ayat lain yang punya persamaan mesej, seperti ayat 73
dari surah al-A’raaf:
“Dan
kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata:
"Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi
kamu selain daripadaNya …”
Dalam
Mahasin al-Ta’wil karangan Jamaluddin al-Qasimi (w. 1332 H), beliau
tidak membincangkan panjang tentang “saudara mereka”, cukup dengan menyebut
bahawa para ulama tafsir dan (ilmu) nasab bahawa Soleh yang merupakan saudara
mereka itu merupakan Ibn ‘Ubaid bin Asif bin Masih bin Ubaid bin Hadhir bin
Thamud,[9]
tokoh tafsir terkenal bernama Abu al-Su’ud al-‘Imadi (w. 982 H) semasa memberi
komentar terhadap ayat tersebut, apa yang dinyatakan beliau hampir sama dengan
apa yang dinyatakan oleh al-Qasimi, iaitu Thamud merupakan saudara Soleh dari
segi nasab.[10]
Berdasarkan
perbincangan-perbincangan di atas, secara umumnya kita bisa membuat kesimpulan
bahawa adanya persaudaraan lain selain persaudaraan yang bersifat keagamaan. Ia
bukanlah suatu yang asing dalam teks-teks silam Muslim, meskipun tanpa
menggunakan perkataan “persaudaraan kemanusiaan”. Persaudaraan-persaudaraan
tersebut boleh difahami sebagai “persaudaraan kaum”, persaudaraan nasional” dan
“persaudaraan kemanusiaan”. Sarjana Muslim komtemporer, Dr Wahbah al-Zuhaili
menyebut bahawa tiada pertentangan antara persaudaraan keagamaan antara orang
beriman dan persaudaraan kemanusiaan, kedua-duanya ada lapangan, had dan ikatan
tersendiri.[11]
Dalam
bahasa kontemporer, hal tersebut boleh difahami sebagai perbincangan
kepelbagaian identiti. Seseorang itu kebiasaannya mempunyai lebih dari satu
identiti, seperti identiti agama, bangsa, warganegara, menyertai organisasi
tertentu, dan lain-lain yang berkaitan. Identiti-identiti yang pelbagai tidak
semestinya bertentangan, meskipun dalam keadaan tententu, boleh berlaku
pertentangan identiti.
Tawhid,
Asal-usul Manusia dan Kepelbagaian
Salah
satu tujuan utama al-Quran (merangkap tujuan umum Shariah) ialah membaiki
pemikiran dan keyakinan manusia berdasarkan prinsip keesaan Tuhan (tawhid).
Yang demikian menurut para sarjana Muslim kontemporari seperti Muhammad Abduh[12],
Rashid Redha[13],
Muhammad al-Ghazali[14]
al-Qaradawi[15]
dan Taha Jabir al-‘Alwani[16].
Apa
yang didengungkan para sarjana di atas (dan selain mereka yang ramai) merupakan
suatu yang telah disebut dalam teks-teks silam, antaranya oleh Hujjah al-Islam
Abu Hamid al-Ghazzali (w. 505 H) dalam karya pentingnya mengenai al-Quran iaitu
Jawahir al-Quran. Al-Ghazzali menyebut:
“Rahsia
al-Quran, tumpuannya yang paling suci dan tujuannya yang paling jauh ialah
menyeru para hamba kepada al-Jabbar Yang Maha Tinggi, Tuhan akhirat dan dunia,
pencipta lelangit yang tinggi, bebumi yang rendah, serta yang ada di antara
keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi. Untuk itu,
surah-surah dalam al-Quran dan ayat-ayatnya terhad dalam enam jenis …”[17]
Enam
jenis maqasid yang dinyatakan oleh al-Ghazzali telah dibahagikan kepada
dua bahagian iaitu tiga bahagian pertama berada dalam kategori “tiga yang
penting” (الثلاثة المهمة)
dan tiga bahagian yang kedua berada dalam kategori “tiga yang mencukupkan dan
menyempurnakan” (الثلاثة المغنية المتمة).
Pembahagian al-Ghazzali yang menarik itu seperti bertitik tolak dari latar
belakangnya sebagai salah seorang Imam besar dalam madrasah Usuliyyah
Maqasidiyyah.
