Gambaran Awal Konflik di Tunisia
Tunisia. |
1) Kewujudan kumpulan radikal
salafi dan kumpulan Hizbut Tahrir yang sering mengganggu pemerintahan kerajaan
Tunisia. Mereka dahulunya diam di bawah pemerintahan Ben Ali, tetapi setelah
revolusi, tiada mereka diam dan taat akan pemerintah, sebaliknya melaungkan
seruan yang bercanggah dengan perlembagaan dan semangat demokrasi. Mereka
bercakap tentang shariah dalam bahasa yang sempit hingga mengganggu
ketenteraman awam. Dilaporkan mereka menguasai sebahagian masjid di Tunisia dan
berterusan menyampaikan seruan mereka, bahkan hingga menyeru kepada 'jihad'.
Dalam satu siaran televisyen, tokoh en-Nahda bernama Shaykh Abdul Fattah Moro
pernah berdebat dengan salah seorang tokoh mereka dan mengkritik keras sikap
mereka yang mengkafirkan pihak yang tidak sebulu dengan mereka.
2) Hal di atas menyebabkan
kumpulan sekular dan liberal yang punya hubungan dengan en-Nahda sangat
terganggu dengan sikap ekstrem dan literal aliran 'salafi' (?) tersebut. Saya
perasan, sehingga melahirkan sikap Islamofobia dan ketakutan terhadap agama dek
karena kefahaman sempit aliran-aliran tersebut. Lebih-lebih lagi dua orang
tokoh dari parti sekular telah dibunuh sebelum ini, sebahagian pihak menganggap
hal tersebut merupakan tindakan aliran literal yang disebut di atas. Pemimpin
pembangkang, Mohamed Brahmi telah ditembak pada Jun 2013, sementara pada
Februari sebelum itu, Chokri Belaid telah terbunuh hingga mencetuskan
demonstrasi lalu memaksa Perdana Menteri - Hamadi Jebali - pada masa itu
meletak jawatan. Hamadi digantikan oleh Ali Larayedh.
3) Berikutan isu-isu melibatkan
kumpulan beraliran literal di atas, sebilangan rakyat menyeru supaya kerajaan
bersikap lebih tegas dengan aliran salafi dan Hizbut Tahrir. Pada tahun pertama
pemerintahannya, Kerajaan Tunisia telah membenarkan kumpulan-kumpulan salafi
dan Hizbut Tahrir bergerak secara sah sebagai parti politik. Hal tersebut
mungkin tidak disenangi segelintir pihak yang menganggap kewujudan mereka
mengganggu keharmonian Tunisia, namun saya berpandangan, dalam dunia demokrasi,
sebuah negara sekular haruslah membenarkan parti politik berjenama Islam
bergerak secara sah, sebagaimana sesebuah negara Islam wajar membenarkan parti
beraliran sekular bergerak sah.
4) Ghannouchi yang dinobat
sebagai salah seorang ideolog yang serius dengan demokrasi dan pembaharuan
wacana politik Islam turut berhadapan dengan aliran 'kaum muda' dan 'kaum tua'.
En-Nahda sekalipun kelihatan berwajah progresif sedari awal kemunculan mereka
pasca-revolusi, masih tidak konsisten dengan identiti sebuah gerakan Islamis
yang moderat. Hal ini adalah kebiasaan dalam mana-mana gerakan, tidak
terkecuali en-Nahda. Keadaan tersebut menjejaskan persepsi parti-parti lain
terhadap en-Nahda karena dibimbangi wacana aliran konservatif akan mengganggu
konsistensi sifat moderat dan demokrat yang cuba ditonjolkan en-Nahda dan tokoh
utamanya, Ghannouchi.
5) Konflik di Tunisia masih
berlangsung hangat, hingga timbul seruan supaya dipercepat pilihanraya
sebagaimana dilaungkan di Mesir sebelum ini. Bahkan skrip yang hampir serupa
apabila disebarkan kononnya sokongan rakyat terhadap en-Nahda telah merosot
berbanding pilihanraya sebelum ini (contohnya kajian oleh Control Risks
consultancy). Beda besar Tunisia dan Mesir ialah tentera di sana tidak berkuasa
sebagaimana tentera di Mesir.
6) Komitmen semua pihak di
Tunisia terhadap demokrasi akan teruji, sejauh mana berpegang dengan nilai
bahawa sesebuah kerajaan hanya boleh diturunkan menerusi peti undi, setelah
dilantik secara adil dan telus. Selain itu, renungan besar juga dihadap untuk
gerakan Islamis dalam menghadapi cabaran dan konflik sebegitu, termasuk
bagaimana berhadapan dengan segelintir pihak yang ekstrem dan literal dalam
memahami shariah. Selain itu, komitmen pihak pembangkang terhadap demokrasi
juga akan kelihatan. Tidak sepatutnya mana-mana pihak yang tidak gemar akan
sesebuah kerajaan yang dilantik secara demokratik bertepuk sorak apabila
segelintir pihak mahu menjatuhkan kerajaan tersebut tanpa melalui proses
demokrasi. Memetik pandangan Michael J. Koplow dalam tulisannya bertajuk "First
They Came for the Islamists" (tersiar di laman Foreign Affairs);
"The secularists should
think twice before cheering on the regime’s campaign against the Muslim
Brotherhood and other Islamists, no matter what type of language the government
is using to couch its antidemocratic actions. The lesson of Tunisia is that
once the Islamists are gone, the secularist opposition is going to be
next."
0 comments:
Post a Comment