Friday, 27 April 2012

Firaunisme, Ulama UMNO dan BERSIH 3.0


Salah satu status di laman facebook ulama UMNO:

Kita wajib bersimpati kepada bakal-bakal demonstrans di hari esok, kerana dicabutkan oleh Allah pada diri mereka sifat Sabar, Syukur dan Qana'ah. Semuanya telah hilang dari mereka. Sedangkan sifat-sifat inilah sumber kebahagian buat seorang mukmin.. Allahul Musta'an...

Ramai yang seolah-olah tersilap faham mengenai hubungan antara Fir’aun dan agama, disebabkan Fir’aun sepertimana telah disebut dalam al-Qur’an dan juga Bible merupakan watak seorang raja yang menolak ajaran seorang Rasul.

Namun demikian, jangan kita lupa apa yang tersirat dalam pemerintahan dan pengamalan kasta pada zaman Fir’aun, sistem kasta piramid sosial sebagaimana bisa ditemui dalam banyak tulisan dan buku kajian mengenai tamadun purba Mesir menunjukkan bahawa kumpulan pendeta dan bangsawan (high priests and nobles) pada zaman itu merupakan penghuni kelas yang ketiga selepas Fir’aun dan penasihatnya (Vizier, Haman merupakan vizier kepada Fir’aun pada zaman Musa).

Vizier dipilih oleh Fir’aun untuk menjadi rujukan dan mendapat nasihat sebelum membuat keputusan. Para pengkaji menyebutkan bahawa dalam pelbagai zaman pendeta agama dilantik sebagai Vizier oleh Fir’aun. Selain itu vizier dan pendeta lebih utama untuk berada dalam barisan pentadbiran jika dibandingkan dengan kelompok bangsawan.

Melihat pada kelas-kelas pada piramid sosial tersebut menunjukkan bahawa peranan agama dalam administratif monarki di Mesir sangat tinggi pengaruhnya dan di sinilah timbul persoalan, apakah peranan terpenting agama dalam pemerintahan Fir’aun?

Apabila kita melihat kelompok terakhir dalam piramid sosial tersebut iaitu para hamba dan petani/buruh (slaves and farmers) yang merupakan peratus tertinggi dalam populasi masyarakat Mesir Purba, seakan-akan sebahagian daripada jawapan telah diperoleh untuk menjawab soalan di atas. Apakah rasionalnya sebuah agama jika penindasan dan kezaliman dihalalkan? Di manakah relevansi agama tatkala suara rakyat dihalang sementara kemuncak Fir’aunism pula ialah deklarasi wajibnya kepatuhan dan ketuhanan tanpa soal, tiadanya konsep semak imbang?

Agama yang dicandukan

Pengamalan agama secara tidak jujur dan berkepentingan sebegitu telah berleluasa dalam sejarah Barat dan Muslim, justeru tidak hairanlah Karl Marx (1818-1883) mengkritik peranan agama dengan menyatakan:

“Religion is the sigh of the oppressed creature, the heart of a heartless world, and the soul of soulless conditions. It is the opium of the people. The abolition of religion as the illusory happiness of the people is the demand for their real happiness. To call on them to give up their illusions about their condition is to call on them to give up a condition that requires illusions. The criticism of religion is, therefore, in embryo, the criticism of that vale of tears of which religion is the halo.”

[Agama adalah keluhan mereka yang tertindas, nurani kepada dunia yang tiada bertiada bertimbang-rasa, dan jiwa kepada suasana yang nihil kejiwaannya. Ia adalah candu masyarakat. Penghapusan agama sebagai khayalan kebahagiaan masyarakat adalah deskan kepada kebahagiaan sebenarnya. Menyeru mereka agar melupakan segala khayalan tentang kehidupan mereka sebenarnya seruan yang mengajak meninggalkan keadaan yang memerlukan khayalan. Kritik ke atas agama adalah sebenarnya, dalam bentuk embrio, kritikan ke atas aliran air mata yang mana agama merupakan puncanya.]

Kritikan tersebut sewajarnya diterima secara kritikal oleh kita, bahawasanya telah berlaku dan sedang berlaku tindakan pembodohan atas nama agama. Tatkala rakyat menderita dengan inflasi yang diakibatkan salah guna kuasa, maka ketika itulah agamawan kerajaan berperanan menyeru kepada kepentingan bersyukur! Apabila penindasan dan pengamalan diktator semakin berleluasa, maka ketika itu televisyen menyiarkan forum agama tentang haramnya demonstrasi aman.