Tiga
yang pertama ialah berkaitan mengenali Allah SWT, mengetahui perintah dan
larangan dalam Shariah yang wajib dilazimi dan yang ketiga ialah berkaitan hal
seseorang apabila berada di hari akhirat.[18]
Selain al-Ghazzali, pelbagai lagi tokoh silam dan semasa berwibawa yang
menyebut perihal tawhid sebagai salah satu tujuan terbesar diturunkan Shariah.
Disebabkan itu, segala perbincangan dan karangan silam dan semasa yang
bertujuan menekankan keesaan Tuhan, hajat manusia kepada Rasul dan wahyu,
tentang hari akhirat dan sebagainya, ia merupakan antara wasilah dan jalan yang
mulia, kerana ia berkhidmat kepada tujuan yang mulia iaitu tawhid.
Bertitik
tolak dari persoalan tersebut, timbulnya kepentingan konsep kebebasan dan
penolakan paksaan dalam beragama (la ikraha fi al-diin), kepentingan
kebebasan membuat kajian ilmiah dan perdebatannya kerana keesaan Tuhan dan
kebenaran Islam tertegak atas dasar burhan dan hujah, sebagaimana terjelas
dalam kisah para Nabi terdahulu dan teladan para ilmuan silam.
Disebabkan
tawhid merupakan salah satu maqasid terpenting agama, maka
wasilah-wasilah menuju ke arahnya seperti penulisan menghujahkan kebenaran
tawhid, mengadakan pengajian dan dakwah, dan sebagainya merupakan wasilah yang
terpuji. Begitu juga dengan wasilah-wasilah lain seperti seperti menolak
pemaksaan dalam beragama, menjamin kebebasan akademik (jika menurut bahasa
semasa) dan sebagainya yang berkaitan juga suatu yang terpuji.
Al-‘Izz
Abd al-Salam (w. 660 H), sarjana maqasid terkenal yang digelar Sultan
al-‘Ulama antara ulama yang membincangkan dengan jelas tentang hubungan antara maqasid
dan wasa-il, beliau menyebut bahawa “wasilah kepada apa yang
menjadi tujuan dengan sendirinya, seperti mengenali tawhid dan sifat-sifat
Tuhan, maka sesungguhnya mengetahuinya merupakan sebaik-baik tujuan, dan jalan
untuk sampai kepadanya merupakan sebaik-baik jalan.”[19]
Begitu
juga apabila membicarakan tentang tawhid, ialah pembicaraan tentang bahawa
selain Tuhan, semua manusia itu secara prinsipnya sama. Oleh itu, kita
mendapati firman Allah SWT:
“Wahai
sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu
(bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu
pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat
keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai …” (al-Nisa’: 1)
Seruan
“wahai manusia” (يأيها الناس)
bererti deklarasi ini ditujukan kepada semua sama ada Muslim mahupun bukan
Muslim, begitu juga selepasnya digunakan perkataan Tuhanmu (ربكم)
yang menurut al-Asfahani:
“Disebut
bersama-sama wahai manusia (يأيها الناس)
ialah Tuhanmu (ربكم),
dan disebut bersama-sama wahai orang beriman (يأيها الذين ءامنوا) ialah Allah (الله).
Wahai manusia merupakan mesej yang bersifat umum, dan wahai orang yang beriman
merupakan mesej yang lebih khusus, dan wahai hamba-hamba-Ku (يا عبادي)
lebih khusus dari kedua-duanya, yang mana dikehendaki menerusinya ialah
golongan khusus dari kalangan yang khusus …”[20]
Seruan
dalam surah al-Nisa’ itu menjelaskan bahawa sekalian manusia berasal dari
keturunan yang sama, bapa segala bapa dan ibu segala ibu ialah sama. Ia merupakan
sisi bersifat sejagat yang amat penting, khasnya dalam masharakat jamak budaya,
agama dan keturunan. Al-Quran selain berbicara dengan bahasa khas kepada kaum
beriman, ia juga mengandungi banyak ayat-ayat umum yang ditujukan ke atas semua
manusia, sebagai contoh pelbagai ayat yang berbicara tentang asal usul manusia,
bagaimana mereka diciptakan dan sejarah penciptaan Adam AS sebagai khalifah.
Timbul
persoalan, jika bercakap tentang asal-usul manusia itu menunjukkan manusia itu
secara asasnya sama, adakah sifat sama itu bercanggah dengan kepelbagaian?
Demikian juga, jika tawhid atau keesaan Tuhan itu menunjukkan erti kesatuan,
adakah kesatuan itu bertentangan dengan kepelbagaian?
“Wahai
umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan
perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak,
supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).
Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya
di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan
kamu).” (al-Hujurat: 13)
Ayat
di atas antara yang menjawab persoalan tersebut, yang mana penciptaan manusia
yang menolak rasa keangkuhan ras, bangsa dan sebagainya, tidaklah bercanggah
dengan realiti kepelbagaian yang berlaku sejak awal sejarah manusia. Manusia yang berasal dari Tuhan yang esa, tidaklah bertentangan dengan kekuasaan Tuhan yang menciptakan manusia itu berbagai-bagai. Menurut
al-Tha’alabi (w. 875), ayat itu bererti “wahai manusia, kalian adalah sama
berdasarkan kalian semua yang diciptakan, adapun kalian diciptakan
berbagai-bagai kabilah untuk kalian berkenal-kenalan, atau supaya kalian
mengenali kebenaran. Adapun kemuliaan pula, ia menerusi takwa kepada Allah dan
kesejahteraan hati.”[21]
Selain
kepelbagaian untuk menjadikan manusia berkenal-kenalan, ia juga untuk manusia
saling mencari kebenaran. Dalam ayat
tersebut juga disebut tentang takwa yang merupakan hakikat sebenar kemuliaan
manusia, persoalan takwa ditekankan selepas dinyatakan perihal kepelbagaian
yang bertujuan untuk berkenal-kenalan, yang mana menurut Ibn ‘Ashur, sifat pluralistik
itu hikmahnya ialah untuk manusia saling berkenalan,[22]
bukannya supaya saling bersikap angkuh dan prejudis terhadap satu sama lain.
Persoalan
takwa merangkumi dimensi spiritual dan dimensi etika sosial. Antara contoh
dimensi spiritual ialah perkara ibadat khusus dan adab seorang hamba dengan
Tuhannya (tasawwuf), ia terbit dari pelbagai seruan yang terkandung dalam
Shariah, salah satunya konsep al-ihsan (sebagaimana kata Rasulullah sallallahu
‘alayh wa sallam bahawa al-ihsan itu ialah “kamu beribadat kepada
Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya
Dia melihatmu). Seorang Muslim yang bertakwa ialah seorang Muslim yang memenuhi
kedua-dua dimensi itu; iaitu ketinggian adab dengan Tuhan dan keunggulan etika
dalam dunia kemanusiaan dan peradaban.
Dimensi
kedua itulah yang sedang dibahaskan, kerana dalamnya terkandung nilai-nilai
bersama dan etika-etika sejagat, selain sebahagian arahan terhadap golongan
beriman sebagaimana terkandung dalam Shariah ialah bersifat sejagat seperti
larangan membunuh, menolak penipuan, kecurian, kezaliman dan sebagainya. Suatu
yang lebih menarik, ayat tentang kemuliaan manusia yang berkait langsung dengan
ketakwaan dalam surah al-Hujurat itu datang selepas pelbagai ayat yang
berbicara tentang etika-etika asas hubungan antara manusia seperti larangan
mengumpat, larangan bersangka buruk, suruhan menyelidik sesuatu khabar yang
tersebar, larangan memperendah satu sama lain dan sebagainya.
Jika
dilihat, perintah dan larangan yang mendahului ayat 13 (dari surah al-Hujurat) tersebut
boleh diterima kepentingannya oleh semua manusia, contohnya perintah supaya
menyelidik (tabayyun) sesuatu khabar sebelum menyebarkannya, ia sangat
dihajati oleh seluruh manusia pada hari ini, bahkan banyak khabar dan berita yang
tidak benar dan penuh keraguan tersebar di media cetak, elektronik dan sosial,
tapi diterima sebahagian masharakat tanpa ditanggapi dengan kritikal, lalu
membikin masalah peringkat nasional dan global. Oleh yang demikian, suatu yang
wajar ditekuni ialah apabila berbicara tentang tujuan kepelbagaian ialah untuk
saling berkenalan antara masharakat manusia, jangan kita mengesampingkan salah
satu aspek penting iaitu etika-etika sosial, jika kepelbagaian itu suatu yang
tak dapat dielakkan, etika ialah suatu kemestian.
Menerusi
etika, bukan sekadar tercipta masharakat yang baik, bahkan aspirasi yang lebih
jauh daripada itu mahu dicapai iaitu mencipta dunia yang saling membantu.[23]
Dalam dunia yang kian hangat dengan persengketaan antar-bangsa, negara dan
agama, maka wajar dipersoal kembali apa yang mahu dicapai sebenarnya dalam
hidup beragama, lalu menyeru kepada semua penganut agama (mahupun yang tiada
agama) untuk saling hidup dalam satu dunia, jauhi benci-membenci dan bersedia
bekerjasama dalam melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab asas dalam
kemanusiaan. Abdullah ben Bayyah mengulasnya dengan sangat baik dalam
makalahnya bertajuk al-Qiyam al-Mushtarakah (Shared Values),
ringkasnya beliau menyebut meskipun sesebuah masharakat pasti ada perselisihan
yang tersendiri, namun nilai-nilai yang asas seperti kejujuran, cinta, kebaikan
dan sebagainya diterima oleh semua pihak.[24]
Tanggungjawab
Asas Kemanusiaan Sejagat
1) Beberapa contoh praktis berdasarkan
konsep al-daruriyyat al-khams
Para
sarjana Usul al-Fiqh menyebut bahawa apa yang disebut sebagai al-daruriyyat
al-khams (lima perkara daruri) iaitu memelihara (hifz) agama (al-din),
jiwa (al-nafs), akal (al-‘aql), keturunan (al-nasl) dan
harta (al-mal)[25]
itu dipelihara dalam semua ajaran, antara yang berkata demikian ialah
al-Ghazzali, al-Qarafi, al-Shatibi dan lain-lain[26].
Bererti, ia suatu yang sejagat dan diambil berat oleh semua tanpa mengira
agama, aliran dan sebagainya, sekurang-kurangnya pada peringkat umum kalaupun
mereka berbeda pada peringkat pemerincian.[27]
Dalam
bahagian serba ringkas ini, saya akan menyatakan beberapa contoh relevan (pada
hemat saya) berasaskan sudut pandang al-daruriyyat al-khams dalam
pelaksanaannya pada peringkat sejagat. Ia akan melibatkan dua sudut lazim
sebagaimana disebut para sarjana seperti al-Shatibi dan lain-lain; iaitu sudut
mewujudkan, memelihara dan mengukuhkan al-daruriyyat al-khams, dan sudut
kedua ialah usaha menolak kehilangan, pelanggaran dan pencerobohan al-daruriyyat al-khams.[28]
Daripada sisi tersebut lazimnya akan terbit darinya pelbagai pendekatan,
wasilah dan sebagainya demi merealisasikan al-daruriyyat al-khams.
Antara
contoh praktis hifz al-din yang boleh diketengahkan ialah komuniti
beragama (dari pelbagai agama) boleh saling berganding bahu dalam berhujah
dengan atheism dan isu-isu umum melibatkan agama seperti menolak keganasan atas
nama agama, menolak budaya mencela Tuhan dan doktrin-doktrin asas apa-apa
agama, menggalakkan dialog antar-peradaban dan sebagainya.
Adapun
hifz al-nafs, antara contohnya ialah hak hidup untuk semua manusia,
menubuhkan kumpulan masharakat sivil anti-perang, menolak serangan fizikal
terhadap manusia tidak bersalah, berkerjasama dalam hal-hal asas berkaitan
hak-hak asasi manusia, penguatkuasaan undang-undang tegas dalam hal berkaitan
nyawa seperti hukuman bunuh balas, pendidikan kesihatan untuk masharakat awam
dan desa, dan lain-lain yang banyak.
Contoh
praktis dalam hifz al-aql ialah menggalakkan celik huruf dan menolak
buta huruf, menyediakan geran untuk galakan kajian-kajian baru dalam lapangan
keilmuan, pendidikan untuk semua peringkat, perbincangan dan debat-debat ilmu,
tolak pemimpin yang bodoh lagi dungu, dan sebagainya yang banyak dan boleh
melibatkan pelbagai manusia tanpa mengira agama dan kepercayaan.
Seterusnya,
contoh praktis hifz al-nasl ialah memperkukuh sistem kekeluargaan,
mempromosi perkahwinan lelaki- perempuan dan bekerjasama antar-agama dalam berhujah
menolak seruan perkahwinan satu jenis[29],
dasar yang lebih mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) (cadangan ini juga boleh
masuk dalam bab hifz al-nafs) dan lain-lain.
Antara
contoh praktis hifz al-mal melibatkan manusia pelbagai agama dan
kepercayaan ialah pendidikan dan pemberdayaan ekonomi masharakat awam dan desa,
mewujudkan kumpulan masharakat sivil menolak salah guna wang awam, pelaksanaan
undang-undang yang lebih tegas dalam hal penipuan wang dan rasuah, mengatasi
ketidaksamarataan ekonomi dan merapatkan jurang kelas sosial, pengukuhan
institusi wakaf, dan seumpamanya yang banyak.
Selain
al-daruriyyat al-khams yang umum sebagaimana di atas, sebahagian sarjana
memasukkan penjagaan alam sekitar, menolak penyeksaan terhadap haiwan dan
lain-lain dalam kategori pemeliharaan jiwa.[30]
Konsep jiwa (al-nafs) dalam bab ini diperluas fahamnya. Lalu
menerusinya, boleh dimasukkan bahawa perjuangan memelihara alam sekitar,
pembangunan terancang yang mengambil kira aspek kehijauan, undang-undang lebih
ketat dalam menjaga kebersihan sungai dan sebagainya antara yang boleh sama
dipikul.
2) Kemuliaan Manusia
“…
bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang
membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi,
maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga
keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga
keselamatan hidup manusia semuanya.” (al-Maidah: 32)
Menurut
al-Baidawi, “maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya” bererti
menceroboh kehormatan darah (manusia), memulakan pembunuhan, menggalakkan
manusia membunuh, atau bererti pembunuhan seorang dan ramai sama sahaja dalam
mengundang kemurkaan Allah dan azab yang besar.[31]
Sementara “dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka
seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya” bererti
barangsiapa menjadi sebab dalam kekalnya kehidupan manusia dengan memaafkan
(pent: iaitu wali untuk mangsa yang dibunuh memaafkan pembunuh lalu diminta
membayat diat), mengelak dari pembunuhan atau menghalang sebahagian sebab yang
boleh membawa kehancuran, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup
manusia semuanya.[32]
Ayat
tersebut datang langsung selepas Allah SWT menceritakan tentang peristiwa dua
anak Adam AS – Habil dan Qabil – yang merupakan pertumpahan darah pertama dalam
sejarah manusia seluruhnya. Suatu yang menarik, al-Quran menyebut peristiwa
pertama dan terpenting itu dalam sejarah manusia seluruhnya, ,lalu mengambarkan
perbuatan membunuh seorang manusia seperti membunuh seluruh kemanusiaan.
Sementara jika menghidupkan (iaitu melakukan apa-apa sahaja wasilah dalam
meningkatkan kualiti hidup dan melawan pembunuhan) seseorang, seolah-olah
menyelamatkan kemanusiaan seluruhnya.
Ia
merupakan asas terpenting dalam penekanan nilai-nilai sejagat rentas agama dan
bangsa. Sarjana besar, Dr Fathi al-Duraini menyebut semasa mengulas ayat
tersebut:
“Dalam
ayat ini, ada isyarat kewajipan al-takaful al-insani (kerjasama
kemanusiaan) dalam membanteras jenayah kejam ini dari komuniti kemanusiaan
seluruhnya, kerana ia dianggap sebagai ancaman bahaya terhadap kewujudan
manusia, cabaran terhadap perasaannya, menjejaskan keamanan dan kestabilannya.”[33]
Perbincangan
ini turut berkaitan secara langsung dengan hifz al-nafs, namun penulis
mengkhususkan perbahasannya dalam fasal kecil ini kerana situasi dunia sekarang
yang sangat berhajat dengan perjuangan menyelamat kemanusiaan dan menentang
penjajahan moden serta pembunuhan terang-terangan oleh kuasawan-kuasawan dunia
tanpa dihirau suara-suara yang membantah. Aktivisme anti-perang, perjuangan
hak-hak asasi manusia (paling tidak, dalam perkara-perkara asas sebegini,
sekalipun dalam hal-hal pemerincian, ada perselisihan dalam kalangan masharakat
berdasarkan pandangan alam masing-masing)
dan kempen menolak pemerdagangan manusia (human trafficking)
antara yang amat relevan dalam dunia hari ini.
Secara
lebih jelas, ia berkait langsung dengan ayat 70 dari surah al-Israa tentang
kemuliaan anak-anak Adam AS yang turut disebut oleh sarjana legenda Maghribi
‘Allal al-Fasi sebagai haq al-karamah[34].
Persoalan kemuliaan manusia haruslah diiringi dengan perbincangan kekhilafahan
yang berkait langsung dengan persoalan kepentingan amanah dan tanggungjawab.
Prof Dr Jamaluddin ‘Atiyyah menyebut bahawa “merealisasikan al-khilafah
al-‘ammah terhadap manusia di muka bumi” merupakan salah satu maqsid
penting daripada maqasid pada peringkat kemanusiaan (al-insaniyyah).[35]
Al-Khilafah
al-‘Ammah berkait langsung dengan persoalan
amanah dan tanggungjawab umum manusia seluruhnya, walaupun sudah tentu ada
pandangan berbeda dalam hal-hal terperinci. Ia akan berbalik kepada sejarah
awal manusia pertama Adam AS yang diciptakan dengan tujuan kekhalifahan
(al-Baqarah: 30), amanah yang besar (al-Ahzab: 72) dan arahan supaya
memakmurkan bumi (Hud: 61). Apabila al-Quran menggunakan uslub penceritaan
sejarah awal manusia tentang Adam, peristiwa pembunuhan pertama dan sejarah
kaum-kaum terdahulu, ia merupakan sebuah seruan sejagat untuk diambil iktibar
oleh seluruh umat manusia tanpa mengira agama dan latar belakang. Disebabkan
itu, sebahagian tokoh ilmuan Muslim mengeluarkan pelbagai kaedah peradaban dan
teori ketamadunan daripada sebahagian ayat yang terdapat dalam al-Quran,
sebagaimana dilakukan oleh al-Asfahani, Ibn Khaldun (w. 808) dan sebagainya.
3) Dunia yang Saling Bekerjasama dan
Keamanan Sejagat
Saling
berkenalan, bekerjasama dan melengkapi ialah antara maqsid penting pada
peringkat kemanusiaan,[36]
demikian juga maqsid merealisasikan keamanan sejagat yang berasaskan
keadilan[37].
Saling berkenalan (al-ta’aruf) sebagaimana disebut dalam ayat 13 dari surah
al-Hujurat lazimnya akan menatijahkan kewajaran bekerjasama (al-ta’awun)
dan secara automatik ia merupakan sebuah penegasan tentang hakikat manusia
pelbagai agama dan latar belakang untuk saling melengkapi (al-takamul).
Saling bekerjasama dalam kebanyakan urusan bersifat keduniaan ialah antara hal
yang hampir tidak dapat dielakkan pada hari ini. Dunia keilmuan, perkongsian
teknologi, import dan eksport dalam perdagangan dan merupakan manifestasi paling jelas dalam
menunjukkan kepentingan al-ta’aruf, al-ta’awun dan al-takamul
dalam dunia manusia.
Dalam
erti kata lebih luas, al-ta’aruf al-hadari merupakan interaksi
antar-peradaban yang merupakan faktor penting dalam pembangunan sesebuah
peradaban manusia. Malahan jika dilihat sejarah, saling belajar antara Timur
dan Barat merupakan antara yang berlaku dan pemangkin ke arah pembangunan
manusia dan peradabannya. Dari al-ta’aruf al-hadari, kemudiannya ke al-ta’awun
al-hadari dan al-takamul al-hadari. Disebabkan itu, kita melihat
hubungan antar-negara dan antar-peradaban merupakan suatu yang berlangsung
pesat sejak dahulu khasnya dalam hal ehwal pentadbiran dan ekonomi. Perbezaan
geografi dan sumber alam yang berlainan antara yang menjadikan ia suatu yang
sangat dikehendaki masharakat dunia seluruhnya.
Selain
tiga serangkai itu (al-ta’aruf, al-ta’awun dan al-takamul) pembaharuan
peradaban (al-tajdid al-hadari) memerlukan lebih penekanan tentang
keamanan sejagat. ‘Allal al-Fasi semasa mengulas tentang hak untuk hidup (haq
al-hayah) bawah perbincangan hak-hak manusia (huquq al-insan)
menyebut bahawa “seruan Islam terhadap keamanan sejagat” merupakan antara
kandungan penting Islam.[38]
Bertitik tolak dari itu, perang diharamkan kecuali dalam keadaan darurat dan
dalam kadar tertentu.[39]
Keamanan
sejagat barangkali adalah antara retorik terbesar dunia hari ini, khasnya oleh
kuasawan dunia, namun demikian ia tetap prinsip penting dalam Islam dan wajib
diusahakan untuk direalisasikan. Jika keamanan sejagat merupakan antara yang
ditekankan Shariah, maka berusaha ke arahnya merupakan antara pelaksanaan
Shariah. Wajar diingat, keamanan sejagat bertentangan dengan kediktatoran dan
penindasan politik, maka dalam banyak hal jika ketidakamanan berlaku natijah
dari kediktatoran dan penindasan, maka yang wajar paling dipersalahkan ialah
kediktatoran dan kezaliman. Sementara itu penentangan berhikmah oleh pelbagai
lapisan rakyat ke atas kediktatoran dan kezaliman merupakan usaha ke arah
keamanan sejagat, bukannya penyerahan total dan redha dengan penipuan.
Apabila
membicarakan keamanan sejagat, dalam skala yang lebih kecil, ia turut berkait
dengan keamanan nasional. Persaudaraan nasional dengan menumpukan tujuan-tujuan
besar bersama tidak bercanggah dengan identiti para warganegara yang berbeza,
kerana mereka berkongsi identiti warganegara dan sebagai seorang manusia.
Persaudaraan nasional ialah dunia berasaskan dialog dan peranserta dalam
membangunkan negara, sambil masih bisa berbeda dalam hal-hal yang tidak
dipersetujui. Persaudaraan nasional antaranya bertujuan mengekalkan kestabilan
dan mencipta keamanan nasional.
Kesimpulan
Berdasarkan
seluruh kalimah, baris dan perenggan yang sudah dinyatakan di atas, saya
membuat kesimpulan bahawa persaudaraan kemanusiaan merupakan suatu yang ada
asasnya dalam Islam, disebut oleh para sarjana silam dan semasa, ruangnya lebih
kepada urusan-urusan keduniaan dan wasilah-wasilahnya sangat banyak dan
berubah-ubah berdasarkan tuntutan zaman dan tempat. Persaudaraan kemanusiaan
sangat penting untuk didengungkan dalam dunia hari ini, khasnya dalam membina
jambatan antara kepercayaan, agama, negara dan peradaban, lalu bekerjasama
dalam membangunkan peradaban baru kemanusiaan, sambil bersedia berbeda dalam
hal-hal prinsip dan bersifat eksklusif.
Walaupun
sudah jelas ia menjadi retorik untuk mengiyakan agenda kotor sebahagian
kuasawan, namun ia tidak menghalang kita dari terus mendidik masharakat akan
hal ini dan berusaha merealisasikannya. Hal demikian kerana; masharakat
merupakan akar, sementara negara dan kekuasaan hanyalah cabang. Akar hendaklah
disirami dengan nilai-nilai, tanggungjawab keintelektualan dan misi beretika,
lalu diharapkan cabang-cabang (seperti kekuasaan, teknologi dan sebagainya) tidak akan menyongsang jauh dari tanggungjawab etika dan moral. Menurut Islam, siraman
terbaik sudah tentu dari embun-embun ketakwaan yang sarat dengan risalah
keetikaan dan ditujukan kepada seluruh umat manusia. Persaudaraan kemanusiaan demi pembaharuan peradaban!
[1] Al-Raghib al-Asfahani, Mufradat Alfazh al-Quran, suntingan
Mustafa bin al-Adawi, cetakan pertama. (Mansoura: Maktabah Fayyadh, 2009) hlm.
35.
[2]
Ibid, hlm. 35.
[3]
Al-Zamakhsyari, Abu al-Qasim, Tafsir al-Kasysyaf, cetakan ketiga, (Beirut: Dar
al-Kitab al-‘Arabi, 1407 H), 4/366.
[4] Al-Raghib al-Asfahani, Mufradat Alfazh al-Quran, suntingan
Mustafa bin al-Adawi, cetakan pertama. (Mansoura: Maktabah Fayyadh, 2009) hlm.
35.
[5]
Ibn ‘Atiyyah, al-Muharrar al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-‘Aziz, cetakan
pertama, (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1422 H), 1/530.
[6]
5/148.
[7]
Al-Baidawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, cetakan pertama,
(Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1418 H), 4/9.
[8]
Al-Razi, Mafatih al-Ghayb, cetakan ketiga, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath
al-‘Arabi, 1420 H, jilid 14 hlm. 299.
[9]
Al-Qasimi, Jamaluddin, Mahasin al-Ta’wil, cetakan pertama, Beirut: Dar
al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1418 H, 5/125.
[10]
Abu al-Su’ud al-‘Imadi, Irshad al-‘Aql al-Salim Ila Mizaya al-Kitab al-Karim,
Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 3/241.
[11]
Dr Wahbah al-Zuhaili, al-Quran al-Karim; Bunyatuh al-Tashri’iyyah wa
Khasa-isuh al-Hadariyyah, Damsyik: Dar al-Fikr, 1998M, hlm. 93.
[12] Muhammad Rashid Redha, Tafsir al-Manar (Tafsir
al-Quran al-Hakim), cetakan kedua. (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah, 2005)
jilid 1, hlm. 34.
[14] Muhammad al-Ghazali, al-Mahawir al-Khamsah Li al-Quran
al-Karim, cetakan keempat (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2010) hlm. 21.
[15] Al-Qaradhawi, Kayf Nata’amal Ma’a al-Quran, cetakan
kelapan (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2011) hlm. 73-74.
[16] Fathi Hasan al-Malkawi, Manzumah al-Qiyam al-‘Ulya:
al-Tauhid wa al-Tazkiyah wa al-‘Umran, cetakan pertama (Herndon: International
Institute of Islamic Thought), hlm. 23.
[17]
Al-Ghazzali, Abu Hamid, Jawahir al-Quran, dengan tahqiq Dr Muhammad
Rashid Redha al-Qubani, cetakan kedua, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi,
1406 H, hlm. 23.
[18]
Ibid. hlm. 23.
[19] Al-‘Izz,
Ibn ‘Abd al-Salam, al-Qawa-id al-Kubra, cetakan keempat, Damshik: Dar
al-Qalam, 2010, 1/167.
[20]
Al-Asfahani, Tafsir al-Raghib al-Asfahani, cetakan pertama, Riyadh: Dar
al-Want, 2003, 3/1071.
[21]
Al-Tha’alabi, al-Jawahir al-Hisan fi Tafsir al-Quran, cetakan pertama, Beirut:
Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1418 H, 5/277
[22] Ibn
Ashur, al-Tahrir wa al-Tanwir, Tunis: Dar Suhnun, 10/259.
[23] Al-Qaradhawi, Kayf Nata’amal Ma’a al-Quran, cetakan kelapan (Kaherah: Dar
al-Shuruq, 2011) hlm. 115-125.
[24] http://www.binbayyah.net/portal/research/148
[25]
Sebahagian sarjana menyebutnya sebagai enam, seperti al-Qarafi yang menyebut
bahawa memelihara maruah (al-‘irdh) juga termasuk dalam perkara daruri,
dan Ibn Ashur tidak bersetuju dengannya dalam hal itu. Ia ada perdebatan
tersendiri yang tidak sesuai disebut di sini.
[26]
Dr Abdul Rahman al-Kaylani, Fiqh al-Musytarak al-Insani ‘ind al-Malikiyyah,
al-Qarafi wa al-Shatibi namudhajan. Ia merupakan kertas kerja yang
dibentangkan di Oman pada April 2014.
[27]
Perbincangan lisan dengan Prof Dr Ahmad al-Raisuni di Doha pada 26 Januari
2014.
[28]
Al-Shatibi, al-Muwafaqat, 2/8
[29]
Perbincangan lisan dengan Dr Ahmad al-Raisuni di Doha pada 26 Januari 2014.
[30] Prof
Dr Jasser Auda dalam ucapannya di International Institute of Advance Islamic
Studies (IAIS), Kuala Lumpur, Malaysia, pada 31 Mei 2014.
[31]
Al-Baidawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, cetakan pertama,
(Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1418 H), 2/124.
[32]
Ibid. 2/124.
[33]
Fathi al-Duraini, Khasa-is al-Tashri’ fi al-Siyasah wa al-Hukm, hlm.
243.
[34]
‘Allal al-Fasi, Maqasid al-Shariah al-Islamiyyah wa Makarimuha, cetakan
kelima, Dar al-Gharb al-Islami, 1993 hlm. 235-242
[35]
Jamaluddin al-‘Atiyyah, Nahw Taf’il Maqasid al-Shariah, cetakan ketiga,
Herndon-Virginia: Institut Pemikiran Islam Antarabangsa, 2011, hlm. 159-160.
[36]
Ibid. hlm. 158.
[37]
Ibid. hlm 158.
[38]
‘Allal al-Fasi, Allal al-Fasi, Maqasid al-Shariah al-Islamiyyah wa
Makarimuha, cetakan kelima, Dar al-Gharb al-Islami, 1993 hlm. 231-235.
[39]
Ibid. 232.
0 comments:
Post a Comment