Pembodohan atas nama agama merupakan rukun utama Fir’aunism, sebagaimana ternukil dalam al-Qur’an:

“Maka Fir’aun mempengaruhi kaumnya, lalu mereka patuh kepadanya, sesungguhnya mereka (kaumnya) itu daripada kalangan orang-orang yang fasiq” [az-Zukhruf : 54]

Fir’aun memperolok dan memperendah akal kaumnya, lantas kaum yang tidak berfikir itu menuruti dan menyahut segala arahan, tanpa soal dan tanpa bantahan. Kebodohan rakyat dan sikap “redha” merupakan syarat asas dalam mengekalkan Fir’aun ditampuk kuasa, sementelah Firaun telah mendapat bantuan pendeta agama dan memutar belit falsafah agama. Malahan dalam strategi politik kolonial, sememangnya sesuatu bangsa itu akan dibiarkan terus dalam kitaran kebodohan dan pasif dalam isu-isu politik dan kebangsaan.

Lebih mendukacitakan apabila sentimen agama dan perkauman telah dimanipulasi demi mengekalkan kekuasaan, isu-isu agama diputar 180 darjah demi menutup segala amalan penyelewengan, rasuah dan ketidakadilan dalam pemerintahan. Institusi-institusi fatwa yang terang-terangan tidak bebas daripada pengaruh pemerintah pula akan mengeluarkan fatwa-fatwa dalam pelbagai isu kecil dan sudah diketahui hukumnya oleh majoriti umat Islam, sambil mendiamkan diri daripada laporan audit yang menyentuh soal penyelewengan wang dan “ghaibnya” harta rakyat.

Kepentingan mengekalkan pemerintah korup yang satu bangsa dan satu agama dengan rakyat majoriti telah didoktrin kononnya demi menegakkan keIslaman dan kebangsaan. Ia juga kononnya dapat megelak daripada bangsa lain meguasai tampuk pemerintahan dengan mengapikan politics of fear. Lantas sentimen keagamaan itu telah menghanyutkan sampah sarap kezaliman dan kediktatoran.

Bersih 3.0; Duduk dan Bantah

Kebebasan bersuara dan berhimpun merupakan salah satu rukun terpenting demokrasi. Tindakan menyekatnya atas apa jua nama mengingatkan kita dengan peristiwa Bani Israil dengan Fir’aun seperti yang dinaqalkan dalam ayat 28 dan 29 Surah al-Mu’min.

“Fir’aun berkata: Aku tidak kemukakan fikiranku melainkan apa yang aku pandang baik dan aku tidak tunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar.” (al-Mu’min : 29)

Kita melihat, salah seorang yang beriman dengan ajaran Musa telah menasihati Fir’aun menerusi ruang yang ada, namun dijawab penuh kesombongan oleh Fir’aun: “Aku tidak kemukakan fikiranku melainkan apa yang aku pandang baik dan aku tidak tunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar.” Jawapan itu telah menutup pintu semak-imbang (check and balance), akauntabiliti dan bantahan daripada masyarakat. Jawapan itu jugalah yang akan menyebabkan kediktatoran berkekalan atas nama pemerintah sentiasa betul!

Namun demikian, tetap ada segelintir agamawan yang memfatwakan kesesatan Bersih secara mandatori, seterusnya berhujah atas nama qana'ah, syukur dan sebagainya. Tatkala kezaliman melanda, di manakah pelbagai segala nas tentang keadilan, seruan menentang kezaliman, kepentingan kebebasan, hak kewarganegaraan dan sebagainya? Ternyata nas-nas tersebut tidak berperanan lagi di tangan manusia berkepentingan sama ada mereka sedar atau tidak.

Di sebalik semua itu, sebenarnya telah terbina minda dogmatik yang menolak kepelbagaian pandangan akan hanya menegakkan pandangan sendiri. Seolah-olah mereka mendakwa bahawa kebenaran dalam soal ijtihadiyyah hanya wujud satu, bercanggah dengan keluasan pintu ijtihad dalam persoalan duniawi (mu'amalat) khasnya, sementara ketaatan berteraskan dalil pula dalam soal ibadah. Mereka bertindak mencampur adukkan, apabila telah memahami siasah menerusi metodologi ibadah, barangkali itu yang berlaku. Lantas sesuatu isu melibatkan kenegaraan dipandang secara hitam putih dan pandangan binari, sama ada A atau B, sama ada halal atau haram, sama ada benar atau sesat!

Menutup bicara, saya mahu bertanya kepada Ulama UMNO yang mana sudah tentu kita semua berkeyakinan bahawa agama membawa nilai-nilai yang baik, bijaksana dan indah. Namun milik siapakah nilai baik pada perkiraan kalian? Adakah milik warganegara yang ditindas, atau pemerintah yang menindas?

*Sebahagian daripada tulisan ini dipetik daripada sebuah esei saya yang bertajuk Menangani Firaunisme

2 comments:

Anonymous,  27 April 2012 at 15:44  

Salam Marwan,

Fastakhaffa qaumahu itu brmaksud mmpengaruhi atau menakutkan? Salam.

MZAA

Marwan Bukhari 27 April 2012 at 16:33  

Wassalam, Ibnu kathir menyebut, fastakhaffa bermaksud 'istakhaffa' akal-akal rakyatnya. Justeru bermaksud Firaun mempengaruhi rakyatnya dengan memperbodoh akal kaumnya. Wallahua'lam

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP